Anda di halaman 1dari 18

PENGENALAN PEMBUANGAN BAYI

Definisi pembuangan bayi ini adalah mengikut Kamus Dewan Edisi 4,


halaman 208, perkataan ‘buang’ membawa maksud iaitu mencampakkan,
melemparkan, menghapuskan dan menghilangkan. Manakala, perkataan ‘bayi’
bermaksud anak kecil yang baru dilahirkan oleh ibu. Justeru, maksud
‘pembuangan bayi’ pula adalah perbuatan mencampakkan atau menghapuskan
anak kecil yang tidak berdosa ke merata-rata tempat tanpa ada sifat
berperikemanusiaan. Definisi yang diberikan ini mampu memberikan kefahaman
yang lebih jelas lagi tentang masalah pembuangan bayi ini. Tindakan membuang
bayi ini adalah jenayah yang amat besar dosa dan hukumannya dalam islam.
Firman Allah s.w.t didalam surah An-Nisa ayat 93 :

“ Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka


balasannya ialah neraka  jahanam kekal dia didalamnya dan Allah murka
kepadanya dan melaknat akannya serta menyediakan azab seksa yang besar”.

Pada era moden yang serba mencabar ini, Malaysia dengan bangganya
menuju ke satu tahap yang lebih kompetitif bertunjangkan sains dan teknologi.
Namun, di sebalik kemodenan ini, mereka telah lupa dengan perkembangan
sosial di negara ini. Saban hari, terdapat pelbagai laporan tentang pembuangan
bayi di merata-rata tempat seperti di dalam tandas, di tepi longkang, dan
sebagainya. Golongan yang tidak bertanggungjawab ini membuang bayi secara
membuta tuli sahaja tanpa ada sifat dan perasaan berperikemanusiaan.

Menurut statistik kes pembuangan bayi di Malaysia yang dikeluarkan oleh


Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman, pada tahun 2000,
sejumlah 65 kes pembuangan bayi telah dilaporkan di seluruh Malaysia.
Manakala pada tahun 2006, kes pembuangan bayi bertambah 18 kes menjadi
keseluruhan kes pada tahun tersebut berjumlah 83 kes. Seterusnya, pada tahun
2009 pula menyaksikan 79 kes buang bayi dilaporkan dengan 25 kes bayi lelaki
dan 29 perempuan manakala 25 janin yang tidak dikenalpasti jantina. Manakala
daripada Januari 2010 sehingga Ogos 2010 sahaja terdapat 65 kes pembuangan
bayi.

Menurut statistik rasmi lagi, sejumlah 672 kes buang bayi dilaporkan sejak
2005 hinggalah ke Ogos 2012. Daripada jumlah tersebut, Datok Seri Mohd Bakri
Mohd Zinin mengatakan bahawa 215 bayi yang ditemui masih hidup manakala
457 lagi sudah meninggal dunia. Di Amerika Syarikat misalnya, lebih kurang 40
peratus daripada remajanya hamil luar nikah. Akibat kehamilan luar jangkaan ini
ramai remaja perempuan bertindak menggugurkan kandungan mereka yang
akhirnya menimbulkan komplikasi kesihatan dan kematian. Statistik yang
diperoleh oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati 4.4 juta remaja
dunia pernah menggugurkan kandungan.

Fenomena pembuangan bayi kian membimbangkan masyarakat


marcapada. Isu ini seolah-olah sudah menjadi trend atau ikutan dalam kalangan
masyarakat, khususnya golongan remaja. Acap kali isu ini kita lihat dan
terpampang di dada-dada akhbar, dihebahkan di corong-corong radio dan
disiarkan di kaca televisyen. Hal ini akan menyebabkan negara kita mendapat
imej yang buruk dan pandangan yang tidak baik daripada negara-negara luar.
Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab mestilah mengambil langkah yang
proaktif untuk menangani masalah ini daripada terus membelenggu masyarakat.
Pihak yang paling penting dan perlu memainkan peranan mereka untuk
menangani masalah ini ialah ibu bapa.

Pada masa ini , terdapat ramai ibu bapa yang mementingkan soal kerja
daripada anak-anak mereka. Ibu bapa berpendapat bahawa kebendaan boleh
membahagiakan keluarga tanpa perhatian dan juga kasih sayang. Namun ,
anak-anak akan berasakan bahawa ibu bapa tidak menyayangi mereka dan
mengambil kesempatan untuk mencuri keseronokan di luar rumah. Hal ini akan
mendatangkan masalah apabila anak-anak salah mencari keseronokan di luar
yang boleh mendatangkan kesan negatif. Anak-anak akan berjumpa dengan
rakan sebaya dan terjebak dengan pergaulan bebas.
LANGKAH-LANGKAH MENGATASI MASALAH PEMBUANGAN BAYI .

 Ibu bapa merupakan penjaga dan pendidik kepada anak-anak mereka


sama ada di luar mahupun di dalam rumah. Ibu bapa perlu memantau setiap
aktiviti anak mereka dan mereka perlu mengambil tahu tentang kawan-kawan
anak mereka dan cara pergaulan anak-anak. Perkara ini penting kerana
kadangkala anak-anak hanya berpura-pura menjadi seorang yang baik di
hadapan ibu bapa mereka sahaja. Sebagai contohnya, anak-anak mengatakan
bahawa mereka ingin ke sekolah tetapi hakikatnya mereka pergi ke pusat-pusat
membeli-belah atau ponteng sekolah. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu memantau
setiap aktiviti dan perlakuan anak-anak agar mereka tidak terlibat dengan aktiviti
pergaulan bebas.

           Selain itu, ibu bapa perlu memberikan sepenuh perhatian terhadap anak-
anak, walaupun sibuk bekerja. Hal ini demikian kerana, perhatian daripada ibu
bapa dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga. Anak-anak juga akan
sentiasa mengingati pesanan ibu bapa apabila setiap kali mereka hendak
melakukan kesalahan. Kasih sayang yang ikhlas daripada ibu bapa juga dapat
mengubah sikap negatif seseorang anak kepada sikap yang positif. Oleh itu, ibu
bapa perlu sentiasa meluangkan masa dengan anak-anak, seperti makan
bersama-sama, pergi bersiar-siar, solat berjemaah dan sebagainya. Perkara ini
akan menyebabkan mereka berasa disayangi dan mengelakkan mereka
daripada terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti seks bebas.

  Menghantar anak-anak ke kem-kem motivasi ataupun seminar jati diri


juga merupakan langkah yang berkesan untuk menangani masalah pembuangan
bayi. Hal ini akan menyebabkan minda mereka terbuka dan melihat sesuatu
perkara itu dari sudut pandangan yang berbeza. Di dalam kem-kem motivasi,
biasanya mereka akan didedahkan dengan isu-isu semasa yang melanda
negara. Mereka akan diberikan informasi atau maklumat tentang kesan-kesan
buruk sesuatu isu itu. Sebagai contohnya, kes pembuangan bayi akan
menyebabkan nyawa ibu terancam akibat proses melahirkan anak yang salah
dan tidak normal tanpa pengawasan doktor. Perkara itu akan menimbulkan
kesedaran dalam diri anak-anak khususnya para remaja tentang implikasi kes
pembuangan bayi. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu, “Mencegah
lebih baik daripada mengubati”.

  Di samping itu, nilai-nilai agama yang tinggi perlu diterapkan dalam diri
setiap remaja. Ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk menerapkan dan
mendidik anak-anak mereka dengan didikan agama yang sebenarnya. Perkara
ini demikian kerana, pengisian nilai-nilai keagamaan dalam diri remaja dapat
membina kekuatan dalaman mereka. Hati mereka tidak akan mudah terusik
dengan anasir-anasir yang tidak baik kerana mereka sudah mempunyai
pengetahuan agama yang tinggi dan dapat membezakan dosa dengan pahala.
Penerapan nilai agama ini perlu dilakukan sejak mereka kecil lagi dan secara
perlahan-lahan, nilai-nilai tersebut akan sebati dengan diri mereka bak kata
pepatah, “Sehari selembar benang, lama-lama jadi kain”, begitu jugalah dengan
anak-anak. Hal ini dapat menjauhkan mereka daripada mendekati zina dan
terlibat dalam kancah maksiat.

            Ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak dengan tegas, tetapi ketegasan
yang sesuai dengan situasi. Terdapat sesetengah ibu bapa yang mendidik anak
mereka dengan cara seperti seorang askar. Hal ini bertujuan untuk mendisiplin
anak-anak mereka. Dengan disiplin yang tinggi dan ketegasan ibu bapa, anak-
anak akan akur dengan arahan dan kehendak ibu bapa. Mereka juga akan taat
terhadap perintah ibu bapa mereka. Namun begitu, remaja tidak boleh dididik
dengan cara yang tegas. Ibu bapa perlu mendidik merekabagai menatang
minyak yang penuh. Dengan perkataan lain, mereka perlu dibelai dengan penuh
kasih sayang, tetapi jangan sampai mereka memijak kepala ibu bapa pula.
Dalam kelembutan, sertakan sedikit ketegasan yang membuat mereka hormat
kepada ibu bapa. Dengan cara ini, ibu bapa mudah untuk mengetahui aktiviti-
aktiviti anak mereka di luar. Perkara ini dapat mengelakkan mereka daripada
terjebak dengan aktiviti pembuangan bayi.
            Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha untuk
menangani kes pembuangan bayi ini. Selain ibu bapa, pihak lain juga mestilah
menggembleng tenaga bagi menangani fenomena ini. Dengan cara ini, kes
pembuangan bayi dapat diatasi dengan efektif kerana semua pihak terlibat
dalam usaha untuk membendungnya. Remaja pula merupakan golongan yang
sangat berharga untuk masa depan negara pada masa akan datang. Oleh itu,
didikan yang baik perlu diberikan kepada mereka sejak kecil lagi kerana
mereka ibarat kain putih, dan ibu bapalah yang mencorakkannya. Hal ini juga
bersesuaian dengan peribahasa Melayu, “Melentur buluh biarlah dari
rebungnya”.
Selain daripada pihak ibu bapa, pihak sekolah juga memainkan peranan
dalam menangani masalah ini, pihak pentadbiran sekolah perlu mewujudkan
Sekolah Bebas Gejala Sosial dengan mengadakan pendidikan secara
komprehensif melalui kurikulum dan ko-kurikulum di sekolah/IPT, intervensi,
latihan guru dan penglibatan ibu bapa. Pendidikan ini adalah elemen penting
dalam strategi pencegahan dan sekolah merupakan institusi penting bagi
melahirkan masyarakat Malaysia yang bebas dari gejala sosial.

 Mata pelajaran sains dan biologi boleh dijadikan fokus untuk


menyampaikan pendidikan tentang seks. Pembelajaran tentang pembiakan
biologi , psikologi dan seksologi dapat memberi pendedahan kepada para pelajar
tentang kesan melakukan seks sebelum kahwin ataupun selepas kahwin.
Pengetahuan tentang seks amat penting bagi membendung masalah
keterlanjuran dalam kalangan masyarakat. Oleh itu , masyarakat akan lebih
mengetahui tentang kesan melakukan seks bebas terhadap diri sendiri. Hal ini
akan menyebabkan mereka lebih prihatin untuk menjaga maruah diri sendiri
terutamanya wanita.

Kempen secara besar-besaran juga harus diadakan. Kempen yang


dijalankan oleh badan-badan kerajaan dan juga bukan kerajaan dapat
menjadikan masyarakat lebih prihatin tentang persekitaraan mereka. Kempen ini
bertujuan untuk memupuk sikap saling tegur-menegur dalam kalangan
masyarakat tidak kira bangsa mahupun agama. Masyarakat harus menegur
sesiapa sahaja apabila melihat pasangan berdua-duaan, bercumbuan, dan
berpelukan di khalayak ramai. Talian Nur merupakan salah satu langkah oleh
Kementerian Pembanguna Wanita dan keluarga untuk membendung masalah
ini. Oleh itu, pihak terbabit haruslah memainkan peranan masing-masing untuk
memastikan masalah ini dapat dibendung.

Langkah pencegahan daripada pihak berkuasa pula adalah dengan


menguatkuasakan undang-undang dengan mengenakan hukuman maksimum ke
atas pasangan yang berzina seperti mengenakan hukuman sebat. Hukuman
yang setimpal harus dilaksanakan supaya dapat memberi pengajaran kepada
remaja yang terlibat dan juga kepada remaja- remaja yang lain. Secara tidak
langsung mungkin ini dapat mengurangkan kes pembungan bayi dan masalah
keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja.

Selain itu, pihak berkuasa juga mestilah mengadakan kempen-kempen


kesedaran untuk membangkitkan kesedaran remaja terhadap isu ini dan
seterusnya dapat menangani masalah ini. Justeru itu, peranan media massa dan
media cetak amatlah penting bagi menjayakan kempen-kempen yang
dilaksanakan oleh pihak berkuasa. Peranan media ini penting dalam
menghebahkan dan membuat liputan secara besar-besaran tentang kempen
yang dilaksanakan..

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat turut memainkan


peranan dalam membantu pihak berkuasa untuk menangani gejala buang bayi
yang semakin membimbangkan kebelakangan ini. Badan-badan NGO boleh
dijadikan tempat rujukan bagi mereka yang mengandung anak luar nikah
disamping untuk mendapat bimbingan dan perlindungan, contohnya seperti
Asrama Puteri KEWAJA. Hal ini demikian kerana mereka masih perlu dibela dan
memberi peluang kepada mereka untuk meneruskan kehidupan. Badan-badan
NGO juga hendaklah menyediakan dan menubuhkan pusat jagaan bayi bagi
membela nasib mereka yang tidak bersalah, contohnya seperti Pusat
Perlindungan PERNIM. Ianya juga dapat memberi peluang kepada ibu bapa
mengambil balik hak mereka dan bertanggungjawab ke atas mereka.

Selain itu, persepsi masyarakat mestilah diubah dengan tidak terus


menghukum mereka yang hamil anak luar nikah tetapi sebaliknya berusaha
membantu mereka agar mereka mendapat perlindungan dan menyesali
perbuatan mereka. Masyarakat juga mestilah bersifat sensitif dengan apa yang
berlaku disekeliling agar gejala ini dapat dibanteras. Masyarakat perlulah peka
dengan suasana disekeliling mereka supaya mayarakat dapat bersama- sama
mencegah aktiviti yang tidak bermoral ini terus berlaku.

Di samping itu, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling hendaklah


diperluas dalam kalangan remaja yang bermasalah. Remaja perempuan yang
sudah terlanjur sehingga mengandungkan anak luar nikah hendaklah dibantu
bukannya disisihkan dan dicerca. Ibu bapa hendaklah membawa mereka
berjumpa dengan kaunselor untuk memulihkan semangat dan keyakinan mereka
sehingga anak yang dikandungkan dilahirkan dengan sempurna. Kita harus tahu
bahawa setiap insan melakukan kesalahan, ibarat kata pepatah, “bumi mana
tidak ditimpa hujan, lautan mana tidak bergelora”. Jika kita prihatin terhadap
permasalahan mereka, sudah pasti mereka tidak akan kehilangan arah dan
hilang pertimbangan. Oleh itu, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling
hendaklah diperhebat dan lebih mesra remaja agar mereka tidak segan-segan
menceritakan masalah dengan kaunselor apabila mereka berhadapan dengan
situasi sebegini.

Dengan ini dapat disimpulkan bahawa semua pihak terlibat dalam


menangani masalah pembuangan bayi ini. Justeru itu, semua pihak harus
melihat gejala pembuangan bayi secara rasional dan tidak seharusnya
memandang sepi tentang masalah ini. Oleh itu, bersama-samalah kita
berganding bahu, bekerjasama bagi mengatasi gejala pembungan bayi sebelum
ianya menjadi lebih serius.
FAKTOR-FAKTOR MENYEBABKAN KES PEMBUANGAN BAYI .

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan kes pembuangan bayi dalam


kalangan remaja di Malaysia. Faktor utama yang menyebabkan pembuangan
bayi ialah keruntuhan institusi kekeluargaan dalam masyarakat kita. Ibu bapa
yang merupakan ketua keluarga telah gagal melaksanakan tanggungjawab
mereka mendidik anak-anak menjadi insan yang bersahsiah dan
berkeperibadian mulia. Mereka sibuk dengan tugas-tugas seharian sehingga
anak-anak terabai. Anak-anak yang kekurangan perhatian dan kasih sayang
daripada ibu bapa mereka lebih cenderung untuk mencari keseronokan di luar
rumah. Akibatnya, mereka terjebak ke kancah permasalahan sosial seperti
melakukan seks bebas sehingga mengandungkan anak luar nikah. Pada masa
itu, barulah mereka sedar bahawa mereka sudah terlanjur dan jalan terbaik untuk
menyelesaikan permasalahan tersebut adalah dengan membuang bayi yang
dikandungkan. Mereka melakukan perbuatan terkutuk ini adalah untuk
menyembunyikan perbuatan kaji mereka daripada pengetahuan ibu bapa.
Jelaslah bahawa kerapuhan institusi kekeluargaan merupakan punca perdana
berlakunya masalah pembuangan bayi di negara kita

Tambahan pula, remaja sering menyalahgunakan kebebasan yang


diberikan oleh ibu bapa. Para remaja cuba mengambil kesempatan atas sikap
keterbukaan yang diamalkan oleh ibu bapa. Remaja menyalahgunakan
kebebasan yang diberikan oleh ibu bapa dengan bergaul bebas antara lelaki dan
perempuan. Remaja melakukan perkara negatif seperti hubungan seks luar
nikah sehingga menyebabkan mereka hamil. Buktinya, pengalaman seorang
pelajar institusi pengajian tinggi yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian
menunjukkan kebebasan tanpa pengawasan ibu bapa menyebabkan mereka
bebas melakukan aktiviti negatif. Di samping tinggal di luar kampus mereka
bebas melakukan apa–apa sahaja tanpa pengawasan ibu bapa. Kesan daripada
kehamilan luar nikah menyebabkan pembuangan bayi berlaku. kebebasan yang
diberikan oleh ibu bapa sememangnya menjadi sebab peningkatan pembuangan
bayi.

 Seterusnya, masalah pembuangan bayi juga berlaku disebabkan


golongan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Sewaktu bercinta semuanya indah
belaka sehingga si wanita sanggup menyerahkan segalanya untuk membuktikan
kesetiaan dan cinta kepada pasangan mereka. Mereka mudah lemah kepada
pujuk rayu kekasih hati yang kononnya berjanji mahu sehidup semati dengan
mereka. Akhirnya, mereka rela bersekedudukan dengan pasangan bagaikan
pasangan suami isteri walaupun tiada ikatan perkahwinan. Setelah si wanita
hamil maka berlakulah konflik dalam kehidupan kerana si lelaki mahu
melepaskan diri daripada tanggungjawab. Wanita yang hamil tersebut dipaksa
untuk membuang atau menggugurkan bayi dalam kandungan demi menutup aib
kerana mengandungkan anak luar nikah. Sekiranya tidak mahu berbuat seperti
yang diarahkan, mereka akan ditinggalkan. Dalam situasi sebegini, si wanita
tiada pilihan lain selain menurut kehendak pasangan mereka, bak kata pepatah,
“ditelan mati emak, diluah mati bapa”.

Faktor perkahwinan juga menyebabkan masalah pembuangan bayi kian


meningkat. Budaya masyarakat Melayu,umpamanya yang melibatkan hantaran,
persiapan perkahwinan, membuatkan mereka yang ingin mendirikan rumah
tangga berasa amat tertekan kerana mereka tidak mampu untuk menyediakan
wang hantaran. Apabila anak muda terlalu ghairah ingin mendirikan rumah
tangga tetapi kerana faktor ini mereka tidak dapat mengawal nafsu dan
melakukan zina, maka lahirlah anak di luar nikah. 

Pengabaian dalam memberi kasih sayang adalah salah satu jenis


penderaan yang meninggalkan risiko lebih besar yang banyak berlaku dalam
masyarakat. Hal ini dapat dilihat di mana, semakin meningkat masalah ini dalam
kalangan pekerja-pekerja kilang terutama remaja yang datang dari kampung. Ibu
bapa mesti sedar dan meluangkan waktu, sebagaimana sibuk sekalipun, harus
memperuntukkan waktu bersama anak- anak agar mereka merasakan diri
mereka sentiasa disayangi dan di hargai.

Selanjutnya, masalah pembuangan bayi semakin berleluasa di negara kita


disebabkan bertambahnya pusat-pusat hiburan di negara kita terutamanya di
bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Remaja lelaki dan perempuan
biasanya berkumpul di pusat-pusat hiburan ini pada setiap hujung minggu.
Mereka bergaul bebas antara lelaki dan perempuan sambil meminum minuman
keras. Dalam keadaan separuh sedar, remaja perempuan biasanya mudah
digoda oleh remaja lelaki. Golongan remaja sebegini tidak berfikir panjang dalam
melakukan sesuatu kerana bagi mereka yang penting ialah keseronokan.
Perlakuan seks bebas yang berleluasa di pusat-pusat hiburan menyebabkan
ramai remaja yang terpengaruh sehingga ada dalam kalangan mereka yang
mengandungkan anak luar nikah. Apabila sudah mengandung barulah mereka
sedar kesilapan diri, ibarat kata pepatah, “sudah terhantuk baru nak terngadah”.
Walau bagaimanapun, segalanya sudah tidak berguna kerana “nasi sudah
menjadi bubur”. Akibatnya, mereka mengambil keputusan mudah iaitu
membuang bayi yang dikandungkan.

Sikap ingin tahu juga menyebabkan kes menbuangan bayi meningkat dan
berlaku. Biasanya, mereka gemar mencuba sesuatu yang baru ini adalah kerana
mereka berasa sesuatu yang baru mempunyai perasaan cabaran. Setiap
perkara yang dilarang, itulah yang ingin yang diterokai oleh mereka. Remaja
berfikiran bahawa mereka menjadi lebih matang sekiranya mencuba benda yang
jarang dilakukan oleh orang lain iaitu seks rambang. Sikap remaja yang ingin
mencuba sesuatu ini sebenarnya tidak mengetahui baik atau buruk serta akibat
yang bakal diterima mereka. Sebagai remaja yang matang, mereka mestilah
berfikiran rasional dan bijak dalam menilai sesuatu perkara supaya tidak
menyesal kemudian hari. Bak kata pepatah: “sesal dahulu pendapatan, sesal
kemudian tiada gunanya”.

 Pembuangan bayi berpunca daripada sikap masyarakat yang kurang


mengamalkan ajaran agama. Para remaja yang tidak mengamalkan ajaran
agama dalam kehidupan menyebabkan mereka terlibat dengan kes pembuangan
bayi. Kurangnya didikan agama yang merupakan panduan dan pedoman hidup
remaja telah menyebabkan mereka hilang haluan dalam kehidupan dalam
gejala-gejala negatif seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dan
pastinya menjalinkan hubungan di luar tabii. Hal ini menyebabkan remaja
perempuan mengandung sebelum ada ikatan yang sah. Dalam situasi tersebut,
remaja yang hilang pegangan agama tidak teragak-agak untuk membuang dan
meninggalkan anak yang selepas dilahirkan. Demikian juga, terdapat yang lebih
teruk iaitu ada segelintir remaja membunuh dan membakar bayi yang dilahirkan
yang semata-mata mahu menghilangkan bukti hasil hubungan sulit mereka.

Statistik menunjukkan majoriti pesalah pembuangan bayi melibatkan


remaja kaum melayu berbanding dengan kaum lain. Para remaja kurang
memahami konsep dosa dan pahala sehingga mereka sanggup terlibat dengan
kes pembuangan bayi. Konsep agama sebagai pendinding gejala sosial seperti
kes  pembuangan bayi kurang diamalkan dalam kehidupan seharian mereka.
Amalan agama seperti membaca Al-Quran,solat dan puasa dapat menghalang
seseorang daripada melakukan maksiat. Namun demikian, kehidupan para
remaja yang berlandaskan nafsu dan mementingkan keseronokan, sehingga
menyebabkan mereka kurang mengamalkan ajaran agama. Para remaja yang
kurang mempraktikkan amalan agama dalam kehidupan akan mengambil
tindakan yang salah sehingga sanggup membuang bayi mereka.

Seterusnya, faktor-faktor berlakunya permasalahan ini ialah pengaruh


rakan sebaya. Hal ini kerana remaja mudah dipengaruhi rakan sebayanya. Hal
ini bertambah teruk jika remaja sentiasa bergaul dengan rakan yang negative
dan tidak bermoral. Rakan negatif mengajak remaja untuk melakukan perkara di
luar batasan agama dan norma masyarakat seperti pergi tempat hiburan,
menghisap dadah, melepak, melakukan pergaulan bebas antara lelaki dan
perempuan dan sebagainya. Remaja yang terjerumus dalam kancah-kancah
negatif tersebut, tanpa segan silu melakukan hubungan seks rambang dan
akhirnya menemui jalan buntu apabila mendapati bahawa dirinya telah
mengandung. Dalam keadaan yang terdesak, mereka terpaksa membuang bayi
mereka demi mengelakkan maruah diri dan keluarga tercemar.

Seterusnya adalah sikap masyarakat. Sikap manusia yang suka


mengkritik dan menghukum turut menyebabkan masalah pembuangan bayi
berlaku. Apabila seseorang remaja perempuan melahirkan anak luar nikah,
maka pastinya masyarakat setempat menghina dan memandang seorang
padanya. Dengan secara tidak langsung, remaja perempuan pastinya dianggap
menjatuhkan maruah diri dan keluarganya. Dengan itu, remaja perempuan
berasa tertekan dengan bebanan yang ditanggung oleh seorang diri. Demi
menjaga imej keluarga dan sendiri, remaja tersebut mengambil jalan mudah
dengan membuang bayinya supaya tidak dipandang jijik dan hina oleh
masyarakat..

Hukuman yang kurang berat juga menggalakkan kes-kes pembuangan


bayi ini. Ibu bapa mangsa bayi yang dibuang tidak dikesan bersungguh-sungguh
sehingga masalah penjagaan bayi diserapkan bulat-bulat kepada pihak hospital
dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Hukuman yang dikenakan hanya penjara
dan denda yang mampu dllaksanakan oleh pesalah. 

KESAN-KESAN PEMBUANGAN BAYI .

Kesan-kesan pembuangan bayi boleh diklasifikasikan kepada beberapa


bahagian seperti kesan kepada bayi, kepada ibu yang melahirkan, keluarga
remaja perempuan yang terlibat dalam pembuangan bayi, kesan kepada
masyarakat dan juga kesan kepada negara kita sendiri. 

Dalam masalah pembuangan bayi, kesan utama kepada bayi. Bayi


merupakan anugerah Tuhan yang paling berharga kepada pasangan suami isteri
tetapi, bayi juga menjadi bebanan kepada pasangan-pasangan kekasih yang
telah terlanjur dan tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab di usia yang
masih mentah, yakni usia remaja. Akibat daripada hilangnya sifat kemanusiaan
dalam diri, bayi-bayi telah menjadi mangsa dan kesannya, semua bayi ini hidup
tidak mengenali dan mendapat kasih sayang daripada ibu bapa kandung
mereka. Bayi-bayi ini juga terpaksa memikul gelaran anak luar nikah sepanjang
hidup mereka walaupun mereka menjadi mangsa keadaan dalam masalah ini.
Tambahan lagi, bayi-bayi ini masih kecil lagi dan tidak mengerti apa yang sedang
berlaku kepada mereka. Apa yang lebih teruk lagi, mereka dibuang tempat-
tempat yang terpencil dan jauh daripada pandangan masyarakat sehingga
menyebabkan bayi-bayi yang tidak berdosa ini meninggal dunia.

Sebagai contoh, baru-baru ini di Melaka, seorang bayi lelaki dijumpai mati
dalam keadaan yang sungguh menyayat hati. Mengikut sumber dari pengarang
utusan Malaysia, Rizanizam Abdul Hamid (2010), mayat bayi itu ditanam
berhampiran Sungai Melaka selepas dikatakan meninggal dunia di Taman
Melaka Baru, Batu Berendam. Apa yang lebih mengejutkan lagi, bayi tersebut
adalah anak kepada pasangan remaja yang baru berusia 15 dan 19 tahun.
Siasatan polis mendapati bayi lelaki yang cukup sifat itu masih hidup ketika
dilahirkan selain terdapat beberapa kesan lebam di bahagian kepala. Kejadian
seperti ini cukup jelas membuktikan betapa kejamnya insan yang bergelar
remaja yang tidak tahu menghargai pemberian dari Tuhan.

Kesan yang seterusnya adalah kesan kepada ibu bayi berkenaan atau
lebih tepat lagi pesalah. Hal ini sebab, semasa ibu bayi melahirkan anak, mereka
tidak berada dalam keadaan dan situasi yang selesa dan mengizinkan. Tanpa
persediaan rapi, ibu bayi pastinya mengalami jangkitan kuman yang serius,
kecederaan semasa melahirkan anak, dan juga kehilangan darah yang banyak.
Kebanyakannya, mereka melahirkan anak dengan menggunakan kudrat sendiri
tanpa pertolongan pihak hospital dan lain.  Keadaan ini akan menyebabkan
keadaan badan mereka berada di dalam keadaan yang tidak stabil dan sangat
berbahaya. Selain itu, pesalah juga semestinya mengalami pelbagai masalah
dalam diri seperti kemurungan ,hilang keyakinan diri dan masalah emosinya. Hal
ini akibat daripada perbuatan mereka sendiri yang sememangnya salah dari segi
undang-undang, agama, dan negara.

Di samping itu, akibat daripada pembuangan bayi juga, berlakunya


keruntuhan institusi kekeluargaan. Apabila institusi sesebuah keluarga itu runtuh,
keharmoniaan dalam kekeluargaan juga turut terkena tempiasnya. Hal ini
disebabkan, ibu bapa berasa malu mempunyai anak yang sebegitu rupa tingkah
lakunya. Mereka menganggap anak seperti ini telah menconteng arang ke muka
mereka. Apa yang mereka bimbangkan adalah jiran sekeliling mereka yang
pastinya memandang serong dan negatif dengan keluarga mereka. Disebabkan
masalah pembuangan bayi juga, masalah penceraian berlaku. Ibu bapa remaja
yang terlibat dengan perbuatan yang tidak bermoral ini bergaduh dan
menyalahkan sesama sendiri kerana tidak pandai mendidik dan memelihara
anak sehingga anak-anak yang lain terpaksa menanggung akibatnya. Sebagai
ibu bapa, janganlah terus menyalahkan anak-anak mereka tetapi membantu
dengan memberi sokongan dan panduan untuk meneruskan hidup.

Kesan yang seterusnya adalah kepada masyarakat. Kes pembuangan


bayi yang berlaku telah menjejaskan imej masyarakat sekeliling. Mereka
pastinya berasa malu dan kecewa dengan apa yang berlaku. Sudah semestinya
remaja dipersalahkan dalam kes ini kerana biasanya, remaja merupakan
golongan terbesar melibatkan diri dalam kegiatan ini. “Kerana nila setitik, rosak
susu sebelanga”. Peribahasa ini bertepatan sekali dengan situasi yang berlaku
ini. Masyarakat telah menerima akibatnya hasil daripada kegiatan tidak bermoral
ini dan secara tidak langsung telah menimbulkan persepsi orang luar tentang
kredibiliti masyarakat setempat dalam membendung kes-kes seperti daripada
berlaku.

Tidak dapat dinafikan juga pembuangan bayi memberi kesan yang sangat
besar kepada negara. Secara eroninya, jatuh dan bangun sesebuah negara itu
bergantung sepenuhnya kepada akhlak remaja atau generasi pada waktu
sekarang. Antara kesan yang pastinya berlaku ialah kerancakan pembangunan
terbantut serta ekonomi negara sukar untuk berkembang disebabkan wujudnya
gejala sosial ini. Tambahan lagi, perbelanjaan kerajaan turut meningkat untuk
menampung bayi yang diletakkan di rumah kebajikan masyarakat. Hal ini kerana,
bayi yang dijumpai biasanya ditempatkan di rumah kebajikan masyarakat
sebagai penempatan sementara. Pada masa yang sama, ibu bapa bayi tersebut
dicari dan sekiranya tidak menjumpai, rumah kebajikan masyarakat pastinya
menjadi penempatan kekal mereka. Perkara seperti ini pastinya membebankan
pihak kerajaan dan pihak yang berkaitan dari segi kewangan.

Nyatakan pendirian anda tentang cadangan pelaksanaan hukuman mati kepada


pesalah yang terbabit dalam gejala pembuangan bayi ini dan nyatakan juga
implikasinya kepada masyarakat keseluruhannya .

Hukuman mati ialah hukuman yang diputuskan oleh pihak mahkamah


membabitkan pesalah dibunuh sebagai balasan jenayahnya, sama ada secara
pancung, tembak, gantung, suntikan maut dan sebagainya.

Di Malaysia, kes pembuangan bayi dilihat berlaku semakin menjadi-jadi.


Dianggarkan bagi tempoh 2008 hingga 2009, sebanyak 181 kes pembuangan
bayi dilaporkan di Malaysia, manakala 60 kes direkodkan sejak awal tahun 2010
hingga 12/8/2010. Malah masalah ini dari hari ke hari semakin bertambah di
negara tersebut. Keadaan tersebut dipandang cukup serius oleh pelbagai pihak
termasuk agensi kerajaan, penguatkuasaan dan beberapa badan bukan
kerajaan akibat dari liputan media yang hangat.

Berikutan itu, Kabinet Malaysia telah memutuskan kes pembuangan bayi


disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh bagi memastikan
perbuatan tidak berperikemanusiaan itu menerima hukuman berat.

Kes bunuh disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta


574) yang membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan
membunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama membawa hukuman penjara
maksimum 20 tahun.

Sebelum ini, semua kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen


31 Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum denda maksimum RM 20,000
atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. [6]
Pada pendapatan saya, saya tidak setuju tentang pelaksanaan hukuman
mati kepada pesalah yang terbabit dalam gejala pembuangan bayi ini. Banyak
kes pembuangan bayi yang berlaku di dunia ini, kita memang akan berasa sedih
dan marah. Tetapi bukanlah semua kesalahan pesalah tersebut. Banyak faktor
yang telah menyebabkan gejala pembangunan bayi berlaku, seperti sejarah
keluarga, sakit, rakan sebaya, ibu bapa, pihak sekolah, dan lain-lain.

Pihak berkuasa boleh mengikut alasan yang diberikan oleh pesalah


melakukan kes pembuang bayi untuk memberi hukuman yang sesuai kepada
mereka. Hukuman yang sesuai dapat membentuk pesalah itu menjadi seorang
yang berilmu dan pandai berfikir sebelum melaksanakan sesuatu yang negatif.
Kalau pihak berkuasa melaksanakan hukuman mati kepada setiap pesalah,
masalah pembuangan bayi juga tidak dapat diselasaikan dengan berkesan.

Memberi hukuman yang sesuai berdasarkan alasan yang diberi dapat


membina satu masyarakat yang aman danadil. Undang-undang dibentukan
untuk menjaga keamanan rakyat dan Negara, bukanlah untuk memusnahkan
nyawa manusia. Untuk membina sebuat masyarakat yang aman dan harmoni,
kita perlulah mengatasi masalah-masalah dengan cara yang adil dan aman.
PENUTUP

Melihat kepada permasalahan dan gejala pembuangan bayi yang


melanda remaja pada hari ini sememangnya amat mencemaskan. Tindakan
untuk mengawalnya sudah sampai ke tahap yang dianggap terdesak.
Pertaruhannya adalah masa depan negara dan generasi Malaysia. Walaupun
sudah banyak kajian yang dilakukan oleh pelbagai pihak mengenai sikap dan
tingkah laku remaja tetapi kajiannya lebih bersifat tujuan akademik dan tertumpu
kepada punca masalah dan biasanya bersifat umum sahaja. Di sebabkan terlalu
banyak punca yang berlaku, tindakan untuk membendung masalah tidak lagi
berfokus. Meskipun ada cadangan mengenai cara untuk mengatasi masalah ini,
namun, semuanya berakhir di meja perbincangan, forum atau seminar sahaja.

Memang ada program yang dirangka untuk remaja tetapi ianya tidak memberi
kesan yang sepenuhnya. Remaja adalah kumpulan masyarakat yang bakal
mencorakkan masa depan negara. Mereka adalah aset kekayaan semulajadi
yang bakal memegang peranan penting dalam politik, ekonomi dan
kemasyarakatan di negara ini. Namun demikian, masalah akhlak di kalangan
remaja adalah salah satu daripada ancaman kepada sumber tenaga manusia
yang merugikan negara dalam jangka masa panjang. Justeru itu, setiap warga
masyarakat tanpa mengira kaum haruslah bersatu padu menggembleng tenaga
mencegah dan membanteras supaya penyakit sosial ini tidak menular dengan
lebih serius. Bak kata pepatah, “ bulat air kerana pembetung, bulat manusia
kerana muafakat ”.

Pihak atasan seperti badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan juga perlu
lebih peka dan menganjurkan pelbagai ceramah atau motivasi kepada remaja
supaya mereka mendapat lebih informasi tentang gejala ini dan sedar mengenai
kesan dan bahaya daripada perbuatan tidak bermoral itu. Dengan usaha-usaha
yang dilakukan secara bersama dan menyeluruh ini, ia sedikit sebanyak dapat
mengurangkan masalah ini daripada terus menjadi satu penyakit berbahaya di
negara Malaysia ini. Tiada siapa patut menuding jari pada pihak yang lain,
kerana setiap daripada kita adalah merupakan ahli masyarakat.

RUJUKAN

Abdul Halim Abdullah. 2010. Koleksi Berita Buang Bayi: Remaja Tanam Bayi.
http://inijalanku.wordpress.com/berita-baru/mayat-bayi-ditemui/ [ 20MARCH 2013

Anitayahya. 2007. Pengguguran dan Pembuangan Bayi: Definisi pembuangan


bayi. http://pengguguranbayi.blogspot.com/ [21 MARCH 2013 ]

Kamus Dewan Edisi 4. 2005. Edisi baru. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Khoo Kay Kim dan Alias Mohammed. 1937. Masalah Sosial Dan Politik Di
Malaysia. Kuala Lumpur: Gateway.

Rizanizam Abdul Hamid. 2010. Remaja Tanam Bayi. Utusan Malaysia, 17 Mei:
17.

Yong, Karen. 2006. Masalah Sosial Tiada Penghujungnya. Cheras, Selangor:


Penerbitan Premier.

Buku Dasar Kerajaan. (2006). Dasar-dasar kerajaan. Kuala Lumpur. Jabatan


Penerangan Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai