Anda di halaman 1dari 1

Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para hakim

yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-rakan sekalian.
Nama saya ___________________________Tajuk cerita yang akan saya
sampaikan pada hari ini ialah Harimau Yang Tamak.
Pada suatu hari, Maharaja Singa telah mengisytiharkan kepada penghuni
rimba bahawa mereka boleh menyembahkan satu kehendak mereka kepada
baginda. Binatang-binatang dalam hutan itu pun mengadap Maharaja Singa.
Masing-masing membawa permintaan. Tiap-tiap permintaan itu dikabulkan oleh
baginda.
Setelah mendengar cerita kemurahan hati Raja Singa itu, timbullah rasa
tamak di hati harimau. “Aku mesti minta supaya rezeki aku lebih murah daripada
sekarang. Aku tidak mahu makan tiga kali sehari. Sebaliknya aku mahu makan
tujuh kali sehari. Kalau aku dapat makan tujuh kali sehari, tentulah aku akan
lebih kuat daripada Singa.”
Setelah berfikir demikian, Sang Harimau pun pergi mengadap Maharaja
Singa.
“Hah! Engkau datang juga, Harimau?” tegur Singa. “Apakah kehendak
engkau?” Harimau terkejut mendengar suara Singa yang bengis itu. Hatinya
berdebar-debar.
“Patik… Patik mahu makan tujuh… tujuh …” kata Harimau tergagap-gagap.
“Tujuh apa?” sergah Maharaja Singa lebih keras.
“Tujuh hari sekali!” jelas Harimauu terketar-ketar.
“Baik. Dengan ini, aku sebagai Maharaja di hutan ini akan kabulkan
permintaan engkau. Mulai hari ini, engkau akan dapat rezeki tujuh hari sekali,”
kata Singa.
Sang Harimau tersedar yang dia telah tersalah cakap. Dia hendak
mengatakan tujuh kali sehari tetapi dia telah tersebutkan tujuh hari sekali. “
Tuanku…Patik…Patik…”
“Sudah!” potong Maharaja Singa. “Tiap-tiap binatang hanya boleh
mengemukakan satu permohonan sahaja. Permohonan engkau tadi telah pun beta
kabulkan.
Sejak hari itu, Harimau hanya dapat makan tujuh hari sekali. Itulah
sebabnya perut Harimau selalu kempis dan badannya tidak bermaya. Demikianlah
kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai