Anda di halaman 1dari 10

Cerpen : Mawar Merah

Sudah sebulan aku terlantar di atas katil hospital ini. Rasa jemu menguasai diri. Tapi apa
yang mampu aku lakukan. Mungkin di sinilah tempatku hingga ke akhir hayat. Aku
begitu rindu untuk melihat dan menikmati dunia luar. Ada waktunya aku rasa ingin pergi
saja dari dunia yang fana ini. Aku sudah hilang semangat dan keinginan untuk
meneruskan hidup ini.

" Jangan berfikiran macam tu anakku. Ingatlah pada Tuhan."

Kata-kata ibu itu terngiang-ngiang di cuping telinga aku. Mungkin kata-kata itu jugalah
yang mematahkan bisikan syaitan di hati aku ini. Tapi aku ini manusia biasa. Susah untuk
menerima musibah dengan hati yang tenang. Bagi aku sesiapa pun akan berfikiran begitu
jika mereka disahkan mengidap barah. Ya, aku disahkan mengidap barah otak.

Doktor kata aku bernasib baik kerana penyakit aku itu dapat dikesan di peringkat awal.
Tapi aku tidak mempercayainya. Sudah berapa ramai yang mengidap penyakit ini tidak
dapat bertahan lama. Bukankah penyakit ini antara penyakit yang paling ditakuti
manusia. Tapi sejak kebelakangan ini pandangan aku terhadap hidup mula berubah. Aku
mula bersemangat untuk meneruskan kehidupan. Aku mesti kuatkan semangat untuk
melawan barah yang kini mula bersarang dalam diri aku ini. Semuanya kerana kiriman
bunga dan kad yang aku terima sejak dua minggu lalu.

" Memang ramai yang telah kecundang, dan sedikit yang berjaya mengatasinya, jadi
masukkanlah dirimu dalam yang sedikit itu." Begitulah kata-kata yang tertera dalam kad
kecil yang aku terima bersama jambangan bunga mawar merah pagi tadi. Begitu
bermakna sebaris ayat itu bagi menaikkan semangat aku. Tapi hingga kini aku masih
tertanya-tanya siapakah pengirimnya. Tiap kali bunga itu aku terima tidak pernah
disertakan nama pengirimnya. Pernah juga aku bertanya pada jururawat yang bertugas
menjaga aku, siapakah pengirim bunga itu.

"Siapa yang hantar tak penting...yang penting encik Hafiz mesti tabah dan mempunyai
semangat untuk meneruskan hidup."
Jawapan itu sajalah yang keluar dari mulut jururawat yang aku kenali sebagai Lina. Dia
seorang jururawat yang cantik dan manis. Tetapi bukan itu yang aku anggap menarik
pada dirinya. Budi bahasa, tingkah laku dan tutur katanya yang bersopan itu membuatkan
hati aku menyimpan perasaan terhadapnya. Tapi bagaimana untuk aku meluahkan apa
yang aku rasa ini terhadapnya. Tidak mungkin dia akan menerima lelaki seperti aku.
Seorang lelaki yang sedang bergelut dengan mautnya sendiri. Bila-bila masa saja aku
akan pergi meninggalkan dia.

" Ajal, maut, jodoh pertemuan, semuanya itu dalam ketentuan Tuhan."

Kata-kata itu bagaikan meniupkan semangat dalam diri aku untuk mendekati dirinya.
Tapi hingga kini aku masih tidak berani untuk menyatakan apa terpendam dalam lubuk
hati aku ini. Aku bimbang hanya aku yang bertepuk sebelah tangan. Tapi dari cara dia
melayan aku, aku dapat rasakan mungkin dia juga ada menyimpan perasaan terhadap
aku.

Ah! Perasan pulak aku. Bukankah itu sudah tugasnya. Melayan setiap pesakit dengan
baik. Lagipun apalah yang hendak diharap oleh seorang wanita yang cantik sepertinya itu
pada lelaki yang menderita sakit ini.

"Lelaki yang hebat adalah lelaki yang berani mengatasi ketakutan dalam dirinya sendiri."

Kad yang aku terima dua hari lepas mengungkapkan kata-kata sedemikian. Kata-kata itu
bagaikan mencabar kelelakianku. Apakah aku mesti memecahkan tembok ego aku
semata-mata kerana seorang perempuan.

Hari ini emak datang lagi melawat aku. Semenjak aku terlantar di hospital tidak pernah
sehari pun emak lupa untuk melawat aku. Walaupun penat bekerja tapi emak tetap
singgah selepas habis waktu pejabat. Emaklah tempat aku menumpang dan mencurahkan
kasih sayang. Aku tak punya ayah seperti orang lain. Ayah meninggal sewaktu aku
berusia tujuh bulan dalam kandungan emak. Emak hidup tersisih dari keluarganya kerana
perkahwinannya dengan ayah tidak direstui. Begitulah cerita yang aku dengar dari mulut
emak.
" Kekuatan mental dapat mengalahkan segala cabaran di dunia."

Mungkin kata-kata pada kad yang pernah aku terima itu sesuai untuk menyatakan
ketabahan emak. Emaklah yang bersusah payah memelihara dan membesarkan aku.
Semuanya emak tanggung seorang diri. Begitu besar pengorbanan seorang ibu. Dalam
diam-diam aku mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan emak. Tapi bahagiakah emak
bila anak harapannya ini bergelut dengan maut. Aku menunjukkan bunga dan kad yang
aku terima hari ini pada emak. Tiap kali emak datang dia pasti akan melihat bunga dan
kad yang aku terima. Emak juga bagaikan tidak kisah siapa pengirim bunga itu. Mungkin
kerana kehadiran bunga dan kad itu memberikan semangat dan kekuatan pada aku untuk
meneruskan hidup ini. Sememangnya pandangan aku terhadap hidup kini mula berubah
sejak kehadiran kiriman bunga itu.

" Biarlah dia tak mengenalkan dirinya. Asalkan kehadiran bunga dan kad ni dapat
mengembalikan semangat anak emak ni, emak dah rasa cukup bersyukur."

" Mungkin Cik Lina yang hantar tak mak?"

Emak hanya tersenyum bila aku membuat tekaan begitu. Emak sememangnya seorang
yang pemurah dengan senyuman.

" Kalau Hafiz benar-benar suka pada dia apa salahnya. Hafiz yang mulakan dulu."
Emak bagaikan tahu apa yang tersirat dalam hati aku. Sebelum ini pun aku pernah
bercerita mengenai Lina pada emak. Emak juga nampaknya begitu senang dengan sikap
Lina. Kadang kala aku lihat emak berbual-bual mesra dengan Lina sebelum dia
melangkah pulang. Walaupun aku tidak tahu apa butir yang mereka bualkan tetapi aku
lihat wujud kemesraan antara mereka.

" Budak Lina tu memang baik. Emak pun suka kalau Jamal berbaik-baik dengan dia."

Kata-kata emak itu menjadi perangsang untuk aku cuba mendekati Lina. Kemesraan
antara emak dan Lina membuatkan aku semakin menyakini bahawa Linalah pengirim
bunga itu. Mungkin dia sengaja tidak mahu memberitahu aku dan dia hanya menyatakan
pada emak sahaja. Tapi aku tidak kisah akan hal itu. Asalkan emak menyukai Lina dan
Lina senang dengan emak, itu sudah cukup membahagiakan hati aku. Sebelum pulang
emak mengusap kepala dan mencium dahi aku. Begitulah yang selalu dilakukannya.
Sebaik sahaja dia melangkah keluar Lina pula masuk. Sudah masanya aku makan ubat.
Dia menghulurkan salam pada emak diiringi senyuman manis dibibirnya. Begitu
bersopan santun tingkah lakunya. Emak meminta diri untuk pulang. Lina hanya
menganggukkan kepala dan datang menghampiri aku. Dia tersenyum pada aku.
Senyuman itu sungguh manis pada pandangan aku.

"Cik Lina dah ada boyfriend?"

Entah mengapa tiba-tiba kata-kata itu begitu mudah meluncur dari bibir aku. Lina
tergamam dengan soalan aku itu. Dia memandang tepat ke wajah aku. Aku melarikan
pandangan. Terasa bersalah pula menanyakan soalan begitu padanya. Dia menghulurkan
ubat pada aku. Aku menyambutnya dengan serba salah. Soalan aku masih belum dijawab.
Tiba-tiba dia duduk di sisi katil aku.

"Dulu ada, tapi...."

Kata-katanya terputus di situ. Aku lihat matanya bergenang. Aku jadi serba salah.

" Maafkan saya Cik Lina....kalau-kalau soalan saya tu menyinggung perasaaan Cik Lina."

Dia tersenyum sambil mengeleng-gelengkan kepalanya. Air mata yang beberapa titis
mengalir di pipi dikesatnya dengan hujung jari. Dia tetap kelihatan manis walaupun dia
berwajah murung. Itulah yang semakin menambat hati aku kepada gadis ini.

" Encik Jamal tak bersalah. Semuanya itu suratan takdir".

Rupa-rupanya dia telah kehilangan tunang yang dikasihinya setahun yang lalu.
Tunangnya meninggal dunia kerana serangan barah. Ya, barah. Sama seperti aku. Tapi
apa yang dikesalinya ialah sikap tunangnya itu. Tunangnya tidak mahu berubat dan hanya
membiarkan penyakitnya itu menguasai dirinya. Jika dia berubat kemungkinan dia masih
hidup lagi hingga kini kerana menurut doktor penyakitnya itu masih di peringkat awal
dan ada harapan untuk sembuh. Sudah puas Lina memujuk tunangnya tetapi hampa
kerana tunangnya itu sudah hilang semangat untuk meneruskan kehidupan. Apa yang ada
dalam fikirannnya hanyalah kematian.

Aku begitu simpati mendengar cerita Lina itu. Mungkin itulah yang mendorong dia
mendekati aku. Dari ceritanya itu memang sahlah dia yang menghantar kiriman bunga
kepada aku. Tetapi aku tidak berani untuk bertanya kerana bimbang dia akan tersinggung.
Walau apa pun aku sebenarnya begitu senang dengan kehadiran bunga dan kad itu.

" Mereka yang gembira akan menjadikan orang sekililingnya juga gembira."

Aku teringat kata-kata pada kad yang pernah aku terima. Kata-kata itu memang tepat
untuk Lina. Ini menyakinkan aku memang dialah pengirim bunga dan kad itu. Memang
semenjak dia menjaga aku, dia akan cuba membuat aku rasa gembira. Kadang-kala dia
akan bercerita kisah lucu untuk membuat aku ketawa. Senyumannya pun tidak pernah
lekang dari bibirnya. Kegembiraan yang terpancar di wajahnya turut menggembirakan
aku. Cuma kali ini ada kesedihan terpalit di wajahnya. Mungkin kerana aku mengungkit
kisah silam yang menyayat hatinya itu.

" Terima kasih untuk bunga dan kad ini."

Aku cuba menduga reaksi Lina. Dia memandang aku dengan hairan.

" Kenapa berterima kasih dengan saya pula?"

"Terima kasih sebab pagi-pagi lagi dah hantarkannya pada saya."

" Ooo...pasal itu. Kan setiap hari memang saya yang hantarkan untuk Encik Hafiz."

" Tapi....saya musykillah...kenapalah sampai sekarang dia tak memperkenalkan


identitinya."

" Kalau Encik Hafiz tahu pun...Encik Hafiz nak buat apa?"
" Saya nak ucapkan terima kasih dan kalau boleh saya nak cium tangan dia."

Pipi Lina jadi merah padam mendengar kata-kata aku itu. Dia tersenyum malu.

Dia membetul-betulkan selimut aku dan berlalu keluar. Aku dapat merasakan yang dia
menyembunyikan sesuatu dari aku. Aku merasa hairan kenapa dia masih tidak mahu
mengaku yang dialah pengirim bunga dan kad itu. Tapi dari reaksi dan senyumannya tadi
aku sudah mendapat jawapannya. Biarlah dia tidak mahu menyatakan secara terus terang
kerana aku yakin suatu hari nanti saat yang aku nantikan itu pasti akan tiba.

Keesokannya emak datang pagi-pagi lagi melawat aku. Aku rasa hairan. Dan yang lebih
menghairankan aku emak datang membawa bersama bunga dan kad. Selalunya Lina yang
menghantarkan kiriman bunga itu kepada aku.

" Tadi ada kawan Lina kat kaunter tu suruh emak hantarkan bunga ni pada kau."

" Kenapa bukan Lina sendiri yang hantarkan?"

”Lina tak datang hari ni....bercuti...ada hal katanya."

" Mak tak kerja ke hari ni?"

" Kerja...tapi emak ada kerja luar sikit...tu yang emak singgah pagi-pagi kat sini."

Emak menghulurkan jambangan bunga itu kepada aku. Aku dengan segera
menyambutnya dan membaca kad yang disertakan bersamanya. Masih juga tiada
dituliskan nama pengirimnya. Hanya kata-kata perangsang yang tertera di atasnya. Emak
memandang aku bagaikan tidak sabar-sabar untuk sama-sama mengetahui apa pula yang
ditulis kali ini.

" Seseorang yang sakit tidak semestinya mendahului seseorang yang sihat. Yakinlah pada
keupayaan diri sendiri walaupun tanpa sesiapa di sisi. Kasih pada manusia tak sampai ke
mana, kasih pada Tuhan membawa ke syurga."
Aku kehairanan dengan kata-kata yang tertera pada kad itu. Kenapa begitu lain sekali
ucapannya. Tidak seperti yang selalu aku terima. Adakah Lina akan meninggalkan aku.
Apakah sebenarnya yang terjadi pada dirinya. Emak mengambil kad dari aku itu dan
membacanya. Kemudian dia memandang wajah aku seolah-olah bertanya apa yang
merunsingkan aku.

" Betul ke Lina kata dia cuti mak?"

" Itulah yang kawan dia cakap pada mak...ehh...kenapa dengan kau ni Hafiz?"

" Tak ada apa-apa mak."

" Oooo...kau rindu pada Lina ya?"

Usikan emak itu tidak sedikit pun meredakan kerunsingan aku. Malah aku semakin
bimbang. Aku bimbang ada sesuatu yang menimpa Lina. Kata-kata yang ditulis dalam
kad itu bagaikan menceritakan sesuatu yang buruk bakal terjadi pada diri Lina. Kenapa
dia cuti secara tiba-tiba sahaja. Emak meminta diri dulu kerana dia ada kerja yang perlu
diuruskan. Emak menasihati aku supaya berehat dan jangan terlalu memikirkan tentang
Lina. Seperti biasa emak mengusap kepala dan mencium dahi aku. Aku rasa sungguh
bahagia diperlakukan seperti itu. Sambil memegang erat tangan aku emak membisikkan
sesuatu ke telinga aku.

"Emak akan sentiasa berada di sisi Hafiz."

Aku begitu terharu kata-kata emak itu. Rasanya ingin aku memeluk dan mencium dahi
emak tetapi emak telah berlalu keluar. Tiba-tiba aku rasa bosan dan ingatan aku pada
Lina semakin bertambah kuat. Sehari tidak melihat wajah Lina aku rasa dunia ini kosong.
Apakah ini yang dikatakan cinta. Dalam hati aku berdoa semoga tiada apa-apa yang
berlaku pada Lina. Aku rasa tidak sabar untuk menanti hari esok. Aku harap Lina akan
kembali bertugas esok.
Doa aku itu dimakbulkan Tuhan. Pagi esoknya aku lihat Lina datang menghampiri aku.
Hati aku berbunga riang. Kalau aku terdaya untuk bangun sudah pasti aku akan segera
berlari memeluknya. Syukurlah tiada apa-apa yang menimpa diri gadis kesayangan aku
ini. Tapi aku lihat hari ini wajah Lina berlainan sekali. Dia nampak tergesa-gesa
menghampiri aku. Wajahnya suram. Tidak terpancar cahaya kegembiraan seperti yang
biasa aku lihat. Apa sebenarnya yang terjadi.

" Encik Hafiz...."

Ada nada sebak dalam suara itu. Lina duduk di sisi katil aku. Dia tunduk memandang
lantai. Tidak berani dia memandang wajah aku. Perlahan-lahan dia memegang tangan
aku. Beberapa titis air mata mengalir di pipi gebunya.Aku merasa begitu hairan.

" Kenapa ni Cik Lina? Cik Lina ada masalah ke?"

" Emak Encik Hafiz dah tak ada."

Aku tersentak. Tidak percaya dengan kata-kata yang terpacul dari mulut Lina. Wajah Lina
aku tenung dengan tepat. Benarkah apa yang aku dengar itu. Kali ini aku rasa dunia aku
benar-benar gelap. Tanpa aku sedari beberapa titis air mata mengalir dari pipi aku. Tiada
lagi rasa segan silu pada Lina.

" Emak Encik Hafiz accident sewaktu balik kerja malam tadi."

Lina menceritakan segala yang berlaku. Emak mengalami cedera parah. Emak sempat
dibawa ke hospital dan dia meminta pihak hospital menghubungi Lina. Sewaktu Lina
sampai di hospital keadaan emak semakin nazak. Pihak hospital berusaha menyelamatkan
emak tetapi Tuhan lebih menyayanginya. Sebelum emak menghembuskan nafas
terakhirnya dia sempat berpesan pada Lina supaya menjaga aku dengan baik. Emak juga
mengharapkan aku terus berjuang untuk melawan penyakit aku ini. Aku begitu terharu
mendengar penjelasan Lina. Air mata aku semakin deras mengalir. Lina memegang erat
tangan aku.
Petang itu Lina membawa aku menghadiri pengkebumian emak. Aku cuba menahan air
mata dari mengalir. Tetapi hati lelaki aku ini tewas juga. Setelah semua bersurai
tinggallah aku dan Lina menghadap kubur emak. Aku panjatkan doa untuk emak.
Semoga Tuhan mencucuri rahmat ke atas rohnya. Aku berjanji pada diri aku untuk
meneruskan hidup ini dengan lebih bersemangat.

Sudah dua hari aku melalui hidup tanpa emak. Kesedihan masih menebal dalam jiwa aku.
Mujur ada Lina di sisi aku. Dialah yang memberi kata-kata perangsang dan semangat
pada aku. Tapi aku rasa ada sesuatu yang aneh berlaku. Ya, baru aku perasan. Sudah dua
hari aku tidak menerima kiriman bunga dan kad dari Lina. Mungkin Lina juga bersedih
dengan kematian emak dan dia lupa untuk melakukan rutinnya itu.

" Cik Lina perasan tak?"

" Perasan apa?"

" Dah dua hari saya tak dapat kiriman bunga dan kad kan.

Lina terdiam mendengar kata-kata aku itu. Kesedihan tergambar di wajahnya. Dia
menghampiri aku dan memandang tepat ke wajah aku.

" Encik Hafiz saya ingin minta maaf pada encik Hafiz."

" Kenapa pulak? Cik Lina tak salah apa-apa pada saya."

" Encik Hafiz pernah kata nak jumpa dan ucapkan terima kasih pada pengirimnya. Encik
Hafiz juga pernah kata nak cium tangannya."

" Itu pun jika tuannya benarkan."

Aku cuba berjenaka dengan Lina. Tetapi tiada reaksi dari Lina. Malah dia pula yang
menitiskan air mata. Aku menjadi semakin keliru. Dalam esakannya dia meneruskan
kata-kata.

" Tangan yang Encik Hafiz nak cium tu dah pergi buat selama-lamanya."
" Emak?"

Lina hanya mampu mengangguk. Ya Allah, kenapa aku tidak dapat menekanya dari awal
lagi. Lina meminta maaf sekali lagi. Dia pernah cuba hendak memberitahu aku siapa
pengirimnya tetapi dilarang oleh emak. Kata emak bunga mawar merah adalah lambang
kekuatan dan semangat. Waktu itu aku rasa begitu ingin mencium tangan emak.

Anda mungkin juga menyukai