Anda di halaman 1dari 17

SAMPAH SARAP: ISU PENGURUSAN SISTEM SISA PEPEJAL OLEH PBT

1.0 PENGENALAN
Hidup dengan sampah memang tidak mengenakkan. Namun, dalam kehidupan
seharian kita sering diwarnai dengan beraneka jenis sampah. Manusia membuang
sampah tidak kira tempat, asalkan ada saja kesempatan. Natijahnya sampah di mana-
mana saja ada sampah, di rumah, pejabat, kedai, pasaraya, tepi parit, tepi pantai, tepi
dan dalam sungai, bahkan kini manusia sudah mula pandai membuat dan membuang
sampah di angkasa. Dalam hal ini adakah kita boleh menyalahkan sampah itu sendiri
kerana mengotorkan pemandangan yang indah atau menyalahkan si pembuang
sampah yang tidak bertanggungjawab.
Pertambahan penduduk, proses pembandaran dan perindustrian yang pesat
menyebabkan bertambahnya sisa pepejal yang dijana oleh masyarakat. Pengurusan
sisa pepejal merupakan antara masalah utama yang dihadapi oleh masyarakat
terutama di bandar. Kos pengurusan sisa pepejal dari peringkat pengutipan,
pengumpulan, pengangkutan sampah hingga ke tahap pelupusan, sangat tinggi.
Kuantiti sisa pepejal khususnya sampah domestik perlu dikurangkan bagi
mengurangkan perbelanjaan kerajaan. Aspek kos merupakan penggerak sistem
pengurusan sisa pepejal yang baik. Namun, oleh kerana caj yang dikenakan kepada
masyarakat tidak setanding dengan kos pengurusan sisa, pihak berkuasa tempatan
sukar untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat kerana
keterbatasan modal, guna tenaga, operasi, kenderaan serta kekurangan peralatan.

Peningkatan jumlah sisa pepejal ini akan menjadi semakin rumit dan meruncing
pada masa akan datang berikutan berlakunya kesesakan lalu lintas, penjanaan sampah
yang semakin meningkat dan juga pertambahan populasi penduduk yang semakin
meningkat. Bagi mengatasi pelbagai impak negatif daripada pertambahan sisa pepejal
ini pada masa akan datang, langkah yang lebih produktif dan efisien perlulah dijalankan
melalui pengurusan sisa pepejal.

Sehingga tahun 1998, pengurusan sisa pepejal di Malaysia telah diuruskan oleh
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing. Di Shah Alam, pengurusan sisa
pepejal diuruskan melalui Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Kepesatan
pembangunan negara yang berterusan turut meningkatkan kuantiti sisa pepejal yang
dijana setiap tahun, menyebabkan kos pengurusan sisa pepejal turut meningkat.
Keadaan ini amat membebankan sebahagian besar PBT dengan meningkatnya kos
kutipan dan pembinaan fasiliti untuk merawat dan melupus sisa pepejal. Pada masa
yang sama, masyarakat semakin peka ke atas isu-isu alam sekitar menyebabkan
masalah sisa pepejal mendapat perhatian umum.

Apa yang ingin saya kupaskan di sini adalah bagaimana dengan bantuan pihak
berkuasa tempatan (PBT) masalah pengurusan sampah atau lebih dikenali kini dengan
sistem pengurusan sisa pepejal dapat diuruskan dengan efisyen. Mengambil kira isu
daripada akhbar akhbar tempatan dan media massa masalah ini ditumpukan di
kawasan pentadbiran PBT saya iaitu di Shah Alam.

2.0 PENGURUSAN SISA PEPEJAL

Pada bulan Oktober 1994, Kerajaan menyarankan kepada syarikat swasta untuk
membuat tawaran bagi penswastaan pengurusan sisa pepejal bagi meningkatkan kualiti
pengurusan sisa pepejal. Pada 6hb September 1995, Kabinet telah bersetuju untuk
menswastakan pengurusan sisa pepejal di Semenanjung Malaysia. Pada Disember
1995, Kerajaan Persekutuan telah menawarkan kontrak secara interim kepada 4 buah
syarikat. Penswastaan interim pengurusan sisa pepejal dibuat mengikut kawasan
geografi iaitu Kawasan Tengah dan Timur, Kawasan Utara, Kawasan Selatan, Sabah,
Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Penswastaan secara interim telah
dilaksanakan mulai pada 8 April 1998 sebelum penswastaan sepenuhnya
dikuatkuasakan.

Pada tahun 2007, Kerajaan Persekutuan telah mewartakan Akta Pengurusan
Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672). Di bawah Akta ini Kerajaan
Persekutuan telah diberi kuasa eksekutif berhubung dengan pengurusan sisa pepejal
dan pembersihan awam di Semenanjung Malaysia. Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal
Negara (JPSPN) telah diwujudkan sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk
membuat dasar, peraturan-peraturan, garis panduan, merangka pelan perancangan
strategik, mengeluarkan lesen, dan seumpamanya. Pada tahun 2007 juga, Perbadanan
Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (PPSPPA). PPSPPA ditubuhkan
sebagai agensi untuk menguatkuasakan Akta 672 serta peraturan-peraturan di
bawahnya, melaksanakan pelan perancangan strategik, mengawalselia perjanjian
konsesi serta operasi fasiliti-fasiliti pengurusan sisa pepejal di seluruh negara.

Stesen pemindahan merupakan sebahagian daripada aspek pengurusan sisa
pepejal di bandar. Stesen ini pada dasarnya berfungsi sebagai pusat transit sisa pepejal
sebelum dibawa ke pusat pengumpulan sampah. Stesen Pemindahan Sisa Pepejal
Shah Alam (SATS) merupakan stesen transit yang pertama seperti itu dibina di
kawasan perindustrian di Seksyen 2, di bandar Shah Alam. SATS direka untuk
menerima sekitar 1,500 tan sisa pepejal setiap hari. Stesen tersebut dijangka mampu
untuk mempertingkatkan kapasiti penerimaan sisa pepejal sekitar 2,500 tan sehari.
Kompenan persekitaran seperti kualiti udara, bau, bunyi, getaran, kualiti air sungai,
ekologi sungai, sosio-ekonomi dan isu lalulintas dan pengangkutan di sekitar kawasan
projek menjadi fokus utama.

Hanya tujuh daripada 289 tapak pelupusan sampah di negara ini merupakan
tapak pelupusan sanitari yang mesra alam.Maknanya, kurang 2.5 peratus daripada
keseluruhan tapak pelupusan sisa itu diuruskan dengan baik dengan selebihnya
beroperasi secara pembuangan terbuka atau open-dumping.


3.0 PERMASALAHAN

Apabila pembuangan sisa pepejal semakin bertambah, tapak pelupusan sisa
pepejal terpaksa dibuka jauh dari kawasan pusat kutipan kerana ia tidak lagi sesuai
diadakan berdekatan dengan kawasan penempatan atau pusat komersial. Pemindahan
dan pengangkutan menjadi satu keperluan bila jarak angkut dari kawasan kutipan ke
tapak pelupusan bertambah jauh kerana pengangkutan kutipan sisa pepejal terus ke
tapak pelupusan tidak lagi ekonomikal. Untuk mengatasi masalah pengangkutan
pembuangan sisa pepejal ini, altenatif yang biasa digunakan ialah dengan mengadakan
satu kawasan pembuangan sementara tidak jauh dari kawasan kutipan. Alternatif yang
dimaksudkan adalah stesen pemindahan sisa pepejal. Keperluan kepada stesen
pemindahan ini adalah kerana :
untuk mengelakkan kejadian pembuangan sampah haram apabila tempat
pembuangan terlalu jauh;
menyediakan lokasi atau tempat pembuangan yang lebih dekat;
penggunaan kenderaan kutipan yang mempunyai kapasiti muatan yang
kecil;
untuk meningkatkan produktiviti pekerja serta dapat mengurangkan masa
untuk bergerak ke tapak pelupusan dan mempunyai banyak masa dalam
melakukan kerj a-kerj a kutipan; dan
dapat mengurangkan kos penyelenggaraan kenderaan kutipan seperti
penjimatan minyak, kerosakan kenderaan dan sebagainya.

Dengan adanya stesen pemindahan ini, kumpulan sampah dibawa oleh lori-lori
kontena (trailer) yang mempunyai kapasiti yang lebih besar ke tapak pelupusan akhir .

Bagi kawasan Shah Alam dan Subang Jaya, sisa pepejal yang dikutip akan
dihantar ke tapak pelupusan Air Itam, Puchong. Ia merupakan tempat pembuangan
utama yang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Oleh kerana kawasan di
sekitar tapak pelupusan Air Itam kini sedang pesat membangun, Kerajaan Negeri
Selangor telah mengarahkan supaya tapak pelupusan tersebut ditutup dan sepatutnya
dibenarkan beroperasi sehingga akhir tahun 2005 sahaja.
Apabila Air Itam ditutup maka tempat pelupusan akhir sudah tentu lebih jauh
kerana kawasan yang sedia ada di Lembah Kelang sudah tidak sesuai untuk dijadikan
tapak pelupusan. Untuk mengatasi masalah pengangkutan pembuangan sisa pepejal
ini, stesen pemindahan sisa pepejal di satu lokasi yang sesuai diperlukan bagi
menjadikan ia sebagai tempat persinggahan sementara sebelum sisa pepejal ini dibawa
ke tapak pelupusan. Banyak tempat tempat sementara di bina seperti di Batang
Berjuntai dan Bukit beruntung.

Lambakan sampah yang banyak terutama di kawasan Kuala Lumpur dan
Selangor yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi di Malaysia, dengan
anggaran pertumbuhan populasi 2.4 peratus atau 600,000 orang setiap tahun (sejak
1994), lebih banyak sampah akan dihasilkan, seterusnya mengurangkan jangka hayat
tapak pelupusan sampah. Keadaan ini diburukkan dengan statistik terkini menunjukkan
113 daripada 289 tapak pelupusan sampah di negara ini tidak lagi beroperasi.
Kebanyakannya menunggu masa ditutup.Malah ada juga disambung hayatnya untuk
menampung sampah yang ada, misalnya di kawasan pelupusan sampah Sungai Sedu,
Banting, yang menerima sampah domestik dari Sepang dan Putrajaya yang sepatutnya
ditutup Jun lepas.

Lebih menyedihkan sebilangan besar daripada 113 tapak pelupusan yang
ditutup itu bukan tapak pelupusan sanitari. Namun apa yang lebih menarik, kebanyakan
tapak pelupusan sampah itu diuruskan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pihak
swasta, yang dilantik PBT. Mengikut statistik PPSPPA sebanyak 114 tapak pelupusan
diuruskan PBT meliputi 58 tapak pelupusan di Semenanjung Malaysia dan Wilayah
Persekutuan Labuan, Sarawak (41) dan Sabah (15).

Bagi beberapa pakar persoalan ini ialah masalah kompleks melibatkan beberapa
faktor berkait daripada kekurangan dana dan kepakaran, tahap kesedaran rakyat yang
masih rendah dan kerangka undang-undang yang belum jelas. Akta Pengurusan Sisa
Pepejal dan Pembersihan Awan 2007 diluluskan pada 30 Ogos 2007, namun atas
sebab-sebab tertentu, ia belum dikuatkuasakan.

Sumber industri melihat penangguhan itu berkaitan dengan proses penswastaan
pengurusan sisa pepejal negara yang belum muktamad, sekalipun hakikatnya
pengurusan sisa pepejal kini diurus syarikat Alam Flora, SWM Environment dan Idaman
Bersih Sdn Bhd, mengikut zon masing-masing sejak 1996.Ketika ini, majikan bagi
ketiga-tiga syarikat ini ialah PBT terbabit.

Berbalik kepada masalah pengurusan tapak pelupusan, kerajaan melaksanakan
Pelan Tindakan 1988 iaitu meningkatkan tahap tapak pelupusan sampah secara
berperingkat ekoran sumber dana dan kepakaran yang terhad. Empat tahap pembaikan
itu ialah pembuangan terkawal (tahap satu), kambusan sanitari dengan lapisan penutup
harian (tahap dua), kambusan sanitari dengan sistem peredaran leachate (tahap ketiga)
dan kambusan sanitari dengan rawatan leachate (tahap keempat).
Namun pelan tindakan itu dikatakan kurang berhasil dan ini dibuktikan dengan
hanya tujuh tapak pelupusan sampah di negara ini diuruskan secara sanitari dan
kebanyakannya dipelopori pihak swasta.Tujuh tapak pelupusan sanitari itu ialah tiga di
Selangor dan masing-masing satu di Kedah, Pahang, Melaka dan Johor.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan mentaliti masyarakat yang memandang
mudah kepada kempen kitar semula yang dua kali dilancarkan pada 1993 dan 2000
dibuktikan dengan peratusan kitar semula yang masih rendah sekitar lima peratus.
Angka ini amat jauh daripada sasaran kitar semula sebanyak 22 peratus menjelang
2020 ditetapkan kerajaan apatah jika dibandingkan dengan negara maju seperti Jepun
dengan peratusan kitar semula melebihi 50 peratus.

Di Shah Alam Permasalahan mengenai sisa pepejal ini sering dibangkitkan
kerana faktor politik. Kerajaan Tempatan di Shah Alam di bawah Kerajaan Negeri
Selangor yang berpaut di dalam pemerintahan Parti Pembangkang. Faktor ini sedikit
sebanyak menggangu operasi perjalanan PBT iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam
melaksanakan tanggungjawab sebagai PBT yang bertanggungjawab.

Jika dilihat semasa pentadbiran Kerajaan persekutuan banayak tapak pelupusan
yang wujud sebelumnya dan tapak pelupusan ini sedang ditambah baik ataupun ditutup
berperingkat.

4.0 PENYELESAIAN

Persoalannya sampai bila kita akan secara terus bergantung terhadap tapak
pelupusan sisa pepejal untuk melupuskan sampah-sarap. Menyedari kepentingan itu,
Alam Meridian (Malaysia) Sdn. Bhd. menjadi wakil Hitachi Zosen Corporation yang
berpangkalan di Jepun membawa teknologi insinerator dalam memberi alternatif
kepada masalah tapak pelupusan sisa pepejal.

Teknologi insinerator merupakan satu keperluan untuk mengatasi masalah
sampah-sarap terutamanya melibatkan tapak pelupusan sisa pepejal.Buat masa ini,
negara tidak mempunyai teknologi insinerator.Sudah terdapat beberapa negara yang
menggunakan teknologi dari Jepun ini untuk mengatasi masalah tapak pelupusan sisa
pepejal mereka.

Melalui kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam dan syarikat Alam Meridian
(Malaysia) Sdn. Bhd membawa masuk teknologi ini untuk diguna pakai di sini. Melalui
kerjasama yang terjalin, teknologi luar dapat dibawa masuk ke negara ini sekali gus
membuka peluang kepada penduduk tempatan mempelajari teknologi baharu itu. Ia
sekali gus dapat meningkatkan kepakaran dalam mengatasi sisa pepejal. Bukan sahaja
dapat mengetahui mengenai teknologi terbaharu tetapi, mempelajari keberkesanan
teknologi incinerator.kelebihan teknologi insinerator termasuk dapat mengurangkan
impak kepada alam sekitar.

Melalui insinerator, terdapat beberapa proses perawatan sisa pepejal yang lebih
berkesan perlu dilalui terlebih dahulu agar ia tidak menggugat alam sekitar. Antara
proses itu termasuklah sistem penerimaan sisa pepejal, sistem dandang dan
insinerator, sistem penggunaan haba sisa pepejal, sistem rawatan gas serombong dan
sistem rawatan abu.Selain daripada itu, pembikinan insinerator turut dapat membantu
memanjangkan lagi jangka hayat tapak pelupusan sisa pepejal.Ianya sekali gus dapat
menjadi alternatif kepada masalah tapak pelupusan sisa pepejal.

Proses incinerator ini juga dapat membekalkan tenaga kepada pengguna
bermakna tenaga yang terbiar tidak akan disia-siakan begitu sahaja.Penggunaan
teknologi ini bermakna sampah-sarap yang telah menjadi abu akan dikitar untuk
dijadikan produk agar dapat digunakan semula.Selain daripada itu, ia juga dapat
membekalkan tenaga elektrik kepada pengguna yang memerlukannya.

Secara tidak langsung insinerator membantu mengurangkan pemanasan global
dan pencemaran alam sekitar kerana menguna pakai semula bahan buangan. Banyak
negara-negara sudah menggunakan teknologi insinerator dalam pengurusan sisa
pepejal mereka. Antara negara-negara yang menggunakan teknologi Hitachi Zosen
Corporation termasuk Jepun, Taiwan, China, Amerika Syarikat dan Korea Selatan.

Di tapak pelupusan Jinjang berhampiran lebuhraya MRR2 sistem pelupusan
moden sudah mula diwujudkan. Bermula dengan tapak sampah berbukit, kini ianya
telah dibangunkan dengan tapak berteknologi moden, disamping kawasan perumahan
berhampiran dan taman rekreasi.

Penyelesaian seterusnya adalah dengan program kitar semula. Shah Alam
adalah ibu Negeri Selangor dan ditadbir oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
dengan keluasan pentadbiran 290.3 km persegi, menjadikan satu cabaran bagi MBSA
untuk memastikan pembangunan secara mampan dicapai. Semua perancangan
pembangunan ini dibuat berdasarkan methodologi 'local agenda 21' iaitu pendekatan
bersama diantara PBT, masyarakat dan sektor swasta untuk merancang dan
menguruskan kawasan persekitaran dengan mampan dan berkualiti. dalam usaha
MBSA memastikan pembangunan mampan dan kesihatan persekitaran, MBSA
terpaksa berdepan dengan masalah semasa yang sukar dibendung iaitu masalah
pembuangan sisa sampah lengai secara haram (kebun,peti sejuk,perabot lama,dan lain
- lain)

Bagi mengatasi masalah ini, program kempen kesedaran kepada masyarakat,
kemudahan tempat pembuangan sisa lengai dan penguatkuasaan dilaksanakan oleh
MBSA. Dengan sokongan pihak KPKT dan DANIDA (Pertubuhan kerjasama antara
Malaysia dan Kerajaan Denmark berkaitan Sisa Buangan), MBSA merancang untuk
menyediakan satu pusat kemudahan kepada penduduk membuang sisa lengai.
dikebanyakan negara maju pusat ini dikenali sebagai civic amenity site'(cas).Bagi
memudahkan penyebutan dan praktikal di Shah Alam, MBSA telah menamakan pusat
ini sebagai Pusat Khidmat Komuniti Kitar Semula' (PKKKS) . Pusat ini terletak di
Seksyen 17, Shah Alam.

Tong kitar semula merupakan salah satu bahan dalam proses kitar semula iaitu
bagi proses pengasingan. Proses pengasingan sisa pepejal atau sampah merupakan
proses penting. Oleh itu, penyediaan set tong kitar semula adalah penting tidak kira
tong tersebut merupakan yang mahal atau dibuat sendiri. Kebanyakan tong kitar
semula yang terdapat di Malaysia merupakan tong yang telah disediakan oleh kerajaan
dan pihak berkuasa tempatan. Terdapat juga tong yang telah disediakan oleh agensi
bukan kerajaan (NGO) yang peka terhadap pentingnya amalan kitar semula. Pada
kebiasaannya tong kitar semula akan diwarnakan dengan tiga warna yang berbeza
mengikut fungsinya yang berbeza iaitu warna biru, coklat dan jingga. Penyediaan tong
tong ini di kawasan perumahan dan rekreasi oleh MBSA sejak kebelakangan ini
membantu kempen kitar semula.

MBSA juga memantapkan pengendalian sanitari dengan penggunaan lori
sampah moden dan tong sampah yang seragam untuk kutipan. Kekerapan kutipan
daripada dua kali kepada tujuh kali seminggu bergantung kepada jenis premis. Bagi
kawasan perumahan kutipan dilakukan tiga kali seminggu berbanding dua sebelum ini.
Dengan penswastaan syarikat konsesi kutipan pepejal membantu kelancaran kutipan
ini.

Akhir sekali penyediaan lesen bagi tujuan kutipan sisa pepejal juga memberi
kepercayaan kepada orang awam,peniaga serta pekilang. Ia juga memudahkan
pengawasan MBSA. Lesen ini juga memastikan bahawa syarikat yang benar benar
layak danmempunyai kemahiran melakukan aktiviti kutipan harian. Pengawalan lesen
ini bukan menutup persaingan tetapi membantu MBSA mengawal bilangan syarikat
yang terbabit dengan lebih mudah.

5.0 PENUTUP

Mungkin sudah tiba masanya kerajaan memikirkan langkah yang lebih efektif,
selain mengadakan kempen dan iklan seperti membangunkan infrastruktur strategik
dengan pihak swasta, menjalankan kajian holistik dan menguatkuasakan akta yang
ada. Masalah berbangkit seperti jadual kutipan sampah tidak menentu perlu diatasi
secara telus dan tuntas. Ini kerana dengan jumlah sampah yang semakin meningkat
dan dijangka mencecah 30,000 tan sehari dalam tempoh kurang 11 tahun lagi,
masyarakat tidak mempunyai pilihan selain daripada kitar semula. Apa yang pasti,
perubahan untuk mengitar semula boleh bermula dengan komitmen individu di rumah
masing-masing, dengan mengurangkan sampah yang terpaksa dilupuskan. Segala
usaha yang dilakukan oleh MBSA dalam pengurusan sistem pepejal di Shah Alam
secara khusus serta di Selangor secara amnya dengan sisa pepejal yang dihasilkan
oleh penduduk negeri ini adalah sebanyak 4,000 tan sehari masih diperingkat
pertengahan dan belum mencapai tahap yang cemerlang.
Kesimpulan mudah yang boleh kita buat terhadap masyarakat di negara ini ialah
kita hanya baru sampai kepada tahap teknologi buang dan belum berupaya
sepenuhnya untuk sampai ke tahap teknologi mengupayakan sampah sebagai bahan
kitar semula dan menjadi sebahagian daripada komoditi kehidupan kita. Konflik yang
berpanjangan antara ya' ataupun tidak' yang berlaku antara segelintir penduduk
negara ini dengan pihak kerajaan terhadap teknologi untuk melupuskan sampah adalah
antara beberapa episod yang menggambarkan tahap pencapaian teknologi buang yang
dimaksudkan.

Walaubagaimanapun usaha ke arah yang lebih baik giat dijalankan melalui
kerjasama MBSA dengan penduduk, NGO, syarikat swasta dan juga Kerajaan bagi
menangani masalah pengurusan sistem sisa pepejal ini. Usaha Pihak Berkuasa
Tempatan juga mestilah mendapat kerjasama semua pihak agar bebanan ini tidak
tertanggung oleh satu pihak sahaja.








RUJUKAN
Department of Environment Malaysia (DoE), 2006. Malaysia Environmental Quality
Report, (2005). Putrajaya.
Malaysia, 2001. Eight Malaysia Plan 2001 2005. Economic Planning Unit, Prime
Ministers Department, Putrajaya, Malaysia.
Malaysia, 2006. Ninth Malaysia Plan 2006 2010. Economic Planning Unit, Prime
Ministers Department, Putrajaya, Malaysia.
Nadzri Yahya, (2008) . Overview of Solid Waste Management in Malaysia. Workshop
on Carbon Finance and Municipal Solid Waste Management in Malaysia, 29
January2008. Department of National Solid Waste Management, Ministry of
Housing and Local Government Malaysia.
Tawee, S. & Jamaluddin M. J. (2001). Non-engineering aspect in resource recovery in
municipal solid waste managemet.ln proceedings national seminar on
environmental management: current development & future planning. Akam Print,
Kuala Lumpur, pp.276-286
Tawee, S & Jamaluddin M. J. (2004). Pengurusan Sampah Sarap pepejal di Malaysia:
Masalah dan Penyelesaian. Seminar Kebangsaan Geografi dan Alam Sekitar
dalam Pendidikan dan Pembangunan Negara. Julai 2-3 2004. Tanjung Malim:
Universiti Pendidikan Sultan Idris.Lumpur.
Nadzarul Amir Zainal Azam (2013). Penyelesaian krisis sisa pepejal. Kosmo Online. Di
akses pada 9 September 2013 di http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp
?y= 2011&dt=1026&pub =Kosmo&sec= Infiniti&pg=in_01.htm#ixzz2eUzFkuED

Anda mungkin juga menyukai