Anda di halaman 1dari 3

A. Huraikan Konsep Budi, Budi Bahasa, Kesantunan Bahasa dan sistem sapaan Melayu. 1.0 Pengenalan.

Bidalan melayu tradisional berkata biar buruk kain dipakai, asalkan pandai membawa diri. Bidalan ini jelas menunjukkan bahawa kemahiran seseorang manusia itu untuk bergaul dan menyesuaikan diri walau di mana sahaja mereka berada amatlah penting, jauh lebih penting dari mempunyai harta yang banyak. Dengan arus kemodenan yang kian menghambat zaman moden ini, walaupun budi bahasa menjadi keutamaan, kita hanya akan lebih dihormati jika mempunyai harta yang banyak. Namun, dalam apa jua keadaan, budi dan bahasa adalah citra masyarakat melayu di Malaysia. Sehubungan itu, esei ini akan menghuraikan konsep budi, budi bahasa, kesantunan bahasa dan sistem sapaan Bahasa Melayu serta mengapa ianya perlu diamalkan oleh rakyat Malaysia.

2.0 Konsep Budi.

Menurut Noriati (2002), budi ialah akal, kebijaksanaan, perangai dan akhlak yang baik. Pentakrifannya juga melibatkan perbuatan dan tingkah laku yang baik. Tegasnya persoalan budi berkait rapat dengan conscience, kesedaran, kata hati, perasaan, rasa, hati dan berhati perut. Budi ialah satu keseluruhan sifat, sikap, pemikiran, pengucapan, perlakuan dan akhlak yang menjelaskan persoalan dalaman manusia. Jelasnya budi ialah pancaran nilai utama yang telah menetapkan corak akhlak dan nilai manusia. Kesimpulannya, seseorang yang berbudi ialah orang yang berilmu, bijak, pandai, mengetahui, mengerti, berpengalaman dan berakal. Berbudi menjadi keutamaan dalam proses sosialisasi dan pembudayaan. Guru-guru memerlukan pembangunan budi yang terpuji seperti ketulusan, kejujuran, intergriti, adil, amanah dan akauntabiliti. Dengan ini, kita bukan sahaja mampu membentuk aspek

pembangunan luaran semata-mata, tetapi perlu memperbaiki aspek dalaman yang

dikenali sebagai aspek keperibadian untuk menjadikan masyarakat sebagai suatu masyarakat yang benar-benar bertamadun.

3.0 Konsep Budi Bahasa.

Budi bahasa merupakan satu pendekatan budaya, komunikasi dan hubungan yang ditekankan serta mengandungi unsur-unsur sopan santun, menghormati tetamu atau pelanggan, menunjukkan sikap mesra pelanggan dan merupakan satu elemen penting bagi meningkatkan martabat budaya bangsa (Abd. Rahim Abd Rashid, 2006). Umumnya setiap gerak laku, tuturkata, tatacara hidup, pemikiran dan perasaan baik terhadap orang lain sebagai peribadi mahupun pergaulan masyarakat terangkum dalam konsep budi bahasa. Konsep-konsep lain yang berkaitan dan melengkapkan nilai budi bahasa termasuklah mulia, adil, hormat, bijaksana, berani, mulia, setia, malu sabar dan sopan.

4.0 Konsep Kesantunan Bahasa.

Noriati A. Rashid (2005) mentakrifkan kesantunan sebagai penggunaan katakata yang sesuai, tidak menimbulkan konflik, dan sentiasa menjaga air muka pendengar. Konsep yang diketengahkan oleh Noriati A. Rashid di atas menerangkan bahawasanya kesantunan berbahasa secara amnya merujuk kepada penggunaan bahasa baik iaitu apabila kita bercakap dengan seseorang, kita hendaklah bercakap dengan menggunakan bahasa yang bersopan dan beradab. Contohnya, apabila kita hendak menegur seseorang kenalan kita, kita hendaklah menegur dia dengan memberi salam dan jangan menegur mereka dengan bahasa yang kasar. Hal ini kerana apabila kita bercakap dengan bahasa yang kasar, ianya dapat

mengambarkan bahawa kita adalah manusia yang kurang beradab ketika menggunakan bahasa ibunda. Perwatakan dan keperibadian seseorang dapat dilihat apabila dia sedang bercakap dengan temannya. Apabila kita menggunakan

perkataan yang beradab, lemah lembut dan bersopan santun, ianya dapat mencerminkan bahawasanya kita merupakan orang yang mempunyai kesantunan berbahasa. Begitu juga sebaliknya, apabila kita menggunakan perkataan yang kasar, ianya dapat mengambarkan bahawa kita adalah orang yang tidak mempunyai kesantunan berbahasa.

5.0 Sistem Sapaan Bahasa Melayu.

Dalam komunikasi seharian , seseorang itu akan menggunakan perbendaharaan kata tertentu dan berbeza-beza semasa berkomunikasi dengan orang lain. Penggunaan perbendaharaan kata yang salah, sama ada disengajakan ataupun tidak, boleh mengakibatkan terjadinya salah faham, pertengkaran ataupun menjatuhkan air muka kawan yang dilawan bercakap. Masyarakat menggunakan perbendaharaan kata serta ungkapan yang dikatakan bahasa sapaan dengan betul dan sesuai mengikut konteks semasa berkomunikasi. Bahasa sapaan itu pula berkait rapat dengan kata ganti nama diri. Penggunaannya juga mesti sesuai dengan struktur masyarakatnya. Ada ketikanya, bahasa sapaan mengambil alih bentuk kata ganti diri untuk memuliakan seseorang yang dilawan bercakap. Kesimpulannya, Bahasa Melayu mempunyai sistem sapaan dan rujukan mengikut situasi dan konteks yang sesuai. Kesalahan penggunaan kata sapaan ini boleh menimbulkan hubungan yang tidak harmoni di antara penutur dan pendengar. Ini disebabkan kata-kata ini membawa implikasi yang berbeza apabila digunakan dalam situasi yang berlainan. Kata sapaan ini juga berfungsi untuk memperlihatkan kesopanan seseorang dalam menggunakan bahasa tersebut. Situasi formal dan tidak formal mempunyai system sapaannya tersendiri dan setiap penutur tidak sewajarnya mencampuradukkan penggunaan kata-kata tersebut sesuka hati. Hal ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat Melayu adalah bersopan-santun.

Anda mungkin juga menyukai