Anda di halaman 1dari 6

1

MENANGANI KONFLIK SESAMA MUKMIN


(Ayat 9 & 10 surah al-Hujurat)





9. Dan apabila ada dua golongan orang Mukmin yang berperang, maka damaikanlah
antara keduanya. Jika salah satu dari keduanya berbuat zalim terhadap (golongan)
yang lain, maka perangilah (golongan) yang berbuat zalim itu, sehingga
golongan itu kembali kepada perintah Allah. Jika golongan itu telah kembali
(kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, dan
berlakulah adil. Sungguh, Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.

10. Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah
antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertaqwalah kepada Allah agar
kamu mendapat rahmat.

Latar Penurunan Ayat:

Penurunan ayat 9 di atas dikaitkan dengan beberapa peristiwa, termasuk yang
diriwayatkan oleh Ahmad, Bukhari, Muslim, ibn Jarir dan lain-lain dari Anas ibn Malik
r.`a. , Bahawa seseorang menyarankan agar Rasulullah s.`a.w. mendatangi `Abdullah
ibn Ubay. Junjungan s.`a.w. pun berangkat dengan menaiki keldai, sedang kumpulan
Muslimin yang lain berjalan kaki. Di suatu tempat (Ard Sabikhah), keldai yang dinaiki
Rasulullah s.`a.w. kencing. `Abdullah ibn Ubay lalu berkata, Menjauhlah engkau dari
aku, demi Allah, bau busuk (kencing) keldaimu mengganggu aku. Kata-kata itu
dijawab oleh `Abdullah ibn Rawahah, Demi Allah, bau kencing keldainya lebih harum
daripada kamu!. Kejadian berbalas-balas kata itu sudahnya berhujung dengan
perkelahian antara penyokong-penyokong kedua belah pihak, mereka saling memukul
dengan pelepah (tamar), tangan dan kasut (mujur tidak sampai menggunakan pedang),
lalu turun ayat 9 surah al-Hujurat tersebut dan Rasulullah s.`a.w. pun segera
mendamaikan mereka (catatan: `Abdullah ibn Rawahah dari suku Khazraj, sementara
`Abdullah ibn Ubay dari suku Aus).

2




Huraian Maksud Ayat:

Mesej yang terungkap dalam ayat 9 di atas adalah suatu kaedah atau formula praktikal
untuk memelihara keutuhan masyarakat Islam dari ancaman perpecahan akibat gejolak
emosi dan dorongan nafsu yang tidak terkawal. Memang sesuai ayat ini ditempatkan
berurutan dengan pesan tabayyun atau mendapatkan kepastian tentang berita fasiq demi
menghindari kegopohan bertindak tanpa dasar bukti yang pasti. Bertindak terburu-buru
kerana didorong rasa marah, sebelum melakukan tabayyun selalu berakibat buruk,
memangsakan orang tidak bersalah, dan akhirnya membawa penyesalan. Formula
memelihara keutuhan umat dalam ayat ini terumus pada kata islah, iaitu usaha
pendamaian (antara pihak-pihak yang berkonflik) dengan didasari prinsip kebenaran dan
keadilan menurut hukum Allah.

Lewat ayat ini al-Quran mengantisipasikan kemungkinan berlakunya perang antara dua
golongan mukminin. Sifat muminin kedua-duanya masih tetap kekal, dengan
kemungkinan salah satu golongan (mukmin) itu telah berlaku zalim ke atas yang lain,
atau berkemungkinan juga kedua-duanya saling menzalimi. Apabila konflik sedemikian
itu terjadi, kaum mukminin yang tidak terlibat, harus segera bertindak melakukan islah,
mendamaikan kedua-dua pihak yang berkonflik itu. Sekiranya salah satu pihak berlaku
zalim, enggan kembali kepada kebenaran; atau jika kedua-dua pihak sama-sama berlaku
zalim, berkeras tidak mahu menerima perdamaian (sulh), tidak mahu menerima hukum
Allah dalam isu yang dipertikaikan, maka seluruh umat mukminin yang lain harus
memerangi golongan yang zalim sehingga mereka kembali kepada perintah dan ajaran
Allah iaitu menghentikan permusuhan dan menerima ketetapan Allah dalam isu yang
menjadi punca permusuhan. Apabila golongan yang zalim itu telah bersedia untuk
menerima hukum Allah, proses islah harus dilaksanakan berasaskan prinsip keadilan
yang murni dan disemangati ketaatan kepada Allah demi mencapai ridha-Nya.

Perintah melakukan islah dan memerangi golongan yang zalim dalam ayat 9 ini
terutamanya ditujukan kepada golongan penguasa (wulat al-umur). Merekalah yang
seharusnya bertindak cepat mendamaikan dengan menasihati dan menyeru mereka
kembali kepada hukum Allah, serta menyelesaikan masalah-masalah yang menjadi
punca pertikaian. Kecepatan bertindak melaksanakan islah bertujuan untuk
mengembalikan keadaan normal dalam masyarakat Islam iaitu damai. Bagi masyarakat
Islam konflik adalah suatu kekecualian, bukan kebiasaan. Kata in (jika) pada pangkal
ayat 9 tersebut mengisyaratkan bahawa konflik atau perang tidak seharusnya terjadi
dalam kalangan sesama muslimin, dan jika terjadi juga ia adalah suatu kekecualian yang
jarang berlaku. Kerana itu pula memerangi golongan mukminin yang berlaku zalim
(allati tabghi) dilakukan seperlunya, boleh dengan menggunakan senjata (jika perlu),
atau tanpa senjata. Yang penting adalah (al-fayah) mengembalikan mereka kepada
hukum Allah, bukan menghabisi mereka. Justeru, mereka adalah al-muminin, bukan
kafirin dan bukan mushrikin.

Peranan orang tengah dalam sebarang konflik memang sangat penting, dan ayat 9 ini pun
sebenarnya ditujukan kepada mereka. Selain diperintahkan agar bertindak cepat
3
melakukan islah, orang tengah juga diperingatkan agar berlaku adil, memberikan hak
kepada yang berhak, bukan mengambil kesempatan untuk kepentingan diri - mencari
publisiti atau keuntungan politik. Segalanya harus dilakukan dengan ikhlas semata-
mata demi meraih ridha dan cinta Ilahi menerusi amal keadilan (sungguh, Allah
mencintai orang-orang yang berlaku adil).

Pada ayat 10, perintah islah (mendamaikan pihak-pihak yang berkonflik) diulangi lagi
dengan mengingatkan semangat yang mendasarinya, iaitu ukhuwwah imaniyyah dan
taqwa kepada Allah. Persaudaraan kaum mukminin diasaskan pada perkongsian prinsip
iman. Justeru, kepada prinsip yang dikongsi bersama itulah mereka harus kembali ketika
bersengketa. Selain itu segala urusan yang menyangkut hubungan sesama mukmin harus
berdasar pada taqwa, rasa takut kepada Allah yang membangkitkan ghairah mentaati
perintah-Nya dan kewaspadaan terhadap larangan-Nya. Asas persaudaraan dan taqwa
sedemikian itulah yang akan mendorong sikap adil, tidak berat sebelah, tidak pilih kasih
dan tidak pandang bulu kerana semuanya adalah saudara yang harus sama-sama
didamaikan dan diselamatkan daripada kezaliman. Jika ayat 9 mengantisipasikan konflik
antara dua golongan mukminin (taifatani min al-muminin), ayat 10 pula
mengantisipasikan konflik antara dua individu mukmin (bayna akhawaykum). Konflik
pada tahap antara dua individu juga harus segera didamaikan (fa aslihu) agar tidak
melarat dan meningkat ke tahap yang lebih parah. Taqwa kepada Allah yang mendasari
segala urusan perhubungan sesama mukmin ketika berkonflik dan ketika berdamai akan
membawa harapan curahan rahmat dari Allah s.w.t. Ternyata mesej utama ayat 9 dan
10 surah al-Hujurat adalah islah (mendamaikan). Kata fa aslihu(maka
damaikanlah) disebut tiga kali pada dua ayat yang berurutan itu.

Hukum al-Bughah

Pada ayat 9 terdapat kata baghat dan tabghi yang seakar dengan kata baghy dan baghin.
Kata al-baghyu selalu diertikan sebagai kezaliman atau melampaui batas, sementara
pelakunya disebut baghin yang kata jamaknya ialah bughah (t). Kitab al-Muharar (al-
Rafi`iy) memuatkan perbahasan tentang al-bughah yang diawali dengan ayat 9 surah al-
Hujurat tersebut. Memang, seperti yang disebut oleh Muhammad Hamidullah (Muslim
Conduct of State) ayat tersebutlah satu-satunya asas pijakan hukum bughah. Golongan
al-bughah dalam definisi kaum fuqaha seperti yang dirumuskan oleh Dr. Ibrahim ibn
`Aliy Sandaqjiy (pentahqiq Kitab Qital ahl al-Baghy oleh al-Mawardiy) ialah mereka
yang melawan imam (pemerintah) adil, yang ingkar mematuhinya dengan enggan
melaksanakan kewajipan tanggungannya (al-mukhalif li al-imam al-`adil, al-kharij `an
ta`atihi bi al-imtina` an adai ma wajaba `alayhi).

Sementara itu M. Abdul Mujieb dkk dalam Kamus Istilah Fiqih memasukkan kata
bughat dengan pengertian Bentuk jamak dari kata mufrad baghin, artinya: seorang
penentang atau pemberontak yang bersenjata. Bughat berarti: Orang-orang yang
mengadakan perlawanan terhadap pemerintahan yang sah kerana terjadinya
kesalahfahaman politik. Pihak pemerintah wajib memerangi mereka dengan syarat: (1)
Mereka memiliki kekuatan yang memungkinkan mereka mengadakan perlawanan fisik
yang dapat mengancam keamanan negara; (2) Bahwa mereka bersikap memusuhi
pemerintah dan tidak mengakui lagi kekuasaan pemerintah yang sah; (3) Bahwa sebab
utama pemberontakan kerana terjadinya salah faham tentang politik pemerintahan.

4
Al-Shaykh Muhammad al-Khatib al-Sharbiniy dalam Mughni al-Muhtaj (sharah matan
Minhaj al-Talibin oleh al-Nawawiy) mengatakan bahawa ayat 9 surah al-Hujurat
tersebut memang tidak menyebut secara eksplisit tentang isu melawan al-imam (al-
khuruj `ala al-imam), tetapi ia bersifat umum dan inklusif yang meliputi persoalan
bughah. Jika umat diperintahkan perang terhadap kezaliman suatu kumpulan orang
(mukmin) ke atas kumpulan orang (mukmin) yang lain, maka lebih-lebih lagilah jika
mereka menzalimi (melawan) imam (ketua negara) yang sah.

Ketika menghuraikan makna mukhalafat al-imam (melawan imam), al-Sharbiniy
mengatakan bahawa ia terjadi dengan salah satu daripada dua perkara: pemberontakan
terhadap diri imam itu sendiri, atau dengan keengganan tunduk patuh kepadanya. Tetapi
boleh juga berlaku selain dengan dua cara tersebut, iaitu keengganan melaksanakan
sesuatu hak tertentu (mani haqqin) yang memang menjadi kewajipan mereka.
Misalnya, golongan yang enggan membayar zakat (mani` al-zakah), yang diperangi oleh
Abu Bakr al-Siddiq r.`a., walhal mereka tidak memberontak terhadap diri peribadi
khalifah tersebut.

Dalam huraian selanjutnya al-Sharbiniy menyatakan bahawa mereka yang melawan
imam itu menjadi bughah jika mereka memenuhi tiga syarat. Pertama, mereka memiliki
shawkah atau kekuatan (jumlah yang ramai dan senjata yang banyak) yang
memungkinkan mereka melawan imam, dan memaksa imam menggembleng kekuatan
(persenjataan, kewangan dan tenaga manusia) untuk menghadapi mereka. Kedua,
mereka berpegang pada suatu tawil yang mereka yakini mengharuskan pemberontakan
terhadap imam atau mengharuskan mereka tidak menunaikan sesuatu hak yang menjadi
kewajipan mereka. Tawil dalam konteks ini disyaratkan bahawa ia adalah fasid, tetapi
mereka yakini sebagai justifikasi yang mengharuskan mereka memberontak. Misalnya
tawil golongan peserta perang Jamal dan Siffin yang memberontak terhadap Imam `Aliy
k.w. bahawa beliau (`Aliy) tahu siapa pembunuh-pembunuh `Uthman r.`a. dan mampu
mengambil tindakan ke atas mereka, tetapi tidak melakukannya. Demikian juga tawil
golongan yang enggan membayar zakat (mani` al-zakah) kepada Abu Bakr r.`a., bahawa
mereka tidak membayar zakat kecuali kepada orang yang do`anya (membawa)
kedamaian jiwa bagi mereka, iaitu Nabi s.`a.w. (al-Tawbah:103). Ketiga, adanya
muta`un fihim iaitu seorang pemimpin yang dipatuhi oleh semua warganya, kerana tidak
mungkin tercapainya kekuatan (syawkah) tanpa pemimpin yang dipatuhi.

Golongan bughah (yang memenuhi syarat-syarat tersebut) wajib diperangi untuk
mengembalikan kesetiaan mereka kepada imam. Tetapi sebelum sampai ke tahap
perang, ada satu proses yang wajib dilaksanakan lebih dahulu iaitu islah. Dalam kaitan
ini al-Mawardiy dalam Kitab Qital Ahl al-Baghy (sebahagian daripada karya
ensiklopediknya al-Hawiy al-Kabir) menyatakan, apabila syarat-syarat yang muktabar
untuk memerangi mereka telah dipenuhi, al-imam tidak boleh memulai (perang) hingga
setelah menanyakan mereka tentang sebab penentangan mereka. Jika mereka menyebut
tentang sesuatu kezaliman, hendaklah ia dihentikan; jika mereka menyebut sesuatu
shubhah atau kekeliruan, hendaklah ia dijelaskan sehingga nyata kebenaran di pihaknya,
kerana Allah s.w.t. memerintahkan islah dahulu dan kemudiannya barulah perang.

Demikianlah tahapan proses yang harus dilalui, islah dahulu perang kemudian, dan tidak
sebaliknya. Memang tidak siapa pun yang berhak mendahulukan apa yang
dikemudiankan oleh Allah (taqdim ma akhkharahu Llah). Dalam isu memerangi kaum
5
bughah yang selalu menjadi rujukan adalah cara Sayyidina `Aliy k.w. menangani kaum
bughah Khawarij. Sebelum memerangi mereka `Aliy k.w. lebih dahulu mengutus Ibn
`Abbas r.`a. kepada kaum al-Khawarij di Nahrawan untuk meminta penjelasan tentang
sebab penentangan mereka dan membetulkan kekeliruan tawil mereka. Ibn `Abbas r.`a.
berkata, `Ali ibn Abi Talib adalah sepupu Rasulullah s.`a.w. yang juga menantunya
(suami puterinya). Kalian tahu kemuliaannya, lalu apa yang kalian tentang? Mereka
menjawab ada tiga isu yang menjadi punca penentangan mereka. Pertama, `Aliy (k.w.)
bertahkim dalam urusan agama Allah sedang Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya sudah
lebih daripada cukup (tidak memerlukan tahkim). Kedua, ketika memerangi lawannya,
`Aliy (k.w.) hanya membunuh tetapi tidak mengambil harta rampasan dan tidak
menawan wanita serta anak-anak mereka. Ketiga, `Aliy (k.w.) telah memadam namanya
sebagai khalifah.

Ibn `Abbas r.`a. menjawab ketiga-tiga isu tersebut dengan hujah-hujah al-Quran dan al-
Sunnah. Pertama, tentang isu tahkim dalam agama Allah, Ibn `Abbas menyebut bahawa
Allah s.w.t. sendiri bertahkim dalam agama sebagaimana firman-Nya dalam surah al-
Nisa ayat 35, Dan jika kamu khawatir terjadi persengketaan antara keduanya, maka
kirimlah seorang juru damai dari keluarga laki-laki, dan seorang juru damai dari
keluarga perempuan. Demikian juga firman-Nya dalam surah al-Maidah ayat 95,
menurut putusan dua orang yang adil di antara kamu. Jika isu seekor arnab yang
harganya cuma satu dirham diputuskan secara tahkim, apa lagi isu besar seperti ini.
Kedua, tentang sikap `Aliy (k.w.) yang hanya membunuh, tetapi tidak menawan (wanita
dan anak-anak), Ibn `Abbas berhujah bagaimana andainya (dalam perang Jamal)
`Aishah r.`a. (isteri Nabi s.`a.w.) menjadi tawanan salah seorang dalam kalangan mereka,
apa yang akan ia lakukan? Bukankah Allah s.w.t. telah berfirman, dan tidak boleh
(pula) kamu menikahi isteri-isterinya selama-lamanya setelah (Nabi wafat) - al-
Ahzab:53. Dalam al-Majmu` Imam Nawawiy (sharah al-Muhadhdhab) ayat yang dibaca
oleh Ibn `Abbas ialah, dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu mereka al-
Ahzab:6. Ketiga, mengenai kesediaan `Aliy k.w. memadam namanya dari khilafah
ketika menulis dokumen tahkim dengan Mu`awiyah, Ibn `Abbas r.`a. berhujah bahawa
Rasulullah s.`a.w. juga telah memadam namanya dari nubuwwah dalam perundingannya
dengan Suhayl ibn `Amr ketika menuliskan teks perjanjian al-Hudaybiyyah. Dengan
penjelasan Ibn `Abbas r.`a. tersebut, sebahagian kaum Khawarij telah kembali kepada
`Aliy, sementara sebahagian lagi (sekitar empat ribu orang) tetap berkeras tidak mahu
kembali. Merekalah yang kemudiannya diperangi oleh Khalifah `Aliy ibn Abi Talib
k.w.

Demikianlah cara yang benar dalam menangani isu golongan bughah, iaitu dengan
mendahulukan pendekatan islah, dialog, debat dan tindakan korektif. Hanya setelah
usaha islah gagal barulah boleh diambil tindakan ketenteraan (perang) dengan mematuhi
aturan-aturan khusus memerangi kaum bughah yang berbeza daripada cara memerangi
kaum musyrikin. Justeru, mereka (al-bughah) adalah kaum mukminin, dan mereka
juga adalah saudara seiman seperti yang disebut oleh Sayyidina `Aliy k.w. tentang kaum
Khawarij, bahawa mereka adalah ikhwanuna baghaw `alayna (saudara-saudara kita yang
memberontak terhadap kita). Dr. Wahbah al-Zuhayliy dalam kitabnya al-`Uqubat al-
Shar`iyyah wa al-Aqdiyat wa al-Shahadat mengatakan bahawa memerangi kaum
bughah harus dengan maksud menginsafkan mereka, bukan membunuh mereka. Kerana
itu mereka yang lari tidak boleh dibunuh, yang luka tidak boleh dihabisi, yang tertawan
6
tidak boleh dibunuh, harta mereka tidak boleh diagih sebagai ghanimah, wanita dan anak-
anak mereka tidak boleh dijadikan tawanan.


Para Demonstran dalam Sistem Demokrasi

Bagaimana pula kedudukan mereka yang berdemonstrasi membantah atau menyokong
sesuatu isu dalam konteks sistem demokrasi? Bughah-kah mereka? Yang pertama harus
dicatat ialah hakikat bahawa kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun dan hak untuk
berbeza (membangkang) adalah bahagian daripada sistem demokrasi moden yang telah
disepakati untuk diamalkan di negara ini. Jika rakyat turun ke lapangan membantah
kenaikan harga barang keperluan, sebenarnya mereka tidak melakukan sebarang
kesalahan, mereka hanya mengamalkan hak demokratik yang sah. Jika yang mereka
tuntut hanya penurunan harga barang, bukan penurunan ketua negara, lalu apa kaitannya
dengan bughah dan segala implikasinya termasuk penghalalan darah? Yang jelas para
demonstran tersebut tidak memenuhi persyaratan bughah. Mereka tidak bermaksud
menjatuhkan pemerintah, mereka tidak memiliki kekuatan (shawkah), mereka tidak
mengingkari tanggungjawab menunaikan zakat, membayar cukai dan mematuhi undang-
undang; mereka juga tidak mempunyai imam atau pemimpin rasmi yang dipatuhi segala
arahannya (mutaun fihim), yang ada hanya badan penganjur yang menyelaras proses
demonstrasi selama beberapa jam; dan pemerintah pun tidak pula perlu menghadapi
mereka dengan kekuatan ketenteraan bersenjata canggih. Selepas beberapa jam -
setelah perasaan disuarakan - mereka bersurai sendiri secara aman, tanpa melakukan
sebarang kerosakan yang bererti. Pada dasarnya mereka tetap menjadi rakyat yang
normal, patuh dan bertanggungjawab. .

Dilihat dari perspektif agama, demonstrasi aman untuk membantah kemungkaran seperti
pemborosan dan pembaziran wang rakyat dapat dianggap sebahagian daripada jihad al-
kalimah (jihad menyatakan kebenaran di hadapan penguasa yang zalim). Dr. Subhiy
`Abduh Sa`id dalam bukunya al-Hakim wa Usul al-Hukm fi al-Nizam al-Islamiy
menyebut jihad al-kalimah dalam pengertian inkar al-lisan (menolak kemungkaran
secara lisan) yang diucapkan di hadapan penguasa yang zalim adalah jenis jihad yang
paling utama. Bantahan dalam pengertian inkar al-lisan menurut Dr.Subhiy harus
dilakukan dengan kata-kata yang dapat didengar, dibaca atau dilihat (bi kalimatin
masmu`atin aw maqruatin aw mariyyah). Menurut beliau lagi inkar al-lisan
(memprotes kemungkaran dengan suara lantang) sedemikian itu hukumnya wajib kifaiy
bagi orang awam, dan wajib `ayniy ke atas golongan al-khasah iaitu para mujtahidin
dalam kalangan ulama dan pemikir Islam. Mereka tidak boleh membisu terhadap
kemungkaran kerana kebisuan mereka akan ditafsirkan oleh masyarakat awam sebagai
persetujuan dan penerimaan (terhadap kemungkaran).

Demonstrasi yang diniati dan disemangati menolak kemungkaran adalah amar makruf-
nahi munkar bi sawtin masmu` (dengan suara yang dapat didengar secara luas). Justeru,
ia adalah suatu yang sah secara syara dan undang-undang (sharan wa qanunan).



TM68
8/2/14

Anda mungkin juga menyukai