Anda di halaman 1dari 3

STRENGTH (Kekuatan Teori Behaviorisme)

Kelebihan yang pertama yang kami perolehi melalui teori ini adalah teori ini sangat sesuai untuk
melatih atau mendidik kanak-kanak yang masih memerlukan bantuan daripada orang dewasa di
sekeliling mereka. Sebagai contoh kanak-kanak tadika memerlukan bimbingan dan perhatian yang
khusus daripada orang di persekitarannya terutamanya guru-guru mereka kerana mereka mudah
mengikuti apa yang diajar dan disuruh selain suka meniru perlakuan orang di sekelilingnya. Selain
itu, mereka juga suka dengan bentuk-bentuk penghargaan yang diberi kepadanya seperti pujian dan
melalui bentuk penghargaan tersebut ianya dapat membangkitkan semangat ingin belajar dalam diri
mereka.


Kelebihan yang kedua adalah guru tidak perlu mengambil masa yang lama untuk memberi
penerangan yang panjang tentang pembelajaran kepada murid-murid. Hal ini kerana murid-murid
akan dibiasakan belajar dengan sendiri kecuali sekiranya murid menghadapi sesuatu masalah dan
memerlukan penjelasan yang lebih daripada guru. Dalam hal ini guru perlu memberikan penerangan
dengan jelas.


Selain daripada itu, teori ini juga menekankan kemahiran lisan berbanding
kemahiran membaca dan menulis. Melalui aspek kemahiran lisan yang ditekankan dapat
memberikan kelebihan kepada murid kerana aspek lisan iaitu mendengar dan bertutur penting
dalam situasi harian murid. Boleh dikatakan bahawa kemahiran ini adalah kemahiran terkerap yang
digunakan manusia untuk berkomunikasi antara satu sama lain.


WEAKNESS (Kelemahan Teori Behaviorisme)

Dari segi kelemahan pula, penerapan teori behavioris yang kurang tepat dalam sesuatu situasi
pembelajaran boleh mangakibatkan berlakunya proses pembelajaran yang tidak kondusif bagi
murid-murid kerana pembelajaran berlaku dalam keadaan sehala dimana ianya berpusatkan kepada
guru sahaja. Guru hanya mengajar dan melatih murid manakala murid hanya menerima apa yang
diajar oleh guru mereka tanpa memberi sebarang maklum balas. Malah dalam teori pembelajaran ini
murid berperanan sebagai pendengar dan mereka menghafal apa yang didengar dan dipandang
sebagai cara belajar yang efektif. Penggunaan hukuman merupakan salah satu cara untuk guru
mendisiplinkan murid dan hal ini akan mendatangkan akibat buruk kepada murid.


Kelemahan yang kedua ialah proses pembelajaran dikatakan kurang memberikan gerak balas yang
bebas bagi pelajar untuk berinteraksi serta untuk mengembangkan idea. Hal ini kerana sistem
pembelajaran tersebut lebih tertumpu kepada rangsangan dan gerak balas yang ditunjukkan.
Sekiranya tiada rangsangan maka tindak balas tidak akan berlaku. Sebagai contoh, guru akan
memberi rangsangan yang berupa hadiah dan dari situ barulah murid akan memberikan jawapan
yang dikehendaki oleh guru. Sekiranya perkara ini berlaku secara berterusan dikhuatiri murid akan
terlalu bergantung terhadap rangsangan dari luar sedangkan murid harus memiliki rangsangan dari
dalam diri mereka sendiri sebagai satu cara pembelajaran.

Kelemahan yang ketiga menurut teori ini adalah penambahan ilmu pengetahuan lebih tertumpu
kepada buku teks. Hal ini kerana mereka belajar mengikut urutan kurikulum yang sangat ketat
sehinggakan buku teks merupakan buku wajib dalam pembelajaran mereka malah mereka juga perlu
dikehendaki memahami dan mempersembahkan kembali isi pembelajaran di dalam buku teks
tersebut dengan baik. Hal ini boleh mendatangkan kesan buruk kepada pelajar kerana ilmu
pengetahuan yang mereka peroleh tidak begitu berkembangan dengan hanya tertumpu kepada satu
buah buku sahaja.



OPPORTUNITY( Peluang Teori Behaviorisme )

Berdasarkan teori ini, guru adalah model bagi murid dalam berbahasa. Guru perlulah menggunakan
bahasa yang betul daripada segenap aspek seperti aspek sebutan, nada, jeda dan intonasi semasa
proses pengajaran dan pembelajaran bagi memudahkan murid mempelajari bahasa dengan betul
dan berkesan. Sekiranya guru dapat mengambil peluang ini iaitu peluang menggunakan bahasa
dengan baik semasa pengajaran dan pembelajaran,murid secara sendirinya akan terbiasa dengan
cara berbahasa yang betul.

Selain itu, guru perlulah mengamalkan pengajaran yang seimbang iaitu dengan mengurangkan
aktiviti pengajaran dan pembelajaran berpusatkan guru tetapi sebaliknya lebih banyak
mempraktikkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan murid dan aktiviti. Melalui
teknik ini, murid akan dapat mengembangkan idea dan pendapat mereka. Murid juga akan
mempunyai tahap keyakinan yang lebih tinggi.

Teori ini juga sangat mementingkan latih tubi yang intensif. Melalui latih tubi yang kerap dan intensif
yang dijalankan oleh murid terhadap murid, kebiasaan dan kecekapan murid dalam berbahasa dapat
dipertingkatkan.

Selain itu juga, berdasarkan teori ini murid akan berasa termotivasi melalui ransangan yang
diberikan guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Apabila murid melakukan perkara yang
betul dan baik, guru digalakkan untuk memberikan ganjaran dan pujian atas pencapaian atau
tingkahlaku murid. Perkara-perkara ini secara tidak langsung dapat menaikkan semangat dan
motivasi murid untuk terus belajar.

THREAT(Ancaman Teori Behaviorisme)

Di dalam teori ini terdapat beberapa ancaman yang dapat dikenalpasti. Antaranya ialah
pembelajaran individu dipengaruhi oleh sejauh mana baiknya sistem saraf seseorang. Sekiranya
seseorang individu baik sistem sarafnya maka mudah untuk mereka menguasai gerak balas tertentu
melalui rangsangan terlazim dan rangsangan tidak terlazim. Namun sekiranya seseorang itu
mempunyai masalah dalam sistem sarafnya maka individu tersebut akan memperoleh kesukaran di
dalam pembelajarannya.
Ancaman yang seterusnya adalah merujuk kepada pembelajaran yang berpusatkan guru boleh
mendatangkan kesan negatif kepada murid. Hal ini kerana murid akan berasa diri mereka tidak
begitu penting sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan kerana mereka tidak dapat
berkongsi idea dan pendapat bersama rakan-rakan dan juga guru. Sebagai contoh guru hanya akan
mengajar dan murid hanya perlu menerima apa yang diajar oleh guru sebagai tindak balas hasil
daripada rangsangan yang guru tunjukkan. Dan hasilnya murid tidak dapat mengembangkan idea
dari dalam fikiran mereka sendiri dan hanya bergantung kepada guru semata-mata.


Selain itu, ancaman bagi teori ini ialah ganjaran. Teori ini terlalu menekankan aspek ganjaran yang
perlu diberikan guru kepada murid sekiranya murid dapat melakukan sesuatu perkara dengan baik.
Hal ini dapat menjadikan murid melakukan sesuatu bukan atas dasar ingin memperbaiki pencapaian
dan menambah pengetahuan, sebaliknya disebabkan oleh ganjaran semata-mata.

Anda mungkin juga menyukai