Anda di halaman 1dari 5

PEMBINAAN PERSEKITARAN BILIK DARJAH YANG MESRA BUDAYA

Pengurusan persekitaran sosio-emosi


Pernahkah anda fikir tentang suasana sosio-emosi sesebuah bilik darjah? Mengapa
seorang guru perlu memberi perhatian kepada suasana bilik darjah? Dengan
pengalaman anda, pastinya anda dapat merenung bagaimana anda dapat
mewujudkan suasana sosio emosi yang baik untuk murid-murid anda. Aspek sosio-
emosi amat penting untuk mewujudkan suatu keadaan yang harmonis dan
pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesannya. Justeru ini,
topik ini akan membincangkan beberapa aspek dalam sosio-emosi yang perlu
diambil kira oleh guru dalam mengurus bilik darjah.

Konsep Dan Tujuan Pengurusan Sosio-Emosi
Perkataan sosioemosi terdiri daripada dua perkataan iaitu sosial dan emosi,Menurut
Kamus Pelajar Edisi Ketiga sosial ditakrif sebagai segala yang berkaitan dengan
masyarakat, perihal masyarakat dan kemasyarakatan.
Perkembangan sosial pula adalah satu proses apabila kanak-kanak belajar
berhubung dengan orang lain mengikut cara yang dapat diterima oleh masyarakat
dan budayanya. Perkembangan sosial kanak-kanak terdiri daripada kemahiran
berinteraksi dengan orang lain, pembentukan kendiri, penghargaan kendiri dan
kawalan kendiri. Identiti sosial dan kefahaman kendiri kanak-kanak berkembang
dalam dua peringkat, iaitu kewujudan kendiri dan kategori kendiri (Lewis, 1995;
Lewis & Books-Gunn, 1979).
Perkataan emosi berasal daripada perkataan Greek iaitu emovere yang membawa
maksud untuk keluar. Oleh itu, emosi adalah satu perasaan afektif yang dialami
oleh seseorang individu dalam sesuatu keadaan yang memberi makna kepada
dirinya. Emosi juga boleh ditakrifkan sebagai tindak balas atau kebangkitan yang
ditonjol keluar sebagai rangsangan kepada perasaan emosi.
Ahli psikologi dan fisiologi berpendapat bahawa emosi melibatkan perasaan, gerak
hati, tindak balas fisiologi dan pernyataan emosi. Emosi boleh dibahagikan kepada
dua iaitu emosi positif seperti gembira, teruja dan emosi negatif pula adalah seperti
marah, kecewa dan lain-lain.
Oleh itu, sosioemosi dalam kalangan kanak-kanak ditakrifkan sebagai satu proses
berinteraksi dan mengadaptasi diri dalam masyarakat.
Pengurusan sosio-emosi yang mantap di dalam kelas mampu mewujudkan
pengajaran yang menyeronokkan . Bincangkan dengan rakan-rakan anda.

Perkembangan dan Pengurusan Sosio-emosi Di Dalam Bilik Darjah
Perkembangan emosi dan sosial yang sihat sangat penting dalam kehidupan
seseorang. Aspek ini akan mempengaruhi pembelajaran murid dan membolehkan
murid belajar mengawal emosi, pemikiran dan tindakan supaya dapat menyesuaikan
diri dalam bilik darjah.
Perkembangan Sosioemosi bermula dengan kebolehan murid memahami dan
menguruskan emosi sendiri dan membolehkan murid memahami keperluan, emosi
dan pandangan orang lain untuk membina kemahiran sosial di dalam kelas yang
mempunyai latar belakang majmuk yang mesra dan harmoni.
Peranan guru sangat penting dalam pengurusan sosioemosi dengan memberi
penekanan kepada kebolehan dan keyakinan murid untuk berinteraksi dengan rakan
di dalam kelas terutamanya bagi sebuah kelas yang mempunyai murid yang berbeza
budaya dan latar belakang .

Teori-teori Pengurusan Sosio-emosi:
Bandura berpendapat bahawa perkembangan emosi kanak-kanak diperoleh dengan
cara peniruan. Beliau berpendapat kanak-kanak meniru tingkah laku emosi yang
diperhatikannya dan melakukan gerak balas yang tidak pernah dibuatnya dahulu.
Cara kanak-kanak menyatakan emosinya bergantung kepada apa yang telah
dipelajarinya mengenai penerimaan oleh masyarakat, cara yang paling
mendatangkan kepuasan dan yang telah dipelajarinya untuk mendapatkan sesuatu
dengan paling mudah dan cepat.
Teori Erik Erikson pula menekankan kepentingan hubungan sosial dengan individu-
individu di persekitaran kanak-kanak. Menurut Erikson, personaliti seseorang kanak-
kanak dibentuk hasil daripada perkembangan psikososial ini.. Kejayaan atau
kegagalan mencapai matlamat atau menyelesaikan krisis perkembangan akan
membawa akibat kepada imej kendiri seseorang individu.

Strategi Pengajaran Dalam Pengurusan Sosio-emosi Belajar Melalui Bermain:
Tahukah Belajar melalui bermain adalah salah satu strategi pengajaran yang dapat
memberi perhatian kepada sosio-emosi pelajar dalam kelas pelbagai budaya.
Belajar melalui bermain adalah pendekatan yang terancang dan berstruktur bagi
memberi peluang kepada murid belajar dalam suasana yang menggembirakan dan
bermakna. Pendekatan belajar melalui bermain diberi penekanan khusus dalam
proses pengajaran dan pembelajaran kerana bermain adalah fitrah kanak-kanak.
Melalui bermain mereka gembira dan senang hati membuat penerokaan, penemuan
pembinaan melalui pengalaman langsung secara semula jadi. [Huraian Kurikulum
Prasekolah Kebangsaan, 2003]
Belajar Melalui Bermain adalah antara strategi yang boleh digunakan oleh seorang
guru untuk menggalakkan interaksi sosial dan mengawal emosi murid secara
semula jadi. Bermain adalah proses spontan yang dapat menghasilkan pengalaman,
pembelajaran dan kemahiran. Bermain membenarkan kanak-kanak melakukan
aktiviti yang kreatif. Bagi kanak-kanak yang sedang membesar, bermain adalah satu
keperluan. Melalui bermain kanak-kanak dapat belajar pelbagai perkara dan ia
dikenali sebagai pembelajaran tidak formal.
Froebel (1782 1852) pernah mewujudkan program kindergarten 1 di Jerman untuk
kanak-kanak yang berumur 4 hingga 5 tahun berkonsepkan bermain sambil belajar.
Beliau percaya proses pembelajaran yang paling berkesan adalah sesuatu aktiviti
yang menggembirakan. Bermain adalah salah satu aktiviti yang menggembirakan.
Dengan bermain kanak-kanak dapat meningkatkan kemahiran.Manakala Dewey
(1852 1859) pula menggalakkan proses pembelajaran melalui prinsip belajar
melalui bermain di mana aspek keseronokan merupakan hak bagi setiap kanak-
kanak.

Kepentingan Pengurusan Sosio-emosi
Guru perlu mengurus sosio-emosi murid-muridnya secara berkesan kerana
kegagalan guru berbuat demikian akan memberi impak kepada pencapaian murid.
Antara aspek akan berlaku dalam pengurusan sosio-emosi terdiri daripada berikut:
Proses pengajaran dan pembelajaran akan terganggu.
Iklim bilik darjah tidak kondusif akan memberi kesan yang buruk terhadap
prestasi kesuluruhan
Memberi tekanan mental kepada murid dan guru
Murid rasa tergangggu dan tidak selesa
Murid sukar memberi tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran

Rumusan
Topik ini membincangkan mengenai pengurusan sosio-emosi pelajar dan
kepentingannya seseorang guru dapat menguruskan sosio-emosi pelajar
dalam bilik darjah yang terdiri daripada masyarakat majmuk. Antara aspek
aspek penting adalah berikut:
Sosioemosi dalam kalangan kanak-kanak ditakrifkan sebagai satu proses
berinteraksi dan mengadaptasi diri dalam masyarakat.
Peranan guru sangat penting dalam pengurusan sosioemosi dengan memberi
penekanan kepada kebolehan dan keyakinan murid untuk berinteraksi
dengan rakan di dalam kelas pelbagai budaya
Belajar Melalui Bermain adalah antara strategi yang boleh digunakan oleh
seorang guru untuk menggalakkan interaksi sosial dan mengawal emosi
murid secara semula jadi. Ia amat bermakna dalam membantu mengeratkan
hubungan antara murid pelbagai latar belakang
Pengajaran dan pembelajaran akan terganggu dan tekanan mental akan
dihadapi pelajar jika keadaan sosio-emosi tidak diurus dengan baik oleh guru.


Di bawah adalah senarai teks bacaan dan buku rujukan yang digunakan.

Teks Bacaan Asas
Woolfolk,A. (2004). Educational Psychology. Boston: Allyn & Bacon
Rujukan
Jones, B. F. (1995). Comprehensive classroom management: Creating Positive
Learning Environments for all Students. Mass: Allyn & Bacon.
http://jmnasira.blogspot.com/2009_11_01_archive.html

Anda mungkin juga menyukai