Anda di halaman 1dari 6

Al-Quran sebagai Pemulaan Hidayah

Al-Quran sentiasa mengajak dan mendekatkan, selalunya memberi dan menganjurkan

dan ghalibnya menyedarkan dan menunjuk arah. Terdapat ayat berupa panggilan al-Quran

kepada pembaikan diri selain pembersihan hati atau merenungi kesilapan-kesilapan masa

lampau yang menjadi cerminan semasa atau masa kini. Maka ada kedekatan al-Quran dengan

setiap manusia, seiring dengan pesan-pesan yang mencerahkan dan memudahkan.

Ringkasnya, al-Quran mendorong manusia membina peningkatan diri secara berterusan.

Justeru, al-Quran adalah kitab yang menumpukan kepada penambahbaikan melalui

banyak ayat-ayatnya yang mengandungi saranan, ajakan atau panggilan. Ada saranan, ajakan

atau panggilan itu secara umum, ada juga yang diisyaratkan secara khusus. Dan keseluruhan

ajakan atau saranan yang terkadang di dalam al-Quran adalah bertujuan untuk

mengembalikan manusia kepada Allah Taala.

Mengajak dan memanggil adalah ciri-ciri yang menonjol di dalam wahyu agung itu.

Seringkali ajakan itu lansung, adakalanya juga berbentuk tidak lansung. Ia bersifat lansung

kerana manusia sentiasa memerlukan jawapan yang lurus dan berterus-terang. Manakala,

yang bersifat tidak lansung, adalah berbentuk muhasabah, perenungan dan iktibar yang

memerlukan penghayatan atau disebut sebagai tadabbur. Justeru, kita dapat membayangkan

sekarang bagaimana al-Quran menguatkan tiap pijak kaki kita untuk berdiri di atas jalan yang

benar yang jumlah pesan-pesan yang beraneka bentuk itu. Ajakan yang diungkap al-Quran

bermaksud menerima kebaikan dan berpegang al-Quran selain berpegang kepada ajaran Nabi

s.a.w. Sepertimana disebutkan di dalam Surah al-Baqarah;


“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan

tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa”

(al-Baqarah:2).

Al-Quran meruangkan kepada manusia untuk mendekati kebenaran. Al-Quran

seringkali menunjukkan kebenaran itu daripada sumber wahyu. Buktinya diperjelaskan dalam

pelbagai ayat secara berulangan, saling mendukung dan ditekankan di pelbagai tempat.

Malah al-Quran itu sendiri merupakan penyuluh kepada kebenaran yang selalu disebut

sebagai hidayah. Justeru, ajakan dan saranan yang diungkapkan dalam al-Quran secara

umumnya berfokuskan ke arah hidayah. Hidayah juga disebutkan sebagai kebenaran.

Sepertimana disinggung ayat-ayat berikut;

“(Segala balasan yang buruk) itu adalah dengan sebab Allah telah menurunkan Kitab

dengan mengandungi kebenaran (tetapi mereka berselisih padanya); dan sesungguhnya

orang-orang yang berselisihan mengenai (kebenaran) kitab, itu sebenarnya mereka adalah

dalam keadaan berpecah-belah yang jauh (dari mendapat petunjuk hidayah Allah).” Al-

Baqarah:176.

(Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta

pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. (AliImran:138)

Adakah manusia dapat hidup dengan tiada petunjuk dan hidayah?. Dari segi fizikal,

manusia dapat hidup sepertimana lain-lain makhluk yang ada di muka bumi. Namun

kehidupan seorang itu tidak dapat merasakan kebahagiaan dan ketenangan yang sebenarnya.

Kebahagiaan dan ketenangan yang sebenarnya adalah hasil intipati daripada hidayah.

Manakan tidak, hasil rezeki yang diperolehi setiap hari kemungkinan relatif atau bergantung

kepada usaha manusia itu, namun yang berbeza adalah tanggapan si penerima rezeki itu.
Justeru, bagi yang mengetahui dan mengakui Allah sebagai Yang Maha Memberikan rezeki

pasti berbeza tanggapannya dan mempengaruhi cara hidupnya.

Hidayah saja suatu yang bersifat mutlak kurniaan Allah Ta’ala. Namun usaha manusia

juga ditekankan untuk meraih hidayah. Manusia yang mencari hidayah akan dapat merasai

kebenaran yang dicarinya kerana kesungguhan yang tinggi kepada petunjuk. Manakala yang

melalaikan diri serta menjauhi daripada peluang untuk meraih hidayah, sekadar membawa

diri semakin jauh daripada kebenaran dan petunjuknya. Seperti mana disebutkan dalam ayat

ke-25 dalam SurahYunus;

“(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat

kediaman yang selamat sentosa, dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada

sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) ke jalan yang betul

lurus (yang selamat itu).” (Yunus:25)

Juga di dalam ayat 9 dalam Surah al-Isra’ yang menyebutkan;

“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan

memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan

amal-

amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.”

Seterusnya, Al-Quran sering menghubungkan manusia dengan makna-makna

kebenaran itu sebagai jawapan pelbagai persoalan dalam kehidupan. Ironinya, kefahaman dan

kemampuan menerima fakta itu juga tertakluk kepada pembacanya. Keterbukaan diperlukan

untuk menyerap dan mencerna kandungan makna-makna tersebut agar realiti kebenaran yang

ditunjukkan al-Quran dapat membantu si pembaca.


Di samping itu, Rasulullah s.a.w merupakan pengantara yang berperanan untuk

menyampaikan isi kandungan al-Quran. Membaca dan mengikuti perkara yang diajarkan

Nabi s.a.w juga merupakan salah satu ruang untuk meraih hidayah Allah Ta’ala. Sepertimana

diterangkan dalam dalam ayat 64 Surah al-Nahl, bermaksud; “ Dan tiadalah Kami

menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) melainkan supaya engkau

menerangkan kepada mereka akan apa yang mereka berselisihan padanya; dan supaya

menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.”.

Hal ini memberikan petunjuk kepada kita bahawa hidayah bukan suatu yang hadiah

seseorang tetapi suatu kurniaan Tuhan. Justeru, kita diajarkan untuk membaca ayat 6 dalam

Surah al-Fatihah iaitu bermaksud; ”tunjukkan kami jalan yang lurus”. Sudah pasti ayat ini

berulangan dan tidak saja ia mengajak malah memberikan kita ransangan. Ketika

membacanya pasti kita cuba mengerti maknanya dan dapat memahami, ayat tersebut benar-

benar mengajak kita ke arah yang dinyatakan.

Alam juga berupa petunjuk yang membentangkan jawapan kepada diri kita, akan

persoalan-persoalan yang terlintas, tersinggung secara tiba-tiba ataupun suatu yang terungkap

sebab suatu peristiwa misalnya suatu musibah yang melanda. Sepertimana dalam maksud

firman Allah Ta’ala ”Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk

kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan

kepada kami nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara

manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan

sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan mana-mana

Kitab Allah yang menerangi kebenaran” Luqman:20.

Para ulama’ telah menggariskan beberapa prinsip atau tips yang perlu dituruti untuk

mendapatkan ketetapan petunjuk atau hidayah dalam beragama.


Pertama, iaitu perlu menyakini bahawa kurniaan hidayah daripada Allah Taala. Sepertimana

disebutkan dalam Surah Hud ayat 88 yang bermaksud; ”dan tiadalah aku akan beroleh taufik

untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku

berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.”

Keduanya, sentiasa merenungi kekuasaan dan merasakan kehebatan Allah Taala dalam

penciptaan alam. Disebutkan dalam Surah al-An’am ayat 75 yang bererti; ” Dan demikianlah

Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di

bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh

yakin.”

Ketiganya, dengan mentadabbur al-Quran iaitu cuba menyelami dan memahami makna yang

terkandung di dalam kitab tersebut untuk dijadikan garis panduan hidup yang serba rencam.

Keempat, sentiasa mengikhlaskan dan menuruti yang diperintahkan agama.

Kelima, bersahabat dengan orang baik dan menjauhi unsur yang mendorong kepada

keburukan.

Keenam, sentiasa bertaubat dan berasa diri memerlukan petunjuk daripada Allah Taala.

Ketujuh, selalu berdoa untuk istiqamah dalam hidayah.

Kelapan, sentiasa berusaha dalam melakukan ketaatan dan meninggalkan kemungkaran atau

maksiat.

Yang terakhir, iaitu sentiasa berpesan-pesan, nasihat-menasihati dan mengingat-memperingati

dalam urusan kehidupan dunia dan akhirat.

Semoga kita di antara mereka yang sentiasa mencari hidayat dan mendakapnya insya-

Allah, amin.

Anda mungkin juga menyukai