Anda di halaman 1dari 7

KURSUS : PSV 3104 PENGAJIAN DAN PENGURUSAN KURIKULUM

PENDIDIKAN SENI VISUAL KBSR





TAJUK : SEJARAH PERKEMBANGAN KURIKULUM KBSR PENDIDIKAN
SENI VISUAL SEBELUM DAN SELEPAS MERDEKA


Pendidikan Sebelum Merdeka
Pendidikan Seni Visual (PSV) bermaksud proses penghasilan karya seni
dengan melibatkan aspek pemahaman,penghayatan dan kritikan mengenai perasaan
estetik dan daya kreativiti melalui imaginasi dan konsepsi murid. Dahulunya PSV dikenali
sebagai subjek Lukisan dan Pertukangan Tangan. Setelah beberapa perubahan
berlaku mengikut peredaran dan keperluan semasa, maka mata pelajaran Lukisan dan
Pertukangan Tangan telah ditukar menjadi mata pelajaran Pendidikan Seni. Setelah
beberapa tahun mata pelajaran Pendidikan Seni diperkenalkan ia telah diubah pula
menjadi Pendidikan Seni Visual atas kesedaran masyarakat terhadap kepentingan
Pendidikan Seni Visual dalam kehidupan.
Sebelum kedatangan kuasa penjajah pendidikan di Tanah Melayu berbentuk
bukan formal dan tidak memberatkan perkembangan kongnitif pelajar-pelajar. Corak
pendidikan yang ada pada ketika itu berjalan seperti biasa dengan pengajaran al-quran,
tingkah laku, dan akhlak yang baik, pengetahuan kerohanian dan seni
mempertahankan diri. Ini termasuklah pelajaran awal dalam bidang kraftangan serta
perintis dalam bidang pertanian, perikanan dan perburuan.
Pendidikan Melayu yang awal menekankan pengajaran Quran dan pengetahuan
asas membaca, menulis dan mengira(3M). Pendidikan Melayu diadakan hanya
diperingkat rendah sahaja. Anak-anak Melayu yang bercita-cita tinggi dan ingin
melanjutkan pelajaran terpaksa memasuki sekolah menengah Inggeris di bandar.
Tujuan utama sekolah-sekolah Melayu diasaskan pada abad ke 19 dan awal abad ke
20 ialah untuk membolehkan anak-anak Melayu terus kekal di desa, mewarisi
kemiskinan keluarga. Oleh itu pendidikan yang berbentuk sekular dalam bahasa melayu
dihadkan kepada empat tahun sahaja dengan skop dan kokurikulum yang terhad.
Pendidikan Melayu tidak dapat mengubah cara hidup orang Melayu atau
menyumbangkan kepada mobiliti menegak di kalangan masyarakat Melayu.
Kitab Pedoman Guru Penggal Kedua (1929) telah digunakan oleh guru-guru
Melayu untuk mengajar pelbagai mata pelajaran termasuk Lukisan dan Pertukangan
Tangan di sekolah-sekolah Melayu di seluruh tanah air pada masa itu. Kitab Pedoman
Guru Penggal I (1928) dan Kitab Pedoman Guru Penggal II (1929) yang disusun oleh
O.T. Dussek dan Muhammad Hashim bin Haji Taib adalah buku pertama yang ditulis di
Malaya mengenai kaedah mengajar mata pelajaran Lukisan dan Pertukangan Tangan.
Buku ini sangat penting digunakan oleh guru-guru yang mengajar mata pelajaran ini di
sekolah-sekolah Melayu di Malaya ketika itu.
Kepentingan buku ini boleh dilihat dari segi kaedah mengajar Pendidikan Seni
yang dirancang dari unsur-unsur yang senang sehinggalah kepada yang lebih susah.
Misalnya kaedah asas menggunakan alat dan bahan seperti pensel, pemadam, dan
pembaris diperkenalkan. Kemudian diikuti dengan latihan asas membuat garisan.
Diikuti pula dengan latihan melakar bentuk-bentuk asas seperti bulat, empat segi dan
segi tiga, sehinggalah kepada yang lebih sukar seperti melakar objek bunga dan
binatang berasaskan kepada bentuk-bentuk geometrik yang telah dipelajari.
Bahantara pensel dan dakwat telah digunakan di sekolah-sekolah Melayu dalam
pelajaran Lukisan dan Pertukangan Tangan sejak tahun 1900-an. Meluasnya
penggunaan pensel dan pena dakwat dalam kalangan pelajar Melayu dan orang
Melayu yang berminat dalam bidang artistik menyebabkan bertambahnya keinginan
untuk menghasilkan karya-karya yang bersifat lakaran dan sekali gus memperlihatkan
kepentingan konsep visual dalam pengilustrasian buku.
Pada awal abad ke 20, bagi menampung permintaan yang bertambah terhadap
Pendidikan menengah, Maktab Melayu Kuala Kangsar diasaskan mengikut model
English Grammar School pada tahun 1905. Akan tetapi, sekolah ini adalah khas untuk
golongan bangsawan sahaja. Latihan guru-guru Melayu dimulakan pada tahun 1984 di
Teluk Belanga, Singapura. Pada tahun 1922, bagi memenuhi permintaan yang
bertambah terhadap guru-guru sekolah Melayu yang berkelayakan, Maktab Perguruan
Sultan Idris telah ditubuhkan atau dikenali sebagai Sultan Idris Training College (SITC).
Di sini mata pelajaran Pendidikan seni telah diajar di samping subjek-subjek lain.
Komponen subjek Pendidikan Seni diajar bersama-sama dengan pertukangan tangan
seperti membuat bakul dan lain-lain seni pertukangan rakyat ketika itu. Sukatan
pelajaran yang digunakan adalah pelajaran menggunakan mengkuang untuk membuat
bakul bagi tahun pertama. Mereka dikehendaki mencipta corak-corak baru dengan
menggunakan rotan dan buluh. Kerja-kerja tahun pertama disambung pada tahun ke
dua dan penggunaan rotan dan buluh adalah lebih meluas lagi pada tahun ketiga. Buku
teks yang digunakan ialah Kitab Rajah-rajah Anyaman oleh guru anyaman Mr. W.
Olaguera.

Perkembangan Pendidikan Awal Merdeka
Selepas perang dunia kedua perkembangan politik negeri China, India , dan
negara jiran banyak berubah , Masyarakat pendatang menganggap Tanah Melayu
sebagai tempat kediaman mereka dan kebangkitan nasionalisme Melayu melihatkan
tentang masalah kerumitan kaum tentang pendidikan.
Orang Melayu mula mendesak ,supaya Kerajaan membaiki mutu pendidikan di
sekolah - sekolah Melayu serta menambahkan peluang bagi melanjutkan pelajaran.
Sebuah jawatan kuasa ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Barnes. Laporan Barnes ini
diterbitkan pada awal tahun 1951, dan mencadangkan supaya ditubuhkan sekolah-
sekolah kebangsaan dari bahasa berbilang kaum sama ada menggunakan bahasa
Inggeris atau bahasa Melayu sebagai pengantar utamanya. Sekolah Cina dan Tamil
akan ditukar secara beransur - ansur kepada sekolah Kebangsaan dengan
memperkenalkan aliran Kebangsaan. Cadangan tersebut ditentang hebat oleh orang
Cina.
Laporan Fen wu , memperakukan untuk mengekalkan serta pembaikan Sekolah
Cina telah memburukkan lagi pertikaian yang hangat tentang pendidikan di Tanah
Melayu , Laporan Jawatankuasa Fen Wu telah mengemukakan cadangan-cadangan
yang pada asasnya menyokong konsep penggunaan tiga bahasa iaitu bahasa melayu,
bahasa Inggeris, dan bahasa Cina dijadikan bahasa pengantar.

Pendidikan Malaysia
Beberapa kajian telah dibuat untuk mendapatkan formula terbaik bagi sistem
pendidikan di Tanah Melayu pada masa itu. Walau bagaimanapun setelah mendapat
kemerdekaan, Akta Pelajaran 1961 telah dijadikan dasar kepada sistem pendidikan di
negara ini. Justeru itu Kurikulum Lama Sekolah Rendah (KLSR) telah diperkenalkan.
Mata pelajaran yang diajar oleh guru-guru dana dipelajari oleh murid-murid dalam
KLSR antaranya ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Tawarikh,
Ilmu Alam, Hal Ehwal Tempatan, Tata Rakyat, Jawi, Pendidikan Agama Islam, Lukisan
dan Pertukangan Tangan, Pendidikan Jasmani dan lain-lain.
Persekolahan peringkat rendah di negara ini berterusan mengikut kehendak
KLSR sehinggalah kajian dibuat pada tahun 1974 hingga 1979 oleh jawatankuasa
diketuai Dr. Mahathir Mohamad bagi melihat kesesuaian KLSR ini. Laporan kajian yang
dikeluarkan pada tahun 1979 mendapati bahawa KLSR sudah tidak relevan lagi dan
perlu diganti dengan kurikulum ynag baru. Implikasi daripada laporan ini ialah
pengenalan kepada Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada tahun 1982.
Namun begitu, pada tahun 1988 KBSR telah disemak semula bagi mengenal
pasti kelemahan dan kekuatannya. Lanjutan itu, KBSR yang dikenali pada asasnya
sebagai Kurikulum Baru Sekolah Rendah ditukar menjadi Kurikulum Bersepadu
Sekolah Rendah. Dari segi kurikulum, mata pelajaran-mata pelajaran yang telah sedia
ada mengalami perubahan bagi membantu murid menghadapi cabaran masa depan
termasuklah Pendidikan Seni Visual.
Kementerian Pendidikan Malaysia telah memainkan peranan yang positif dalam
membangunkan dan memperkembangkan kurikulum Pendidikan Seni Visual. Hal ini
dapat dilihat berdasarkan semakan terhadap Kurikulum Pendidikan Seni Visual itu
sendiri yang telah beberapa kali melalui proses perubahan. Perubahan-perubahan
tersebut meliputi aspek falsafah, matlamat, objektif, pendekatan, kaedah dan isi
kandungan mata pelajaran tersebut.
Retrospektif perkembangan kurikulum ini dapat dilihat seawal pertengahan abad
ke-19 apabila kurikulum seni mula diperkenalkan di Penang Free School dengan
memberikan penekanan kepada penglahiran pelajar yang mahir dalam kraf (Carline,
(1968) dalam Ibrahim Hassan melalui karya Md Nasir bin Hj. Ibrahim-Isu dan
Permasalahan Kurikulum Pendidikan Seni Visual).
Selepas merdeka, bermula dari tahun 1965 Kementerian Pelajaran Malaysia
telah menggubal dasar baru pendidikan. Melalui dasar baru ini, murid-murid daripada
darjah 1 hingga tingkatan 3 akan belajar dua kumpulan mata pelajaran yang dikenali
sebagai mata pelajaran wajib dan mata pelajaran elektif.
Kini, sekali lagi kurikulum Pendidikan Seni berubah dengan penekanan kepada
melengkapkan perkembangan diri seseorang individu melalui nilai peribadi individu dan
pemupukan kesedaran terhadap seni dalam kehidupan sehari-hari serta sikap dalam
menghargai hasilan seni sebagai sumbangan kepada warisan budaya dan identiti
bangsa. Perubahan-perubahan ini melibatkan falsafah, matlamat, objektif, pendekatan,
kaedah dan isi kandungan yang lebih mantap dan akan dapat menarik minat lebih
ramai pelajar.
Dalam KBSR, Pendidikan Seni Visual merupakan mata pelajaran wajib yang
mesti dipelajari oleh semua murid. Mata pelajaran Pendidikan Seni Visual digubal
selaras dengan perkembangan terkini ke arah mencapai hasrat FPK. Matlamat mata
pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah sebagaimana yang digariskan oleh
PPK pada tahun 2000 adalah untuk melahirkan insan yang harmonis, kritis, kreatif dan
produktif menerusi pemupukan asas seni visual. Kandungan kurikulum berupaya
membnatu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai
keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat
menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan Negara, selaras
dengan hasrat FPK.
Terdapat empat bidang yang terkandung di dalam mata pelajaran Pendidikan
Seni Visual seperti berikut :
(a) Melukis dan membuat gambar
(b) Membuat corak dan rekaan
(c) Membentuk dan membuat binaan
(d) Mengenal kraf tradisional
Fokus yang diberikan kepada setiap bidang pula ialah pemerhatian aktif, interaksi yang
kreatif dengan alat dan bahan, serta asprisiasi aspek seni.
Pendidikan Seni Visual memainkan peranan sebagai pengimbang kepada mata
pelajaran lain yang ditawarkan di sekolah-sekolah kerajaan. Mata pelajaran ini
menyumbangkan ke arah perkembangan murid-murid melalui peningkatan daya
persepsi, estetika dan kraetiviti. Manakala aktiviti seni yang dijalankan semasa
pengajaran dan pembelajaran dilakukan dalam konteks peranan seni sebagai media
komunikasi, seni dalam kehidupan dan persekitaran, dan seni sebagai warisan budaya
dan identiti bangsa. (Mazlan Mohamad.1996)

Sumber rujukan

Mohd Johari Ab. Hamid (2004). Pendidikan Seni Visual dan Muzik. Tanjung Malim.
Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Mohd Johari Ab. Hamid (2006). Metodologi Pendidikan Seni Visual. Tanjung Malim.
Penerbitan UPSI.

Choong Lean Keow,PhD (2009). Falsafah dan Pendidikan di Malaysia Untuk Program
Perguruan Pendidikan Rendah Pengajian 4 Tahun. Kuala Lumpur. Kumpulan Budiman
Sdn.Bhd.

Sufean Hussin (1993). Pendidikan di Malaysia Sejarah, Sistem dan Falsafah. Kuala
Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ahmas Suhaimi Mohd Nor (2007). Sejarah Kesedaran Visual di Malaya. Tanjung Malim.
Penerbitan UPSI.

Ikhsan Othman dan Norlia Md Salleh (2005). Kurikulum dan Pengajaran Sekolah
Rendah, Aspek-aspek yang Berkaitan. Tanjung Malim. Quantum Books.

Kathleen Choe (2006). SPM Fokus U Pendidikan Seni Visual. Bangi. Penerbitan
Petaling Sdn. Bhd.

Anda mungkin juga menyukai