Anda di halaman 1dari 2

Contoh Karangan

Soalan: Tubuh yang sihat dan wang yang banyak sememangnya amat penting. Kedua-dua
menjamin kehidupan yang sempurna. Namun begitu, kesihatan lebih penting daripada segala-
galanya. Berikan pendapat anda tentang cara-cara untuk menjaga kesihatan anda. Panjang
karangan mesti melebihi 180 patah perkataan.

Kesihatan merupakan aset penting dalam meneruskan kehidupan kita di muka bumi
ini. Tanpa kesihatan yang baik, kita tidak dapat hidup bahagia. Terdapat empat cara-cara
untuk menjaga kesihatan kita.

Amalan pengambilan makanan yang seimbang merupakan cara yang baik untuk
menjamin kehidupan yang sihat. Kita harus mengambil zat makanan yang seimbang
berdasarkan piramid makanan. Contohnya, kita perlu kurangkan pengambilan makanan
berlemak kerana kandungan lemak yang banyak akan menyebabkan penyakit jantung. Oleh
itu, pengambilan makanan yang seimbang merupakan cara yang baik untuk menjaga
kesihatan diri kita.

Selain itu, kita harus rajin bersenam untuk menjaga kesihatan badan. Aktiviti senaman
dan sukan menjadikan tubuh kita lebih segar di samping meningkatkan stamina. Contoh
aktiviti senaman dan sukan yang boleh dilakukan adalah berenang, berjoging, berbasikal dan
sebagainya. Oleh yang demikian, rajin bersenam adalah salah satu cara yang baik untuk
menjaga kesihatan.

Seterusnya, mempunyai masa rehat yang cukup merupakan salah satu cara untuk
menjaga kesihatan badan. Amalan tidur secara teratur iaitu sekurang-kurangnya lapan jam
pada waktu malam amat penting untuk merehatkan otak dan menghilangkan penat. Kita juga
boleh menggunakan masa rehat untuk melakukan aktiviti beriadah seperti menonton siaran
televisyen, mendengar muzik, bersiar-siar dan sebagainya. Jelaslah bahawa cara untuk
menjaga kesihatan badan adalah mempunyai masa rehat yang cukup.

Di samping itu, pemeriksaan doktor secara berkala iaitu sebanyak enam bulan sekali
dalam setahun juga perlu dilakukan bagi menjamin kesihatan badan. Kita dinasihatkan
membuat pemeriksaan dengan doktor supaya dapat mengesan dan merawat penyakit pada
peringkat awal. Bak kata peribahasa mencegah lebih baik daripada mengubati. Natijahnya,
pemeriksaan doktor secara berkala merupakan cara untuk menjaga kesihatan dengan baik.

Kesimpulannya, kesihatan yang baik dapat melahirkan rakyat yang cerdas dan cergas.
Rakyat yang sihat merupakan pemangkin kepada kemakmuran negara. Oleh itu, kita harus
mengamalkan gaya hidup sihat untuk kesejahteraan hidup.
Contoh Karangan

Soalan: Faktor gejala sosial dalam kalangan remaja.

Pada era globalisasi ini, masalah gejala sosial semakin meningkat dari semasa ke semasa. Hal
ini mendatangkan kebimbangan banyak pihak antaranya ibu bapa khususnya. Masalah sosial seperti
gejala melepak, lumba haram, buli dan sebagainya semakin hangat diperkatakan dari buah mulut
masyarakat malah menjadi isu yang serius dipaparkan dalam akhbar kebelakangan ini. Oleh itu, kita
tidak seharusnya memandang remeh akan masalah tersebut. Terdapat beberapa faktor masalah sosial
ini terjadi kepada golongan remaja khusunya.

Antaranya ialah ibu bapa kurang memberi didikan agama dan moral kepada mereka. Hal ini
menyebabkan mereka akan berasa terlalu bebas untuk melakukan pelbagai perkara. Sebagai
contohnya, membenarkan mereka keluar rumah hingga lewat malam tanpa menghiraukannya. Oleh
itu, perkara ini menyebabkan remaja kehilangan pengangan dalam kehidupan dan bertindak sesuka
hati. Jelaslah, ibu bapa seharusnya memberikan didikan agama dan moral kepada mereka sejak kecil
lagi bak kata pepatah ‘melentur buluh, biarlah dari rebungnya’.

Selain itu, ibu bapa tidak memberikan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak-anak. Hal
ini kerana, ibu bapa terlalu menyerahkan tanggungjawab mendidik dan mengasuh anak-anak mereka
kepada pembantu rumah atau pengasuh mereka dan sibuk bekerja ibarat kera di hutan disusukan, anak
di rumah mati kelaparan. Sebagai contohnya, ibu bapa bekerja hingga lewat malam dan bekerja keras
sehingga tidak menghiraukan anak-anak mereka di rumah. Kesimpulannya, sikap ibu bapa yang bagai
enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing harus dibuang supaya anak-anak dapat
merasakan kasih sayang yang secukupnya.

Di samping itu, remaja juga mudah terpengaruh dengan rakan sebaya. Hal ini kerana, boleh
menyebabkan masa depan mereka akan terjejas sekiranya mereka salah memilih rakan. Sebagai
contohnya, mereka mudah terpengaruh dengan rakan seperti merokok, merempit, vandalisme, dan
ponteng sekolah. Tuntasnya, akhlak yang buruk akan merosakkan diri seseorang remaja seperti cuka
merosakkan madu.

Seterusnya, pengaruh media massa juga merupakan faktor gajala sosial dalam kalangan
remaja. Program-program televisyen khasnya, lebih mementingkan hiburan daripada maklumat.
Tayangan-tayangan filem Barat contohnya telah menunjukkan hiburan yang tidak baik seperti
adengan-adengan buli, ganas dan lucah sering ditayangkan. Jadi, apabila filem tersebut
dipertontonkan, sudah tentu golongan remaja amnya, akan meniru stail dan aksi artis pujaan mereka.
Oleh itu, sudah terang lagikan bersuluh bahawa pengaruh media massa merupakan faktor gejala sosial
dalam kalangan remaja.

Ringkasnya, kekurangan pengawasan dan sikap tidak prihatin ibu bapa terhadap aktiviti dan
pelakuan anak-anak mereka menjadi penyebab gejala ini kian merebak. Dengan berbuat demikian, ibu
bapa perlu sentiasa mengambil berat dan mengawasi setiap pergerakan anak-anak mereka yang
mencurigakan. Sekiranya semua ibu bapa mengambil pendekatan sedemikian, gejala ini akan dapat
diatasi dengan mudah. Jelaslah ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dan tidak boleh
hanya mengharapkan pihak lain sahaja.

Anda mungkin juga menyukai