Anda di halaman 1dari 5

Falsafah Di Sebalik Berpuasa Di Peringkat Universal

”Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana

diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu

bertaqwa. ”

-Surah al-Baqarah Ayat : 183

Ramadan selalu dikenali dengan ibadah berpuasa dan disebutkan dalam ayat

di atas tentang kewajiban berpuasa ini ibadah yang pernah dilakukan umat-umat

terdahulu. Ibadah yang merentasi masa, umat maupun bangsa dilihat masih relevan

untuk membina jati diri umat yang luhur dan beriman. Kepentingan berpuasa juga

disebutkan dalam ayat yang sama, bertujuan untuk menyasarkan pembinaan

generasi yang bertaqwa. Perkataan ’kamu’ yang diulang beberapa kali didatangkan

bentuk damir mukhatab lil jami’ yang bersifat kolektif atau menunjukkan ramai.

Justeru, ianya menunjukkan bahawa ibadah puasa ini, tidak khusus bersifat

individual malah lebih dominan atau bersifat universal (kesejagatan).

Justeru, ibadah yang universal dan kolektif ini sebenarnya suatu ibadah yang

mengandungi gagasan atau kerangka tujuan yang meliputi. Lagi pula, ia diwajibkan

dalam tempoh waktu yang tetap yang melibatkan kalendar hijri. Maka berpuasa tidak

hanya suatu perintah yang memberikan faedah kepada individu malah kepada umat

keseluruhan, jika sekiranya ia dilaksanakan dengan sebaik mungkin.


Seringkali ibadah berpuasa selalu dikaitkan dengan kesihatan tubuh badan

dan faedah fizikal. Namun dalam erti yang lebih luas, berpuasa dapat menyumbang

faedah atau kebaikan buat manusia keseluruhan. Yang pertama, kebaikan berpuasa

itu dapat membina kesatuan dan kekitaan yang erat. Secara idealnya, kesatuan

manusiawi atau perpaduan bangsa suatu yang agak sukar untuk dicapai. Ibadah

puasa salah satu cara yang dapat menyatukan hati dan hubungan kemanusiaan.

Puasa menyarankan ruang suatu kumpulan manusia, bangsa atau umat yang

melaksanakannya untuk menghayati kesusahan golongan yang kurang bernasib

baik. Memprtimbangkan semula rasa simpati dan rasa belas kasihan dirasai oleh

individu atau kumpulan atau umat manusia yang melakukan ibadah puasa ini, dapat

membina rasa kekitaan terhadap masalah yang dihadapi. Ini kerana rasa lapar dan

dahaga atau kekurangan perihal keperluan harian adalah suatu yang tidak dapat

diciptakan atau dialami oleh golongan atasan atau yang berada, kecuali keadaan

individu dan umat itu berada dalam kondisi berpuasa yang bersama mengisi

tuntutannya.

Keduanya, seorang atau umat yang mengamalkan ibadah yang memupuk

nilai yang mulia ini, dapat menyatukan kesedaran hati murni yang terpencar-pencar

khususnya di era komodenan ini dalam mencari kekayaan jiwa atau kerohanian

yang semakin diabaikan. Sudut kejiwaan dan kerohanian sebenarnya suatu yang

tersirat dan sangat dihajati manusia terutamanya untuk membina watak manusia

yang penuh sedar dan seimbang. Hari ini terlalu ketara tipisnya kesedaran

kerohanian sehingga membawa kepada krisis tekanan, ketakyakinan diri dan

sebagainya yang membawa kepada kesengsaraan manusia meskipun dalam era

serba canggih dengan penemuan sains dan teknologi. Justeru Ibadah berpuasa

dapat mengawal jiwa dan nafsu seseorang juga komponen umat itu daripada
kelakuan sumbang, kebejatan identiti atau rasa individualistik maupun kekeliruan

nilai.

Ketiga, masyarakat yang berpuasa dapat menghayati erti keluhuran nilai dan

akhlak yang terpuji terutamanya yang dikongsikan seluruh umat manusia. Berpuasa

memperteguhkan kesedaran kemanusiaan melalui keinsafan bahawa kewujudan

manusia itu sendiri, suatu yang madani atau bercampuran antara satu sama lain dan

menetap atau tinggal di bumi yang sama. Justeru nilai saling berkongsi, membantu,

menyokong dan menghormati satu sama lain akan dapat mewujudkan

kesejahteraan dan saksama. Umat itu juga terhindar daripada gejala maksiat atau

kerosakan yang umumnya membekaskan kesan negatif seperti pelanggaran hak

manusia, penghinaan maruah, permusuhan dan pencabulan sempadan atau

batasan moral.

Kelima, masyarakat atau umat yang akur dengan ibadah puasa ini lebih

mengangkat sifat kesederhanaan daripada sikap keborosan atau pembaziran yang

melampau. Walaupun realiti menunjukkan umat Islam turut terpercik dengan sikap

pembaziran sepanjang melaksanakan puasa, kesilapan itu harus dapat dicegah dan

diperbaiki dengan lebih baik apabila dapat menghayati maksud puasa itu sendiri

dengan baik dan antara caranya adalah mendidik hati dan menyederhanakan

kemahuan atau kehendak nafsu yang sentiasa tamak dan cenderung kepada

berlebih-lebihan. Ini juga menunjukkan puasa itu sendiri menjadi ujian kepada umat

Islam agar tidak terjebak ke lembah kegagalan dalam pada merasakan diri yang

serba kecukupan segala keperluan harian.


Keenam, berpuasa dapat menyedarkan umat bahawa kesusahan dan

kepayahan manusia adalah sebahagian daripada tanggungjawab manusia itu sendiri

untuk merasainya, bukan melepaskan atau menidakkan kenyataan itu atau menutup

mata terhadap isu-isu kelaparan, kemelaratan dan yang seumpamanya. Penindasan

dan kelaparan antara isu yang masih berlegar di peringkat global yang menyentak

kesedaran mana-mana individu, dan ia menunjukkan betapa kemanusiaan itu suatu

yang lumrah dan berakar dalam akal budi setiap manusia. Cumanya mungkin ada

individu yang tidak mengambilberat bahkan menanggapinya sebagai suatu takdir

atau semata-mata nasib yang menimpa pada suatu golongan atau kelompok,

disebabkan kelemahan mereka.

Ia memberikan pencerahan terhadap individu atau insan itu bahawa apabila

manusia itu berada di tahap keegoan ataupun ’keasabiayahan’ atau tertumpu

kepada kebangsaan tertentu, terkadang manusia itu sanggup membiarkan golongan

atau kumpulan manusia lain berada dalam kesusahan dan ditimpa dengan pelbagai

musibah. Seakan-akan naluri rasa belas kasihan sudah kian tipis dan kian tidak

dipedulikan atau bukan suatu yang penting malah tidak popular. Hal ini dapat

disaksikan apa yang berlaku di Gaza, Palestin hari ini, yang mana menjadi contoh

yang tragis kepada umat manusia itu sendiri.

Ketujuh, jiwa yang berpuasa dapat mengelak daripada kebobrokan sifat-sifat

mazmumah yang lainnya, sepertimana yang diajarkan agama agar seorang yang

berpuasa dapat menjaga lidah atau lisannya dari menuturkan suatu yang tidak baik

dan kesannya adalah kepada ganjaran yang bakal diterima. Begitu juga yang

diminta iaitu penghayatan umat tidak sekadar menjaga ibadah secara sendirian

tetapi mengelak sifat-sifat yang merosak. Apatah suatu kelompok manusia yang

rosak integritinya, tidak mustahil boleh merosakkan kumpulan atau umat yang lain
sekiranya penghayatan sepertimana nilai yang dipupuk dalam ibadah berpuasa di

tahap nol atau sifar.

Kesimpulannya, berpuasa bukan saja ibadah yang individual tetapi lebih

bersifat kolektif, universal dan untuk memperbaiki keadaan umat manusia itu sendiri

secara umumnya, secara fizikal dan kerohaniannya.

Anda mungkin juga menyukai