Anda di halaman 1dari 1

Berbalas pantun masih banyak kelemahan

FESTIVAL Pantun Korporat menjadi antara program tahunan badan-badan korporat seluruh negara. Antara lain, bertujuan mengajak kakitangan sektor itu mendekati bidang kesenian tradisional itu. Saban tahun sekitar 20 pasukan berentap untuk merebut juara walaupun hadiah yang ditawarkan tidak sebesar mana. Cukup dengan sejumlah wang tunai dan piala pusingan. Bagaimanapun, ia tetap menarik minat pelbagai badan korporat untuk mengambil bahagian dan menonjolkan bakat serta kebolehan masing-masing. Namun, mungkin ada perkara yang tidak disentuh dan diteliti oleh pihak yang terlibat dalam penganjuran atau peserta yang mengambil bahagian dalam festival tersebut walaupun ia merupakan perkara dasar yang sangat penting. Dengan lain perkataan, di sebalik keghairahan peserta membeli dan menjual pantun kepada pihak lawan, banyak perkara diabaikan khususnya tentang kedudukan pantun itu sendiri. Mereka mengabaikan banyak aspek dan ciri sesebuah pantun Melayu hingga nilai-nilai estetika dari aspek rima dan jumlah perkataan diketepikan secara tidak langsung. Menurut pengkaji sastera tradisional Melayu, Prof. Dr. Harun Mat Piah, sebahagian besar pantun yang diketengahkan dalam festival tersebut mempunyai rima yang janggal dan ada yang tidak mempunyai rima sama sekali. Katanya, kedudukan itu akan menjejaskan fungsi atau estetika pantun Melayu yang sememangnya mempunyai ciri yang tidak pernah berubah sejak zaman berzaman. Agak malang ada pantun yang dilontarkan tidak ada hubung kait langsung antara bait pembayang dengan maksud sedangkan dalam mengarang pantun inilah aspek yang perlu ditekankan. Walaupun kita akui, prestasi dan suara peserta tidak ada kecacatan, tetapi kelemahankelemahan ini memberi kesan kepada pantun yang disampaikan, katanya ketika mengadili pertandingan akhir Festival Pantun Korporat 2007 baru-baru ini. Beliau yang juga merupakan ketua panel juri berkata, pantun-pantun yang dipersembahkan juga kurang menggunakan unsur perlambangan (simbolisme). Katanya, ia bertentangan dengan ciri sebenar pantun Melayu yang mengutamakan unsur perlambangan dalam pembayang dan maksud kerana masyarakat tradisional menggunakan pendekatan itu untuk sindiran atau kritikan. Harun berkata, jika unsur perlambangan tidak digunakan, ciri-ciri sebenar pantun Melayu yang baik serta bernilai tinggi gagal terserlah. Selain itu, tema dan isi pantun juga tidak tepat hingga kadang -kadang pantun jenaka menjadi tidak jenaka. Ia agak lari dari tema dan istilah berbalas pantun yang sering diadakan dalam masyarakat Melayu tradisional, tambah beliau.

Anda mungkin juga menyukai