Anda di halaman 1dari 9

Punca-punca penyakit sosial dalam kalangan remaja By MAB on 23/01/2011 Baca petikan di bawah dengan teliti.

Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasantentang punca-punca penyakit sosial dalam kalangan remaja. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan. Penyakit atau masalah sosial dalam kalangan remaja bukan sesuatu yang luar biasa dalam masyarakat hari ini. Malah, gejala penyakit sosial ini semakin menjadi-jadi setiap hari. Terdapat pelbagai faktor yang mendorong fenomena ini semakin berleluasa. Gejala kurang sihat ini berlaku kerana para remaja kurang perhatian daripada ibu bapa, khususnya ibu bapa yang bekerja di bandar. Ibu bapa kini sibuk bekerja sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka. Akibat kesibukan dan keletihan, mereka langsung tidak mahu mengambil tahu tentang pelajaran anak-anak, apatah lagi untuk mendengar masalah mereka. Hal ini pasti menimbulkan rasa bosan, sekali gus menyebabkan anak-anak mencari jalan keluar untuk menghiburkan hati. Selain itu, mereka terjebak dalam gejala negatif tersebut akibat daripada pergaulan bebas dengan kumpulan yang salah. Ada sesetengah ibu bapa pula berpendapat bahawa memberi wang yang secukupnya kepada anak-anak sudah memadai. Mereka seharusnya tahu bahawa kasih sayang tidak dapat dibeli dengan wang. Ada segelintir remaja pula mengambil jalan mudah dengan melakukan perbuatan yang tidak baik kerana hendak melarikan diri daripada masalah yang menimpa keluarga mereka, contohnya perceraian antara ibu bapa mereka. Pengaruh rakan sebaya juga merupakan antara punca berlakunya gejala sosial di negara kita. Remaja yang bergaul dengan rakan yang bersikap negatif juga akan turut bersikap negatif. Para remaja yang buntu dengan masalah yang dihadapi keluar dari rumah lalu mencari kebebasan dengan bergaul dengan kumpulan yang tidak senonoh.

Dalam hal ini, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing. Guru-guru, misalnya boleh memainkan peranan penting untuk membentuk peribadi para pelajar di sekolah. Kaunseling kepada para pelajar yang bermasalah tentunya dapat membantu mereka mengatasi masalah yang dihadapi dengan lebih tenang dan rasional. Aktiviti-aktiviti kokurikulum juga patut dijalankan dengan berkesan supaya para pelajar dapat melibatkan diri dan mengelakkan mereka melepak. Di samping itu, pendidikan agama haruslah diterapkan kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi. Langkah ini amat perlu kerana semua agama mengajar penganutnya supaya berkelakuan baik. Tegasnya, anak-anak muda atau golongan remaja ini haruslah dididik dan dijaga dengan baik kerana mereka merupakan bakal pemimpin negara suatu hari nanti. Bahagian A (ii) Pemahaman

1.

Berikan maksud tidak mahu mengambil tahu dalam petikan. [2 markah]

2. Apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk membendung gejala sosial dalam kalangan remaja? [4 markah] 3. Pada pendapat anda, sebagai pelajar dan juga remaja apakah yang patut golongan remaja lakukan untuk mengatasi gejala sosial ini? [4markah] Dicatat oleh Laman Bahasa di 3:36 PTG

Latihan 1. Bahagian A (i) : ringkasan {20 markah}

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut tulis sebuah rumusan tentang kepentingan menghayati Rukun Negara. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Kerajaan disaran melancarkan Kempen Penghayatan Rukun Negara kerana penghayatan terhadap Rukun Negara semakin terhakis dalam jiwa rakyat Malaysia. Malah jika ditanya generasi muda sekarang sudah pasti ada antara mereka yang tidak mengetahui kandungan prinsip Rukun Negara yang menjadi pegangan rakyat negara ini sejak 35 tahun yang lalu. Ramai dalam kalangan mereka yang tidak ingat untuk melafazkan Rukun Negara kerana beranggapan tidak penting disebabkan negara sudah aman dan makmur. Keadaan ini menyebabkan generasi sekarang seakan-akan hilang jati diri mereka dan mudah terpengaruh dengan budaya asing.

Penghayatan Rukun Negara amat penting kepada masyarakat negara ini. Hampir lima dekad negara mencapai kemerdekaan dan segala dugaan yang dilalui telah membina tapak yang menjadi asas keharmonian dan perpaduan kaum. Rukun Negara menjadi panduan bagi rakyat memupuk semangat setia kawan dan kecemerlangan hidup bermasyarakat serta bernegara. Selain itu Rukun Negara bermatlamat membentuk masyarakat yang adil dan saksama supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama-sama.

Prinsip Rukun Negara sebenarnya berkait rapat antara satu sama lain. Kepercayaan kepada Tuhan antara lain menerapkan bahawa kepercayaan beragama boleh mengukuhkan ikatan semua bangsa

seterusnya memantapkan institusi negara kerana rakyatnya mempunyai pegangan hidup. Tahap kesetiaan yang tinggi diberikan kepada raja dan negara pula amat bersesuaian kerana raja ialah lambang perpaduan negara. Keluhuran perlembagaan pula ialah sumber perundangan negara yang tertinggi dan harus diterima, dipatuhi serta dipertahankan oleh rakyat. Kedaulatan undang-undang pula memberi keadilan kepada setiap rakyat di negara ini kerana dijamin oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Prinsip kesopanan dan kesusilaan mementingkan perlakuan yang sopan dalam kalangan rakyat untuk menjaga hubungan baik masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Sehubungan dengan itu rakyat harus sedar Rukun Negara mampu menerapkan amalan menghormati undang-undang dalam kalangan masyarakat pelbagai agama dan budaya di negara ini. Langkah kerajaan melancarkan kempen tersebut amat tepat bagi mengingatkan rakyat supaya menghormati sensitiviti kaum agar keamanan dan keharmonian negara dapat terus dipelihara.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Kepentingan Menghayati Rukun Negara Mohd Izranuddin Jelani - Fokus, April 2006)

Soalan Bahagian A (ii) : Pemahaman {10 markah}

Berdasarkan petikan bahagian A (i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1. Apakah maksud rangkai kata setia kawan? [2 markah]

2. Mengapakah kerajaan disaran supaya mengadakan kempen Penghayatan Rukun Negara? [4 markah]

3. Pada pendapat anda, bagaimana caranya untuk menyedarkan masyarakat supaya menghayati Rukun Negara? [4 markah]

Latihan 2.

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut tulis sebuah ringkasan tentang kesan peningkatan suhu bumi. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Peningkatan suhu bumi dikaitkan dengan perubahan iklim global semakin mendapat perhatian pelbagai pihak berikutan banyak bencana besar di luar jangkaan melanda seluruh dunia. Akibat fenomena ini hujan lebat akan turun pada jangka masa yang agak lama. Hal ini akan menyebabkan banjir yang luar biasa melanda di kawasan-kawasan tertentu. Banjir besar di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan barubaru ini dikaitkan dengan fenomena ini.

Sebaliknya pada masa-masa tertentu kemarau akan berlaku di sesetengah tempat. Kajian oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendapati kemarau telah meningkat sebanyak 30% sejak awal tahun 70-an. Kesannya, bekalan air di seluruh negara pasti akan terjejas. Di Malaysia, Jabatan Meteorologi telah memberi amaran kepada semua pihak agar bersedia menerima keadaan ini.

Selain itu, berlaku juga peningkatan aras laut yang agak luar biasa. Aras laut dunia semakin meningkat pada purata satu hingga dua milimeter setahun sepanjang 100 tahun kebelakangan ini. Peningkatan aras laut mengancam kawasan rendah dan pantai. Para saintis mendapati keadaan yang tidak menentu itu boleh dikaitkan dengan penghasilan gas rumah hijau seperti karbon dioksida dan metana. Taufan luar biasa yang berlaku di seluruh dunia kini merupakan akibat gejala ini. Ribut pada hari ini semakin banyak berlaku dan semakin ganas. Misalnya taufan yang melanda Filipina, Indonesia dan Amerika Syarikat.

Kesan suhu yang meningkat juga akan menyebabkan fenomena pencairan ais. Kajian saintis menunjukkan dalam tempoh 30 tahun lebih 259 hektar ais di seluruh kutub telah hilang. Peningkatan

suhu yang mendadak memudahkan wabak penyakit berbahaya tersebar dengan meluas. Kita melihat penyakit yang dibawa oleh nyamuk seperti demam denggi semakin meningkat di negara kita. Kesan fenomena cuaca yang sebegini juga akan menjejaskan psikologi manusia. Jiwa dan emosi manusia akan mudah tertekan. Hal ini boleh menyebabkan meningkatnya kes jenayah yang melibatkan perlakuan yang agresif, seperti bunuh, buli dan dera.

(Dipetik dan disesuaikan daripada Fenomena Pemanasan Global Berita Harian, 17 Februari 2007)

Berdasarkan petikan bahagian A (i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1. Apakah maksud rangkai kata semakin ganas? [2 markah]

2. Berdasarkan petikan, nyatakan dua punca berlakunya peningkatan suhu bumi. [4 markah]

3. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan kesan peningkatan suhu bumi? [4 markah]

Latihan 3

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang sebab-sebab perubatan tradisional masih mendapat tempat dalam kalangan pengguna. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Pendapat bahawa perubatan moden merupakan penawar terbaik untuk setiap jenis penyakit adalah tidak tepat. Hal ini terbukti apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan bahawa 80 peratus penduduk dunia bergantung pada perubatan tradisional. Kerana miskin mereka tidak berupaya untuk membeli makanan, apatah lagi bagi mendapatkan rawatan moden.

Belakangan ini, minat masyarakat dunia terhadap perubatan tradisional berasaskan herba semakin bertambah malah herba dianggap sebagai pelengkap kepada perubatan moden.Para penyelidik mengakui bahawa kesedaran tentang kesan sampingan ubat-ubatan moden semakin meningkat. Rakyat di negara kita pula semakin banyak menghidap penyakit kronik seperti barah dan AIDS sedangkan perubatan moden masih gagal menemukan penawarnya. Keadaan seperti ini, ditambah dengan kos perubatan yang semakin tinggi menyebabkan pesakit beralih kepada perubatan berasaskan herba. Oleh itu, ubat-ubatan berasaskan herba ini sewajarnya dikomersialkan dan dijual pada harga yang rendah supaya mampu dibeli oleh pengguna.

Walau bagaimanapun , kita masih memerlukan perubatan moden kerana bukan semua penyakit boleh dicegah atau disembuhkan melalui perubatan tradisional. Perubatan tradisional hanyalah untuk mengisi kekosongan yang ada dalam perubatan moden. Oleh itu, ubat-ubatan berasaskan herba dalam perubatan tradisional ini perlu dikaji dan dibangunkan dengan keupayaan sains dan teknologi supaya benar-banar berkesan. Kini, kajian bioteknologi mengenai ubat-ubatan ini giat dijalankan di kebanyakan negara di dunia. Di Malaysia pula, perubatan tradisional berasaskan herba diamalkan sejak zamanberzaman seperti dalam rawatan resdung, rawatan kecantikan dan rawatan selepas bersalin.

Satu fakta yang jelas ialah bukan semua ubat moden yang diambil oleh pesakit akan masuk ke dalam sistem tubuh. Oleh sebab itu, walaupun dua orang pesakit menghidapi penyakit yang sama, ubat yang serupa tidak akan memberikan kesan yang sama kepada mereka. Selain itu, ubat-ubatan moden hanya merawat penyakit itu sahaja, sedangkan ubat-ubatan tradisional mampu mengesan dan merawat punca penyakit tersebut. Keadaan ini menyebabkan pesakit yang mengambil ubat-ubatan moden perlu bergantung pada ubat-ubatan tersebut sehingga akhir usia.

(Dipetik dan diubahsuai daripada Herba Pelengkap Kepada Perubatan Moden, Berita Harian, 16 April 2006)

Berdasarkan petikan Bahagian A (i), jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1. Berikan maksud rangkai kata mengisi kekosongan. [ 2 markah ] 2. Apakah yang perlu dilakukan untuk memajukan perubatan tradisional? [ 4 markah ] 3. Pada pendapat anda, mengapakah semakin ramai rakyat negara kita menghidap penyakit kronik ? [ 4 markah ] Bahagian A (i): Meringkaskan Karangan Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentanglangkah-langkah yang dilakukan oleh kerajaan untuk menggalakkan kitar semula. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan. Malaysia dianggarkan menghasilkan sebanyak 15 000 tan sampah dalam sehari. Jumlah ini dijangka akan meningkat pada kadar dua peratus pada setiap tahun. Oleh itu, kerajaan telah melancarkan program kitar semula sebagai satu cara mengelakkan pembaziran wang dan tenaga kerja yang banyak untuk menguruskan sampah yang semakin banyak. Selaras dengan pelancaran tersebut, pihak berkuasa tempatan telah mengambil langkahmeletakkan tong-tong kitar semula di tempat-tempat yang sesuai seperti di kompleks beli-belah, sekolah dan pusat perniagaan. Setiap set tong kitar semula terdiri daripada tiga buah tong iaitu tong coklat untuk bahanbahan kaca, tong biru untuk kertas, serta tong jingga untuk plastik dan logam. Selain dapat mengurangkan jumlah tapak pelupusan sampah, program kitar semula juga bermatlamat untuk memberi kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar kepada masyarakat. Apabila tong-tong kitar semula itu penuh, bahan-bahan yang terkumpul akan dibawa ke pusat pengumpulan barang terpakai. Barangan kitar semula yang dibawa akan dinilai dan pusat pengumpulan akan memberikan bayaran kepada syarikat yang membawanya. Pengguna yang membawa barangan terpakai terus ke pusat pengumpulan akan mendapat bayaran yang berpatutan juga. Sehubungan itu, kerajaan telah menawarkan beberapa galakan yang lain seperti pengecualian cukai bagi mesin dan peralatan yang digunakan untuk kitar semula.

Selain pihak kerajaan, pihak swasta digalakkan turut serta dalam rangkaian aktiviti kitar semula. Misalnya, mereka menggalakkan pekilang-pekilang menggunakan bahan kitar semula sebagai asas dalam pembuatan produk mereka. Dalam hal ini, negara dapat juga menjimatkan penggunaan bahan mentah. Bahagian A(ii): Pemahaman

1. 2.

Berikan maksud rangkai kata mengambil langkah dalam petikan. [2 markah] Apakah matlamat-matlamat program kitar semula? [4 markah]

3. Program kitar semula di negara tidak mendapat sambutan daripada seluruh masyarakat. Pada pendapat anda mengapakah keadaan ini berlaku? [4 markah] Kepentingan telefon bimbit By MAB on 31 Januari 2012 | 13 Komen Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang kepentingan telefon bimbit. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan perkataan anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan. Talian komunikasi tanpa wayar atau telefon bimbit, ialah salah satu alat perhubungan atau komunikasi dan telah menjadi gaya hidup masyarakat dunia masa kini. Memang tidak dapat dinafikan bahawa memiliki telefon bimbit banyak kelebihannya, mana tidaknya seseorang yang beribu-ribu batu jauhnya di pelosok dunia sekalipun dapat dihubungi juga. Dengan adanya talian internet kita dapat mengetahui berita-berita penting dan terkini lebih cepat melalui telefon bimbit. Alat perhubungan ini yang pada satu ketika dahulunya dianggap barangan mewah, kini mampu dimiliki oleh setiap golongan masyarakat dunia. Malahan, ada ibu bapa yang mampu menyediakan alat komunikasi ini kepada anak-anak mereka sejak di bangku sekolah rendah lagi bagi memudahkan mereka menghubungi anak-anak. Telefon bimbit dapat menyampaikan pesanan secara pantas dan berkesan dan boleh menyimpan pelbagai maklumat juga. Tidak keterlaluan jika telefon bimbit dikatakan lebih penting daripada komputer dan internet kerana telefon bimbit tidak memerlukan kuasa elektrik. Rupa bentuknya yang comel dan praktikal dengan dilengkapi kamera, perakam video, SMS, GPRS, WAP, WiFi dan kemudahan 3G, Blackberry dan Iphone yang mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Dengan teknologi terkini kita boleh melihat wajah siapasiapa yang kita hubungi. Kini boleh menghubungi talian Internet juga bagi mengetahui berita yang dilaoprkan di luar Negara. Banyak yang diperoleh apabila kita dapat menggunakan Internet. Lebih menarik lagi, telefon bimbit dapat menyimpan dan memaklumkan akan jadual harian. Pendek kata, telefon bimbit dapat menyelesaikan masalah yang selama ini sukar untuk dibuat. Dalam dunia hari ini anda akan dianggap ketinggalan zaman sekiranya tidak memiliki telefon bimbit. Dalam pada itu, tidak dinafikan telefon bimbit juga boleh membawa kemudaratan. Misalnya telefon bimbit boleh menyebabkan berlakunya pembaziran jika disalahgunakan. Malahan sesetengah individu sanggup berhabis duit untuk menukar telefon mereka dengan model telefon terbaru. Bagi pelajar, ada yang sanggup mengikat perut asal sahaja talian tidak terputus. Hal ini, ditambah pula dengan tindakan para pelajar merakam aksi-aksi mereka yang mencolok mata lalu memuat turun rakaman tersebut di Youtube.

PEMAHAMAN 1. 2. Apakah maksud rangkai kata membawa kemudaratan? [2 markah] Nyatakan kesan-kesan negatif penggunaan telefon bimbit? [4 markah]

3. Pada pendapat anda, mengapakah sesetengah individu itu sanggup berhabis wang demi memiliki sebuah telefon yang mahal dan canggih? [4 markah]

Anda mungkin juga menyukai