Anda di halaman 1dari 16

Politik dan Pentadbiran

BAB 3

KLASIFIKASI KERAJAAN

OBJEKTIF BAB

Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya boleh:


1. Menghuraikan tentang konsep dan jenis-jenis kerajaan.
2. Membincangkan tentang sistem pengkelasan kerajaan.
3. Mengenal pasti jenis kerajaan yang baik dan tidak baik dalam sistem negara
moden.

3.1 PENGENALAN

Terdapat kesukaran untuk membuat pengkelasan secara jelas tentang strukur, jenis
dan bentuk kerajaan yang wujud dalam sebuah negara. Perkara ini bukan hanya
berlaku pada masa dahulu, bahkan ia masih lagi berlaku pada hari ini. Ini disebabkan
banyak kriteria dan ciri-ciri yang boleh dipertimbang dan diguna pakai dalam usaha
untuk mengklasifikasikan kerajaan yang dibentuk dalam sebuah negara. Ideologi
politik adakalanya memainkan peranan penting dalam membentuk sistem kerajaan
yang memerintah negara berkenaan.

Tentunya ideologi liberal dan komunis akan mewujudkan sistem dan bentuk kerajaan
yang berbeza. Oleh sebab itu, apabila satu ideologi politik itu sudah dapat diterima
dalam negara berkenaan, maka ia akan menyebabkan runtuhnya ideologi yang lama.
Lihat sahaja keruntuhan Soviet Union yang dibentuk berasaskan ideologi komunis.
Disebabkan ideologi politik liberal semakin diterima oleh rakyat di negara berkenaan,
maka runtuhlah Soviet Union. Dengan runtuhnya Soviet Union, maka Rusia berdiri
sebagai sebuah negara yang diterajui oleh kerajaan di bawah pemimpin yang
mempunyai fahaman liberal.

Cuba anda fikirkan, bolehkan negara wujud tanpa kerajaan? Atau,


bolehkah kerajaan wujud tanpa negara?

Berkaitan dengan usaha mengklasifikasikan kerajaan, terdapat beberapa ciri lain yang
perlu dipertimbangkan. Namun, tiada ukuran yang komprehensif dan seragam dalam
membuat ketetapan mengenai struktur, jenis dan bentuk kerajaan yang ada dalam
sebuah negara. Para sarjana sains politik tampil dengan idea masing-masing tentang
pengkelasan kerajaan yang diterima umum. Sudah lama usaha ini dilakukan. Ia telah
dimulakan oleh Aristotle apabila beliau melakukan percubaan untuk menghasilkan
satu pengkelasan struktur kerajaan.

23
Politik dan Pentadbiran

Berbalik kepada pertanyaan di atas, cuba anda fikirkan dua soal berkenaan. Bolehkah
negara wujud tanpa kerajaan, atau kerajaan tanpa negara? Berikan contoh dan anda
boleh membuat perbincangan berdasarkan hujah-hujah tertentu. Kedua-dua perkara
ini iaitu kerajaan dan negara saling berkait antara satu sama lain yang boleh
diumpamakan sebagai lagu dan irama. Apa itu negara? Apa itu kerajaan? Yang
mana satukah wujud terlebih dahulu, negara atau kerajaan? Dalam bab ini bukanlah
bertujuan untuk membincangkan secara terperinci tentang negara. Tumpuan
perbincangan dalam adalah memberi tumpuan kepada tentang pengkelasan kerajaan.

3.1.1 Pengertian Negara

Kerajaan merupakan salah satu ciri yang terdapat dalam sebuah negara selain
daripada sempadan, penduduk dan kedaulatan. Jika ada semua ciri-ciri ini, maka
wujudlah sebuah negara. Yang manakah wujud terlebih dahulu, negara atau
kerajaan? Ia ibarat ayam dan telur. Apa yang pasti, kedua-dua perkara ini saling
berkait antara satu sama lain. Kerajaan itu perlu ada dalam negara untuk memerintah
sama ada dalam sistem demokrasi, komunis, monarki dan lain-lain. Cuma yang
berbeza antara kerajaan dalam sistem-sistem politik ini adalah cara bagaimana
pemimpin yang menerajui kerajaan itu dipilih. Dalam sistem monarki misalnya,
pemimpin yang akan menerajui kerajaan dalam negara berkenaan adalah secara
warisan. Anak atau waris keluarga berkenaan akan mewarisi pemerintahan daripada
pemimpin sebelum itu.

Sebelum dibincangkan konsep kerajaan, wajar untuk kita fahami apa yang
dimaksudkan sebagai negara. Dalam istilah sains politik, negara dalam bahasa
Inggeris ialah state. Dalam pertuturan biasa hari ini, negara dalam bahasa Inggeris
disebut sebagai country, manakala state itu pula merujuk kepada negeri. Alasan
perkataan state seperti yang digunakan oleh Roskin, et. al. (2003: 36) ialah “... we use
state in its orginal sense; the fifty U.S. states are not states in this sense of the word.”
Berasaskan penjelasan ini, perkataan state itu merujuk kepada negara bukannya
negeri.

Sebab itu, apabila dikatakan negara-bangsa, ia diterjemahkan sebagai nation-state.


Negara itu wujud adalah hasil daripada penyatuan politik untuk membentuk suatu
identiti yang jelas dengan adanya sempadan yang jelas, memiliki kedaulatan, kerajaan
yang ada legitimasi atau keabsahan, warganegara yang kekal, perlembagaan yang
satu, lambang kebesaran dan mempunyai hubungan diplomatik dengan negara-negara
lain. Oleh sebab itu, negara-negara moden yang wujud pada hari ini dapat dilihat ciri-
ciri tersebut iaitu adanya sempadan memisahkan satu negara dengan negara yang lain,
kedaulatan yang diiktiraf oleh antarabangsa, kerajaan yang memerintah yang
memiliki kuasa yang sah, warganegara yang memiliki kerakyatan yang tulen dan lain-
lain.

Dari segi konsepnya, negara menurut Roskin, et. al. (2003: 36) ialah “a state is a
government structure, usually sovereign and powerful enough to enforce its writ”.
Konsep ini dengan jelas menerangkan bahawa dalam negara itu terdapatnya struktur

24
Politik dan Pentadbiran

kerajaan yang jelas, biasanya berdaulat dan cukup berkuasa untuk menguatkuasakan
kuasa yang ada padanya. Ramai yang membahaskan bahawa bangsa (nations) itu
perlu wujud atau dibangunkan terlebih dahulu daripada negara. Negara itu diciptakan
dengan meniru sesuatu (artificial creations), di mana ia boleh muncul dan
menghilang dan bertukar sepanjang abad. Walau bagaimanapun, negara mestilah
mempunyai elemen-elemen asas iaitu terdapatnya kelompok manusia yang menjadi
warganegara yang memiliki perasaan ketaatsetiaan dan memiliki nilai kekerabatan
dalam institusi itu.

3.1.2 Elemen-elemen Negara

Negara pada asasnya memiliki beberapa ciri seperti wilayah, penduduk,


kemerdekaan, dan kerajaan. Melalui tiap-tiap elemen ini, kita dapat mengenal pasti
ciri-ciri kerajaan yang kuat dan jelas serta kadangkala kerajaan yang lemah dan
menghilang.

(i) Wilayah
Tiap-tiap negara mesti ada wilayah yang jelas dengan sempadan yang
telah ditetapkan oleh antarabangsa sama ada di darat, laut dan udara.
Ini merupakan wilayah sebuah negara yang tidak boleh dicerobohi.
Dengan adanya wilayah yang jelas, ia merupakan garis sempadan yang
memisahkan antara satu negar dengan negara yang lain yang
bersempadan dengannya. Tidak dibenarkan pencerobohan sempadan
sebuah negara oleh negara yang lain kerana ia dianggap mencabul
kedaulatan negara berkenaan.

(ii) Penduduk
Jika tiada rakyat yang menjadi warganegara atau penduduk sebuah
negara, ia tidak memberi sebarang makna. Oleh itu, negara yang sah
dan berdaulat walaupun tidak merdeka daripada penjajahan, perlu ada
penduduk yang mempunyai ciri-ciri seperti nilai, bahasa, budaya dan
kepercayaan yang hampir sama dan boleh bersatu dalam banyak aspek.
Warganegaralah yang akan menentukan hala tuju pembangunan
negara bersama dengan kerajaan yang telah mereka bentuk melalui
sistem politik yang ada.

(iii) Kemerdekaan
Sepatutnya sebuah negara itu adalah merdeka dan bebas daripada
sebarang bentuk penjajahan, penaklukan dan pencerobohan. Sebuah
negara merdeka adalah negara yang mendapat pengiktirafan
antarabangsa. Dalam konteks moden pada hari ini, negara yang
merdeka akan menjadi ahli dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
(PBB). Oleh sebab itu, tiap-tiap tahun pada tarikh tertentu sebuah
negara itu akan meraikan hari sambutan kemerdekaan masing-masing.
Merdeka di sini bermaksud bebas daripada campurtangan dan
pengaruh luar dalam pemerintahan dan pentadbiran negara.

25
Politik dan Pentadbiran

(iv) Kerajaan
Satu lagi elemen penting dalam negara ialah kerajaan. Kerajaan perlu
ada untuk memerintah dan mentadbir sebuah negara tidak kira dalam
sistem demokrasi, komunis, monarki dan lain-lain. Kerajaan itu juga
perlu mendapat keabsahan dan memiliki kuasa daripada mandat yang
diberikan oleh rakyat. Kerajaan dalam sebuah negara boleh bertukar-
tukar atau diganti daripada satu kerajaan kepada satu kerajaan yang
lain mengikut sistem politik yang diamalkan dalam negara berkenaan.
Kerajaan bertanggungjawab terhadap kesemua elemen yang
disebutkan di atas bagi menjadi kedaulatan, keselamatan, keamanan,
kemakmuran dan sebagai dalam negara akan terus terpelihara.

3.2 KONSEP KERAJAAN

Salah elemen penting negara ialah kerajaan seperti diterangkan di atas. Sukar hendak
mempercayai sebuah negara tanpa kerajaan. Kerajaan merupakan sebuah organisasi
yang mengatur dan memimpin negara untuk sesuatu tujuan atau matlamat. Kerajaan
adalah pemerintah dan pemerintah itu adalah kerajaan. Sebab itu dalam sistem
demokrasi berparlimen, Kabinet itu adalah kerajaan dan kerajaan itu adalah Kabinet.
Kerajaan itulah yang akan menguruskan segala hal ehwal dalam negara terutama
dalam menjaga kepentingan rakyat. Oleh itu, tanpa sebuah kerajaan, tidak akan
wujud sebuah negara yang dikatakan baik dan sempurna.

Untuk mewujudkan organisasi dan pemerintahan yang berkesan, negara tersebut perlu
memiliki kerajaan yang berwibawa dan mempunyai kuasa dalam membuat undang-
undang dan peraturan serta menguatkuasakannya kepada rakyat. Dalam hal ini, pada
umumnya konsep kerajaan itu merujuk kepada fungsi-fungsi yang terlibat dalam
pengurusan dan perjalanan hal ehwal sesebuah negara. Di bawah akan dibincangkan
beberapa definisi tentang kerajaan.

Robertson (1985: 142) menghuraikan konsep kerajaan seperti berikut:


“the term ‘government’ is general one used to describe both the
body that has power in a given unit—whether national, regional or
local—and the whole constitutional system. There are many
different forms of government such as democracy, autocracy and
dictatorship.”

Mengikut penjelasan Robertson di atas, kerajaan itu merujuk kepada satu badan yang
mempunyai kuasa dalam dalam negara sama ada di peringkat persekutuan, wilayah
(negeri) dan tempatan serta meliputi keseluruhan sistem perlembagaan. Dalam pada
itu, terdapat pelbagai bentuk kerajaan seperti demokrasi, autokrasi dan juga diktator.
Dalam usaha membincangkan jenis atau bentuk kerajaan yang wujud dalam sebuah
negara, Aristotle merupakan sarjana pertama yang mengkajinya secara sistematik
tentang kaedah-kaedah dalam usaha mengklasifikasikan kerajaan.

26
Politik dan Pentadbiran

Fikirkan, apakah perbezaan antara kerajaan demokrasi, autokrasi dan


diktator?

Kerajaan adalah institusi negara. Ia merupakan agen negara yang bertanggungjawab


mengagihkan nilai yang dilakukannya melalui dasar awam. Dengan kata lain,
kerajaan merupakan agen sosialisasi yang sangat penting dalam mempengaruhi
tingkahlaku dan pemikiran rakyat. Menurut Syed Ahmad (1995: 202), kerajaan
merupakan satu institusi kompleks yang mentadbir negara. Dalam hal ini, kerajaan
memainkan peranan penting dalam mentadbir negara. Salah satunya ialah menggubal
undang-undang untuk mengawal rakyat dan negara serta menggubal dasar untuk
kepentingan rakyat. Hanya kerajaan sahaja yang boleh menggubal dasar dan
peraturan untuk rakyat dalam sebuah negara dan menguatkuasa serta
melaksanakannya. Atas sebab itu, tiap-tiap langkah dan tindak tanduk kerajaan
melalui dasar awam umpamanya lebih ke arah menjaga kebajikan orang awam secara
keseluruhannya. Ini menepati dengan apa yang dikatakan oleh Socrates dalam The
Republic bahawa “sebuah negara yang unggul bukan untuk mewujudkan kebahagiaan
tidak seimbang bagi mana-mana satu kelas, tetapi kebahagiaan paling banyak bagi
semua orang.”

Finer (1970: 3-4) memberi definisi kerajaan berdasarkan kepada empat bentuk
kerajaan yang berbeza-beza seperti “government denotes the activity or the process of
governing, i.e. of exercising a measure of control over others.” Merujuk kepada
pengertian ini, jelas di sini menunjukkan bahawa kerajaan merupakan satu badan
yang melaksanakan aktiviti atau proses pentadbiran dalam negara. Kerajaan
melaksanakan kawalan ke atas pihak lain yang berada di bawah pemerintahannya.
Bagi kerajaan yang mempunyai negeri-negeri yang kecil lebih mudah menjalankan
aktiviti pentadbiran berbanding kerajaan yang besar.

Selanjutnya Finer mengatakan bahawa kerajaan seperti “government denoting the


state of affair in which this activity or process is to be found, in short a condition of
ordered rule.” Dalam hal ini ini, kerajaan adalah pengasas dalam menjalankan
aktiviti atau proses membentuk serta menentukan peraturan-peraturan dalam negara.
Peraturan juga merupakan salah satu daripada bentuk dasar awam. Seterusnya beliau
mengatakan “the word government to denote those people charged with the duty of
governing” dan “government may denote the manner, method or system by which a
particular society is governed”.

Dalam konteks yang lebih mudah, tanggapan terhadap kerajaan ialah melibatkan
hubungan asas antara pemerintah dengan yang diperintah, antara arahan dengan
kepatuhan. Kebiasaannya konsep antara kerajaan dan negara sering digunakan secara
silih berganti seolah-olah kedua-dua istilah ini sama maknanya. Contohnya, dasar
negara dan dasar kerajaan. Sepatutnya dasar kerajaan itu yang tepat, di mana
kerajaan akan melaksanakan dasar untuk kepentingan negara. Kerajaan adalah alat
negara untuk mencapai sesuatu maltamat. Dalam perkataan lain, perkataan negara
membawa maksud komuniti politik itu sendiri. Manakala perkataan kerajaan merujuk

27
Politik dan Pentadbiran

kepada cara komuniti itu dikelolakan dari segi politiknya. Namun, dalam teori
politik, kedua konsep ini biasanya digabungkan. Sebagai contoh, jenis negara
selalunya dinamai mengikut bentuk kerajaannya (Adler, 2008).

Terdapat pelbagai istilah dan terminologi tentang kerajaan sistem kerajaan, bentuk
kerajaan dan rejim. Semua terminologi ini membawa maksud yang hampir sama,
tetapi ia jelas berbeza dari segi corak bagaimana pemerintahan dijalankan. Sebagai
contoh, istilah rejim dan sistem kerajaan mempunyai perbezaan. Rejim merupakan
pemerintahan yang dilakukan ke atas sesebuah masyarakat daripada parti, seseorang
pemimpin (perorangan) atau kumpulan yang memegang kekuasaan secara
keseluruhan dalam sesebuah masyarakat. Rejim lebih merujuk kepada “siapa” yang
menjalankan pemerintahan. Contohnya ialah rejim Hitler, rejim Zionis dan rejim
Israel. Manakala sistem kerajaan merujuk kepada institusi-institusi pemerintahan
sesebuah kerajaan yang bertanggungjawab menggubal dan melaksanakan dasar-dasar
kerajaan. Sistem kerajaan dapat dikelaskan kepada beberapa jenis iaitu republik,
monarki, demokratik, totalitarian dan autokrasi.

Dari segi fungsi, kerajaan boleh melakukan pelbagai fungsi dalam menguruskan
negara melalui pelbagai aktiviti untuk mencapai matlamat negara. Ini termasuklah
berperanan sebagai pelindung, pemberi pengadilan, pengawal, pengusaha dan
penghukum dalam proses mengagihkan nilai dalam masyarakat. Lain-lain fungsi
kerajaan seperti mentadbir; menjaga keamanan dan ketenteraman dalaman; mengawal
keselamatan daripada ancaman luar; menentukan keadilan; menggalakkan
pembangunan; memungut cukai; membuat dan melaksanakan peraturan dan dasar;
membuat perhubungan dengan negara-negara lain; dan fungsi umum menentukan
sistem sosial dan politik berjalan terus dan teratur. Namun, fungsi kerajaan turut
berubah mengikut peredaran masa. Menurut Tun Dr. Mahathir “kerajaan bukan lagi
terhad kepada mengekal undang-undang dan peraturan; dan memungut hasil, tetapi
peranan kerajaan sudah diperluaskan sehingga terlibat dengan semua gerak-geri
ekonomi, sosial dan politik dalam sebuah negara yang merdeka”.

SOALAN DALAM TEKS

1. Adakah kerajaan yang diperintah oleh tentera melalui rampasan


kuasa itu sah?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

3.3 TUJUAN DAN MASALAH PENGKELASAN

Usaha dalam membuat pengkelasan sistem kerajaan telah lama dilakukan. Ia


dikatakan semenjak permulaan kajian sains politik lagi. Seperti yang telah disebutkan

28
Politik dan Pentadbiran

di awal bab ini, Aristotle merupakan sarjana pertama berusaha untuk membuat
pengkelasan sistem dan struktur kerajaan. Aristotle telah membuat pengkelasan
antara negara mengikut struktur pemerintahan iaitu negara yang diperintah oleh satu
orang (monarki), oleh sekumpulan kecil orang (aristokrasi) dan oleh banyak orang
(kerajaan campuran). Tujuan beliau membuat pengkelasan ini adalah untuk
menghurai pengkelasan kerajaan itu dan menilainya. Aristotle kemudiannya
memperluaskan lagi pengkelasan kerajaan kepada beberapa bentuk seperti tirani,
oligarki dan demokrasi seperti yang ditunjukkan dalam jadual 3.1 di bawah. Walau
bagaimanapun, Aristotle menyedari bahawa tiada satu pun bentuk kerajaan yang
tulen. Pengkelasan oleh Aristotle adalah bertujuan untuk menilai kerajaan yang ideal
dari segi falsafahnya.

Jadual 3.1: Klasifikasi Kerajaan

Bentuk Legitimasi Bentuk Korupsi


Bilangan
(Untuk Kepentingan (Untuk Kepentingan
Memerintah
Semua Sendiri)
Satu Monarki Tirani
Sedikit Aristokrasi Oligarki
Ramai Politi Demokrasi
(Sumber: Roskin, et. al., 2003: 45)

Seorang lagi sarjana sains politik iaitu Jean Bodin melalui bukunya Six Books On The
Commonwealth pada abad ke-16 telah melanjutkan pengkelasan kerajaan oleh
Aristotle. Bodin menumpukan perbincangannya kepada pencarian “apakah jenis
perlembagaan yang paling baik” dalam sebuah negara. Beliau mempunyai
pengetahuan yang mendalam tentang perlembagaan semasa dan pendirian beliau
bahawa jenis kerajaan bergantung kepada faktor-faktor ekonomi dan geografi di
samping faktor-faktor politik. Ini membolehkan Bodin telah memberi sumbangan
yang besar kepada kemajuan ilmu politik. Namun, masih terdapat penekanan kepada
kedaulatan undang-undang yang menjadi simbol utama sains politik abad ke-20 (Ball,
1993: 45).

Selain daripada tokoh di atas yang membuat pengelasan kerajaan, seorang ahli
falsafah Perancis iaitu Montesquieu telah menghasilkan skema pengelasan yang
paling terkenal pada abad ke-18. Menurut pandangan beliau, terdapat tiga jenis
kerajaan iaitu republikan, monarki dan kuku besi. Kerajaan republikan
membahagikan kuasa antara yang banyak atau yang sedikit, “semakin dekat
aristokrasi menghampiri demokrasi, semakin rapat aristokrasi mencapai
kesempurnaan dan dengan kadar yang sama, semakin aristokrasi mendekati monarki,
aristokrasi menjadi lebih tidak sempurna”.

Klasifikasi yang dilakukan Montesquieu berbeza daripada Aristotle. Skema


pengelasannya berbentuk klasikal kerana jenis kerajaan bergantung kepada bilangan
orang yang memegang kuasa. Bagi kerajaan jenis monarki pula, merupakan satu
sistem yang dikawal oleh undang-undang asas dan oleh kuasa kumpulan-kumpulan

29
Politik dan Pentadbiran

yang lain dalam masyarakat walaupun kuasa dipegang oleh satu orang. Manakala
pemerintahan jenis kuku besi (despotism) ialah bentuk kerajaan yang paling buruk
kerana kuasa terletak dalam tangan satu orang sahaja. Dalam klasifikasi beliau juga
turut mengiktiraf perhubungan antara jenis kerajaan dengan jenis masyarakat. Selain
itu, pembolehubah seperti keluasan sempadan negara, pendidikan moral, semangat
patriotik dan tahap kesamaan ekonomi membantu menentukan jenis kerajaan (Ball
1993: 45).

Usaha pengelasan kerajaan dilakukan adalah bertujuan untuk mengasingkan ciri-ciri


yang paling penting daripada yang kurang penting dalam sesuatu sistem politik.
Pengelasan bermula daripada pendekatan perbandingan dan juga dari segi
matlamatnya. Disebabkan tidak ada satu skema pengelasan yang sesuai bagi semua
tujuan, maka skema pengelasan bergantung pada aspek sistem politik yang mana
hendak diasingkan dan ditekankan. Selain itu, skema pengelasan juga mungkin
bertujuan menunjukkan hubung kait antara pembolehubah-pembolehubah yang
berlainan. Satu perkara yang dilihat penting ialah perhubungan antara jenis sistem
politik dengan struktur sosioekonomi.

Walau bagaimanapun, dalam pengelasan kerajaan terdapat beberapa masalah yang


timbul. Antaranya ialah masalah mentakrif konsep-konsep yang digunakan. Konsep
yang digunakan untuk merujuk kepada sesuatu perkara adakalanya berbeza
pengertian bagi setiap kerajaan. Sebagai contoh, kebebasan sivil mungkin
mempunyai pengertian yang berbeza bagi Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet.
Jika dakwaan bahawa kerajaan Soviet mengabaikan hak asasi sivil, ini adalah tidak
bererti sehingga kedua-dua kerajaan tersebut membuat persetujuan tentang apakah
yang dimaksudkan dengan “kebebasan sivil” oleh kerajaan masing-masing.
Pembentukan konsep juga adalah sukar kerana masalah kuantifikasi yang
sememangnya menyukarkan.

Selain itu, pengelasan kerajaan juga telah mewujudkan masalah label. Masalah label
merupakan satu masalah dalam pengelasan sistem politik. Institusi-institusi politik
yang mempunyai label yang sama berkemungkinan melaksanakan fungsi yang sama
namun dalam sistem politik yang berbeza (Almond & Powell, 1978 dipetik dalam
Ball). Apa yang dapat dilihat sebagai contoh sistem Monarki British mempunyai
fungsi dan pengaruh politik yang sama seperti presiden Jerman Barat. Label-label
bagi setiap parti berbeza dan mengelirukan dari segi bagaimana sistem sesebuah parti
itu berfungsi sebenarnya.

Masalah seterusnya ialah masalah pertimbangan nilai. Pengelasan ada kalanya


digunakan bertujuan untuk menyanjung atau mengutuk rejim tertentu. Rejim-rejim
bukan hanya untuk menghurai, mengkategori, dan menganalisis institusi-institusi
politiknya sahaja, tetapi juga untuk menggambarkan pilihan. Pilihan dalam
membentuk sesuatu sistem politik mempunyai perbezaan. Bagi mereka yang
memilih sistem demokratik, mereka akan melihat atau menilai jenis-jenis kerajaan
yang lain yang tidak menjadi pilihan mereka sebagai sebuah kerajaan yang

30
Politik dan Pentadbiran

berdasarkan paksaan atau tipu helah. Oleh itu, pengelasan kerajaan adalah sukar
kerana nilai yang diberikan berbeza mengikut fahaman.

SOALAN DALAM TEKS

2. Apakah yang anda fahami tentang pemerintahan kuku besi?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

3.4 SISTEM PENGKELASAN

Pengelasan sistem politik telah melibatkan pelbagai cara dan kaedah. Namun
demikian, tipologi umum seperti sistem Demokratik Liberal, Demokrasi Sosialis dan
Autokrasi autoritarian sudah mencukupi untuk mewakili pelbagai cara pengelasan
sistem politik. Selain itu, tipologi ini juga jelas menerangkan masalah berkaitan
sistem politik itu sendiri serta beberapa kelebihannya. Perkara ini jelas dapat dilihat
melalui ciri-ciri sesebuah sistem politik.

Menurut Abdul Rashid dan Syed Serajul dalam introduction to political science,
sistem demokratik liberal merujuk kepada sistem politik di mana demokrasi atau
"kedaulatan rakyat" diguna pakai. Jentera kerajaan dikendalikan oleh wakil-wakil
yang dipilih rakyat yang bertanggungjawab kepada rakyat untuk dasar-dasar dan
tindakan mereka. Berikut ialah ciri-ciri bagi sistem jenis demokrasi liberal:
(i) Mempunyai lebih daripada satu parti politik yang terlibat dalam
persaingan mendapatkan kuasa politik.
(ii) Persaingan mendapatkan kuasa adalah terbuka dan ianya berdasarkan
prosedur yang telah ditetapkan serta diterima umum.
(iii) Kemasukan ahli baru untuk sesuatu kedudukan politik juga adalah
terbuka secara relatifnya.
(iv) Terdapat pilihan raya yang dijalankan berdasarkan hak mengundi yang
sejagat.
(v) Kumpulan pendesak turut memainkan peranan dalam mempengaruhi
keputusan kerajaan manakala persatuan seperti kesatuan sekerja dan
organisasi sukarela lainnya pula tidak tertakluk kepada kawalan ketat
kerajaan.
(vi) Kebebasan sivil seperti kebebasan bersuara, beragama, dan kebebasan
daripada ditahan sebarangan diiktiraf dan dilindungi dalam sistem
politik. Ini mengandaikan bahawa media massa seperti radio,
televisyen, dan surat khabar menikmati kebebasan yang meluas
daripada kongkongan kerajaan.

31
Politik dan Pentadbiran

(vii) Terdapat satu bentuk pengasingan kuasa, iaitu majlis perwakilan


mempunyai kawalan tertentu terhadap eksekutif, dan kehakiman pula
bebas daripada eksekutif dan perundangan.

Walau bagaimanapun, ciri-ciri sistem demokratik liberal ini masih lagi mempunyai
kekurangan dan masalah dari segi aspek-aspek tertentu seperti pelaksanaannya.
Sebagai contoh ialah untuk persoalan, sejauhmanakah kehakiman bebas daripada
kawalan eksekutif? Jika diperhatikan di negara Afrika Selatan, mereka mempunyai
sistem parti yang bersaingan, tetapi dipertikaikan sama ada kebebasan sivil lebih
dilindungi di Afrika Selatan jika dibandingkan dengan Tanzania, dimana hanya
terdapat satu parti politik sahaja. Persaingan antara parti-parti politik di Afrika
Selatan terhad kepada parti politik kaum kulit putih sahaja dan sebahagian besar
penduduk diasingkan daripada arena politik. Salah satu contoh lagi ialah mengenai
kebebasan media. Sejauhmanakah kebebasan media bebas daripada penapisan
kerajaan?. Jika dilihat selepas pengisytiharan darurat pada tahun 1975, berlaku
kawalan kerajaan terhadap akhbar dan tindakan kerajaan menahan tanpa bicara
musuh politik di India telah menyebabkan negara itu tidak berhak lagi dikategorikan
sebagai Demokrasi Liberal.

Menurut Jean Blondel (1969), “Demokrasi liberal ... sukar ditakrif kerana komponen-
komponen utama gabungan indeksnya (pilihan raya bebas, wujudnya pihak
pembangkang, dan sebagainya) kelihatan mencabar proses yang ketat dalam
mengoperasi takrifan itu”. Masalah-masalah tersebut sememangnya sukar diatasi.
Namun, konsep Demokrasi Liberal merupakan sistem yang cukup fleksibel untuk
menggabungkan pelbagai sistem dengan menekankan ciri-ciri penting yang tertentu
serta untuk membandingkan sistem-sistem ini dengan kategori-kategori sistem politik
umum yang lain.

Seterusnya ialah bagi kategori yang kedua iaitu Demokrasi Sosialis atau sering juga
digelar “totalitarianisme”. Sistem Totalitarian dapat didefinisikan sebagai “a
totalitarian state is one where authority of government is total and absolute claiming
jurisdiction over the whole of a man’s life. That is, no part of a man’s life is outside
the detailed supervision and control of the state” (Abdul Rashid & Syed Serajul,
2009).

Friedrich & Brzezinski (ibid.,) yang telah memberi gambaran khusus mengenai ciri-
ciri rejim ini antaranya ialah satu sistem politik yang mempunyai satu ideologi rasmi,
satu parti massa, menggunakan kaedah menakut-nakutkan oleh pihak kerajaan,
komunikasi, dana menggunakan paksaan yang dimonopoli oleh kerajaan dan
terdapatnya arahan pusat dalam sistem ekonomi. Sistem jenis ini sebenarnya
mempunyai lebih banyak masalah operasi berbanding dengan Demokrasi Liberal.
Kategori ini nampaknya menekankan ideologi sosialis dan penggunaan keganasan.
Huraian ini mungkin lebih sesuai bagi rejim seperti Hitler dan Stalin dan bukannya
untuk sistem-sistem politik masa kini.

32
Politik dan Pentadbiran

Penggunaan istilah demokrasi sosialis bagi menggantikan totalitarian akan


mengurangkan implikasi normatif penggunaan istilah ini. Ciri-ciri sistem ini
antaranya ialah:
(i) Hanya mempunyai satu ideologi sosialis yang rasmi.
(ii) Penguasaan politik dilakukan oleh satu parti sahaja.
(iii) Terdapat kekaburan antara aktiviti awam dengan aktiviti swasta jika
dibandingkan dengan keadaan yang terdapat dalam sistem demokrasi
liberal. Dalam sistem ini, kumpulan-kumpulan swasta tertakluk pada
pengawalan negara yang lebih tinggi darjah pengawalannya.
(iv) Ketiadaan konsep pemisahan kuasa seperti yang terdapat dalam sistem
demokrasi liberal, dan dengan itu kebebasan badan kehakiman lebih
terhad.

Namun begitu, ciri-ciri yang terdapat dalam sitem politik jenis ini menonjolkan
perbezaan yang lebih jelas jika dibandingkan dengan demokrasi liberal. Sistem
politik jenis ini adalah kurang terdedah kepada tuduhan bias politik. Contoh kategori
sistem ini antaranya ialah bagi sistem Eropah Timur seperti Poland, Hungary,
Yugoslavia, Bulgaria dan sebagainya.

Kategori yang ketiga ialah sistem politik autokrasi. Sistem politik jenis ini dilihat
mempunyai lebih banyak masalah dalam usaha pembentukan konsep berbanding
dengan dua sistem lain iaitu demokrasi liberal dan demokrasi sosialis. Sistem ini
biasanya tidak stabil dan mungkin berubah lebih cepat berbanding sistem-sistem lain.
Tahap pembangunan sosio ekonomi, sifat sistem parti, dan peranan tentera
merupakan pembolehubah penting dalam pengelasan. Ciri-ciri lain dalam membantu
membuat skema pengelasan dalam sistem ini ialah batasan terhadap persaingan
politik yang terbuka, peranan ideologi, penggunaan kuasa paksaan yang jelas,
pengabaian terhadap kebebasan sivil, kurangnya kebebasan kehakiman, dan peranan
elit tradisional atau elit tentera. Rejim oligarki atau autoritarian dapat dikelaskan
seperti berikut:

a) Rejim Konservatif:
(i) Monarki tradisional dengan golongan pemerintah tradisional
dan infrastruktur institusi politik yang sedikit sahaja.
Contohnya Arab Saudi, Morocco dan Nepal.
(ii) Kediktatoran konservatif, iaitu personaliti pemimpin penting
dan terdapat sedikit sahaja bentuk kesahan yang termaktub.
Contohnya Paraguay dan Malawi.
(iii) Teokrasi, iaitu rejim bercorak revolusioner yang cuba
mengerahkan sokongan massa. Contohnya negara Iran.

b) Demokrasi Liberal dipermukaan:


Terdapat persaingan dalam pilihan raya tetapi terdapat juga batasan
terhadap pihak pembangkang dan juga aspek kebebasan sivil. Contoh
negaranya ialah Afrika Selatan dan Mexico.

33
Politik dan Pentadbiran

c) Rejim Tentera:
(i) Rejim tentera secara langsung; mendapatkan kuasa melalui
rampasan kuasa, tahap pembangunan ekonomi yang rendah,
tidak terdapat pilihan raya serta darjah ketidakstabilan politik
yang tinggi. Contoh yang dapat dilihat ialah seperti negara
Thailand, Pakistan.
(ii) Rejim awam-tentera; rejim ini lebih stabil jika dibandingkan
dengan rejim tentera secara langsung. Namun, perhubungan
kuasa dalam kerajaan antara pihak awam dengan tentera sukar
dinilai dan sentiasa berubah-ubah. Contoh yang sesuai bagi
kategori ini adalah bagi negara Mesir, Brazil.
(iii) Rejim tentera yang radikal; rejim yang paling kontroversial
kerana mempunyai banyak pertindihan antara kategori ini
dengan rejim tentera secara langsung dan rejim awam-tentera.
Contohnya Algeria, Ethiopia.

Apa yang dapat disimpulkan, semua sistem pengelasan seharusnya bersifat sementara
dan fleksibel serta mempunyai idea yang jelas tentang tujuan usaha pengelasan itu.

SOALAN DALAM TEKS

3. Apakah ciri-ciri bagi sistem demokrasi liberal?


4. Apakah ciri-ciri bagi sistem demokrasi sosialis?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

3.5 PENGELASAN STRUKTUR POLITIK

Usaha bagi mengelaskan sistem politik dihalangi beberapa masalah akibat daripada
faktor-faktor tertentu yang tidak jelas sifat dan ciri-cirinya. Pengelasan hanya boleh
dibuat melalui kajian perbandingan terhadap struktur dan proses serta sistem politik
yang sedia ada. Perbandingan antara struktur dan proses yang berbeza-beza dapat
membantu memahami perjalanan pelbagai aspek sesuatu sistem. Dalam sistem
demokrasi sendiri terdapat pelbagai perbezaan dalam pengelasan struktur dan sistem
politik yang diamalkan. Dalam sistem ini terdapat sistem federal atau persekutuan,
sistem unitari atau kesatuan dan juga sistem berparlimen dan berpresiden. Gabungan
boleh terbentuk daripada sistem persekutuan sama ada berparlimen atau berpresiden,
dan juga sistem kesatuan sama ada berparlimen atau berpresiden. Perkara ini
merupakan antara masalah dalam pengelasan struktur politik dalam sistem demokrasi
liberal itu sendiri.

34
Politik dan Pentadbiran

Sistem persekutuan atau federal merupakan kerajaan yang kuasa politiknya


dibahagikan antara kerajaan pusat dengan negeri-negeri atau wilayah-wilayah yang
terbentuk daripada gabungan persekutuan itu. Sistem ini boleh menimbulkan
perbezaan yang penting dalam perjalanan proses politik. Sistem ini turut memberi
kesan pada perjalanan sistem parti, pergerakan kumpulan pendesak, perhubungan
antara dewan perundangan dengan badan eksekutif, status badan kehakiman dan
organisasi birokrasi. Malaysia, Australia, USA merupakan contoh yang
mengamalkan sistem ini.

Selain itu, boleh juga melihat pembahagian antara sistem berparlimen dengan sistem
berpresiden. Perbandingan kedua-dua sistem ini boleh menunjukkan perbezaan
tertentu yang menekankan ciri-ciri asas masing-masing.

Ciri-ciri utama kerajaan jenis berparlimen adalah seperti berikut (Ball, 1993: 58):
(i) Terdapat ketua negara yang nominal yang pengaruh politiknya terbatas
dan mempunyai fungsi yang sebahagian besarnya berbentuk rasmi dan
keupacaraan. Ketua negara mungkin digelar Presiden atau Raja.
(ii) Eksekutif politiknya (Perdana Menteri, Canselor) bersama-sama
kabinet adalah sebahagian daripada ahli dewan perundangan, dipilih
oleh majlis dan boleh disingkirkan oleh majlis itu jika majlis menarik
balik sokongannya. (Kesan percantuman kuasa, badan eksekutif
bertanggungjawab kepada badan perundangan)
(iii) Majlis perundangan dipilih untuk tempoh tertentu oleh para pengundi
dan tarikh pilihan raya pula ditetapkan oleh ketua negara atas nasihat
Perdana Menteri atau Canselor.

Ciri-ciri utama kerajaan jenis berpresiden adalah seperti berikut (Ball, 1993: 59):
(i) Presiden merupakan ketua negara dari segi politik dan juga ketua
negara yang nominal
(ii) Presiden tidak dipilih oleh majlis perundangan, tetapi dipilih secara
langsung oleh semua pengundi.
(iii) Presiden bukan sebahagian daripada majlis perundangan dan beliau
tidak boleh disingkirkan daripada kedudukannya oleh majlis itu
kecuali melalui proses undang-undang yang dinamakan penuduhan
(impeachment).
(iv) Presiden tidak boleh membubarkan majlis perundangan dan
memanggil pilihan raya umum. Presiden dan majlis perundangan
dipilih untuk satu tempoh masa tertentu.

Apa yang dapat dirumuskan mengenai perbezaan kedua-dua sistem ini ialah kedua-
duanya mempraktiskan doktrin pengasingan kuasa. Namun, dari segi
perlaksanaannya terdapat perbezaan. Hal ini dilihat apabila sistem berpresiden
(persekutuan atau kesatuan)mempraktiskan doktrin pengasingan kuasa secara
sepenuhnya manakala bagi sistem berparlimen (persekutuan atau kesatuan)
mempraktiskan doktrin percantuman kuasa. Walau bagaimanapun, masih wujud
pengasingan kuasa bagi sistem ini kerana ketiga-tiga institusi asas pemerintahan itu

35
Politik dan Pentadbiran

masih kekal dan berfungsi seperti asalnya, begitu juga dalam sistem berpresiden.
Bagi pelaksanaan sistem demokrasi berparlimen atau berpresiden ianya tidak
tertakluk kepada saiz dan jumlah penduduk, tetapi berasaskan kepada perlembagaan
sesebuah negara.

3.6 KESIMPULAN

Setelah membincangkan mengenai pelbagai perkara berkaitan pengelasan kerajaan,


kesimpulan yang dapat dibuat ialah pengelasan kerajaan merupakan perkara yang
sukar. Kita sukar menentukan apakah satu jenis sistem politik yang paling sempurna.
Hal ini kerana ia melibatkan pelbagai aspek yang perlu diteliti dan masing-masing
mempunyai sejarah serta kebaikan dan kekurangan yang tertentu. Oleh hal demikian,
adalah lebih bermakna untuk menerima pelbagai jenis pengelasan, dan menerima
bahawa sifatnya yang sentiasa berubah-ubah.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Apakah perbezaan di antara rejim tentera radikal dengan rejim


tentera secara langsung?
2. Jelaskan ciri-ciri sistem demokrasi liberal.

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

36
Politik dan Pentadbiran

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

1. Kerajaan yang diperintah oleh tentera melalui rampasan kuasa juga jika dalam
konteks demokrasi adalah kerajaan yang tidak sah. Tetapi, kerajaan yang
diperintah oleh tentera mendapat pengiktirafan dan masih kekal memelihara
kedaulatan negara yang diperintahnya. Tujuan rampasan kuasa oleh tentera
kebiasaannya untuk memulihkan keadaan seperti memerangi rasuah dan
penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin yang telah dipilih melalui pilihan raya yang
mengamalkan corak pemerintahan diktator sebelum diserahkan semula kepada
kerajaan awam.

2. Pemerintahan kuku besi biasa muncul selepas seorang pemimpin itu


melaksanakan pemerintahan dalam negara secara kekerasan dan mengenakan
paksaan kepada rakyatnya. Walaupun telah dipilih melalui pilihan raya, seorang
pemimpin itu boleh melaksanakan pemeritahan kuku besi demi menjamin
kedudukannya di tampuk pemerintahan dengan memperkenalkan pelbagai
peraturan yang menyekat kebebasan bersuara, berpolitik dan tidak memberi
kewujudan parti politik lain yang dilihat akan mencabar pemerintahannya.

3. Ciri-ciri sistem demokrasi liberal:


(i) Mempunyai lebih daripada satu parti politik yang terlibat dalam persaingan
mendapatkan kuasa politik.
(ii) Persaingan mendapatkan kuasa adalah terbuka dan ianya berdasarkan
prosedur yang telah ditetapkan serta diterima umum.
(iii) Kemasukan ahli baru untuk sesuatu kedudukan politik juga adalah terbuka
secara relatifnya.
(iv) Terdapat pilihan raya yang dijalankan berdasarkan hak mengundi yang
sejagat.
(v) Kumpulan pendesak turut memainkan peranan dalam mempengaruhi
keputusan kerajaan manakala persatuan seperti kesatuan sekerja dan
organisasi sukarela lainnya pula tidak tertakluk kepada kawalan ketat
kerajaan.
(vi) Kebebasan sivil seperti kebebasan bersuara, beragama, dan kebebasan
daripada ditahan sebarangan diiktiraf dan dilindungi dalam sistem politik.
Ini mengandaikan bahawa media massa seperti radio, televisyen, dan surat
khabar menikmati kebebasan yang meluas daripada kongkongan kerajaan.
(vii) Terdapat satu bentuk pengasingan kuasa, iaitu majlis perwakilan
mempunyai kawalan tertentu terhadap eksekutif, dan kehakiman pula bebas
daripada eksekutif dan perundangan.

4. Ciri-ciri sistem demokrasi sosialis:


(i) Hanya mempunyai satu ideologi sosialis yang rasmi.
(ii) Penguasaan politik dilakukan oleh satu parti sahaja.
(iii) Terdapat kekaburan antara aktiviti awam dengan aktiviti swasta jika
dibandingkan dengan keadaan yang terdapat dalam sistem demokrasi liberal.

37
Politik dan Pentadbiran

Dalam sistem ini, kumpulan-kumpulan swasta tertakluk pada pengawalan


negara yang lebih tinggi darjah pengawalannya.
(iv) Ketiadaan konsep pemisahan kuasa seperti yang terdapat dalam sistem
demokrasi liberal, dan dengan itu kebebasan badan kehakiman lebih terhad.

38

Anda mungkin juga menyukai