Anda di halaman 1dari 64

TRAVELOG

Ekspedisi Meneladani Pemikiran Hamka

[XPDC HAMKA]
MOTTO Transformasi Pemikiran Merentasi Zaman TARIKH 29 Disember 2009 12 Januari 2010 TEMPAT Padang-Pariaman-Bukittinggi-Maninjau Sumatera Barat, Indonesia ANJURAN Grup Pengkaji Tamadun Dunia Unisel (GPTD UNISEL)

KERJASAMA Global Peace Mission Malaysia (GPM) Dewan Dawah Islamiyyah Indonesia (DDII) Pondok Pesantren Prof Dr Hamka (PPPDH)

PENDAHULUAN Sejarah dan ketamadunan merupakan suatu perkaitan yang rapat. Di mana lahirnya tamadun, di situlah wujudnya sejarah. Kealpaan generasi muda menimba ilmu dan mengejar arus kemodenan telah membataskan minat dan fokus mereka untuk mengkaji tentang sejarah. Tanpa kita sedari, hal inilah yang bakal merosakkan minda anak-anak muda dan menjadikan kegemilangan tamadun lampau tenggelam ditelan zaman.

Atas kesedaran terhadap perkara inilah, kami dari Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) Unisel telah bermuafakat untuk menjalankan misi ke Padang-PariamanBukittinggi-Maninjau Sumatra Barat, Indonesia. Misi ke sana bukanlah suatu pengembaraan yang sia-sia kerana kembara ini adalah membawa konsep Membawa Rahmat Ke Sekalian Alam. Pemilihan tempat ini dilakukan berdasarkan kelahiran tokoh agung di sana iaitu Haji Abdul Malik bin Karim bin Amrullah atau dikenali dengan gelaran Buya Hamka.

Beliau merupakan salah seorang tokoh pendakwah yang disegani di rantau Nusantara, juga seorang yang bijak dan mahir dalam bidang kesusasteraan, penulisan kreatif dan profilik, seorang pujangga dan ahli falsafah Islam. Zaman remajanya seperti anak-anak muda lain. Dari seorang remaja yang nakal menjadi ulama yang tersohor. Transformasi yang berlaku dalam diri beliau sewajarnya menjadi ikutan dan dorongan kepada kita semua.

Ini telah membuktikan bahawa setiap individu mampu berubah ke arah yang lebih baik, bergantung kepada kesungguhan dan inisiatif mereka untuk berusaha. Tidak ada yang mustahil di dunia ini. Inilah yang pihak kami cuba terapkan di kalangan mahasiswa Unisel yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan latar belakang. Semoga dengan

kembara ini akan membawa suatu perubahan dan paradigma kepada mahasiswa Unisel.

OBJEKTIF

1. Mengkaji Pengkisahan sejarah kehidupan Buya Hamka 2. Melakukan aktiviti khidmat sosial dan kajian di Danau Maninjau 3. Melatih sukarelawan muda dengan kerja-kerja khidmat sosio-budaya dan pendidikan di peringkat antarabangsa seperti: Pemetaan Komuniti Jorong Kukuban Pengajaran Bahasa Inggeris dan Matematik untuk pelajar PPPDH Mahasiswa bersama keluarga angkat Kem XPDC Hamka untuk pelajar PPPDH 4. Membentuk sukarelawan muda yang bakal melakukan anjakan paradigma serta mendedahkan mereka dengan isu-isu antarabangsa dan dunia global dalam proses penjanaan minda yang positif dan cemerlang 5. Membina jaringan antarabangsa terutamanya di kalangan belia dan mahasiswa Malaysia yang berada di Indonesia dan mahasiswa Indonesia

PESERTA 7 orang mahasiswa Universiti Industri Selangor 4 orang aktivis Global Peace Mission Malaysia 1 orang Pegawai Pengiring Universiti Industri Selangor

TARIKH 29 Disember 2009 hingga 12 Januari 2010

TEMPAT
Padang-Pariaman-Bukittinggi- Maninjau Sumatera Barat, Indonesia

AHLI JAWATANKUASA PROGRAM

Penaung Prof. Madya Hj. Zainal Abidin bin Kidam

Penasihat En. Izwan Suhadak bin Ishak

Pengarah Junaidah bte Ismail

Timbalan Pengarah Mohd Safarudin bin Jhinku

Setiausaha Hdariyani binti Kampun Penolong Setiausaha Nur Aqliah binti Ariffin Bendahari Hafizah binti Azizan

Ahli Jawatankuasa 1.Muhammad Izzat bin Chiaril Anuar 2. Siti Khadijah binti Abd Latif

TRAVELOG

( 29 Disember 09 , Selasa) Hari Ke-1

Rombongan bertolak dari LCCT jam 7.50 pagi (waktu Malaysia) dan tiba di Bandara Minangkabau jam 8.00 pagi (waktu Indonesia Barat). Kami dijemput oleh aktivis Dewan Dawah Islamiyah Indonesia (DDII) iaitu Sdr. Fauzan dan Sdr Afdinal. Dua buah Avanza telah siap disewakan khas untuk kami. Destinasi pertama kami adalah Islamic Centre di Kota Padang yang akan menjadi penginap untuk aktivis lelaki. Setelah tiba di sana, kami dibawa makan ke warung berhampiran untuk menikmati sarapan pagi. Selesai sarapan kami terus berbincang tentang rencana pergerakan kami agar boleh dibantu atur oleh pihak DDII. Mesyuarat ringkas dan beberapa keputusan telah dibuat untuk pergerakan ke Pariaman bagi meninjau kesan gempa dan ziarah mangsa gempa ke sana. Sebelum itu rombongan ke kediaman untuk penempatan aktivis perempuan berhampiran Universitas Negeri Padang.

Jam 11.00 pagi kami bergerak ke Pariaman. Dalam perjalanan kami sempat singgah ke pasaraya untuk membeli sedikit jajan (ole-ole) untuk anak-anak mangsa gempa. Beberapa kotak yang mengandungi buku dan majalah daripada sumbangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut dibawa untuk diedarkan di sana nanti. Dalam perjalanan kami singgah di sebuah masjid untuk menunaikan solat jama takdim zuhurasar. Perjalanan kami terus ke destinasi di Kg Sg Limau dan bertemu dengan NGO di sana. Pelajar Islam Indonesia (PII) telah berada di sini selama satu minggu untuk mengisi kelapangan masa dengan mengajar al-Quran kepada anak-anak kampung. Kami bertemu dengan PII dan saling bersilaturahmi. Banyak idea yang bercambah dan kerjasama yang dapat dilaksanakan pada masa yang akan datang. Selepas perbincangan kami di bawa ke kelas al-Quran untuk mengisi slot. Beberapa aktiviti di buat ringkas dan penyerahan ole-ole, majalah dan buku-buku yang akan dapat ditempatkan di Sudut Pustaka. Lewat petang kami bergerak ke Padang untuk membuat persiapan pertemuan dan dialog bersama mahasiswa Indonesia pada malam nanti.

Pada malamnya pula pertemuan mahasiswa Islam yang menginap di Islamic Centre telah diatur untuk Dialog Ketamadunan antara Penasihat GPTD UNISEL, Saudara Izwan Suhadak Ishak (Naib Presiden GPTD Induk), dua orang wakil mahasiswa iaitu

Saudara Khaidir (Perwakilan Santri Islamic Centre Al-Quds) dan Saudara Lucky Oktaviadi (Ketua Yayasan Amal Saleh Sumatera Barat) sebagai penalis. Diskusi yang dimodurasi oleh saudara Afdinal daripada Dewan Dawah dimulakan dengan penerangan ringkas tentang GPTD dan organisasi mahasiswa yang wujud di sini. Pusingan kedua Diskusi laluan diberikan kepada mahasiswa bertanyakan soalan kepada panel. Antara hasil diskusinya, semua bersetuju bahawa Malaysia Indonesia adalah satu rumpun. Maka tokoh pemikir seperti Hamka bukanlah milik Republik Indonesia sahaja tetapi seluruh ummat Islam di Asia Tenggara malah dunia. Pengkajian sejarah harus dikembangkan di kalangan anak muda agar semangat perjuangan ummat Islam sentiasa segar dalam jiwa setiap muslim. Faham Islamisasi Ilmu, gagasan Syed Naquib Al-Attas juga disentuh supaya pandangan keras terhadap fahaman-fahaman sekularisme, Pluralisme dan Liberalisme dapat ditanggapi dan diuruskan dengan baik dan bijak. Jaringan GPTD akan terus dijalin dan mengajak mahasiswa Indonesia turut serta dalam usaha menyampaikan misi rahmatan lil alamin.

(30 Disember 09, Rabu) Hari Ke-2

Solat Subuh berjamaah di surau Islamic Centre seawal jam lima pagi tanpa bacaan doa qunut. Selesai solat majlis Kultum (Kuliah Tujuh Minit) bermula dengan tilawah daripada salah seorang mahasiswa yang sudah ditugaskan mengikut giliran. Jam lapan pagi kami semua bergerak bersiar-siar di sekitar Padang meninjau pemandangan indah dan kesan gempa yang berlaku pada September lalu. Seperti yang telah diaturkan, kami berangkat ke Universitas Andalas untuk pertemuan dengan mahasiswa Malaysia yang rata-ratanya jurusan perubatan. Kami saling berkongsi idea dan memperkenalkan Unisel dan menyatakan tujuan kami datang. Mereka nampaknya teruja dan berminat untuk turut serta dalam aktiviti kami di Maninjau nanti. Cuma mereka kehadiran mereka beberapa hari lagi. akan mengesahkan

Sebelah petang kami bergerak ke Bukittingi. Rombongan kami akan disambut oleh Bapak Iyep serta isterinta iaitu Ibu Harlina. Mereka adakah staf Global Peace Mission Malaysia yang menguruskan projek Micro Finance. Perjalanan yang berliku-liku dan mencabar menyebabkan kami sampai lewat Maghrib. Kami di sambut mesra oleh Pak

Iyep dan isteri. Pada malam itu juga kami dibawa bersiar ke Jam Gadang lokasi menarik di Bukittinggi. Kami saling cuba praktiskan bahasa minang yang telah dipelajari di Unisel dulu. Walaupun agak kaku dan pelik, tapi galakkan dan senyuman sentiasa terukir di kalangan masyarakat Minang sebagai tanda penghormatan.

(31 Disember 09, Khamis) Hari Ke-3

Seawal subuh kami bersolat di Masjid Baitul Jalal Muhammadiyah. Kali ini tiada Kultum, jamaah yang hadir juga kurang. Sekitar 10 orang yang sudah tua tetapi masih gagah. Maka kami mengambil inisiatif untuk mengadakan Kultum sendiri. Selepas itu kami terus berkumpul untuk mengadakan riadah pagi. Setelah selesai khidmat diri, kami dijemput oleh Pak Iyep untuk bersiar-siar ke sekitar Bukittinggi antaranya ke Lubang Japang dan Jam Gadang. Kami juga dibawa ke pejabat Baitulmal wat Tamwil (BMT) Baitul Hasanah, pejabat yang menguruskan projek GPM. Kami sempat singgah ke Kedai Buku Irama yang menawarkan buku-buku agama dengan harga yang berpatutan. Aktivis kebanyakkannya membeli terjemahan al-Quran. Lewat petang kami terus ke stesen bas untuk meneruskan perjalanan utama kami iaitu Maninjau.

Perjalanan kali ini agak mencabar kerana kami bersendirian dalam kumpulan tiada yang mengiringi kami kecuali pegawai pengiring En Izwan Suhadak. Menarik laluan kami adalah kelok 44 yang mana seperti laluan zig-zag. Memang tajam dan menggerunkan. Tetapu pemandangan diluar bas sangat saujana mata memandang. Sambil diringi titisan hujan renyai. Di dalam bas kami berbual-bual penduduk tempatan saling kenalmengenali. Jam empat petang kami selamat sampai di Jorong Kukuban, Maninjau. Pondok Pesantren Prof Dr Hamka (PPPDH) telah ditempatkan sementara di Mussola, Jorong Kukuban. Kami telah disambut oleh Pimpinan PPPDH, Drs Zainul Ariffin serta pelajar-pelajarnya dengan mesra.

Kami diberikan sebuah rumah sebagai Pejabat Operasi kami. Penginapan aktivis lelaki adalah di Mussola manakala aktivis perempuan di rumah tersebut. Kemudian itu, kami diiring ke Mussola untuk bertemu dengan ustaz, ustazah, guru dan pelajar PPPDH. Drs Zainul Ariffin memberi ucapan aluan dan menjemput En Izwan Suhadak menyampaikan ucapan ringkas menerangkan tujuan kehadiran kami. Kami bersiap untuk solat Maghrib

di Mussola. Selesai solat kami dibawa ke rumah salah seorang penduduk Jorong Kukuban yang merupakan sorang guru. Ketika ini sekolah masih bercuti. Kami dihidangkan dengan masakan yang sungguh enak. Masakan istimewa masyarakat Minang yang banyak berasaskan ikan.

Malamnya kami berbincang dengan Ustaz Nasrullah tentang rencana kami sehingga tanggal 12 Januari sambil menikmati makan malam di rumah adik Ibu Nisma yang merupakan Pengurus Majlis Tabligh di Jakarta. Setelah Ustaz Nasrullah jelas dengan perancangan kami beliau bersetuju untuk membawa kami bertemu dengan Pak Jorong pada esok pagi kerana malam ini Pak Jorong agak sibuk dengan urusan kampung. Selepas Isya kami mengadakan perbincangan sesama aktivis untuk gerak kerja pada hari esok. Kami semua bersetuju untuk bergilir-gilir menyampaikan Kultum untuk solat subut dan maghrib. Arahan persedian sebagai khatib di kalangan aktivis lelaki ada minggu hadapan juga telah dimaklumkan.Bagi Jumaat minggu hadapan beberapa orang aktivis perempuan juga diminta bersedia untuk mengisi slot Kuliah Asyiah (kuliah kaum ibu sebelum solat Jumaat). Malam itu kami tidur nyeyak barangkali keletihan yang amat sangat.

( 1 Januari 2010, Jumaat ) Hari Ke-4

Solat subuh berjamaah di Mussola yang sangat berhampiran Danau Maninjau. Kami dapat mendengar hempasan riak dan ombak air danau ke tebing surau. Selepas solat subuh seperti biasa adalah Kultum. Ustaz Hassan yang merupakan guru al-Quran

adalah seorang Huffaz salah seorang lepasan pondok pesantren di Jawa. Beliau mempersilakan wakil daripada kami untuk menyampaikan tazkirah. Nampaknya aktivis kami terkejut dan terpinga-pinga atas jemputan itu. Maka En Izwan Suhadak tampil kehadapan menyampaikan tazkirah ringkas. Selepas itu, kami menjalankan aktiviti riadah sendiri di hadapan rumah, Pejabat Operasi. Kali ini pelajar perempuan PPPDH telah menghantar sarapan pagi ke rumah Pejabat Operasi untuk kami semua. Kami terkejut juga dengan layanan mereka, Dimaklumkan penyediaan makan pagi, tengah hari dan malam disediakan sendiri oleh mereka dengan diketuai oleh isteri Ustaz Nasrullah.

Selesai sarapan, kami bergerak beramai-ramai untuk bersilaturahmi ke rumah Pak Jorong Kukuban. Kami disambut mesra oleh beliau yang kelihatan usia belia. Wah baru belia sudah diamanahkan sebagai ketua kampung. Semangat ini patut dicontohi oleh masyarakat Malaysia dalam soal bermasyarakat. Kami menyatakan hajat dan keizinan untuk mengadakan program di sekitar Jorong Kukuban. Antara program yang direncanakan dan diterangkan kepada beliau adalah keluarga angkat, turun ke desa (TURDA), pemetaan komuniti, gotong royong bersama orang kampung, kem XPDC Hamka dan kajian tumpuan tentang sosio budaya masyarakat minang.

Pak Jorong sangat mengalu-alukan agenda kami dengan memberi ruang dan peluang untuk menjayakan program yang kami rancang. Insya Allah untuk keluarga angkat Pak Jorong akan tinjau-tinjau orang kampung yang sudi untuk menerima anak angkat dari Malaysia. Malam nanti akan berlaku menyerahkan anak angkat kepada ibubapa angkat. Kami pulang dan bertumpu di Pejabat Operasi untuk menyediakan persedian borang kaji selidik untuk mengkaji tentang sosio budaya masyarakat Minang dan sejauh mana masyarakat di Jorong Kukuban mengenali Hamka sebagai seorang tokoh.

Kemudian, Drs Zainul Ariffin, Ustaz Nasrullah telah membawa kami mengelilingi Danau Maninjau dengan menaiki van rasmi PPPDH. Walaupun rasmi, sebenarnya keadaan van tersebut sangat uzur tetapi cukup memuatkan kami dan memberi peluang untuk menikmati keindahan danau. Kemudiannya destinasi yang utama dalam XPDC HAMKA adalah ke Museum Rumah Kelahiran Buya Hamka di Sg Batang. Rumah yang menyimpan koleksi karya-karya Buya Hamka dan barang peribadi beliau. Kami sangat teruja ketika Ibu Nisma menceritakan kisah Buya Hamka kepada kami. Beliau pernah bertemu Hamka dan salah seorang pengkagum Hamka. Beliau merupakan jiran tetangga dengan anak-anak Hamka seperti Pak Rusydi di Jakarta. Rakaman temubual juga sempat dilakukan oleh aktivis Noraqliah dan Hdariyani untuk memahami

gagasan besar dan semangat perjuangan Hamka.


Hari ini Jumaat, satu masjid telah bersiap sedia menerima kehadiran kami untuk menyampaikan khutubah. Kali ini adalah giliran Sdr Ammar, aktivis GPM. Beliau dipilih kerana terpaksa pulang awal ke Malaysia akan mendaftar diri ke UniKL pada hari sabtu esoknya. Maka kami terus ke destinasi dan Sdr. Ammar pun selamat menyampaikan

khutubah dalam bahasa Melayu yang mirip bahasa Minang di Masjid Al-Huda, Sg. Tampang, Desa Pantai Barat . Sementara kami solat Jumaat, aktivis perempuan menikmati makan tengah hari menemani Ibu Nisma yang turut serta. Menarik di sini adalah selepas solat Jumaat, Pak Jorong dan kariah akan bermesyuarat untuk membincangkan isu dan masalah yang berlaku di kampung mereka. Dari orang tua hinggalah ke anak muda semuanya turut terlibat memberi idea dan kritik secara terbuka. Maka ini adalah suatu gambaran demokrasi dari kalangan masyarakat Melayu teleh berlaku lama. Selepas solat kami singgah ke Batu Nanggai yang merupakan penempatan asal PPPDH yang telah ditimpa gempa bumi dan tanah runtuh. Tetapi keadaan tidak mengizinkan kerana cuaca mendung. Masyarakat tempatan juga tidak berani ke sana sekiranya cuaca hujan kerana masih berlaku kejadian gelongsoran (tanah runtuh).

Pada sesi malam selepas Maghrib kebiasaannya Ustaz Hassan akan bertilawah secara berjamaah bersama pelajar PPPDH. Kami juga turut meraikan dan menyertai majlis tilawah tersebut. Selain menabur bakti di sini, kami mengambil peluang untuk belajar dan hidup secara pondok bagi merasaikan keseronokan dan susah payah menjadi seorang pelajar pondok. Inilah konsep yang cuba diterapkan oleh En Izwan Suhadak kepada aktivis iaitu Belajar, Mengajar dan Diajar.

Selesai itu kami terus berkumpul di Pejabar Operasi untuk mendengar taklimat Program Penyerahan Keluarga Angkat oleh Ustaz Nasrullah. En Izwan Suhadak juga memberikan nasihat agar menjada adab bersama keluarga angkat. Anggap mereka seperti keluarga kandung., pesan En Izwan Suhadak. Diluar sudah kedengaran bunyi ketukan rebana dan gendang yang dipalu oleh anak muda Jorong Kukuban. En Izwan Suhadak meminta setiap aktivis untuk menuliskan surat wasiat. Kami bergerak ke rumah keluarga angkat dan setiap keluarga akan menerima dua orang anak angkat. Setiap ibubapa angkat sangat gembira dengan kehadiran kami. Ammar tidak dapat menyertai program ini kerana terpaksa pulang awal esok pagi selepas subuh.

( 2 Januari 2010, Sabtu ) Hari Ke-5

Seperti selalu Solat subuh berjamaah di Mussola bersama pelajar PPPDH. Giliran Ammar menyampaikan Kultum yang berkaitan dengan Aqidah Islamiyyah. Selesai kultum kami bersiap untuk menghantar Ammar pada jam tujuh pagi. Ammar sudah bersiap sejak malam tadi lagi di Pejabat Operasi bersama En Izwan Suhadak dan menunggu travel (kenderaan MPV) untuk ke Bandara Minangkabau di hadapan rumah. Turut hadir Ustaz Nasrullah, Sarah dan Rafiqah. Aktivis yang lain mungkin sedang sibuk bersama aktiviti dengan keluarga angkat. Kami tunggu bersama untuk menghantar Ammar buat kali terakhir di Maninjau. Walaupun sekejap kami bertemu tetapi ukhwah kami sangat erat dan rasa sedih ketika keberangkatan Ammar. Insya Allah kita bertemu lagi di Malaysia.

En Izwan Suhadak mengikut Ustaz Nasrullah ke keramba (sangka ikan di pinggir Danau Maninjau). Sedangkan yang lain sedang menemankan keluarga angkat masing-masing ada yang ke danau membantu bapa menangkap ikan, ada yang ke kolam ikan dan ke sawah padi, ada yang membantu ibu tunggal menjemur padi dan mengutip buah pala dan pinang. Menarik di sini adalah pengangkutan selain travel (MPV), bas dan angkutan. Motor atau disebut sebagai ojek yang digunakan sebagai teksi motor. Cara untuk menahan sangat mudah hanya dengan mengangkat tangan untuk menahan motor tersebut sambil menyebut Ojek...!!!. Ianya sangat melucukan buat kami semua. Jiran kami di sebelah rumah Pejabat Operasi adalah Uni Ati yang sangat ramah. Malah beliau menawarkan motornya untuk digunakan jika mahu kemana-mana. Kami sangat terharu dengan layanan masyarakat di sini. En Izwan Suhadak telah menggunakan motor Uni Ati untuk ke Pasar Maninjau untuk singgah ke Kafe Siber melaporkan aktivis semasa melalui blog (http://gptdunisel.blogspot.com)

Selepas zuhur kami berkumpul untuk mendengar pengalaman masing-masing secara ringkas. Untuk rekod Safarudin dan Izzat rasa agak kurang sihat kesan mandi di danau dan kembung perut kerana masuk angin danau. Rumah keluarga angkat mereka memang sangat hampir dengan danau. Junaidah pula demam dan gastrik. Mungkin tidak sesuai dengan makan tempatan. Uni Ati juga membantu dari segi ubatan dengan memberi minyak angin. Malah pelajar PPPDH menyediakan air teh halia bagi menghilangkan angin dalam perut. Sementara itu aktivis yang lain masing-masing membuat persediaan sendiri untuk melakukan kajian tumpuan.

Aktivis Izzat diminta untuk menyelaraskan Kem XPDC Hamka yang akan laksanakan pada Jumaat minggu hadapan. Safarudin, Khatijah, Sarah dan Rafiqah membuat perbincangan modul Bahasa Inggeris untuk dilaksanakan pada sesi persekolahan yang akan dibuka pada hari Isnin hadapan. Sekarang ini sekolah masih sedang bercuti kerana ini kami memanfaatkan dengan program keluarga angkat. Pelajar-pelajar PPPDH yang tidak bercuti kerana mereka adalah anak yatim dan mualaf. Manakala Junaidah dan Aqliah pula membuat persediaan untuk ke TK (panggilan Tadika) menemani Uni Ati yang merupakan guru TK. Hafizah pula mengambil peranan membuat persediaan mengajar bahasa Mandarin dan Sains & Matematik. Hdariyani pula diamanahkan sebagai ketua Pemetaan Komuniti dan dibantu oleh Junaidah. Ilyas pula diminta untuk mengambil gambar program dan membuat kajian tumpuan yang berkaitan dengan flora.

Seperti biasa maghrib berjamaah, dan bacaan tilawah kami berkumpul di Mussola bersama-sama pelajar-pelajar PPPDH untuk mendekati dan memahami pemikiran mereka supaya bila kami mula mengajar di dalam kelas lebih cepat mesra. Selesai solat Isya pihak Pimpinan danUstaz Ustazah mengadakan satu majlis penyampaian hadiah kepada mereka yang muntaz dalam peperiksaan tahun lalu. Seorang pengacara majlis yang petah dari kalangan pelajar membuat kami sangat teruja. Beliau bernama Putera Salmon. Nama orang di sini memang agak pelik dan mengelikan hati kami tetapi itulah yang kami rasakan sebagai satu keunikkan. Keberanian dan kelancaran beliau berpidato dan mengendalikan acara sangat memeriahkan program pada malam ini.

Persembahan nasyid juga disampaikan oleh pelajar-pelajar perempuan yang sangat merdu suara mereka. En Izwan Suhadak dijemput untuk memberikan pidato ringkas kepada hadirin yang hadir. Selepas itu yang mengejutkan ialah MC telah meminta kakak-kakak daripada Malaysia untuk membuat persembahan nasyid kepada khalayak. Kami semua terpingga-pingga, kelu lidah muka merah tak terkata. En Izwan Suhadak sekali bangkit dan berkata, Kalau diberitahu awal akan kami siap-siap untuk menyampaikan persembahan tetapi ini kejut-kejutan, kata beliau sambil tersenggih. Oleh kerana MC dah panggil kakak-kakak daripada Malaysia maka saya

mempersilakan aktivis perempuan untuk tampil menyampaikan persembahan, kata beliau mengejutkan aktivis perempuan. Tiada pilihan maka aktivis perempuan pun

tampil ke hadapan dan menyanyikan lagu Opick yang berjudul Bersyukur dengan diketuai oleh Saudari Aqliah.

Malam ini adalah pengalaman yang indah walaupun agak mengejutkan. Melucukan persembahan malam tadi adalah lirik yang tidak lancar oleh aktivis perempuan telah disambut oleh pelajar-pelajar perempuan PPPDH dengan menyanyi bersama-sama alaala konsert lagi. Kami dikunjungi oleh Ustaz Irfan daripada Dewan Dawah yang sedang menguruskan Posko di Sg Batang membantu penempatan semula mangsa gempa dan tanah runtuh yang kebanyakan daripada Batu Nanggai. Malah beliau menjemput kami untuk turun kelapang menjalankan trauma healing di kalangan mangsa di sana. Malah di situ juga ada satu khemah besar untuk operasi TK. Insya Allah kami akan melakukan ziarah tinjauan untuk melihat keadaan awal di sana kemudian kami akan hantar aktivis untuk membuat program. Ustaz Irfan juga sangat gembiran dengan kehadiran kami dan ingin mengajak kami ke satu penemuan baru yang berkaitan dengan kajian hamka. Kami juga teruja dengan tawaran beliau. Selesai berbual panjang, beliau pulang ke rumah di Sg Batang.

(3 Januari 2010, Ahad) Hari Ke-6

Solat subuh jamaah diimamkan oleh Ustaz Hassan dan majlis Kultum pula disampaikan oleh aktivis Ilyas dengan tajuk taat kepda ibubapa. Selesai majlis aktivis terus pulang ke rumah keluarga angkat manakala En Izwan Suhadak mengikut Ustaz Nasrullah. Khatijah dan Aqliah turut serta ke Keramba bersama Ustaz Nasrullah untuk melihat aktiviti memberi makan ikan. Keramba ini diusahakan oleh pihak ustaz-ustaz untuk menampung kos operasi di PPPDH. Satu keramba mengandungi 4 petak. Satu petak boleh mengandungi 50 ribu ikan talapia. Hasil boleh diperolehi selepas empat bulan ternakan. Agak mencabar juga kerja ini kerana perlu mendayung sampan ke tengah danau yang dalam. Tetapi mudah bagi mereka yang telah biasa dan pandai berenang.

Sekitar jam 10 pagi penduduk Jorong Kukuban mengadakan gotong royong

ke

Kubugadang. Lokasi baru pembangunan PPPDH. Kubugadang adalah kawasan tanah tinggi dan merupakan kampung tinggal kerana frasarana jalan raya yang tidak dibangunkan oleh pemerintah. Oleh itu orang kampung akhirnya berhijrah meninggalkan

kampung tersebut, tetapi masih ada lagi yang tinggal kerana tiada pilihan. Aktivis yang bersama orang kampung turun untuk membersihkan semak yang telah menutup jalan laluan ke atas puncak Kubugadang adalah Izzat, Ilyas, Sarah, Rafiqah dan En Izwan Suhadak. Setiap orang yang hadir menyertai gotong royong akan di ambil kehadiran dengan mengisi Daftar Hadir Jorong Kukuban yang telah disediakan oleh Pak Jorong. Ketika dalam pertengahan perjalanan menuju puncak, kami diperlawa menjamah makanan yang telah siap dibawa oleh orang kampung sepeti kuih bahulu, pisang, rambutan dan air.

Ketika sedang menikmati, kelihatan anjing datang ke arah kami. Orang di sini sudah biasa dengan anjing kerana memang mereka akan bawa ketika masuk kebun bagi menghalau babi yang sering merosakan tanaman mereka. Tetapi tidak biasa buat kami orang Malaysia. Maka kami pun buat-buat selamba sahaja. Memang anjing itu tidak mengganggu kami pun sekadar jalan berhampiran sahaja. Sedang aktivis Ilyas menikmati makanan dia tiba-tiba muntah. Wajahnya juga nampak pucat lesu. Barangkali giliran dia pula kerana rakan aktivis yang satu ibubapa angkat telah pun mengalami demam dan sakit perut. Oleh itu Ilyas di minta untuk turun ke bawah dan pulang ke rumah sambil di bantu oleh Izzat. Manakala aktivis Sarah dan Rafiqah pula tidak larat hingga ke puncak.

Kini tinggal En Izwan Suhadak meneruskan perjalanan menunju puncak dengan ditemani oleh Ibu Ati dan Ibu Ras. Mereka ini memang simple orangnya. Kebiasaannya jika kerja berat ini orang akan memakai seluar tetapi mereka memakai kain batik. Menarik di sini adalah setiap hari akan ada orang kampung yang akan turut bergotong royong secara bergilir-gilir membersihkan kawasan ini. Perjalanan lebih kurang lima kilometer hingga ke puncak Kubugadang. Selepas melalui denai yang licin dan becak, terpaksa meniti batang pohon yang tumbang, memanjat bukit dengan memaut pada akar pohon dan lain-lain lagi. Akhirnya kami sampai di puncak Kubugadang. Pemandangan sekitar yang cantik saujana mata memandang menghilangkan rasa penat dan letih. Dari sini dapat dilihat keluasan dan kebiruan air Danau Maninjau. Juga kelihatan kesan tanah runtuh disekitar bukit bukau dan gunung ganang yang mengelilingi Danau Maninjau. Sangat sesuai dibina PPPDH kerana lokasi dan udara yang nyaman akan membuatkan pelajar-pelajar menikmati dan menghayati ilmu dengan baik.

Di atas langit mendung dan hujan rintik mulai turun seolah-olah tidak mengizinkan kami lama di sini. Maka kami terus bergerak pantas menurun bukit yang licin. Dalam perjalanan turun Ibu Ati sempat memetik pucuk paku untuk di bawa pulang. En Izwan Suhadak juga turut membantu memetik. Ada betul juga kata orang, antara menaiki dan menuruni bukit, menuruni lagi yang mencabar. Ketika menuruni beberapa kali tergelincir ke tanah kerana licinnya tanah sambil hujan rintik membasahi bumi. Ketika dalam perjalan menuruni orang kampung semua sudah kelihatan kerana sedang berehat di salah sebuah rumah tinggal menikmati makan tengah hari. Kami sabar menuruni dan dipelawa oleh salah seorang penduduk kampung di Kubugadang yang masih tinggal di sini untuk menikmati makan tengah hari. Nasi dan ikan masak sambil goreng, itu sahaja tetapi nikmat yang dirasai membuat kami rasa sangat enak dan kenyang. Ibu Ati dan Ibu Ras meneruskan perjalanan ke rumah masing-masing sambil memegang kayu untuk dijadikan kayu api. Katanya Kalau balik dari kebun kena pulang dengan hasil iaitu kayu api untuk memasak.

Akhirnya sampai juga ke rumah Operasi Pejabat dan berehat seketika sebagaimana telah dipesan oleh Ibu Ati di atas puncak tadi. Jika badan panas kerana aktiviti fizikal jangan terus mandi nanti kempung perut dan boleh demam. Kerana itu, rehat sekitar 10 hingga 15 minit dan minum air masak untuk relaks dan sejukkan badan. Kemudian barulah boleh mandi dan bersihkan badan. Sementara aktivis lain sibuk mengemas rumah dan membuat persediaan modul pengajaran yang akan digunakan esok. Ada juga yang keluar membuat soal selidik tentang sosio budaya masyarakat minang dan ketokohan Hamka.

Sebelah malam seperi biasa, selepas Maghrib bertilawah berjamaah dan majlis Kultum. Kali ini adalah giliran Junaidah menyampaikan Kultum. Walaupun baru sahaja sembuh daripada demam dan gastrik tetapi beliau gagahkan diri untuk menyampaikan tazkirah yang bertajuk ilmu. Pada malam ini kami makan bersama pelajar PPPDH dan Ustaz Hassan dengan menggunakan talam. Idea ini telah dicadangkan oleh En Izwan Suhadak bertujuan mengeratkan ukhwah. Kerana berdasarkan pemerhatian beliau, pelajar PPPDH akan ke dapur selepas masakan siap untuk mengambil sendiri hidangan dan makan secara individu. Oleh itu pesanan pembelian talam melalui Pimpinan PPPDH Drs Zainul Arifin yang kebetulan ke Lubuk Pasong telah di buat. Sasaran dalam 10 biji

talam. Tetapi yang dapat hanya 5 biji talam sahaja. Alhamdulillah dengan modul bersuap kegembiraan dan senyuman terpancar dikalangan pelajar PPPDH. Mereka akan saling suap menyuapkan secara bergiliran mengikut arah jam. Paling meriah ialah pelajar perempuan bersama kakak-kakak aktivis sambil gelak ketawa.

Selasai solat Isya kami mengadakan mesyuarat untuk gerak kerja esok. Aktivis diberikan sejumlah wang bernilai 500,000.00 rupiah buat keluarga angkat. Sebagai terima kasih atas layanan mereka kepada kami. Malam ini adalah malam, terakhir tidur di rumah keluarga angkat kerana selepas ini aktivis perempuan akan bertumpun di rumah Pejabar Operasi manakala aktivis lelaki di Mussola. Peringatan juga, esok hari Isnin semua aktivis diwajibkan berpuasa sunat Isnin untuk merasai suasana berpuasa di negara orang. Maka masing-masing akan bersahur di rumah keluarga angkat. Hikmah berpuasa pula, dapatlah kami mengurangkan perbelanjaan dan lebih menjiwa bagaimana pendakwah berkorban untuk agamanya.

( 4 January 2010, Isnin ) Hari Ke-7

Seruan azan oleh Ustaz Hassan mengejutkan orang kampung untuk hadir ke Mussola bersolat subuh berjamaah. Kemudian majlis Kultum kali ini disampaikan oleh Sarah dengan tajuk taubat. Ini adalah kali pertama Sarah menyampaikan tazkirah seumur hidupnya. Walaupun bergantung kepada buku tetapi penyampaiannya jelas dan sampai maksudnya kepada pelajar-pelajar PPPDH dan orang kampung yang hadir. Pagi ini kami tidak berkesempatan beriadah kerana bergegas ke rumah keluarga angkat masing-masing untuk bersiap dan bersedia untuk masuk ke kelas buat hari pertama persekolahan. Kecuali En Izwan Suhadak yang mengiringi Ustaz Nasrullah memberi makan ikan di keramba. Beliau sempat berpesan kepada ustaz agar dapat menangkap ikan lebih kurang 15 kilogram untuk juadah berbuka puasa bersama aktivis dan pelajar PPPDH. Kosnya nanti akan kami berikan kepada Pimpinan iaitu Drs Zainul Arifin seperti yang dipersetujui.

Sebagaimana dirancang, Safarudin, Khatijah, Sarah dan Rafiqah akan masuk ke kelas untuk mengajar bahasa Inggeris. Turut membantu mereka adalah Izzat, Hafizah dan Hdariyani. Pertemuan pertama lebih kepada membuat pemerhatian dan tinjauan

sejauhmana kefahaman dan penguasaan mereka terhadap subjek pembelajaran. Kebiasaannya pada hari pertama guru dan ustaz belum masuk ke kelas lagi kerana ada urusan di sekolah dasar (SD). Sistem pendidikan di sini, guru sekolah pemerintah (kerajaan) dibenarkan mengajar di sekolah pensendirian seperti PPPDH bagi menyokong sistem pendidikan agama di sini. Oleh itu, kebiasaan minggu pertama jadual belum seiring antara SD dan PPPDH. Maka kehadiran kami di sini juga membantu mengendalikan pelajar-pelajar sambil melihat potensi yang ada. Sementara itu, Junaidah dan Aqliah akan mengikut Uni Ati ke Perhimpunan Guru-Guru TK seluruh Maninjau.

Keadaan kelas sementara yang daif agak menyedihkan kami. Hanya berdinding separa, jika berdiri sudah pasti nampak kepala guru yang sedang mengajar. Tetapi kesungguhan pelajar menuntut ilmu menguatkan keazaman kami mengajar mereka. Setakat ini hanya ada dua orang guru sahaja yang sampai dan sedia mengajar itu pun Ustaz Hassan dan Ustaz Nasrullah yang memang tinggal di sini. Mereka mengajar di dalam Mussola sahaja. Manakala kelas yang lain aktivis yang mengendalikan kelas. Ada yang mengajar bahasa Inggeris, Mandarin, Matematik, Fekah, al-Quran. Pelbagai modul digunakan untuk mengajar mereka ada yang aktif dan ramai yang pasif. Barangkali pertemuan pertama belum memecahkan tembok pemikiran yang ada. Rutin di PPPDH waktu solat sunat Dhuha adalah wajib. Maka mereka kena berkumpul di Mussola untuk solat bersama.

Sampai tengah hari mereka akan berhenti seketika untuk solat Zuhur dan sambung ke kelas sehingga jam dua petang. Sebelah petang pelajar bebas membuat aktiviti masingmasing. Maka aktivis mengambil peluang untuk menjalankan kajian tumpuan di samping meneruskan pemetaan komuniti. Sementara itu Hdariyani dan beberapa aktivis perempuan menjenguk dapur untuk membantu pelajar perempuan PPPDH

menyediakan bahan-bahan masakan pada sebelah malam nanti. Pengalaman menarik yang dapat kami rasai adalah menggiling cili. Walaupun penat, ukhwah yang terbina semasa melakukan kerjasa bersama pelajar amat dirasai. Mereka walaupun masih muda remaja tetapi sudah terlatih untuk menyediakan makanan untuk 50-60 orang pelajar dan ustaz.

Menanti solat Maghrib berjamaah di Mussola ketika perut berbunyi kerana kelaparan adalah suatu yang mencabar. Setakat ini belum kelihatan hidangan untuk berbuka. Sedangkan waktu berbuka sudah semakin hampir. Maka En Izwan Suhadak pergi meninjau ke asrama puteri yang mana terletaknya dapur. Semuanya sudah siap Cuma tinggal untuk diangkat. Maka En Izwan Suhadak meminta aktivis lelaki untuk membantu mengangkat talam yang sudah terisi ikan talapia ternakan PPPDH, sayur dan keropok. Kalau di sini ikan talapian lebih dikenali sebagai ikan Nila. Makanan kali ini lebih menyelerakan sempena majlis berbuka puasa.

Apabila berkumandang azan, maka yang berpuasa pun minum segelas air sebagai syarat berbuka. Kami bersolat berjamaah dahulu dan kemudian bertilawah. Kali ini tiada Kultum kerana menghormati kami yang ingin berbuka puasa yang lebih berat. Walaupun pelajar PPPDH tidak berpuasa tetapi kami mengajak mereka menikmati jamuan bersama. Berdasarkan makluman daripada senior GPTD, keadaan mereka yang daif dan makanan mereka juga ringkas dan jarang untuk menikmati ikan atau ayam. Maka ini memang niat kami untuk menaja makanan mereka selama seminggu sejak perancangan daripada Malaysia lagi. Oleh malam ini telah tertunailah hajat kami dan penajaan yang memberikan sumbangan. Insya Allah esok kami akan ke pasar basah di Sg Batang untuk membeli bahan dapur bagi stok makanan seminggu.

Selepas solat Isya kami berkumpul di rumah Pejabat Operasi untuk bermesyuarat dan bermuhasabah jika ada kesilapan yang berlaku. En Izwan Suhadak telah mengarahkan setiap aktivis menjadikan rumah Pejabat Operasi kelihatan betul-betul pejabat bukan rumah kediaman. Supaya mod aktivis sentiasa dalam keadaan bersedia untuk berkerja. Selain itu aktivis di minta menyediakan sampul surat masing-masing dan tampal di pintu. Tujuannya adalah untuk memasukkan nasihat daripada setiap aktivis. Setiap hari

semua aktivis di minta untuk menulis nasihat kepada setiap rakan aktivis yang lain. Kemudian masukkan ke dalam sampul yang tersedia. Ini untuk melatih aktivis supaya saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. Malam itu juga kami di minta oleh En Izwan Suhadak membaca wasiat yang telah kami siap pada hari sabtu awal pagi. Setiap orang mula membacakan wasiat masing-masing. Ada yang emosi dan menitiskan air mata. Kami sangat terkesan dengan bacaan wasiat ini, rasa seperti akan pergi jauh meninggalkan orang yang kita sayangi. Selepas selesai bacaan wasiat, aktivis lelaki bergerak ke Mussola dan yang lain tidur di rumah sahaja. Hdariyani,

Hafizah dan Junaidah pulang ke rumah Ibu Wazni, ibu angkat mereka kerana telah berjanji.

(5 Januari 2010, Selasa) Hari Ke-8

Rutin kami seperti biasa, solat Subuh berjamaah. Majlis Kultum akan disampaikan oleh Hdariyani dengan tajuk syukur. Tetapi ditunggu-tunggu tidak muncul tiba. Maka Safarudin secara sukarela telah kehadapan menggantikan giliran Hdariyani. Selesai sudah kami pulang ke rumah bersiap untuk aktiviti di dalam kelas. Pagi ini pendekatan lebih rancak dan banyak berbentuk permainan dan soal jawab. Ini strategi untuk menarik perhatian pelajar yang pasif. Nampaknya strategi ini agak berjaya walaupun ada satu dua yang masih belum bertindak. Kami teringat pesan Hj Mohd Asri Abdul (CEO GPM), Orang Indonesia jangan diberi peluang untuk bertanya kerana kita akan tergamam. Peranan Safarudin, Sarah, Rafiqah dan Khatijah banyak membantu sesi pengajaran bahasa Inggeris. Hafizah pula sekarang telah di panggil kak Amoi kerana wajahnya yang iras orang cina. Ini menunjukkan kemesraan sudah terjalin. Tiada lagi jurang antara aktivis dan pelajar. Lebih kepada hubungan adik dan kakak, abang. Hubungan kekeluargaan. En Izwan Suhadak bersama Izzat pula pergi ke Pasar Sg Batang bersama Ustaz Hassan dan isteri Ustaz Nasrullah. Kami akan belanja barang dapur untuk stok seminggu. Macam-macam juga keperluan yang dibeli antaranya cili, bawang, kicap, sos cili, sayur, buah limau dan lain-lain lagi. En Izwan Suhadak juga telah belikan satu tong gas untuk digunakan di asrama. Kerana masa yang agak lama digunakan untuk memasak bagi jumlah yang besar. Oleh itu dengan pembelian gas akan mempercepat dan mempermudahkan pelajar PPPDH.

Selepas solat zuhur, pembahagian kumpulan di kalangan aktivis telah dibuat. Sebahagian aktivis akan ke Posko Sg Batang untuk ziarah mangsa gempa bumi dan bertemu Ustaz Irfan yang berjanji untuk temukan penemuan baru tentang Buya Hamka. Aktivis yang terlibat adalah Ilyas, Aqliah, Sarah, Rafiqah dan Khatijah diketuai oleh En Izwan Suhadak. Sementara yang lain ada yang melakukan kajian tumpuan dan menolong pelajar perempuan memasak di asrama puteri. Di PPPDH, Junaidah, Hdariyani dan Hafizah yang berhajat membantu pelajar perempuan tidak kesempaian kerana mereka telah pun selesai masak. Kebetulan pula mereka sedang mandi di

danau. Dek kerana melihat keseronokan mereka bermandi, kami pun teruja. Hdariyani dan Junaidah yang tidak tahu berenang hanya berada di tepian sahaja. Hafizah yang sudah lama tidak berenang cuba-cuba turun ke anak tangga sementara pelajar perempuan sedang berenang di tengah danau. Ketika menuruni anak tangga, Hafizah tenggelam ke dalam kerana tidak menyangka tiada anak tangga lagi. Pelajar perempuan PPPDH terus memaut Hafizah yang lemas yang menarik ke benteng. Kejadian cemas itu sangat membimbangkan kami. Takut-takut tenggelam terus bagaimana ingin dimaklumkan kepada kaum keluarga. Lebih-lebih lagi wasiat telah pun dibacakan. Kami pun terus pulang ke rumah bersiap untuk solat Maghrib. Sementara satu kumpulan aktivis yang ke Posko telah meninjau-ninjau keadaan mangsa. Insya Allah akan dihantar aktivis untuk mengisi program TK di salah sebuah khemah besar. Ketika di Posko Ustaz Irfan memberi taklimat. Beliau adalah koordinator yang menguruskan posko tersebut. Jumla pengungsi yang berada di Sg Batang adalah 508 Ketua Keluarga dengan 1987 orang semuanya. Mereka yang tinggal di dalam khemah seramai 170 ketua keluarga dengan jumlah 705 orang. Selebihnya ada yang tinggal bersama kaum keluarga terdekat. Jumlah khemah yang dibekalkan adalah berjumlah 96 buah.

Kami kemudian di bawa berjalan kaki merentas Kampung Sg Batang untuk menuju ke arah Makam Syeikh Guguk Katur. Perjalanan lebih kurang dua kilometer menuju ke arah sebuah bukit yang menempatkan makam tersebut. Aqliah berperanan sebagai wartawan melaporkan penemuan itu. Manakala Rafiqah berperanan sebagai juruvideo

merakamkan dokumentari tersebut. Ketika sampai di kaki bukit, Ustaz Irfan menerangkan salasilah Buya Hamka. Nama sebenar beserta gelarannya adalah Tuanku Syeikh Prof Dr Hj Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA) (kaum Muda). Nama bapanya pula adalah Syeikh Dr Abdul Karim Amrullah (kaum Muda) orang pertama yang mendapat gelaran Dr daripada Universiti Al-Azhar dari Indonesia. Juga mendapat panggilan Dr Fiddin kerana pakar dalam bidang usuluddin. Datuk kepada Hamka pula adalah Syeikh Amrullah (kaum Tua). Ibunya Syiekh Amrullah pula bernama Saerah. Bapa kepada Saerah adalah Syeikh Abdullah Salleh (kaum Tua) atau dikenali juga sebagai Syeikh Guguk Katur. Bapa kepada Syeikh Abdullah Salleh adalah Abdullah Arif (Pahlawan Paderi) atau dikenali juga sebagai Tuanku Pariaman. Ini menggambarkan bahawa Buya Hamka adalah keturunan Ulama.

Penemuan Makam Syeikh Guguk Katur adalah suatu yang di luar jangka buat kami. Ustaz Irfan maklumkan, kami adalah orang awal yang mengetahui tentang penemuan makam ini. Maka beliau meminta kami untuk mewar-warkan penemuan kepada khalayak di Malaysia. Hajat beliau, insya Allah akan kami tunaikan. Kami bersama-sama ustaz membacakan doa. Syeikh Guguk Katur wafat pada tahun 1285 hijiriah. Selepas itu kami meneruskan perjalanan kami menuruni bukit menuju ke Masjid Syeikh Amrullah (Datuk kepada Buya Hamka). Hanya terdapat sedikit kesan gempa pada bahagian menara masjid ketika di lihat dari bukit. Ustaz Irfan maklumkan Masjid Syeikh Amrullah telah dirasmikan oleh Tn Hj Ahmad Azam, Pengasas GPTD. Sebelum menuruni anak tangga ke masjid, kami singgah ziarah terlebih dahulu ke Makam Syeikh Amrullah. Batu nisannya besar tetapi tiada tertulis apa-apa berbeda dengan Syeikh Guguk Katur tadi. Cuma makam ini telah diisyitiharkan oleh pemerintah sebagai Situs Cagar Budaya (monumen warisan negara). Selepas membaca doa bersama kami bergerak menuruni anak tangga ke masjid.

Menarik di sini adalah tempat berwuduknya. Tiada kepala paip berbeda dengan tempat wuduk yang ada samada di Malaysia atau Indonesia. Ini sangat mengujakan kami. Air yang mengalir adalah terus daripada air gunung (sungai) melalui tempat wuduk. Kemudian mengalir pula ke kawasan sawah mengairi tanaman. Kemudian barulah mengalir ke laluan parit kecil dan terus ke Danau Maninjau. Di tempat kami berdiri di sebelah menara masjid adalah bekas kolam air. Tetapi kini sudah di tutup kerana aktiviti orang kampung yang menggunakan kolam tersebut sebagai tempat memandikan anjing mereka. Kami agak terkilan dengan apa yang diceritakan oleh Ustaz Irfan.

Perjalanan kami diteruskan ke Makam Syeikh Dr Abdul Karim Amrullah. Beliau wafat pada tanggal 21 Jamidilakhir 1364 bersamaan 3 Jun 1945 di Jakarta. Tetapi telah dipindahkan ke Maninjau dan dimakamkan di Sg Batang. Syeikh Dr Abdul Karim Amrullah dilahirkan pada tanggal 17 Safar 1296 bersamaan 9 Februari 1879. Sebelah makam beliau pula adalah makam saudara kandung yang bernama Syeikh Yusof Amrullah. Berhampiran dengan makam tersebut ada sebuah pustaka milik ayah Hamka.

Pustaka tersebut diberi nama Kutub Channah (sebut khannah) Al-Amrullah. Di dalam pustaka ini terkandung segala buku karya Syeikh Dr Abdul Karim Amrullah dan kitab arab yang dibawa daripada tanah arab semasa belajar di Al-Azhar.Majalah Panji

Masyarakat juga ada di sini. Gambar para ulama dan sahabat Syeikh Dr Abdul Karim Amrullah juga tergantung pada dinding pustaka. Kitab jawi yang dikarang beliau sendiri juga tersimpan di rak pustaka. Hasil tulisan beliau sangat halus dengan menggunakan dakwat hitam dan merah. Juga al-Quran tulis tangan beliau terdapat di sini. Terdapat juga beberapa koleksi buka Buya Hamka disimpan dalam rak. Selepas bergambar kenangan, kami bergerak ke rumah Pak Hanif yang sudah pun menanti kami.

Kami terpaksa menempuh perjalanan dua kilometer berjalan kaki dari Pustaka AlAmrullah. Tiba di rumah kami terus ke belakang rumah untuk bergambar. Rumah Pak Hanif sangat dekat dengan danau. Pemandangan yang indah membuatkan kami terpegun. Kami masuk ke dalam rumah dan meminta izin bersolat Asar terlebih dahulu. Ustaz Irfan sudah jamak qasar takdim tadi. Maka kamilah yang sudah terlewat solat Asar. Selesai solat, Pak Hanif berkongsi pengalaman bersama Buya Hamka dan menyampaikan pesan dan kesan kepada kami buat bekalan dalam kehidupan. Pak Hanif adalah bekas pelakon filem, pengarah filem, penulis skrip. Sekarang beliau adalah pendakwah sepenuh masa bersama Muhammadiyah. Beliau juga diamanahkan sebagai pemegang amanah penjaga Museum Rumah Kelahiran Buya Hamka. Dek kerana waktu sudah semakin suntuk kami beransur terlebih dahulu meninggalkan Pak Hanif. Kami berjanji akan bertemu lagi di museum untuk temukan aktivis yang lain sebelum pulang ke Malaysia.

Dalam perjalanan pulang kami rasakan perjalanan ini betul-betul mencabar sesuailah dengan nama projek kami yang disebut Ekspedisi Meneladani Pemikiran Hamka (XPDC HAMKA). Ahad lepas kami bersama masyarakat kampung bergotong-royong berjalan berbatu-batu sehingga ke puncak. Pada hari ini pula perjalanan kami sudah pun hampir 10 kilometer kerana pulang ke Pejabat Operasi di Jorong Kukuban juga berjalan kaki. Sewaktu dalam perjalanan kedengaran azan Maghrib, pemandangan sudah mula gelap kerana hari sudah malam. Kami percepatkan langkah menuju destinasi. Tiba di rumah kami terus bersiap untuk solat Maghrib.

Kami Isya berjamaah di Musolla bersama rakan aktivis yang lain dan pelajar PPPDH. Nampaknya mereka juga belum makan malam. Maksudnya kami tidak kelewatan. Selesai solat Isya kami menikmati makan makan dengan menggunakan talam. Anakanak kampung yang bersolat di Musolla juga turut teruja dengan kaedah bertalam.

Malah mereka pun kami ajak turut serta merasai suasana tersebut. Setelah selesai semua, kami berkumpul di Pejabat Operasi dan mengadakan mesyuarat. Mendengar laporan aktiviti daripada setiap aktivis. Seperti biasa, tamat mesyuarat aktivis perempuan tidur di rumah manakala aktivis lelaki bergerak ke Musolla untuk tidur di sana. Ustaz Hassan adalah salah seorang yang tidur di Musolla. Di sebuah bilik kecil bersebelahan dengan Mihrab Musolla. Pada malam ini kami berkongsi cerita bersama Ustaz Hassan. Rupa-rupanya Ustaz Irfan adalah teman baik beliau.

( 6 Januari 2010, Rabu) Hari Ke-9

Selesai solat Subuh majlis Kultum telah disampaikan oleh En Izwan Suhadak dengan tajuk berkaitan ilmu. Kemudian kami semua akan bersiap dan berkumpul di Pejabat Operasi. Pelajar PPPDH pula telah menghantar sarapan nasi goreng pada pagi ini. Sebenarnya sarapan yang disediakan agak banyak dan tidak larat untuk kami habiskan. Maka berlakulah pembaziran. Ini agak menyedihkan kami. Maka kami berpesan kepada pelajar yang sediakan sarapan agar mengurangkan kuantiti agar tidak membazir.

Aktivis seperti rutin akan masuk ke kelas mengajar. Bersebelahan kelas sementara PPPDH ada sebuah kelas Sekolah Dasar (SD). Maka kamu mengambil peluang bertemu dengan pihak pengurusan sekolah untuk meminta kebenaran menjalankan kajian tentang sosio budaya masyarakat Minang. Guru SD mengalu-alukan kehadiran kami dengan memaklumkan di sekolah memang ada subjek BAM. BAM adalah Belajar Adat Minangkabau. Oleh itu kami setuju untuk masuk ke kelas guru yang mengajar BAM pada jam 11 pagi. Aqliah yang bertanggungjawab untuk membuat kajian sosio budaya minang akan hadir ke kelas tersebut bersama Ilyas.

Sementara itu, Junaidah dan Hdariyani pula pergi ke asrama sekitar jam 10 pagi untuk membantu pelajar perempuan menyediakan makanan. Tetapi malang sekali mereka, kerana semuanya sudah siap dimasak. Terkilan sekali lagi, jadi kami hanya membantu mengemas dapur. Terfikir juga kami bagaimana mereka mampu menguruskan kehidupan seharian dengan belajar, membuat kerja rumah, menghafaz Quran, membasuh baju dan memasak sendiri. Ini suatu pengalaman dan pengajaran buat kami

apabila pulang nanti ke Malaysia akan kami bantu ibubapa di rumah dan rakan-rakan di kampus.

Selepas Zuhur, aktivis meneruskan tinjauan dan kajian tumpuan masing-masing. Ada juga yang tidur keletihan. Cabaran semakin bertambah. Banyak tugasan kajian yang belum selesai. Laporan Pemetaan Komuniti belum lagi siap. Khatijah dan Junaidah sedang sibuk melakar peta Jorong Kukuban. Aqliah pula tekun melakar Danau Maninjau dan daerah kelilingnya. Masing-masing menjalankan kerja yang telah ditugaskan.

Tiba Maghrib kami berjamaah di Musolla. Bertilawah bersama pelajar PPPDH. Majlis Kultum disampaikan oleh Hafizah dengan tajuk aurat. Berpandukan buku Hafizah menyampaikan dengan penuh semangat dan sekali-sekala keluar loghat Kedah. Ini sangat melucukan hadirin yang mendengarnya. Selesao solat Isya kami makan bertalam meneruskan tradisi yang biasa di pondok di Jawa. Kemudian kami bertumpu di Pejabat Operasi untuk melakukan mesyuarat dan muhasabah. Tidak banyak agendanya kerana semua kelihatan keletihan. Maka mesyuarakat lebih ringkas dan kemudian kami semua melakar mimpin indah. Semua aktivis dan pelajar telah pun dimaklumkan tentang puasa sunat hari Khamis. Malah pihak pondok juga akan sediakan makan untuk sahur.

( 7 Januari 2010, Khamis) Hari Ke-10

Nampaknya yang bangun untuk bersahur hanya beberapa orang sahaja. Ini pun hanya minum air. Barangkali tidak larat bangun. Selesai sahur ringkas kami bangun untuk bertahajud beberapa rakaat selebihnya tidur. Azan berkumandang mengejutkan mereka yang tidur. Seperti rutin selesai solat Subuh, tibalah giliran Ilyas mengisi majlis kultum dengan tajuk nabi. Pada pagi ini tiada sesi pengajaran yang kami kendalikan. Kami telah berjanji dengan Pimpinan PPPDH, Drs Zainul Arifin untuk ke Batu Nanggai bagi melihat kesan gempa yang berlaku di sana.

Maka setelah siap semua, kami bersarapan yang telah disediakan oleh pelajar PPPDH. Kami semua menunggu di Pejabat Operasi. Sementara menunggu, aktivis menggunaka kesempatan yang ada untuk menyiapkan beberapa tugasan yang belum selesai. Tibatiba Ustaz Nasrullah datang ke rumah memaklumkan bahawa Drs Zainul Arifin ada urusan pada pagi ini. Maka kami terus tukar pelan untuk ke kelas mengajar pelajar

PPPDH. Ada beberapa buah kelas lagi yang belum dimasuki guru. Oleh ini kami manfaat ruang yang ada. Semasa di kelas pelajar-pelajar meminta untuk belajar bahasa Mandarin daripada Hafizah yang beliau belajar ketika di Unisel. Ini bermakna kehadiran kami ke sini diterima baik oleh mereka. Manakala sebahagian yang lain turun ke asrama puteri untuk membantu pelajar perempuan menyediakan makan malam. Seperti yang dipersetujui, kali ini aktivis Malaysia yang akan masak mengikut menu dan selera Melayu Malaysia.

Sekitar jam 3 petang kami telah dipanggil oleh Ustaz Nasrullah untuk bersiap sedia untuk ke Batu Nanggai. Kerana beliau telah menyewa angkutan untuk ke sana. Mereka maklum akan pulang sebelum Maghrib. Maka sempatlah kami menyediakan masakan Melayu. Kami berhimpitan di dalam van tersebut. Destinasi pertama ketika tiba di Batu Nanggai kelihatan kesan tanah runtuh dan batu hidup besar menimpa rumah. Sungguh menyedihkan dengan keadaan yang berlaku. Kami meneruskan perjalanan, tetapi kali ini aktivis lelaki duduk di atas bumbung. Antaranya adalah Ilyas, Safarudin dan Ilyas. Maka selesalah sedikit yang duduk di dalam. Perjalanan kami terus ke destinasi asal PPPDH. Keadaan di sana agak memilukan hati kami. Agak luas juga kawasan pondok dengan asrama puteri, putera, surau, pustaka dan rumah guru. Teruk terkena kesan gempa adalah rumah guru dan asrama putera. Bumbung asrama putera runtuh manakala rumah guru telah di masuki tanak dari gunung. Dibelakang asrama puteri ada sebuah batu hidup yang besar. Dengan izin Allah batu ini telah menghalang runtuhan tanah dan batu menimpa asrama puteri dan surau. Maka selamatlah mereka, tetapi aliran tanah mengalir kesebelahan pondok.

Ustaz Nasrullah berceritakan keadaan gempa. Ketika kejadian sekiat jam 5.20 petang beliau bersama Ustaz Dadun sedang memberi makan ikan di keramba. Manakala ada beberapa pelajar sedang berkebun dan ramai juga di asrama. Selalu juga berlaku gempa tapi sekitar 5 ke 10 saat. Kali ini gempa hampir 30 saat. Ikan dalam sangkar berkocakan. Selepas gemba berhenti pelajar, guru dan orang kampung di Batu Nanggai keluar rumah. Ada yang menjerit dan menangis. Ketika keadaan yang kalut Ustaz Dadun telah menyampaikan Khutubah. Dengan penuh bersemangat meminta semua pelajar-pelajar dan orang kampung bertenang dan bersabar. Ini adalah ujian daripada Allah SWT. Maka Ustaz Dadun menguruskan pergerakan pelajar-pelajar keluar ke daerah yang selamat dengan menggunakan van putih kenderaan rasmi PPPDH. Orang

kampun juga turut menumpang sekali. Ketika menjelang Maghrib, hujan turun lebat. Ini menyebabkan berlakunya pergerakan tanah. Maka banyaklah rumah yang ditimpa tanah runtuh. Terputuslah perhubungan jalan raya. Maka sekali lagi keadaan menjadi huru hara. Tiada pilihan melainkan bertawakal kepada Allah SWT dan menunggu bantuan daripada pemerintah. Akhirnya mereka masih di Batu Nanggai diselamat oleh bot penyelamat.

Itulah secara ringkas pengkisah Ustaz Nasrullah kepada kami. Ketika meninjau sekitar PPPDH Safarudin melaungkan Muhammad selepas melihat awan yang menghalang cahaya matahari. Kami semua mengucapkan subhanallah kerana diberi peluang oleh Allah SWT melihat tanda-tanda kebesarannya. Kami tidak sempat mengambil foto kerana terpegun melihat kalimah tersebut. Waktu sudah agak lewat dan janji untuk masak menu Malaysia merisaukan kami. Maka kami bergerak pantas pulang ke Pejabat Operasi. Dengan jalan yang agak berliku maka kami rasa tidak berkesempatan untuk masak. Oleh itu Ustaz Nasrullah cuba menghubungi isterinya tetapi gagal. Maka sms harapan yang tinggal. Takut juga kalau-kalau mereka menanti kamu untuk masak sedang kesempatan masa sudah tiada lagi.

Apabila sampai, alhamdulillah semuanya telah disiapkan oleh pelajar perempuan PPPDH dan isteri Ustaz Nasrullah. Kalau tidak kempunanlah untuk berbukan puasa. Kami sempat untuk bersolat Maghrib berjamaah dan berbuka puasa bersama. Berdasarkan kepada pemerhatian kami, jika ada kicap bersama ketika makan, nasi di talam akan habis. Agaknya itulah formula untuk tidak membazir. Kebetulan orang jawa memang suka kicap. Maka Ustaz Hassanlah yang sering menyebut-nyebut kicap untuk dinikmati bersama kerana beliau asalnya Jawa.

Kami bersolat Isya bersama. Setelah selesai kembali ke Pejabat Operasi untuk meneruskan agenda rutin kami. Tetapi esok lebih mencabar kerana bermulanya Kem XPDC Hamka. Bacaan khutubah bagi aktivis lelaki dan Kuliah Aisyiah bagi aktivis perempuan. Setelah perbincangan dilakukan sebelah pagi esok Hafizah, Rafiqah dan Sarah akan mengisi slot kebersihan dan keselamatan. Kami kemudian teruskan agenda tidur untuk merehatkan diri di tempat yang rutin.

( 8 Januari 2010, Jumaat) Hari Ke-11

Hari ini merupakan hari yang sibuk buat aktivis. Bermula pagi dengan solat Subuh berjamaah. Diikuti dengan majlis kultum oleh Khatijah yang bertajuk musafir. Berpandukan buku beliau sampaikan dengan sangat ringkas. Hadirin yang hadir juga agak terkejut kerana sekejap sahaja sudah tamat. Barangkali sedikit gementar, maka En Izwan Suhadak di minta oleh Ustaz Hassan untuk menambah tazkirah. En Izwan Suhadak berkongsi tentang bagaimana hamba boleh berkomunikasi dengan Allah.

Selesai kultum kami semua kembali ke Pejabat Operasi untuk bersiap sedia dengan perancangan malam tadi.

Pagi ini En Izwan Suhadak, Safarudin dan Izzat akan ke arah Batu Nanggai untuk menyampaikan khutubah atas permintaan orang kampung. Manakala Junaidah, Hdariyani dan Aqliah ditugaskan untuk menyampaikan Kuliah Aisyiah (untuk kaum ibu). Ustaz Wanto (guru bahasa Arab di PPPDH) sudah menghantar wakilnya untuk menjemput kami dengan sebuah angkutan (van). Turut serta dalam misi ini adalah Ilyas yang ditugaskan untuk mengambil foto aktiviti. Perjalanan kami terhenti-henti kerana pemandu mengambil penumpang yang ingin ke Batu Nanggai. Walaupun sebenarnya angkutan itu telah di sewa oleh Ustaz Wanto. Tetapi kami tidak kisah kerana angkutan yang masuk ke Batu Nanggai sangat jarang. Mungkin mereka ada keperluan untuk mengambil barang di sana. Sementara aktivis lain yang tinggal di Pejabat Operasi iaitu Hafizah mengetuai slot kebersihan dan keselamatan. Beliau akan dibantu oleh Rafiqah dan Sarah. Kami tiba di rumah Ustaz Wanto. Rumah beliau hanya sedikit terjejas dengan kesan retakan di bahagian bilik air.

Di sini kami dijamu sarapan pagi yang agak berat. Kali ini kami makan banyak sedikit kerana selera masakannya mirip masakan melayu di Malaysia. Selesai sarapan, aktivis perempuan bergerak awal untuk mengisi kuliah kaum ibu. Ustaz Dadun (guru bahasa Inggeris) datang dengan moto speda (panggilan motorsikal). Hdariyani dan Aqliah dibonceng Ustaz Dadum dengan duduk mengiring dibelakang. Keadaan sebegini adalah biasa di Indonesia. Mereka akan dihantar ke sebuah masjid berhampiran dengan penempatan asal PPPDH. Manakala Junaidah mengikut isteri Ustaz Wanto ke Masjid Galapung berhampiran rumah beliau. Aktivis lelaki masih tunggu di rumah Ustaz Wanto sementara menunggu waktu solat Jumaat tiba. Beberapa minit kemudia, Hdariyani,

Aqliah dan Ustaz Dadun patah balik ke rumah dan memaklumkan bahawa masjid yang mereka tuju tidak ada kuliah kerana kaum ibu tidak ada. Ini kerana kebanyak mereka sudah berpindah ke pengungsian di Posko Sg Batang. Oleh mereka terus ke Masjid Galapung untuk serta kuliah bersama Junaidah.

Pergerakkan pertama aktivis lelaki adalah Safarudin bersama Ustaz Wanto. Ini kerana perjalanan yang berliku dan jauh di hujung Batu Nanggai menyebabkan mereka kena bergerak awal. Beberapa minit kemudian, Izzat pula bergerak ke masjid seterusnya. Selepas rombongan Junaidah, Hdariyani dan aqliah pulang ke rumah, En Izwan Suhadak dan Ilyas bergerak ke Masjid Galapung untuk menyampaikan khutubah. Di masjid kelihatan kesan retakan pada syiling dan pintu masuk. Khutubah pun disampaikan dengan penuh semangat oleh En Izwan Suhadak. Selesai solat Jumaat seperti kebiasaannya, orang kampun akan mengadakan mesyuarat untuk

membincangan isu dan masalah yang terdapat di kampung. Isu yang mereka bincangkan adalah proses penempatan semula selepas gempa. Kami yang mendengan buat-buat faham sahaja kerana bahasa Minang mereka agak pekat.

Setelah semua selesai kami semua berkumpul kembali di rumah Ustaz Wanto. Kami diajak sekali lagi menikmati jamuan, tetapi kali ini tengah hari. Habis makan, kami bergerak pulang ke Pejabat Operasi untuk mengendalikan Kem XPDC Hamka. Sebaik sahaja sampai kami terus berkumpul di Musolla dan membuat pengumuman melalui pembesar suara. Pelajar-pelajar seramai 60 orang pun berhimpun. Kami memberi taklimat program dan peraturan yang perlu peserta patuhi. Program ini ketuai oleh Izzat sebagai Kem Komandan. Ice breaking dan pembahagian kumpulan pun berlaku dengan setiap kumpulan dibimbing dengan dua orang fasilitator. Mereka di minta untuk mencari nama kumpulan dan sorakkan masing-masing.

Sebelah petang kami beriadah bersama dengan modul bila kewek ditambat. Selepas beriadah peserta di minta bersiap untuk solat Maghrib dan meneruskan agenda yang lebih mencabar malam nanti. Seperti rutinan yang biasa, mereka bertilawah selepas Maghrib. Program malam burung hantu pun bermula selepas selesai solat Isya. Acara ini bertujuan untuk menguji keberanian peserta ada kepekaan kepada arahan. Bermula dengan mata mereka diikat dengan tali kain. Ketua akan ditarik oleh fasilitator ke dalam kelas untuk mengingat setiap benda yang mereka rasa dengan menggunakan tangan,

hidung dan lidah. Antara benda yang ada adalah garam, bawang, cili, pasir, tanah, air, kasut, batu, kertas dan kuih. Setelah mereka mengingat, mereka perlu ke kumpulan masing-masing yang menyampaikan pesan kepada teman mereka dengan hanya berbisik. Peserta terakhir dalam kumpulan pula akan menulis di atas kertas dengan mata yang tertutup. Macam-macam ragam peserta dapat dilihat demi untuk memastikan kumpulan mereka menjadi juara. Setelah selesai, fasilitator mengiringi kumpulan demi kumpulan untuk di bawa pusing sekitar PPPDH dan menempatkan mereka secara berseorangan. Dalam keadaan tutup mata memang agak menakutkan juga kerana tidak tahu lokasi sebenar.

Walaupun sebenarnya mereka hanya berlegar di keliling sekolah sahaja. Berdasarkan kepada pemerhatian kami kebiasaan kubur di sini, mereka akan ditempat di tepi atau dibekalang rumah kediaman. Jadi ini menambah ketakutan para peserta yang tinggal seorang diri untuk malam burung hantu. Setelah hampir 30 minit, mereka pun dikumpulkan di dalam Musolla dan diminta untuk membuka tali ikatan. En Izwan Suhadak membuat kesimpulan, hikmah malam burung hantu. Ada fasilitator yang maklumkan ada yang menangis kerana ketakutan ketika duduk sendirian tadi. Aktivis juga pulang ke lokasi masing-masing untuk berehat tidur setelah taklimat ringkas tentang program esok disampaikan oleh Izzat.

( 9 Januari 2010, Sabtu) Hari Ke-12

Kalau mengikut perancangan semua peserta kena bangun untuk qiamulail. Tetapi yang hadir hanyalah segelintir sahaja. Barangkali kerana keletihan malam tadi. Kami semua bersolat Subuh berjamaah. Hdariyani menyampaikan tazkirah dalam majlis kultum dengan tajuk jangan bersedih hati. Penyampaian yang bersahaja membuatkan hadirin yang mendengar dengan penuh khusyuk. Selesai acara, peserta diminta bersiap untuk riadah bermodul.

Riadah diketuai oleh Izzat dengan melakukan pemanasan badan. Diikuti dengan Aerobik Unisel yang telah di reka sendiri oleh Izzat, Junaidah, Aqliah, Hdariyani, Ritini (tidak ikut serta) dan Hafizah. Konsep pergerakan berdasarkan tarian mengikut negeri serta moden dan elemen seni mempertahankan diri. Nampaknya peserta sangat teruja

dengan pergerakan yang ditunjukkan kepada mereka. Pergerakan bermula dengan mod perlahan, sederhana dan laju. Selepas itu aktiviti straw dan getah untuk melihat kerjasama pasukan dan persaingan sesama mereka.

Selepas sarapan, modul seterusnya adalah Pembinaan Bandar. Peserta diminta untuk melakarkan peta pembangunan bandar mereka berdasarkan Jorong Kukuban. Jika mereka diberi amanah sebagai pemerintah bagaimana kemajuan yang ingin mereka lakukan. Maka selepas pemetaan di buat atas kertas mahjong. Dengan kreativiti peserta kena menghasilkan bangunan-bangunan dalam bentuk 3D supaya nampak lebih real. Berdasarkan aktiviti tersebut, terpancarlah kreativiti yang ada dalam diri mereka.

Sesi pembentangan pun tiba, setiap kumpulan kena bentangkan hasil kerja mereka dan mempertahankan rasional setiap pembangunan yang dilakukan. Kumpulan diminta untuk bertanya soalan untuk melihat sejauhmana pasukan pesaing dapat menpertahan hujah mereka. Beberapa orang dikenal pasti memang memiliki potensi kepimpinan yang menyerlah. Walaupun masih muda tetapi kepetahan mereka berhujah membuatkan aktivis mahasiswa juga sedikit gentar.

Selepas solat zuhur dan makan tengah hari acara diseteruskan dengan Explorace. Setiap kumpulan diberikan kata laluan dan mereka perlu ke destinasi untuk mendapatkan kata laluan seterusnya. Destinasi tersebut dipanggil check point dan fasilitator ditempatkan di situ untuk memberikan arahan dan aktiviti secara spontan. Kumpulan yang paling pantas kembali ke Musolla adalah yang dikira sebagai juara. Dalam cuaca yang panas, agak mencabar juga buat peserta dan fasilitator menjayakan aktiviti ini, tetapi dengan semangat waja akhirnya mereka berjaya juga. Selepas solat Asar, fasilitator menguji keupayaan daya fikir para peserta dengan bertanyakan soalan teka teki. Berlumba-lumba mereka untuk cuba menjawab, walaupun salah tetapi daya usaha untuk mencuba patut dicontohi.

Sebelah malam, bermula solat Maghrib berjamaah dan bertilawah bersama-sama. Kami makan malam bertalam bersama Ustaz Hassan. Walaupun lauknya hanya sedikit tetapi keberkatan makan bersama adalah paling nikmat. Ditemani dengan kicap menambah selera para peserta. Selepas solat Isya modul diteruskan dengan cerita berantai. Cerita dimulakan dengan fasilitator dan disambung oleh peserta sehingga menjadi sebuah

pengkisahan yang menarik berdasarkan pengalaman masing-masing. Pelbagai dialog spontan dan melucukan terpacul dari bibir para peserta. Kami tamatkan program tersebut awal supaya esok pagi dapat bangun bersama-sama berqiamulail. Fasilitator juga diberi taklimat ringkas tentang program pada hari esok kerana pagi akan ada gotong royong. Setiap kumpulan telah pun dibahagikan lokasi untuk melakukan kerjakerja pembersihan.

( 10 Januari 2010, Ahad) Hari Ke-13

Pagi bermula dengan qiamulail secara bersendirian di Mussola. Kali ini agak ramai berbanding semalam. Tiba waktu subuh, kami solat berjamaah dengan diimamkan oleh Ustaz Hassan. Kemudian peserta terus bersiap dan diminta berkumpul jam tujah pagi untuk bergotong royong. Sarapan hanya minum pagi, kami semua bergerak ke lokasi masing-masing untuk melakukan kerja-kerja pembersihan. Ada yang ke pinggir danau untuk menarik keluar sampah yang terkumpul. Semua sampah yang berjaya ditarik keluar dimasukkan ke dalam karung guni. Walaupun baunya agak kurang

menyenangkan tetapi atas semangat misi rahmatan lil alamin fasilitator dan peserta turun juga. Kesungguhan dan kerjasama mereka dapat dilihat ketika mereka melakukan kerja.

Kumpulan lain ada yang membersihkan tandas di belakang musolla yang berhampiran dengan danau. Tandas sebelum di cuci agak mengelikan tetapi selepas operasi pembersihan nampaknya lebih berseri. Peserta yang sudah selepas mencuci tandas mengambil peluang terjun ke danau untuk bermandi-manda. Fasilitator yang lihat mereka yang mandi berasa sangat bimbang kalau-kalau bahaya menimpa. Tetapi guru mereka sendiri kata biarkan kerana mereka semua pandai berenang.

Sekumpulan yang lain ditugaskan membersihkan musolla, asrama putera-puteri, dan pejabat PPPDH yang baru. Mereka melakukan dengan penuh kesungguhan. Guru dan ustaz juga turun bersama-sama kerja mengemaskan kawasan sekitar. Kebetulan hari esok, Isnin akan ada sesi temuduga guru untuk pengambilan guru baru. Maka bertepatan sangat program gotong royong yang kami anjurkan. Malah pimpinan PPPDH

Drs Zainul Arifin juga turun kelapangan berpeluh mengangkat kayu papan dan batu bata untuk dialihkan. En Izwan Suhadak dan Ustaz Hassan pula asyik mengecat kantor.

Selepas Zuhur, peserta berkumpul mengikut kumpulan untuk melakukan praktis nyanyian nasyid bahasa Inggeris. Ini bertujuan untuk melatih keberanian pesertapeserta dalam penggunaan bahasa Inggeris dikhalayak. Setiap kumpulan telah diberikan lagu yang kebanyakan adalah lagu Yusuf Islam. Mereka berlatih bersungguh sehingga belajar seni gerak seragam yang ditunjukkan oleh para fasilitator. Pelbagai gelagat yang dapat dilihat. Walaupun pada awalnya mereka sangat susah untuk menyebut dan mengeluarkan suara tetapi setelah dipujuk dan diberi galakan akhirnya mereka sangat seronok menyanyikan lagi tersebut.

Maghrib pun tiba, kami semua bertilawah dan kemudian makan malam. Malam ini adalah malam kemuncak. Dinamakan Malam Luahan Jiwa. Setiap kumpulan diberikan undian dan giliran membuat persembahan. Acara pada malam ini dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Hassan. Pada awalnya, Ustaz Hassan tidak mahu kehadapan kerana kebiasaannya doa dibaca pada waktu akhir. Kami pula tidak maklum tentang perkara ini. Tetapi setelah dijelaskan kepada beliau, Ustaz Hassan memimpin bacaan doa. Di Malaysia bacaan doa dimulakan ketika awal majlis. Kemudian ucapan wakil pimpinan PPPDH oleh Ustaz Nasrullah. Acara dikendalikan oleh En Izwan Suhadak sendiri. Kumpulan pertama pun memulakan persembahan dengan penuh bersemangat dan bergaya.

En Izwan Suhadak memberi ruang kepada para peserta yang ingin membuat persembahan bebas dipersilakan kehadapan. Persembahan spontan akan diselangselikan dengan persembahan para peserta. Putera Salmon (panggilan Emon) hadir kehadapan ingin menjual pantun dalam bahasa Minangkabau. Kami juga kaget dengan permintaan Emon. Kebetulan Junaidah asal dari Melaka, maka kami menyahut cabaran itu. Persembahan seteruskan ditampilkan dengan penuh persona. Selesai

persembahan, Junaidah tampin kehadapan membeli pantun Emon. Gelak ketawa mengiringi pantun balas Junaidah.

Persembahan tambahan dan spontan disampaikan oleh peserta lelaki dan perempuan dengan lagu nasyid daripada Kumpulan Nasyid Brothers. Kami terkejut juga dengan

keupayaan mereka menyanyikan lagu daripada Malaysia. Kami sangkakan lagu-lagu daripada Malaysia tidak mendapat sambutan di sini. Nampaknya sangkaan kami meleset, terbukti mereka sangat sukakan lagu nasyid Malaysia. Malah kami juga sukakan lagu nasyid daripada Indonesia.

Setelah tamat semua persembahan daripada para peserta, tiba giliran semua fasilitator membuat persembahan. Iringan muzik Kitaro melatari bacaan puisi daripada kami. Setiap fasilitator melontarkan kata hati mereka kepada peserta-peserta tentang rasa yang diamali buat pesan dan nasihat. Para peserta yang mendengar ada yang menitiskan air mata tersentuh dengan bacaan puisi kami. Kami juga terharu dengan respon yang mereka berikan. Ini bermakna kami berjaya dalam Kem XPDC Hamka. Alhamdulillah. Program ini diakhiri dengan bacaan wasiat oleh beberapa orang peserta. Nama mereka dipanggil dan diminta kehadapan untuk membacakan wasiat mereka. Sesungguhnya mati itu benar, yang hidup pastikan akan merasai mati. Ya Allah jika engkau takdirkan aku pergi dahulu meninggalkan orang yang aku kasihi dan sayangi inilah wasiat ku... .

Setelah beberapa peserta membaca wasiat, satu perkara yang tidak disangka berlaku. Salah seorang peserta bernama Lanji yang merupakan pelajar mualaf berasal dari Pulau Nias telah diganggu jin. Ustaz Nasrullah terus merawar pelajar terbabit. Beliau minta kami teruskan bacaan wasiat. Tetapi keadaan masih tidak tenang, malah berjangkit pula kepada pelajar perempuan. Maka, En Izwan Suhadak meminta semua peserta memohon kepada Allah SWT memudahkan urusan kami dan bersama-sama membacakan al-Fatihah.

Bacaan al-Fatihah membuatkan Lanji rasa kepanasan (sebenarnya jin yang panas) sambil berguling-guling. Maka lebih kuat lagi kami bacakan. Kemudian Ustaz Nasrullah minta kami berhenti baca untuk berbicara dengan jin tersebut. Sementara itu, Ustaz Hassan merawat peserta perempuan yang lemah semangat tadi. Seorang lagi peserta perempuan terkena kerana lemah semangat. Kakak fasilitator membantu menenangkan mereka. Semua diminta berzikir mengingati Allah SWT. Sementara itu, fasiltator lelaki membantu memegang Lanji kerana diluar kawalan. Lanji cuba berlawan dengan Ustaz Nasrullah. Dimaklukan ada lima jin yang berada dalam badan Lanji. Satu telah ustaz sembelih dan satu telah ustaz Islamkan. Tiga lagi sudah keluar dari badannya.

Semua diminta beredar dan pulang ke asrama masing-masing. Kecuali peserta lelaki diminta berikhtiqaf di Musolla bersama fasilitator. Nampaknya Lanji masih belum tenang lagi. Sedang Lanji baring dipenjuru Musolla tiba-tiba bangkit terus meluru ke pintu belakang Musolla. Membuka pintu dan memberi isyarat masuk dengan menggunakan tangan.Kami yang perhatikan kaget dan berhati-hati. Ustaz Hassan ada berpesan kepada En Izwan Suhadak tentang kekuatan dalaman sangat penting, walaupun jin sudah keluar dari tubuh seorang manusia, jin boleh kembali jika jiwa nurani dia kuat. Lanji merupakan pelajar yang suka termenung dan bersedih hati, lebih-lebih lagi ibunya baru meninggal tiga bulan yang lalu.

Lanji mengambil sebotol air lalu memberikan kepada Ustaz Hassan. Bersebelahan ustaz adalah En Izwan Suhadak dan Izzat. Manakala Safarudin sedang makan ditepi sudut satu lagi bersama peserta yang kelaparan kerana penat membantu Ustaz Nasrullah. Ustaz Hassan menolak pelawaan Lanji. Kemudian diberikan kepada En Izwan Suhadak. Tetapi beliau buat tidak tahu sahaja. Diberikan kepada Izzat, botol diambil tetapi dipulangkan kembali kepada Lanji. Lanji terus melulu kepada Safarudin dan memberi botol yang beri air. Safarudin terus ambil dan cuba untuk minum. En Izwan Suhadak dan Izzat sempat memberikan isyarat agar tidak minum.

Lanji semakin panas dan mencabar rakan-rakannya untuk berlawan. Lanji mengajak Ustaz Hassan untuk beradu tenaga tetapi tidak mendapat layanan. Lanji menarik-narik kain yang terlilit pada leher. En Izwan Suhadak membaca al-Fatihah, kemudian Lanji menggelupur. Ustaz Hassan juga membaca doa untuk menenangkan Lanji. Ustaz Hassan berbicara lembut kepada Lanji, anak, kesian pada ustaz dan teman-teman semuanya penat. Pergilah berehat dan tidur.... Kemudiannya Lanji terus ke sudut musolla dan berbaring tanpa mengganggu yang lain. Kami semua tidur sehingga waktu subuh.

( 11 Januari 2010, Isnin) Hari Ke-14

Solat Subuh hari itu agak suram tetapi tenang. Lanji solat juga tetapi kelakuannya agak tidak senang duduk. Selepas selesai kami semua bersiap untuk membantu guru dan Pimpinan PPPDH melakukan temuduga. Sekitar jam 7.30 pagi kami bermesyuarat bersama semua guru-guru yang terlibat. Aktivis diberikan tugasan untuk membantu pendaftaran, mengambil foto dan menilai keupayaan guru-guru yang akan diambil mempu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. PPPDH menjangkakan dalam tempoh tiga tahun lagi bahasa pengantar di pondok adalah bahasa Arab dan Inggeris.

En Izwan Suhadak dan Safarudin akan mengendalikan sesi temuduga bagi guru lelaki. Manakala Khatijah dan Sarah pula mengendalikan guru perempuan. Kami rasa berbangga kerana diberi penghormatan untuk menjalankan sesi temuduga ini. Sehingga tengah hari sesi berjalan dengan lancar. Selepas solat Zuhur berjamaah, En Izwan Suhadak meminta ruang kepada Pimpinan PPPDH, Drs Zainul Arifin untuk menjalankan Acara Majlis Perasmian Penutupan Kem XPDC Hamka. Beliau bersetuju dan minta semua pelajar berkumpul di Musolla. Acara penutupan dikendalikan oleh En Izwan Suhadak sendiri. Drs Zainul Arifin diminta untuk menyampaikan ucapan perasmian penutupan, dalam ucapannya beliau berpesan kepada para pelajar agar mengambil segala ilmu yang telah disampaikan oleh aktivis GPTD dan diamalkan. Beliau berasa berbesar hati atas kesudian pihak GPTD menganjurkan program seumpama ini.

Kemudian sesi menyerahkan hadiah kepada setiap kumpulan. Kami mengambil kesempatan untuk melakukan penyerahan buku dan barang sumbangan daripada penaja dari Malaysia. Antaranya buku karya Faisal Tehrani sumbangan Ujanailmu dan beberapa buah novel bahasa Inggeris sumbangan individu. Karya sastera Melayu dari Malaysia bertujuan untuk menyebarkan buah fikiran kepada alam serantau

sebagaimana banyak buku-buku Indonesia menjadi bacaan rakyat Malaysia. Selain itu buku dan majalah daripada sumbangan ikhlas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) turut disampaikan untuk menjadi koleksi bahan bacaan di Pustaka PPPDH. Tidak ketinggalan juga tiga buah karya Prof Rahim Selamat, pensyarah di Universiti

Industri Selangor yang berkaitan sekolah bestari untuk rujukan guru-guru. Sumbangan tunai sejumlah Rp. 4 juta juga turut diserahkan kepada Drs Zainul Arifin.

Drs Zainul Arifin mengucapkan ribuan terima kasih kerana sumbangan yang telah diberikan. Beliau memohon maaf kalau ada kekurangan pada pihak PPPDH terhadapan layanan kepada aktivis GPTD. Sekali lagi beliau mengucapkan terima kasih kerana menaja makan seminggu untuk para pelajar di sini. En Izwan Suhadak menjemput Putera Salmon (Emon) tampil kehadapan membacakan Resolusi Kem XPDC Hamka. Kandungan resolusi adalah seperti berikut :

Dengan penuh rasa rendah diri kami bersetuju untuk mendokong resolusi Kem XPDC HAMKA seperti yang disebut di bawah: 1- Santri akan belajar bersungguh-sungguh demi mengangkat martabat ummat Islam 2- Santri akan menjaga persekitaran Ponpes atas kefahaman rahmatan lil alamin 3- Santri mengikat janji setia untuk menjaga adab & akhlak Islami 4- Santri sedia memberikan kerjasama untuk setiap program yang disusun Ponpes

Emon membacakan dengan penuh bersemangat dan disokong oleh semua pelajar yang hadir. Wakil daripada aktivis lelaki, Safarudin kehadapan memberi ucapan dan pesanan agar para pelajar belajar bersungguh dan berjaya hingga ke universiti. Junaidah pula mewakili aktivis perempuan juga menasihatkan agar teruskan perjuangan tokoh ulama Hamka agar lahir lebih ramai lagi Hamka-Hamka kecil.

Kami bergambar kenangan di hadapan Musollah beramai-ramai bersama guru, ustaz dan pelajar. Kenangan ini tidak dapat kami lupakan dan sebagai sumber inspirasi untuk terus menabur bakti keseluruh alam. Selepas selesai kami telah meminta izin daripada Drs Zainul Arifin untuk ke Museum Rumah Kelahiran Buya Hamka di Sg Batang. Ustaz Irfan sudah membuat temujanji bersama Pak Hanif di sana. Kami kemudian bergerak ke sana dengan menaiki kenderaan rasmi PPPDH, van putih yang juga telah banyak berjasa kepada pondok. Tiba di sana kami singgah dahulu di sebuah kedai buku berhadapan dengan muzium sementara menunggu ketibaan Pak Hanif.

Beberapa buah buku versi klasik karya Buya Hamka telah dibeli untuk koleksi GPTD UNISEL supaya dapat di buat kajian oleh aktivis akan datang. Apabila Pak Hanif sudah sampai kami disambut dan dijemput oleh beliau ke muzium. Ketika itu hujan turun renyai, udara sejuk dan damai. Kami semua berkumpul di ruang tamu duduk dan bersedia untuk mendengar Pengkisahan Riwayat Buya Hamka oleh Pak Hanif. Penceritaannya ada elemen suspen, lucu dan sedih. Sesuai sangatlah pendekatan sebagai seorang yang berjiwa seni seperti beliau. Kami sempat membuat rakaman video, insya Allah akan dimuatnaik ke dalam youtube buat tatapan umum. Pak Hanif menghadiahkan kepada kami nota tulisan beliau yang bertajuk Pesan-Pesan Buya Hamka, Sejarah & Perjuangan Hidup Buya Hamka serta Hamka & Karyanya. Kami bergambar kenangan sambil menyerahkan Risalah Madani (keluaran GPTD UNISEL) dan brosur XPDC HAMKA kepada beliau untuk ditempatkan di muzium.

Kami bergerak pulang dengan penuh ilmu di dada dengan pesan kesan Pak Hanif kepada kami. Insya Allah kami berazam untuk datang lagi dan ingin mengajak lebih ramai lagi supaya bersama-sama meneladani pemikiran Hamka. Kami sampai agak lewat petang. Bersolat Maghrib di Musolla berjamaah bersama-sama pelajar PPPDH. Lanji kelihatan rasa gusar ketika kami bertilawah. Barangkali jinnya masih

mengganggunya. Kesian juga kami melihat, tetapi tiada yang dapat kami bantu dirinya sendiri kena kuat melawan bisikan syaitan. Kerana itu amalan al-Mathurat sangat banyak khafiatnya selain menjadi mendidik diri daripada makhluk halus tetapi juga dipermudahkan segala urusan seharian sebagaimana pesan yang kami dapat ketika mengikuti Diskusi Al Amin anjuran GPTD UNISEL.

Malam itu kami sebenar dijemput oleh Ustaz Irfan ke rumah beliau di Sg Batang. Kami mengajak Ustaz Hassan teman baiknya untuk turut sekali. Kami bergerak berjalan bersama sejauh satu kilometer untuk ke rumah beliau. Tiba sahaja kami dipelawa masuk dan terus ke meja makan. Disebabkan rombongan kami agak ramai, maka En Izwan Suhadak mencadangkan agar makan di bawah sahaja. Maka aktivis perempuan berperanan menyediakan hidangan di bawah. Semua makanan yang disediakan berasaskan ikan dengan menu masakan asli Minang. Semua aktivis menikmati dengan tenang, kurang nasi dan banyak lauk. Nampaknya lauk pauk yang banyak tidak dapat kami mampu habiskan. Kemudian En Izwan Suhadak memberi kata ucapan terima kasih kepada Ustaz Irfan atas jemputan makan malam dan bantuan serta layanan yang

diberikan disepanjang kami di sini. Ustaz Irfan diminta untuk oleh En Izwan Suhadak menyampaikan sedikit pesanan dan nasihat buat aktivis mahasiswa. Beliau berpesan agar terus istiqamah dan sabar dalam menjalankan misi rahmatan lil alamin. Katanya lagi, Usaha yang telah dilakukan sangat baik dan patut diteruskan dalam bentuk yang lain. Kajian berkaitan Hamka harus terus digalakkan dan meneladani pemikirannya kena lebih mendasar dan merakyat agar masyarakat umum dapat menghayati perjuangan Hamka. Ikhlaskan niat yang ada agar mendapat rahmat daripada Allah SWT. Kalau ada kesempatan jemput ziarah makam Hamka di Jakarta, Masjid Al-Azhar dan anak Buya iaitu Pak Rusyd. Semoga bertemu lagi di lapangan yang lain. Itulah secara ringkas initipati yang disampaikan oleh Ustaz Irfan yang memang lucu apabila berbicara.

Kami bergerak pulang ke Pejabat Operasi, tetapi singgah terlebih dahulu ke rumah keluarga angkat aktivis yang kebetulan memang pada laluan pulang kami. Malam ini adalah malam terakhir buat kami semua kerana esok pagi kami kena bergerak terus ke Kota Padang. Ibubapa angkat semua terharu dengan kehadiran kami dan meminta maaf kepada kami jika ada kekurangan. Sebenarnya kami rasa sangat seronok sekali bersama keluarga angkat walaupun dengan keadaan yang serba ringkas tetapi ianya sangat bermakna dalam kehidupan kami. Setelah semua selesai bertemu keluarga angkat masing-masing kami pulang ke rumah berkemas mana yang sempat kerana tidak mahu kelam kabut esok pagi. Beres urusan tersebut kami pun menikmati malam yang panjang.

( 12 Januari 2010, Selasa) Hari Ke-15

Subuh berjamaah di Musolla buat kali yang terakhir. Kali ini azan dikumandangkan oleh Izzat. Sayup-sayup kedengaran seruan solat. Tetapi tetap ramai memenuhi ruang solat. Subuh itu solat berjamaah diimamkan oleh Izzat. Selesai, En Izwan Suhadak diminta oleh Ustaz Hassan menyampaikan sedikit ucapan perpisahkan. Katanya, Adik-adik berjiwa besarlah untuk menjadi seorang pendakwah-pendidik sebagaimana Hamka telah lakukan. Daripada anak yang nakal menjadi ulama besar. Jadilah orang yang memberi sebanyak-banyaknya bukan menerima sebanyak-banyaknya. Kemudian Ustaz Hassan pula menyampaikan pesanannya kepada aktivis mahasiswa setelah

diminta oleh En Izwan Suhadak. Kakak-kakak dan abang-abang jangan lupa kami di sini. Kalau ada kesempatan lagi datang ke sin. Semoga berjaya di dunia dan akhirat.

Kami terus bergerak ke Pejabat Operasi, kemas rumah dan susun beg di luar rumah. Pelajar-pelajar semua berkerumun untuk membantu kami. Aktivis masing-masing memberikan kad nama kepada para pelajar. Siap berkemas, Ustaz Nasrullah menjemput kami ke rumah untuk menikmati sarapan pagi. Sementara pelajar-pelajar masih setia menunggu di hadapan rumah. Di rumah Ustaz Nasrullah, kami dihidangkan pisang goreng yang agak besar tapi enak. Bertemankan air teh O, memang sedap sambil gelagat anak Ustaz Nasrullah dan Ibu Dina, Akhmal menghiburkan kami. Setelah selesai, kami dimaklumkan travel (avanza) telah tiba. Maka kami bergegas ke sana, lalu mengangkat beg besar kami ke dalam. Turut hadir menghantar di situ adalah Ustaz Irfan dan Ustaz Wanto serta beberapa ibu angkat dan orang kampung.

Setelah semua naik travel kami bergerak sambil melambai-lambai ke arah pelajar PPPDH. Sayu kami melihat mereka, kerana kurang lebih seminggu kami bersama mereka bergurau senda dan belajar, mengajar dan diajar akhirnya tiba saat perpisahan. Sehinggalah pandangan kami terputus, kami bergerak pantas ke arah Pasar Maninjau untuk bertemu Drs Zainul Arifin. Dalam perjalanan, kami bertemu dengan Pak Jorong. Travel berhenti dan En Izwan Suhadak keluar untuk bersalaman dan berpeluk ukhwah. Terima kasih di atas segalanya, kata beliau kepada Pak Jorong. Kami meneruskan perjalanan dan pergi ke rumah Drs Zainul Arifin. Dimaklumkan bahawa beliau hanya pengungsi di rumah tersebut. Rumah tersebut adalah milik anak Pak Natsir (Tokoh Nasional Indonesia) yang sering menginap di situ.

Kami diajak bersarapan di kedai berhampiran Pasar Maninjau. Lontong minang buat semua aktivis. Sementara tunggu sarapan, kami sempat meninjau ole-ole yang dapat dibawa pulang ke Malaysia. Inilah kesempatan yang ada untuk membeli kerana sebelum kami sibuk menjalankan misi bakti kami. Isteri Drs Zainul Arifin membekalkan kami setiap aktivis dengan jajan (ole-ole) seperti renuak, roti dan air mineral buat bekalan kami dalam perjalanan. Perjalanan mengambil masa dua jam lebih untuk sampai ke Bandara Minagkabau. Sebenarnya kami juga berhajat jika ada kesempatan untuk ke monumen Malim Deman di pesisir pantai di Padang. Tapi apakan daya masa sangat terbatas. Mungkin ini memberi makna kepada kami agar datang lagi ke sini. Turut serta

bersama kami adalah Ustaz Nasrullah. Kami sangat berhutang budi dan berterima kasih kepada beliau kerana sabar melayan kerenah kami.

Selepas jamak takdim kami bersalam mahabah bersama Ustaz Nasrullah. Kemudian check-in ke dalam ke kaunter imigresen. Penerbangan kami sepatutnya terbang pada jam 2.35 petang (WIB) tetapi dan jangka tiba 4.35 petang. Tetapi penerbangan kami tergendala sehingga lewat jam 4.00 petang. Alhamdulillah akhirnya kami selamat sampai di LCCT pada jam 6.00 petang. Semua kaum keluarga telah menunggu lama. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada XPDC HAMKA kerana telah merubah pandangan alam kami. Ketokohan Hamka akan kami selalu teladani dan sampaikan kisahnya kepada teman dan keluarga. Terima kasih kepada organisasi Global Peace Mission Malaysia, Dewan Dawah Islamiyyah Indonesia dan Pondok Pesantren Prof Dr Hamka yang telah memberika kerjasama dan penaja Hal Ehwal Pelajar Unisel, Pusat Zakat Selangor, MH Multitouch Resouces, Bestari Sportwear, MRH Design Concept, Ujanailmu, Masjid Ridzuan Bestari Jaya dan individu yang ikhlas menyumbang. Bagi mereka yang ingin menyumbang dana untuk Pembangunan Pondok Pesantren Prof Dr Hamka di Kubugadang, Maninjau yang memerlukan dana berjumlah RM 2 juta boleh berhubung dengan En Izwan Suhadak di talian 017-656 0102 atau boleh layari ke http://gptdunisel.blogspot.com/

Disediakan oleh

IZWAN SUHADAK ISHAK Penasihat GPTD UNISEL, Penolong Pensyarah di Fakulti Industri Teknologi Maklumat

SITI KHADIJAH BTE ABD LATIF Aktivis Grup Hamka, GPTD UNISEL, Mahasiswa Fakulti Pendidikan & Pengajian Bahasa

AKTIVIS 1. Encik Izwan Suhadak bin Ishak 2. Mohd Safarudin bin Jhinku 3. Muhammad Izat bin Chiaril Anuar 4. Muhammad Ilyas bin Muhamad Khidir 5. Wan Ahmad Ammar bin Wan Ahmad 6. Junaidah bte Ismail 7. Hdariyani binti Kampun 8. Nur Aqliah binti Ariffin 9. Hafizah bte Azizan 10. Siti Khadijah bte Abd Latif 11. Nur Rafiqah binte Rahman 12. Sarah Binti Mohammed Shakarulain Pensyarah, GPTD UNISEL Pelajar, GPTD UNISEL Pelajar, GPM Pelajar, GPTD UNISEL Pelajar, GPM Pelajar, GPTD UNISEL Pelajar, GPTD UNISEL Pelajar, GPTD UNISEL Pelajar, GPTD UNISEL Pelajar, GPTD UNISEL Pelajar, GPM Pelajar, GPM

PENAJA 1. Lembaga Zakat Selangor 2. Hal Ehwal Pelajar Unisel 3. MH Multitouch 4. Bestari Sportwear 5. MRH Design Concept 6. Ujanailmu 7. Masjid Ridzuan, Kg Bestari Jaya 8. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia 9. Angkatan Belia Islam Malaysia 10. Wadah Pencerdasan Umat 11. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia 12. Individu-individu yang dermawan dan ikhlas

PENUTUP Semoga usaha murni ini mendapat keberkatan dari Allah s.w.t. Kepada semua pihak yang terlibat dan berusaha dengan gigih dalam menjayakan khidmat sosial dan kajian ketamadunan ini. Diharapkan agar usaha ini akan berterusan dan berkekalan hingga ke akhirnya demi melahirkan mahasiswa yang celik sejarah dan menghayati nilai-nilai murni yang ada dalam diri setiap individu.

FOTO

Pertemuan bersama Pimpinan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia Indoensia di Universitas Andalas, Padang Indonesia.

Dialog Ketamadunan antara GPTD UNISEL dan mahasiswa Indonesia yang dikendalikan Dewan Dawah di Islamic Centre, Kota Padang.

Kesan gempa bumi kepada sebuah rumah kediaman yang berlaku di sekitar Pariaman.

Salah sebuah pejabat pemerintah yang musnah kerana kesan gempa bumi di Kota Padang.

Bergambar kenangan bersama anak-anak selepas kelas al-Quran anjuran Pelajar Islam Indonesia (PII) di Kg Sg Limau, Pariaman.

Penyerahan majalah untuk anak-anak mangsa gempa oleh Penasihat GPTD UNISEL kepada Pimpinan Pelajar Islam Indonesia (PII).

Aktivis GPTD UNISEL bersilaturahmi dengan penduduk Kg. Sg Limau bertanya khabar selepas gempa bumi melanda.

Aktivis GPTD UNISEL sedang beramah mesra di dalam kelas al-Quran anjuran Pelajar Islam Indonesia (PII).

Aktivis GPTD UNISEL melawati Pejabat BMT Baitul Hasanah projek Micro Finance di bawah Global Peace Mission Malaysia (GPM) di Bukit Tinggi.

Aktivis GPTD UNISEL mengisi waktu pagi dengan bersenam di tepi Jalan Prof Dr Hamka di Bukit Tinggi bersebelahan Hotel Graha Muslim.

Aktivis Ammar menyampaikan Khutbah di Masjid Al-Huda, Sg. Tampang, Desa Pantai Barat dengan penuh bersemangat.

Anak muda di Jorong Kukuban bermain alat muzik tradisional masyarakat Minang pada Jumaat malam.

Majlis penyerahan anak angkat (Sarah & Rafiqah) kepada keluarga angkat di rumah Pak Rasul di Jorong Kukuban, Maninjau.

Aktivis Izzat, Ilyas dan Safarudin mendapat keluarga angkat yang merupakan nelayan dan pemandu ojek di Jorong Kukuban, Maninjau.

Aktivis Hafizah membantu Ibu Wazni, ibu angkatnya di halaman rumah di Jorong Kukuban.

Aktivis Junaidah membawa bakul yang mengandungi padi untuk dijemur oleh Aqliah dan Khatijah.

Aktivis bergotong royong bersama penduduk Jorong Kukuban di lokasi baru Pondok Pesantren Prof Dr Hamka di Kubugadang, Maninjau.

Kenangan bersama Ibu Nisma dan penduduk kampung ketika bersamasama bergotong-royong di laluan ke Kubugadang.

Aktivis Rafiqah, Khatijah dan Hafizah sedang mengajar subjek Matematik dalam kelas sementara Pondok Pesantren Prof Dr Hamka.

Aktivis Safarudin dan Sarah sedang rancak mengajar Bahasa Inggeris kepada pelajar-pelajar di kelas Pondok Pesantren Prof Dr Hamka.

Pelajar Pondok Pesantren Prof Dr Hamka tahun 4 sedang memperkenal diri dalam bahasa Inggeris sambil diperhatikan Hafizah & Hdariyani.

Salah seorang pelajar sedang tekun menjawab soalan Matematik yang diberikan oleh aktivis Khatijah.

Pelajar perempuan sedang masak untuk makan malam di Asrama Puteri, Pondok Pesantren Prof Dr Hamka di tepi Danau Maninjau.

Makan bertalam mengerat ukhwah sesama aktivis dan pelajar Pondok Pesantren Prof Dr Hamka di Musolla Jorong Kukuban.

Salah satu kumpulan dalam Kem XPDC Hamka sedanag khusyuk berbincang bersama kakak aktivis.

Aktivis Aqliah sedang memberi komen kepada hasil kerja pemetaan oleh kumpulannya di Mussola Jorong Kukuban.

Para peserta Kem XPDC Hamka bertungkus lumus menyiapkan bandar impian yang mereka akan bangunkan di Jorong Kukuban.

Setiap kumpulan berhujah mempertahankan rasional Pelan Pembangunan Bandar Jorong Kukuban mereka.

Para peserta Kem XPDC Hamka seronok dengan riadah bermodul yang dapat mengeratkan hubungan ukhwah sesama mereka.

Para peserta Kem XPDC Hamka sedang memanaskan badan pada awal pagi yang diketuai oleh aktivis Izzat selaku Kem Komandan.

Aktivis Rafiqah bersama kumpulannya ditugaskan membersihkan Musolla di Jorong Kukuban.

Aktivis Izzat begitu teliti menyusun batu bata yang dibantu sama oleh pelajar Pondok Pesantren Prof Dr Hamka.

Aktivis Aqliah sedang gigih mengecat pintu Pejabat Pondok Pesantren Prof Dr Hamka yang masih belum siap sepenuhnya.

Inilah Musolla Jorong Kukuban yang menjadi lokasi pengungsian pelajar dan guru Pondok Pesantren Prof Dr Hamka.

Aktivis dan Ustaz Hassan bergambar kenangan ketika ziarah ke rumah Ustaz Irfan di Sg Batang.

Penyerahan Risalah Madani kepada Pak Hanif, Pengelola Museum Rumah Kelahiran Buya Hamka di Tanah Sirah, Sg Batang.

Hadiah atas hasil usaha kumpulan dalam setiap persaingan dan permainan di dalam Kem XPDC Hamka.

Aktivis Rafiqah bergambar bersama kumpulannya yang berjaya dalam Kem XPDC Hamka.

Persembahan salah satu kumpulan yang menyanyikan lagu nasyid dalam bahasa Inggeris pada Malam Luahan Jiwa semasa Kem XPDC Hamka.

Aktivis turut membuat persembahan deklamasi puisi Kata Hati khas buat pelajar Pondok Pesantren Prof Dr Hamka di Malam Luahan Jiwa.

Seorang peserta Kem XPDC Hamka sedang melalui modul Pegang, Bau dan Rasa yang dikendalikan aktivis Izzat dan Junaidah.

Persediaan para peserta untuk Malam Burung Hantu di sekitar Musolla Jorong Kukuban yang diketuai oleh aktivis Izzat

En Izwan Suhadak menyampaikan sumbangan tunai berjumlah Rp. 4 juta kepada Pimpinan Pondok Pesantren Prof Dr Hamka, Drs Zainul Arifin.

Anda mungkin juga menyukai