Setiap negara memerlukan perlembagaan bagi menjamin kestabilan politik serta
sistem pemerintahan negara yang cekap dan adil. Keperluan perlembagaan menjadi lebih ketara dalam sebuah negara yang berbilang etnik seperti negara Malaysia. Perlembagaan diperlukan untuk mewujudkan suatu rangka politik, ekonomi dan sosial yang dapat memudahkan perpaduan nasional dan pembangunan negara serta melindungi kepentingan semua kumpulan etnik.
Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi yang menjadi rujukan pemerintahan di sesebuah negara. Kumpulan peraturan dan undang-undang yang menentukan organisasi kerajaan dan pembahagian kuasa antara badan pemerintah. Ia mengandungi peruntukan umum mengenai sistem kerajaan , hak asasi dan tanggungjawab rakyat , kewarganegaraan , hak istimewa bumiputera , agama , bahasa dan perkara lain. Undang-undang lain tidak boleh bertentangan dengan perlembagaan. Perlembagaan juga didefinisikan sebagai kumpulan peraturan atau undang-undang utama sama ada bertulis atau tidak bertulis di mana ianya merupakan peraturan yang menentukan bagaimana sesebuah negara ditadbir dan diurus dengan teratur. Ia juga menjadi neraca atau kayu ukur penting dalam menentukan pembahagian kuasa antara bidang pemerintahan dan pelaksanaannya. Oleh yang demikian, Perlembagaan ialah asset undang-undang tertinggi yang menjadi rujukan pemerintahan negara dan merupakan sumber utama bagi menggubal undang- undang yang lain.
LAPORAN PERLEMBAGAAN TANAH MELAYU 1948 FAKTOR PENGGUBALAN
Sejak rancangan Malayan Union dicadangkan, seterusnya diumumkan dalam satu kertas putih pada akhir Januari 1946, pelbagai pihak terutamanya orang-orang Melayu telah bangkit menentang dengan kuatnya skim baru itu, anggota-anggota perkhidmatan awam Inggeris yang telah bersara dan pemimpin-pemimpin Melayu turut berganding bahu menentang rancangan union tersebut kerana syor-syornya yang jelas dilihat bakal memberikan kesan buruk kepada institusi pemerintahan beraja serta nasib masyarakat Melayu itu sendiri. Orang-orang Melayu mula sedar akan kerugian dan bencana yang akan mereka terima jika Malayan Union dilaksanakan. Malah, rancangan tersebut juga turut mendapat kritikan daripada orang-orang Cina dan India.
Bertentangan dengan jangkaan British, penduduk Melayu yang lazimnya merupakan kaum yang bertoleransi tinggi, mudah bertolak ansur dan amat bertimbang rasa, apabila dihadapkan dengan rancangan pembentukan kesatuan bangsa Malayan bersatu dalam gagasan Malayan Union, tiba-tiba menjadi seperti singa lapar yang dikejutkan dari lena tidurnya.
Usaha penentangan dilakukan dalam pelbagai cara termasuklah tindakan memulaukan majlis-majlis berkaitan Malayan Union serta tindakan berkabung oleh orang-orang Melayu. Justeru itu, pada bulan Julai 1946, suatu jawatankuasa kerja telah dilantik yang terdiri daripada wakil-wakil Umno, wakil-wakil Raja-raja negeri Melayu dan wakil wakil Kerajaan Inggeris untuk merangka suatu perlembagan yang baru bagi menggantikan Malayan Union. Hasilnya, perlembagaan Malayan Union yang diperkenalkan pada 1 April 1946 itu terpaksa dimansuhkan oleh Kerajaan Inggeris pada 31 Januari 1948 dan digantikan dengan Perlembagaan baru iaitu Perlembagaan Pesekutuan Tanah Melayu 1948. Buat pertama kalinya semenjak sekian lama, orang-orang Melayu, para pentadbir, golongan bangsawan, alim-ulama, malahan Raja-raja Melayu telah bersatu hati menentang Malayan Union. Malahan suara-suara protes juga kedengaran dari beberapa orang bekas pegawai tadbir British seperti Frank Union, George Maxwell, R.O Winstedt, Cecil Clementi dan Laurence Guillemard yang membidas tindak- tanduk Harold MacMichael kerana menggunakan ugutan untuk memperolehi tandatangan Raja-raja Melayu. Pegawai-pegawai ini bertindak melobi Tanah Melayu di Parlimen serta menulis surat-surat kepada akhbar nasional menuntut Perdana Menteri Britain menghentikan inisiatif menukar status Tanah Melayu daripada negeri naungan kepada tanah jajahan.
Bantahan-bantahan orang-orang Melayu terhadap pembentukan Malayan Union semakin menjadi-jadi apabila British tetap menunjukkan sikap keras kepalanya. Selepas pendudukan Jepun yang berjaya menewaskan kekuatan British di Singapura dalam masa yang singkat sahaja, orang-orang Melayu mulai sedar bahawa kuasa tersebut tidaklah sekuat mana yang disangkakan, tambahan pula waktu itu mereka mendapat inspirasi daripada semangat kemerdekaan yang sedang bertiup kencang dari Indonesia.
Di atas kesedaran inilah segenap lapisan Melayu telah bangun bersama-sama menentang penjajahan British, iaitu senario yang tidak pernah dilihat semenjak sekian lama dalam sejarah Tanah Melayu, Negeri-negeri Melayu yang selama ini terpisah dan tidak bersatu telah bangun bersama-sama dan bergabung menentang Malayan Union.
Pada 1-4 March 1946, 41 buah persatuan Melayu telah berhimpun di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur bagi menghadiri Kongres Melayu seTanah Melayu pertama yang diadakan bersempena agenda penentangan Malayan Union kerana mengancam kedudukan raja-raja dan orang-orang Melayu. Kongres tersebut telah membincangkan pembentukan gerakan nasional Melayu serta kempen terselaras untuk menentang Malayan Union.Tentangan-tentangan hebat daripada orang-orang Melayu terhadap Malayan Union yang diperakukan bukan sahaja oleh dua orang pentadbir tertinggi British di Tanah Melayu, malahan disokong pula oleh anggota delegasi ahli Parlimen British, kuasa tersebut akhirnya terpaksa bersetuju membubarkan Malayan Union dan mencari pentadbiran alternatif.
Pada 11 Mei 1946, Pertubuhan KebangsaanMelayu Bersatu (UMNO) telah ditubuhkan hasil perjumpaan yang diadakan oleh Kongres Melayu Pertama. UMNO banyak memainkan peranan dalampembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang baru hasil daripada beberapamemorandum yang dikemukakan oleh pertubuhantersebut kepada pihak British. Pada 2 Jun 1946,Malcolm MacDonald dan Sir Edward Gentmemberitahu Persidangan Raja-raja bahawa KerajaanBritish bersetuju menimbang syor Raja-raja danPertubuhaan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO)dan akan menggubal perlembagaan baru untukTanah Melayu. Akhirnya pada 25 Julai 1946, Dato Onn Jaafar dan 11 lagi ahli jawatankuasa lain telahdipertanggungjawabkan untuk menggubal perlembagaan baru untuk menggantikan Malayan Union. Jawatankuasa Kerja telah mengkaji syor dan membuat pindaan perlembagaan yang dicadangkan dan Kerajaan British akhirnya menerima perlembagaan tersebut dan dilaksanakan pada 21Januari 1948 bagi menggantikan Malayan Union dengan Persekutuan Tanah Melayu. Penubuhan ini dilakukan melalui perjanjian yang dinamakan Perjanjian Persekutuan. Dalam perjanjian tersebut terdapat beberapa perubahan penting yang dilakukan dalam Perlembagaan Persekutuan 1948. Berikutan perjanjian tersebut, Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 1 Februari 1948. Majlis Perundangan Persekutuan ditubuhkan di mana ia mempunyai kuasa membuat undang-undang. Pesuruhjaya Tinggi pula mempunyai kusa veto(pembatal) untuk menghalang rang undang-undangyang diluluskan oleh Majlis PerundanganPersekutuan.Sejak tahun 1948, setiap negeri Melayu mempunyai perlembagaan masing-masing. Johor dan Terengganu telah pun mempunyai perlembagaan lebih awal lagi, masing-masing pada tahun 1895 dan 1911. Ianya dipinda supaya sesuai dengan kehendakPerjanjian Persekutaun 1948.
CIRI-CIRI PERLEMBAGAAN TANAH MELAYU 1948
1. Sembilan buah negeri Melayu serta Pulau Pinang dan Melaka terlibat di dalam Persekutuan. Namun Singapura kekalkan dibawah jajahan British. 2. Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu akan diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British dan dibantu oleh Majlis Undangan Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Persekutuan. 3. Majlis Mesyuarat Persekutuan akan dianggotai oleh 17 ahli iaitu 7 ahli majlis rasmi, 7 ahli tidak rasmi dan 3 ahli ex-officio. 4. Majlis Undangan Persekutuan dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Tinggi yang terdiri daripada: a. 14 ahli rasmi b. 9 orang Yang Dipertua Majlis Undangan Negeri c. 2 wakil Majlis Mesyuarat Negeri Melaka dan Pulau Pinang d. 50 ahli tidak rasmi yang mewakili kaum-kaum asing 5. Sultan-sultan diberi semula hak dan kuasa memerintah tetapi dengan nasihat Majlis Mesyuarat Negeri dan Majlis Undangan Negeri. 6. Syarat kewarganegaraan diketatkan iaitu seseorg pemohon mestilah lahir di Tanah Melayu dan telah bermastautin selama 8 12 tahun. Seorang pemohon asing mestilah bermastautin selama 15 tahun . Umur minimum bagi kedua-dua situasi tersebut adalah 18 tahun dan mempunyai pengetahuan Bahasa Melayu yang baik. 7. Orang Melayu diberi hak keistimewaan sebagai kaum bumiputera dan mempunyai perwakilan terbesar dalam Kerajaan Persekutuan dan Negeri. 8. Jawatan Menteri Besar diwujudkan untuk menggantikan jawatan residen British dan kuasa kerajaan negeri diperluaskan meliputi kewangan, kesihatan dan kerajaan tempatan.
Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan 1948 ini, kedaulatan raja-raja Melayu dipertahankan walaupun tiada lagi kuasa mutlak. Malah syarat kewarganegaraan juga diperketatkan bagi menjaga hak keistimewaan orang Melayu. Dengan pengisytiharan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 ini British kemudiannya menubuhkan Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan dengan tujuan memberi latihan dan pengalaman kepada rakyat tempatan kepada sistem demokrasi dan berkerajaan sendiri. Dalam usaha merintis kemerdekaan, pilihan raya bandaran kemudiannya dilaksanakan bagi memberi pengalaman kepada sistem dan perjalanan pilihan raya. UMMNO, MCA dan MIC kemudiannya bergabung membentuk Perikatan.
Isi Kandungan Perlembagaan 1948
Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 memperlihatkan beberapa ciri yang berbeza daripada Malayan Union . Antaranya ialah kuasa memerintah Persekutuan Tanah Melayu terletak pada tangan Pesuruhjaya Tinggi Inggeris dan beliau akan dibantu oleh Majlis Kerja Kerajaan (Executive Council) yang mengandungi ahli-ahli rasmi dan ahli-ahli tidak rasmi yang dilantik sendiri oleh Pesuruhjaya Tinggi.[13] Persekutuan Tanah Melayu juga akan mempunyai Majlis Undangan yang dipengerusikan oleh pesuruhjaya Tinggi dan mempunyai 75 orang ahli iaitu 14 ahli rasmi, 9 Menteri Besar dari Negeri-negeri Melayu, 2 wakil dari Majlis-majlis mesyuarat negeri Pulau Pinang dan Melaka serta 50 orang ahli tidak rasmi yang mewakili kaum-kaum yang terdapat di Persekutuan Tanah Melayu serta mewakili kepentingan-kepentingan perniagaan, buruh dan perusahaan lombong dan getah.
Secara umumnya, ahli-ahli yang tidak rasmi pada peringkat permulaan ini adalah dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi dan boleh dipilih orang ramai apabila tiba masanya. Hal ini mempunyai kesinambungan hingga kini kerana ahli-ahli Majlis Perundangan Persekutuan adalah dipilih melalui pilihanraya, cuma berbezanya semua ahli yang dipilih merupakan ahli rasmi dan tidak mempunyai ahli tidak rasmi. Perkiraan ahli dari segi kaum menunjukkan orang Melayu terdiri daripada 31 orang, 14 orang Cina, 7 orang Eropah, 5 orang India, dan masing-masing seorang Ceylon dan Serani.Berkaitan bidang kuasa, kerajaan persekutuan bertanggungjawab dalam hal- hal pertahanan, perdagangan, perhubungan, kewangan serta lain-lain yang mempunyai kepentingan bersama.
Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari !948 juga telah mengembalikan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Raja-raja Melayu telah diberikan semula hak-hak utama, kuasa dan bidang kuasa ke atas negeri mereka masing- masing seperti sebelum perang. Namun dari segi kesannya, kuasa raja-raja Melayu hampir sama dengan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu kerana kuasa pentadbiran lebih banyak dipegang oleh Majlis Mesyuarat Negeri serta Majlis Undangan Negeri.
Sebuah Majlis Raja-raja telah dibentuk yang bertujuan membolehkan raja-raja Melayu berbincang dengan Pesuruhjaya Tinggi berkaitan hal-hal Imigreren yang diadakan sekurang-kurangnya tiga kali setahun. Berkaitan Imigresen juga, seseorang warganegara persekutuan Tanah Melayu tidak lagi memerlukan sebarang dokumen jika mahu masuk ke sesuatu negeri yang lain dari negeri kelahirannya. Kesinambungan daripada aspek ini juga dapat dikaitkan dengan penyatuan semua negeri-negeri di bawah satu unit persekutuan. Dalam hal ini, Persekutuan Tanah Melayu mengandungi sembilan buah negeri-negeri Melayu dan Pulau pinang serta Melaka. Singapura pula kekal sebagai koloni yang berasingan.
Bagi peringkat Negeri pula, Sultan mempunyai kuasa memerintah dengan bantuan sebuah Majlis Mesyuarat Kerja Kerajaan dan sebuah Dewan Perundangan Negeri. Sultan ataupun Raja-raja bagi setiap negeri bertanggungjawab dalam mengesahkan sebarang rang unang-undang yang diluluskan dalam Dewan Perundangan Negeri. Malah juga boleh meluluskan rang undang-undang yang tidak berjaya diluluskan di Dewan Perundangan Negeri.seterusnya, Kerajaan Negeri mempunyai kuasa ke atas Kerajaan Tempatan mereka sendiri, agama, pelajaran, pertanian dan tanah.
Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948 juga meletakkan suatu lagi isu penting yang menjadi asas utama dalam penentangan orang-orang Melayu terhadap Malayan Union iaitu Hal Kewarganegaraan. Raja-raja Melayu telah bersetuju memberikan taraf kewarganegaraan Persekutuan Tanah Melayu kepada 300, 000 orang bukan Melayu yang layak. Ianya juga berpunca daripada fasal-fasal kewarganegaraan yang terbahagi kepada dua iaitu mereka yang memperoleh kewarganegaraan melalui kuatkuasa undang-undang dan mereka yang layak untuk meminta menjadi warganegara dengan cara kemasukan atau permintaan.
Mereka yang menjadi warganegara melalui kuatkuasa undang-undang terdiri daripada penduduk asal dari negeri-negeri Melayu sama ada lahir sebelum, semasa, atau selepas tarikh yang ditetapkan seperti kandungan fasal 124 (1) (a) Perjanjian Persekutuan tanah Melayu iaitu Mana-mana rakyat Yang Maha Mulia Raja-raja bagi mana-mana Negeri Melayu sama ada yang diperanakkan dahulu,atau pada atau kemudian daripada hari yang ditetapkan;.
Selain itu, warganegara British yang tinggal secara tetap dalam negeri-negeri yang terkandung dalam Persekutuan Tanah Melayu sama ada sebelum, semasa atau selepas hari persekutuan juga merupakan warganegara secara kuatkuasa undang- undang. Hal ini berdasarkan kandungan fasal 124 (1) (b) dan fasal 124 (1) (c) Perjanjian Persekutuan tanah Melayu iaitu mana-mana Rakyat British yang dilahirkan dalam salah satu dari Negeri Selat sama ada dahulu,pada atau kemudian daripada hari yang ditetapkan itu yang tinggal tetap dalam mana-mana negeri yang terkandung dalam persekutuan. Seterusnya, mana-mana Rakyat British yang telah diperanakkan dahulu, pada atau kemudian daripada hari yang ditetapkan dalam mana-mana negeri yang terkandung dalam persekutuan jika bapanya diperanakkan di mana-mana negeri yang sekarang ini terkandung dalam persekutuan atau jika pada hari diperanakkan itu, bapanya telah tinggal tetap dalam negeri tersebut.. Syarat ini meletakkan seseorang itu perlu mempunyai bapa yang tinggal secara tetap dalam persekutuan bagi meletakkannya sebagai warganegara secara kuatkuasa undang-undang. Seseorang warganegara British juga boleh menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu secara kuatkuasa undang-undang jika lahir dalam mana-mana Negeri yang terkandung dalam Persekutuan Tanah Melayu serta bertutur dalam bahasa melayu dan mengamalkan adat resam Melayu.
Sementara itu, dalam Fasal 25 Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, mereka yang layak untuk memohon menjadi warganegara ialah mereka yang dilahirkan dalam Persekutuan Tanah Melayu dan telah bermastautin secara tetap selama tidak kurang tempoh 8 tahun daripada tempoh 12 tahun berada di Persekutuan Tanah Melayu. Seseorang itu juga boleh memohon untuk menjadi warganegara jika telah tinggal dalam mana-mana negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu dengan bermastautin selama 15 tahun daripada tempoh 20 tahun yang dikira serta merta dari hari permohonannya. Selain daripada salah satu tempoh tersebut, seseorang itu juga perlu mempunyai syarat-syarat lain iaitu bertingkahlaku baik, pengetahun yang cukup dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, telah membuat pengakuan tinggal tetap dan jika permintaannya diluluskan, seseorang itu hendaklah bersedia untuk mengangkat sumpah kerakyatan.
KEPENTINGAN DALAM PERLEMBAGAAN Perlembagaan merupakan suatu prinsip asas dalam pembentukan kerajaan. Perlembagaan yang mengandungi dokumen rasmi adalah terdiri daripada segala prinsip dan peraturan. Di Malaysia, perlembagaan bukan sahaja menjadi sumber bagi penggubalan undang-undang malah menjadi panduan kepada parti politik yang memerintah agar hala tuju pentadbirannya selaras dalam menunaikan tanggungjawab kepada negara dan rakyat. Keluhuran perlembagaan merupakan prinsip ketiga dalam Rukun Negara. Ini menjelaskan kemuliaan kandungan perlembagaan itu sendiri. Maka jelas menunjukkan bahawa perlembagaan yang menjadi dokumen rujukan negara mempunyai kepentingannya. Ianya boleh diketogarikan kepada tiga aspek, iaitu kepentingan dari sudut politik, ekonomi dan sosial. Dalam menjamin kestabilan politik negara, perlembagaan menjadi asas penting kesinambungan sesebuah pentadbiran. Di mana dengan adanya perlembagaan sistem pantadbiran akan menjadi lebih cekap, adil dan berkesan. Ini kerana di dalam perlembagaan terdapat garis panduan bagaimana cara gerak kerja sesuatu pentadbiran dilaksanakan agar segala tindakan dapat dijalankan dengan lancar sehingga berjaya. Sehubungan dengan itu, perlembagaan menentukan rangka dan bentuk pemerintahan serta pembahagian kuasa antara pelbagai badan kerajaan. Ketelusan dan kejujuran sesebuah pentadbiran adalah sangat penting, kerana di sinilah terletaknya kepercayaan rakyat terhadap seseorang pemimpin sebagai wakil mereka untuk membangunkan sebuah negara yang maju dan harmoni serta menepati kehendak perlembagaan dan aspirasi rakyat. Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka, mempunyai matlamat yang tinggi dalam menjamin kerjasama dan kesepakatan politiknya diantara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri. Tertubuhnya perlembagaan, pembahagian kuasa telah dilaksanakan dimana Kerajaan Persekutuan diperuntukkan kuasa yang meliputi perkara untuk kepentingan bersama bagi semua negeri dan melebihi kuasa Kerajaan Negeri. Namun bagi Sabah dan Sarawak, kuasa yang diperuntukkan lebih daripada negeri-negeri lain, ini berikutan daripada persetujuan bersama semasa kemasukkan kedua-dua negeri ini ke dalam Malaysia. Justeru itu, perlembagaan telah dijadikan rujukan utama dalam penggubalan undang-undang persekutuan dan negeri. Ini adalah untuk memastikan supaya sistem pentadbiran negara dapat diselaraskan tanpa sebarang perbalahan dan perlembagaan negeri tidak akan bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia. Keupayaan membina sebuah negara bangsa dilihat sebagi kemuncak kejayaan apabila sistem pentadbiran dan penduduknya sepakat dalam semua aspek. Malaysia sebagai sebuah negara merdeka yang didiami oleh masyarakat majmuk, perlu mengekalkan perpaduan diantara kaumnya. Semenjak penubuhan Malaysia, pelbagai isu yang berkaitan dengan integrasi nasional hangat diperkatakan diantaranya ialah bagaimana untuk menyatupadukan rakyat jelata dari segi psikologi, wilayah-wilayah yang terpisah oleh faktor geografi dan mempunyai latar belakang kebudayaan dan sosio-ekonomi yang berbeza. Melalui integrasi, masyarakat dapat mengelakkan timbulnya perasaan perkauman atau kenegerian atau apa jua fahaman kebangsaan yang sempit. Tertubuhnya perlembagaan, kebebasan dan hak asasi rakyat telah diutarakan. Diantaranya ialah kebebasan diri, kebebasan bercakap, kebebasan memiliki harta (Perkara 13), kebebasan beragama (Perkara 11(1) dan hak sama rata disisi undang-undang (Perkara 8(1). Peruntukan ini, telah dapat menjamin keselamatan dan keamanan rakyat, kerana mereka tahu had kebebasanya di sisi undang-undang negara. Sesungguhnya negara yang aman dapat menjelmakan ketaatan dan kesetiaan rakyat kepada negara. Elemen yang penting dalam mempamerkan identiti sesebuah negara bangsa adalah melalui nasionalisme. Melaluinya, akan wujud sifat taat setia, sayang dan sanggup berkorban untuk negara. Contohnya dengan memperkenalkan kad pengenalan yang sama kepada semua warganegara serta menyanyikan lagu kebangsaan iaitu Negaraku, perasaan kebersamaan dan perasaan berkongsi milik dapat dilahirkan. Melalui Perkara 25, seseorang itu akan dilucutkan kerakyatannya sekiranya terbukti ia tidak taat setia kepada negara. Dengan ini, rakyat akan memberi taat setia yang sepenuhnya kepada negara dan identiti negara serta bangsa Malaysia dapat dikekalkan. Selain daripada itu, Perkara 153 dalam perlembagaan telah memperuntukkan peranan Yang di-Pertuan Agong dalam memelihara hak istimewa dan kedudukan orang Melayu serta kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak. Hak istimewa itu termasuklah pemberian jawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan kemudahan pendidikan serta pemberian lesen perdagangan dan perniagaan. Perlembagaan ini juga memastikan Perkara 153 tidak mengabaikan kaum-kaum lain di Malaysia. Pembangunan yang pesat, turut bergantung kepada faktor ekonomi yang mantap. Maka jelas menunjukkan bahawa perlembagaan adalah penting dalam mewujudkan kestabilan ekonomi negara. Kerajaan Persekutuan telah menggunakan senarai kuasanya dalam bidang kesihatan dan pendidikan untuk membangunkan setiap negeri khususnya Sabah dan Sarawak. Melalui pembangunan yang pesat, khususnya di kawasan pendalaman, ekonomi akan dapat dijana dengan lebih selamat dan aman, justeru itu kehidupan rakyat akan menjadi lebih terjamin dan keharmonian masyarakat majmuknya dapat dikekalkan.
Kesimpulan Kewujudan perlembagaan sebagai asas undang-undang sesungguhnya mempunyai peranan yang sangat besar dalam membentuk perjalanan pemerintahanNegara ini. Walaupun ia sebuah perlembagaan yang terlalu panjang dan terperinci, setakat ini ia telah Berjaya melicinkan pentadbiran Negara. Perlembagaan sebenarnya adalah tunjang kepada keamanan dan perpaduan kaum di Malaysia. Perlembagaan juga telah menjadi dasar kepada pembentukan demokrasi berparlimen di Malaysia. Melalui perlembagaan setiap warganegara samaada pemerintah dan rakyat mendapat hak masing-masing dan pembelaan sewajarnya.
Pembentukan Malayan Union ternyata menjadi pembangkit semangat yang lebih kental serta kesungguhan yang padu terutama di kalangan orang Melayu untuk menentang penjajah dan akhirnya menuntut kemerdekaan. Malayan Union yang banyak merugikan orang Melayu serta menjejaskan kedaulatan raja-raja Melayu akhirnya berjaya dibatalkan dengan penentangan yang hebat sehingga menyebabkan British menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu dan membentuk perlembagaan baru yang diisytiharkan pada 1948. Menjelang kemerdekaan 1957, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dirangka semula pada 1957 melalui Suruhanjaya Reid yang ditubuhkan pada 1956. Melalui perbincangan dalam Suruhanjaya Reid ini yang mengambil kira pandangan orang Melayu dan bukan Melayu yang akhirnya permuafakatan dibentuk atau dipersetujui yang dikenali sebagai Kontrak Sosial. Melalui permuafakatan Kontrak Sosial ini, hak orang Melayu dijamin dalam Perlembagaan. Ia berkaitan hak keistimewaan Melayu dan bumiputera (dalam ekonomi dan pendidikan), bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai bahasa rasmi dan kedaulatan raja-raja Melayu dilindungi melalui perlembagaan.
Permuafakatan inilah yang kemudiannya menjadi tulang belakang kepada hubungan antara kaum di Malaysia dalam mewujudkan perpaduan dan keharmonian antara kaum.
Malayan Union dan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu adalah dua entiti yang sangat ketara berbeza, berdasarkan ciri-ciri yang telah dijelaskan. Malayan Union jelas menunjukkan usaha British untuk mengawal kuasa orang Melayu dan cuba untuk mengenepikan kedaulatan orang Melayu yang diketahui memang suatu institusi yang sangat dihormati dan penting bagi orang Melayu. Perpaduan yang di tunjukkan oleh orang Melayu ketika itu di bawah pimpinan Datuk Onn Jaafar berjaya memelihara hak Melayu. Kekuatan orang Melayu pada ketika itu berjaya menggugat Inggeris sehingga mereka terpaksa memansuhkan Malayan Union dan bersetuju menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan terbentuklah perlembagaannya.
BIBLIOGRAFI Mohd Kamal Kamaruddin.(2011): Pengajian Malaysia dan Kenegaraan. Global Mediastreet Sdn Bhd. Kuala Lumpur. Amran Idris, Ismail b.Kosman, Tn. Hj. Md Lasa Yahya. (2012): Nota Pembelajaran & Pengajian Am STPM. Local Publication. Kuala Lump Ibrahim Nyior (2006). Perlembagaan persekutuan tanah melayu. Diperoleh Julai 25 , 2012 dari http://brahimnyior.blogspot.com/2009/12/perlembagaan-persekutuan- tanah-melayu.html