Anda di halaman 1dari 16

Politik dan Pentadbiran

BAB 3 KLASIFIKASI KERAJAAN

OBJEKTIF BAB Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya boleh: 1. Menghuraikan tentang konsep dan jenis-jenis kerajaan. 2. Membincangkan tentang sistem pengkelasan kerajaan. 3. Mengenal pasti jenis kerajaan yang baik dan tidak baik dalam sistem negara moden. 3.1 PENGENALAN

Terdapat kesukaran untuk membuat pengkelasan secara jelas tentang strukur, jenis dan bentuk kerajaan yang wujud dalam sebuah negara. Perkara ini bukan hanya berlaku pada masa dahulu, bahkan ia masih lagi berlaku pada hari ini. Ini disebabkan banyak kriteria dan ciri-ciri yang boleh dipertimbang dan diguna pakai dalam usaha untuk mengklasifikasikan kerajaan yang dibentuk dalam sebuah negara. Ideologi politik adakalanya memainkan peranan penting dalam membentuk sistem kerajaan yang memerintah negara berkenaan. Tentunya ideologi liberal dan komunis akan mewujudkan sistem dan bentuk kerajaan yang berbeza. Oleh sebab itu, apabila satu ideologi politik itu sudah dapat diterima dalam negara berkenaan, maka ia akan menyebabkan runtuhnya ideologi yang lama. Lihat sahaja keruntuhan Soviet Union yang dibentuk berasaskan ideologi komunis. Disebabkan ideologi politik liberal semakin diterima oleh rakyat di negara berkenaan, maka runtuhlah Soviet Union. Dengan runtuhnya Soviet Union, maka Rusia berdiri sebagai sebuah negara yang diterajui oleh kerajaan di bawah pemimpin yang mempunyai fahaman liberal. Cuba anda fikirkan, bolehkan negara wujud tanpa kerajaan? Atau, bolehkah kerajaan wujud tanpa negara?

Berkaitan dengan usaha mengklasifikasikan kerajaan, terdapat beberapa ciri lain yang perlu dipertimbangkan. Namun, tiada ukuran yang komprehensif dan seragam dalam membuat ketetapan mengenai struktur, jenis dan bentuk kerajaan yang ada dalam sebuah negara. Para sarjana sains politik tampil dengan idea masing-masing tentang pengkelasan kerajaan yang diterima umum. Sudah lama usaha ini dilakukan. Ia telah dimulakan oleh Aristotle apabila beliau melakukan percubaan untuk menghasilkan satu pengkelasan struktur kerajaan.

23

Politik dan Pentadbiran

Berbalik kepada pertanyaan di atas, cuba anda fikirkan dua soal berkenaan. Bolehkah negara wujud tanpa kerajaan, atau kerajaan tanpa negara? Berikan contoh dan anda boleh membuat perbincangan berdasarkan hujah-hujah tertentu. Kedua-dua perkara ini iaitu kerajaan dan negara saling berkait antara satu sama lain yang boleh diumpamakan sebagai lagu dan irama. Apa itu negara? Apa itu kerajaan? Yang mana satukah wujud terlebih dahulu, negara atau kerajaan? Dalam bab ini bukanlah bertujuan untuk membincangkan secara terperinci tentang negara. Tumpuan perbincangan dalam adalah memberi tumpuan kepada tentang pengkelasan kerajaan. 3.1.1 Pengertian Negara

Kerajaan merupakan salah satu ciri yang terdapat dalam sebuah negara selain daripada sempadan, penduduk dan kedaulatan. Jika ada semua ciri-ciri ini, maka wujudlah sebuah negara. Yang manakah wujud terlebih dahulu, negara atau kerajaan? Ia ibarat ayam dan telur. Apa yang pasti, kedua-dua perkara ini saling berkait antara satu sama lain. Kerajaan itu perlu ada dalam negara untuk memerintah sama ada dalam sistem demokrasi, komunis, monarki dan lain-lain. Cuma yang berbeza antara kerajaan dalam sistem-sistem politik ini adalah cara bagaimana pemimpin yang menerajui kerajaan itu dipilih. Dalam sistem monarki misalnya, pemimpin yang akan menerajui kerajaan dalam negara berkenaan adalah secara warisan. Anak atau waris keluarga berkenaan akan mewarisi pemerintahan daripada pemimpin sebelum itu. Sebelum dibincangkan konsep kerajaan, wajar untuk kita fahami apa yang dimaksudkan sebagai negara. Dalam istilah sains politik, negara dalam bahasa Inggeris ialah state. Dalam pertuturan biasa hari ini, negara dalam bahasa Inggeris disebut sebagai country, manakala state itu pula merujuk kepada negeri. Alasan perkataan state seperti yang digunakan oleh Roskin, et. al. (2003: 36) ialah ... we use state in its orginal sense; the fifty U.S. states are not states in this sense of the word . Berasaskan penjelasan ini, perkataan state itu merujuk kepada negara bukannya negeri. Sebab itu, apabila dikatakan negara-bangsa, ia diterjemahkan sebagai nation-state. Negara itu wujud adalah hasil daripada penyatuan politik untuk membentuk suatu identiti yang jelas dengan adanya sempadan yang jelas, memiliki kedaulatan, kerajaan yang ada legitimasi atau keabsahan, warganegara yang kekal, perlembagaan yang satu, lambang kebesaran dan mempunyai hubungan diplomatik dengan negara-negara lain. Oleh sebab itu, negara-negara moden yang wujud pada hari ini dapat dilihat ciriciri tersebut iaitu adanya sempadan memisahkan satu negara dengan negara yang lain, kedaulatan yang diiktiraf oleh antarabangsa, kerajaan yang memerintah yang memiliki kuasa yang sah, warganegara yang memiliki kerakyatan yang tulen dan lainlain. Dari segi konsepnya, negara menurut Roskin, et. al. (2003: 36) ialah a state is a government structure, usually sovereign and powerful enough to enforce its writ . Konsep ini dengan jelas menerangkan bahawa dalam negara itu terdapatnya struktur 24

Politik dan Pentadbiran

kerajaan yang jelas, biasanya berdaulat dan cukup berkuasa untuk menguatkuasakan kuasa yang ada padanya. Ramai yang membahaskan bahawa bangsa (nations) itu perlu wujud atau dibangunkan terlebih dahulu daripada negara. Negara itu diciptakan dengan meniru sesuatu (artificial creations), di mana ia boleh muncul dan menghilang dan bertukar sepanjang abad. Walau bagaimanapun, negara mestilah mempunyai elemen-elemen asas iaitu terdapatnya kelompok manusia yang menjadi warganegara yang memiliki perasaan ketaatsetiaan dan memiliki nilai kekerabatan dalam institusi itu. 3.1.2 Elemen-elemen Negara

Negara pada asasnya memiliki beberapa ciri seperti wilayah, penduduk, kemerdekaan, dan kerajaan. Melalui tiap-tiap elemen ini, kita dapat mengenal pasti ciri-ciri kerajaan yang kuat dan jelas serta kadangkala kerajaan yang lemah dan menghilang. (i) Wilayah Tiap-tiap negara mesti ada wilayah yang jelas dengan sempadan yang telah ditetapkan oleh antarabangsa sama ada di darat, laut dan udara. Ini merupakan wilayah sebuah negara yang tidak boleh dicerobohi. Dengan adanya wilayah yang jelas, ia merupakan garis sempadan yang memisahkan antara satu negar dengan negara yang lain yang bersempadan dengannya. Tidak dibenarkan pencerobohan sempadan sebuah negara oleh negara yang lain kerana ia dianggap mencabul kedaulatan negara berkenaan. Penduduk Jika tiada rakyat yang menjadi warganegara atau penduduk sebuah negara, ia tidak memberi sebarang makna. Oleh itu, negara yang sah dan berdaulat walaupun tidak merdeka daripada penjajahan, perlu ada penduduk yang mempunyai ciri-ciri seperti nilai, bahasa, budaya dan kepercayaan yang hampir sama dan boleh bersatu dalam banyak aspek. Warganegaralah yang akan menentukan hala tuju pembangunan negara bersama dengan kerajaan yang telah mereka bentuk melalui sistem politik yang ada. Kemerdekaan Sepatutnya sebuah negara itu adalah merdeka dan bebas daripada sebarang bentuk penjajahan, penaklukan dan pencerobohan. Sebuah negara merdeka adalah negara yang mendapat pengiktirafan antarabangsa. Dalam konteks moden pada hari ini, negara yang merdeka akan menjadi ahli dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Oleh sebab itu, tiap-tiap tahun pada tarikh tertentu sebuah negara itu akan meraikan hari sambutan kemerdekaan masing-masing. Merdeka di sini bermaksud bebas daripada campurtangan dan pengaruh luar dalam pemerintahan dan pentadbiran negara. 25

(ii)

(iii)

Politik dan Pentadbiran

(iv)

Kerajaan Satu lagi elemen penting dalam negara ialah kerajaan. Kerajaan perlu ada untuk memerintah dan mentadbir sebuah negara tidak kira dalam sistem demokrasi, komunis, monarki dan lain-lain. Kerajaan itu juga perlu mendapat keabsahan dan memiliki kuasa daripada mandat yang diberikan oleh rakyat. Kerajaan dalam sebuah negara boleh bertukartukar atau diganti daripada satu kerajaan kepada satu kerajaan yang lain mengikut sistem politik yang diamalkan dalam negara berkenaan. Kerajaan bertanggungjawab terhadap kesemua elemen yang disebutkan di atas bagi menjadi kedaulatan, keselamatan, keamanan, kemakmuran dan sebagai dalam negara akan terus terpelihara.

3.2

KONSEP KERAJAAN

Salah elemen penting negara ialah kerajaan seperti diterangkan di atas. Sukar hendak mempercayai sebuah negara tanpa kerajaan. Kerajaan merupakan sebuah organisasi yang mengatur dan memimpin negara untuk sesuatu tujuan atau matlamat. Kerajaan adalah pemerintah dan pemerintah itu adalah kerajaan. Sebab itu dalam sistem demokrasi berparlimen, Kabinet itu adalah kerajaan dan kerajaan itu adalah Kabinet. Kerajaan itulah yang akan menguruskan segala hal ehwal dalam negara terutama dalam menjaga kepentingan rakyat. Oleh itu, tanpa sebuah kerajaan, tidak akan wujud sebuah negara yang dikatakan baik dan sempurna. Untuk mewujudkan organisasi dan pemerintahan yang berkesan, negara tersebut perlu memiliki kerajaan yang berwibawa dan mempunyai kuasa dalam membuat undangundang dan peraturan serta menguatkuasakannya kepada rakyat. Dalam hal ini, pada umumnya konsep kerajaan itu merujuk kepada fungsi-fungsi yang terlibat dalam pengurusan dan perjalanan hal ehwal sesebuah negara. Di bawah akan dibincangkan beberapa definisi tentang kerajaan. Robertson (1985: 142) menghuraikan konsep kerajaan seperti berikut: the term government is general one used to describe both the body that has power in a given unitwhether national, regional or localand the whole constitutional system. There are many different forms of government such as democracy, autocracy and dictatorship. Mengikut penjelasan Robertson di atas, kerajaan itu merujuk kepada satu badan yang mempunyai kuasa dalam dalam negara sama ada di peringkat persekutuan, wilayah (negeri) dan tempatan serta meliputi keseluruhan sistem perlembagaan. Dalam pada itu, terdapat pelbagai bentuk kerajaan seperti demokrasi, autokrasi dan juga diktator. Dalam usaha membincangkan jenis atau bentuk kerajaan yang wujud dalam sebuah negara, Aristotle merupakan sarjana pertama yang mengkajinya secara sistematik tentang kaedah-kaedah dalam usaha mengklasifikasikan kerajaan.

26

Politik dan Pentadbiran

Fikirkan, apakah perbezaan antara kerajaan demokrasi, autokrasi dan diktator?

Kerajaan adalah institusi negara. Ia merupakan agen negara yang bertanggungjawab mengagihkan nilai yang dilakukannya melalui dasar awam. Dengan kata lain, kerajaan merupakan agen sosialisasi yang sangat penting dalam mempengaruhi tingkahlaku dan pemikiran rakyat. Menurut Syed Ahmad (1995: 202), kerajaan merupakan satu institusi kompleks yang mentadbir negara. Dalam hal ini, kerajaan memainkan peranan penting dalam mentadbir negara. Salah satunya ialah menggubal undang-undang untuk mengawal rakyat dan negara serta menggubal dasar untuk kepentingan rakyat. Hanya kerajaan sahaja yang boleh menggubal dasar dan peraturan untuk rakyat dalam sebuah negara dan menguatkuasa serta melaksanakannya. Atas sebab itu, tiap-tiap langkah dan tindak tanduk kerajaan melalui dasar awam umpamanya lebih ke arah menjaga kebajikan orang awam secara keseluruhannya. Ini menepati dengan apa yang dikatakan oleh Socrates dalam The Republic bahawa sebuah negara yang unggul bukan untuk mewujudkan kebahagiaan tidak seimbang bagi mana-mana satu kelas, tetapi kebahagiaan paling banyak bagi semua orang. Finer (1970: 3-4) memberi definisi kerajaan berdasarkan kepada empat bentuk kerajaan yang berbeza-beza seperti government denotes the activity or the process of governing, i.e. of exercising a measure of control over others. Merujuk kepada pengertian ini, jelas di sini menunjukkan bahawa kerajaan merupakan satu badan yang melaksanakan aktiviti atau proses pentadbiran dalam negara. Kerajaan melaksanakan kawalan ke atas pihak lain yang berada di bawah pemerintahannya. Bagi kerajaan yang mempunyai negeri-negeri yang kecil lebih mudah menjalankan aktiviti pentadbiran berbanding kerajaan yang besar. Selanjutnya Finer mengatakan bahawa kerajaan seperti government denoting the state of affair in which this activity or process is to be found, in short a condition of ordered rule. Dalam hal ini ini, kerajaan adalah pengasas dalam menjalankan aktiviti atau proses membentuk serta menentukan peraturan-peraturan dalam negara. Peraturan juga merupakan salah satu daripada bentuk dasar awam. Seterusnya beliau mengatakan the word government to denote those people charged with the duty of governing dan government may denote the manner, method or system by which a particular society is governed. Dalam konteks yang lebih mudah, tanggapan terhadap kerajaan ialah melibatkan hubungan asas antara pemerintah dengan yang diperintah, antara arahan dengan kepatuhan. Kebiasaannya konsep antara kerajaan dan negara sering digunakan secara silih berganti seolah-olah kedua-dua istilah ini sama maknanya. Contohnya, dasar negara dan dasar kerajaan. Sepatutnya dasar kerajaan itu yang tepat, di mana kerajaan akan melaksanakan dasar untuk kepentingan negara. Kerajaan adalah alat negara untuk mencapai sesuatu maltamat. Dalam perkataan lain, perkataan negara membawa maksud komuniti politik itu sendiri. Manakala perkataan kerajaan merujuk 27

Politik dan Pentadbiran

kepada cara komuniti itu dikelolakan dari segi politiknya. Namun, dalam teori politik, kedua konsep ini biasanya digabungkan. Sebagai contoh, jenis negara selalunya dinamai mengikut bentuk kerajaannya (Adler, 2008). Terdapat pelbagai istilah dan terminologi tentang kerajaan sistem kerajaan, bentuk kerajaan dan rejim. Semua terminologi ini membawa maksud yang hampir sama, tetapi ia jelas berbeza dari segi corak bagaimana pemerintahan dijalankan. Sebagai contoh, istilah rejim dan sistem kerajaan mempunyai perbezaan. Rejim merupakan pemerintahan yang dilakukan ke atas sesebuah masyarakat daripada parti, seseorang pemimpin (perorangan) atau kumpulan yang memegang kekuasaan secara keseluruhan dalam sesebuah masyarakat. Rejim lebih merujuk kepada siapa yang menjalankan pemerintahan. Contohnya ialah rejim Hitler, rejim Zionis dan rejim Israel. Manakala sistem kerajaan merujuk kepada institusi-institusi pemerintahan sesebuah kerajaan yang bertanggungjawab menggubal dan melaksanakan dasar-dasar kerajaan. Sistem kerajaan dapat dikelaskan kepada beberapa jenis iaitu republik, monarki, demokratik, totalitarian dan autokrasi. Dari segi fungsi, kerajaan boleh melakukan pelbagai fungsi dalam menguruskan negara melalui pelbagai aktiviti untuk mencapai matlamat negara. Ini termasuklah berperanan sebagai pelindung, pemberi pengadilan, pengawal, pengusaha dan penghukum dalam proses mengagihkan nilai dalam masyarakat. Lain-lain fungsi kerajaan seperti mentadbir; menjaga keamanan dan ketenteraman dalaman; mengawal keselamatan daripada ancaman luar; menentukan keadilan; menggalakkan pembangunan; memungut cukai; membuat dan melaksanakan peraturan dan dasar; membuat perhubungan dengan negara-negara lain; dan fungsi umum menentukan sistem sosial dan politik berjalan terus dan teratur. Namun, fungsi kerajaan turut berubah mengikut peredaran masa. Menurut Tun Dr. Mahathir kerajaan bukan lagi terhad kepada mengekal undang-undang dan peraturan; dan memungut hasil, tetapi peranan kerajaan sudah diperluaskan sehingga terlibat dengan semua gerak-geri ekonomi, sosial dan politik dalam sebuah negara yang merdeka.

SOALAN DALAM TEKS

1. Adakah kerajaan yang diperintah oleh tentera melalui rampasan kuasa itu sah? Semak jawapan anda di akhir bab ini.

3.3

TUJUAN DAN MASALAH PENGKELASAN

Usaha dalam membuat pengkelasan sistem kerajaan telah lama dilakukan. Ia dikatakan semenjak permulaan kajian sains politik lagi. Seperti yang telah disebutkan 28

Politik dan Pentadbiran

di awal bab ini, Aristotle merupakan sarjana pertama berusaha untuk membuat pengkelasan sistem dan struktur kerajaan. Aristotle telah membuat pengkelasan antara negara mengikut struktur pemerintahan iaitu negara yang diperintah oleh satu orang (monarki), oleh sekumpulan kecil orang (aristokrasi) dan oleh banyak orang (kerajaan campuran). Tujuan beliau membuat pengkelasan ini adalah untuk menghurai pengkelasan kerajaan itu dan menilainya. Aristotle kemudiannya memperluaskan lagi pengkelasan kerajaan kepada beberapa bentuk seperti tirani, oligarki dan demokrasi seperti yang ditunjukkan dalam jadual 3.1 di bawah. Walau bagaimanapun, Aristotle menyedari bahawa tiada satu pun bentuk kerajaan yang tulen. Pengkelasan oleh Aristotle adalah bertujuan untuk menilai kerajaan yang ideal dari segi falsafahnya. Jadual 3.1: Klasifikasi Kerajaan Bentuk Legitimasi (Untuk Kepentingan Semua Satu Monarki Sedikit Aristokrasi Ramai Politi (Sumber: Roskin, et. al., 2003: 45) Bilangan Memerintah Bentuk Korupsi (Untuk Kepentingan Sendiri) Tirani Oligarki Demokrasi

Seorang lagi sarjana sains politik iaitu Jean Bodin melalui bukunya Six Books On The Commonwealth pada abad ke-16 telah melanjutkan pengkelasan kerajaan oleh Aristotle. Bodin menumpukan perbincangannya kepada pencarian apakah jenis perlembagaan yang paling baik dalam sebuah negara. Beliau mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang perlembagaan semasa dan pendirian beliau bahawa jenis kerajaan bergantung kepada faktor-faktor ekonomi dan geografi di samping faktor-faktor politik. Ini membolehkan Bodin telah memberi sumbangan yang besar kepada kemajuan ilmu politik. Namun, masih terdapat penekanan kepada kedaulatan undang-undang yang menjadi simbol utama sains politik abad ke-20 (Ball, 1993: 45). Selain daripada tokoh di atas yang membuat pengelasan kerajaan, seorang ahli falsafah Perancis iaitu Montesquieu telah menghasilkan skema pengelasan yang paling terkenal pada abad ke-18. Menurut pandangan beliau, terdapat tiga jenis kerajaan iaitu republikan, monarki dan kuku besi. Kerajaan republikan membahagikan kuasa antara yang banyak atau yang sedikit, semakin dekat aristokrasi menghampiri demokrasi, semakin rapat aristokrasi mencapai kesempurnaan dan dengan kadar yang sama, semakin aristokrasi mendekati monarki, aristokrasi menjadi lebih tidak sempurna. Klasifikasi yang dilakukan Montesquieu berbeza daripada Aristotle. Skema pengelasannya berbentuk klasikal kerana jenis kerajaan bergantung kepada bilangan orang yang memegang kuasa. Bagi kerajaan jenis monarki pula, merupakan satu sistem yang dikawal oleh undang-undang asas dan oleh kuasa kumpulan-kumpulan 29

Politik dan Pentadbiran

yang lain dalam masyarakat walaupun kuasa dipegang oleh satu orang. Manakala pemerintahan jenis kuku besi (despotism) ialah bentuk kerajaan yang paling buruk kerana kuasa terletak dalam tangan satu orang sahaja. Dalam klasifikasi beliau juga turut mengiktiraf perhubungan antara jenis kerajaan dengan jenis masyarakat. Selain itu, pembolehubah seperti keluasan sempadan negara, pendidikan moral, semangat patriotik dan tahap kesamaan ekonomi membantu menentukan jenis kerajaan (Ball 1993: 45). Usaha pengelasan kerajaan dilakukan adalah bertujuan untuk mengasingkan ciri-ciri yang paling penting daripada yang kurang penting dalam sesuatu sistem politik. Pengelasan bermula daripada pendekatan perbandingan dan juga dari segi matlamatnya. Disebabkan tidak ada satu skema pengelasan yang sesuai bagi semua tujuan, maka skema pengelasan bergantung pada aspek sistem politik yang mana hendak diasingkan dan ditekankan. Selain itu, skema pengelasan juga mungkin bertujuan menunjukkan hubung kait antara pembolehubah-pembolehubah yang berlainan. Satu perkara yang dilihat penting ialah perhubungan antara jenis sistem politik dengan struktur sosioekonomi. Walau bagaimanapun, dalam pengelasan kerajaan terdapat beberapa masalah yang timbul. Antaranya ialah masalah mentakrif konsep-konsep yang digunakan. Konsep yang digunakan untuk merujuk kepada sesuatu perkara adakalanya berbeza pengertian bagi setiap kerajaan. Sebagai contoh, kebebasan sivil mungkin mempunyai pengertian yang berbeza bagi Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet. Jika dakwaan bahawa kerajaan Soviet mengabaikan hak asasi sivil, ini adalah tidak bererti sehingga kedua-dua kerajaan tersebut membuat persetujuan tentang apakah yang dimaksudkan dengan kebebasan sivil oleh kerajaan masing-masing. Pembentukan konsep juga adalah sukar kerana masalah kuantifikasi yang sememangnya menyukarkan. Selain itu, pengelasan kerajaan juga telah mewujudkan masalah label. Masalah label merupakan satu masalah dalam pengelasan sistem politik. Institusi-institusi politik yang mempunyai label yang sama berkemungkinan melaksanakan fungsi yang sama namun dalam sistem politik yang berbeza (Almond & Powell, 1978 dipetik dalam Ball). Apa yang dapat dilihat sebagai contoh sistem Monarki British mempunyai fungsi dan pengaruh politik yang sama seperti presiden Jerman Barat. Label-label bagi setiap parti berbeza dan mengelirukan dari segi bagaimana sistem sesebuah parti itu berfungsi sebenarnya. Masalah seterusnya ialah masalah pertimbangan nilai. Pengelasan ada kalanya digunakan bertujuan untuk menyanjung atau mengutuk rejim tertentu. Rejim-rejim bukan hanya untuk menghurai, mengkategori, dan menganalisis institusi-institusi politiknya sahaja, tetapi juga untuk menggambarkan pilihan. Pilihan dalam membentuk sesuatu sistem politik mempunyai perbezaan. Bagi mereka yang memilih sistem demokratik, mereka akan melihat atau menilai jenis-jenis kerajaan yang lain yang tidak menjadi pilihan mereka sebagai sebuah kerajaan yang

30

Politik dan Pentadbiran

berdasarkan paksaan atau tipu helah. Oleh itu, pengelasan kerajaan adalah sukar kerana nilai yang diberikan berbeza mengikut fahaman.

SOALAN DALAM TEKS

2. Apakah yang anda fahami tentang pemerintahan kuku besi?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

3.4

SISTEM PENGKELASAN

Pengelasan sistem politik telah melibatkan pelbagai cara dan kaedah. Namun demikian, tipologi umum seperti sistem Demokratik Liberal, Demokrasi Sosialis dan Autokrasi autoritarian sudah mencukupi untuk mewakili pelbagai cara pengelasan sistem politik. Selain itu, tipologi ini juga jelas menerangkan masalah berkaitan sistem politik itu sendiri serta beberapa kelebihannya. Perkara ini jelas dapat dilihat melalui ciri-ciri sesebuah sistem politik. Menurut Abdul Rashid dan Syed Serajul dalam introduction to political science, sistem demokratik liberal merujuk kepada sistem politik di mana demokrasi atau "kedaulatan rakyat" diguna pakai. Jentera kerajaan dikendalikan oleh wakil-wakil yang dipilih rakyat yang bertanggungjawab kepada rakyat untuk dasar-dasar dan tindakan mereka. Berikut ialah ciri-ciri bagi sistem jenis demokrasi liberal: (i) Mempunyai lebih daripada satu parti politik yang terlibat dalam persaingan mendapatkan kuasa politik. (ii) Persaingan mendapatkan kuasa adalah terbuka dan ianya berdasarkan prosedur yang telah ditetapkan serta diterima umum. (iii) Kemasukan ahli baru untuk sesuatu kedudukan politik juga adalah terbuka secara relatifnya. (iv) Terdapat pilihan raya yang dijalankan berdasarkan hak mengundi yang sejagat. (v) Kumpulan pendesak turut memainkan peranan dalam mempengaruhi keputusan kerajaan manakala persatuan seperti kesatuan sekerja dan organisasi sukarela lainnya pula tidak tertakluk kepada kawalan ketat kerajaan. (vi) Kebebasan sivil seperti kebebasan bersuara, beragama, dan kebebasan daripada ditahan sebarangan diiktiraf dan dilindungi dalam sistem politik. Ini mengandaikan bahawa media massa seperti radio, televisyen, dan surat khabar menikmati kebebasan yang meluas daripada kongkongan kerajaan.

31

Politik dan Pentadbiran

(vii)

Terdapat satu bentuk pengasingan kuasa, iaitu majlis perwakilan mempunyai kawalan tertentu terhadap eksekutif, dan kehakiman pula bebas daripada eksekutif dan perundangan.

Walau bagaimanapun, ciri-ciri sistem demokratik liberal ini masih lagi mempunyai kekurangan dan masalah dari segi aspek-aspek tertentu seperti pelaksanaannya. Sebagai contoh ialah untuk persoalan, sejauhmanakah kehakiman bebas daripada kawalan eksekutif? Jika diperhatikan di negara Afrika Selatan, mereka mempunyai sistem parti yang bersaingan, tetapi dipertikaikan sama ada kebebasan sivil lebih dilindungi di Afrika Selatan jika dibandingkan dengan Tanzania, dimana hanya terdapat satu parti politik sahaja. Persaingan antara parti-parti politik di Afrika Selatan terhad kepada parti politik kaum kulit putih sahaja dan sebahagian besar penduduk diasingkan daripada arena politik. Salah satu contoh lagi ialah mengenai kebebasan media. Sejauhmanakah kebebasan media bebas daripada penapisan kerajaan?. Jika dilihat selepas pengisytiharan darurat pada tahun 1975, berlaku kawalan kerajaan terhadap akhbar dan tindakan kerajaan menahan tanpa bicara musuh politik di India telah menyebabkan negara itu tidak berhak lagi dikategorikan sebagai Demokrasi Liberal. Menurut Jean Blondel (1969), Demokrasi liberal ... sukar ditakrif kerana komponenkomponen utama gabungan indeksnya (pilihan raya bebas, wujudnya pihak pembangkang, dan sebagainya) kelihatan mencabar proses yang ketat dalam mengoperasi takrifan itu. Masalah-masalah tersebut sememangnya sukar diatasi. Namun, konsep Demokrasi Liberal merupakan sistem yang cukup fleksibel untuk menggabungkan pelbagai sistem dengan menekankan ciri-ciri penting yang tertentu serta untuk membandingkan sistem-sistem ini dengan kategori-kategori sistem politik umum yang lain. Seterusnya ialah bagi kategori yang kedua iaitu Demokrasi Sosialis atau sering juga digelar totalitarianisme. Sistem Totalitarian dapat didefinisikan sebagai a totalitarian state is one where authority of government is total and absolute claiming jurisdiction over the whole of a mans life. That is, no part of a mans life is outside the detailed supervision and control of the state (Abdul Rashid & Syed Serajul, 2009). Friedrich & Brzezinski (ibid.,) yang telah memberi gambaran khusus mengenai ciriciri rejim ini antaranya ialah satu sistem politik yang mempunyai satu ideologi rasmi, satu parti massa, menggunakan kaedah menakut-nakutkan oleh pihak kerajaan, komunikasi, dana menggunakan paksaan yang dimonopoli oleh kerajaan dan terdapatnya arahan pusat dalam sistem ekonomi. Sistem jenis ini sebenarnya mempunyai lebih banyak masalah operasi berbanding dengan Demokrasi Liberal. Kategori ini nampaknya menekankan ideologi sosialis dan penggunaan keganasan. Huraian ini mungkin lebih sesuai bagi rejim seperti Hitler dan Stalin dan bukannya untuk sistem-sistem politik masa kini.

32

Politik dan Pentadbiran

Penggunaan istilah demokrasi sosialis bagi menggantikan totalitarian akan mengurangkan implikasi normatif penggunaan istilah ini. Ciri-ciri sistem ini antaranya ialah: (i) Hanya mempunyai satu ideologi sosialis yang rasmi. (ii) Penguasaan politik dilakukan oleh satu parti sahaja. (iii) Terdapat kekaburan antara aktiviti awam dengan aktiviti swasta jika dibandingkan dengan keadaan yang terdapat dalam sistem demokrasi liberal. Dalam sistem ini, kumpulan-kumpulan swasta tertakluk pada pengawalan negara yang lebih tinggi darjah pengawalannya. (iv) Ketiadaan konsep pemisahan kuasa seperti yang terdapat dalam sistem demokrasi liberal, dan dengan itu kebebasan badan kehakiman lebih terhad. Namun begitu, ciri-ciri yang terdapat dalam sitem politik jenis ini menonjolkan perbezaan yang lebih jelas jika dibandingkan dengan demokrasi liberal. Sistem politik jenis ini adalah kurang terdedah kepada tuduhan bias politik. Contoh kategori sistem ini antaranya ialah bagi sistem Eropah Timur seperti Poland, Hungary, Yugoslavia, Bulgaria dan sebagainya. Kategori yang ketiga ialah sistem politik autokrasi. Sistem politik jenis ini dilihat mempunyai lebih banyak masalah dalam usaha pembentukan konsep berbanding dengan dua sistem lain iaitu demokrasi liberal dan demokrasi sosialis. Sistem ini biasanya tidak stabil dan mungkin berubah lebih cepat berbanding sistem-sistem lain. Tahap pembangunan sosio ekonomi, sifat sistem parti, dan peranan tentera merupakan pembolehubah penting dalam pengelasan. Ciri-ciri lain dalam membantu membuat skema pengelasan dalam sistem ini ialah batasan terhadap persaingan politik yang terbuka, peranan ideologi, penggunaan kuasa paksaan yang jelas, pengabaian terhadap kebebasan sivil, kurangnya kebebasan kehakiman, dan peranan elit tradisional atau elit tentera. Rejim oligarki atau autoritarian dapat dikelaskan seperti berikut: a) Rejim Konservatif: (i) Monarki tradisional dengan golongan pemerintah tradisional dan infrastruktur institusi politik yang sedikit sahaja. Contohnya Arab Saudi, Morocco dan Nepal. (ii) Kediktatoran konservatif, iaitu personaliti pemimpin penting dan terdapat sedikit sahaja bentuk kesahan yang termaktub. Contohnya Paraguay dan Malawi. (iii) Teokrasi, iaitu rejim bercorak revolusioner yang cuba mengerahkan sokongan massa. Contohnya negara Iran. Demokrasi Liberal dipermukaan: Terdapat persaingan dalam pilihan raya tetapi terdapat juga batasan terhadap pihak pembangkang dan juga aspek kebebasan sivil. Contoh negaranya ialah Afrika Selatan dan Mexico.

b)

33

Politik dan Pentadbiran

c)

Rejim Tentera: (i) Rejim tentera secara langsung; mendapatkan kuasa melalui rampasan kuasa, tahap pembangunan ekonomi yang rendah, tidak terdapat pilihan raya serta darjah ketidakstabilan politik yang tinggi. Contoh yang dapat dilihat ialah seperti negara Thailand, Pakistan. (ii) Rejim awam-tentera; rejim ini lebih stabil jika dibandingkan dengan rejim tentera secara langsung. Namun, perhubungan kuasa dalam kerajaan antara pihak awam dengan tentera sukar dinilai dan sentiasa berubah-ubah. Contoh yang sesuai bagi kategori ini adalah bagi negara Mesir, Brazil. (iii) Rejim tentera yang radikal; rejim yang paling kontroversial kerana mempunyai banyak pertindihan antara kategori ini dengan rejim tentera secara langsung dan rejim awam-tentera. Contohnya Algeria, Ethiopia.

Apa yang dapat disimpulkan, semua sistem pengelasan seharusnya bersifat sementara dan fleksibel serta mempunyai idea yang jelas tentang tujuan usaha pengelasan itu.

SOALAN DALAM TEKS

3. Apakah ciri-ciri bagi sistem demokrasi liberal? 4. Apakah ciri-ciri bagi sistem demokrasi sosialis?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

3.5

PENGELASAN STRUKTUR POLITIK

Usaha bagi mengelaskan sistem politik dihalangi beberapa masalah akibat daripada faktor-faktor tertentu yang tidak jelas sifat dan ciri-cirinya. Pengelasan hanya boleh dibuat melalui kajian perbandingan terhadap struktur dan proses serta sistem politik yang sedia ada. Perbandingan antara struktur dan proses yang berbeza-beza dapat membantu memahami perjalanan pelbagai aspek sesuatu sistem. Dalam sistem demokrasi sendiri terdapat pelbagai perbezaan dalam pengelasan struktur dan sistem politik yang diamalkan. Dalam sistem ini terdapat sistem federal atau persekutuan, sistem unitari atau kesatuan dan juga sistem berparlimen dan berpresiden. Gabungan boleh terbentuk daripada sistem persekutuan sama ada berparlimen atau berpresiden, dan juga sistem kesatuan sama ada berparlimen atau berpresiden. Perkara ini merupakan antara masalah dalam pengelasan struktur politik dalam sistem demokrasi liberal itu sendiri.

34

Politik dan Pentadbiran

Sistem persekutuan atau federal merupakan kerajaan yang kuasa politiknya dibahagikan antara kerajaan pusat dengan negeri-negeri atau wilayah-wilayah yang terbentuk daripada gabungan persekutuan itu. Sistem ini boleh menimbulkan perbezaan yang penting dalam perjalanan proses politik. Sistem ini turut memberi kesan pada perjalanan sistem parti, pergerakan kumpulan pendesak, perhubungan antara dewan perundangan dengan badan eksekutif, status badan kehakiman dan organisasi birokrasi. Malaysia, Australia, USA merupakan contoh yang mengamalkan sistem ini. Selain itu, boleh juga melihat pembahagian antara sistem berparlimen dengan sistem berpresiden. Perbandingan kedua-dua sistem ini boleh menunjukkan perbezaan tertentu yang menekankan ciri-ciri asas masing-masing. Ciri-ciri utama kerajaan jenis berparlimen adalah seperti berikut (Ball, 1993: 58): (i) Terdapat ketua negara yang nominal yang pengaruh politiknya terbatas dan mempunyai fungsi yang sebahagian besarnya berbentuk rasmi dan keupacaraan. Ketua negara mungkin digelar Presiden atau Raja. (ii) Eksekutif politiknya (Perdana Menteri, Canselor) bersama-sama kabinet adalah sebahagian daripada ahli dewan perundangan, dipilih oleh majlis dan boleh disingkirkan oleh majlis itu jika majlis menarik balik sokongannya. (Kesan percantuman kuasa, badan eksekutif bertanggungjawab kepada badan perundangan) (iii) Majlis perundangan dipilih untuk tempoh tertentu oleh para pengundi dan tarikh pilihan raya pula ditetapkan oleh ketua negara atas nasihat Perdana Menteri atau Canselor. Ciri-ciri utama kerajaan jenis berpresiden adalah seperti berikut (Ball, 1993: 59): (i) Presiden merupakan ketua negara dari segi politik dan juga ketua negara yang nominal (ii) Presiden tidak dipilih oleh majlis perundangan, tetapi dipilih secara langsung oleh semua pengundi. (iii) Presiden bukan sebahagian daripada majlis perundangan dan beliau tidak boleh disingkirkan daripada kedudukannya oleh majlis itu kecuali melalui proses undang-undang yang dinamakan penuduhan (impeachment). (iv) Presiden tidak boleh membubarkan majlis perundangan dan memanggil pilihan raya umum. Presiden dan majlis perundangan dipilih untuk satu tempoh masa tertentu. Apa yang dapat dirumuskan mengenai perbezaan kedua-dua sistem ini ialah keduaduanya mempraktiskan doktrin pengasingan kuasa. Namun, dari segi perlaksanaannya terdapat perbezaan. Hal ini dilihat apabila sistem berpresiden (persekutuan atau kesatuan)mempraktiskan doktrin pengasingan kuasa secara sepenuhnya manakala bagi sistem berparlimen (persekutuan atau kesatuan) mempraktiskan doktrin percantuman kuasa. Walau bagaimanapun, masih wujud pengasingan kuasa bagi sistem ini kerana ketiga-tiga institusi asas pemerintahan itu 35

Politik dan Pentadbiran

masih kekal dan berfungsi seperti asalnya, begitu juga dalam sistem berpresiden. Bagi pelaksanaan sistem demokrasi berparlimen atau berpresiden ianya tidak tertakluk kepada saiz dan jumlah penduduk, tetapi berasaskan kepada perlembagaan sesebuah negara. 3.6 KESIMPULAN

Setelah membincangkan mengenai pelbagai perkara berkaitan pengelasan kerajaan, kesimpulan yang dapat dibuat ialah pengelasan kerajaan merupakan perkara yang sukar. Kita sukar menentukan apakah satu jenis sistem politik yang paling sempurna. Hal ini kerana ia melibatkan pelbagai aspek yang perlu diteliti dan masing-masing mempunyai sejarah serta kebaikan dan kekurangan yang tertentu. Oleh hal demikian, adalah lebih bermakna untuk menerima pelbagai jenis pengelasan, dan menerima bahawa sifatnya yang sentiasa berubah-ubah.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Apakah perbezaan di antara rejim tentera radikal dengan rejim tentera secara langsung? 2. Jelaskan ciri-ciri sistem demokrasi liberal.

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

36

Politik dan Pentadbiran

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS 1. Kerajaan yang diperintah oleh tentera melalui rampasan kuasa juga jika dalam konteks demokrasi adalah kerajaan yang tidak sah. Tetapi, kerajaan yang diperintah oleh tentera mendapat pengiktirafan dan masih kekal memelihara kedaulatan negara yang diperintahnya. Tujuan rampasan kuasa oleh tentera kebiasaannya untuk memulihkan keadaan seperti memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin yang telah dipilih melalui pilihan raya yang mengamalkan corak pemerintahan diktator sebelum diserahkan semula kepada kerajaan awam. 2. Pemerintahan kuku besi biasa muncul selepas seorang pemimpin itu melaksanakan pemerintahan dalam negara secara kekerasan dan mengenakan paksaan kepada rakyatnya. Walaupun telah dipilih melalui pilihan raya, seorang pemimpin itu boleh melaksanakan pemeritahan kuku besi demi menjamin kedudukannya di tampuk pemerintahan dengan memperkenalkan pelbagai peraturan yang menyekat kebebasan bersuara, berpolitik dan tidak memberi kewujudan parti politik lain yang dilihat akan mencabar pemerintahannya. 3. Ciri-ciri sistem demokrasi liberal: (i) Mempunyai lebih daripada satu parti politik yang terlibat dalam persaingan mendapatkan kuasa politik. (ii) Persaingan mendapatkan kuasa adalah terbuka dan ianya berdasarkan prosedur yang telah ditetapkan serta diterima umum. (iii) Kemasukan ahli baru untuk sesuatu kedudukan politik juga adalah terbuka secara relatifnya. (iv) Terdapat pilihan raya yang dijalankan berdasarkan hak mengundi yang sejagat. (v) Kumpulan pendesak turut memainkan peranan dalam mempengaruhi keputusan kerajaan manakala persatuan seperti kesatuan sekerja dan organisasi sukarela lainnya pula tidak tertakluk kepada kawalan ketat kerajaan. (vi) Kebebasan sivil seperti kebebasan bersuara, beragama, dan kebebasan daripada ditahan sebarangan diiktiraf dan dilindungi dalam sistem politik. Ini mengandaikan bahawa media massa seperti radio, televisyen, dan surat khabar menikmati kebebasan yang meluas daripada kongkongan kerajaan. (vii) Terdapat satu bentuk pengasingan kuasa, iaitu majlis perwakilan mempunyai kawalan tertentu terhadap eksekutif, dan kehakiman pula bebas daripada eksekutif dan perundangan. 4. Ciri-ciri sistem demokrasi sosialis: (i) Hanya mempunyai satu ideologi sosialis yang rasmi. (ii) Penguasaan politik dilakukan oleh satu parti sahaja. (iii) Terdapat kekaburan antara aktiviti awam dengan aktiviti swasta jika dibandingkan dengan keadaan yang terdapat dalam sistem demokrasi liberal.

37

Politik dan Pentadbiran

Dalam sistem ini, kumpulan-kumpulan swasta tertakluk pada pengawalan negara yang lebih tinggi darjah pengawalannya. (iv) Ketiadaan konsep pemisahan kuasa seperti yang terdapat dalam sistem demokrasi liberal, dan dengan itu kebebasan badan kehakiman lebih terhad.

38

Anda mungkin juga menyukai