Anda di halaman 1dari 13

Makanan Halal dan Tuntutannya.

Adalah menjadi suatu kewajipan bagi umat Islam untuk mencari makanan yang halal supaya setiap apa yang dimakan itu berpadanan dan tidak melanggar syariat Islam. Ini kerana di dalam agama Islam, Allah telah menggariskan kepada umat Islam kesemuanya supaya mengambil dan mengamalkan sesuatu yang halal dan dibenarkan sahaja.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 168, maksudnya: Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik (halalan toyyiba) dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu,

Menurut Jalaluddin Muhammad dalam kitabnya yang berjudul kitab tafsir al-Jalalain, dia menyebut bahawa perkataan toyyiba (baik) itu adalah sifat kepada halal itu sendiri. Maka dapatlah difahami bahawa setiap makanan yang halal itu mestilah juga baik daripada pelbagai segi sama ada bahan campurannya, bersih dalam proses penyediaan dan dapat member manfaat kepada tubuh badan manusia (Mustaffa Haji Othman, 2009). Terdapat juga dalil-dalil naqli yang lain yang menyokong dalil ini supaya manusia mengambil makanan yang halal sahaja.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 172, maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah, Dan Allah juga berfirman dalam surah al-Maaidah, ayat 87 hingga 88, maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu, dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya, Imam Ibn Kathir dalam kitabnya, Tafsir al-Quran al-Azim, beliau menafsirkan makanan yang baik sebagai yang sesuai dengan selera di samping tidak mendatangkan kemudaratan pada badan dan akal.

Apabila telah banyak wujudnya dalil yang memerintahkan manusia supaya mengambil yang halal sahaja, maka ia telah menjadi suatu tuntutan atau kewajipan untuk umat Islam supaya mengambil makanan yang dihalalkan sahaja. Umat Islam mesti berusaha mencari yang halal dalam hidup mereka kerana hanya yang halal itulah yang dibenarkan untuk mereka. Oleh itu, manusia mestilah mengetahui apakah makanan yang dibenarkan sahaja untuk mereka. Apakah makanan-makanan yang dibenarkan dalam Islam?
2

Menurut Zawiah Hassan dan Rohayati Bakri dalam buku mereka yang bertajuk 501 Persoalan Fikah Wanita, haiwan di darat semuanya halal kecuali Anjing dan babi serta anak dari salah satu daripada keduanya, haiwan yang tidak disembelih mengikut kaedah syarak, haiwan yang bertaring dan yang bergading (seperti harimau dan

gajah), burung yang berkuku pencakar dan berparuh tajam (seperti helang dan burung hantu), haiwan yang disyariatkan supaya dibunuh (seperti tikus dan kala jengking), haiwan yang dilarang untuk dibunuh (seperti labah-labah dan semut), binatang yang menjijikkan (seperti kutu dan lalat), binatang yang hidup di darat dan di air (dua alam seperti katak dan penyu), dan haiwan yang hidup di air, namun mempunyai racun dan membahayakan kesihatan manusia. Menurut Abu Bakar al-Jazairy, dalam buku Ensiklopedia Fikah Jilid 3, antara makanan yang diharamkan dalam syarak serta penerangan akan sebab musabab pengharamannya adalah seperti berikut: Segala jenis cairan dan alkohol yang memabukkan, kerana Rasulullah sallallahu alaihi wasallam telah bersabda, Setiap yang memabukkan adalah khamr (minuman keras) dan semua khamr (minuman keras adalah haram, (Diriwayatkan oleh Ibn Majah, Imam Ahmad, Muslim dan ad-Darimi) Perahan dua unsur makanan, iaitu mencampurkan kurma muda dengan kurma masak, atau anggur kering dengan kurma masak dalam satu bekas kemudian dicampur dengan
3

air agar menjadi minuman yang manis sama ada minuman tersebut memabukkan atau tidak, kerana Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda tentang minuman tersebut, Janganlah kalian memerah kurma muda dengan kurma masak sekali dan janganlah kalian memerah anggur kering dengan kurma masak sekali, tetapi perahlah dalam setiap satu secara berasingan, (Riwayat Muslim dan ad-Darimi) Kerana campuran dua unsur makanan akan cepat menimbulkan rasa mabuk. Untuk menghindarkan dari terjadi perkara tersebut maka Rasulullah sallallahu alaihi wasallam melarangnya. Air kencing haiwan yang haram dimakan kerana ia adalah najis dan najis itu haram. Air susu haiwan yang haram dimakan dagingnya, kecuali susu manusia (wanita). Segala jenis cecair yang membahayakan tubuh seperti minyak tanah dan sebagainya. Segala minuman yang bernikotin seperti ganja dan tembakau dan shisha, kerana sebahagiannya membahayakan tubuh dan sebahagiannya lagi memabukkan,

sebahagiannya melemahkan tubuh dan sebahagian lagi menimbulkan bau busuk yang mengganggu orang ramai dan malaikat di sekitarnya. Oleh itu, segala sesuatu yang mempunyai cirri tersebut adalah haram menurut syarak. Malah Abu Bakar al-Jazairy juga ada menyebutkan jenis-jenis makanan yang diharamkan berdasarkan dalil al-Quran seperti apa yang di bawah ini.

Makanan orang lain yang diperolehi tidak dengan cara yang diharuskan syarak, kerana Allah Taala berfirman: Dan janganlah sebahagian daripada kalian memakan harta sebahagian yang lain, di antara kalian dengan jalan yang batil, (al-Baqarah: 188) Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda, Janganlah sekali-kali seseorang itu memerah susu kambing orang lain kecuali dengan izinnya, (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud) Bangkai, iaitu haiwan yang mati secara wajar, termasuk di dalamnya haiwan yang tercekik, dipukul, jatuh, ditanduk dan bekas dimakan binatang buas. Darah segar iaitu darah yang mengalir ketika penyembelihan. Begitu juga, darah yang bukan disebabkan sembelihan sama ada darah segar atau beku, sedikit atau banyak. Daging babi serta setiap sudut tubuhnya seperti darah, lemak dan sebagainya. Sesuatu yang disembelih bukan kerana Allah Taala iaitu apa sahaja yang disebutkan selain nama Allah Taala. Haiwan yang disembelih untuk berhala termasuk apa sahaja yang disembelih di kubur atau kubah di antara perkara-perkara yang dijadikan sebagai tanda atau simbol sesuatu yang disembah selain Allah Taala, atau sebagai tawassul kepada selain Allah Taala.

Terdapat dalil yang menyokong pengharaman makanan di atas, iaitu firman Allah dalam surah al-Maaidah, ayat 3, maksudnya: Diharamkan bagi kalian bangkai darah, daging babi (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk dan yang diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kalian menyembelihnya dan (diharamkan bagi kalian) yang disembelih untuk berhala, Maka mengapakah umat Islam sangat dituntut untuk memakan makanan yang halal sahaja? Ini disebabkan terdapat hikmah-hikmahnya dalam pengharaman dan penghalalan sesetengah makanan. Barang siapa yang memakan makanan halal doa mereka akan dimakbulkan Allah, mereka akan terselamat daripada diseksa dalam api neraka, amal ibadat mereka akan diterima, dan tubuh badan mereka akan terbentuk daripada darah dan daging yang baik dan suci. Malahan kesihatan kita akan lebih terjamin kerana makanan yang diharamkan oleh Allah mempunyai kandungan yang beracun malahan kotor dari segi syarak, jadi apabila kita tidak memakannya, secara langsung kita akan lebih sihat tanpa ada gangguan penyakit. Tambahan pula, antara hikmah-hikmah yang lain pula adalah kita senang mendapat hidayah daripada Allah, mudah menerima akan apa yang disampaikan di pengajian, jasmani kita akan bersih, rohani kita akan bersih, dan akal kita akan menjadi cerdas. Selain itu, doa kita akan diterima dengan izin Allah, dan segala apa yang kita kerjakan Insya-Allah akan diredhai Allah.

Seringkali apabila manusia dengan teganya melanggar perintah Allah, maka akan ditimpakan beberapa akibat atas kedegilan mereka tersebut. Siti Rohaidah, dalam laman blognya (Makanan Yang Halal dan Haram Menurut Islam) menyatakan bahawa sesiapa yang memakan makanan yang haram, hatinya akan tertutup daripada menerima hidayah Allah, mereka akan susah mendapat ilmu pengetahuan, dan segala ibadah yang mereka kerjakan adalah sia-sia. Tambahan pula, makanan haram itu mengandungi toksin-toksin yang

memudaratkan kesihatan badan dan kewarasan akal, contohnya arak. Selain daripada membuatkan peminumnya kurang waras untuk seketika, arak juga menyumbang kepada kegagalan organ badan, yang seterusnya membawa kepada kematian, seperti apa yang telah terjadi kepada legenda bola sepak, George Best yang meninggal kerana ketagihannya terhadap arak. Pengharaman haiwan dua alam serta beberapa jenis serangga juga memberi faedah kepada kita sebagai umat Islam kerana, menurut

laman informasi Wikipedia, katak dan semut mempunyai toksin di dalam badan yang sangat beracun dan sangat mustahil bagi sistem badan kita untuk menapis toksin tersebut. Malahan racun-racun yang terdapat di dalam badan katak bertambah apabila katak-katak tersebut memakan semut pula yang memang mengandungi banyak bahan kimia. Maka, apabila binatang sebegini diharamkan, kita akan terselamat daripada mengkonsumsi daging yang penuh dengan bahan kimia ini. Maka segala kepercayaan masyarakat bukan Islam, khususnya penganut Buddha di Thailand yang mempercayai sup katak dengan sup ular adalah baik untuk kesihatan adalah salah sama sekali, kerana kepercayaan mereka itu tidak sepadan dengan bukti saintifik yang menunjukkan bahawa pemakanan daging ular dan katak memudaratkan tubuh.
7

Selain itu, pemakan makanan haram juga akan dilaknat oleh Allah dan akan diazab di akhirat kelak. Ini disebabkan pemakan makanan haram membuatkan mereka mudah dihasut syaitan dan cenderung ke arah melakukan maksiat. Makanan haram menggelapkan hati, kerana sifatnya yang langsung tidak bermanfaat untuk membina kekuatan tubuh. Tambahan pula, makanan yang diperolehi hasil rampasan daripada orang lain akan menambahkan dosa kepada kita setiap kali kita memakannya. Setiap dosa yang terbit akan menghalang cahaya atau nur daripada menembusi masuk ke dalam hati kita. Disebabkan perkara inilah, ramai penuntut ilmu yang terkandas kerana mereka tidak ambil peduli akan halal dan haram dalam pemakanan, dan seterusnya mereka mengalami masalah dalam pembelajaran. Mereka akan selalu mengadu bahawa ilmu yang disampaikan oleh guru mereka tidak dapat difahami, seperti kisah Imam As-Syafie rahimahullah yang mengalami kesukaran dalam belajar apabila ibunya memberikannya susu daripada kambing yang telah meragut rumput-rumput di rumah jiran beliau tanpa izin. Hanya setelah ibunya meminta maaf kepada jiran di sebelah rumah, barulah beliau boleh belajar dan hafazannya tidak terganggu. Mari kita lihat dari segi aspek penyembelihan dalam Islam. Meskipun ada beberapa ekor binatang yang dibolehkan syarak untuk memakannya, namun tetap juga ia tidak terlepas daripada beberapa peraturan. Peraturannya menjadikan makanan yang kita makan itu akan lebih suci dan berkhasiat sesuai dengan kalimat halalan toyyiba yang disebut dalam al-Quran. Menurut Dr. Danial Zainal Abidin, dalam karangannya yang bertajuk Quran Saintifik, beliau menerangkan bahawa kaedah sembelihan secara Islam adalah lebih bersih dan menyihatkan pemakan daging sembelihan tersebut, meskipun orang Barat melabelkannya sebagai tidak
8

berperikemanusiaan dan menggerunkan. Ini kerana, proses sembelihan secara Islam yang memerlukan penyembelih supaya memutuskan dua urat di leher (wadajain) supaya binatang itu benar-benar mati. Tambahan pula, dua urat tersebut mempunyai pembuluh darah yang besar. Jadi apabila ia dipotong, kebanyakan darah yang terkumpul dalam badan binatang yang disembelih akan keluar di situ dan seterusnya secara beransur-ansur darah tidak lagi terkumpul dalam badan haiwan tersebut. Darah mengandungi pelbagai jenis asid seperti asid urik yang boleh membawa kemudaratan kepada otak manusia serta pelbagai lagi bahan kumuh yang belum sempat ditapis oleh buah pinggang binatang tersebut. Malah pelbagai penemuan baru menunjukkan

pengharaman babi sangat relevan kerana saintis mendapati bahawa babi berupaya menjadi takungan kuman biasa untuk bertukar menjadi kuman yang lebih berbahaya, contohnya seperti wabak selesema babi H1N1. Tambahan pula, kajian terbaru mengenai binatang-binatang di Afrika menunjukkan bahawa memakan binatang liar seperti monyet-monyet liar di sana akan menambahkan risiko mendapat penyakit HIV versi baru. Namun begitu, kita mesti tertanya-tanya mengapakah tidak diharamkan semua sahaja binatang-binatang yang ada di atas muka bumi ini untuk kita makan, kerana terdapat beberapa binatang yang diharamkan dan ada sesetengahnya yang tidak. Mesti ada hikmahnya kenapa Allah menurunkan syariat sebegini kepada kita. Ini disebabkan terdapat zat-zat di dalam binatang yang tidak akan dapat ditemukan dalam sayursayuran, buah-buahan mahupun bijirin yang kita makan, sedangkan zat-zat tersebut sangat-sangat diperlukan oleh tubuh kita kerana tubuh kita tidak mampu menghasilkan semua zat-zat yang bersumberkan makanan yang kita makan untuk dibekalkan kepada
9

tubuh. Jadi dengan mengkonsumsi sedikit daging dalam pemakanan, kita akan dapat memenuhi tuntutan biologi tubuh badan kita supaya sistem badan kita menjadi seimbang. Apabila agama sudah mewajibkan kita mencari yang halal, kita sebagai umat Islam hendaklah berusaha menguasai industri penternakan dan perladangan sebagai langkah untuk memastikan saudara-saudara seagama kita memperoleh makanan halal selari dengan apa yang dituntut syarak. Maka kita hendaklah mempersiapkan diri kita dengan ilmu supaya kita dapat mengatasi masalah yang timbul dalam menyediakan makanan halal ini. Penubuhan suatu badan kerajaan yang memantau halal dan haram juga sangat berguna untuk sentiasa memberi informasi kepada rakyat akan pengeluarpengeluar yang tidak menghasilkan makanan selari dengan tuntutan syarak. Masyarakat yang berada berdekatan dengan kilang-kilang pengeluar makanan harus bersedia menjadi mata-mata dan sentiasa memberi laporan akan aktiviti kilang-kilang yang disyaki mengeluarkan makanan yang diragui kehalalannya. Tindakan Persatuan Pengguna Pulau Pinang sangat wajar dipuji kerana mereka sentiasa bertindak dalam memastikan umat Islam akan sentiasa beroleh makanan yang halalan toyyiba sahaja dengan menerbitkan risalah-risalah bulanan yang sangat berguna. Dengan penjelasan yang singkat ini, dapatlah disimpulkan bahawa agama Islam adalah agama yang paling benar dan segala apa yang telah digariskan oleh Allah adalah yang paling terbaik untuk hamba-hamba-Nya. Manusia yang dikurniakan akal fikiran seharusnya mengkaji perintah-perintah ini untuk menemui kebenaran agama ini dan seterusnya disebarkan kepada orang bukan Islam di luar sana bahawa memilih Islam sebagai jalan hidup adalah keputusan yang paling tepat.
10

RUJUKAN Zawiah Hassan & Rohayati Bakri, (2009). 501 Persoalan Fikah Wanita. Kuala Lumpur: PTS Millennia Sdn. Bhd. Dr. Danial Zainal Abidin, (2006). Quran Saintifik: Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains. Selangor: PTS Millennia Sdn. Bhd. Muhammad Ariffin, Muhammad Zaini Yahya, Affendi Sahi, (2004). Pendidikan Syariah Islamiyyah Tingkatan 4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Abu Bakar Jabir Al-Jazairy, (2007). Ensiklopedia Fikah: Manhaj Peribadi Muslim . Selangor: Pustaka Dini. Siti Rohaidah, Akibat Makan Makanan Yang Haram. Diambil pada 15 Februari 2011, daripada http://makanan-islam.blogspot.com/ Siti Rohaidah, Hikmah Makan Makanan Halal. Diambil pada 15 Februari 2011, daripada http://makanan-islam.blogspot.com/ Syeikh Muhammad Yusuf Qardhawi, (1993). Halal dan Haram dalam Islam: Bab Kedua, Jakarta: Makanan, Pakaian dan Rumah. (Alih Bahasa oleh Muammal Hamidy). PT Bina Ilmu. Diambil pada 9 Februari 2011, daripada

http://luk.staff.ugm.ac.id/kmi/islam/Qardhawi/Halal/201.html Mustaffa Haji Othman, (26 April 2009). Pemakanan (Halal dan Thoyyib), Re: Isu Makanan Halal dan Haram dalam Halaqah: Forum Komuniti Muslim & Muslimah. Diambil pada 15 Februari 2011, daripada http://halaqah.net/v10/index.php?topic=5905.0 Halaqah: Forum Komuniti Muslim & Muslimah, (14 Jun 2009). Re: Isu Makanan Halal dan Haram. Diambil pada 15 Februari 2011, daripada http://halaqah.net/v10/index.php?topic=5905.0

11

12

LAMPIRAN

13

Anda mungkin juga menyukai