Anda di halaman 1dari 13

ISI KANDUNGAN BIL 1 2 2.1 2.2 2.3 2.4 2.

5 3 4 5 6 PERKARA PENGENALAN CORAK DAN REKAAN HASIL KARYA MURID A HASIL KARYA MURID B HASIL KARYA MURID C HASIL KARYA MURID D HASIL KARYA MURID E MAKNA DAN SIMBOL KESIMPULAN BIBLIOGAFI DAN RUJUKAN LAMPIRAN MUKA SURAT 2 3 4 5 6 7 8 10 11 12 13

1.

PENGENALAN

Pendidikan Seni berupaya menghubung satu generasi ke satu generasi yang lain. Pendidikan Seni merupakan satu pengajaran yang bersistem, terancang dan boleh diukur prestasinya bagi memenuhi keperluan individu yang melibatkan rangkuman idea yang dicetuskan melalui teknik-teknik yang terdapat dalam subjek ini, seperti membuat rekaan dan corak. Oleh itu, Pendidikan Seni wajib diajar di sekolah sebagai satu disiplin ilmu yang signifikan dengan hasrat murni yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Pendidikan Seni juga berfaedah kepada murid kerana ia memufuk peribadi yang lengkap, yang beransur membina berbagai bentuk literasi bagi menajamkan intuisi, takulan, imaginasi dan kemahiran dalam berekspresi dan berkomunikasi. Menerusi Pendidikan Seni, murid bukan setakat diberi pengajaran dan pembelajaran untuk menghasilkan karya seni mereka tetapi meliputi segala aspek kehidupan manusia seharian. Selain itu, Pendidikan Seni juga bertujuan memberi peluang kepada murid memupuk minat, memperkembang keperibadian, memberi kesedaran dan kepekaan terhadap nilai-nilai kesenian dan alam sekitar serta kaitannya dengan mata pelajaran lain. Murid di sekolah rendah pada keseluruhannya adalah kreatif, ekspresif serta aktif dan secara semula jadi, mereka meminati seni. Pendidikan Seni Visual memainkan peranan memperkembang sifat ini melalui persepsi visual, imaginasi dan daya pemikiran. Kegiatan pemikiran, penerokaan dan reka bentuk dalam pelbagai jenis seni visual akan membolehkan mereka menyatakan idea dan ekspresi diri. Pengalaman ini penting kerana ia membantu murid membina keyakinan diri, membuat penilaian dan mengenali cita rasanya sendiri. Oleh itu, peranan guru Pendidikan Seni sangat penting dalam pengajaran dan pembelajaran subjek ini untuk membantu perkembangan psikologi mereka melalui perlakuan, persepsi dan pengetahuan budaya dalam pelbagai aktiviti. Melalui pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni, guru berperanan untuk

menerapkan aspek pemahaman, penghayatan dan kritikan mengenai perasaan estetik dan daya kreativiti melalui imaginasi dan konsepsi murid. Dengan ini, murid dapat meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, di samping menghargai keindahan alam persekitaran dan keindahan seni warisan bangsa. Guru perlu memupuk minat murid dalam bidang artistik untuk menghasilkan karya yang bersifat corak dan memperlihatkan kepentingan konsep visual. Guru juga perlu menggalakan mereka melaksanakan pemerhatian aktif serta interaksi yang kreatif dengan alatan serta membantu murid bagaimana mengapresiasi seni.

2.

CORAK DAN REKAAN

Corak dan rekaan merupakan satu asas utama dalam penghasilan sesuatu karya seni. Tanpa rekaan dan corak, hasil seni yang tradisional mahupun yang mengikut zaman tidak terhasil. Bidang kegiatan ini memberi peluang kepada murid memahami pelbagai cara untuk menghasilkan corak dan mengaplikasikannya menjadi satu rekaan lain. Corak dan rekaan tersebut boleh juga dipadankan kepada hasil yang lain daripada bidang kegiatan lain seperti menggambar, binaan, kraf dan sebagainya. Bidang ini juga dapat mempengaruhi murid untuk meneroka, mengekspresi, berkomunikasi, mencabar, mengkaji, menambah dan menyampaikan (Key & Stillman, 2009). Mempelajari corak dan rekaan dapat membantu murid dalam pembelajaran mereka terutama dalam aspek kepekaan, pengamatan, kognitif dan kreativiti mereka. Mereka akan dapat mengenali serta mengkaji pelbagai corak dalam alam dan kehidupan seharian mereka. Menurut Lowenfeld (1975), kanak-kanak dilahirkan kreatif. Dalam erti kata lain, murid mempunyai sifat yang dinamik serta berkembang mengikut fitrah semulajadi proses tumbesaran mereka . Melalui bidang corak dan rekaan, murid boleh mempertingkatkan dan menajamkan penggunaan pancaindera dan deria. Dengan itu, murid perlu dipupuk untuk perkembangan keperibadian mereka serta memberi kesedaran dan kepekaan terhadap nilainilai kesenian dan alam sekeliling mereka. Dalam masa yang sama, mereka juga dapat ilmu pengetahuan tentang budaya mereka dan mampu membuat persepsi tentang corak dan rekaan yang dilihat dalam hasil karya mereka. Dalam tugasan ini, sebanyak 5 keping lukisan murid Tahun 6 digunakan sebagai sampel kajian yang dihasilkan dalam aktiviti menggambar. Setiap lukisan dibincang secara terperinci dari segi perlakuan seni, persepsi seni serta pengetahuan budaya setiap murid pada hasil karya mereka. Didapati bahawa setiap murid mempunyai persamaan dan juga perbezaan persepsi seni tentang rekaan corak dan juga pengetahuan budaya berkaitan dengan mesej yang disampaikan dalam karya tersebut. Ini kerana mereka tinggal dengan persekitaran yang berlainan walaupun belajar di tempat yang sama. Mereka juga terpengaruh dengan budaya keluarga dan kehidupan seharian yang mereka amalkan. Ini menggambarkan betapa kuatnya pengaruh budaya dan persekitaran murid dalam proses membuat corak dan rekaan yang dihasilkan. Ada diantara mereka mampu mereka corak yang lebih kreatif, yang menggambarkan imej sebenar tetapi diubahsuai melalui daya imaginasi diri untuk mendapatkan kelainan ekspresi rekaan berbanding dengan rakan yang lain.

2.1

HASIL KARYA MURID A (Jovita Julius 12 tahun)

PERLAKUAN Jovita memilih corak bunga raya, rama-rama dan petai, iaitu imej yang sentiasa dilihat di persekitarannya. Jovita memilih warna panas dan sejuk serta mampu membezakan bentuk dan saiz dengan menghasilkan sesuatu gubahan yang asli. Jovita melukis coraknya mengikut imej semulajadi dan diubahsuai untuk mencipta sesuatu mengikut kehendak imaginasinya yang bertemakan kebun bunga. PERSEPSI Jovita mempunyai daya kreatif kerana mampu membuat corak yang belainan daripada imej sebenar. Corak pada bunga dan rama-rama direka untuk mengaitkan jenis flora dan fauna yang terdapat dipersekitarannya. Pemilihan warna merah dan kuning adalah sebagai penegasan dalam hasil karyanya. Rekaan corak menjurus kepada corak lain yang terdapat di sekelilingnya selain daripada flora dan fauna. Corak petai diselitkan kerana ia merupakan makanan keluarga dan juga kerana Jovita mengaitkan dengan telur rama-rama. Ternyata Jovita dapat mengekspresi persekitaran dalam hasil karyanya. PENGETAHUAN BUDAYA Jovita telah menyelitkan corak lain pada bunga dan rama-rama yang ada kaitan dengan warisan budaya keluarganya, iaitu sesuatu kraf tradisional yang terdapat pada salah satu alat pakaian tradisional mereka. Corak tersebut diubahsuai mengikut kreativitinya dalam menghasilkan kelainan yang hendak disampaikan kepada rakan yang lain.

2.2

HASIL KARYA MURID B (Dushona Sanjeevani Saravanan 11 tahun 6 bulan)

PERLAKUAN Hasil karya Dushona merupakan suasana di tepi kolamnya. Dushona memilih corak bunga teratai, katak dan telur katak, iaitu imej yang sentiasa dilihat di tempat tinggalnya dan juga di kampong halamannya. Dushona memilih warna primer dan sekunder dan mencuba untuk menghasilkan sesuatu gubahan yang asli. Dushona melukis coraknya mengikut imej semulajadi dan mengubahsuainya untuk mencipta sesuatu mengikut daya imaginasinya. PERSEPSI Dushona membuat corak yang mengikut imej asli tetapi dibentuk semula belainan daripada imej sebenar. Corak pada bunga teratai direka untuk mengaitkan lampu yang mereka selalu gunakan untuk bersembahyang. Corak pada katak dan daun bunga teratai direka untuk mengaitkan corak yang terdapat pada corak kolam, satu aktiviti yang dibuat sebelum perayaan. Pemilihan warna adalah sebagai penegasan dalam hasil karyanya yang ada kaitan dengan agamanya. Rekaan corak mempunyai saiz yang berbentuk organik dan separuh geomotri. Dushona telah menghasilkan sebuah lukisan mengikut daya kreatifnya yang unik dan ekspresinya yang asli. PENGETAHUAN BUDAYA Dushona telah mengaitkan bunga teratai sebagai lampu yang digunakan dalam upacara keagamaan mereka. Corak pada bunga teratai tersebut diubahsuai mengikut kreativitinya tersendiri. Dushona telah mengekalkan unsur-unsur kebudayaannya dalam hasil karyanya.

2.3

HASIL KARYA MURID C (Corina Mikoh 12 tahun)

PERLAKUAN Corina menggunakan tema suasana di kampung. Corina telah yang berkaitan dengan alam fauna dan flora. Corina memilih corak tapak binatang buas dan juga petai, iaitu imej yang selalu dilihatnya ketika mencari rezeki di hutan bersama dengan keluarganya. Corina memilih warna sejuk dan sekunder dan mencuba untuk menghasilkan sesuatu gubahan yang asli. Corina melukis corak tersebut mengikut imaginasinya dengan mengimbas kembali penemuan imej tersebut dan mengubahsuainya untuk mencipta sesuatu mengikut daya imaginasinya. PERSEPSI Corina membuat corak mengikut imaginasinya dan dibentuk semula untuk menggambarkan imej sebenar. Corak pada tapak kaki binatang tersebut direka untuk tapak binatang yang buas dan merbahaya. Corak petai juga diubah kerana imej yang dilihat di mana terdapatnya banyak petai dengan pelbagai saiz di hutan tersebut. Pemilihan warna adalah sebagai penegasan dalam hasil karyanya. Rekaan corak mempunyai saiz yang berbentuk organik. Corina telah menghasilkan sebuah lukisan mengikut daya kreatifnya yang unik dan ekspresinya yang harmoni erta asli. PENGETAHUAN BUDAYA Corina telah mengaitkan tapak binatang sebagai amalan berhati-hati dan juga seraung, satu jenis peralatan tradisional yang terdapat dalam kaum kadazan. Corak pada bunga teratai yang telah diubahsuai mengikut kreativitinya tersendiri dikaitkan dengan corak linangkit pada pakaian tradisional mereka ketika perayaan.

2.4

HASIL KARYA MURID D (Randall Flavian Rudolf 12 tahun)

PERLAKUAN Hasil karya Randall bertemakan daun. Randall telah memilih daun untuk dijadikan imej asas dalam corak yang diubahsuainya untuk mengaitkan alam kehidupan sehariannya. Randall memilih warna asas dan sekunder serta cuba untuk menghasilkan sesuatu gubahan yang unik dan asli. Randall melukis coraknya mengikut imej semulajadi tetapi diubahsuai untuk mencipta sesuatu mengikut daya imaginasinya. PERSEPSI Randall mempunyai daya kreatif kerana mampu membuat corak yang berlainan daripada imej sebenar. Corak pada daun direka khas untuk mengaitkan jenis daun yang terdapat dipersekitarannya dan juga yang dilihatnya semasa merantau di negara orang. Pemilihan warna hijau adalah sebagai penegasan dalam hasil karyanya. Randall telah menggunakan semua ruang pada kertasnya. Rekaan corak menjurus kepada kehidupan dahulu, sekarang dan masa depan selain di sini dan di sana. Randall memilih daun sebagai persepsi kehidupannya sebelum dan sekarang sejak keluarganya mula membuat lawatan ke negara lain untuk menambah ilmu pengetahuan di samping meneliti kehidupan di sana. PENGETAHUAN BUDAYA Randall telah mengaitkan corak daun ini sebagai amalan murni dalam menjaga budaya warisan yang ada agar tidak hilang ditelan zaman. Corak pada daun diubahsuai mengikut kreativitinya tersendiri dan dikaitkan dengan budaya kesederhanaan, kestabilan dan kemakmuran dalam mengamalkan kehidupan seharian yang sempurna.

2.5

HASIL KARYA MURID E (Clarissa Chung 12 tahun)

PERLAKUAN Clarissa menggunakan tema bunga raya kerana sangat minat dengan bunga tersebut dan terdapat di sekeliling rumahnya. Clarissa telah memilih warna asas dan mencuba untuk menghasilkan sesuatu gubahan yang asli dan unik. Clarissa juga melukis corak tersebut mengikut imej asal . Clarissa telah menyusun mengikut saiz dalam bentuk bulatan, di mana satu yang besar di tengah dan dikelilingi dengan lima saiz yang kecil. PERSEPSI Corak yang dihasilkan oleh Clarissa merupakan satu corak yang unik. Clarissa sedar tentang prinsip seni reka iaitu imbangan, penegasan dan harmoni. Clarissa mempunyai daya kreatif dalam penghasilan corak daripada imej asal. Corak disusun mengikut unsur seni serta mempunyai perkaitan dengan warna merah yang digunakan sebagai penegasan. Warna yang digunakan juga dikaitkan dengan warna keluarga bagi kaum cina. Corak yang dihasilkan mengukuhkan citarasa Clarissa dalam kehidupan sehariannya. PENGETAHUAN BUDAYA Clarissa telah mengaitkan corak rekaannya dengan budaya keluarganya. Corak sebegini terdapat dalam pakaian, iaitu dari alam flora. Warna yang digunakan juga merupakan warna bagi kaum cina dan sentiasa dipakai pada setiap perayaan. Clarissa mampu membuat corak yang unik untuk dijadikan corak dalam pakaiannya untuk menyambung warisan tradisi mereka.

Pemilihan murid yang berbilang bangsa adalah untuk meneliti bagaimana perlakuan, persepsi dan pengetahuan budaya mereka dapat dibentuk supaya celik seni dan menghargai warisan bangsa. Ini membuktikan bahawa walaupun mereka masih diperingkat Pseudonaturalistic atau Reasoning (Lowenfeld & Britain, 1982), mereka sudah mula peka dengan konsep realistik dalam menghasilkan lukisan mereka. Mereka sudah mula menitikberatkan tentang konsep kedudukan dan saiz rasional imej. Mereka juga lebih gemar melukis melalui konsep peniruan (Bandura, 1986 &1997) atau melalui imej di hadapan mata mereka dengan mengaitkannya melalui imaginasi. Terdapat juga di mana mereka jarang berkongsi dengan rakan sebaya hasil karya mereka kerana perasaan malu dan rendah diri. Mereka takut hasil lukisan mereka tidak secantik atau menarik dengan rakan lain. Namun tugas guru Pendidikan Seni perlu dititikberatkan dan diperlukan dalam mempersiapkan murid untuk menghadapi hidup mereka dalam usaha mencari erti diri, penglibatan dan halatuju mereka di masa depan. Dalam penelitian perlakuan murid pilihan, kelima-lima murid mempunyai kemahiran yang memenuhi kehendak prinsip rekaan seni dan juga unsur-unsur seni yang terdapat dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual. Mereka juga boleh mengolah dan memurnikan, seperti yang dijelaskan oleh Chapman (1978), rekaan corak mereka bertepatan dengan tema yang dipilih. Di sini, peranan guru adalah membimbing mereka melalui penegasan terhadap bahan dan teknik penggunaan serta penghasilan melalui penjelasan atau demonstrasi serta tunjuk cara. MacFee (1977) menganggap seni ada dalam budaya. Melalui perlakuan murid, mereka boleh mencipta sesuatu corak yang mereka gemari menerusi sifat semulajadi sesuatu imej yang mereka lihat. Ada juga diantara mereka yang cuba meneroka dan membuat eksperimentasi untuk menghasilkan corak yang unik. Murid sebegini mempunyai pengamatan yang tajam serta mempunyai daya kreatif yang perlu dibimbing untuk mencipta hasil karya yang lebih kreatif. Mengenai dengan persepsi mereka, rata-rata mempunyai daya yakin dalam membuat apresiasi masing-masing untuk menyalurkan mesej yang cuba disampaikan dalam hasil karya mereka yang asli sama ada yang tersurat atau tersirat. Mereka memahami konsep penyusunan motif dalam corak serta memahami dan menyedari keadaan alam sekitar. Penggunaan warna sentiasa merujuk kepada warna dan corak asal namun membuat penegasan dengan menggunakan warna panas. Mereka juga cuba mengetengahkan warna budaya mereka untuk menjelaskan bahawa mereka sentiasa mengikuti perkembangan budaya tersendiri. Ini membuktikan bahawa seni adalah untuk memperkayakan kualiti sesuatu perayaan atau

upacara ritual bagi sesuatu peristiwa (MacFee, 1993). Mereka boleh menghasilkan sesuatu yang bermakna serta memerhati ketika melukis (Brown, 1980), yang mempunyai perkaitan dengan alam semulajadi yang mempunyai hubungan dengan alam kehidupan mereka. Berkaitan dengan pengetahuan budaya, sememangnya mereka masih terpengaruh dengan budaya masing-masing yang diamalkan oleh keluarga masing-masing. Mereka kenal dengan aspek-aspek berkaitan dengan simbol yang terdapat dalam budaya hidup mereka. Contohnya murid B dan C, di mana corak rekaan mereka berkait rapat dengan budaya peralatan tradisional kaum masing-masing sama ada yang digunakan semasa perayaan tertentu atau kegunaan seharian. Dengan cara ini, mereka mampu mengekalkan serta mengembangkan unsur warisan budaya dan menghargainya supaya sentiasa terpelihara. Lansing (1973) dan MacFee (1977) masing-masing berpendapat bahawa pengetahuan budaya dalam seni dapat mengembangkan daya kreatif murid yang menekankan kepada kesenian dan individu dalam masyarakat. Oleh itu, guru Pendidikan Seni Visual berperanan untuk membantu murid dengan memupuk minat mereka dengan memberi kesedaran dan kepekaan terhadap nilai-nilai kesenian dan alam sekitar. 3. MAKNA DAN SIMBOL

Menurut Campbell (1957), simbol merupakan suatu energy evoking and directing agent. Simbol merupakan gambar , bentuk atau benda yang mewakili suatu gagasan, benda ataupun jumlah sesuatu. Makna dan simbol sangat penting dalam corak dan rekaan untuk menyampaikan mesej yang tersurat dan tersirat. Melalui pemerhatian (Chapman, 1986), interatif yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan akan melibatkan aktiviti penerokaan dan penghasilan. Dalam hasil karya kelima-lima murid, mereka cuba mempamerkan corak dengan menggunakan simbol seperti : 3.1 3.2 3.3 3.4 3.5 Murid A - simbol bulat untuk biji petai dan juga telur rama-rama Murid B - simbol bulat untuk telur katak, simbol bunga teratai untuk lampu Murid C - simbol bulat untuk tapak binatang dan biji petai Murid D - simbol daun bercabang tiga untuk kesederhanaan, kestabilan dan kemakmuran Murid E - simbol bulatan melambangkan prinsip rukun negara

Maksud simbol bulat yang terdapat pada corak hasil karya kesemua murid melambangkan kesinambungan kehidupan mereka yang tiada penghujungnya, iaitu sesuatu yang sepatutnya berterusan dari generasi ke generasi. Ini bermakna warisan budaya mereka patut dikekalkan dan diteruskan oleh generasi akan datang. Ia juga merupakan simbol perpaduan dan perlindungan dalam keluarga dan masyarakat di sekeliling mereka. Tanpa perpaduan, mereka tidak mempunyai persafahaman serta permuafakatan. Bagi simbol daun yang direka oleh murid D, ia membawa maksud betapa bezanya kehidupan seseorang dulu dan sekarang sekiranya seseorang itu mempunyai kemahuan untuk berusaha ke tahap yang lebih memuaskan. Walaupun sedemikian, kehidupan tetap diteruskan dengan tidak mengabaikan budaya kehidupan lama tetapi dalam keadaan yang lebih memuaskan. Maksud lain bagi simbol daun ini adalah berkaitan dengan tenaga, daya kekuatan serta kebangkitan. Murid ini cuba bangkit untuk meneruskan kehidupannya dengan penuh keyakinan serta keazaman. Selain itu, simbol daun ini juga membawa maksud pengurniaan atau penganugerahan. Ini kerana murid ini merasa bertuah dilahirkan dalam keluarga yang mampu memberikan kehidupannya dalam suasana yang selesa. Bagi murid B, simbol bunga teratai yang direka melambangkan lampu yang digunakan dalam upacara keagamaan yang membawa maksud kehidupan dan mempunyai perkaitan dengan cara kehidupan yang perlu diteruskan walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan. Ia juga membawa maksud kebenaran atau kesucian atau kesempurnaan. Terdapat satu simbol yang unik dalam hasil karya murid A, iaitu corak yang terdapat pada rama-rama. Ia melambangkan corak keagamaan di mana murid tersebut sangat taat kepada agamanya melalui pengaruh keluarganya. Simbol-simbol yang digunakan merupakan ekspresi murid dalam menyatakan mesej yang ingin disampaikan dalam rekaan corak mereka kerana pada peringkat mereka, mereka mempunyai perasaan malu untuk menyatakan sesuatu secara verbal. Ini telah dijelaskan oleh Lowenfeld (1975) dan (Lowenfeld & Britain, 1982) dalam peringkat Pseudo-naturalistic atau Reasoning. Murid mencuba untuk menyampaikan mesej mereka dalam bentuk simbol supaya dapat ditafsirkan oleh rakan sebaya secara visual.

4.

KESIMPULAN

Secara keseluruhan, bidang corak dan rekaan berkait rapat dengan hal-hal keindahan atau estetika yang merangkumi aspek jasmani dan rohani murid. Melalui corak dan rekaan, murid berpeluang memperkembangkan keperibadian diri, kesedaran dan kepekaan terhadap nilai kesenian dan alam sekitar serta kaitannya dengan mata pelajaran lain. Mereka perlu mempelajari bagaimana mengekspresi dan mengapresiasi hasil karya mereka dan juga rakan sebaya. Oleh itu, murid perlu didedahkan perkara yang berkaitan dengan budaya melalui bidang-bidang yang terdapat dalam pembelajaran Pendidikan seni di sekolah. Mereka perlu mengetahui keperluan-keperluan naluri estetik yang mempengaruhi faktor keagamaan, kebudayaan, ruang, masa dan keadaan tertentu. Mereka perlu tahu dan sentiasa mengamalkan sikap hormat-menghormati dan menghargai diri kerana dapat kehidupan yang baik dan sempurna berbanding dengan kehiudpan bagi mereka yang tidak mengamalkan sedemikian. Oleh itu, mereka perlu meneruskan mempelajari semua keperluan yang melibatkan pemikiran kritis dan kreatif dan seterusnya mereka corak yang terdapat dalam seni bina, hiasan dalaman atau lanskap. Dengan itu, mereka akan menjadi insan yang harmonis, kritis, kreatif dan produktif melalui kegiatan seperti membuat corak dan rekaan dalam penyataan idea dan ekspresi diri. (2,770 perkataan)

BIBLIOGRAFI DAN RUJUKAN Buku Buku Panduan Kreativiti. (2011). Putrajaya: Bahagian Pembangunan Kurikulum. Chee, K. (1996). Pendidikan Seni Visual. Kuala Lumpur: Pelangi Publishing Group Bhd. Jackson, L. (2002). Pattern Design. New York: Princeton Architecture Press. Jarratt, R. (2003). Art & Design. United Kingdom: Nelson Thornes Ltd. Kear, G. C. (1999). Teaching Art & Design in Primary School. David Fulton. Luen, L. C. (2011). Perkembangan Seni & Kraf Kanak-kanak. Selangor: Gerak Ilmu Sdn Bhd. Nakamura, S. (2005). Pattern Source Book : Chinese Style. Japan: Rockport Publishers. Stillman, P. K. (2009). Teaching Primary Art & Design. Glasgow: Bell & Bain Ltd. Sumber Internet http://www.fleurdelis.com/symbolism_LMNOP.htm#Lance http://www.shvoong.com/books/2151-myths-symbols-indian-art-civilization/ http://en.wikipedia.org/wiki/Joseph_Campbell

Anda mungkin juga menyukai