Anda di halaman 1dari 4

1.

Pengenalan

Menurut Kamus Dewan Bahasa (2005), kesantunan membawa maksud “Perihal


(sifat dan sebagainya) santun, kesopanan kehalusan (budi Bahasa atau budi pekerti)”
Awang sariyan (2007), mendefinisikan kesantunan sebagai “Penggunaan bahasa yang baik,
sopan beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada
pihak yang menjadi teman bicara”. Kesantunan berbahasa juga diinterpretasikan sebagai
perbuatan atau pertuturan kata yang dapat mengelakkan rasa ketidakselesaan apabila
penutur berinteraksi dengan pendengar. Kesantunan berbahasa wujud apabila komunikasi
yang harmoni dan bebas daripada konflik dapat dikekalkan apabila berinteraksi.

2. Konsep kesantunan

Secara umumnya, kesantunan berbahasa bukan sahaja dinilai dari segi pertuturan,
malah perbuatan, tindakan serta tingkah laku juga merupakan keutamaan dalam
masyarakat Malaysia. Kesantunan berbahasa dapat dikesan melalui pelbagai aspek dalam
interaksi sehari-hari dan juga dapat mempamerkan sikap seseorang individu yang
mempunyai nilai kesopanan atau etiket dalam dirinya semasa bergaul dengan masyarakat
disekelilingnya.

Konsep kesantunan amat komrpehensif dan bukan sahaja merujuk kepada


kesantunan berbahasa, malahan turut merujuk kepada aspek-aspek lain seperti perbuatan,
ekspresi muka dan nada suara penutur.

Kesantunan berbahasa juga bersifat kontekstual dimana nilai tersebut berlaku pada
tempat, atau situasi tertentu sahaja dan tidak spesifik kepada setiap lapisan masyarakat.
Sebagai contoh, penggunaan perkataan yang agak kasar semasa bergaul boleh diterima
oleh rakan-rakan yang rapat dengan kita tetapi tidak dapat diterima dengan baik oleh rakan
yang baru kita kenali.

Kesantunan juga dapat dilihat dalam seluruh aspek kehidupan. Misalnya, dari segi
pertuturan, keterampilan dan cara seseorang individu itu melaksanakan kerjanya.

3. Takrifan kesantunan daripada tokoh-tokoh tempatan dan barat.

Menurut Faridah Nazir et.al (2015), kesantunan membawa maksud sebagai “Budi
bahasa atau budi pekerti yang halus dan sopan”. Konsep kesantunan ini meliputi
penggunaan ayat dan frasa yang sesuai dengan keadaan dan topik perbualan. Pergerakan
badan penutur perlu diminimumkan dan menggunakan nada yang lembut untuk
menzahirkan kesantunan dalam dirinya. Tambahan pula, penutur harus mengawal diri
daripada menggunakan ragam yang bersifat menyindir, menempelak dan mengejek apabila
berinteraksi supaya tidak menyinggung mana-mana pihak. Hujah beliau dapat disokong dan
dikaitkan dengan penyataan daripada Asmah Haji Omar (2000) yang berbunyi “Kesantunan
berbahasa ialah penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kegusaran,
kemarahan dan rasa tersinggung dari pihak pendengar”.

Menurut Leech (1983), kesantunan boleh ditakrifkan sebagai “Perlakuan yang dapat
mengurangkan pergeseran dalam sesuatu interaksi. Dalam usaha mengurangkan
pergeseran atau konflik penggunaan Bahasa mesti halus, beradab sopan, perlakuan lemah-
lembut, dan budi pekerti”. Leech menyatakan bahawa kata-kata daripada penutur haruslah
bersifat lemah lembut, halus dan sopan tanpa unsur-unsur negatif. Beliau juga mengatakan
bahawa kesantunan bukan sahaja boleh dizahirkan melalui kebaikan atau kesopanan
seseorang individu, tetapi prinsip kerjasama dan toleransi untuk mengelakkan daripada
berlakunya sebarang konflik adalah amat penting. Pandangan-pandangan darpiada tokoh
yang berbeza ada kalanya saling berkait antara satu sama lain. Hal ini dapat dibuktikan
apabila Aristotle menyatakan bahawa “Ketinggian darjat seseorang diukur melalui akal dan
adabnya, bukann asal keturunanya”. Beliau juga mengatakan bahawa ädab dan sopan itu
lebih penting daripada makan dan minum”.

4. Konsep budi bahasa

Perkataan budi merupakan “akal dan kebijaksanaan atau perangai, akhlak, tingkah


laku, kelakuan, watak, atau sifat baik, perbuatan baik, kebajikan, bicara dan daya upaya
yang baik”- Kamus Dewan Bahasa (2005). Menurut Teuku Iskandar (1970), perkataan budi
“berasal daripada kata Sanskrit iaitu “Buddhi” bermaksud bijak, pekerti baik dan mulia”.
Menurut Imam Al-Ghazali (2002), budi bersandarkan kepada “hawa nafsu, amarah dalam
diri seseorang individu dan kemampuan dalam membuat pertimbangan akal”. Budi wujud
apabila berlakunya pertimbangan akal yang baik maka terzahirlah pekerti atau karakteristik
yang disanjungi.

Perkataan Bahasa pula membawa maksud “sistem lambang bunyi suara yang
digunakan sebagai alat perhubungan dalam sesuatu kelompok manusia untuk melahirkan
perasaan dan fikiran” – Kamus Dewan Bahasa (2005). Menurut Ferdinand de Saussure
(1960), Bahasa ialah “satu sistem isyarat yang abstrak yang mempunyai struktur tertentu
yang digunakan untuk berinteraksi dalam masyarakat”. Misalnya, sistem isyarat yang
digunakan antara masyarakat adalah berbeza kerana ia bergantung kepada sosio-budaya,
politik, kepercayaan dan nilai yang diamalkan dalam sesuatu masyarakat itu.

Apabila perkataan budi dan bahasa disatukan akan membentuk satu kata majmuk
yang membawa maksud kepada “tuturkata, kelakuan, sopan santun, tatatertib, akal,
kebijaksanaan dan perbuatan kebajikan yang tercantum dalam kata-kata ahlak mulia”-
Kamus Dewan Bahasa (2005). Dengan kata lain, setiap tingkah laku, pertuturan, tatahidup
dan prasangka yang baik terhadap individu lain sebagai peribadi serta pertalian antara
masyarakat telah terangkum di dalam konsep budi bahasa. Budi bahasa merangkumi ahlak,
karakteristik dan tingkah laku yang sopan dan baik yang ditakrifkan sebagai nilai-nilai murni.
Nilai murni perlu dipraktikkan oleh masyarakat Malaysia kerana ianya adalah nilai yang
dituntut oleh agama, kepercayaan dan keudayaan.

5. Definisi masyarakat majmuk.

Masyarakat majmuk didefinisikan sebagai, ֞ Masyarakat yang terdiri daripada


beberapa kaum (suku bangsa) atau bangsa”. Pada masa ini, jurang antara kaum telah
dikecilkan hasil daripada kempen perpaduan yang dianjurkan dan menyebabkan berlakunya
interaksi dan perpaduan antara kumpulan bangsa yang berbeza di Malaysia.

6. Kepentingan budi bahasa dalam masyarakat Malaysia.

Menurut Mardzelah Makhsin (2007), “Faktor- faktor etnik, keturunan, budaya dan
agama begitu kuat mempengaruhi perkembangan nilai yang mencorakkan keadaan,
hubungan, pencapaian, integrasi, polarisasi dan sensitiiviti masyarakat itu”. Maka, nilai budi
bahasa perlulah dipupuk sebagai tunjang untuk membina masyarakat yang bersatu padu
dan berpatriotik bagi mewujudkan keutuhan dan keharmonian dalam masyarakat.

Dato’ Seri Dr. Rais Yatim (Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan) yang ketika
itu diberi mandat oleh kabinet telah mengilhamkan “Kempen Budi Bahasa” yang diadakan
pada 11 Januari 2005. Tujuan kempen sebegini dianjurkan adalah untuk membentuk
masyarakat yang berbudi bahasa dalam kehidupan harian. Berdasarkan usaha beliau,
terbuktilah bahawa budi bahasa amat penting bagi melahirkan individu yang tinggi budi
pekertinya serta dapat membina masyarakat yang saling menghormati tanpa sebarang
diskriminasi.

“Budi bahasa adalah keprihatinan terhadap perasaan orang lain. Jika kita
mempunyai keprihatinan tersebut, kita mempunyai budi pekerti mulia” (Emily Post).
Penyataan tersebut menunjukkan betapa pentingnya bagi seseorang individu itu berbudi
bahasa samada secara pertuturan atau tingkah laku. Individu tersebut perlulah
menggunakan bahasa yang sopan, gerak badan dan nada yang lembut supaya tidak
mendatangkan ketidaksenangan kepada pihak pendengar. Hal ini dapat dikaitkan dengan
Teori Kesantuanan Brown dan Levinson (1978 & 1987) dan Teori Rundingan Air Muka-
Stella Ting-Toomey (1985). Tokoh-tokoh tersebut menyatakan bahawa individu perlulah
menjaga air muka kerana ia merupakan imej kendiri yang ditonjolkan kepada masyarakat.
Tambahan pula, air muka dapat memberi gambaran tentang dalaman seseorang dan berkait
rapat dengan harga diri, status dan maruah diri individu tersebut. Jelaslah bahawa air muka
memberi gambaran tentang perasaan atau sifat seseorang.

7. Kesimpulan

Mafhumnya, konsep kesantunan berbahasa dan budi bahasa perlu diterap dalam diri
setiap individu bagi menjamin keharmonian dalam kalangan masyarakat sejagat. Individu
yang mengamalkan sifat berbudi bahasa perlulah diteladani oleh generasi muda yang bakal
menjadi pemimpin negara. Bak kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia
mati meninggalkan nama. Jelaslah bahawa budi yang baik akan sentiasa dikenang dan
dijadikan contoh kepada masyarakat sejagat.

Pada pendapat saya, semua pihak perlu bekerjasama untuk menerapkan nilai
berbudi bahasa dalam diri setiap individu dan tidak hanya bergantung kepada pihak
kerajaan sahaja untuk menganjurkan kempen kesedaran untuk memupuk nilai tersebut.
Profesor DiRaja, Ungku Aziz pernah mengatakan bahawa, “Malaysia yang aman dan damai
akan lenyap dalam sedikit mada jika rakyatnya tidak bermoral dan nilai budi bahasa yang
kian terhakis dari jiwa mereka”. Oleh itu, terbuktilah bahawa kesantunan berbahasa serta
nilai berbudi bahasa amat penting diterapkan dalam diri individu serta masyarakat Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai