Anda di halaman 1dari 19

1.

KONSEP BUDI BAHASA DALAM MASYARAKAT MALAYSIA

1.1.Pengertian Budi

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) edisi ketiga cetakan keenam
2002 muka surat 180, budi didefinisikan sebagai akal,kebijaksanaaan atau sifat baik,
perbuatan baik dan kebajikan. Budi juga bermaksud perbuatan baik terhadap sesiapa
sahaja dalam seluruh lapisan masyarakat tidak kira dimana sahaja. Bagi masyarakat
Melayu, budi itu membawa pelbagai maksud. Antaranya jasa dan pertolongan yang
diberikan kepada individu yang lain. Orang yang menaburkan budi tidak seharusnya
mengharapkan balasan. Budi mestilah diberi dengan ikhlas jika ingin diberkati Allah
SWT. Orang yang menerima budi pula tidak dituntut untuk membalas budi yang
diterima,cukuplah dengan menerima budi tersebut dengan penuh rasa kesyukuran/

1.2. Pengertian Bahasa

Bahasa merupakan alat komunikasi yang berupa sistem lambang bunyi yang
dihasilkan alat ucap manusia. Menurut Harimurti Kridalaksana (1985), bahasa
ditakrifkan sebagai sistem bunyi bermakna yang dipergunakan untuk komunikasi oleh
kelompok manusia. Berdasarkan Kamus Linguistik (2001), bahasa adalah sistem
lambang bunyi yang arbitrari yang digunakan oleh para anggota suatu masyarakat
untuk kerja sama, berinteraksi dan mengidentifikasikan diri. D.P. Tambulan (1994) pula
menyatakan bahawa bahasa adalah untuk memahami pemikiran dan perasaan, serta
menyatakan pemikiran dan perasaan. Daripada beberapa definisi dan pengertian
mengenai bahasa menurut beberapa ahli diatas, kita boleh membuat konklusi bahawa
bahasa adalah alat komunikasi bagi manusia.

1.3. Pengertian Budi Bahasa

Budi bahasa merujuk kepada tutur kata,kelakuan,sopan santun dan


tatatertib,akal kebijaksanaan dan perbuatan kebajikan tercantum dalam kata-kata
mulia,dengan kata lain,setiap gerak laku,tutur kata,tata hidup,pemikiran dan perasaan
baik terhadap orang lain. Berbudi bahasa memperkukuh pengertian budi dan bahasa
sebagai percakapan yang baik, elok dalam tutur kata, hormat, bijaksana, tinggi budi
bicara dan akhlak yang mulia.

1.4. Ciri-Ciri Budi Bahasa

Budi bahasa boleh dikenalpasti melalui ciri-cirinya. Antaranya ialah bertimbang


rasa.Bertimbang rasa ditakrifkan sebagai memahami pendapat yang berbeza dan
belajar menyesuaikan diri dengan orang lain. Ciri seterusnya ialah toleransi. Seseorang
yang toleransi ialah seorang yang bersabar dan mampu menerima pendapat orang lain
dengan hati terbuka.Selain itu, dia seorang yang tidak mementingkan sebelah pihak lain
atau diri sendiri. Dia tidak berkira dalam melakukan sesuatu dan mudah memaafkan
kesalahan orang lain. Ketiganya ialah, bersopan santun.Bersopan santun ialah tidak
angkuh, tidak menunjuk-nunjuk dan tidak sombong dalam pergaulan orang lain.
Seorang yang bersopan santun sentiasa berlemah lembut dalam perilakunya. Ciri
seterusnya ialah ramah dan mesra, Seorang yang berbudi bahasa mudah diketahui
melalui kemesraannya dalam perbualan. Selain itu, orang yang berbudi bahasa mudah
dibawa berunding.

1.5. Budi Bahasa Dalam Masyarakat Malaysia

Dalam masyarakat Malaysia yang majmuk iaitu terdiri daripada pelbagai kaum,
bangsa dan agama ini, Menurut berbudi bahasa adalah amalan yang amat penting bagi
menjamin keamanan dan kesejahteraan negara.masyarakat Melayu, budi bahasa ialah
perlakuan ikhlas menolong seseorang tanpa mengharapkan sebarang balasan dan
dilakukan semata-mata kerana Allah. Orang yang menerima budi harus mengenang
jasa yang diberi, bak kata pepatah, ‘orang memberi kita merasa, orang berbudi, kita
berbahasa’. Dalam masyarakat Cina dan India, budi bahasa bermaksud kesopanan dan
kesantunan seseorang itu dalam melakukan sesuatu perkara terutamanya berkaitan
dengan bahasa seperti pertuturan dan percakapan supaya tidak menyinggung
perasaan orang lain.Meskipun berlainan kaum dan ras, ketiga-tiga kaum utama di
Malaysia mempunyai pandangan yang sama terhadap budi bahasa, iaitu perlakuan
yang baik.
2. KESANTUNAN BERBAHASA

2.1. Konsep Kesantunan

Menurut Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka Edisi Pertama terbitan tahun 1984
halaman 1115 santun bermaksud halus budi bahasa atau budi pekerti, beradab atau
bersopan. Berbahasa dengan santun ialah menggunakan bahasa secara halus, nilas
rasa yang baik, penuh kesopanan seterusnya berusaha menghindari konflik antara
penutur dengan pendengar dalam proses berkomunikasi.

Manakala, Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (1984) kesantunan


didefinisikan sebagai perihal santun, kesopanan dan kehalusan. Awang Sariyan (2007)
memberi definisi kesantunan sebagai penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab,
memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang
menjadi teman bicara.

Kesantunan merupakan aturan perilaku yang ditetapkan dan disepakati bersama


oleh sesuatu masyarakat tertentu sehingga menjadi prasyarat dalam bermasyarakat.
Kesantunan dapat dilihat dari pelbagai segi dalam pergaulan sehari-hari. Selain itu,
kesantunan memperlihatkan sikap yang mengandung nilai sopan santun atau etiket
dalam pergaulan sehari-hari.

Kesantunan juga bersifat sangat kontekstual. Sebagai contohnya ia berlaku


dalam masyarakat, tempat, atau situasi tertentu, tetapi belum tentu berlaku dalam
masyarakat, situasi dan tempat lain. Misalnya, penggunaan kata-kata yang agak kasar
diterima dalam pergaulan rakan-rakan karib, tetapi tidak sopan jika digunakan terhadap
rakan yang baru dikenali. Contoh seterusnya ialah penggunaan ‘aku’ dengan ibu bapa
dianggap biasa dalam masyarakat Cina, tetapi tidak sopan bagi masyarakat Melayu.
Kesantunan kebiasaannya berlaku dalam hubungan dua pihak iaitu antara yang masih
muda dan yang lebih tua. Contohnya seorang anak yang lebih muda akan menghormati
ibu bapanya yang lebih tua daripadanya. Namun, kesantunan ini mungkin tidak akan
berlaku dalam pergaulannya bersama rakan sebayanya. Kesantunan boleh dilihat
dalam beberapa aspek iaitu cara berpakaian, cara bertutur, cara bekerja, cara belajar
dan lain-lain.
2.2. Takrif Kesantunan Daripada Tokoh-Tokoh Dunia

Menurut Lakoff (1975) kesantunan merupakan pelakuan yang mengurangkan


pergeseran dalam sesuatu interaksi. Fraser dan Nolan (1981), kesantunan merupakan
usaha mengekalkan komunikasi dengan harmoni tanpa konflik. Perlakuan yang
menunjukkan pengiktirafan diri dalam interaksi sosial ditakrifkan sebagai konsep
kesantunan menurut Leech (1983). Manakala berdasarkan Asmah (2000) kesantunan
ialah penggunaan bahasa seharian yang tidak menimbulkan kegusaran, kemarahan
dan rasa tersinggung. Menurut pendapat yang diberikan tokoh-tokoh tersebut, boleh
disimpulkan bahawa kesantunan merupakan penggunaan kata-kata atau perlakuan
yang sesuai, tidak menimbulkan konflik, sentiasa menjaga air muka pendengar, ikhlas
dan merangkumi hubungan manusia dengan manusia

2.3. Penjagaan Muka Sebagai Asas Kesantunan

Muka dalam masyarakat Melayu merujuk kepada air muka yang ditunjukkan
seseorang kepada seseorang yang lain (Asmah,2000). Muka amat berkait rapat dengan
maruah diri sehinggakan orang-orang dahulu mencipta pelbagai peribahasa berkaitan
dengan muka. Sebagai contohnya muka tembok, muka tarpal, muka sengkalan, muka
bantal yang kesemuanya ditujukan untuk seseorang yang tidak tahu malu (Mohd
Tajuddin Haji Abd Rahman, 1999). Ciptaan pelbagai variasi peribahasa jelas
menunjukkan orang Melayu mementingkan malu dan air muka.

Malu dapat fahami sebagai suatu nilai suci dan murni yang menjadi asas
kepercayaan yang diterima sebagai mutlak dan luhur yang merupakan maruah bangsa
(Mohamed Mansor Abdullah, 1993). Zainal Kling (1980), menyatakan konsep malu itu
meliputi pelbagai segi pengertian termasuklah yang paling tinggi yang berkaitan dengan
akhlak dan maruah individu, keluarga, dan masyarakatnya.Dari sudut Islam, malu
dapat mendesak seseorang supaya menghindarkan segala yang keji dan
melaksanakan segala yang terpuji. Anak-anak masyarakat Melayu dididik dengan
perasaan malu sejak kecil lagi.

Seseorang perlu mengelakkan dirinya daripada menerima malu atau memberi


malu kepada orang lain. Hal ini kerana orang yang menerima malu akan berasa
tertekan dan sedih. Malu bukan sahaja melibatkan perasaan sendiri, tetapi malu juga
boleh melibatkan keluarga dan masyarakat. Perbuatan memberi malu kepada orang
lain adalah dikecam sama sekali. Peribahasa ‘menconteng arang di muka’ memberi
maksud sesuatu perlakuan yang boleh membawa malu dan aib kepada keluarga.
Sebagai contoh perbuatan yang boleh membawa malu kepada orang lain ialah seorang
gadis yang kahwin lari tanpa pengetahuan keluarganya. Tindakan tersebut tidak santun
dan telah melanggar adat masyarakat Melayu.

Mulut ialah salah satu anggota yang sangat perlu dijaga memandangkan mulut
merupakan bahagian anggota yang mengungkapkan kata dan anggota yang paling
hampir dengan muka. Mulut boleh mendatangkan malu kepada diri sendiri dan orang
lain. Oleh itu, penggunaan mulut pada setiap hari perlu dikawal dan orang Melayu
sangat memberatkan perkara ini.

. Orang melayu ditegah sama sekali menghina dan merendahkan peribadi seseorang.
Perkataan yang keluar dari mulut hendaklah santun, tidak mengandungi unsur-unsur
yang memalukan diri, keluarga dan pihak lain walaupun sewaktu menyatakan sesuatu
yang benar. Peribahasa seperti "kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan
binasa" jelas menunjukkan peri pentingnya penjagaan mulut dan kata-kata dalam
masyarakat Melayu. Orang Melayu juga tidak boleh menerima orang yang
menggunakan mulutnya untuk menyampai-nyampaikan cerita orang lain daripada
seorang kepada seorang yang lain sehingga dia dikatakan seperti "mulut tempayan".
Percakapan seseorang juga tidak boleh berlebih-lebih kerana ini boleh menimbulkan
kebosanan orang lain terhadapnya sehingga dianggap seperti "mulut murai".

Dalam membincangkan soal mulut dan kata-kata, kita tidak boleh mengabaikan
soal hati. Hatilah yang mendorong kata-kata dan ucapan yang diucapkan seseorang.
Oleh itu, kata-kata yang baik menggambarkan hati yang baik, begitulah sebaliknya.

2.4. Kesantunan Merentas Budaya

Konsep kesantunan tidak harus tertumpu kepada satu-satu bangsa sahaja


sebaliknya harus merentas budaya yang pelbagai. Pemahaman tentang apa yang
dikatakan sebagai santun dalam pelbagai budaya harus diberi penekanan dalam proses
berkomunikasi, terutamanya apabila proses komunikasi melibatkan pelbagai budaya.

Komunikasi silang budaya merupakan komunikasi yang melibatkan individu


daripada latar budaya yang pelbagai. Komunikasi ini berlaku apabila kita bercakap
dengan orang yang berbeza bangsa, ras, bahasa, agama, tingkat pendidikan dan status
sosial.Komunikasi silang budaya wujud dalam pelbagai konteks seperti konteks
pendidikan, politik, teknologi dan lain-lain. Komunikasi silang budaya dipengaruhi oleh
padangan terhadap dunia, kepercayaan dan tingkah laku, sistem kod serta tanggapan
terhadap hubungan. Sekiranya nilai kesantunan sesuatu budaya dapat difahami,
komunikasi akan berlaku secara lebih toleransi dan memahami.

Cara, keadaan, bahasa dan gaya bahasa yang digunakan dalam komunikasi
melambangkan budaya kita. Perbezaan budaya meningkatkan berlakunya salah faham.
Dalam amalan yang biasa di Barat, mencium pipi wanita yang tiada pertalian dianggap
lazim sebagai cara menghormati tetamu. Namun bagi masyarakat timur, ia dianggap
sebagai sesuatu yang tidak sopan dan menyalahi norma masyarakat. Malah,
pandangan mata secara terus juga dianggap tidak sopan kerana tidak merendah diri
seperti yang diamalkan dalam komunikasi masyarakat Jepun. Kontras pula dengan
budaya masyarakat Barat yang sekiranya seseorang itu tidak melakukan pandangan
mata dalam komunikasi, beliau dianggap tidak menghormati individu tersebut. Dalam
masyarakat Melayu melayan tetamu sangatlah diutamakan walaupun dalam keadaan
sibuk, namun bagi masyarakat Korea sekiranya sibuk mereka memberitahu secara
terus dan akan menyuruh tetamu itu balik. Jika tetamu itu orang Melayu sudah pasti
akan menimbulkan perasaan kecil hati.

Dalam masyarakat Malaysia yang majmuk, adalah penting untuk seseorang itu
memahami dan menghayati aspek kesantunan budaya yang lain agar komunikasi akan
menjadi lebih efektif tanpa sebarang konflik dan kecil hati seterusnya dapat menjamin
kesejahteraan rakyat Malaysia yang berbagai kaum dan budaya.
3. BENTUK DAN JENIS KESANTUNAN

3.1. Kesantunan Verbal

Kesantunan verbal merujuk kepada kesantunan dari segi berbahasa. Dalam


kesantunan berbahasa, bahasa Melayu mempunyai sistem sapaan dan panggilan yang
tersendiri. Sistem sapaan dan panggilan ini melibatkan penggabungan gelaran, rujukan
hormat dan ganti nama. Kesantunan berbahasa mempunyai ciri-ciri yang tertentu.
Penggunaan kosa kata dan ganti nama diberi perhatian khusus agar sesuai dengan
kedudukan, pangkat, umur, dan keakraban hubungan. Terdapat beberapa gelaran yang
perlu diambil kira mengikut kesesuaian. Contohnya gelaran kekeluargaan, gelaran
pergaulan formal, gelaran warisan, kurniaan dan panggilan khas dalam majlis rasmi.

3.2. Kesantunan Nonverbal

Kesantunan non verbal ialah komunikasi bahasa tanpa kata-kata atau dikenali
sebagai bahasa tubuh dengan cara beradab dan sopan. Bahasa tubuh merupakan
proses pertukaran fikiran dan idea di mana mesej yang disampaikan seperti melalui
isyarat, ekspresi wajah, pandangan mata, sentuhan, dan gerakan tubuh.

Menurut Mark L. Knapp, terdapat 5 fungsi bahasa bukan verbal. Antaranya ialah
pengulangan iaitu mengulangi semula apa yang disampaikan secara verbal. Fungsi
seterusnya ialah menggantikan verbal dengan simbol atau lambang. Seterusnya,
kontradiksi iaitu menafikan sebuah ucapan verbal dengan memberikan makna lain
secara non verbal. Selain itu, bahasa bukan verbal juga berfungsi untuk melengkapkan
bahasa verbal. Bahasa bukan verbal juga menegas dan mengukuhkan bahasa verbal.

Antara contoh bahasa verbal ialah gerakan mata. Misalnya mata dan dahi yang
berkerut menunjukkan minat tetapi tidak percaya dan mata yang berkelip laju yang
menunjukkan seseorang itu sedang menipu. Seterusnya gerakan tangan seperti
mengajukan jari telunjuk ke mulut memberi arahan supaya senyap dan gerakan tangan
beserta ucapan lisan mengukuhkan lagi ucapan tersebut. Mimik muka juga merupakan
contoh bahasa bukan verbal dimana riak muka seseorang boleh menggambarkan
emosinya ketika itu.

3.3. Kesantunan Lisan

Kesantunan lisan dalam komunikasi melibatkan penggunaan bahasa dan bahasa


tubuh yang sopan dan beradab serta bertatasusila. Dalam komunikasi lisan,
penggunaan bahasa dan gerak balas tubuh dapat didengar dan dilihat serta-merta.
Kesantunan lisan dinilai serta merta dan dapat menimbulkan kesan serta merta.

Aspek kesantunan yang perlu diambil perhatian dari segi bahasa ialah ciri
sebutan yang sempurna yang menunjukkan sikap yang sopan. Selain itu, suara dan
intonasi juga memainkan peranan. Kata-kata dan ayat juga harus dipilih agar sopan dan
halus. Sistem panggilan yang betul harus digunakan selain gaya bahasa yang sesuai
dan isu perbincangan yang tidak sensitif.

Dari segi bahasa tubuh badan, aspek-aspek kesantunan yang perlu diambil
perhatian ialah gaya percakapan yang sopan, pandangan mata yang sesuai, gerak laku
yang bertatasusila, mimik muka yang positif dan hayunan tangan yang sesuai.

Komunikasi secara lisan terdapat dalam bentuk rasmi seperti mesyuarat,


syarahan,ucapan, pidato, forum dan lain-lain. Terdapat juga dalam bentuk tidak rasmi
iaitu perbualan telefon, perbualan di kedai kopi, perbualan di majlis kenduri dan lain-
lain. Komunikasi lisan secara formal dan tidak formal mempunyai peraturan yang
berbeza dari segi penggunaan bahasa, kata panggilan, kata sapaan dan gerak laku.
Sebagai contohnya untuk urusan jual beli di pasar atau di kedai makan berbeza dengan
perbincangan dalam forum dan majlis.

3.4. Kesantunan Penulisan

Komunikasi bertulis ialah kegiatan merakamkan idea dan pendapat dalam


bentuk lambang-lambang tulisan untuk dibaca atau digunakan pada masa akan datang.
Komunikasi penulisan melibatkan penggunaan bahasa secara bertulis sama ada dalam
situasi rasmi atau tidak.
Bentuk komunikasi bertulis secara formal ialah menulis surat kiriman rasmi,
laporan, kertas kerja, ucapan rasmi, pidato, minit mesyuarat dan lain-lain. Bentuk
komunikasi bertulis secara tidak rasmi pula ialah seperti penulisan surat kepada
sahabat, ibu bapa dan lain-lain. Dalam bentuk komunikasi bertulis, aspek-aspek
kesantunan yang perlu diberikan perhatian ialah seperti penggunaan kata panggilan
yang betul, kata sapaan yang betul, gaya bahasa yang tepat, pemilihan kata dan ayat
yang sesuai dengan konteks dan isi yang tidak sensitif.
4. PERATURAN BERBAHASA

4.1. Jarak Sosial

Jarak sosial ialah satu pemisahan sosial yang benar-benar wujud di antara
individu-individu, individu dengan kelompok atau kelompok dengan kelompok.
Sekiranya kita berbual dengan orang yang jarak sosialnya rapat dengan kita seperti
rakan-rakan, maka kita menggunakan perkataan, sebutan dan intonasi yang berbeza
sama sekali sekiranya kita berbual dengan ibu bapa atau orang-orang yang lebih tua
daripada kita. Begitu juga jika kita berinteraksi dengan orang yang mempunyai status
yang lebih tinggi seperti sultan, menteri, pengarah dan sebagainya sudah pasti berbeza
sebutan, pemilihan kata, sebutanbahasa yang digunakan. Faktor-faktor yang
menentukan jarak sosial ialah darjah keakraban, perbezaan status, usia, jantina,
pendidikan, kelas, pekerjaan dan etnik.

4.2. Konteks Percakapan

Konteks percakapan juga sangat penting dalam mempengaruhi kesantunan


berbahasa. Misalnya jika konteks percakapan bertujuan untuk meminta sesuatu, maka
penggunaan kata seperti “ tolong, ambilkan buku itu kepada saya.” Sekiranya bertujuan
untuk memberikan nasihat hendaklah menggunakan bahasa yang memujuk dan halus
serta tidak meninggikan nada suara. Sekiranya dalam majlis rasmi hendaklah menjaga
protokol dan etika semasa berkomunikasi. Sekiranya majlis tidak rasmi, etika dan
protokol majlis tidaklah begitu ketat dipatuhi. Berbahasa santun itu tidak hanya
berkaitan dengan perkataan, tetapi juga berkaitan dengan perbuatan. Perkataan yang
tergolong santun, tetapi apabila diiringi dengan perbuatan dan cara pengungkapan
yang tidak santun, maka perkataan itu dikatakan tidak santun. Perkataan santun atau
tidak santun itu bergantung pada keadaan. Suatu perkataan diucapkan dalam keadaan
tertentu mungkin dipandang santun, tetapi jika diucapkan pada keadaan yang lain
mungkin dianggap tidak santun. Selain itu, aspek santun atau tidak santun itu
bergantung sepenuhnya pada tujuan percakapan. Sebagai contoh, suami benar-benar
bermaksud santun memuji masakan isteri dengan mengatakan “Masakan sayang
sedap!”, tidak dianggap santun oleh isterinya sekiranya dinterpretasikan sebagai
sindiran, misalnya dalam konteks suami menyindir isterinya yang tidak pandai
memasak.

4.3. Tujuan/Matlamat

Peraturan ini dilaksanakan untuk mencapai matlamat interaksi secara sopan dan
berkesan. Dalam kehidupan seharian, interaksi berlaku dengan pelbagai perasaan dan
perasaan tersebut digambarkan secara cara percakapan.Percakapan dengan
menggunakan bahasa yang halus dan sopan menunjukkan sikap baik, tetapi
percakapan menggunakan cara kasar menunjukkan perasan marah dan tidak puas hati
seseorang. Penggunaan bahasa perlu sesuai dengan tujuan komunikasi. Peraturan ini
berkaitan dengan penggunaan bahasa yang sopan dan berkesan. Dalam perundingan,
jual beli, ceramah, dialog dan sebagainya diperlukan penguasaan bahasa supaya
tujuan atau hajat kita tercapai dan pada waktu yang sama kesopanan bahasa
terpelihara dan pembicara tidak menyakiti perasaan orang lain.

4.4. Giliran Bercakap

Masyarakat Melayu juga mementingkan giliran percakapan. Masyarakat Melayu


akan mendahulukan orang-orang tua semasa dalam perbualan. Orang-orang muda
hendaklah bercakap selepas orang-orang tua selesai bercakap. Sekiranya hendak
menyampuk perbualan orang-orang tua mestilah memastikan orang tua telah habis
bercakap dan memulakan bicara dengan berkata “ maafkan saya, bolehkah saya
memberikan pendapat”. Begitu juga seorang anak dianggap biadab sekiranya
memintas atau menyampuk percakapan ibu bapanya yang sedang bercakap. Jika
hendak bercakap pastikan ibu bapa telah selesai bercakap.

4.5. Memula dan Mengakhiri Percakapan

Cara memula dan mengakhiri percakapan juga mempengaruhi kesantunan


berbahasa. Bagi masyarakat Melayu percakapan yang santun mestilah dimulai dengan
assalamualaikum dan salam sejahtera atau selamat pagi/selamat petang dan
memberikan kata-kata hormat kepada hadirin, orang-orang yang berpengaruh dan
orang-orang tua. Manakala mengakhiri percakapan dengan mengucapkan terima kasih
dan diakhiri dengan wabillahhitaufik warahmatullahhiwabaratuh.

4.6. Pemilihan Kata

Antara aspek yang perlu dipatuhi termasuklah pemilihan kata, ungkapan dan
wacana yang sesuai dengan tujuan pembicara.Terdapat pelbagai jenis wacana seperti
wacana penceritaan, pemaparan, penghujahan , pembujukan dan lain-lain. Setiap
wacana tersebut memerlukan pemilihan kata yang berbeza yang sesuai dengan
tujuannya dan matlamatnya. Misalnya wacana jenis penceritaan seperti cerpen dan
novel memerlukan bahasa yang halus, pemilihan kata yang puitis, serta penggunaan
ayat-ayat yang menarik supaya menarik minat pembaca. Jika kita menggunakan
wacana lisan jenis memujuk penggunaan kata-kata pujian banyak digunakan seperti
sayang, cinta, terima kasih dll supaya dapat mempengaruhi oarang yang dipujuk.
5. STRATEGI KESANTUNAN

5.1. Strategi Kesantunan Verbal

Kesantunan verbal bermaksud kesantunan yang diperlihatkan secara lisan atau


bukan bertulis. Bahasa halus digunakan dengan meluas dalam ungkapan bertatasusila.
Bahasa halus ini digunakan supaya tidak menyinggung perasaan orang lain semasa
berkomunikasi.Sebagai contohnya ungkapan ‘terima kasih, selamat datang, sila masuk,
jemput duduk, tolong hulurkan bantuan, minta kerjasama’.Penggunaan bahasa halus
juga melibatkan intonasi yang sesuai,iaitu ditandai nada pengucapan yang rendah
,lembut, dan sesuai,walaupun sewaktu menyindir,tidak akan menyinggung perasaan
orang lain. Kesantunan dalam berbahasa juga dapat dilihat daripada penggunaan kata
panggilan atau rujukan kehormat yang betul dan sesuai. Kesilapan dalam penggunaan
kata panggilan atau rujukan kehormat boleh menyebabkan seseorang berasa
tersinggung dan marah. Dalam Bahasa Melayu, penggunaan kata ganti nama diri orang
berkait rapat dengan bentuk sapaan yang mengambil alih kata ganti nama untuk
memberikan penghormatan atau kemuliaan kepada seseorang. Contohnya, sekiranya
seseorang itu pensyarah yang berpangkat doktor falsafah, adalah menjadi kesilapan
besar sekiranya kita memanggil beliau dengan panggilan encik. Seharusnya kita
memanggil beliau dengan panggilan doctor.

5.2. Strategi Kesantunan Non Verbal

Kesantunan bukan verbal merupakan bahasa komunikasi bukan lisan yang


melibatkan isyarat tangan, air muka dan gerakan badan. Kesantunan bukan verbal
mampu menggambarkan personaliti, tujuan dan status sosial seseorang individu.
Komunikatif lisan yang disepadukan dengan bahasa tubuh akan lebih berkesan dan
maksud yang disampaikan lebih jelas. Gerakan anggota badan kita mampu
menyampaikan mesej yang akan difahami oleh orang lain. Contohnya, gerakan mata ke
sana dan ke mari menunjukkan seseorang itu tidak berminat melihat dan mendengar
sesuatu yang disampaikan kepadanya. Mata dan dahi berkerut menunjukkan
seseorang itu berminat tetapi tidak percaya. Mata berkelip lebih laju daripada biasa
menunjukkan seseorang tersebut sedang berdusta dan sekiranya seseorang itu tidak
memandang mata seseorang yang berbual dengannya, ini menunjukkan bahawa dia
sedang malu. Mimik muka mempunyai pelbagai maksud yang tersirat yang dapat
diterjemahkan maknanya dalam komunikasi bukan lisan. Air muka boleh
menggambarkan emosi, perasaan, harapan, menambat hati seseorang atau perasaan
kurang senang. Jalinan komunikatif yang mesra bermula dengan air muka yang jernih.
Dalam interaksi keluarga dalam masyarakat Melayu, interaksi tidak selalu bergantung
kepada pemilihan perkataan dan struktur ayat. Penekanan utama dalam konteks
kesantunan berbahasa, dalam penggunaan bahasa yang sesuai dalam bahasa Melayu
ialah cara perkataan atau frasa diucapkan dan sering kali disertai oleh gerak badan
yang melibatkan air muka, isyarat tangan serta gaya dan kedudukan badan pihak yang
bercakap. Anak-anak Melayu sentiasa diajar menggunakan tangan kanan untuk
memegang makanan dan apabila memberi dan menerima sesuatu. Penggunaan
tangan kiri hendaklah dielakkan. Memberi dan menerima sesuatu daripada seseorang
dengan menggunakan tangan kiri ialah perbuatan yang tidak sopan dan tidak selari
dengan ajaran Islam.Jika seseorang itu terpaksa menuding kepada sesuatu semasa
bercakap atau berinteraksi terutamanya dengan pihak yang lebih tua atau yang
dihormati dengan tujuan untuk menunjukkan seseorang atau arah, jari telunjuk tidak
boleh digunakan. Lebih sopan jika ibu jari kanan digunakan. Dalam masyarakat Melayu,
menuding dengan jari telunjuk dalam situasi tertentu boleh dianggap sebagai perbuatan
meninggikan diri, yakni dalam pengertian mengarah atau memerintah pihak yang
mendengar. Apabila seseorang itu harus lalu di hadapan pihak yang lebih tua, yang
lebih tinggi tarafnya atau pihak yang lebih dihormati seseorang itu hendaklah meminta
izin terlebih dahulu dengan melafazkan ungkapan “minta lalu” atau “tumpang lalu”.
Ucapan meminta izin ini boleh digantikan dengan perlakuan bukan verbal, antaranya
menundukkan kepala dan membongkokkan badan sedikit ketika lalu sambil meluruskan
tangan kanan ke bawah. Perbuatan ini dianggap sopan dalam masyarakat Melayu.

5.3. Strategi Kesantunan Lisan

5.3.1.Strategi ikhlas

Strategi ini digunakan untuk menegur secara tidak langsung sesuatu perbuatan
yang tidak disukai.
5.3.2.Strategi merendah diri

Strategi ini menggunakan ungkapan-ungkapan membawa maksud penutur


merendah diri dengan mengaku kelemahan atau kekurangan diri.

5.3.3. Strategi maaf

Strategi ini ialah meminta dengan baik untuk bercakap atau berbuat sesuatu

5.3.4. Strategi penyelesaian

Strategi ini ialah mengambil keputusan memudahkan sesuatu urusan supaya


penyelesaian cepat dicapai tanpa mendapat banyak bangkangan

5.3.5. Strategi memberi peluang

Memberi peluang kepada yang lebih berumur atau berjawatan dalam


masyarakat untuk bersuara

5.3.6. Strategi penghargaan dan pujian

Ujaran yang menunjukkan seseorang itu dihargai kerana sesuatu tindakan yang
disenangi.

5.3.7. Strategi berterima kasih

Penghargaan secara ucapan terima kasih terhadap seseorang yang telah


membuat sesuatu kebaiakan atau pertolongan.

5.3.8. Strategi kiasan

Ujaran yang diucapkan secara tidak langsung untuk menjaga air muka
seseorang.

5.3.9. Strategi berhemah dan lemah-lembut

Menggunakan ujaran yang halus dan tidak kasar untuk membuat teguran atau
nasihat supaya pendengar tidak berkecil hati.
5.3.10. Strategi bersalam dan memperkenalkan diri

Ujaran perkenalan dan untuk menimbulkan kemesraan

5.3.11. Strategi kecindan

Menggunakan ujaran dalam bentuk jenaka untuk menimbulkan perasaan


gembira

5.3.12. Strategi menyapa/menegur

Ujaran yang dibuat apabila bertemu dengan seseorang untuk menunjukkan


keramahan walaupun telah mengetahui apa yang dibuat oleh seseorang

5.3.13. Strategi ungkapan Rabani

Menggunakan ujaran seperti Bismillah, Alhamdulillah, doa untuk menunjukkan


kekuasaan Allah

5.4. Strategi Kesantunan Penulisan

Dalam penulisan, aspek kesantunan juga harus dijaga dan diterapkan. Penulisan
yang ditulis haruslah mengikut kesesuaian pembaca yang akan membaca hasil tulisan
tersebut. Sebagai contohnya, penulisan untuk urusan rasmi seperti laporan, surat
rasmi, ucapan rasmi haruslah ditulis dengan cara yang betul dan mengikut format.
Bahasa yang digunakan haruslah betul dan sesuai untuk urusan rasmi. Sebagai
contohnya, kata ‘aku’ tidak boleh diguna pakai dalam urusan rasmi, sebaliknya boleh
diganti dengan ‘saya’. Dalam penulisan tidak rasmi seperti menulis surat kepada ibu
bapa pula aspek yang perlu ditekan ialah gelaran yang bersesuaian yang ditujukan
kepada pembaca penulisan tersebut. Selain itu, seseorang itu perlulah memastikan
bahawa penulisannya itu ditulis dengan bahasa yang sopan dan sesuai dengan
pembaca yang ditujukannya.
6. ISU KESANTUNAN MASYARAKAT MALAYSIA

6.1. Isu Pendidikan

Dewasa ini, kesantunan dalam konteks pendidikan semakin diabaikan. Nilai-nilai


moral seperti berbudi bahasa, menghormati orang tua, toleransi dan lain-lain kurang
diberi perhatian dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di kelas. Sebaliknya,
pengajaran sekular diberi tumpuan dengan harapan semata-mata untuk mendapat
keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Hal ini melahirkan pelajar yang ‘kosong’
dari segi akhlak dan moral, seterusnya melahirkan generasi yang tidak berakhlak dan
berbudi pekerti. Selain itu, kebanyakan guru-guru di sekolah juga tidak mengamalkan
konsep kesantunan. Guru dengan sewenang-wenangnya menggunakan perkataan
yang tidak sesuai untuk diucapkan di dalam kelas atau di hadapan pelajar. Hal ini
menyebabkan pelajar itu mengabaikan konsep kesantunan malah tidak mengetahui
akan peri pentingnya kesantunan dalam kehidupan.

6.2. Isu Media

Media, sama ada media cetak seperti buku, majalah, jurnal dan surat khabar
mahupun media elektronik seperti siaran televisyen, radio dan internet boleh memberi
kesan kepada kita dari segi pemikiran dan emosi. Sekiranya apa yang dipapar atau
dicetak adalah perkara yang positif, maka positiflah pemikiran seseorang itu, begitulah
sebaliknya. Namun, kebanyakan yang disiarkan media dasawarsa ini semakin lama
semakin meruntuhkan kesantunan seseorang. Sebagai contohnya, drama dan filem
yang ditayangkan di televisyen, mahupun di panggung memaparkan dialog dan situasi
yang sama sekali tidak dianggap sopan dan santun pada masyarakat timur, malahan
menyalahi norma kebiasaan masyarakat. Kata-kata kesat, pergaduhan, tidak
menghormati orang tua, bersikap kurang ajar dan biadab sewenang-wenangnya
ditayangkan, seterusnya menjadi ikutan dalam masyarakat yang lama-kelamaan
menerimanya sebagai satu norma. Isu ini kini sudah menjadi semakin kronik saban
hari.

6.3. Isu Teknologi Maklumat dan Komunikasi


Teknologi maklumat dan komunikasi semakin berkembang menjadi semakin
canggih saban hari. Teknologi ini memudahkan seseorang untuk mengakses maklumat
dengan hanya di hujung jari sahaja. Maklumat, sama ada positif mahupun negatif dapat
diperolehi dengan mudah dan begitu sahaja. Hasilnya, maklumat yang tidak ditapis dan
yang mampu meruntuhkan akhlak dan moral mempengaruhi seseorang itu dalam
pemikiran dan gaya hidupnya. Tambahan pula, penciptaan telefon pintar membuatkan
seseorang itu, terutama remaja lebih menumpukan perhatian pada gajetnya itu
berbanding dengan individu yang sedang berinteraksi dengannya. Mata lebih tertumpu
kepada skrin sentuh telefon pintar tersebut. Hal ini jelas sekali sedikit sebanyak
meruntuhkan nilai kesantunan dalam masyarakat. Apatah lagi, kewujudan laman sosial
seperti Facebook dan Twitter membuatkan seseorang itu lebih asyik dengan
mengadakan interaksi secara maya berbanding secara bersemuka. Apabila individu itu
sedang berinteraksi secara bersemuka, dia tidak merasa selesa malahan mengabaikan
aspek-aspek kesantunan dalam interaksi tersebut.

6.4. Isu Gejala Sosial

Gejala sosial terutama di kalangan remaja sudah tidak asing lagi didengari,
dibaca dan dipaparkan melalui pelbagai media. Gejala sosial yang menggila ini sudah
semakin lama diterima dalam masyarakat. Tidak mustahil sekiranya suatu hari nanti
fenomena gejala sosial seperti buang bayi, seks sebelum nikah, homoseksual dan lain-
lain diterima sebagai norma masyarakat. Sekiranya perkara tersebut belaku maka
sudah terlewat untuk kita memperbaiki keadaan. Nilai kesantunan semakin diabaikan
dalam kalangan masyarakat. Masyarakat sekarang juga telah mula melihat perkara itu
sebagai hal kecil dan tidak penting.

6.5. Isu Sikap Ibu Bapa Dan Masyarakat

Sebagai ibu bapa, nilai moral, akhlak dan kesantunan anak-anak haruslah
dipelihara. Masyarakat pula bertindak untuk memberi peringatan kepada pelaku yang
telah melanggar norma dan budaya masyarakat. Namun, apa yang berlaku pada
zaman sekarang bukanlah sepertinya. Ibu bapa pada masa ini mengabaikan anak-anak
mereka atas alasan kekangan masa dek sibuk menyiapkan tugasan di tempat kerja.
Anak terbiar tanpa belaian dan kasih sayang mahupun perhatian yang sepatutnya
diberikan. Tentatifnya, anak-anak memberontak seterusnya melakukan kegiatan yang
melanggar norma dan kebiasaan masyarakat semata-mata mendapatkan perhatian ibu
bapanya. Di samping itu, terdapat pula ibu bapa yang terlalu melindungi anak-anaknya
dengan menganggap setiap perbuatan yang dilakukan anaknya itu adalah betul.
Bahkan, guru-guru di sekolah yang cuba memperbetul kesilapan anaknya itu pula
dimarahi dan dikecam oleh ibu bapa. Maka, kesilapan yang mungkin meruntuhkan nilai
kesantunan masyarakat yang dilakukan oleh anak akan terus dilakukan sehingga
dewasa. Masyarakat pula tidak memainkan peranan dan ibarat ‘jaga tepi kain sendiri’
apabila tidak mengambil berat akan keruntuhan aspek moral dan kesantunan yang
berlaku di sekitar mereka, seterusnya menjadikan masalah ini menjadi barah kepada
masyarakat sekarang ini.

6.6. Isu Pertembungan Budaya

Pertembungan budaya antara kaum di Malaysia tidak dapat dielakkan


memandangkan Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yang setiap satunya
mempunyai budaya yang tersendiri. Pertembungan budaya yang sihat membolehkan
berlakunya pertukaran pendapat dan idea antara kaum dan budaya, seterusnya
mencetuskan assimilasi budaya di mana budaya kaum lain yang membawa manfaat
diterima pakai oleh kaum yang lain. Assimilasi budaya mencetuskan kepelbagaian dan
persefahaman antara kaum yang berlainan. Namun, sering kali berlaku tidak
persefahaman akibat pertembungan budaya ini. Hal ini berlaku kerana tiada
penghayatan terhadap sesuatu budaya kaum itu. Apabila tiada penghayatan, maka
sikap toleransi dan saling memahami tidak dapat dicapai antara kaum. Hal seperti ini
boleh membawa kesan besar yang negatif kepada diri, masyarakat dan negara
sekiranya dibiarkan.

Anda mungkin juga menyukai