Anda di halaman 1dari 5

ISU PENYALAHGUNAAN MASA OLEH

GURU


PENYALAHGUNAAN MASA OLEH GURU

Terdapat pelbagai isu yang timbul dan melanggar etika profesion perguruan.
Masalah penyalahgunaan masa merupakan satu isu yang melanggar etika profesion
perguruan kerana masalah ini kerap terjadi di kalangan guru. Masalah penyalahgunaan
masa mungkin tidak terlalu serius tetapi jika dibiarkan berlanjutan, masalah ini dapat
menjejaskan kredibiliti para guru. Ramai guru tidak menyedari hakikat ini.
Masa adalah sangat berharga kepada manusia. Maka, di dalam Islam itu sendiri
telah menyatakan bahawa manusia yang tidak menggunakan masa dengan betul
adalah orang-orang yang kerugian. Tugas guru adalah sebagai penyampai ilmu
pengetahuan. Sekiranya kita tidak cuba menerapkan kepentingan masa kepada murid,
maka, kita sebagai guru boleh dikatakan tidak berjaya memberi satu ilmu yang amat
berguna.
Pepatah Arab ada menyebut bahawa masa adalah ibarat pedang. Jika kita tidak
menggunakan untuk memotong, ia akan memotong kita. Pepatah Cina pula menyebut
bahawa semua bunga yang bakal berkembang pada hari esok adalah benih pada hari
ini. Sebagai guru, kita hendaklah menghargai masa yang diberikan kepada kita
terutamanya dalam waktu persekolahan. Ada juga yang mengatakan bahawa
bertangguh itu pencuri masa. Orang yang tidak tahu menggunakan masa pula
dikatakan orang yang mati. Kesemua kata-kata hikmat di atas menunjukkan
kepentingan masa yang perlu dihayati insan bernama guru.
Mengikut Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/81 yang bertarikh 12 September 1981,
semua Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, kakitangan sekolah dan para pelajar
dikehendaki berada di sekolah sekurang-kurangnya lima minit sebelum sekolah
bermula. Surat ini juga memberi penekanan terhadap tanggungjawab guru untuk
mengamalkan ketepatan masa sepanjang waktu bertugas di sekolah, semasa datang
dan balik dari sekolah, ketika memasuki bilik darjah untuk mengajar dan semasa
menjalankan sesuatu kegiatan di luar bilik darjah seperti kegiatan kokurikulum. Maksud
ketepatan masa juga merangkumi keperluan guru untuk mengikut jadual pengajaran
dan tidak dibenarkan meninggalkan kelas ataupun kawasan sekolah semasa tempoh
persekolahan.
Terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh guru berkaitan
pematuhan waktu dan masa. Semua guru dikehendaki menandatangani buku
kedatangan sebaik sahaja tiba di sekolah dengan mencatatkan nama, masa sampai
dan menurunkan tandatangan. Pada zaman yang teknologi kini, ada sekolah yang
menggunakan punch card atau menggunakan perisian komputer yang menggunakan
pengesanan corak ibu jari sebagai bukti kehadiran. Guru Besar pula diberi kuasa
mengizinkan guru meninggalkan kawasan sekolah sekiranya ada hal-hal tertentu dan
mereka perlu mengisi buku catatan meninggalkan sekolah. Begitu juga jika terdapat hal
yang memerlukan guru meninggalkan bilik darjah, kegiatan dan upacara rasmi sekolah
dan aktiviti kokurikulum, guru perlu mendapat kebenaran dari Guru Besar.
Pada masa senggang iaitu ketika guru tidak menjalankan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran di dalam kelas, guru perlu melaksanakan beberapa perkara seperti
memeriksa buku latihan dan kerja rumah murid dengan teliti, menulis buku ringkasan
mengajar, menyediakan alatan dan bahan bantu mengajar, menguruskan hal ehwal
kelas, menguruskan yuran murid, hal-hal kokurikulum dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti
yang dilakukan oleh guru pada waktu ini mestilah aktiviti yang memberikan faedah
kepada murid-murid. Selain itu, guru juga diberi tanggungjawab untuk menggantikan
guru lain untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran.
Antara beberapa perkara yang membawa kepada penyalahgunaan masa yang
sering dilakukan oleh guru sama ada secara disedari atau tidak disedari ialah guru
lewat masuk ke kelas. Guru yang mematuhi ketetapan masa tidak menunggu loceng
berbunyi untuk berjalan dari sesuatu tempat untuk ke kelas mereka. Mereka akan
bergerak awal ke kelas dan kadangkala sanggup pula menunggu waktu guru lain habis
di luar kelas. Sekiranya waktu pengajaran adalah berturutan, guru ini tergesa-gesa
pergi bergerak dari satu kelas ke kelas berikutnya dengan penuh semangat. Maka,
fenomena guru yang lewat masuk ke kelas akan menimbulkan isu penyalahgunaan
masa. Bukan itu sahaja, sekiranya berlaku sebarang kemalangan di dalam kelas, guru
tersebut harus dipersalahkan. Mencuri masa adalah perbuatan yang tidak wajar bagi
seorang guru.
Seterusnya ialah guru tidak menggunakan masa yan terluang untuk membuat
bahan dan alat bantu mengajar. Bahan bantu mengajar sangat penting dalam
menyampaikan ilmu kepada murid terutamanya sekiranya guru ingin mengenalkan
sesuatu konsep kepada murid.di zaman moden ini, pelbagai bahan dan alatan siap
telah dibeli oleh sekolah untuk digunakan oleh guru. Malah, sumber internet juga kini
menjadi sumber yang sangat efektif untuk digunakan oleh guru. Saya melihat isu ini
sebagai sesuatu yang agak menyedihkan kerana guru sudah sedia maklum dengan
tanggungjawab mereka. Bahan-bahan ini juga digunakan sebagai alat pentaksiran
kepada murid untuk mengenalpasti tahap pencapaian murid terhadap sesuatu
kemahiran. Kegagalan menyediakan alatan bantu mengajar juga menjadi isu
penyalahgunaan masa senggang guru. Guru seharusnya menggunakan masa tersebut
untuk memilih mana-mana alatan yang dibeli oleh pihak sekolah mahupun cakera padat
yang dibekalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk digunakan di dalam
kelas. Malah, guru juga boleh melayari laman web Eduweb tv untuk memuat turun
mana-mana video untuk membantu pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Bukankan kesemua perancangan pengajaran ini memerlukan guru menggunakan masa
senggang mereka?
Penyalahgunaan masa yang seterusnya ialah guru tidak menggunakan
pengetahuan dan kemahiran sepenuhnya untuk membantu murid. Rata-rata guru
lepasan sijil dan diploma dilatih selama 3 tahun untuk menguasai ilmu dan kemahiran
mengajar. Guru yang mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah pula dilatih selama
satu tahun. Pihak Bahagian Pendidikan Guru juga sering mengadakan kursus-kursus
pedagogi mata pelajaran tertentu dengan tujuan untuk meningkatkan ilmu guru.
Pengetahuan pedagogi membantu guru mengenalpasti kaedah terbaik untuk mengajar.
Pengetahuan mengenai psikologi pula membantu guru memahami gelagat dan
tingkahlaku murid. Namun, tidak ramai guru yang mengaplikasikan ilmu mereka akibat
daripada tidak menggunakan masa mereka dengan baik untuk merancang sesuatu
yang berguna untuk murid-murid mereka. Lebih menyedihkan, terdapat juga guru yang
menolak arahan untuk menghadiri kursus dengan memberikan pelbagai alasan yang
tidak munasabah sedangkan kursus tersebut berguna untuk meningkatkan ilmu dan
kemahiran mereka. Ada pula guru yang menganggap menghadiri kursus hanya untum
makan angin. Maka, mereka hanya mengikuti kursus sambil lewa dan tidak mendapat
ilmu yang berguna. Akibatnya, Kementerian Pelajaran Malaysia kerugian dan tidak
mencapai objektif pelaksanaan kursus akibat tindakan mereka yang tidak
bertanggungjawab.
Seterusnya ialah guru menggunakan masa terluang untuk bercerita dan berbual
perkara yang tidak berkaitan dengan hal-hal kerja. Ada juga segelintir guru yang suka
berkongsi cerita di luar hal ehwal kerja seperti hal-hal peribadi, gossip artis, hal-hal
kemasyarakatan dan politik. Guru juga perlu mengambil tahu isu semasa tetapi adalah
tidak wajar menggunakan masa mereka di sekolah dengan berkongsi cerita lain dan
berbual-bual kosong. Sikap guru yang sebegini sebenarnya hanya merendahkan
martabat mereka dan menimbulkan perspektif negatif dalam kalangan masyarakat.
Alangkah baiknya sekiranya masa-masa senggang sebegini digunakan untuk
menyediakan bahan bantu mengajar atau membaca buku-buku dan artikel yang
berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran. Perbincangan tidak formal mengenai
masalah pengajaran dan pembelajaran juga boleh dijalankan bersama Ketua Panitia
dan rakan-rakan sejawat yang lain. Dengan cara ini, pelbagai idea dilontarkan dan guru
mendapat faedah yang boleh digunakan untuk kebaikan murid-muridnya. Di dalam
Islam juga, perbuatan mengumpat amat dikeji dan tidak disukai Allah.
Penyalahgunaan masa berikutnya ialah guru menunda kerja, melakukan aktiviti
yang tidak penting dan melakukan tugas sambil lewa. Ada juga segelintir guru yang
tidak menggunakan masa dengan efektif. Mereka sering menunda sesuatu kerja
sehingga menimbulkan sesuatu bebanan kepada mereka. Malah, di akhir waktu yang
ditetapkan, guru merungut kerana berasa tertekan dengan bebanan yang disebabkan
kealpaan mereka sendiri. Ada guru yang menggunakan masa terluang mereka dengan
aktiviti membaca majalah kekeluargaan, membincangkan isu politik secara keterlaluan
dan membincangkan hal kekeluargaan orang lain. Sikap sebegini mengundang
pandangan yang tidak baik di kalangan murid dan ibu bapa. Sewajarnya, masa terluang
sebegini digunakan untuk membincangkan masalah pengajaran dan pembelajaran
murid atau membaca artikel-artikel mengenai pendidikan. Pengalaman dari guru-guru
lain juga boleh dibincangkan. Guru seharusnya mempunyai motivasi intrinsik supaya
guru dapat menggunakan sepenuhnya masa mereka ke arah kebaikan.
Dalam perspektif Islam, kerja adalah ibadah sekiranya kita mematuhi garis
panduan yang telah ditetapkan Allah. Di sini jelas menunjukkan bahawa kerjaya
sebagai guru juga jika dilaksanakan dengan baik adalah diiktiraf sebagai ibadah.
Namun, apakah guru lupa bahawa kelalaian mereka mematuhi ketetapan masaakan
membuatkan ibadah mereka tersasar. Soal penyalahgunaan masa juga melibatkan isu
halal dan haram. Tujuan kita menjadi guru adalah untuk memperolehi pendapatan
berkat dan menyara keluarga. Selain itu, tugas sebagai guru adalah pendidik. Pada
kesempatan yang ada inilah, guru seharusnya menggunakan peluang ini untuk
mengajar bersungguh-sungguh dan mengelak isu penyalahgunaan masa.
Kesan penyalahgunaan masa kepada pembangunan sahsiah guru
ialah keberkesanan pengajaran dan pembelajaran tidak maksimum akibat kurangnya
kualiti dan produktiviti. Kepimpinan melalui teladan tidak diaplikasikan. Guru adalah
role model murid. Maka, guru perlu menghayati slogan kepimpinan melalui teladan. Ini
disebabkan oleh murid suka meniru perlakuan, memek muka, pakaian malah personaliti
guru tersebut.
Kepimpinan Melalui Teladan merupakan slogan yang dilancarkan oleh Tun Dr.
Mahathir bin Mohamad pada 19 Mac 1983. Slogan ini diwujudkan bagi menanam dan
memupuk sifat kepimpinan yang berkesan bagi dicontohi dan diamalkan oleh segenap
lapisan masyarakat. Selain itu, ia juga dapat menerap nilai kebertanggungjawab dan
etika murni di kalangan kakitangan awam.
Guru merupakan antara orang yang paling kerap mendampingi murid selain ibu,
bapa dan ahli keluarga mereka. Malah, kebanyakan murid sering mendengar kata guru
berbanding dengan ibu dan bapa mereka sendiri. Malah, mereka juga kerap bercerita
kepada ibu bapa tentang kehebatan guru. Tetapi sekiranya guru mereka sering
menghabiskan waktunya dengan perkara yang tidak berfaedah, apakah pula
pandangan dan cerita yang akan didengari oleh ibu bapa mereka? Tentunya ini akan
menimbulkan pandangan yang negatif dari pihak ibu bapa dan mengundang tanggapan
yang negatif dari murid-murid juga.
Isu penyalahgunaan masa di kalangan guru-guru dapat diselesaikan jika guru
mengkaji semula tingkahlaku mereka bagi mengenalpasti mengapa mereka
menyalahgunakan masa mereka. Guru hendaklah menetapkan kehendak kualiti yang
ingin dicapai. Dalam kes ini, kehendak kualiti tersebut ialah mengisi masa senggang
mereka di sekolah bagi mengelakkan masalah penyalahgunaan masa. Bagi memenuhi
identiti berjaya pula, mereka akan mengalami rasa cinta terhadap kerjaya mereka, rasa
dihargai dan keperluan-keperluan psikologikalnya yang lain. Namun begitu, kadangkala
guru perlu melawan identiti gagal mereka seperti personaliti tidak seimbang, kurang
keyakinan diri dan cepat putus asa. Sebagai seorang guru juga, mereka
bertanggungjawab dalam memilih keputusan dalam hidup mereka. Setiap pilihan yang
mereka buat adalah berdasarkan kepada keperluan asas mereka. Namun harus
diingatkan, bahawa setiap pilihan itu mempunyai beberapa risiko tertentu. Maka guru
seharusnya memilih tingkahlaku yang efektif sahaja agar dapat membentuk identiti
berjaya.
Secara keseluruhannya, guru perlu memahami bahawa penyalahgunaan masa
adalah melanggar etika profession perguruan. Bukan itu sahaja, penyalahgunaan masa
juga melibatkan hukum agama yang mengundang kepada rezeki yang halal. Sebagai
guru, seharusnya kita menggunakan masa yang diperuntukkan kepada kita dengan
perkara-perkara yang dapat memberi faedah yang berguna untuk pelajar-pelajar kita.
Sebagai guru, kesedaran terhadap penyalahgunaan masa sangat penting dan perlu
diberi perhatian

Anda mungkin juga menyukai