Anda di halaman 1dari 16

Politik dan Pentadbiran

BAB 5 BUDAYA POLITIK


OBJEKTIF BAB Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya boleh: 1. Memahami asas-asas dalam budaya politik. 2. Mengenal pasti kesan budaya politik ke atas kestabilan politik. 3. Menjelaskan bagaimana proses sosialisasi politik berlaku. 4. Memahami pengaruh dan peranan agen sosialiasi dalam pembentukan budaya politik. 5.1 PENGENALAN

Budaya merupakan cara hidup masyarakat yang diterima umum dalam membentuk dan mempengaruhi tingkahlaku manusia dari satu generasi ke satu generasi. Penerapan budaya dalam masyarakat boleh melalui proses pembelajaran secara formal atau tidak formal yang berlaku berterusan yang lazimnya disebut sebagai proses sosialisasi. Apabila budaya dikaitkan dengan proses pembelajaran, ia boleh berubah dan hilang sebagaimana budaya-budaya masyarakat pada masa dahulu yang sudah tidak lagi diamalkan pada masa kini. Jadi, budaya itu begitu sinonim dengan kehidupan manusia yang meliputi pelbagai aspek. Ini menepati apa yang diutarakan oleh ONeil (2006) tentang budaya, iaitu: culture is a powerful human tool for survival, but it is fragile phenomena. It is constantly changing and easily lost because it exists only in our minds. Our written languages, governments, building, and other man made things are merely the products of culture. They are not culture in themselves. Budaya juga boleh mempengaruhi pemikiran manusia dari sudut nilai, norma, etika dan moral dalam kehidupan individu mahupun masyarakat. Oleh yang demikian, masyarakat yang mengamalkan sesuatu budaya akan mempunyai pandangan dan penilaian yang berbeza terhadap sesuatu perkara. Misalnya, tentang tarian. Ada masyarakat yang melihat tarian sebagai satu bidang seni yang boleh diterima mengikut budaya mereka. Ada pula masyarakat yang melihat tarian sebagai suatu cara mengabdikan diri kepada pencipta mereka yang dikaitkan dengan sesuatu upacara ritual. Ada kelompok lain pula melihat tarian sebagai suatu kerjaya dan sebagainya. Dalam hal ini, kelompok-kelompok dalam masyarakat masing-masing mempunyai persepsi dan pemahaman tersendiri tentang tarian. Bagitu juga dengan hal-hal lain. Cuba anda fikirkan jenis atau budaya politik di Malaysia.

65

Politik dan Pentadbiran

Justeru itu, budaya boleh dikatakan meliputi keseluruhan cara hidup manusia. Budaya itu boleh bercorak kebendaan (artifact) atau bukan kebendaan (mentifact). Budaya kebendaan (artifact) meliputi apa sahaja ciptaan manusia yang berbentuk objek-objek seperti rumah, bangunan, peralatan, pakaian dan sebagainya. Budaya yang bukan kebendaan (mentifact) pula merupakan ciptaan manusia yang berbentuk abstrak seperti kepercayaan, adat resam, undang-undang, peraturan dan sebagainya (Oakes & Price, 2008). Secara umumnya, budaya itu dapat difahami sebagai suatu cara hidup yang diterima dalam masyarakat bagi meneruskan kelangsungan hidup. Ia merupakan ciptaan manusia yang boleh berubah dan hilang. Budaya itu juga seringkali dikaitkan dengan sesuatu kaum atau etnik yang berbeza-beza. Malah, ada budaya yang dikaitkan dengan kepercayaan sesuatu etnik sehingga menjadi suatu kesalahan atau dosa jika ditinggalkan. Dalam masa yang sama, wujud suatu cabaran apabila muncul budayabudaya baharu terutama yang lebih kepada nilai Barat mula meresap dalam jiwa remaja seperti di Malaysia. Budaya itu jika tidak dibendung segera boleh merosakkan akhlak dan moral para remaja dan belia. Dalam politik pun ada budayanya tersendiri. Mungkin ramai yang tidak sedar dan memahami tentang budaya politik. Apakah perbezaan dan persamaan antara budaya politik dengan ideologi politik? Budaya politik mempunyai hubungan dengan tahap kesedaran dan partisipasi politik dalam kalangan rakyat di negara berkenaan. Oleh sebab itu, jika budaya politik itu lebih cenderung ke arah yang memperbaiki cara hidup ia dianggap sebagai membina.

SOALAN DALAM TEKS

1. Berikan definisi budaya? 2. Berikan dua bentuk budaya? Semak jawapan anda di akhir bab ini.

5.2

DEFINISI BUDAYA POLITIK

Terdapat pelbagai perspektif mengenai budaya politik. Budaya politik menurut Martinez (2007), ialah the synthesis of trends, conventions, and relatively stable values that characterize the relationships between various social groups and political power, conditioning the political development of the society as a whole. Manakala menurut DiLeo & Altoona (1997), pula menyatakan budaya politik ialah people engaged in institutionalized processes where possible courses of government action are proposed, struggled over, chosen, and carried out. Kavanagh (1972) pula menyatakan bahawa budaya politik merangkumi sikap, kepercayaan, emosi dan 66

Politik dan Pentadbiran

nilai-nilai sesuatu masyarakat yang berkaitan dengan sistem politik dan isu-isu politik. Berdasarkan kepada ketiga-tiga definisi yang diberikan oleh pelbagai sarjana dalam menghuraikan berkenaan budaya politik, didapati bahawa terdapat perbezaan dari sudut huraian bagi menjelaskan tentang budaya politik, namun ia mempunyai persamaan dari sudut makna yang menyatakan bahawa budaya politik adalah hubungan di antara masyarakat dalam menilai sistem politik serta isu-isu politik yang mempengaruhi kerajaan dalam membuat keputusan. Jika dilihat daripada definisi, budaya politik ini mempunyai persamaan yang hampir dengan pendapat awam (public opinion). Walau bagaimanapun, budaya politik meliputi perkara yang lebih luas berbanding pendapat awam. Budaya politik merupakan kerangka yang luas dalam menentukan tindakan yang boleh diterima oleh masyarakat dalam berpolitik. Ia juga lebih stabil, tahan lama daripada generasi ke satu generasi berbanding pendapat awam yang hanya berdasarkan agregat pendapat individu yang kurang stabil dan hanya berkenaan dengan sesuatu isu atau perkara sahaja. 5.3 SIFAT BUDAYA POLITIK

Budaya politik seperti yang diketahui merangkumi sikap, kepercayaan, nilai dan emosi sesuatu masyarakat terhadap sistem politik. Sikap ini tidak dianuti secara sedar, tetapi mempunyai hubungan di antara individu atau kumpulan dengan sistem politik. Perubahan sikap, emosi dan kepercayaan oleh individu atau kumpulan adalah mengikut perubahan masa serta suasana politik semasa. Sebagai contoh, Di Britain ketidakpuasan semakin meningkat terhadap cara pentadbiran negara disebabkan oleh masalah dalam institusi kerajaan yang dilihat semakin lemah. Oleh yang demikian, terdapat banyak perbincangan berkenaan dengan reformasi institusi politik dan berlaku lebih banyak sokongan terhadap kemahuan untuk perubahan politik seperti keahlian dalam Komuniti Ekonomi Eropah (EEC), perubahan dalam pilihan raya serta usaha untuk meningkatkan dan memperkukuhkan kebebasan sivil (Almond & Verba, 1989). Hal ini menunjukkan bahawa perubahan terhadap budaya politik berubah berdasarkan kepada masa dan juga suasana politik semasa. Walau bagaimanapun, dalam isu Britain itu tadi masih terdapat permuafakatan asas terhadap aspek-aspek utama dalam sistem politik dan kurangnya sokongan untuk melakukan perubahan secara mendadak. Jika permuafakatan ini lemah, kemungkinan besar sistem politik itu akan dicabar oleh kekacauan awam dan berlakunya revolusi seperti yang berlaku di negara-negara timur tengah seperti Libya, Tunisia dan Mesir. Ini juga menunjukkan bahawa budaya politik bukan bersifat homogenus, walaupun di negara yang stabil dalam sistem politik dan tidak mempunyai masalah dari sudut perbezaan ras dan bangsa seperti Jepun dan Korea selatan yang dilihat mempunyai budaya yang homogenus dalam negara mereka (Weimer, 2009), namun masih terdapat sub budaya yang jelas membezakan sikap dan nilai mereka terhadap sistem politik di negara mereka. Sebagaimana perubahan Korea Selatan kepada sistem yang 67

Politik dan Pentadbiran

lebih demokratik dan juga perubahan dasar negara Jepun kepada sistem terbuka pada zaman pemulihan Meiji. Justeru itu, ini menunjukkan bahawa budaya politik adalah kebanyakannya bersifat heterogenus dan wujudnya sub budaya yang pelbagai. Sebagai contoh, Amerika syarikat yang mempunyai perbezaan nilai dan sikap bagi golongan kulit putih dan kulit hitam. Malaysia yang mempunyai perbezaan bangsa di antara Melayu, Cina dan India. Setiap bangsa mempunyai nilai dan sikap yang berbeza dalam mengamalkan budaya politik dalam negara. Selain daripada perbezaan ras yang menyebabkan perbezaan yang jelas dalam nilai dan sikap terhadap budaya politik dalam negara, perbezaan pengetahuan dan maklumat berkenaan politik juga boleh menyebabkan perbezaan kesedaran dalam amalan budaya politik dalam negara. Terdapat individu atau kumpulan yang kesedaran dan minat terhadap politiknya tinggi terhadap pentadbiran dan kepimpinan tetapi dari segi penyertaannya dalam politik adalah rendah dan sebaliknya. Sebagaimana rakyat Jerman yang mengakui mereka amat berminat dalam politik dan mempunyai pengetahuan berkenaan politik yang mengagumkan, namun penyertaan dan kebolehan mereka dalam mempengaruhi kerajaan masih rendah berbanding dengan Amerika (Edinger, 1986). Dalam menjelaskan berkenaan sifat budaya politik, boleh dikatakan bahawa budaya politik adalah bersifat heterogenus. Ia menunjukkan terdapat perbezaan dan sub budaya yang pelbagai di antara masyarakat dalam negara yang mempunyai pelbagai nilai dan pandangan terhadap sistem politik di negara mereka dan juga perbezaan amalan budaya politik di antara sesebuah negara dengan sesebuah negara lain (Barrington, Bosia, Bruhn, Giaimo & McHenry, 2009). 5.4 ASAS BUDAYA POLITIK

Asas budaya politik adalah perkara atau faktor yang menyebabkan bermulanya atau berlakunya budaya politik di sesebuah negara. Dalam melihat asas budaya politik ini, perbezaan bentuk faktor di antara negara yang mempunyai perbezaan budaya dibuat perbandingan bagi memudahkan pemahaman berkenaan konsep asas budaya politik sesebuah negara. Britain merupakan sebuah negara yang mempunyai ketamadunan yang lama dan mempunyai pelbagai sejarah. Negara ini pernah juga mengalami zaman gelap yang teruk dan kini berubah menjadi salah sebuah negara maju pada masa kini. Jika ditelusuri sejarah masyarakat Britain, kita akan mendapati bahawa nilai-nilai lama telah di biarkan bergabung dengan dengan sikap-sikap moden (Miliband, 2009). Penerusan sistem monarki dan gabungan sistem demokrasi yang kini di amalkan di Britain menyebabkan perubahan budaya politik di negara tersebut tidak diganggu dengan perbalahan dalaman dan juga penguasaan bangsa asing terhadap negara mereka. Sifat kesederhanaan, toleransi dan terbuka masyarakat Britain ini dilihat menjadi asas kepada budaya politik di negara tersebut.

68

Politik dan Pentadbiran

Perancis pula dilihat bermula dengan perbezaan yang ketara dalam perkembangan sejarah negaranya. Sistem pentadbiran negara berubah daripada monarki mutlak kepada republik demokrasi apabila berlakunya revolusi Perancis pada 1789. Struktur politik wujud dengan revolusi yang ganas serta konflik permusuhan politik pada abad ke-19 dan ke-20. Revolusi dan permusuhan politik ini menyebabkan penguasaan asing seperti Prussia, Itali dan Britain dapat menawan sebahagian besar negara Perancis ketika itu (Waller, 2002). Oleh yang demikian, sikap, nilai dan kepercayaan masyarakat pada masa itu dilihat membentuk asas budaya politik Perancis pada masa kini. Kesan daripada revolusi tersebut, dapat dilihat kini dalam perlembagaan Perancis yang merupakan perlembagaan bertulis dan ia lebih rigid berbanding negaranegara yang lain. Selain itu juga, terdapat pemisahan kuasa yang jelas di antara eksekutif, perundangan dan kehakiman di Perancis. Ini berlaku bagi memastikan tidak lagi berlakunya penyalahgunaan kuasa yang akan menyebabkan berlakunya revolusi kedua di negara tersebut. Selain itu, asas budaya politik juga adalah disebabkan oleh faktor atau kesan penjajahan bangsa asing kepada sesebuah negara. Perkara ini dapat dilihat jelas berdasarkan kepada penjajahan Eropah terhadap negara-negara di Asia dan Afrika. Kebanyakan negara ini dilihat mengamalkan budaya dan sistem politik yang mempunyai persamaan dengan negara kolonial (Barlow, 1997). Ini jelas menunjukkan terdapat pengaruh penjajah terhadap negara-negara yang dijajah. Walau bagaimanapun, sejauh mana pengaruh dan kesan penjajahan ini masih lagi dipertikaikan. Namun, ia juga menyebabkan timbulnya asas budaya politik baru terhadap negara-negara yang dijajah. Malaysia merupakan salah satu contoh negara yang mengamalkan budaya toleransi dan kesederhanaan yang dilihat dipengaruhi oleh British serta mengamalkan sistem demokrasi dan raja berperlembagaan sebagai sistem pentadbiran yang dilihat mempunyai persamaan dengan negara Britain tersebut. Di samping itu, perkembangan sejarah dan geografi adalah satu lagi faktor yang membentuk asas kepada budaya politik. Sebagai contoh kedudukan Britain dan Jepun sebagai negara pulau melindungi negara itu daripada dijajah oleh bangsa asing. Selain itu, China dan Rusia yang mempunyai kedudukan dan tanah yang luas serta sumber yang banyak juga membentuk budaya politik yang berbeza berbanding negara lain dengan mengamalkan sistem sosialis berdasarkan kepada perkembangan sejarah serta kedudukan geografi negara tersebut. Kesan perbezaan etnik juga merupakan antara faktor yang menyebabkan terjadinya asas kepada pembentukan budaya politik yang berbeza. Faktor ini jelas dapat dilihat di negara-negara yang mempunyai etnik yang berbeza seperti di Amerika syarikat, Afrika selatan, Malaysia dan lain-lain negara yang mempunyai perbezaan etnik. Konsep unity in diversity diterapkan di negara-negara yang mempunyai pelbagai etnik bagi mengelakkan tercetusnya konflik etnik di dalam negara. Konflik seperti dasar apartheid yang merujuk kepada pemisahan antara kulit hitam dan kulit putih memberikan kesan dan perubahan kepada budaya politik sesebuah negara (Aeschliman, 1986). Afrika Selatan dan Amerika yang mengamalkan dasar apartheid 69

Politik dan Pentadbiran

dan perhambaan bangsa kulit hitam menjadikan negara tersebut masyarakat yang lantang dalam memperkatakan berkenaan dengan hak asasi manusia. Perkara ini menjadi asas kepada budaya politik di negara-negara tersebut. Selain itu, struktur sosio-ekonomi merupakan salah satu penentu kepada asas budaya politik sesebuah negara. Perbezaan struktur ekonomi yang berbeza dalam negara membentuk budaya politik yang berbeza. Pengalaman Malaysia semasa tragedi 13 Mei 1969 antara contoh yang menunjukkan berlakunya konflik antara kaum disebabkan oleh perbezaan struktur ekonomi (Ishak Shari & Jomo, 1984). Ini menyebabkan kerajaan melaksanakan dasar bagi menstrukturkan semula sosioekonomi masyarakat bagi menangani konflik tersebut daripada berulang. Struktur sosioekonomi masyarakat industri di kawasan bandar adalah lebih kompleks dan sangat bergantung pada komunikasi yang cepat menyebabkan kesedaran dan pengetahuan politik mereka berbeza dengan masyarakat di luar bandar. Oleh itu, jelas boleh dikatakan bahawa perbezaan sosioekonomi ini antara penyebab berlakunya perbezaan dalam budaya politik sesebuah negara. Justeru itu, asas budaya politik ini boleh dikatakan disebabkan oleh faktor seperti kesan sejarah lampau, revolusi, kedudukan geografi, perbezaan etnik dan sosioekonomi yang berbeza di sesebuah negara. Kesan daripada faktor tersebut membentuk satu sub budaya politik yang berbeza di antara negara-negara tersebut.

SOALAN DALAM TEKS

3. Berikan beberapa contoh asas budaya politik.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

5.5

ASPEK BUDAYA POLITIK

Dalam memperkatakan berkenaan aspek budaya politik, terdapat 2 komponen penting dalam budaya politik iaitu sikap masyarakat terhadap institusi politik negara dan juga sejauh mana rakyat dapat mempengaruhi dan mengambil bahagian dalam membuat keputusan dalam negara (MacIntyre, 2007). Walau bagaimanapun, terdapat masalah dalam mengukur dua komponen tersebut kerana sukarnya mendapatkan maklumat yang jelas berkenaan sejauh mana rakyat berasa bangga dengan sistem politik mereka (sikap terhadap institusi) dan tanggapan mereka terhadap keberkesanan politik di dalam negara (mempengaruhi dalam membuat keputusan). Justeru itu, perbandingan perbezaan budaya politik di antara negara dibincangkan bagi memahami dua aspek budaya politik sesebuah negara.

70

Politik dan Pentadbiran

Masyarakat di Amerika memberikan sokongan yang kuat terhadap struktur politik Amerika secara keseluruhannya, mereka menghormati perlembagaan dan tidak akan menyokong mana-mana parti yang antisistem. Namun, rakyat Amerika bersikap kritis terhadap institusi politik tertentu. Dari segi tingkahlaku mengundi, mereka mudah dalam mengubah sikap. Mereka bebas dalam memberikan sokongan kepada mana-mana parti yang mereka sukai dan mereka semakin hilang kepercayaan terhadap ahli-ahli politik. Jadi, bagi masyarakat Amerika, umumnya mereka menyokong sistem dan berasa bangga dengan sistem politik mereka. Namun, mereka semakin hilang kepercayaan terhadap ahli-ahli politik disebabkan keberkesanan mereka dalam mempengaruhi keputusan politik semakin berkurang. Sebaliknya bagi masyarakat Itali, mereka kurang memberi sokongan terhadap seluruh sistem politik. Selain itu juga, mereka cenderung untuk mengundi parti-parti yang lebih kepada antisistem. Walau bagaimanapun, mereka berbangga dengan sistem ekonomi negara mereka (Jailly, 1988). Oleh yang demikian, kestabilan politik di Itali dilihat bergantung pada pencapaian sistem ekonomi yang memuaskan berbanding daripada bergantung pada struktur sistem demokrasi berperwakilan. Berlainan pula di Britain, di mana rakyat mempunyai rasa hormat terhadap para pemimpin politik mereka. Tinjauan demi tinjauan menunjukkan bahawa wujud keinginan oleh masyarakat Britain untuk mempunyai satu kerajaan yang kukuh walaupun terdapat tindakan oleh pemimpin politik tertentu yang tidak begitu disukai. Sebagai contoh, Margaret Thatcher iaitu pemimpin parti konservatif di Britain yang dianggap sebagai seorang pemimpin yang tegas dengan dasar-dasar sendiri yang dilihat cenderung untuk membawa perpecahan dalam masyarakat, namun beliau masih lagi dipilih oleh rakyat. Ini dibuktikan dengan kemenangan beliau dalam pilihan raya selama tiga kali berturut-turut (Kavanagh, 1987). Ini juga menunjukkan bahawa, biarpun keberkesanan politik untuk mempengaruhi kerajaan dalam membuat keputusan tidak dapat dicapai, namun sikap masyarakat terhadap sistem masih lagi kuat. Selain daripada kesukaran dalam mengukur sejauh mana sikap masyarakat terhadap institusi politik negara dan juga pengaruh dalam membuat keputusan politik, perubahan yang berlaku mengikut masa dan suasana juga menimbulkan masalah dalam membuat penilainan berkenaan dengan budaya politik sesebuah negara. Ini berdasarkan perbandingan yang dibuat di antara budaya politik yang dipelopori oleh Almond dan Verba pada tahun 1963, kini telah banyak di nilai semula pada tahun 1980. Selain daripada kaedah dalam membuat perbandingan di antara negara, para penyumbang kepada kajian baru juga menjumpai bukti bahawa terdapat perubahan budaya politik yang penting terhadap negara-negara yang diselidiki. Sebagai contoh di Britain, kemerosotan ekonomi dan peningkatan tahap pendidikan dalam masyarakat menyebabkan rasa hormat masyarakat Britain kepada pemimpin politik semakin berkurang. Justeru itu, budaya politik seperti rasa hormat terhadap pemimpin politik dan terus memilih pemimpin yang tidak disukai semata-mata untuk mengharapkan kerajaan yang kukuh kini berubah. Kajian terbaru mendapati terdapat 71

Politik dan Pentadbiran

perubahan sikap ini berlaku di kalangan golongan muda di Britain dan sikap rasa hormat terhadap pemimpin politik ini hanya terbatas kepada generasi yang lebih tua sahaja. Oleh yang demikian, penilaian aspek budaya politik ini boleh dikatakan dinilai berdasarkan kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat. Perubahan sosioekonomi masyarakat sesebuah negara boleh menyebabkan berlakunya perubahan terhadap budaya politik sesebuah negara. Perkara ini dibuktikan dengan mengambil contoh masyarakat Itali yang mementingkan ekonomi dan ia juga penentu kepada kestabilan politik negara. Begitu juga contoh Britain itu tadi, kemerosotan ekonomi dan peningkatan pendidikan dalam masyarakat menyebabkan perubahan budaya politik negara di kalangan golongan muda.

SOALAN DALAM TEKS

4. Berikan dua komponen dalam aspek budaya politik?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

5.6

JENIS-JENIS BUDAYA POLITIK

Menurut Almond & Verbal (1989), terdapat tiga peringkat atau jenis budaya politik yang umum diamalkan dalam masyarakat iaitu budaya politik secara penyertaan (participation), subjek (subject) dan parokial (parocial) seperti yang dibincangkan di bawah. (i) Penyertaan (Participation) Budaya politik secara penyertaan ialah di mana masyarakat mempunyai kesedaran politik yang sangat tinggi. Mereka mempunyai pengetahuan tentang peranan pemerintah, bidang kuasa, tugas serta tanggungjawab kerajaan dan rakyat. Mereka juga mempunyai rasa bangga terhadap sistem politik di negara mereka, dapat memberikan pendapat serta mampu untuk mempengaruhi kerajaan dalam membuat keputusan serta pelaksanaan dasar-dasar kerajaan. Mereka akan melakukan protes jika terdapatnya unsur-unsur ketidakadilan yang berlaku dalam negara. Masyarakat yang mengamalkan budaya penyertaan mempunyai rasa bangga dalam membuat undian untuk memilih pemerintah dan berpendapat bahawa setiap rakyat perlu mempunyai tanggungjawab untuk menyertai proses politik. Oleh yang demikian, budaya politik penyertaan secara umumnya merupakan masyarakat yang mempunyai

72

Politik dan Pentadbiran

kesedaran politik yang tinggi dan mampu terlibat secara aktif dalam mempengaruhi setiap pelaksanaan dan keputusan-keputusan kerajaan. (ii) Subjek (Subject) Budaya politik subjek ialah masyarakat atau rakyat memahami politik dan mengetahui berkenaan isu-isu berkenaan politik tetapi mereka terlibat secara pasif. Mereka mengikuti perkembangan politik semasa dan tidak berasa bangga dengan sistem politik negara serta sering menjadi begitu beremosi apabila membicarakan berkenaan soal politik. Mereka merasakan sebagai rakyat biasa mereka tidak mempunyai sebarang kuasa atau pengaruh untuk mempengaruhi kerajaan dalam membuat keputusan. Mereka juga merasakan bahawa politik merupakan satu perkara yang teruk dan menyebabkan berlakukan perpecahan dan kekacauan. Secara keseluruhannya, budaya politik subjek merupakan masyarakat yang masih mengambil tahu berkenaan politik serta membaca perkembangan politik semasa. Namun mereka terlibat secara pasif dan menjadi emosi apabila bercakap mengenai politik. Mereka juga merasakan bahawa politik merupakan suatu yang teruk seperti menyatakan bahawa politik itu kotor. (iii) Parokial (Parocial) Parokial merupakan budaya politik yang lebih rendah berbanding budaya politik subjek. Mereka yang mengamalkan budaya parokial tidak merasakan bahawa mereka merupakan rakyat sesebuah negara tersebut. Mereka tidak berasa bangga dengan politik negara mereka, tidak mengambil peduli berkenaan perkara politik yang berlaku di dalam negara dan tidak mempunyai pengetahuan berkenaan politik. Mereka juga jarang dan mengelak untuk membicarakan berkenaan politik. Justeru itu, budaya politik parokial boleh dikatakan merupakan budaya politik yang terendah di antara budaya politik penyertaan dan subjek. Masyarakat yang mengamalkan budaya ini tidak mengambil peduli berkenaan politik yang berlaku di sekeliling mereka dan mereka merasakan tidak mempunyai kuasa untuk berdepan dengan isu-isu politik. 5.7 SIMBOL DAN BUDAYA POLITIK

Sikap dan nilai masyarakat dilambangkan oleh benda-benda seperti bendera, logo dan lagu kebangsaan. Ini kerana budaya terdapat dalam dua bentuk iaitu berbentuk kebendaan (artifact) dan tidak kebendaan (mentifact). Bendera, logo, peralatan dan sebagainya boleh dikategorikan sebagai simbol atau budaya politik yang berbentuk kebendaan. 73

Politik dan Pentadbiran

Simbol-simbol ini tidak semestinya berkaitan dengan tahap pengetahuan politik dan kebolehan warganegara yang emosi mereka disalurkan melalui simbol-simbol tersebut. Tetapi ia sebagai lambang kepada institusi politik yang unggul seperti sistem monarki atau negara yang beraja yang merupakan lambang kemegahan kebangsaan dalam sistem politik. Walaupun rakyat mempunyai pengetahuan yang kurang berkenaan politik, namun lambang kerajaan beraja ini menjadi kemegahan sistem politik dalam negara. Ini selaras dengan kenyataan Bagehot (1963) seperti kita mempunyai kelas yang tidak memahami idea tentang sebuah perlembagaan, dan tidak dapat merasa sedikit pun pertalian mereka dengan undang-undang sejagat. Kebanyakan mereka sememangnya tahu secara samar-samar bahawa terdapat beberapa institusi selain Ratu, dan undang-undang tertentu yang melaluinya baginda memerintah. Walau bagimanapun, sebahagian besar daripada mereka hanya ingin memikirkan berkenaan baginda sahaja berbanding dengan perkara-perkara lain. Dengan itu baginda tidak terhingga nilainya. Berdasarkan kenyataan tersebut jelas menunjukkan bahawa raja menjadi simbol serta lambang kemegahan sesebuah negara, biarpun terdapat pelbagai institusi lain yang memainkan peranan dalam mentadbir negara. Bagaimana pula dengan simbol pemerintahan di Malaysia? Walaupun terdapat kerajaan yang memerintah dan pelbagai institusi yang memainkan peranan dalam mentadbir negara. Yang Di Pertuan Agong tetap menjadi simbol dan lambang kemegahan politik negara serta menjadi sebuah institusi tertinggi dalam negara. Majlis pertabalan Yang Di-Pertuan Agong menjadi satu simbolis kepada kemegahan dan kestabilan politik dalam negara, kehadiran baginda ke majlis-majlis rasmi menjadi satu simbol penghormatan dan laungan Daulat Tuanku menjadi satu simbol dan budaya politik negara. Dalam situasi tertentu, pemimpin sesebuah negara juga menjadi simbol dan lambang politik yang penting dalam mempengaruhi budaya politik. Sebagaimana budaya politik di China semasa pemerintahan Mao Zedong sehingga timbulnya ideologi Maoisme yang menentu dasar ekonomi dan politik negara (Cheek, 2002). Walau bagaimanapun, ideologi Maoisme ini semakin berkurang selepas kematiannya dan berubah kepada dasar ekonomi yang lebih berorientasikan pasaran bebas dan sistem politik yang lebih berbentuk diplomasi. Namun, Mao Zedong tetap menjadi lambang pemerintahan komunis di China. Ini menunjukkan bahawa, pemimpin politik negara menjadi lambang dan simbol yang mempengaruhi kepada budaya politik negara. Kesemua sistem politik amat menitikberatkan penggunaan simbol. Simbol ini memberi realiti daripada pengertian yang abstrak dan merangkumi sesetengah aspek nilai politik yang dominan, misalnya simbol tukul dan sabit menekankan perpaduan golongan pekerja dan petani. Pakaian seragam dan bendera yang digunakan di perhimpunan golongan Nazi menggambarkan satu imej kekuatan, perpaduan dan autoriti. Simbol-simbol agama mungkin menggantikan simbol-simbol sekular dalam sesetengah budaya politik seperti bacaan doa, bacaan ikrar, cuti-cuti umum

74

Politik dan Pentadbiran

berdasarkan kepada perayaan mengikut agama tertentu di Malaysia menjadi simbol budaya politik negara. Selain itu, mitos juga memainkan peranan dalam budaya politik. Mitos ialah satu kepercayaan terhadap sesuatu perkara atau kejadian yang tidak dapat dibuktikan berdasarkan kepada penemuan yang sahih atau kajian secara empirikal. Namun ia digunakan bagi menggambarkan identiti kebangsaan dan membangkitkan kemegahan terhadap negara. Sebagaimana masyarakat di Asia Timur seperti Jepun yang menjadikan mitos matahari terbit sebagai lambang bendera, kemegahan dan identiti kebangsaan mereka. Walau bagaimanapun simbol-simbol tidak semestinya secara langsung berkait dengan sistem politik yang ada. Kadangkala simbol juga berkait dengan sesuatu perkara yang dianggap dan dilihat pelik serta luar biasa bagi orang luar dari negara tersebut. Sebagai contoh masyarakat di Ireland Utara yang berfahaman protestan merupakan lambang perpaduan agama dan ketaatan kepada takhta British. Mereka menyambut kemenangan William III dan ulang tahun kekalahan golongan katolik dalam perang Boyne sebagai hari kelepasan khas bagi mereka. Perkara ini dilihat pelik oleh masyarakat luar dan tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan sistem politik mereka yang sedia ada sekarang. Simbol juga menyelubungi kedalaman emosi dan ia juga antara cara dalam mengenali nilai dan sikap politik masyarakat terhadap sistem politik mereka. Selain itu, simbol juga digunakan untuk menjadi lambang kesahan kerajaan dan menyatukan perpaduan nasional. Rukun Negara, 1 Malaysia, wawasan 2020 dan sebagainya antara contoh simbol dan lambang kepada perpaduan nasional dan matlamat yang ingin dicapai oleh kerajaan dan setiap rakyat Malaysia. Selain daripada lambang perpaduan nasional, simbol juga berkaitan dengan sejarah dan kemenangan seperti menonjolkan pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu. Di sebalik itu simbol juga digunakan bagi memadamkan simbol dan lambang kehebatan pemimpin yang terdahulu oleh pemimpin baru dengan cara mencipta lagu kebangsaan baharu, bendera baharu, menulis semula sejarah serta menonjolkan wirawira negara yang baharu. Perkara ini akan memadamkan sejarah simbol lama dan dapat mengubah budaya politik pemimpin lama kepada budaya politik baharu. 5.8 PERKEMBANGAN BUDAYA POLITIK

Seperti yang diketahui bahawa budaya bukanlah sesuatu yang statik, tidak berkembang dan tidak berubah. Ini kerana budaya berubah kerana budaya itu tidak dalam diri manusia dan ia dibentuk daripada luar dan persekitaran seperti kenyataan ONeil (2006) It is constantly changing and easily lost because it exists only in our minds. Our written languages, governments, building, and other man made things are merely the products of culture. They are not culture in themselves Justeru itu, perkembangan atau perubahan budaya politik adalah perkara biasa yang dialami oleh sesebuah negara. 75

Politik dan Pentadbiran

Sebagai contoh, negara Jepun yang banyak mengalami perubahan budaya politik sejak zaman feudal ke era pemulihan Meiji sehinggalah pada masa kini. Pada era feudal atau dikenali sebagai era shogun, Jepun mengamalkan dasar tertutup dan tidak membenarkan orang luar untuk memasuki Jepun dan orang Jepun untuk keluar dari Jepun. Ini kerana untuk mengelakkan bangsa asing datang untuk menjajah Jepun yang dipelopori negara-negara barat pada ketika itu. Namun budaya ini berubah pada era pemulihan Meiji dengan dasar yang lebih terbuka kerana melihat Jepun sedang ketinggalan dalam pelbagai sudut seperti teknologi dan ekonomi. Pada era ini, bermulanya budaya yang lebih terbuka dan proses industri mula berkembang di Jepun. Ramai pelajar dari Jepun dihantar ke luar untuk mendalami pendidikan di barat dan mengambil tenaga pengajar dari barat untuk mengajar di Jepun. Sehinggalah Jepun menjadi sebuah negara yang sama tarafnya dengan negaranegara di barat dan Jepun memula dasar untuk memperluaskan kuasa seperti yang dilakukan oleh negara-negara barat. Slogan Asia untuk Asia digunakan bagi mempengaruhi negara-negara Asia serta untuk menyaingi kekuatan negara Barat. Asimilasi teknologi dari barat dengan budaya Jepun menjadikan Jepun negara yang terkuat di Asia pada ketika itu. Selepas perang dunia kedua, yang melihatkan kekalahan Jepun setelah Hiroshima dan Nagasaki di bom oleh Amerika. Jepun mengubah dasar menjadi sebuah negara yang anti peperangan atau dikenali sebagai pacifism (Gordon, 2009). Sekali lagi perubahan yang besar berlaku dalam budaya politik Jepun. Jepun kini tidak lagi menekankan kepada aspek ketenteraan dan perluasan kuasa tetapi lebih fokus kepada aspek ekonomi dengan menggunakan teknologi dari barat dengan diterapkan budaya dan inovasi dari budaya Jepun sendiri. Kemajuan Jepun ini menjadi perintis kepada negara-negara lain di Asia timur yang kini mengikut jejak langkah Jepun seperti Korea Selatan, China dan Taiwan. Malaysia juga turut sama menjadikan Jepun sebagai contoh dengan melaksanakan Dasar Pandang Ke Timur. Justeru itu berdasarkan kepada contoh negara Jepun tersebut dapat dilihat bahawa proses asimilasi budaya iaitu penyatuan atau percantuman di antara kelompok atau individu yang berlainan kebudayaan membentuk satu kelompok dengan kebudayaan dan identiti yang sama. Budaya barat serta teknologi dari Barat diserap ke dalam budaya Jepun dan membentuk akulturasi iaitu kebudayaan dari luar diubahsuai untuk disesuaikan dengan kebudayaan negara Jepun. Selain daripada proses asimilasi budaya, perkembangan budaya juga boleh berlaku disebabkan oleh proses sosialisasi seperti akomodasi iaitu penyesuaian dalam keadaan atau proses apabila kelompok-kelompok yang berkonflik bersetuju untuk menghentikan atau mengelakkan konflik dengan mengadakan interaksi secara aman damai sama ada untuk sementara atau selamanya. Ini juga berlaku di Jepun selepas kekalahan mereka kepada Amerika menyebabkan Jepun bersetuju untuk membuat rundingan damai serta mengadakan hubungan diplomatik yang baik dengan Amerika.

76

Politik dan Pentadbiran

Amalgamasi juga membawa kepada proses perkembangan budaya politik. Amalgamasi merupakan penyatuan biologi antara anggota-anggota kelompok etnik atau ras yang berlainan, sehingga muncul bangsa yang baru. Penyatuan antara pelbagai ras dan etnik seperti penyatuan antara orang-orang Inggeris dengan bangsa atau ras yang lain akan membentuk dan melahirkan bangsa yang baru dan juga kebudayaan yang baru. Amalgamasi ini juga disamakan dengan istilah melting pot iaitu periuk pencair yang menyatukan aneka ragam budaya. Budaya politik juga berkembang dengan proses integrasi. Proses integrasi merupakan proses menyatupadukan pelbagai kelompok dalam masyarakat melalui satu identiti bersama dengan menghilangkan perbezaan identiti masing-masing (Abdul Rahman Embong, 2006). Konsep negara bangsa dan sebagainya adalah antara proses integrasi bagi menyatukan pelbagai budaya dengan satu budaya bangsa yang boleh dikenali sebagai bangsa Malaysia, bangsa Amerika, bangsa Arab dan sebagainya. Integrasi ini juga membentuk kepada perkembangan budaya politik dalam negara bagi menjamin kelangsungan kestabilan politik negara. 5.9 SOSIALISASI POLITIK

Sosialisasi adalah satu proses yang dilalui oleh seseorang individu untuk menjadi anggota sesuatu kelompok dengan mempelajari kebudayaan kelompok itu serta peranannya dalam kelompok itu. Ia juga merupakan proses yang perlu dilalui oleh setiap individu yang bermula sejak ia dilahirkan. Oleh itu, proses sosialisasi ini dialami oleh setiap individu secara berterusan. Individu akan mempelajari dan menerima nilai, sikap, kemahiran dan peranan yang akan membentuk personalitinya dan menyatukannya ke dalam kelompok masyarakatnya. Proses sosialisasi pada peringkat kanak-kanak selalunya bermula daripada keluarganya dan juga dikenali sebagai sosialisasi primer yang lebih berunsurkan kepada emosi dan afektual. Pada peringkat remaja dan dewasa, peranan sosialisasi ini selalunya diambil alih oleh agen-agen sosialisasi yang akan mempengaruhinya melalui rol-rol atau peranan baru dan memerlukan penglibatan yang lebih besar. Sebagai contoh, sosialisasi daripada rakan-rakan, guru, pemimpin dan sebagainya. Sosialisasi pada peringkat ini dikenali sebagai sosialisasi sekunder (Goffman, 1981). Sosialisasi politik pula ialah proses pembentukan dan perkembangan sikap dan kepercayaan terhadap sistem politik. Proses sosialisasi politik ini akan membentuk individu berubah sikap terhadap negara, seperti menggalakkan pertambahan ketaatan kepada negara, pemupukan nilai-nilai tertentu yang akan meningkatkan sokongan pada atau pengurangan sokongan terhadap sistem politik tertentu. Sosialisasi politik ini penting dari segi jangkaan dan darjah penyertaan individu atau kumpulan dalam kehidupan politik. Ia juga boleh bermula sejak dari zaman kanak-kanak sehinggalah ke akhir hayat seseorang individu (Greenberg, 2009).

77

Politik dan Pentadbiran

Terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dalam melihat kepada sejauh mana sosialisasi politik berlaku dalam negara, iaitu: (i) Melihat sama ada kerajaan melakukan sosialisasi politik secara sengaja melalui aktiviti-aktiviti kerajaan yang akan mempengaruhi dan memberi kesan kepada tingkahlaku pengundi dan penyertaan rakyat dalam politik negara. Sebagai contoh, perkhidmatan kerajaan, aktiviti atau program kerajaan, pengurangan atau peningkatan harga barang dan sebagainya dilihat akan mempengaruhi akan memberi kesan kepada tingkahlaku pengundi dan penyertaan mereka dalam politik negara. (ii) Nilai dan sikap yang dibentuk oleh agen sosialisasi politik yang sering dikelirukan dengan ketaatan kepada parti dan niat mengundi. Walaupun secara umumnya, ketaatan dan sokongan yang kuat kepada parti akan diakhiri dengan pengundian kepada parti yang disokong, namun kedua-dua perkara ini adalah berbeza. Sokongan yang kuat kepada parti kadangkala tidak dijawab dengan niat mengundi kepada parti. Individu kadangkala hanya cenderung dalam menyokong parti tertentu tetapi masih lagi belum mempunyai niat untuk mengundi. (iii) Keperluan dalam membezakan antara usaha yang disengajakan oleh agen sosialisasi politik dalam mempengaruhi dan pembentukan nilai politik dengan proses sosialisasi yang tidak dipengaruhi oleh kerajaan. Usaha yang disengajakan ialah proses sosialisasi politik yang nyata seperti berkempen atau melakukan aktiviti politik, manakala usaha yang tidak disengajakan atau tidak dipengaruhi oleh kerajaan pula ialah seperti penyertaan dalam kelab, persatuan, pergaulan yang menyebabkan berlakunya sosialisasi politik kepada seseorang individu. Justeru itu, apabila diteliti berkenaan sosialisasi politik ia dilihat mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan agensi-agensi politik itu sendiri. Perkara ini membawa kepada kesimpulan umum bahawa agensi-agensi politik ini boleh membawa kepada pembentukan nilai dan pengaruh politik kepada individu dan masyarakat atau sebaliknya iaitu menimbulkan konflik dalam masyarakat dan sesama sendiri. 5.10 AGEN SOSIALISASI

Agen sosialisasi boleh dibahagikan kepada dua iaitu berbentuk primer atau pun sekunder seperti yang dibincangkan sebelum ini. Selain itu juga ia boleh dikenali sebagai agen formal dan juga tidak formal. Seperti yang diketahui, agen sosialisasi politik merupakan penentu utama dalam proses pembentukan budaya seperti sikap dan nilai terhadap sistem politik. Justeru itu, amat penting dalam mengenali bentuk agen politik ini. Agen sosialisasi formal merupakan proses sosialisasi yang diperolehi secara formal seperti melalui sekolah, universiti, tempat kerja, undang-undang serta peraturan yang 78

Politik dan Pentadbiran

ditetapkan oleh kerajaan. Manakala agen sosialisasi tidak formal pula seperti pergaulan antara rakan-rakan, keluarga, pembacaan melalui media massa sama ada melalui media cetak dan elektronik seperti di laman blog, laman sosial dan sebagainya. Jadi, boleh dikatakan bahawa agen sosialisasi politik sentiasa berada di persekitaran dan ia dapat memberikan kesan dan pengaruh kepada individu dan masyarakat secara berterusan dalam menentukan sikap dan nilai masyarakat terhadap sistem politik negara. 5.11 KESIMPULAN

Budaya politik mempunyai pengaruh dan kesan tersendiri dalam perkembangan politik dalam sebuah negara. Budaya politik itu juga sering dikaitkan dengan kesan daripada sosialisasi politik. Kedua-dua elemen ini banyak didokong oleh prinsip dan ideologi politik yang diamalkan. Ideologi politik yang diperjuangkan banyak mempengaruhi budaya politik dan proses sosialisasi. Oleh sebab itu, sosialisasi dan budaya politik menjadi suatu bidang pengkajian yang semakin menarik minat para sarjana sains politik untuk mendalaminya. Sosialisasi politik pada asasnya melibatkan proses pengasuhan, pengajaran dan pemindahan nilai-nilai, lambang-lambang dan perlakuan politik yang tertentu dari satu generasi kepada generasi. Proses pemindahan ini boleh dilakukan oleh agen sosialisasi primer dan sekunder. Agen primer adalah terdiri daripada keluarga, manakala agen sekunder seperti sekolah, persekitaran kerja dan media massa. Agenagen ini (primer dan sekunder) saling pengaruh mempengaruhi dan saling lengkap melengkapi antara satu sama lain dalarn mensosalisasikan seseorang. Dengan itu, muncullah budaya politik yang dihasilkan daripada proses tersebut. Budaya politik pada asasnya banyak dipengaruhi oleh proses sosialisasi yang telah dilalui oleh seseorang itu.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Berikan definisi budaya politik? 2. Huraikan tiga jenis budaya politik? 3. Berikan contoh beberapa simbol budaya politik?

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

79

Politik dan Pentadbiran

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS 1. Budaya merupakan suatu cara hidup yang diterima umum oleh sesuatu masyarakat bagi meneruskan kelangsungan hidup. Ia merupakan ciptaan manusia yang boleh berubah dan hilang. Terdapat dua bentuk budaya iaitu yang berbentuk kebendaan dan juga bukan kebendaan. 2. Budaya berbentuk kebendaan (artifact) dan budaya berbentuk bukan kebendaan (mentifact). 3. Asas budaya politik oleh faktor seperti kesan sejarah lampau, revolusi, kedudukan geografi, perbezaan etnik dan sosioekonomi yang berbeza di sesebuah negara. 4. Dua komponen penting dalam budaya politik iaitu sikap masyarakat terhadap institusi politik negara dan juga sejauh mana rakyat dapat mempengaruhi dan mengambil bahagian dalam membuat keputusan dalam negara.

80

Anda mungkin juga menyukai