Anda di halaman 1dari 2

Bismillahirrahmanirrahim.......

27 Rejab tarikh mulia,


Satu malam tercipta sejarah,
Hari ini berdirinya saya,
Dengan pidato mantap berilmiah.

Dari Mekah ke Palestina,


Meneruskan perjalanan ke Sidratul Muntaha,
Ingin tahu apa tajuk saya?
Bumi Palestin, Tanggungjawab Kita.

Assalamualaikum Warahmatullahiwabarokatuh
Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana,
penjaga masa yang peka dengan detak jamnya, para peserta yang saya kagumi serta
hadirin dan hadirat yang saya kasihi. Izinkan saya merungkai maksud pidato saya pada hari
ini. Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, bumi bermaksud lingkungan yang meliputi
kumpulan orang. Merujuk pula kepada Wikipedia, Palestin merujuk kepada kawasan di
Timur Tengah di antara Laut Mediterranean, Terusan Suez dan Jordan. Sementara
tanggungjawab pula, menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua bermaksud sesuatu kerja yang
mesti dilakukan. Tuntasnya, tanggungjawab terhadap Palestin harus dipikul oleh semua.

Hadirin dan hadirat yang dihormati,


Palestin, bumi yang telah menjadi tempat persinggahan kepada Nabi Muhammad SAW
dalam perjalanan Baginda untuk bertemu Allah SWT. Bumi ini dianggap suci dan diberkati
kerana didalamnya terdapat Masjidil Aqsa, kiblat pertama umat Islam bahkan bumi yang
pernah melahirkan, membesarkan dan tempat bersemadinya lebih 50 orang para nabi.

Sebagai pembuka tirai, adalah baik jika kita telusi akar-akar cerucuk sejarah bumi para
anbia ini. Kita dapat mengenali pengasas negara Israel iaitu Theodore Hertzl yang meminta
tanah Palestin daripada Khalifah Abdul Hamid II iaitu sultan terakhir Khalifah
Uthmaniyyah pada tahun 1897. Tetapi, dengan tegasnya Khalifah mengatakan "Tanah itu
bukan milikku, tetapi milik umatku", kemudian meludah kepada wajah Hertzl. Hertzl
kemudian bekerjasama dengan British untuk merampas tanah Palestin dan memecat Abdul
Hamid II daripada jawatan Khalifah. Kemudian, kerajaan Uthmaniyyah digulingkan dan
bermulalah episod kezaliman dan kekejaman bangsa Yahudi ke atas umat Islam di Palestin.

Sejak dari itu, sudah ramai para syuhada yang berusaha untuk membebaskan tanah suci
Palestin sehingga sekarang. Sekiranya kita berpatah balik jauh ke belakang bermula pada
zaman pemerintahan Amirul Mukminin Umar Al-Khattab, tentera Islam di bawah
pemerintahan Sayidina Umar RA telah berjaya menawan bumi ini daripada Empayar
Byzantine pada 683 Masihi. Sayidina Umar telah membuat perjanjian dengan orang-orang
Kristian di Palestin yang terkenal dengan nama `al-Ihdat al-Umariyyah' yang bermaksud
'Perjanjian Umar' yang berbunyi "...atas nama Islam dan kaum muslimin...Tidak boleh
seorang Yahudi pun tinggal bersama kaum Muslimin di Baitul Maqdis".

Namun, sekali lagi pada tahun 1090 Masihi, bumi ini telah dirampas oleh Tentera Salib
dan dijajah hampir satu abad dan pada tahun 1187, seorang Panglima Islam yang masyhur,
Salahuddin Al-Ayubi telah berjaya menyatukan orang-orang Islam dari Lembah Nil hingga
ke Lembah Furat dan telah berjaya merampas kembali bumi ini. Jadi, memang sudah
terbukti dari zaman pemerintahan Khalifah Ar-Rasyidin bahawa setiap jengkal dari tanah
Palestin itu adalah milik kita bukan milik bangsa Yahudi itu.

Hadirin yang dikasihi sekalian,


Bumi Palestin dahagakan perjuangan kita, Bumi Palestin sudah banjir bermandi darah,
adakah kita masih mahu duduk berdiam diri? Tepuk dada, tanya iman. Ingat, sabda
Rasulullah SAW yang berbunyi, "Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal berkasih-
sayang dan saling mencintai adalah satu tubuh. Apabila salah satu anggota badannya
berasa sakit, seluruh anggota tubuh yang lain akan turut merasa sakit". (Hadis Riwayat
Bukhari dan Muslim).

Saya sedar, kita tidak sekuat Umar Al-Khattab, tidak segagah Salahuddin Al-Ayubi tetapi
kita berkongsi semangat yang sama untuk membebaskan tanah suci Palestin. Pada saat ini,
ingin saya sertakan saranan dan cadangan bagi melaksanakan tanggungjawab kita
terhadap umat Islam di Palestin. Pertama, dari sudut kewangan. Kita hendaklah
memperbanyakkan projek kemanusiaan untuk menghantar bantuan makanan, pakaian dan
perubatan kepada Palestin.

Kedua, dari sudut ekonomi. Kita hendaklah memboikot syarikat-syarikat yang


menyumbang kepada Israel seperti Coca-Cola. McDonald`s dan Nestle dengan
menanamkan iltizam dalam generasi muda supaya tidak menggunakan atau membeli
barangan Yahudi. Ketiga, dari sudut maklumat. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang
bertanggungjawab untuk bertindak sebagai penyebar maklumat mengenai hal ehwal Islam
hendaklah menggembleng tenaga mengadakan ceramah-ceramah di seluruh negara untuk
membawa isu Palestin sehingga ke akar umbi bagi meningkatkan kesedaran umat Islam di
Malaysia tentang tanggungjawab terhadap Palestin.

Keempat, di peringkat antarabangsa. Sebagai salah satu negara anggota Pertubuhan


Bangsa-bangsa Bersatu(PBB) hendaklah berani dan lantang bersuara seperti Tun Dr.
Mahathir menuntut kemerdekaan Palestin daripada cengkaman Israel di persidangan PBB.

Hadirin yang dirahmati Allah SWT,


Sebagai penutup tirai wacana ilmu kita pada hari ini, saya suka ingin mengingatkan
kepada hadirin sekalian bahawa kita dan anak-anak Palestin merasai cinta dan luka yang
sama. Kita hendaklah sentiasa memahami isu sebenar Palestin dan menyampaikannya
kepada masyarakat, kerana itulah tanggungjawab kita yang sebenarnya. Marilah kita
menjadi salah seorang hamba Allah yang terpilih yang akan menyumbang kepada
kemenangan Islam kelak dengan bebasnya Palestin dari cengkaman Yahudi kerana bumi
Palestin, tanggungjawab kita.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai