Anda di halaman 1dari 9

1.4.

3 Dasar-Dasar Penjajahan British di Tanah Melayu



Sewaktu tempoh penjajahan, British telah membuat dan melaksanakan pelbagai dasar yang
meliputi aspek sosial, ekonomi, dan politik. Dalam melaksanakan dasar-dasar penjajahan,
secara langsung ataupun tidak langsung telah mengubah wajah asal Tanah Melayu. Justeru
itu, pada bahagian ini saya akan membincangkan dasar-dasar yang dilaksanakan British
sehingga mengubah sistem kehidupan masyarakat Melayu yang sedia ada.
Hakikatnya, semua dasar yang dilaksanakan oleh British adalah berasaskan dasar pecah
dan perintah. Walau bagaimanapun, berbeza dengan negara-negara lain, dasar pecah dan
perintah yang dilakukan oleh British di Tanah Melayu bukan melalui paksaan. Ia dilakukan
secara berhati-hati dan perlahan-lahan seolah-olah ianya berlaku secara semula jadi. Oleh
kerana dasar-dasar yang dilaksanakan British di Tanah Melayu terlalu banyak, saya hanya
menumpukan kepada beberapa dasar penting yang mempunyai kesan yang besar dan
meliputi faktor-faktor penting kepada proses perubahan di Tanah Melayu seperti dasar
pelajaran, ekonomi, dan pentadbiran. Pembahagian ini dibuat bagi memudahkan para
pelajar untuk menghubungkaitkan dasar-dasar yang ada dengan dampak proses penjajahan
yang dibuat berasaskan dasar utama tersebut.

Sebelum perbincangan ini pergi lebih jauh, apa yang harus anda ingati ialah, perbincangan
ini akan hanya meliputi beberapa dasar British yang penting sahaja, dan tidak meliputi
semua dasar British yang telah dilaksanakan oleh mereka sepanjang tempoh penjajahan.
Selain itu, saya harap anda semua mengimbas kembali ingatan anda kepada apa yang telah
anda pelajari dalam bab yang lepas berkenaan Masyarakat Melayu Tradisi (MMT). Ini adalah
perlu untuk membantu anda membuat perbandingan dan juga membantu memberi
gambaran yang lebih jelas kepada apa yang akan kita bincangkan dalam topik ini dan topik
berikutnya iaitu dasar-dasar penjajahan dan dampak-dampaknya dari segi sosial, ekonomi,
dan politik.

1. Sosial

Dasar paling utama yang telah dilaksanakan oleh British ialah kemasukan imigran asing dari
China dan India ke Tanah Melayu. Mereka yang didatangkan sebagai buruh-buruh di
lombong dan ladang telah dibawa masuk tanpa had. Ini dilakukan oleh British bagi
memenuhi matlamat penjajahan mereka yang ingin mengaut sebanyak-banyak keuntungan
dari Tanah Melayu tanpa memperdulikan keadaan masyarakat Melayu pada masa tersebut.
Jumlah migrasi yang ada pada suatu ketika telah hampir mengatasi jumlah penduduk asal
negara ini.

Kemasukan buruh-buruh asing yang dibawa khusus kerana tujuan melombong dan menoreh
getah kemudiannya telah membentuk masyarakat baru dalam negara ini. Mereka juga telah
diletakkan di kawasan-kawasan yang terpisah daripada kaum-kaum lain. Interaksi
sememangnya tidak berlaku kerana masing-masing bergerak dalam kawasan yang berkaitan
dengan kegiatan ekonomi masing-masing. Ini adalah penting bagi British yang berusaha
menghalang kewujudan perpaduan antara kaum. British amat menyedari jika perpaduan
antara kaum dapat dilaksanakan, boleh menyukarkan pentadbiran mereka. Ini jelas
merupakan gambaran pada tonggak dasar kolonialisme British sendiri iaitu dasar pecah dan
perintah.

Di samping itu, antara dasar lain yang harus di beri perhatian ialah dasar pendidikan British.
Dasar ini perlu ditekankan kerana pendidikan akan membentuk keadaan sosial masyarakat.
Sistem pendidikan British pada umumnya dilaksanakan berdasar sistem vernakular yang
mana pendidikan dibuat berdasarkan kaum masing-masing. Ini bermaksud sistem
pendidikan tersebut adalah bergantung sepenuhnya kepada bahasa dan sukatan pelajaran
kaum masing-masing.

Justeru itu, wujud banyak sekolah yang berasaskan kaum, iaitu Sekolah Cina, Sekolah Tamil,
Sekolah British dan Sekolah Melayu. Sekolah-sekolah Cina dan Tamil menggunakan bahasa
masing-masing sebagai bahasa pengantar dan sukatan pelajaran yang diambil terus
daripada negara asal mereka. Sementara Sekolah British pula banyak dijalankan oleh
mubaligh Kristian dan berasaskan pendidikan British yang diambil daripada negara Britain
sepenuhnya. Manakala sekolah Melayu pula masih berasaskan pelajaran agama dan
bercampur sedikit dengan pendidikan akademik yang mempunyai pengaruh British.

Dasar ini secara umumnya ialah untuk memenuhi matlamat dasar penjajahan British yang
cuba memastikan taraf pendidikan di sekolah-sekolah sedia ada tidak akan seragam dan
sekaligus memastikan taraf pendidikan yang diterima oleh rakyat terutamanya orang-orang
Melayu adalah di tahap yang rendah. Ini bagi memastikan masyarakat Melayu terus
ketinggalan dan memudahkan British memberi alasan bahawa Tanah Melayu belum mampu
untuk bebas dan mentadbir negara bersendirian.
Bagi memenuhi tujuan tersebut, ukuran rendah atau tinggi taraf pendidikan orang Melayu
sering di sukat bersama taraf pendidikan di negara Britain. Walaupun pada hakikatnya
masyarakat Melayu adalah rajin berasaskan pekerjaan dalam sistem ekonomi tradisi tetapi
British sering menanamkan kata-kata bahawa masyarakat Melayu adalah malas dan mudah
berpuas hati. Sedangkan pada masa yang sama, adalah jelas orang Melayu tidak diberi
kesempatan mendapat pendidikan yang terbaik.24

Keadaan menjadi semakin parah lagi apabila British membawa imigran-imigran asing
terutamanya dari India untuk bekerja sebagai pendidik di Tanah Melayu. Secara umumnya,
jelas memberi gambaran bahawa taraf pendidikan di Tanah Melayu terutamanya kepada
masyarakat Melayu akan terus kekal tidak dapat melebihi taraf pendidikan Inggeris yang
sebenar kerana mereka hanya dididik oleh pendidik dari negara yang terjajah juga. Situasi di
atas jelas menonjolkan ketidakikhlasan British dalam memajukan pendidikan orang-orang
yang mereka jajahi.

2. Ekonomi

Dari aspek ekonomi, jelas menunjukkan penjajahan British telah mengubah hala tuju
ekonomi tradisi di Tanah Melayu yang pada asalnya berasaskan ekonomi sara diri kepada
bentuk ekonomi moden yang lebih bersifat komersial atau perdagangan dan keuntungan.

Perkembangan ekonomi moden bermula dengan kewujudan hasil bijih timah di Perak yang
menghasilkan Perjanjian Pangkor 1874. Apa yang menarik, perlaksanaan ekonomi moden ini
dilakukan oleh British secara berhati-hati bagi memastikan tujuan asal dasar kolonialisme
British untuk mengenepikan masyarakat Melayu daripada sebarang kemajuan akan tercapai.
Ini perlu kerana masyarakat Melayu yang maju di lihat sebagai ancaman kepada
pentadbiran penjajahan.

Justeru itu, orang-orang Melayu di sisih dengan tidak diajak atau digalakkan sama sekali
untuk terlibat dalam sektor perlombongan ini. Mereka yang dapat melibatkan diri hanyalah
golongan pembesar yang mempunyai pengaruh ke atas sesuatu kawasan. Ini dilakukan oleh
British dengan menghebohkan propaganda mereka yang kononnya menghormati sistem
ekonomi tradisi masyarakat Melayu yang lebih tertumpu kepada penanaman padi,
penangkapan ikan dan penternakan selain mencari hasil hutan.

Sebaliknya bagi memastikan sektor perlombongan ini terlaksana dengan lebih pesat, pihak
British telah membawa buruh-buruh asing dari negara China. British mengambil peluang
mendapatkan buruh-buruh yang murah dari negara China yang sedang menghadapi
pelbagai masalah bencana alam seperti gempa bumi, banjir, dan kebuluran. Begitu jugalah
apabila sektor perladangan getah meningkat dengan pesatnya di Tanah Melayu, pihak
British terus mengenepikan orang-orang Melayu dengan membawa masuk secara besar
besaran buruh-buruh dari India.

Semua ini dilakukan oleh pihak British dengan matlamat supaya masyarakat Melayu terus
kekal dengan aktiviti-aktiviti ekonomi yang tidak menguntungkan, dan pada masa yang sama
pihak British dapat juga mempergunakan orang-orang Melayu bagi menghasilkan barang
keperluan makanan kepada British dan buruh-buruh asing yang di bawa masuk. Ini
dilakukan dengan menggalakkan penanaman padi oleh orang Melayu yang sekaligus
membantu menyediakan makanan untuk penduduk di Tanah Melayu yang semakin
bertambah dengan kemasukan buruh asing yang tiada batasan.

Walau bagaimanapun, apabila segalanya telah diperolehi, konsep kolonialisme awal telah
bertukar menjadi lebih agresif hasil daripada sikap tamak untuk menguasai segala-galanya di
Tanah Melayu. Konsep imperialisme yang lebih campurtangan dan menguasai segalanya di
tanah jajahan dilaksanakan. Ini berdasarkan keperluan semasa di mana negara Eropah yang
lain turut berlumba bukan sekadar mendapatkan hasil tetapi menguasai negara dan rakyat
di sesuatu tanah jajahan sebagai lambang pengaruh dan kemegahan.


3. Politik

Dari segi politik, dasar penjajahan British cuba memastikan raja-raja Melayu atau sultan-
sultan akan berada di bawah telunjuk mereka. Ini dilakukan British atas kesedaran bahawa
pengaruh raja dan sultan ke atas rakyat jelata. Mereka bimbang seandainya raja dan sultan
tidak di bawah kawalan mereka, akan berlaku kekecohan yang akhirnya mendorong raja dan
sultan bersama rakyat menentang penguasaan mereka ke atas tanah Melayu. Anda boleh
lihat dengan jelas apabila sistem residen British mula perkenalkan di Perak, dan bagaimana
Raja Abdullah yang merupakan salah seorang waris raja yang berkuasa di negeri Perak
bersama pembesar dan rakyat bangkit membunuh Residen J.W.W. Birch yang dilantik
kerana tidak berpuas hati.

Berasaskan kesedaran inilah, apabila British memulakan campur tangan mereka selepas
Perjanjian Pangkor 1874, mereka telah memperkenalkan sistem residen. Sistem residen
yang merupakan sistem penasihatan oleh British dalam urusan pentadbiran negeri Melayu
telah dilaksanakan di negeri-negeri yang dikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu
Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Di dalam sistem ini, nasihat residen dalam
hal-hal selain agama Islam dan adat istiadat orang Melayu haruslah diikuti raja-raja.26

Walau bagaimanapun, sebenarnya langkah campur tangan dan penasihatan ke atas negeri
Melayu telah lebih awal di buat di negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang dan Singapura yang
dikenali sebagai Negeri-Negeri Selat. Di negeri-negeri ini, British memerintah secara terus
dari Pejabat Tanah Jajahan di London. Hanya dalam konteks negeri-negeri Selat, British
berkuasa penuh terhadap negeri-negeri tersebut kerana sama ada ianya dijajah atau dipajak
sepenuhnya dan ianya di tadbir oleh seorang gabenor bagi negeri-negeri Selat.

Langkah penasihatan yang terakhir ialah sistem Penasihat Negeri di negeri-negeri Melayu
yang lain iaitu Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, dan Johordikenali sebagai Negeri-
Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Di dalam negeri-negeri ini, Penasihat British akan
membantu pentadbiran raja-raja dan sultan-sultan Melayu melainkan dalam hal-hal agama
Islam dan adat istiadat orang Melayu.

Sistem pentadbiran kemudiannya telah berubah terus mengikut arus pemodenan yang di
bawa penjajah dan lebih mirip kepada suasana pemerintahan di negara asal mereka. Apabila
semua negeri-negeri Melayu telah dapat dikuasai British menerusi sistem Residen dan
Penasihat, kemudiannya telah mewujudkan persekutuan atau sistem kerajaan berpusat.
Bermula dengan cadangan Malayan Union dan kemudiannya digantikan dengan
Persekutuan Tanah Melayu diikuti pula sistem kabinet dan menteri diperkenalkan. Selepas
pilihanraya 1952 dan 1955 sistem kerajaan berketua Menteri dan kabinet untuk
pentadbiran telah dilaksanakan. Menerusi peringkat yang telah anda lihat, secara sedikit
demi sedikit raja-raja disisihkan dari rakyat dan tanggungjawab pemerintahan.

1.4.4 Kesan Gerakan Penjajahan Barat di Tanah Melayu

Tanah Melayu akhirnya telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Setelah lebih
kurang 400 tahun di bawah cengkaman penjajah barat, Tanah Melayu akhirnya bebas dan
merdeka. Biarpun telah mencapai kemerdekaan, Tanah Melayu pada hakikatnya tidak dapat
lari daripada kenyataan bahawa Tanah Melayu yang ada setelah merdeka dan Tanah Melayu
yang wujud sebelum era penjajahan kuasa barat adalah dua suasana yang amat berbeza.
Kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kepada negara ini bukanlah sedikit dan meliputi
pelbagai sudut kehidupan termasuk ekonomi, politik dan sosial masyarakat di Tanah Melayu.
Hasil penerapan dasar-dasar kolonialisme dan imperialisme barat yang dijalankan, corak
pemerintahan, kegiatan ekonomi juga cara bersosial masyarakat di Tanah Melayu telah jauh
berbeza. Hasil daripada itu dapatlah kita lihat dan gariskan tiga kesan utama yang wujud
dalam masyarakat di Tanah Melayu dari segi sosial, ekonomi, dan politik.

1. Kesan Sosial

Perubahan terbesar hasil dasar sosial British ialah kewujudan masyarakat berbilang kaum
di Tanah Melayu. Masyarakat ini yang juga kita kenali sebagai masyarakat majmuk adalah
sebagai memenuhi aspirasi dasar kolonialisme. British telah mewujudkan satu masyarakat
baru di Tanah Melayu. Tanah Melayu yang asalnya di diami masyarakat Melayu sahaja
kemudiannya telah dipaksa menerima kedatangan imigran asing bagi memenuhi hasrat
British untuk mengaut sebanyak-banyak keuntungan di Tanah Melayu. Imigran dari China
dan India ini didatangkan khusus bagi memenuhi keperluan buruh untuk ditempatkan di
lombong-lombong bijih timah dan di ladang-ladang getah.

Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat majmuk telah lama wujud sewaktu kewujudan
Empayar Melayu Melaka yang menjadi pusat perdagangan terkenal pada sekitar kurun 13 -
15 Masihi. Namun begitu, pentafsiran masyarakat majmuk di zaman Empayar Melayu
Melaka adalah jelas berbeza dengan masyarakat majmuk yang diwujudkan selepas
kedatangan penjajah barat. Ini kerana masyarakat majmuk yang wujud di waktu kerajaan
Melayu Melaka adalah jelas bersifat sementara kerana kebanyakan mereka adalah
pedagang-pedagang asing yang datang untuk memperniagakan hasil mereka sahaja. Biarpun
wujud sebilangan daripada mereka yang kekal tinggal dan bermastautin atas sebab
perkahwinan atau sebagainya, jumlah mereka adalah kecil dan tidak mengubah suasana asal
masyarakat terutamanya disegi perubahan strukur politik, ekonomi, dan sosial. Ini
terutamanya disebabkan kesediaan mereka pada kebiasaannya untuk mengasimilasikan diri
mereka ke dalam kebudayaan dan adat resam masyarakat Melayu.

Masyarakat majmuk di Tanah Melayu selepas kedatangan kuasa barat dan imigran asing
pula telah mengubah hampir keseluruhan sistem masyarakat di Tanah Melayu. Di samping
itu kedatangan masyarakat imigran juga telah mengubah komposisi kaum yang selama ini
dikuasai sepenuhnya oleh orang Melayu. Jumlah kedatangan imigran yang tiada had telah
hampir-hampir mengakibatkan jumlah orang Melayu di atasi oleh imigran-imgran asing.
Suasana ini jelas amat merbahaya kepada kedudukan orang-orang Melayu sebagai
penduduk asal Tanah Melayu.

Dari segi pendidikan pula sistem vernakular yang dilaksanakan oleh British telah
mengakibatkan perpecahan ketara di antara penduduk berbilang kaum. Anda sendiri boleh
fahami apabila melihat bagaimana sukatan pelajaran dan bahasa yang digunakan di sekolah-
sekolah vernakular yang tidak sedikit pun melambangkan suasana negara ini. Ini kerana
dasar British tidak merangsang berlakunya perpaduan di antara kaum.

Selain itu, sistem pendidikan yang wujud jelas telah mengenepikan orang-orang Melayu
daripada mencapai kemajuan. Pendidik bertaraf rendah dan sikap British yang tidak
berhasrat membantu kemajuan orang Melayu dalam pendidikan mengakibatkan orang-
orang Melayu menjadi kaum yang paling ketinggalan pada masa tersebut. Ini harus difahami
kerana hasrat British sendiri yang tidak mahu keupayaan orang-orang Melayu dalam
pendidikan menjadi masalah kepada mereka apabila kesedaran telah diterima.

2. Kesan Ekonomi

Umumnya, dasar penjajahan British terhadap Tanah Melayu telah mengubah sistem
ekonomi tradisi yang sedia wujud di Tanah Melayu. Masihkah anda semua ingat lagi, apakah
sistem ekonomi tradisi? Sistem ekonomi tradisi, ialah sistem yang berasaskan ekonomi sara
diri dan bertumpu kepada penanaman padi, penangkapan ikan, dan penternakan ladang.
Sistem ini telah berubah apabila British menjalankan dasar ekonomi kolonialismenya
dengan menjadikan sistem ekonomi yang wujud bermatlamatkan keuntungan.

Dalam perlaksanaan dasar ekonomi, British secara langsung dan tidak langsung telah
mengasingkan kaum-kaum utama di Tanah Melayu iaitu orang-orang Cina, India dan Melayu
mengikut kegiatan ekonomi masing-masing. Kegiatan ekonomi telah memisahkan setiap
kaum mengikut kegiatan ekonomi dan sekaligus setiap kaum dikenali melalui kegiatan
ekonomi mereka, sebagai contoh orang India dikenali sebagai penoreh getah, orang Melayu
sebagai nelayan atau penanam padi, manakala orang-orang Cina sebagai pelombong. Hasil
daripada pembahagian kaum mengikut kegiatan ekonomi, masyarakat yang wujud di Tanah
Melayu turut terasing mengikut lokaliti atau kawasan kegiatan ekonomi masing-masing.
Keadaan ini telah mengurangkan interaksi kaum dan akhirnya telah mewujudkan masalah
perpaduan dikalangan kaum-kaum di negara ini.

3. Kesan Politik

Dari segi politik, sistem masyarakat yang pada asalnya taat dan hidup di bawah
pemerintahan raja dan sultan telah berubah sama sekali. Kekuasaan raja dan sultan Melayu
telah dikurangkan ke peringkat hanya menjadi lambang kepada negeri atau negara. Sistem
pemerintahan yang dianjurkan oleh penjajah terutama oleh British jelas condong dan mirip
kepada corak pemerintahan di negara mereka. Bermula dengan pengenalan sistem residen
di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan kemudiannya diikuti pula dengan sistem penasihat
British di Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Pengenalan kepada kedua-dua sistem ini telah mula mengurangkan kuasa pemerintahan
raja-raja Melayu dan juga pembesarnya, dan menyebabkan satu perubahan besar kepada
corak pentadbiran Melayu Tradisi. Fungsi residen dan penasihat British ini telah mengambil
alih peranan yang dahulunya dimainkan oleh pembesar-pembesar Melayu terutamanya
dalam soal menasihati Sultan dan mendapatkan hasil untuk negeri melalui cukai.

Selain itu, pada masa pemerintahan Melayu Tradisi segala kerja pentadbiran dijalankan oleh
masyarakat Melayu, tetapi setelah kedatangan kaum imigran asing proses pentadbiran telah
turut melibatkan mereka. Biarpun jumlah orang Melayu lebih ramai yang terlibat dalam
proses pentadbiran, tetapi penglibatan imigran asing dalam proses pentadbiran adalah satu
dimensi baru dalam kehidupan masyarakat di Tanah Melayu. Apa yang jelas, sedikit demi
sedikit proses penjajahan telah mengubah wajah asal sistem pentadbiran di Tanah Melayu,
lebih-lebih lagi apabila sistem pilihanraya diperkenalkan dan kuasa perdana menteri dan
kabinet juga pegawai daerah mula mengambil alih segala tugasan pentadbir Melayu Tradisi,
iaitu sultan dan pembesar.




3.5 KESIMPULAN

Dasar-dasar kemasukan imigran, pendidikan vernakular, pemecahan ekonomi mengikut
kaum, sistem residen dan dasar pemerintahan berpusat telah mengakibatkan cara hidup
tradisi terhimpit dan tidak dihiraukan oleh penjajah British.

Sebuah masyarakat yang tunggal iaitu masyarakat Melayu tradisi yang mengamalkan
ekonomi tradisi, sara diri juga sistem pemerintahan bertunjangkan sistem beraja dan
pembesar dan telah berjaya mengharungi kehidupan ratusan tahun akhirnya hilang sedikit
demi sedikit. Akhirnya satu masyarakat baru muncul iaitu masyarakat majmuk yang terdiri
daripada berbilang kaum dan bangsa, satu sistem ekonomi moden yang mementingkan
keuntungan dan mengamalkan sistem pentadbiran berpusat yang menggantikan kuasa raja
dan pembesar-pembesar. Berdasarkan semua fakta-fakta tersebut, jelas gabungan dasar-
dasar kolonialisme dan imperialisme yang diamalkan British dalam gerakan penjajahannya
di negara ini akhirnya telah mewujudkan Tanah Melayu sebagai negara baru dengan rakyat
dan sistem kehidupan yang baru.

Anda mungkin juga menyukai