Anda di halaman 1dari 8

2.

0 PEMBENTUKAN MASYARAKAT MAJMUK DI TANAH MELAYU ZAMAN KOLONIAL BRITISH


Dalam abad ke-19, keadaan ekonomi di Britain begitu buruk, dan kemerosotan ekonomi ini telah menggugat kedudukan kelas kapitalis di mana sumber-sumber bahan mentah berkurangan, tempat memasarkan barangbarang siap tiada dan tempat untuk melabor modal juga tiada. Pada ketika ini, persaingan dalam Revolusi Perindustrian1 di Eropah telah menyebabkan British berhasrat menguasai Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang yang kaya dengan bijih timah untuk keperluan kilang-kilangnya. British mengambil kesempatan untuk campur tangan dan memaksa sultan-sultan Melayu menerima naungan British bagi negeri-negeri ini kerana

ketidakstabilan politik pada masa itu. Campur tangan British bermula secara rasmi dengan termaktubnya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874. Hal ini merupakan satu titik permulaan yang telah meletakkan seluruh Semenanjung Tanah Melayu di bawah taklukan Inggeris, hasil daripada berbagai tipu helah yang dilakukan pihak Inggeris (Shamsul Amri Baharuddin, 1979, pp. 335339). Tujuan utama mereka adalah untuk mengeksploitasi kekayaan hasil bumi negeri-negeri di Tanah Melayu demi keperluan untuk Revolusi Perindustrian di Eropah. Bagi tujuan tersebut, penjajah Inggerismembawa masuk imigran-imigran luar terutamanya dari negara China dan India untuk bekerja di Tanah Melayu. Kemasukan imigran sebagai buruh asing tersebut adalah satu agenda ekonomi Inggeris bagi mengeksploitasi hasil bumi di Tanah Melayu, antaranya untuk mengusahakan pertanian dagangan, lombong-lombong bijih timah dan ladang-ladang getah.

2.1 Penghijrahan Imigran Cina dan India Setelah menguasai Tanah Melayu, British memperkenalkan pertanian dagangan. Pada awalnya British mengusahakan beberapa jenis tanaman tradisional seperti lada hitam, gambir, buah pala, cengkih, ubi kayu, tebu dan
1

Revolusi Perindustrian adalah zaman pada akhir kurun ke-18 dan awal kurun ke-19 apabila perubahan besar dalam pertanian, pembuatan dan pengangkutan memberi impak yang besar kepada sosioekonomi dan kebudayaan di Britain.

nanas. Tanaman ini diusahakan kerana mendapat pasaran yang baik. Pada mulanya, penanaman lada hitam untuk tujuan eksport diperkenalkan di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Sarawak. Kemudiannya, pada abad ke-19, tanaman lada hitam dan gambir diperkenalkan di Johor. Oleh yang demikian, British memerlukan buruh yang banyak. Berikutan itu, imigran Cina dari Singapura dibawa masuk untuk mengusahakan tanaman tersebut melalui Sistem Kangcu. Sehingga awal kurun ke-20, lada hitam menjadi eksport utama Johor pada awal abad ke-20. Selain migrasi yang berlaku untuk tujuan pertanian dagangan, kedatangan imigran Cina ke Tanah Melayu juga adalah disebabkan Revolusi Perindustrian. Revolusi Perindustrian telah menyebabkan kekayaan sumber bijih timah di Tanah Melayu diperlukan British untuk tujuan perusahaan mengetin makanan. Dengan itu, British mesti menguasai negeri-negeri Melayu yang kaya dengan sumber ini sebelum dikuasai negara Eropah yang lain untuk mendapatkan bekalan bijih timah yang berterusan dan

menjadikannya tempat memasarkan hasil keluaran kilang mereka. Untuk tujuan tersebut, British memerlukan tenaga buruh yang banyak. Sungguhpun bijih timah telah dilombong oleh orang-orang Melayu sejak berabad-abad lamanya, namun pengeluarannya adalah terhad kerana dijalankan dengan menggunakan cara tradisional seperti mendulang (Sheela Abraham, 1993, pp. 52). Hal ini telah menyebabkan pihak British untuk membawa masuk imigran Cina ke Tanah Melayu, demikian kerana mereka mempunyai kepakaran dalam perlombongan bijih timah yang dapat memaksimumkan pengeluaran bagi memenuhi kepentingan British. Pelombong Cina ini menggunakan kaedah lombong dedah, mesin wap dan pam kerikil. Teknologi ini sememangnya dapat meningkatkan hasil pengeluaran bijih timah berbanding cara tradisional yang digunakan orang Melayu. Di samping dasar pemerintahan British di Tanah Melayu, penghijrahan imigran Cina juga adalah disebabkan oleh beberapa faktor penolak di negara mereka seperti masalah sosial dan ekonomi di China, di samping kekacauan dan korupsi politik pemerintahan kerajaan Manchu2.

Kerajaan Manchu ialah dinasti China yang memerintah dari tahun 1644 hingga 1911.

Selain imigran dari negara China, British turut membawa masuk imigran dari India. Faktor utama berlakunya penghijrahan orang India secara beramai-ramai ke Tanah Melayu adalah disebabkan perkembangan perusahaan getah bagi British selepas kopi mengalami kejatuhan harga. Hampir semua imigran India yang berhijrah masuk ke Tanah Melayu berasal dari India Selatan terutamanya dari wilayah Madras (Tamil Nadu) dan India Utara dari Punjab. British memberi penekanan terhadap perusahaan getah kerana pada zaman tersebut, permintaan terhadap getah meningkat di mana ia diperlukan dalam perusahaan membuat motokar di Amerika Syarikat dan Eropah, perusahaan getah di Tanah Melayu menarik banyak modal oleh syarikat-syarikat besar di Eropah dan pembukaan ladang getah dikenakan cukai yang rendah berbanding tanaman lain. Selain faktor perusahaan getah, kedatangan imigran India ke Tanah Melayu juga adalah disebabkan galakan daripada British. Dua buah perkhidmatan awam yang paling banyak menggunakan buruh India ialah Jabatan Keretapi dan Jabatan Kerja Raya. Di samping itu, peluang pekerjaan bagi golongan menengah di Tanah Melayu turut dipenuhi oleh orang India seperti kerani, guru, doktor dan lain-lain. Pada tahun 1920-an kestabilan politik di Tanah Melayu telah mendorong kedatangan orang-orang India. Selain itu, adanya terdapat hubungan antara Kerajaan British di Tanah Melayu dan Kerajaan British di India turut memudahkan lagi kemasukan orang India di Tanah Melayu. Tambahan lain, kejayaan orang-orang India yang sebelumnya yang datang ke Tanah Melayu telah mendorong kepada kemasukan lebih ramai orang India. Seperti imigran Cina, imigran India berhijrah ke Tanah Melayu turut juga didorong oleh faktor penolak di negara mereka. Bencana alam yang berterusan di India telah menimbulkan penderitaan yang teruk pada penduduk akibat hasil pertanian yang tidak mencukupi. Penindasan oleh tuan tanah dan penindasan kasta yang teruk juga menyebabkan orang India semakin menderita di India juga mendorong orang India datang ke Tanah Melayu.

2.2 Dasar Pemerintahan British Membawa Pembentukan Masyarakat Majmuk J.S Furnival, seorang pelopor dalam teori masyarakat majmuk mendefinisikan masyarakat majmuk sebagai sebuah masyarakan yang terdiri daripada pelbagai bangsa yang berbeza dan berada atau tinggal di dalam satu unit politik yang sama tetapi terpisah disebabkan tidak wujud interaksi di antara satu kaum dengan kaum yang lain (Ruslan Zainuddin, 2004, pp.108109). Konsep masyarakat majmuk berdasarkan pengertian Furnival adalah jelas dipamerkan semasa dasar pemerintahan kolonial British. Seperti yang dibincangkan sebelum ini, British membawa masuk imigran dari negara China dan India sebagai buruh untuk mengeksploitasi kekayaan hasil bumi Tanah Melayu. Seterusnya, bagi mengoptimumkan hasil pengeluaran tersebut, British mengamalkan dasar pemerintahan yang memisahkan bangsa-bangsa yang telah diwujudkan oleh mereka ini bagi mengelakkan perpaduan yang seterusnya berkemungkinan mengakibatkan berlakunya penentangan. Pentadbiran British ini dikenali sebagai dasar pecah dan perintah3 dan bertujuan untuk memantapkan pengaruh politik dan ekonomi di Tanah Melayu. Melalui dasar ini, kerajaan Inggeris mentadbir penduduk Tanah Melayu dan imigran luar secara berasingan. Bagi mereka, pengasingan kaum adalah penting untuk memudahkan pentadbiran setiap kaum yang hanya perlu diwakili oleh ketua kaum masing-masing sahaja. Pada zaman kolonial tersebut, berlaku kesukaran hubungan antara kaum kerana perbezaan bangsa, bahasa, adat resam, agama, kebudayaan, kegiatan ekonomi, taraf hidup dan lokasi kediaman. Hal ini demikian

kerana perkembangan sosioekonomi kolonial pada masa itu. Oleh itu, pembentukan masyarakat majmuk ketika zaman pemerintahan British ini dapat dilihat dari beberapa faktor iaitu faktor sosial, faktor pendidikan, faktor ekonomi, pengeluaran akhbar pelbagai bahasa dan kewujudan persatuan pelbagai kaum.
3

Dasar Pecah dan Perintah merupakan satu kaedah imperialisme penjajah Eropah yang digunakan di tanah jajahan untuk `melemahkan bumiputera dan pada masa yang sama memberikan keutamaan kepada kaum imigran dan sekali gus memisahkan mereka daripada penduduk Bumiputera.

2.2.1 Keadaan Sosial Semasa zaman kolonialisme British, ketiga-tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India sengaja dipisahkan oleh golongan kulit putih ini. Hal ini adalah supaya penduduk tempatan tidak mempunyai kekuatan untuk menentang penjajah Inggeris. Selain itu, ia juga dapat mengelakkan orang Melayu daripada menerima pendedahan luar yang boleh mencetuskan perasaan tidak puas hati dan seterusnya menjurus kepada pemberontakan. Disebabkan pemisahan antara kaum pada masa tersebut, perpaduan kaum sukar untuk dicapai. Hal ini disebabkan terdapat perbezaan bahasa pertuturan dan perbezaan agama bagi ketiga-tiga kaum ketika itu. Oleh kerana wujudnya perbezaan bahasa pertuturan, interaksi antara kaum sukar untuk dilakukan. Kaum bumiputera bertutur menggunakan bahasa Melayu. Kaum Cina bertutur dalam pelbagai loghat seperti Hokkien, Hakka, Mandarin dan Kantonis. Manakala, kaum India pula bertutur dalam bahasa Tamil dan Telegu. Begitu juga dari faktor perbezaan agama antara kaum. Dengan wujudnya perbezaan amalan agama ini, perpaduan sukar diwujudkan dek kerana terdapat bermacam-macam budaya dan adat resam di Tanah Melayu ketika itu, dan masing-masing kaum tidak berupaya bertoleransi untuk menerima budaya kaum yang lain. Orang Melayu menganuti agama Islam, orang Cina beragama Buddha dan mengamalkan kepercayaan

Confucianisme dan Taoisme manakala orang India beragama Hindu. Sementara itu, kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak pula menganut agama Kristian.

2.2.2 Perbezaan Sistem Pendidikan Pada zaman kolonialisme British, pendidikan turut diberikan kepada penduduk di Tanah Melayu. Akan tetapi, sistem pendidikan pada masa tersebut tidak dapat menyatupadukan pelbagai kaum yang ada, sebaliknya meningkatkan lagi jurang antara kaum. Sekolah-sekolah yang didirikan pada

masa itu hanyalah memenuhi keperluan kaum masing-masing baik dari segi bahasa pengantar mahupun kurikulumnya. Bagi orang Melayu, pendidikan awal kanak-kanak adalah berasaskan pendidikan agama Islam. Menjelang tahun 1920-an, British menubuhkan sekolah aliran Melayu, akan tetapi tidak mendapat sambutan. British menggalakkan pendidikan vokasional dalam kalangan orang Melayu supaya mereka terus terlibat dalam pertanian. Sekolah-sekolah Inggeris hanya dibina di bandar dan keutamaan diberikan kepada anak-anak golongan diraja dan bangsawan sahaja. Walaupun begitu, sekolah ini juga tidak mendapat sambutan yang memberangsangkan kerana kedudukan sekolah jauh dari tempat kediaman dan dikelolakan oleh mubaligh Kristian. Sementara itu, bagi orang Cina dan India pula, British kurang memberikan perhatian kerana menganggap masyarakat Cina dan India hanyalah sebagai masyarakat sementara. Oleh yang demikian, orang Cina telah mendirikan sekolah sendiri yang dibiayai oleh persatuan sukarela dan persatuan orang Cina. Sekolah cina menggunakan bahasa pengantar berdasarkan dialek masing-masing, manakala sukatan pelajaran, buku-buku teks dan guru-guru dibawa dari negara China. Begitu juga dengan pendidikan Tamil, turut kurang diberikan perhatian. Pendidikan Tamil hanya terhad bagi peringkat rendah sahaja. Di kawasan bandar, sekolah Tamil dibiayai oleh kerajaan Inggeris kerana ibu bapa mereka berkhidmat dengan kerajaan. Manakala di kawasan estet, sekolah Tamil dibiayai oleh pihak ladang, mubaligh Kristian dan persatuan orang India. Disebabkan terbinanya sekolah yang mempunyai pelbagai aliran yang berorientasikan sistem pendidikan di negara asal masing-masing, jurang perbezaan antara kaum di Tanah Melayu pada ketika itu menjadi lebih luas.

2.2.3 Taraf Ekonomi Penduduk Pada zaman tersebut, setiap kaum masing-masing mempunyai kegiatan ekonomi yang tersendiri. Keadaaan ini menjurus kepada pengenalan kaum mengikut ekonomi yang diceburi. Misalnya, orang Melayu

meneruskan kegiatan ekonomi bercorak sara diri iaitu nelayan dan petani, dan mereka tinggal di kawasan pedalaman terutamanya persisiran pantai dan lembah sungai. Di kawasan bandar pula didiami oleh orang Cina yang memonopoli ekonomi bercorak komersial khususnya perlombongan bijih timah dan perdagangan. Manakala, orang India kebanyakannya tinggal di kawasan estet-estet getah dan bekerja sebagai buruh di ladang-ladang getah. Oleh kerana sesuatu bidang ekonomi hanya dikuasai oleh sesuatu kaum tertentu, wujud perbezaan taraf hidup yang ketara di antara setiap kaum pada masa itu. Orang Cina yang melibatkan diri dalam perlombongan dan perdagangan didapati mencapai taraf hidup yang lebih baik jika dibandingkan dengan orang Melayu atau India. Hal ini kerana, kebanyakan orang Cina tinggal di kawasan-kawasan bandar utama seperti Taiping, Ipoh, Kuala Kangsar, Seremban dan Kuala Lumpur yang mempunyai pelbagai kemajuan dan kemudahan yang disediakan penjajah Inggeris. Manakala, orang Melayu yang merupakan tuan kepada Tanah Melayu pula masih hidup dalam keadaan serba kekurangan dan mundur serta terpinggir dari arus pemodenan. Hal ini demikian kerana orang Melayu tinggal di kawasan pedalaman, dan British tidak memfokuskan untuk

menambahbaikkan kemudahan infrastruktur hingga ke pedalaman. Hanya bandar-bandar yang mempunyai sumber asli yang banyak sahaja dimajukan dan kawasan pedalaman tidak dihiraukan. Ini menyebabkan orang Melayu menjadi miskin di bumi sendiri, sedangkan kejayaan dinikmati oleh orang asing (Ruslan Zainuddin, 2004, pp.110). Dengan wujudnya jurang ekonomi yang nyata seperti ini di antara orang Melayu, Cina dan India, British berjaya mengekalkan dasar pemerintahan yang mengelakkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum pada masa itu.

2.2.4 Akhbar Pelbagai Bahasa Akhbar merupakan satu elemen penting dalam penyatuan pelbagai kaum dalam masyarakat majmuk. Selain itu, ia juga berperanan meniup semangat perkauman dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum. Ketika

zaman kolonial British, akhbar turut diterbitkan khususnya bagi memenuhi keperluan sesuatu kaum sahaja. Sebagai contoh, akhbar berbahasa Cina hanya berfungsi menyebarkan maklumat untuk kaum Cina sahaja dan beritanya pula berkisarkan kepada pergolakan dan peristiwa yang berlaku di negara China, bukannya keadaan semasa di Tanah Melayu. Demikian hal yang sama juga berlaku kepada akhbar berbahasa Tamil. Kesan daripada akhbar yang sedemikian, semangat cintakan tanah air masing-masing terus bersemadi di hati mereka. Walaupun orang Cina dan India berjauhan dari tanah air mereka tetapi mereka masih dapat mengetahui keadaan di sana. Akhbar-akhbar sebegini berjaya mewujudkan jalinan yang rapat dalam kalangan kaum mereka, tetapi tidak di antara mereka dengan kaum yang lain. Kewujudan akhbar pelbagai bahasa ini terus merenggangkan lagi pengasingan kaum di Tanah Melayu.

2.2.5 Persatuan Pelbagai Kaum Semasa zaman tersebut, pelbagai persatuan telah ditubuhkan demi menjaga kepentingan penduduk di Tanah Melayu. Setiap kaum menubuhkan persatuan kebajikan dan pertubuhan-pertubuhan sosial untuk memelihara kepentingan dan aktiviti bagi kaum masing-masing. Antaranya, Kelab Melayu, Kelab Cina dan Persatuan Orang-orang India. Keadaan ini mendorong kepada jurang perbezaan kaum yang lebih luas kerana masingmasing berjuang untuk kepentingan kaum sendiri sahaja.

Oleh yang demikian, berdasarkan perkara-perkara yang dibincangkan sebelum ini, jelaslah bahawa perkembangan sosioekonomi kolonial telah bertanggungjawab mewujudkan masyarakat majmuk di Tanah Melayu, di mana, British bertanggungjawab membawa imigran luar ke Tanah Melayu dan dasar pemerintahannya pula menekankan konsep masyarakat yang terpisah antara satu kaum dengan kaum yang lain.

Anda mungkin juga menyukai