Anda di halaman 1dari 21

merubah sejarah dunia.

Tamadun ini bukan sahaja telah berjaya merubah corak dan budaya
hidup masyarakat Arab Pra-Islam yang bertuankan nafsu dan kejahiliyahan kepada cara
hidup baru yang bertunjangkan akhlak dan peradaban tinggi malah ia juga turut merubah
geo-politik dunia.
Dengan asuhan dan bimbingan Rasulullah s.a.w. dan kemudiannya diteruskan oleh para
sahabat (r.a), penduduk Tanah Arab yang terdiri daripada berbagai bangsa dan keturunan
berjaya disatukan dengan ikatan akidah dan ukhuwwah Islamiyah. Mereka muncul sebagai
satu umat yang berakhlak, berketerampilan dan sedia berkorban demi Islam. Dalam tempoh
waktu yang singkat, kuasa besar Rom dan Parsi yang dulunya memandang remeh terhadap
bangsa Arab kini terpaksa tunduk kepada kekuasaan Islam. Oleh itu dari abad ke 7 hingga
ke 18 Masihi, dunia telah didominasi dan dicorak oleh tamadun Islam. Dalam jangka masa
tersebut khususnya pada abad ke 9 hingga ke 13 Masihi, sejarah telah merakamkan
bagaimana tamadun Islam telah melahirkan ramai sarjana ulung dalam berbagai ilmu
pengetahuan.
Pada waktu itu kemajuan ilmu sains dan teknologi serta ilmu-ilmu yang lain yang dimiliki
oleh dunia Islam tiada dapat ditandingi oleh mana-mana bangsa atau negara. Di setiap ibu
kota pemerintahan Islam khususnya Baghdad (di Asia), Cordova (di Eropah) dan
Iskandariah (di Afrika), kegiatan keilmuan dan kebudayaan berlaku dengan bersemarak
serta disertai segenap lapisan masyarakat. Ramai sarjana dan pelajar dari negara luar
khususnya daripada negara-negara Kristian Eropah datang untuk mempelajari serta
mendalami berbagai bidang dan cabang ilmu pengetahuan.
Di sepanjang sejarah kegemilangan tamadun Islam, para sarjana Muslim dan sarjana nonMuslim yang bernaung di bawah pemerintahan Islam telah berjaya membuat kemajuan dan
pencapaian dalam bidang ilmu pengetahuan serta sains dan teknologi. Mereka telah
menempa satu sejarah tamadun kemanusiaan yang amat mengkagumkan meliputi aspek
politik, sosial dan ekonomi.
1.1 Zaman Rasulullah s.a.w.
Sejarah pertumbuhan dan perkembangan tamadun Islam adalah bermula pada zaman
Rasulullah s.a.w. Zaman Rasulullah terbahagi kepada dua period iaitu period Makkah dan
period Madinah. Kedua-dua zaman ini mempunyai perbezaan yang amat ketara dari aspek
pertumbuhannya. Period Makkah merupakan zaman asas dalam pembentukan tamadun
Islam yang memberi penekanan kepada aspek spiritual, mental dan akhlak masyarakat.
Period Madinah pula adalah zaman untuk membina komuniti dan negara yang baik serta
mendapat keampunan Tuhan.
a. Makkah
Penumpuan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. di Makkah adalah lebih bersifat
penyediaan kader-kader yang mantap dan kuat dalam menghadapi kejahatan puak-puak
ekstrimis kuffar dan musyrikin (kerana tidak membenarkan kebebasan melaksanakan ajaran
Islam atau dakwah yang diperintahkan oleh Allah). Malah mereka bertindak kejam ke atas
kaum Muslimin yang ketika itu sangat sedikit bilangannya. 13 tahun adalah masa-masa
kritikal dan menyiksakan bagi orang Islam. Penghijraan yang berlaku ke Habsyah dan Taif

tidak banyak memberi ruang dan kejayaan kepada orang Islam. Mereka menderita dengan
pelbagai bentuk siksaan dan ancaman tetapi tetap tabah dan yakin dengan akidah yang baru
dianuti. Mereka adalah generasi awal yang kental dan unggul yang dididik oleh Rasulullah
s.a.w.
b. Madinah
Penghijrahan ke Madinah mencanangkan beberapa perubahan kepada orang Islam ke arah
yang lebih maju dan berjaya dalam segala bidang kehidupan berasaskan prinsip keimanan.
Hijrah turut menandakan bermulanya era pelaksanaan syariat samawi secara menyeluruh
mencakupi sosial, politik, agama dan lain-lain. Setelah menjejaki bumi Madinah, Rasulullah
s.a.w. telah melaksanakan langkah-langkah berikut:
i. Sosial
Sebagai seorang Rasul dan pemimpin kepada bangsa Arab, Nabi Muhammad s.a.w. berjaya
menyusun dan mengatur stratifikasi sosial masyarakat Arab dari negatif kepada positif.
Penyatuan yang selama ini tidak pernah wujud dalam kamus kehidupan bangsa Arab telah
menjadi kenyataan dengan kedatangan Rasulullah s.a.w. Malah kehidupan mereka menjadi
lebih aman dan tenteram. Contohnya, usaha mempersaudarakan di antara golongan Ansar
dan Muhajirin sehingga masing-masing sanggup berkorban apa sahaja untuk kepentingan
bersama. Taraf wanita juga dimartabatkan apabila mereka dibolehkan menerima harta
pesaka kerana sebelum ini mereka tidak punya apa-apa hak.
Rasulullah s.a.w. telah memberi fungsi kepada institusi masjid sebagai pusat ibadat khusus
sekaligus sebagai markaz, madrasah dan parlimen. Rasulullah menyusun segala aktiviti
harian yang berbentuk sebaran, maklumat, arahan dan sebagainya melalui masjid. Ia juga
berperanan sebagai tempat menerima tetamu, tempat musafir bermalam dan menyelesaikan
masalah ketenteraan serta kehakiman.
ii. Politik
Menurut catitan Ibnu Hisyam, Sahifah al-Madinah atau Piagam Madinah diasaskan selepas
terbinanya Masjid Nabawi. Piagam ini mengandungi perjanjian di antara orang-orang
Muhajirin dan Ansar serta seluruh penduduk Madinah yang berbilang kaum seperti Aus,
Khazraj serta kaum Yahudi, Bani Quraizah, Bani Qainuqa dan Bani al-Nadir.
Termetrainya perjanjian ini bermakna Rasulullah s.a.w. berjaya mengasas dan memantapkan
kedudukan politik umat Islam di Madinah. Dalam masa yang sama baginda telah berjaya
mewujudkan satu masyarakat baru dikenali sebagai Ummah, serta merubah sama sekali
prinsip suku bangsa yang selama ini melahirkan ketegangan kaum yang berpanjangan.
Kejayaan Rasulullah dalam bidang ini telah membawa keharmonian kepada penduduk kota
Madinah. Sebarang aktiviti yang tidak sihat, kebangkitan Yahudi dan munafik di Madinah
dapat dibendung. Sebarang pihak yang melanggar perjanjian akan dihukum.
iii. Ekonomi
Rasulullah s.a.w. telah mengemaskinikan pungutan zakat, cukai ghanimah, fai dan kharaj.
Golongan Yahudi adalah kapitalis yang menguasai ekonomi Madinah ketika itu. Mereka
mengaut keuntungan tanpa perhitungan moral. Justeru itu Rasulullah memberi galakan

kepada orang Islam untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan bagi memecah
monopoli yang selama ini dilakukan oleh orang Yahudi. Dengan cara ini masyarakat Islam
dapat memecah jaringan kewangan golongan Yahudi yang memerangkap orang-orang
miskin dengan memberi pinjaman atas kadar faedah yang tinggi. Rasulullah s.a.w. juga
memberi perhatian kepada bidang penternakan dan pertanian.
Ringkasnya, pembentukan kerajaan Islam di Madinah melambangkan Islam dapat
dipraktikkan dalam kehidupan harian secara menyeluruh. Tamadun Islam yang dibina oleh
Nabi s.a.w. di Madinah menjadi titik tolak kepada kejayaan pemerintah Islam seterusnya.
Sesungguhnya kesabaran, kebijaksanaan dan kemurniaan akhlak yang dimiliki oleh Nabi
merupakan kunci kejayaan pembentukan tamadun Islam.
Sebagai satu peringatan dan panduan hidup dalam kehidupan, Nabi dalam khutbah haji
terakhir baginda berpesan kepada umat Islam bahawa baginda telah meninggalkan pesaka
yang tidak akan menjadikan mereka sesat iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Baginda juga
berpesan kepada lelaki supaya menjaga amanah khususnya mengenai wanita.
1.2 Zaman Khulafa al-Rasyidin (632-661 M)
Tugas membina dan memperkuatkan lagi umat Islam telah diteruskan oleh generasi pelapis
sahabat-sahabat terpilih seperti Abu Bakar al-Siddiq, Umar Bin al-Khattab, Uthman Bin
Affan dan Ali Bin Abu Talib yang dilantik sebagai khalifah. Khalifah bererti pengganti yang
melaksanakan tanggungjawab pemerintahan dan pentadbiran yang sebelumnya dilakukan
oleh Nabi s.a.w. Perlantikan Abu Bakar al-Siddiq (632-634 M / 11-13 H) sebagai khalifah di
baiah oleh kira-kira 3000 orang yang berada di Masjid Nabawii. Dalam masa
pemerintahannya, beliau terpaksa berdepan dengan golongan yang enggan mengeluarkan
zakat dan nabi-nabi palsu. Beliau juga menghantar tentera diketuai Khalid bin Al-Walid
untuk melindungi orang Islam dari ancaman Rom dan Parsi, dan telah menerima
pandangan Saidina Umar al-Khattab supaya mengumpulkan al-Quran setelah ramai
penghafaz al-Quran mati syahid dalam perang (Perang Yamamah).

Umar al-Khattab (634-644M/13-23H) dilantik menjadi khalifah dengan persetujuan seluruh


kaum muslimin dengan gelaran Amir al-Mukminin. Dalam masa 10 tahun pemerintahannya
beliau berjaya mencapai kejayaan cemerlang dalam semua dasar-dasarnya. Di antara
kemajuan yang telah dibuat oleh beliau ialah;
Pendidikan. Menubuhkan kuttab, penekanan kepada membaca, menulis, menghafal alQuran, praktikal amalan ibadat dan latihan fizikal.
Politik. Perluasan wilayah meliputi Afrika Utara, Asia Minor dan Khurasan. Melantik
gabenor pada wilayah-wilayah yang ditadbir.
Menubuhkan dewan iaitu Jabatan. Antaranya Jabatan Tentera, Jabatan Ganjaran dan
Pengagihan,
Jabatan
Cukai
dan
Jabatan
Polis. Beliau
telah
memberi perhatian serius kepada jabatan tentera seperti rumah-rumah untuk tentera, gaji,
elaun dan lain-lain.
Sosial. Pungutan cukai yang sistematik dapat membantu beliau menyediakan pelbagai
kemudahan asas kepada rakyat seperti jalan raya dan sebagainya.

Uthman Bin Affan r.a (644-656M/23-35H) mentadbir hampir kesemua mengikut apa yang
ditinggalkan oleh khalifah terdahulu. Aktiviti yang paling menonjol dapat dilihat ialah
penulisan al-Quran yang lebih sistematik. Sebanyak 6 salinan dibuat. Ini adalah sumbangan
paling berharga dari beliau yang kekal hingga kini.
Ali Bin Abi Talib k.w. (656-661M/35-40H). Beliau juga telah meneruskan pentadbiran seperti
khalifah sebelumnya. Dalam masa pemerintahannya ,beliau telah berdepan dengan
pemberontak yang menuntut beliau menghukum mereka yang terlibat dengan pembunuhan
Uthman Bin Affan r.a.
Dari penjelasan di atas, dapat dilihat tamadun yang dibangunkan oleh Rasulullah dan
diteruskan oleh Khulafa al-Rasyidin merupakan tamadun terunggul dengan model dan
praktikalnya adalah yang terbaik.
1.3 Kerajaan Bani Umaiyah (661-743M)
Pemerintahan Bani Umaiyah yang diasaskan oleh Muawiyah Bin Abu Sufian berikutan
penyerahan kuasa oleh Hassan Bin Ali kepada Muawiyah.Pemerintahan ini berpusat di
Damsyik. Sumbangan kerajaan Bani Umaiyah dalam politik dapat dilihat dalam sistem
pemerintahan dan pentadbiran.Terdapat empat aspek utama dalam sistem pentadbiran Bani
Umaiyah.
Sistem Khalifah iaitu perlantikan khalifah sebagai ketua pemerintah.

Sistem Wazarah iaitu perlantikan menteri untuk mengetuai sistem pentadbiran negara bagi
kerajaan pusat sementara gabenor dilantik untuk mengetuai pentadbiran wilayah.
Sistem urussetia. Beberapa orang pegawai utama dilantik bagi mengumpulkan rekod,
menguruskan surat-menyurat dan sebagainya.
sistem hijabah (penyekatan). Seseorang pegawai ditugaskan memeriksa orang yang mahu
menemui khalifah, mengawal keselamatan khalifah dan pemegang amanah.
Dalam bidang sosial, ilmu pengetahuan semakin bertambah maju dan Kota Basrah dikenali
sebagai pusat pengajaran dan penyebaran ilmu. Kegiatan keilmuan ini melahirkan ilmuan
seperti Khalil Bin Ahmad (pakar bahasa dan filsologi Arab) dan sibawaiyh (ahli nahu Arab).
Pada masa ini bahasa Arab mencapai kemuncaknya apabila dijadikan sebagai bahasa rasmi
negara. Taraf kesihatan turut diberi perhatian dengan pembinaan hospital pertama di
Damsyik oleh Khalifah al-Walid Bin Abdul Malik. Hospital penyakit kusta telah dibina oleh
Khalifah Umar Bin Abdul Aziz.
Kejayaan dalam pelbagai bidang itu telah menunjukkan kebijaksanaan pihak pemerintahan
Bani Umaiyah dalam merancang, melaksanakan pembaharuan dan menyelaraskan
pentadbiran kerajaannya. Akan tetapi pada peringkat akhir pemerintahan Bani Umaiyah,
penentangan berlaku dari dalam dan luar negara. Pada masa yang sama, khalifah telah
mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap rakyat di samping mengabaikan ajaran
Islam. Pemilihan khalifah mengikut sistem warisan yang diamalkan itu juga ditentang oleh
sebilangan orang Islam khasnya golongan Syiah dan Khawarij. Faktor-faktor di atas telah
menyumbang kepada kejatuhan kerajaan Bani Umaiyah.
1.4 Kerajaan Bani Abbasiyah (750-1258M)

Zaman kegemilangan kerajaan ini adalah pada abad ke-9 Masihi semasa pemerintahan
Khalifah Harun al-Rasyid (786-809M) dan puteranya al-Makmun (813-833M). Pada masa itu
kota Baghdad (pusat pemerintahan kerajaan Bani Abbasiyah) telah memainkan peranan
sebagai pusat intelektual dan penyebaran ilmu. Perkembangan keilmuan itu telah berlaku
melalui penulisan dan penterjemahan karya asing ke dalam bahasa Arab. Di Baghdad telah
dibina Baitul Hikmah iaitu sebuah institusi keilmuan yang diasaskan oleh Khalifah Harun alRasyid dan hanya berkembang luas pada zaman pemerintahan al-Makmun.
Para ulama juga turut menghasilkan tulisan dalam bidang fiqh, tafsir, sejarah dan lain-lain.
Di antara ulama terkenal pada era ini ialah Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Syafii
dan Imam Ahmad bin Hanbal. Pada masa ini orang Islam memainkan peranan besar kepada
peradaban dunia. Mereka telah memelihara warisan ilmu daripada lenyap kerana mereka
telah menerima hasil penulisan itu pada masa Eropah dilanda oleh Zaman Kegelapan iaitu
pada ketika masyarakat mereka kurang menghargai ilmu pengetahuan.
Pada akhir pemerintahan kerajaan Abbasiyah, pemerintahan khalifah menjadi lemah dan
kemudiannya membawa kepada kemunculan kerajaan-kerajaan kecil di kawasan Parsi dan
Turki. Kerajaan ini berakhir pada tahun 1258M apabila ibu kotanya ditawan oleh tentera
Monggol di bawah pimpinan Hulagu Khan.
1.5 Kerajaan Islam di Afrika
Umat Islam dan tamadunnya menguasai dunia selama lebih satu alaf. Selama tempoh masa
itu tamadun Islam telah mewarnai tamadun dunia dan elemen tamadun Islam tersebar
luas ke serata dunia khususnya ke utara benua Afrika dan ke Eropah. Penyebaran tamadun
Islam itu khususnya khazanah ilmu pengetahuannya terjadi di dalam berbagai bentuk dan
cara. Afrika Utara mengalami proses Islamisasi dan menjadi sebahagian dunia Islam
sehingga kini. Beberapa bandar penting di Afrika Utara seperti Kaherah dan Iskandariah di
Mesir, Fez dan Tangiers di Morocco lahir sebagai pusat perkembangan tamadun Islam di
dalam jangka masa tertentu khususnya pada zaman pemerintahan kerajaan Fatimiyah.
Ringkasnya, Islam telah mengurniakan kepada dunia satu pengertian sebenar kepada apa
yang disebut sebagai tamadun. Umat Islam dari Tamadun Islam yang diterima mereka telah
mencipta dan mewujudkan tamadunnya sendiri iaitu satu tamadun yang teragung dengan
segala kepelbagaian pencapaian dan kegemilangannya yang lahir dalam kesatuan. Sejarah
perkembangan tamadun Islam yang bermula pada zaman Rasulullah dan mencapai tahap
yang paling ideal di zaman khulafa al-Rasyidin. Model dan praktikalnya masih tidak dapat
ditandingi hingga ke hari ini.
Sekalipun dikatakan bahawa kegemilangan Tamadun Islam berada di puncak pada zaman
pemerintahan Abbasiyah di Baghdad terutama dalam aspek ilmu pengetahuan sehingga
berjaya menggarap segala sumber kekayaan untuk kepentingan duniawi, namun Islam
melihat kekayaan dan kemewahan duniawi sebagai sebab kepada berlakunya keruntuhan
tamadun sekiranya aspek kerohanian yang mengingatkan manusia kepada alam akhirat
kian terhakis, lebih-lebih lagi dipinggirkan ketika pembangunan manusia sedang rancak
berjalan. Malah tidak dapat dinafikan dalam zaman-zaman kegemilangan ilmu

pengetahuan, masyarakat Islam menghadapi krisis demi krisis sehingga berlaku perpecahan
hingga akhirnya saat keruntuhan tidak dapat dielakkan lagi.

2. Sumbangan Tamadun Islam Andalusia/Sepanyol Kepada Eropah


2.1. Pembukaan Andalusia
Andalusia atau dikenali juga sebagai al-Andalus atau Sepanyol adalah istilah yang diberikan
oleh ahli geografi Islam abad pertengahan. Ia merujuk kepada wilayah pemerintahan Islam
di Semenanjung Iberia yang meliputi negeri Portugal dan Sepanyol moden. Sebenarnya asalusul nama Andalusia tidak diketahui secara tepat tetapi mungkin diambil daripada
perkataan Vandalusia yang bererti Tanah Vandal iaitu satu suku bangsa Eropah yang
mendiami rantau tersebut sekitar abad ke 5 Masihi. (Encylopedia Brittanica 1969: 889).
Suku kaum Eropah dan Barbar telah mendiami negeri itu sejak dari zaman awal lagi
menurut catatan sejarah. Manakala Orang Phonecia dicatatkan telah menubuhkan sebuah
kerajaan mereka di Andalusia pada awal kurun ke-10 sebelum Masihi. Seterusnya pada
kurun pertama Masihi datang pula orang Romawi dan diikuti oleh suku kaum Visigoth
yang menerajui politik Andalusia sehingga tahun 92H/711M. (Chejne 1974: 3-4).
Keadaan social, ekonomi dan politik Andalusia terutamanya ketika di bawah pemerintahan
Visigoth amat buruk. Kesan daripada pentadbiran yang tidak teratur, perasaan tidak puas
hati daripada rakyat golongan bawahan dan keadaan yang mengecewakan telah meletakkan
negara dalam keadaan porak peranda. Andalus melalui zaman keruntuhan yang tidak
mungkin dapat lagi dibendung oleh pemerintah-pemerintah Visigoth. Kesemua ini
merupakan faktor kepada keruntuhan kerajaan Visigoth di Andalus. Ini terbukti apabila
kerajaan Visigoth dikalahkan oleh tentera-tentera Islam yang hanya berjumlah 12,000 orang
dengan mudah pada 92H/711M.
Misi kejayaan ini dibawa oleh Musa Bin Nusair, Gabenor Islam di Utara Afrika yang telah
mengutuskan Tarif Bin Malik dan telah berjaya menawan Algeciras. Berikutnya beliau
mengutuskan Tariq Bin Ziyad yang telah berjaya menawan keseluruhan bumi Andalus.
Setelah Islam bertapak di Andalus, orang Yahudi dari Timur mulai mencurah masuk.
Cordova menjadi tumpuan utama mereka kerana ia merupakan pusat kegiatan ekonomi,
politik, sosial dan yang paling ketara dalam aspek ilmu pengetahuan. Dalam jangka waktu
yang singkat sahaja agama Islam telah tersebar luas di kalangan penduduk tempatan
Andalus. Ini mungkin disebabkan sikap toleransi Islam sendiri terhadap penganut Kristian.
Mereka tidak dipaksa memeluk agama Islam tetapi hanya perlu membayar cukai jizyah
mengikut kadar kemampuan mereka.
Sikap toleransi pemerintah Islam serta interaksi di antara orang Islam dengan orang Kristian
mengakibatkan berlakunya asimilasi penganut Kristian Andalusia dengan budaya
Arab/Islam. Contohnya ramai orang Kristian menukar nama mereka mengikut nama orang
Arab, meniru cara hidup lahiriah orang Islam seperti berkhatan, meniru resipi masakan,
bentuk pakaian dan sebagainya. Di samping itu, penggunaan istilah-istilah Arab telah

menjadi kebiasaan kepada mereka dan pengajian bahasa Arab mengambilalih pengajian
bahasa Latin. (Arnold 1913: 136).
Ringkasnya, kehadiran Islam telah mengubah corak dan sistem masyarakat Andalusia
sekaligus melemahkan penguasaan bahasa Latin di kalangan masyarakat tempatan sehingga
memaksa ahli agama Kristian menterjemahkan buku-buku agama Kristian ke bahasa Arab.
2.2 Faktor-faktor Perkembangan Keilmuan di Andalusia
Andalusia sering juga disebut Andalus pada suatu ketika dahulu (awal abad ke 8 Masihi
sehingga penghujung abad ke 5 Masihi) telah berjaya meletakkan taraf umum kebudayaan
masyarakatnya pada tahap yang paling tinggi sehingga hampir kesemua penduduknya
mengenal huruf. Pada waktu yang sama masyarakat Kristian Eropah yang berjiran dengan
Andalusia masih lagi berada di Zaman Kegelapan (Dark Ages).
Terdapat beberapa faktor yang membantu suasana perkembangan keilmuan di Andalus, di
antara yang dapat dikenal pasti adalah seperti berikut:
i. Gesaan Agama Islam
Islam menegaskan umatnya untuk mengambil berat terhadap kemajuan ilmu pengetahuan.
Melalui al-Quran dan al-Sunnah, umat Islam digesa supaya berusaha menambah ilmu
pengetahuan yang sedia ada dengan menggunakan akal fikiran yang telah dikurniakan oleh
Allah. Umat Islam wajib mempelajari semua bidang ilmu yang berkait dengan keperluan
dan kepentingan mesyarakat Islam. Tanpa penguasaan yang sewajarnya terhadap ilmu-ilmu
tersebut tidak akan memungkinkan umat Islam mencapai kestabilan dan keselesaan dalam
kehidupan sebagai individu, masyarakat dan negara.
Kehadiran Islam di Andalus telah mencetuskan suasana keilmuan. Ramai kalangan umat
Islam yang berhijrah ke Andalus memainkan peranan penting dalam bidang perkembangan
intelektual. Andalus berjaya menghasilkan ramai cendikiawan dan muncul sebagai sebuah
obor yang menyinari Eropah yang berada dalam kegelapan itu. Sejarah mencatatkan bahawa
di bawah pemerintahan dan pentadbiran Islam hampir tidak ada rakyat Andalus yang buta
huruf. Malah umat Islam dan masyarakat Andalus sama-sama bergabung tenaga dan terus
mengorak langkah ke arah kemajuan hidup yang lebih menyeluruh mencakupi seluruh
dimensi spritual, fizikal dan intelektual.
ii. Galakan Pemerintah
Pemerintah-pemerintah Islam di Andalus mengambil berat dalam perkembangan dan
kemajuan kegiatan intelektual dalam berbagai bidang. Mereka berusaha menjemput dan
mengumpulkan para cendikiawan dari seluruh dunia untuk menampung keperluan institusi
keilmuan yang didirikan dihampir setiap bandar di Andalus. (Ahmad Amin 1969: 15).
Pada zaman pemerintahan Abdul Rahman II (822-852 M), banyak perubahan dan kemajuan
telah dilakukan dan beliau dianggap sebagai penaung dan pengembang kegiatan kesenian
dan kebudayaan di Andalus. Beliau juga telah mendirikan banyak institusi pengajian di
setiap kota di Andalus dengan tujuan menyebarkan ilmu pengetahuan di kalangan
masyarakat umum. Sarjana-sarjana daripada luar dibawa masuk untuk mengajar di

institusi-institusi tersebut dan kesan daripada usaha beliau itu pendidikan Arab telah
berkembang pesat di seluruh Andalus. (Irving 1973: 140).
Pada zaman pemerintahan Abdul Rahman III (912-961 M) Andalus mula mencapai ke
puncak keagungan dan kecemerlangannya dalam berbagai aspek kehidupan seperti
pentadbiran, sosio-ekonomi dan perkembangan ilmu pengetahuan. Di bawah pemerintahan
beliau Andalus mencapai puncak kemakmuran ekonomi. Beliau juga berjaya menyatukan
masyarakat Andalus yang terdiri daripada berbagai bangsa dan suku kaum menjadi satu
umat yang menghasilkan pencapaian tinggi. (Irving 1973: 166).
Berikutnya Khalifah al-Hakam II (961-976 M) telah menumpukan sepanjang lima belas
tahun kekuasaannya menggalakkan perkembangan kegiatan keilmuan di Andalus. Pada
zaman kekuasaannya Universiti Cordova diperbesarkan dan dipertingkatkan peranannya
hingga muncul sebagai sebuah universiti terbaik dan terbesar di dunia. (S.H. Mahmud 1960:
71). Kebudayaan masyarakat Andalus mencapai tahap tertingginya di bawah pemerintahan
al-Hakam II. Menurut yang dilaporkan oleh Dozy di dalam bukunya Spanish Islam,
hampir semua penduduk Andalus tanpa mengira lapisan masyarakat boleh menulis dan
membaca dengan baik. (Dozy 1972: 455)( Irving 1973: 114).
Begitulah peranan yang dimainkan oleh pemerintah-pemerintah Islam di Andalus, mereka
begitu berminat dan cintakan ilmu sehingga masjid dan istana turut dijadikan tempat
pembelajaran.
iii. Kesungguhan Ulama
Faktor yang mempercepatkan perkembangan ilmu pengetahuan di Andalus ialah
kesungguhan para ulama. Semasa pembukaan Andalus para cendikiawan dan ulama Islam
telah sama-sama datang sebagai tentera. Mereka membawa bersama ilmu dan pengalaman
untuk dikembangkan dan dicurahkan kepada penduduk Andalus. Pada peringkat awal,
ulama berperanan menerangkan akidah dan menyelesaikan soal-soal asas yang dihadapi
seperti ilmu syariat dan bahasa. Kemudian mereka turut menyebarkan ilmu pengetahuan
dan memberikan galakan kepada masyarakat untuk mendapatkan ilmu. Contohnya Ibn
Hazm (994-1064 M) yang merupakan ilmuan Islam yang agong di Andalus. Beliau juga
seorang ahli fikir, sasterawan dan juga hakim. Beliau mampu menguasai pelbagai bidang
ilmu. Malah terdapat ramai lagi ulama dan cendikiawan Islam yang turut memberi
sumbangan besar dalam proses perkembangan ilmu pengetahuan ini seperti Ibn Firnas
(888M - mati) dan Yahya al-Ghazal. (865 - mati). Kepesatan kegiatan intelektual ini juga
disebabkan ulama dan ilmuan Islam terpaksa menghadapi cabaran ilmiah daripada
pemeluk Islam yang baru. Hujah-hujah, falsafah dan ilmu logik mereka yang kukuh
terpaksa ditangani dengan hujah-hujah yang lebih mantap.
iv. Sikap Masyarakat
Masyarakat Islam Andalus menaruh perhatian besar terhadap kegiatan keilmuan. Minat
mereka dalam mencari dan mendalami berbagai bidang ilmu pengetahuan amat dikagumi.
Setiap lapisan masyarakat Andalus bermula daripada para pemerintah sehingga masyarakat
awam tidak kira lelaki dan wanita, sama-sama berlumba-lumba untuk mempelajari dan
mendalami pelbagai cabang ilmu pengetahuan. Minat mereka terhadap pelajaran tidak

terbatas atau cukup di dalam negara mereka sahaja, tetapi mereka sanggup merantau dan
mengembara semata-mata untuk mencari dan menambah ilmu pengetahuan.
Masyarakat Andalus juga amat berminat dalam pengumpulan buku-buku ilmiah daripada
pelbagai bidang. Minat mengumpulkan buku ini dimiliki oleh setiap lapisan masyarakat di
Andalus termasuk wanita dan golongan hamba. Bagi golongan wanita yang miskin, mereka
juga tidak melepaskan peluang untuk melibatkan diri dalam bidang keilmuan dengan
bekerja sebagai penyalin kitab suci al-Quran dan buku-buku ilmiah lain.
Ternyata faktor-faktor yang disebutkan di atas iaitu gesaan ajaran Islam kepada mencari
ilmu gandingan mantap para ulama dan pemerintah dalam menyemarakkan lagi kegiatan
intelektual dalam masyarakat dan sikap masyarakat yang cintakan ilmu terbukti menjadi
suatu prasarana dalam menyemarakkan lagi kegiatan intelektual di dunia Islam khususnya
di Andalus.
2.3 Cordova Sebagai Pusat Kegiatan Keilmuan
Kedatangan Islam ke Andalus bukan sahaja telah membawa perubahan kepada struktur
politiknya, malah telah memandu Andalus ke mercu kejayaan cemerlang yang tidak boleh
ditandingi didalam segala bidang kehidupan. Khususnya dalam bidang pertumbuhan dan
perkembangan intelektual.
Penguasaan Islam di Andalus selama hampir lapan abad sebenarnya telah memberikan
pengertian yang amat besar kepada perkembangan kegiatan intelektual dalam berbagai
bidang bukan sahaja kepada masyarakat Andalus, malah kepada seluruh masyarakat Barat
dan dunia. Cordova yang menjadi ibu kota pemerintahan Islam di Andalus pada zaman
kemuncaknya telah muncul sebagai sebuah kota ilmu pengetahuan yang ulung. Ia menjadi
tumpuan para sarjana dan pelajar dari segenap pelusok dunia. (Imamuddin 1965: 184).
Institusi pendidikan tumbuh dengan banyaknya di seluruh Andalus. Boleh dikatakan semua
bandar utama mempunyai universitinya yang tersendiri, sementara bandar-bandar kecil
mempunyai sekolah-sekolah. Masjid-masjid juga turut berfungsi sebagai pusat
pembelajaran. Dicatatkan juga bahawa pada zaman pemerintahan al-Hakam II, di seluruh
Andalus terdapat sebanyak seribu buah universiti yang dilengkapi dengan perpustakaan
yang baik. (Kabir Ahmad Khan 1982: 312).
Hasil daripada banyaknya institusi pendidikan ini, Cordova yang juga merupakan ibukota
pemerintahan Islam di Andalus pada waktu itu muncul sebagai pusat pengajian dan
kebudayaan yang terulung di Eropah bagi orang-orang Islam, Kristian dan Yahudi. Para
pelajarnya terdiri daripada dalam dan luar negeri. Mereka boleh mempelajari berbagai-bagai
bidang ilmu dan di mana-mana institusi yang terdapat dengan banyaknya di kota Cordova.
Universiti Cordova muncul sebagai salah sebuah institusi pengajian tinggi yang paling
terkenal di zamannya. Hanya Universiti al-Azhar di Mesir dan Universiti Nizamiyyah yang
setanding dengannya. (Abdul Aziz Salim 1962: 296).
2.4 Cara Penyebaran Tamadun Islam Ke Eropah

Penyebaran Tamadun Islam ke Eropah melalui berbagai cara. Cara terpenting berlakunya
penyebaran tersebut ialah melalui Andalus iaitu dari 92-897H bersamaan 711-1492 M. Tiga
golongan utama yang berperanan besar menyebarkan nilai-nilai tamadun Islam ini ke Barat
ialah masyarakat Kristian Andalus yang dikenali dengan sebutan Mozarab, golongan
pedagang dan para pelajar Kristian Eropah yang belajar di unversiti-universiti Andalus.
Cara terpenting berlakunya proses pemindahan khazanah ilmu pengetahuan dan teknologi
Islam ke Eropah ialah melalui aktiviti penterjemahan.
i. Orang Mozarab
Mozarab ialah panggilan kepada masyarakat Kristian. Ia diambil dari bahasa Arab
mustaribun (orang-orang yang diarabkan) iaitu orang Kristian yang tertarik dan
mengamalkan beberapa aspek kebudayaan Arab dan tamadun Islam. Penumpuan dan
pemerhatian mereka terhadap karya-karya Islam menyebabkan mereka lebih menguasai
bahasa Arab berbanding dengan bahasa Latin. Sebagai bukti, pada tahun 1049 M, John of
Seville terpaksa mengusahakan terjemahan Bible ke bahasa Arab untuk digunakan oleh
penganut-penganut Kristian Andalus. Orang Mozarab telah membelanjakan wang yang
banyak untuk membina perpustakaan-perpustakaan besar bagi menyimpan buku-buku
Arab. Perkembangan ini telah menimbulkan kebimbangan dan bantahan dari Bishop
Alwaro. Dengan penguasaan yang meluas terhadap karya-karya Islam golongan ini telah
menjadi sebahagian daripada agen perantara memindahkan elemen-elemen tamadun Islam
Andalus kepada masyarakat Kristian Eropah. (Azam 1991: 87).
ii. Pedagang
Pedagang-pedagang Islam Andalus telah membuat hubungan dagang dengan negara
Kristian sama ada melalui perdagangan darat dan juga laut. Barang dagangan dari Andalus
menguasai pasaran di setiap bandar besar Eropah. Melalui kontrak perdagangan ini sistem
nilai dan keilmuan masyarakat Islam Andalus berjaya dikuasai oleh masyarakat Kristian
Eropah. Ini kerana sudah menjadi lumrah dunia, bangsa yang menguasai perdagangan akan
mempengaruhi bangsa-bangsa lain yang mempunyai kontrak perdagangan dengannya.
(Imamuddin 1965: 186).
iii. Pelajar Kristian Eropah
Para pelajar Kristian Eropah ini dihantar oleh negara-negara Eropah seperti England,
Perancis dan Jerman ke Andalus untuk menuntut ilmu seperti sains, kesenian, pertukangan
dan lain-lain. Mereka juga menghantar pembesar-pembesar dan putera-putera mereka
untuk melanjutkan pelajaran di Andalus serta mendalami dan mempelajari setiap aspek
kemajuan yang dimiliki oleh orang-orang Islam.
Menurut Petter antara rombongan yang tiba ke Andalus ialah Elizabeth iaitu sepupu kepada
Louis IV dari Perancis dan Putera Dubant dari England sementara Jerman pula menghantar
perutusan diketuai oleh menterinya yang bernama William. Ketika ini Universiti Cordova
yang diasaskan oleh Abdul Rahman III merupakan universiti terbaik ketika itu. Ia bukan
sahaja menampung pelajar-pelajar Muslim, tetapi juga pelajar-pelajar Kristian dan Yahudi
dari seluruh pelusuk dunia sama ada Eropah, Afrika dan juga Asia.

Pada masa pemerintahan Hisham I, Putera Philip telah menghantar pelajar-pelajarnya untuk
mempelajari teknik-teknik dan metodologi pembelajaran setiap disiplin ilmu. Secara tidak
langsung ilmu-ilmu Islam telah tersebar dengan begitu cepat dan pesat. Ia bukan sahaja
menerangi dunia Islam tetapi turut membawa nafas baru kepada Eropah yang masih dalam
kegelapan.
iv. Aktiviti Penterjemahan
Pemusuhan politik dan agama di antara raja-raja Kristian dengan Islam tidak pula
memberikan kesan negatif kepada hubungan kebudayaan. Malah setiap kali mereka berjaya
menawan wilayah-wilayah Islam, raja-raja mereka memberikan galakan supaya membuat
pengajian dan penelitian terhadap buku-buku dan manuskrip-manuskrip Islam yang
berjaya mereka perolehi. Mereka juga turut mengasaskan sekolah dan universiti khusus
untuk menterjemah buku-buku Arab ke bahasa Latin dan juga memberikan pendidikan
Arab-Latin kepada penganut-penganut Kristian. Sekolah Arab-Latin di Toledo dan Seville
telah memainkan peranan penting di dalam pengaliran ilmu pengetahuan Islam ke Eropah.
(Azam 1991: 88).
Dengan lahir banyaknya aktiviti penterjemahan ini maka ilmu pengetahuan serta sains dan
teknologi Islam mulai tersebar luas ke seluruh Eropah. Pengajian ilmu perubatan di Eropah
bermula di Salerno. Sekolah perubatan pertama telah ditubuhkan oleh Constantin yang
mendapat bantuan dari guru-guru Arab. Dilaporkan bahawa Constantin telah mengembara
selama 36 tahun ke seluruh negara Islam untuk mendalami pengetahuan di dalam berbagai
bidang. Beliau juga turut menterjemah karya-karya Arab ke bahasa Latin. (Imamuddin 1965:
190).
Montpellier dan diikuti oleh Paris, muncul sebagai pusat pengajian ilmu perubatan yang
terkenal di Eropah. Bahasa Arab yang telah menjadi bahasa ilmu pengetahuan telah diajar di
beberapa buah unversiti di Eropah dan juga di sekolah-sekolah, terutamanya di Toledo,
Narbonne, Naples, Bologna dan Paris. Hasil-hasil karya sarjana agung Islam dalam berbagai
bidang seperti al-Razi, Ibn Sina, Ibn Zuhr dan Ibn Rushd yang telah diterjemahkan ke
bahasa Latin telah dijadikan sebagai teks utama di universiti-universiti mereka sehinggalah
ke abad 16 Masihi. Penghujung abad ke 16 dan 17M barulah pengaruh bahasa Arab
kelihatan berkurangan dalam bidang falsafah dan sains tabii, iaitu setelah sarjana-sarjana
Barat seperti Copernicus, Vesalius, Michael Servatus, Gallileo dan lain-lain lagi membawa
arah baru dalam bidang tersebut. (Chejne 1974: 358).
2.5 Peranan Andalus Kepada Kebangkitan Eropah
i. Kebangkitan Eropah
Kebangkitan Eropah bermula ketika orang Islam mulai melalui zaman kemerosotan dan
kemundurannya. Negara-negara Eropah mula sedar dan mula mengejar kemajuan dalam
berbagai bidang seperti politik, ekonomi dan sosial dan akhirnya berjaya menewaskan orang
Islam di Andalus pada abad ke 15 M. Mereka telah belajar daripada orang Islam dalam
membantu proses pemodenan masyarakat Kristian Eropah yang jauh tertinggal. Mereka
berbaik-baik dengan orang Islam Andalus dan bergantung kepada jasa-jasa mereka untuk
memindahkan khazanah-khazanah ilmu Islam ke Eropah. Mereka mula mengkaji faktorfaktor yang telah membawa kepada kejayaan Islam.

Abad ke 11M menyaksikan perubahan positif dalam bidang ekonomi di negara-negara


Kristian Eropah. Tanda-tanda pemulihan ekonomi ini adalah dalam pertambahan
penduduk, pembukaan tanah untuk kegiatan pertanian, kemunculan golongan pedagang
yang bergantung kehidupan mereka pada perdagangan dua jalinan semula hubungan
Eropah Barat dengan Laut Mediterranean yang tertutup pada Zaman Kegelapan (Dark Ages).
Venice di Itali muncul sebagai pusat perdagangan penting di Eropah Selatan. Mereka
mewujudkan hubungan dagang dengan pedagang Islam di Timur. Aktiviti ini berkembang
ke Lambardy dan Tuscany tempat berkembangnya bandar-bandar terkenal saperti Milan,
Florence dan Siena. Pedagang Kristian mula menguasai perdagangan dan berusaha
menyingkirkan kapal-kapal dagang Islam di bahagian barat Mediterranean. Pemulihan
ekonomi juga berlaku di bahagian utara dan hampir di semua kawasan di Eropah Barat.
Institusi kewangan dan perbankan mula berkembang khususnya di Genoa dan Tuscany di
Italy. (Sivachandralingam 1996: 99-109).
Pada abad ke 12 dan ke 13M, beberapa buah universiti mula didirikan di Eropah. Universiti
Oxford dibangunkan pada tahun 1167M, Universiti Cambridge pada tahun 1207M dan
Universiti Pradua pada tahun 1222M. Selain unversiti-universiti ini, kebanyakan unversiti
lain di Eropah didirikan selepas tahun 1250M. (Azam 1990: 3). Pada penghujung abad ke
12M terdapat enam buah universiti di Eropah dan menjelang tahun 1500M jumlahnya
meningkat kepada 76 buah. (Sivachandralingam 1996: 108). Sementara kegiatan penulisan
ilmiah pula mulai giat dilakukan di Eropah pada tahun 1647M iaitu setelah tertubuhnya
Academy Experiment di Itali. Seterusnya di London ditubuhkan pula Royal Society of
London pada tahun 1662M dan di Perancis dibangunkan French Academy of Science pada
tahun 1666M.Kebanyakan sarjana Kristian Eropah yang menjadi pelopor pengembangan
ilmu di negara mereka pernah berguru dengan sarjana Islam khususnya di Andalus. (Azam
1990: 3).
Meskipun sarjana Kristian Eropah banyak bergantung kepada kepakaran sarjana muslim
dalam merintis jalan kebangkitan Eropah, namun tidak ramai penulis sejarah sains Barat
yang menonjolkan sumbangan sarjana-sarjana Muslim dalam penulisan mereka. Ini kerana
kebanyakan mereka adalah penulis anti-Islam yang amat fanatik. Mereka menafikan segala
sumbangan besar saintis Muslim dan beranggapan bahawa mereka (saintis Muslim) itu
hanyalah sebagai penterjemah karya-karya yang telah dihasilkan oleh saintis dan ahli
falsafah Yunani. Namun begitu ada juga segelintir sarjana mereka yang mengaku secara
jujur dan menghargai sumbangan sarjana Muslim.
Sesungguhnya sumbangan yang diberikan oleh sarjana-sarjana Muslim terhadap khazanah
ilmu pengetahuan dunia tidak terhitung banyaknya dan tidak ternilai harganya.
ii) Iktibar Dari Sejarah
Orang Islam Andalus (Sepanyol) telah berjaya mencipta sejarah dari segi politik dan
peradaban yang tinggi dalam bidang keagamaan, intelektual dan senibina. Peradaban Islam
adalah berasaskan akidah. Akidah Islam adalah berbentuk universal, global dan integral.
Kegiatan senibina berkembang pesat di Sepanyol. Masjid merupakan institusi pertama yang
mencerminkan seni ukir dan seni bina Islam. Masjid yang teragung di Sepanyol ialah Masjid

Cordova. Istana khalifah juga mencerminkan seni ukir dan seni bina Islam. Istana yang
paling indah dan agung ialah Istana al-Hamra (Alhambra) yang terletak di bandar Granada
(Gharnatah).
Aspek perbandaran merupakan ciri terpenting dalam kehidupan orang Islam di Sepanyol.
Terdapat banyak bandar orang Islam yang baru dibina atau sudah sedia ada tetapi
diperbaharui di Sepanyol seperti bandar Cordova, Granada dan Seville. Di bandar-bandar
ini terdapat institusi-institusi agama dan pendidikan dan di sini juga tumbuh dan
berkembangnya peradaban orang Islam. Usaha membina dan memajukan bandar-bandar
Sepanyol merupakan suatu taktik dan strategi penting bagi mengukuhkan pengaruh Islam
dari segi politik, ekonomi, sosial dan pendidikan. Tegasnya dari bandar orang Islam mula
berkuasa dan mengambil alih pemerintahan dan diperluaskan ke desa-desa.
Di bandar terdapat ramai penduduk dan kemudahan-kemudahan yang diperlukan bagi
menjalankan aktiviti-aktiviti untuk keperluan masyarakat dan negara. Pembinaan kota
Cordova, Seville dan Granada mencerminkan kegemilangan tamadun Islam di Sepanyol.
Namun terdapat juga aspek-aspek negatif dari kehidupan di bandar. Ciri-ciri kebudayaan
dan kemewahan yang terdapat di bandar boleh membawa keruntuhan akhlak
penduduknya. Kerana itu Allah mengingatkan tentang keburukan penduduk bandar yang
sering melakukan kerosakan di bumi. Firman Allah bermaksud:
Dan di bandar (tempat tinggal kaum Thamud) itu ada sembilan orang yang semata-mata melakukan
kerosakan di bumi (dengan berbagai-bagai maksiat) dan tidak melakukan kebaikan sedikit
pun. (Surah al-Naml ayat 48)
Mereka yang tinggal di bandar termasuklah kaum elit dan raja. Firman Allah yang
bermaksud:
Sesungguhnya raja-raja apabila mereka memasuki sesebuah kampong mereka membinasakannya dan
penduduknya yang mulia dijadikan hina, dan demikian pulalah yang akan mereka lakukan. (Surah
al Naml ayat 34)
Pengaruh budaya Barat yang tersebar luas di kawasan bandar Sepanyol telah memberi kesan
negatif terhadap kehidupan penduduknya. Ramai dikalangan pemimpin Islam yang
terjerumus ke lembah kehinaan, mereka lebih mementingkan hiburan, keseronokan dan
kebendaan daripada menjalankan tugas dan tanggungjawab terhadap masyarakat dan
negara. Keadaan ini telah menimbulkan sifat-sifat angkuh, tamak dan mementingkan diri
sendiri. Justeru itu timbul perbalahan dan akhirnya berpecah sesama sendiri. Dalam
keadaan berpecah ini umat Islam telah kehilangan kekuatan politik dan menjadi semakin
lemah. Perbalahan dan peperangan sesama sendiri mengakibatkan kerugian besar dari segi
nyawa dan harta benda.
Orang Kristian telah mengambil kesempatan daripada perpecahan yang berlaku ini. Pada
bulan Julai 1212M tentera Salib (Kristian) dari Castile, Leon, Navarre dan Aragon telah
bersatu tenaga untuk menyerang kerajaan al-Muwahhidun dan wilayah-wilayah lain yang
diperintahkan oleh orang Islam. Tentera Salib telah meraih kemenangan besar dalam
peperangan di Los Navas de Tolosa. Kemenangan tentera Salib ini merupakan titik tolak

kejatuhan pemerintahan Islam di Andalusia (Sepanyol) kerana selepas itu satu demi satu
wilayah Islam jatuh ke tangan mereka. (Mahayuddin 1990: 222).
Orang Kristian yang dilihat pada lahirnya baik dan jujur, mempunyai perancangan dan niat
jahat terhadap Islam. Mereka sentiasa mencari peluang untuk memusnahkan orang Islam.
Perancangan ini telah dilaksanakan, sedang dilaksanakan dan terus dilaksanakan pada
masa-masa akan datang.
3. Pengaruh Tamadun Islam Dalam Ilmu Pengetahuan
Ajaran Islam yang menekankan betapa pentingnya ilmu pengetahuan telah menjadikan
umatnya mampu menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Mereka mampu
menghasilkan karya-karya sendiri dan mampu menyumbang dan menyebarkan ilmu-ilmu
itu kepada masyarakat di seluruh pelusuk dunia. Selama beberapa abad umat Islam
menjuarai dunia menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Beberapa disiplin ilmu baru
telah dikembangkan dan beberapa penemuan baru telah ditemui hasil daripada
penyelidikan yang dilaksanakan secara berterusan dalam bidang-bidang sains dan
teknologi, sains kemanusiaan dan sosial dan lain-lain. Kewujudan dan perkembangan
pelbagai disiplin ilmu ini telah mempengaruhi dunia. Pada waktu itu dunia khususnya di
Eropah berada di Zaman Kegelapan. Sehingga kini penemuan sarjana Islam masih dikaji,
dipelajari dan dihayati sama ada secara langsung atau tidak, diakui atau dinafikan.
3.1 Sumber, Prinsip dan Matlamat Keilmuan Islam
a. Sumber
Sumber ilmu pengetahuan adalah;
i. Al-Quran
ii Al-Sunnah
iii Al-Ijtihad
Al-Quran:
Terdapat banyak ayat-ayat yang menyuruh manusia menyingkap tanda-tanda kebesaran
Allah s.w.t, menggesa manusia mempelajari dan mengembangkannya. Ada dalam bentuk
umum dan ada dalam bentuk khusus.
Terdapat ayat-ayat khusus yang membabitkan disiplin tertentu seperti:
i. Astronomi; al-Anbiya: 23, al-Anam: 97, Yasin: 38-40 dan lain-lain.
ii. Matematik; al-Nisa: 11-12.
iii.Biologi; alHajj: 5, al-Alaq: 2 dan lain-lain.
iv. Fizik; al-Ala: 1-3, Luqman: 20.
v. Kimia; al-Rahmah: 7-9, al-Rad: 3 dan lain-lain.
Al-Sunnah:
Hadith-hadith Nabi juga ada menerangkan, menggesa dan menganjurkan pencarian ilmu
serta melakukan segala urusan dengan cara yang sesuai dengan kepakaran yang dimiliki
seperti sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud;
Kamu lebih tahu tentang urusan dunia kamu.

Al-Ijtihad:
Penggunaan akal yang bijak telah menghasilkan ilmu-ilmu baru. Ini sesuai dengan tuntutan
mencari ilmu dalam Islam. Menurut Imam al-Ghazali, tuntutan mencari ilmu adalah
kewajipan keagamaan yang dibahagikan kepada fardhu ain dan fardhu kifayah.

i.

b. Prinsip Keilmuan
Ia mempunyai tiga prinsip:
Tauhid
Segala disiplin ilmu mestilah terikat dengan ilmu tauhid iaitu dengan menjadikan maklumat
dan ilmu itu dirujukkan kepada al-Quran, al-Sunnah dan sumber-sumber muktabar yang
lain.

ii. Berasaskan hiraki ilmu


Dari sudut hiraki ilmu, ilmu-ilmu wahyu yang merupakan ilmu teras atau dasar yang
merupakan ilmu yang tinggi kedudukannya. Ilmu-ilmu fardhu kifayah pula merupakan
ilmu-ilmu yang lebih bersandarkan akal. Oleh itu ia di tempat kedua dari segi hirakinya.
iii. Kesepaduan ilmu
Idea dualisme hanya akan memberi kekeliruan dan mampu sekadar mencapai matlamat
jangka pendek sahaja. Sebaliknya kesepaduan ilmu akan berkesinambungan dan seterusnya
mencapai kedudukan yang paling tinggi iaitu keredhaan Allah s.w.t. Akidah tauhid harus
menjadi paksi atau tunjang kepada ilmu-ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah.
c. Matlamat Ilmu Dalam Islam
Matlamat ilmu dalam Islam harus berlegar kepada beberapa tujuan tertentu iaitu:
i. Untuk mengenali Yang Maha Pencipta iaitu Allah. Ini merupakan tonggak matlamat
segala ilmu yang ada di atas muka bumi ini.
ii. Untuk mengetahui bagaimana kehidupan sebenar yang merupakan ibadat kepada
Allah.
iii. Untuk mengatur kehidupan beribadah menurut kepercayaan akidah yang sebenar.
iv. Untuk menguruskan dan mentadbir alam sebagai khalifah Allah.
4. Pengaruh Tamadun Islam Kepada Ilmu Pengetahuan
Seperti yang ditegaskan bahawa bukti-bukti pencapaian Tamadun Islam dalam pelbagai bidang ilmu
pengetahuan yang menyerikan zaman kegemilangan Islam adalah lahir dari ajaran Islam itu sendiri
yang telah diolah oleh pemikir-pemikir Islam. Ia menjadi rebutan oleh pencinta-pencinta ilmu terutama
dari blok Eropah dan Barat. Hal ini boleh diperhatikan beberapa kesan pengaruh tamadun Islam
terhadap dunia Eropah dan Barat dan dunia seluruhnya, antara lain:

i. Penubuhan Pusat Pengajian Tinggi Islam


Kaum muslimin amat tekun mengkaji isi kandungan al-Quran dan al-Hadith sejak dari
permulaan Islam lagi. Di samping ketekunan beribadat, mereka juga tidak ketinggalan
dalam usaha penemuan ilmu-ilmu umum baru yang lain. Kesemua ini bertujuan bagi
kepentingan umat manusia, baik untuk keselesaan hidup di dunia mahupun mencari
kebahagian di akhirat. Dengan sebab itu, lahir para ilmuan dalam pelbagai bidang tersebar
di seluruh pelosok dunia Islam. Pemimpin Islam telah mengambil inisiatif untuk

mengumpul para ilmuan di suatu tempat dan diberi upah bagi mereka yang mengajar dan
membuat penyelidikan dari semasa ke semasa. Akhirnya tempat itu menjadi Pusat Pengajian
Tinggi Islam. Berbagai lapisan masyarakat datang ke tempat itu sama ada dari dalam atau
luar negara seperti pelajar-pelajar dari Eropah untuk menimba pelbagai ilmu pengetahuan
dari tokoh-tokoh terkenal.
ii. Kewujudan Institusi Penterjemahan
Orang-orang Eropah yang menetap di negeri-negeri Islam mengambil unsur-unsur
Tamadun Islam kemudian mereka bawa pulang ke negeri masing-masing. Sejak mereka
mengenali kecemerlangan Tamadun Islam sekitar abad ke 11 Masehi, maka semakin tinggi
keinginan mereka untuk menyerap tamadun dalam kehidupan mereka sehari-hari. Mereka
berfikir bagaimana cara supaya ilmu pengetahuan yang amat berguna itu masuk lebih cepat
ke Eropah. Akhirnya golongan ilmuan di kalangan mereka sependapat bahawa cara yang
terbaik ialah penterjemahan.
Sebahagian besar usaha penterjemahan dilakukan oleh ilmuan di Universiti Islam di
Sepanyol, Sicily dan ilmuan Islam di Universiti Islam di Timur. Usaha penterjemahan buku
berjalan dengan pesat kerana mereka berkemampuan menterjemahkan buku-buku bahasa
Arab ke bahasa Latin dan Eropah. Pada mulanya mereka hanya menterjemah ilmu-ilmu
falsafah sahaja kemudian kegiatan ini diteruskan ke bidang-bidang sains. Buku-buku hasil
karya ilmuan Islam itu dijadikan rujukan di pusat-pusat pengajian mereka di Eropah.
iii. Penubuhan Universiti Pertama di Eropah
Penubuhan universiti yang pertama di Eropah merupakan inisiatif daripada pelajar-pelajar
Kristian Eropah yang telah tamat pengajian mereka di Timur (Baghdad) dan di Barat
(Sepanyol). Penubuhan universiti tersebut juga ada kaitan dengan Perang Salib kerana
berlaku pemindahan ilmu pengetahuan dan kebudayaan Islam serta bahan-bahan ilmiah
lain yang dibawa oleh tentera-tentera salib pulang ke negara mereka. Model universitiuniversiti yang dibangunkan di negara mereka adalah merupakan tiruan daripada institusiinstitusi pengajian tinggi Islam di Sepanyol.
iv. Penggunaan Istilah Arab/Islam dalam istilah saintifik di Barat
Para ilmuan Barat banyak menggunakan istilah-istilah Arab dan Islam di pusat pengajian
mereka di Barat. Ini kerana mereka pernah belajar dari sarjana-sarjana Islam dan
mempelajari buku-buku yang ditulis oleh mereka. Kebanyakan istilah-istilah Arab dan Islam
yang dikemukakan oleh ilmuan Islam pada masa dahulu, mereka kekalkan sebagai istilahistilah saintifik Barat sehingga dewasa ini. Contohnya ialah istilah Sifr-sifar, Zero, Almanacal-munakh (cuaca), Alcohol-al-kuhul dan Arsenic-al-zirnikh.
4.1 Disiplin Ilmu, Tokoh Dan Sumbangannya
Rasulullah s.a.w. adalah tokoh yang mengintegrasikan ilmu pengetahuan yang berbentuk
duniawi dan ukhrawi tanpa wujud sebarang pemisahan di antara satu sama lain. Di antara
cara-cara yang biasa dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. untuk merealisasikan perkara di
atas antaranya pada malam hari baginda banyak mengerjakan amal ibadah dan pada siang
hari baginda bertanggungjawab dalam pentadbiran dan pengurusan negara. Baginda juga

mendidik para sahabat secara langsung dengan ilmu-ilmu yang dapat mendisiplinkan
mereka sehingga tidak sanggup melakukan sebarang penyelewengan dalam kehidupan
bermasyarakat disebabkan mereka menguasai ilmu dunia dan akhirat dengan seimbang.
Kecemerlangan keilmuan dalam Tamadun Islam di zaman silam itu, akhirnya melahirkan
ramai tokoh ilmuan dalam pelbagai bidang. Ianya dikagumi dunia sehingga kini. Oleh itu
lahir tokoh-tokoh intelektual yang terbilang dalam pelbagai bidang. Berikut akan dijelaskan
ilmu-ilmu yang telah diterokai oleh para ilmuan Islam itu dan sumbangan yang telah
mereka berikan.

i.

a. Sains dan Teknologi


Astronomi
Merupakan satu cabang ilmu yang berkaitan dengan kajian bulan, bintang, planet, galaksi,
jirim antara bintang, nova dan pulsar dan apa jua bahan dan jasad yang terdapat di angkasa
lepas (Baharuddin Yatim, 1992, 20)
Walaupun ilmu astronomi turut dicurigai oleh masyarakat umum, Andalusiatetap berjaya
melahirkan ramai ahli astronomi terkenal. Ini kerana mereka mendapat galakan daripada
pemerintah dalam menjalankan kajian dan pencerapan astronomi. Salah satu tempat yang
digunakan sebagai kajian pencerapan angkasa lepas ialah di menara masjid. Seterusnya
sebuah balai cerap yang dikenali sebagai Giralda telah dibina berhampiran dengan Masjid
Seville pada tahun 1190M. Para sarjana astronomi Islam Andalusia telah mencipta pelbagai
alat astronomi yang belum diketahui oleh dunia sebelum itu. Contohnya Astrolab yang
digunakan oleh orang Eropah sehingga kurun ke-12 Masehi untuk menentukan saiz bumi
dengan lebih tepat daripada cara yang dilakukan oleh orang Greek sebelumnya.
Antara tokoh astronomi Islam ialah Abd al-Rahman al-Sufi (903-986M). Sumbangan beliau
di dalam astronomi ialah mengkatalog bintang sehingga lebih dari 1000 jenis. Nama bintang
yang diperkenalkan oleh beliau tetap terus digunakan hingga hari ini oleh ahli sains Barat.
Namun demikian nama dalam bahasa Arab telah diubahsuai dengan sebutan Eropah seperti
algharab diubah jadi algorab (Mustafa Daud 1991: 262).
ii. Matematik
Orang Islam telah mempersembahkan kepada dunia ilmu Algebra dalam
bentuknya
yang asli. Algebra, perangkaan dan matematik gunaan telah dipelopori dan diketengahkan
oleh para sarjana Muslim. Merekalah orang pertama menggunakan Algebra dalam bidang
Geometri. Di antara tokoh ilmu matematik Islam ialah al-Khawarizmi (780-850M). Beliau
merupakan seorang ahli matematik Islam termasyhur. Beliau memberikan sumbangan
dalam perkembangan ilmu matematik apabila mengemukakan asal usul angka. Karya-karya
beliau telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin oleh Prince Boniopagni, iaitu kitab alJami wa al-Tafiq bi Hisab al-Hind.Kitab ini dikatakan ditulis oleh beliau berdasarkan kepada
matematik yang berasal dari India.
Al-Khawarizmi telah memperkenalkan satu teorem baru dalam matematik iaitu Algebra.
Perkara ini dirakamkan di dalam kitab al-Mukhtasar fi Hisab al-Jabr wa al-Muqabalah. (Mustafa
Daud 1991: 261).

iii. Perubatan
Sarjana Islam Andalusia telah berjaya menghasilkan kemajuan yang amat membanggakan
dalam bidang ini dan kejayaan mereka mengatasi pencapaian ahli-ahli perubatan
Timur. Berdasarkan teori-teori baru, ahli-ahli perubatan Islam Andalusia telah berjaya
melakukan eksperimen-eksperimen yang sukar. Mereka sentiasa berhati-hati dalam semua
operasi yang dilakukan khususnya dalam bidang aetiologi, patologi dan terapuitik. Dengan
itu Andalusia berjaya melahirkan ramai sarjana yang mempunyai kepakaran yang
mendalam dalam berbagai cabang ilmu kedoktoran dan mereka telah menghasilkan karyakarya perubatan yang dilengkapi dengan ilustrasi alat-alat pembedahan. Inilah sumbangan
terbesar oleh sarjana perubatan Islam dan dunia perubatan moden terhutang budi
kepadanya. Orang Yahudi mempelajari ilmu daripada sarjana Islam Andalusia dan mereka
menjadi terkenal di merata tempat. Selain daripada itu, para sarjana perubatan menjadi
tenaga pengajar di universiti-universiti di seluruh Andalusia. Mereka bertanggungjawab
mengurniakan diploma atau ijazah kepada para pelajar yang telah tamat pengajian
kedoktoran. Seseorang itu tidak dibenarkan untuk mengajar atau memperaktiskan ilmu
kedoktoran tanpa diploma atau ijazah yang berkenaan. Banyak hospital awam didirikan di
semua bandar penting di Andalusia. Contohnya pada zaman pemerintahan khalifah Bani
Umaiyah terdapat lebih kurang 40 buah hospital di Cordova.
Di antara tokoh ilmu perubatan Islam ialah Ibn Zuhr (meninggal dunia pada 525H/1131M).
Di Barat beliau dikenali sebagai Avensoon. Beliau juga merupakan pakar perubatan yang
termasyhur di Andalusia. Beliau telah meninggalkan karya yang amat dihargai oleh Barat
iaitu kitab al-Taysir yang diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dalam tahun 1289M oleh
Paravicius dengan nama Theisir. Ia dikenali sebagai Facilitation of Treatment dalam bahasa
Inggeris.
b. Sains Kemanusiaan dan Sosial
i. Antropologi dan Sosiologi
Di kalangan ahli antropologi Barat tidak wujud keseragaman dalam memahami manusia ini
kerana mengikut fahaman humanisme yang berkembang di Barat melalui abad ke15
hingga abad ke18 unsur kerohanian atau keagamaan tidak wujud dalam kehidupan
manusia. Menurut Islam definisi manusia yang diberikan ini adalah amat tidak lengkap.
Mendefinisikan manusia dengan mengambil kira unsur biologinya sahaja merupakan satu
jenayah dan penafian tentang hakikat kemanusiaan itu sendiri kerana manusia tidak dapat
hidup berdasarkan kepada jasad sahaja. Malah ia memerlukan roh. Tanpa roh manusia tidak
dapat hidup. (Mustafa Daud 1991: 203).
Di antara tokoh ilmu sosiologi Islam ialah Dr. Ali Syariati (1933-1977M). Beliau berasal dari
Iran dan merupakan di antara pakar sosiologi Islam mutakhir yang cuba menganalisis
sosiologi dari perspektif Islam. Percubaan beliau ini menghasilkan satu kejayaan gemilang.
Kegemilangan ini adalah berpunca daripada kejayaannya mengadun ajaran-ajaran al-Quran
dengan ilmu sosiologi moden yang dipelajarinya di Perancis sehingga mendapat ijazah
doktor falsafah (Ph.D).
Keunggulan teori Dr. Ali Syariati hanya dapat dilihat setelah dibandingkan dengan teori
perubahan sosial Barat. Barat menyenaraikan beberapa faktor yang membawa perubahan

sosial seperti penjajahan, kemajuan komunikasi, kemajuan teknologi, faktor alam sekitar
seperti gempa bumi dan sebagainya. Dengan bimbingan al-Quran, Dr. Ali Syariati
menemukan teori perubahan sosialnya dengan menitikberatkan tentang umat manusia itu
sendiri. Istilah yang digunakan oleh beliau ialah al-nas. Hal ini berpandukan kepada ayat alQuran yang ber maksud:
Tuhan tidak akan mengubah nasib satu-satu kaum itu (kaum manusia) jika mereka sendiri tidak
mahu mengubahnya. (Surah al-Rad: 11).
ii. Psikologi
Ia adalah ilmu yang mengkaji tentang jiwa, merupakan ilmu yang paling tua usianya
bermula di zaman primitif lagi. Ia maju setapak pada zaman Yunani kuno. Ia dikira sebagai
era bermulanya psikologi yang bersifat saintifik. Tokoh-tokoh seperti Plato, Aristotles, Gelen
dan sebagainya merupakan tokoh psikologi Yunani yang tidak asing lagi kepada kita.
Islam telah memberikan sumbangan yang amat besar didalam perkembangan psikologi ini.
Al-Imam Abu Mansur Al-Tahlabi telah berjaya mengumpulkan 50 istilah yang pernah
digunakan oleh ahli-ahli psikologi Islam pada zaman kegemilangan Islam dahulu
seperti janin, walid, radi, baligh dan
sebagainya.Nafs (jiwa), qalb (hati), roh dan aql (akal)
adalah empat istilah yang paling popular dalam psikologi Islam. Semua istilah ini terdapat
dalam al-Quran. Perkataan nafs diulang oleh al-Quran sebanyak 367 kali. Ia membawa erti
sebagai kemanusiaan pada keseluruhannya tanpa terkhusus kepada pemikiran sahaja.
Perkataan qalb pula diulang sebanyak 144 kali. Ia mempunyai berbagai-bagai makna, seperti
pemberian hidup, wahyu malaikat yang membawanya dan sebagainya. Aql pula diulang
sebanyak 49 kali, bukan secara tepat tetapi dalam bentuk kata kerja, iaitu aqala yang
memberi erti sebagai berfikir. (Mustafa Daud 1991: 210).
Tokoh Psikologi Islam yang utama ialah al-Farabi (meninggal pada 350/961M). Di Barat
beliau dikenali sebagai Alpharabius. Beliau meninggalkan Farab (Uzbekistan, Rusia) untuk
menuntut ilmu di Baghdad sejak kecil lagi. Al-Farabi ketika membicarakan masalah roh
bermula dengan menghuraikan akal. Akal dikatakan oleh beliau sebagai satu gejala yang
mempunyai daya kekuatan yang dapat memancarkan roh. Dalam daya kekuatan itu
terangkum di dalamnya beberapa daya yang lain seperti daya keinginan untuk hidup.
Terdapat juga daya perasaan dan imaginasi yang terkandung di dalam daya mengenal. Di
samping itu ada daya yang berupa intelek yang praktis yang digerakkan oleh intelek yang
berbentuk teori yang kedua-duanya dapat mencetuskan daya berfikir.
Akal juga mempunyai dua bahagian kekuatan lain, iaitu dapat berfikir sesuatu yang
berbentuk abstrak yang terpisah daripada kebendaan yang dapat diinderai, dan daya
kekuatan untuk mencari sesuatu yang dapat memberi faedah, kebaikan dan kesempurnaan
jasmani seperti bagaimana mencari makan dan tempat perlindungan. Al-Farabi berpendapat
bahawa daya kekuatan yang kedua ini akan hancur, dengan hancurnya jasad ditelan bumi.
Sedangkan daya kekuatan yang pertama tetap kekal bersama roh dan daya kekuatan inilah
juga yang akan dibangkitkan bersama roh pada hari kiamat.
iii. Kesusasteraan dan Kesenian

Sejak dahulu lagi manusia bersastera dengan menghasilkan berbagai bentuk puisi seperti
nyanyian, sajak dan jampi mentera, di samping bentuk prosa seperti cerita-cerita penglipur
lara, dongeng dan sebagainya. Sebelum Islam, sastera mereka dipenuhi unsur-unsur
animisme terutama dalam puisi mistik. Beberapa pembaharuan dapat dilihat selepas
kedatangan Islam. Kemudian dengan kedatangan Barat telah mengubah sama sekali dunia
sastera orang Islam. Malangnya sebahagian besar masyarakat Islam tidak menyedari bahawa
dari segi prinsip dan konsepnya, seni Barat yang umumnya bersifat sekular itu tidak selaras
dengan Islam. Seni sastera Islam pula tidak diberikan tempat dalam dunia yang sekular ini.
Sifat asas seni sastera Islam adalah tauhid. Sasterawan Islam hendaklah yakin bahawa hanya
nilai yang ditentukan oleh Allah sahaja yang mutlak dan terbaik.
Di antara tokoh seni sastera Islam ialah al-Maari (973-1057M). Beliau adalah seorang
sasterawan yang menguasai kedua-dua bidang prosa dan puisi. Karya prosanya yang
terkenal ialah Risalah al-Ghufran (Bingkisan Pengampunan). Ia mengandungi unsur simbolik
dan sindiran yang merupakan pengalaman pengembaraan penulis di alam akhirat. Beliau
juga menghasilkan kitab akhlak yang bermutu iaitu Mulk al-Sabil (Tertinggal Jalan) yang
mengandungi kata-kata hikmat dan ajaran akhlak. (Mustafa Daud 1991: 323).
c. Ilmu Pentadbiran dan Pengurusan
i. Pengurusan Sumber Maklumat
Dalam Islam, semua maklumat dan ilmu adalah milik Allah. Oleh itu sumber maklumat
utama yang tidak boleh diketepikan ialah al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber primer
manakala sumber maklumat selainnya adalah sumber sekunder, atau dengan sebutan lain
sumber naqli (wahyu) dan sumber aqli (ijtihad). Sumber primer ialah sumber asal maklumat
dalam Islam dan bersesuaian dengan setiap zaman, manakala sumber sekunder (alternatif)
adalah sumber-sumber maklumat yang dikembangkan oleh pemikiran manusia hasil
analisis dan sentesis daripada prinsip-prinsip al-Quran dan al-Sunnah.
Sejarah memperlihatkan betapa ramai tokoh-tokoh intelektual Islam yang terkenal
menjadikan sains pengurusan maklumat dan ilmu sebagai asas kejayaan mereka dalam
menguasai pelbagai bidang keilmuan. Di antara tokoh ilmu pengurusan sumber maklumat
Islam ialah al-Ghazali (1111M). Beliau adalah Abu Hamid Muhammad al-Ghazali. Lahir di
daerah Tus di kawasan perkampungan Ghazalah. Berhijrah ke Nisabur dan berguru dengan
Imam al-Haramain iaitu Imam al-Juwaini. Kemudian berhijrah ke Baghdad dan dilantik
sebagai professor di Universiti Nizamiyah ketika berusia 33 tahun. Berhijrah lagi ke
Damsyik, Bait al-Maqdis, Makkah, Madinah dan berkhidmat di Universiti Nizamiyah
sehingga beliau meninggal dunia.
Beliau dicatatkan sebagai bapa falsafah moden, mahir dalam bidang muzik, metafizik, logik,
sosiologi, matematik dan sebagainya. Telah menghasilkan lebih daripada 400 buah buku
pelbagai bidang dan disiplin. Beliau mengkelaskan disiplin ilmu berasaskan kepada empat
aspek iaitu:
i. Ilmu Teoritikal dan Praktikal
ii. Ilmu Huduri dan Husuli
iii. Ilmu Keagamaan dan Keintelektualan

iv. Ilmu Fardhu Ain (Individu) dan Fardhu Kifayah (Kemasyarakatan)


ii. Pengurusan Ekonomi
Ekonomi Islam adalah suatu ilmu sains kemasyarakatan yang mengkaji tingkah laku
manusia dalam soal mengguna dan mengurus sumber-sumber alam untuk kepentingan diri
dan juga masyarakat bagi mendapat keredaan Allah. Ekonomi Islam mempunyai ciri-ciri
khusus yang membezakannya dari ekonomi hasil penemuan manusia. Sistem ekonomi
Islam adalah sebahagian dari syariat dan erat hubungannya dengan akidah selaku
dasar.Kegiatannya bersifat pengabdian dan bercita-cita luhur iaitu memakmurkan bumi dan
mempersiapkannya untuk kehidupan insan sebagai satu bentuk kepatuhan terhadap
perintah Allah. Kegiatan ekonomi Islam juga selain diawasi oleh syariat, juga diawasi oleh
hati nurani yang terbina di atas kepercayaan akan adanya Allah dan perhitungan hari
akhirat.
Di antara tokoh ekonomi Islam yang terkenal ialah Ibn Taimiyah (1262-1328M). Ibn Taimiyah
membenarkan campur tangan kerajaan dalam pasaran dengan sebab menopoli, penyorokan
dan spekulasi. Di antara tulisannya ialah
berhubung dengan institusi hisbah yang
berperanan untuk menjaga persaingan secara saksama dan berurusan dengan jujur. Hal ini
boleh dilakukan dengan cara penguatkuasaan peraturan-peraturan terhadap pengeluar,
pedagang dan
orang tengah.
Berhubung dengan pemilikan oleh individu, Ibn Taimiyah membenarkan pihak berkuasa
untuk memendekkan tempoh atau menarik balik pemilikan tersebut, beliau juga
menekankan supaya pihak kerajaan memenuhi keperluan asas rakyat. (Muhammad
Nejatullah Siddiqi 1989: 106).
Jelas sekali bahawa Islam merupakan alternatif tunggal yang dapat menyelesaikan segala
permasalahan hidup manusia di dunia ini. Justeru itu, Islam mesti digunakan dalam
pendekatan terhadap disiplin ilmu khususnya sains kemanusiaan dan sosial seperti
psikologi, sosiologi dan sebagainya.
Ahli-ahli sains Islam pada zaman keemasannya dahulu telah mencapai satu tahap yang
sungguh mengkagumkan dunia. Mereka telah meninggalkan warisan yang amat berharga
kepada tamadun dan generasi kini. Kelebihan ahli-ahli sains Islam ialah mereka bukan
sahaja mahir sesuatu bidang malah menguasai pelbagai disiplin. Ibn Rusyd contohnya
bukan sahaja menguasai ilmu perubatan atau disiplin sains, malah beliau juga menguasai
falsafah yang tidak ada kaitannya dengan sains. Demikian juga halnya dengan Ibn Khaldun
yang terkenal sebagai ahli falsafah sejarah dan ahli sosiologi, tetapi beliau juga merupakan
seorang ahli kimia yang termasyhur. Lebih utama lagi mereka juga merupakan ulama yang
menguasai ilmu-ilmu fardhu ain seperti ilmu kalam, fiqh dan tasawuf.

Anda mungkin juga menyukai