Anda di halaman 1dari 20

BAB 3

PERKAKASAN DALAM PERHUBUNGAN AWAM

OBJEKTIF BAB

Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya dapat:


1. Mengenal pasti jenis-jenis perkakasan yang wujud dalam
perhubungan awam
2. Menjelaskan satu persatu perkakasan yang ada dalam
perhubungan awam
3. Menjelaskan mengapa sesuatu perkakasan digunakan dalam
sesuatu majlis atau acara
4. Mengenal pasti perkakasan yang sering digunakan oleh syarikat-
syarikat korporat di Malaysia

3.1 PENGENALAN

Perkakasan adalah amat penting dalam aktiviti perhubungan awam. Ia


juga boleh dianggap sebagai nadi kejayaan sesuatu projek atau kegiatan
yang dijalankan oleh organisasi. Dalam bab ini juga para pelajar akan
didedahkan dengan pelbagai jenis perkakasan yang terdapat dan boleh
diamalkan oleh pengamal perhubungan awam. Setiap pengamal
perhubungan awam seharusnya bijak untuk mengenalpasti perkakasan
mana yang sesuai untuk digunakan dalam satu-satu projek, acara dan isu
yang hendak ditangani.

Sebelum memilih mana-mana perkakasan, pengamal perhubungan awam


seharusnya memahami sepenuhnya setiap perkakasan yang ada dalam
perhubungan awam. Kegagalan pengamal membuat pilihan perkakasan
akan mendatangkan kerugian dan menjatuhkan imej organisasi.
Perkakasan seperti publisiti, periklanan, penerbitan, fundraising, perlobian,
persidangan akhbar dan kempen mampu menjadikan aktiviti hubungan
lebih berjaya. Apa yang penting berjaya atau tidak sesuatu hubungan itu
adalah terletak pada bahu pengamal perhubungan awam untuk
menjalankan tanggungjawabnya.

3.2 PUBLISITI
Publisiti adalah amat diperlukan oleh pengamal perhubungan awam
untuk meyebarkan maklumat berkaitan dengan sesuatu acara. Secara
asasnya publisiti dapat kita definisikan sebagai satu tindakan yang
77
dilakukan untuk menarik perhatian dan sekali gus sokongan dari khalayak
sasaran. Ini juga bermakna sebarang aktiviti, bahan produk, majlis-majlis
tertentu, dan sebagainya akan mendapat perhatian dan disokong
sepenuhnya oleh publik. Kebiasaanya sesuatu acara yang mempunyai
nilai berita mudah untuk mendapat publisiti. Ada ketika pengamal
perhubungan awam tidak perlu mencari publisiti kerana sesuatu acara
mempunyai nilai berita. Ini menyebabkan para pemberita berebut-rebut
untuk membuat liputan dan disiarkan. Kebiasaannya acara-acara yang
dirasmikan oleh tetamu kehormat yakni individu-individu yang
mempunyai kedudukan yang tinggi dalam kerajaan akan mudah
mendapat publisiti dari pihak media.

Kebiasaannya acara-acara yang mempunyai nilai tanggungjawab kepada


masyarakat tidak dikenakan apa-apa bayaran oleh pihak media. Oleh yang
demikian dalam hal ini pihak media akan menentukan maklumat yang
akan disiarkan termasuk kekerapan acara itu dipamerkan kepada orang
ramai. Walau bagaimanapun pada masa kini mengikut perkeliling yang
dikeluarkan oleh pihak kementerian, sebarang publisiti yang boleh
mendatangkan keuntungan kepada organisasi berkenaan akan tetap
dikenakan bayaran mengikut kadar yang ditetapkan. Selain itu juga,
penganjur masih ada pilihan lain untuk menghebahkan acara yang akan
dijalankan iaitu dengan mengambil ruang iklan dalam akhbar, televisyen
dan majalah. Jika dikira dengan kos, sudah pasti kos yang dikeluarkan
untuk tujuan periklanan semestinya lebih tinggi dan bergantung dengan
jenis media yang akan kita gunakan.

Dalam keadaan-keadaan tertentu, pengamal perhubungan awam perlu


mempunyai kemahiran dalam penulisan yang baik kerana ia dianggap
sebagai salah satu aktiviti yang berkait rapat dengan publisiti. Publisiti
sememangnya amat menuntut seseorang untuk menulis sesuatu perkara
atau acara dengan cara yang amat berkesan yang menyebabkan publik
ingin mengikut atau menghadiri acara yang akan berlangsung.

3.3 PERIKLANAN

Iklan boleh kita anggap sebagai satu usaha untuk memberi penerangan,
penjelasan dan keyakinan berkenaan sesuatu produk atau perkhidmatan
kepada orang ramai. Matlamat yang paling penting dalam periklanan
adalah untuk melariskan produk atau perkhidmatan yang dikeluarkan
oleh sesebuah syarikat. Pada setiap hari kita sudah biasa disogokkan
dengan iklan-iklan di akhbar-akhbar tempatan yang menyiarkan
maklumat-maklumat terkini berkaitan dengan sesuatu produk sama ada
dari dalam atau luar negara. Sebahagian daripada kita sememangnya
menjadikan iklan sebagai sumber informasi dan ia juga dianggap penting
untuk para pengguna membuat pilihan dan perbandingan harga ketika
hendak membeli sesuatu produk.
78
Jika kita perhatikan, terdapat pelbagai cara yang digunakan oleh
pengiklan menarik perhatian para pengguna, antaranya:

(i) Menggunakan perkataan-perkataan menarik perhatian seperti


“Jualan Penghabisan Stok”, “Jualan Ulang Tahun”, “Jualan
Merdeka”, “Jualan Separuh Harga” dan sebagainya.
(ii) Menggunakan banyak gambar-gambar berwarna yang
mempamerkan produk-produk yang ditawarkan.
(iii) Menggunakan khidmat selebriti-selebriti terkenal tanah air
sebagai duta produk, yang dianggap mampu mempengaruhi
para peminatnya membeli produk berkenaan.

Iklan juga sering disalurkan melalui, radio, televisyen, surat khabar,


majalah, poster, wayang gambar dan sebagainya. Berbeza dengan konsep
publisiti, pengamal perhubungan awam akan berurusan dengan pengiklan
untuk berbincang berkenaan harga iklan yang akan disiarkan. Dalam
surat khabar, kadar yang ditetapkan selalunya bergantung kepada saiz
ruangan sesuatu mukasurat, kedudukan mukasurat, dan jenis-jenis akhbar
yang dipilih.

Menurut Mohd. Hamdan (1998), terdapat beberapa jenis iklan yang


digunakan oleh pengamal perhubungan awam, diantaranya iklan prestij,
iklan institusi, iklan korporat, dan iklan berita. Iklan yang dikenali sebagai
iklan institusi adalah juga dikenali sebagai iklan imej. Matlamat yang
ditumpukan oleh iklan imej adalah untuk memastikan supaya orang
ramai memahami dan menyokong tindakan atau barang-barang keluaran
organisasi. Bagaimanapun iklan institusi berbeza daripada iklan barang-
barang kerana iklan barang-barang khusus kepada barang-barang yang
diiklankan berbanding dengan iklan institusi yang merangkumi imej
organisasi yang menyeluruh. Bagaimanapun, iklan institusi juga
sebenarnya berusaha meningkatkan imej organisasi di samping berusaha
menyakinkan pengguna untuk terus menyokong barang-barang yang
dikeluarkan.

Secara asasnya juga, pengamal perhubungan awam tidak perlu mencipta


dan mereka bentuk iklannya. Iklan yang hendak disiarkan itu boleh
direka dan dibentuk oleh agensi periklanan atau organisasi itu sendiri
mengikut kehendak dan kepakaran. Kebiasaannya organisasi akan
mencadangkan syarikat periklanan membuat beberapa contoh iklan dan
terpulang kepada organisasi itu sendiri untuk memilihnya. Walau
bagaimanapun pengamal perhubungan awam seharusnya tahu tentang
asas berkaitan dengan kemahiran-kemahiran dalam penciptaan iklan-iklan
yang menarik agar tidak tertipu atau terpedaya dengan tindakan segelintir
syarikat periklanan yang kurang bertanggungjawab.

79
Cuba anda ingat, apakah jenis-jenis iklan yang paling
berkesan dan mampu mempengaruhi corak perbelanjaan
anda sekeluarga?

3.4 PENERBITAN

Penerbitan adalah slah satu medium yang amat penting untuk


menghubungkan sesebuah industri dengan komuniti disekeliling.
Kebiasaanya penerbitan merujuk kepada media cetak seperti majalah,
brosur, risalah, surat khabar, surat berita, akhbar dinding, dan sebagainya.
Pada masa kini penerbitan tidak hanya terhad kepada bentuk yang
konvensional tetapi kini turut menerima perubahan yang seiring dengan
kecanggihan teknologi. Kini melalui internet kita boleh menyebarkan
maklumat yang sebanyak mana yang boleh. Apa yang kita boleh lihat,
penggunaan teknologi dalam penerbitan telah mampu menyebarkan
maklumat kepada sebanyak manapun khalayak sasaran di samping
mampu meminimumkan kos sekali gus menjimatkan masa serta tenaga.

Terdapat pelbagai bentuk penerbitan yang digunakan oleh sesebuah


organisasi, antaranya flyers, brochure, poster, laporan tahunan, filem, video
dan sebagainya. Bentuk-bentuk penerbitan yang dipilih adalah
berdasarkan kepada keperluan-keperluan yang diperlukan oleh
pelanggan, agensi kerajaan, pelabur dan komuniti. Apa yang pasti
pemilihan sebarang penerbitan adalah berdasarkan kepada bentuk-
bentuk yang dianggap paling murah dan mampu memberikan maklumat
yang sebanyak mungkin kepada khalayak sasaran

Penerbitan laporan akhir sesebuah badan milik kerajaan atau syarikat


swasta untuk tujuan edaran ke ibu pejabat atau pemegang saham adalah
perlu. Ini kerana penerbitan yang dibuat akan memperlihatkan aktiviti
tahunan sesebuah organisasi, perancangan masa depan, perubahan positif
yang berlaku sepanjang tahun, dan prestasi kewangan yang berlaku.
Kesemua maklumat ini adalah amat penting dalam menentukan
kepentingan unit, bahagian atau sesebuah organisasi adakah masih perlu
diteruskan atau ditututp operasinya pada masa akan datang. Dalam
syarikat-syarikat swasta, penerbitan sedemikian adalah amat perlu untuk
menentukan sama ada para pemegang saham masih ingin terus
memegang saham atau menjual terus atas alasan-alasan yang kurang
menguntungkan.

Menurut Hamdan (1998), terdapat beberapa matlamat penerbitan dalam


perhubungan awam, antaranya:

80
(i) Menterjemah berita dengan cara menerangkan maksudnya
terhadap organisasi dan masyarakat.
(ii) Membina dan memupuk kesetiaan antara organisasi dan
masyarakat.
(iii) Meningkatkan kerjasama dan tanggungjawab antara pihak
pengurusan dan pekerja.
(iv) Menyemai dan memupuk persefahaman antara organisasi dan
masyarakatnya.
(v) Mewujudkan dan menggalakkan perasaan kekitaan.
(vi) Membina keyakinan kepada pengurusan.
(vii) Memerangi khabar angin dan kesefahaman.
(viii) Mendorong sistem cadangan dan maklum balas yang lebih
berkesan.

Penerbitan dalam sesebuah organisasi adalah sepenuhnya dibawah


tanggungjawab sesebuah organisasi berkenaan. Segala perancangan yang
membabitkan kos, kandungan, reka letak, pengedaran dan sebagainya
ialah di bawah tanggungjawab organisasi berkenaan. Penerbitan yang
mementingkan kualiti penerbitan berperanan juga menjadikan imej
sesebuah orgaisasi itu baik dan sebagainya. Meskipun fungsi sesebuah
penerbitan itu Cuma melaporkan segala apa yang berlaku dalam sesebuah
organisasi namun kemampuan untuk mempamerkan kualiti penerbitan
yang tinggi juga sekali gus mampu meyakinkan para pelabur atau
masyarakat meyokong apa yang diusahakan.

SOALAN DALAM TEKS

1. Apakah yang anda faham dengan maksud publisiti?


2. Nyatakan salah satu cara yang digunakan oleh para
pengiklan menarik perhatian para pengguna.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

3.5 FUNDRAISING

Fundraising kebiasaannya dijalankan berdasarkan isu ataupun kerperluan


dari segi kewangan mengikut satu jangka masa yang ditetapkan.
Kebiasaannya fundraising ini dijalankan bertujuan untuk mencapai sesuatu
sasaran yang ditetapkan. Kebiasaannya pengamal perhubungan awam
akan menetapkan satu misi dan visi termasuk jumlah yang disasarkan.

81
Contoh program fundraising ialah pengumpulan dana untuk membantu
mangsa-mangsa yang terlibat dengan bencana Tsunami yang berlaku
teruk di Aceh, Indonesia, tabung Majlis Kanser Negara (MAKNA),
tabung untuk membantu anak-anak yatim, tabung untuk membiayai
individu-individu yang memerlukan kos rawatan yang tinggi. Selain
menetapkan satu tempoh yang tertentu, fundraising juga turut diadakan
secara berterusan mengikut keperluan semasa.

Kejayaan program fundraising adalah ditentukan oleh kemampuan


penganjur untuk merekabentuk projek yang hendakk ditonjolkan.
Sekiranya penganjur ingin membuat fundraising untuk mangsa-mangsa
banjir sebagai contohnya, penganjur perlu melaksanakan misi dan visi
pada hari pertama bencana itu melanda dan memaparkan kesedihan dan
kesengsaraan yang dihadapi mangsa dari semasa ke semasa. Usaha ini
pastinya akan mampu menambat hati penderma dari organisasi swasta,
kerajaan dan individu-individu tertentu menghulurkan derma kepada
mangsa-mangsa banjir. Selain itu juga penglibatan tokoh-tokoh politik
dalam pemaparan bencana-bencana alam yang berlaku turut
menyumbang kepada bilangan penderma dari semasa ke semasa. Selain
itu tindakan penganjur fundraising mengadakan satu majlis khas untuk
menyerahkan cek dari penderma juga dianggap sebagai satu tindakan
yang bijak. Ini kerana kebiasaannya, selain dari cuba menabur bakti,
penderma juga ingin menaikkan imej syarikat mereka sendiri atau
keprihatinan terhadap isu-isu yang berlaku di sekeliling mereka.

Selain itu juga, kejayaan sesuatu fundraising juga berpokok pangkal kepada
kemampuan penganjur berkomunikasi secara profesional dengan
golongan penderma. Hubungan baik dan berterusan sememangnya akan
memudahkan para penganjur mendapatkan jumlah yang diperlukan.
Sekiranya penganjur atau pengamal perhubungan awam gagal untuk
menjaga hubungan baik ini, sudah tentu sukar untuk mendapatkan
sumbangan yang sama untuk fundraising pada masa akan datang dan
sudah tentu menyukarkan atau terpaksa berkerja keras setiap kali ingin
mengadakan fundraising dari semasa ke semasa.

Pelbagai cara dan kaedah yang boleh digunakan oleh penganjur untuk
mengadakan fundraising, contohnya menggunakan alat-alat teknologi
massa seperti melalui internet, televisyen, radio, majalah, akhbar dan
sebaginya. Selain itu juga penganjur turut menyelitkan elemen-elemen
konvensional seperti meletakkan poster, pengedaran flyers, kad-kad,
sepanduk dan tak kurang juga yang mengambil pendekatan bersemuka
iaitu meminta derma terus daripada khalayak-khalayak di sekitar. Selain
itu juga, terdapat segelintir penganjur melakonkan semula penderitaan
mangsa-mangsa atau individu-individu dalam televisyen untuk tujuan
membawa perasaan penonton tentang kesulitan hidup yang mangsa

82
hadapi. Salah satu program yang memaparkan kisah hidup mangsa-
mangsa adalah dalam program yang disiarkan oleh TV3 iaitu program
“Bersamamu”. Program tersebut adalah salah satu program yang
dijalankan secara berterusan dan ia bertujuan untuk membantu golongan-
golongan yang memerlukan bantuan daripada rakyat Malaysia. Untuk
menjadikan program berkenaan supayat lebih menarik, pihak TV3 telah
menjemput bebarapa artis yang untuk sama-sama menghayati dan
menyelami perasaan mangsa-mangsa yang dipaparkan.

Fundraising juga boleh dijalankan melalui pertunjukkan konsert atau


jamuan makan malam amal. Pertunjukan konsert boleh dijalankan
dengan cara sumbangan boleh dilakukan melalui hasil penjualan tiket-
tiket. Kebiasaannya artis-artis yang menyanyi untuk tujuan fundraising
tidak akan dibayar dan beranggapan bahawa meskipun mereka tidak
menyumbang dari segi wang ringgit tetapi mereka turut menyumbang
dari segi suara. Manakala hasil daripada penjualan tiket akan diserahkan
kepada mangsa-mangsa bencana alam dan sebagainya. Selain daripada
kaedah yang ada, kini terdapat cara yang paling mudah dan cepat iaitu
menggunakan kaedah sms. Melalui kaedah ini, penganjur biasanya akan
bekerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi yang terkemuka
seperti Celcom, Digi, Hotlink dan sebagainya. Setiap sms atau panggilan
ke talian yang ditatapkan oleh penganjur akan dicaj sejumlah bayaran.
Jumlah caj ini merupakan sumbangan yang diberikan oleh penderma dan
akan dimasukkan ke dalam bil bulanan penderma. Usaha ini telah
memberikan banyak pilihan kepada penderma melalui cara mana yang
mereka fikirkan paling mudah dan berkesan.

Melalui kemudahan internet juga, penderma boleh membuat pilihan


secara online. Kaedah ini juga digunakan apabila penganjur turut
menyediakan borang secara online dan panderma cuma klik butang sent.
Dalam hal ini penganjur akan menuntut bayaran daripada pihak bank
pengeluar kad kredit penderma. Jumlah derma akan tercatat dalam
penyata kad kredit penderma pada bulan berikutnya. Cara yang
digunakan ini dianggap mudah tanpa perlu melalui proses yang
melibatkan kertas dan sebagainya.

Pernahkah anda tetrlibat dalam projek Fundraising? Jika


pernah kongsikan pengalaman anda dengan rakan-rakan
anda di dalam kelas.

3.6 PERLOBIAN

Perlobian secara asasnya dirujuk kepada usaha mempengaruhi pihak yang


terlibat dalam proses membuat undang-undang seperti wakil rakyat dan
ahli parlimen. Golongan ini menggunakan pengaruh serta taktik-taktik
lain supaya rang undang-undang yang berkenaan diluluskan atau ditolak.
83
Selain itu, perlobian juga dianggap sebagai bahagian kepakaran
perhubungan awam yang digunakan untuk membina dan mengekalkan
hubungan dengan kerajaan terutamanya mempengaruhi undang-undang
dan peraturan. Selain itu ada juga yang mendefinisikan kegiatan perlobian
sebagai praktis perhubungan awam yang diarahkan terhadap suatu
kumpulan khusus dan penting, iaitu ahli perundangan. Di samping itu
sebahagian besar para pelobi terdiri daripada orang-orang yang mahir
dalam amalan perhubungan awam.

Pelobi juga dianggap seorang yang pakar dalam bidangnya sendiri dan
serta mempunyai pengaruh yang kuat dalam komuniti yang berada di
kedudukan yang penting terutama mereka yang berkuasa di dewan
perundangan. Di Malaysia khususnya, ramai pesara-pesara kerajaan
dilantik semula untuk sesuatu jawatan penting kerana kemahiran,
pengetahuan mereka berkaitan dengan dasar-dasar kerajaan amat tinggi
sekali gus berperanan sebagai pelobi dalam urusan mereka dengan
kerajaan. Ini tidak bermakna pekerja-pekerja yang masih dalam
perkhidmatan tidak mampu menjadi pelobi yang baik tetapi pengalaman
yang dimiliki oleh para pesara dianggap sebagai satu kelebihan.Untuk
menjadi pelobi yang baik, terdapat beberapa kriteria yang diperlukan,
diantaranya adalah pelobi perlu memberikan maklumat yang tepat serta
mempunyai kenalan-kenalan yang terdiri daripada individu-individu yang
berpengaruh sama ada dalam organisasi ataupun di luar organisasi.

Menurut Mohd Hamdan (1998), terdapat beberapa kegiatan pelobi;

1. Mengumpul fakta

Mengumpul data agensi kerajaan yang mengawal industri syarikat


organisasi majikan. Agensi kerajaan amat kaya dengan maklumat,
statistik, keputusan, peraturan, dan sebagainya.

2. Mentafsir tindakan kerajaan

Suatu fungsi utama pelobi adalah menterjemahkan untuk pengurus atau


majlisnya kepentingan acara dan keputusan yang memberi kesan kepada
organisasi, ataupun implikasi undang-undang yang mungkin diluluskan.

3. Mentafsir tindakan organisasi

Pelobi mesti berpengetahuan tentang setiap perkara yang berlaku di


dalam organisasinya. Dia perlu mengetahui sikap setiap kumpulan di
dalam organisasinya dan membuat hubungan baik dengan ahli
perundangan. Di samping itu juga dia harus dapat menyampaikan
dengan berkesan pandangan organisasinya kepada setiap peraturan atau
undang-undang baru dan implikasinya terhadap organisasinya.
84
4. Menegakkan pendirian

Pelobi bukan saja perlu menegakkan pendirian atau kepentingan


organisasinya tetapi dia perlu juga mempengaruhi pihak yang berkuasa
untuk bersimpati terhadap organisasinya.

5. Melaksanakan publisiti

Kegiatan melobi juga meningkatkan peluang membuat publisiti. Lebih


banyak orang mengetahui tentang usaha kebaikan sesuatu organisasi,
semakin berkesan kegiatan melobi itu.

6. Membuat rakan dengan kerajaan

Pelobi yang mempunyai banyak rakan di dalam perkhidmatan kerajaan


akan membantu meningkatkan prestij organisasi. Cara ini juga akan
membantu merapatkan perhubungan di antara kerajaan dan organisasi.

3.7 PERSIDANGAN AKHBAR/KENYATAAN AKHBAR

Persidangan akhbar adalah salah satu daripada perkakasan yang boleh


digunakan oleh pengamal pehubungan awam membuat laporan yang
berkaitan dengan aktiviti organisasi. Sekiranya ada berlaku sesuatu isu
atau sesuatu agenda yang ingin dihebahkan kepada publik. Dalam situasi
ini pengamal perhubungan awam seharusnya menetapkan hari dan
tempat kepada wartawan berkenaan dengan sesuatu persidangan akhbar
yang hendak dilakukan. Kebiasaannya, sesebuah organisasi akan
membuat persidangan akhbar di organisasinya sendiri ataupun di hotel-
hotel terkemuka. Pengamal perhubungan awam juga perlu menjelaskan
agenda-agenda yang akan dibincangkan. Dalam hal ini juga pengamal
perhubungan awam perlu membekalkan maklumat lengkap kepada pihak
media berkaitan dengan bahan-bahan berita yang hendak dihebahkan. Ini
adalah untuk memudahkan pihak media memasukkan segala isi-isi
penting berkenaan dengan agenda-agenda penting berkaitan dengan
organisasi ke dalam media.

Untuk memastikan segala kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan ketika


sesi sidang media, pengamal perhubungan awam perlu memastikan
perkara-perkara yang dibincangkan mempunyai nilai berita dan seiring
dengan isu-isu berita. Kebiasaannya juga, sidang akhbar juga sering
bertujuan untuk membuat pengumuman mengenai aktiviti, polisi, isu dan
krisis yang dihadapi oleh organisasi kepada pihak media. Ini adalah
bertujuan untuk tujuan penjelasan kepada publik mengenai sesuatu
perkara yang berlaku. Melalui sidang media, publik akan mendapat
kesahihan mengenai seuatu berita yang mungkin dikira sebagai khabar

85
angin saja. Selain itu pengamal perhubungan awam perlu mengetahu isu-
isu yang diperukan oleh para wartawan dan ini memudahkan para
pengamal perhubungan awam menyediakan segala informasi yang
diperlukan.

SOALAN DALAM TEKS

3. Bagaimanakah fundraising dikatakan dipengaruhi


oleh pengamal perhubungan awam?
4. Apakah yang anda faham dengan maksud
perlobian?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

3.8 PROMOSI

Promosi secara asasnya adalah satu aktiviti yang berkait rapat dengan
pengedaran dan penjualan barang-barang atau perkhidmatan. Oleh
sesebuah organisasi. Usaha mempromosi sesuatu produk juga adalah satu
usaha untuk meningkatkan nama sesebuah syarikat supaya lebih dikenali
oleh masyarakat atau khalayak sasaran. Pada hari ini kita dapat lihat
hampir 50% surat khabar dipenuhi dengan kegiatan promosi oleh
pelbagai jenis produk dari pelbagai jenis syarikat sama ada dari luar
ataupun luar negara. Apa yang dapat kita lihat kegiatan mempromosi
sememangnya telah meningkatkan lagi nama dan penjenamaan sesuatu
produk. Bagi produk atau syarikat yang baru bertapak, sudah tentu
aktiviti promosi akan dilakukan dengan aktif berbanding dengan produk
yang telah lama wujud. Kegiatan promosi juga salah satu daripada
tindakan syarikat berkenaan menyakinkan khalayak sasaran.

Kita sering teruja apabila banyak syarikat tempatan menggunakan


berbagai gimik, diantaranya membuat Jualan Jombo, Jualan Penghabisan
Stok, Jualan Balik ke sekolah, Crazy Sale dan sebagainya. Aktiviti promosi
juga tidak terlepas daripada membuat perancangan sama ada
perancangan untuk jangka masa pendek ataupun untuk jangka masa
panjang. Perancangan yang rapi amat perlu kerana setiap aktiviti yang
melibatkan promosi sememangnya memerlukan kos yang tinggi. Justeru
pelan dan tindakan perlu diteliti dari semasa ke semasa.

Aktiviti mempromosi barang-barang atau produk boleh dilakukan


dengan pelbagai cara iaitu sama ada menggunakan kaedah konvensional

86
iaitu bercetak ataupun melalui kaedah terkini yang berteraskan komputer.
Kalau kaedah bercetak, kita sudah biasanya dengan banyak ruangan-
ruangan dalam surat khabar dipenuhi dengan promosi barangan-
barangan yang menjadi keperluan suri rumah tangga. Apa saja yang kita
perlukan, sememangnya akan dipromosi oleh pengeluar-pengeluar
mengikut keperluan dan sebagainya. Selain menggunakan surat khabar,
pengeluar-pengeluar produk juga akan membuat promosi menggunakan
flyers, surat berita, majalah, poster dan sebagainya. Selain melalui media
cetak, rangkaian promosi juga dilakukan melalui media massa iaitu
melalui radio dan televisyen.

Apabila menggunakan media penyiaran, pengeluar produk turut


menggunakan selebriti-selebriti terkenal sebagai duta barangan mereka.
Ini adalah untuk menarik lebih ramai lagi pengikut selebriti berkenaan
membeli produk yang mereka keluarkan. Inilah realiti yang dapat kita
lihat pada hari ini iaitu seribu satu macam cara pengeluar produk
berusaha mempromosikan sekali gus cuba melariskan barangan-barangan
yang dikeluarkan. Melalui kecanggihan teknologi juga, rangkaian promosi
semakin dapat diperhebatkan kerana melalui kemudahan internet,
barang-barang yang dikeluarkan dapat dipromosikan ke seluruh dunia
dengan hanya kos yang rendah. Yang penting kebijaksanaan pengeluar
untuk memastikan produk-produk yang di promosikan dipamerkan
dengan baik dan mampu menarik perhatian khalayak sasaran apabila
melihatnya.

3.9 UPACARA KHAS

Pengamal perhubungan awam seharusnya tidak melupakan satu lagi


perkakasan dalam perhubungan awam iaitu acara khas. Acara khas
sebenarnya boleh dianggap sebagai satu saluran yang boleh kita gunakan
tujuan promosi sesuatu produk, perkhidmatan dan sebagainya. Dalam hal
ini acara khas juga dianggap mampu meningkatkan imej sesebuah
organisasi. Terdapat beberapa acara khas yang pernah kita hadiri seperti
rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan
sebagainya. Acara khas ini diperlukan untuk memenuhi tuntutan pihak
kerajaan dalam mengeratkan perpaduan. Di peringkat kebangsaan juga
pihak kerajaan turut menganjurkan beberapa acara khas seperti Citra
Warna Malaysia, Bulan Kemerdekaan, Hari Penternak, Peladang dan
Nelayan dan sebagainya. Sesebuah acara khas yang dianjurkan oleh pihak
kerajaan biasanya dibiayai oleh pihak kerajaan sepenuhnya selain daripada
mendapat tajaan dari syarikat-syarikat korporat yang lain.

Kebiasaannya acara khas yang dianjurkan oleh pihak kerajaan mudah


mendapat tajaan daripada syarikat-syarikat korporat. Ini adalah untuk
tujuan sebagai tanggungjawab masyarakat sekali gus boleh meningkatkan
87
imej dan reputasi korporat syarikat. Dalam proses untuk menganjurkan
acara khas, pengamal perhubungan awam seharusnya memastikan
persediaan yang begitu rapi terhadap acara yang akan dilakukan. Perkara
pertama pengamal perhubungan awam perlu merancang acara, iaitu
meliputi perancangan dan dari segi konsep acara, khalayak sasaran, tema,
tempat, tetamu kehormat dan tak lupa juga dari aspek anggaran kos.
Perancangan semestinya perlu dilakukan terlebih awal dan ia memerlukan
masa yang agak panjang agar segala perancangan dapat dilaksanakan
dengan lancar tanpa menimbulkan sebarang masalah. Oleh yang
demikian, kertas cadangan perlu dikemukakan untuk menceritakan
perancangan dan perjalanan acara khas yang akan dilakukan.

Dalam peringkat kedua adalah juga dianggap sebagai peringkat


perlaksanaan. Pada peringkat ini segala apa yang kita rancang akan
dilakukan. Di tahap ini semua unit dalam organisasi perlu memberikan
komitmen yang sepenuhnya agar semuanya berjalan dengan lancar.

3.10 PAMERAN

Pameran ialah salah satu medium yang amat penting dalam perhubungan
awam. Melalui pameran yang dilakukan, segala maklumat akan disiarkan
dalam akhbar-akhbar sekiranya ia dianggap sesuatu yang penting ataupun
istimewa. Sedikit masa dulu pihak muzium negara pernah membuat
pameran berkaitan dengan dunia mistik. Memandang pameran-pameran
berkenaan jarang kali diadakan di Malaysia, maka ia telah mendapat
sambutan yang luar biasa. Atas alasan tersebut pameran dunia mistik
berkenaan mendapat liputan yang sangat meluas dalam media massa
sehinggakan pengunjung dari seluruh negara berasak-asak untuk datang
dan menyaksikan sendiri pameran berkenaan. Selain itu pameran juga
boleh kita anggap sebagai satu tempat untuk mempamerkan sesuatu yang
berkaitan kerja seni, kemahiran, kebolehan, dan sesuatu yang luar biasa
termasuk pameran industri, arca, fotografi, kraftangan, filem, gubahan
bunga, buah-buahan dan penemuan-penemuan baru. Melalui aktiviti
pameran, masyarakat akan dapat melihat dan merasai apa yang ingin kita
sebar atau hebahkan. Melalui kaedah pameran juga kita akan dapat
maklum balas yang cepat dari orang ramai.

Pameran secara dasarnya adalah bertujuan untuk memberikan maklumat


yang sebanyak mungkin, memberi bimbingan, mendidik dan tak terlepas
juga untuk memberikan kesedaran. Apabila sesuatu pameran hendak
diadakan, penganjur terlebih dahulu perlu mengetahui apakah tema yang
hendak ditonjolkan kepada publik. Pengamal perhubungan awam perlu
peka terhadap hal ini disebabkan dia perlu menentukan konsep yang
yang di ketengahkan disamping memudahkan untuk menentukan
khalayak sasaran. Sekiranya perkara ini telah jelas maka mudah untuk

88
menetapkan lokasi yang sesuai. Kebiasaanya, penganjur akan memilih
lokasi yang sememangnya ramai orang sebagai tempat untuk mengadakan
pameran. Pameran kesihatan umpamanya sering diadakan di pusat
membeli belah berbanding dengan di kawasan hospital itu sendiri. Ini
kerana orang ramai mungkin agak sukar untuk datang ke hospital semata-
mata untuk melihat pameran-pameran berkaitan kesihatan. Begitu halnya
dengan pameran-pameran lain yang berkaitan. Walau bagaimanapun,
pameran yang melibatkan bahan-bahan pameran yang besar mungkin
sukar untuk dilakukan di pusat membeli belah memandang ia akan
menyukarkan penganjur untuk membuat susun atur terhadap barang-
barang yang hendak dipamerkan.

Di Malaysia, pameran bukan satu perkara yang asing kepada


masyarakatnya. Pelbagai pameran telah dianjurkan dari yang kecil
hinggalah yang terbesar. Pameran-pameran yang dilakukan bukan sahaja
dari kalangan organisi atau syarikat dalam negara tetapi juga merangkumi
organisasi-organisasi dari luar negara. Pameran-pameran yang biasanya
dilakukan adalah seperti pameran kereta, rumah, kesihatan, peperangan,
alam sekitar, jenayah, kemalangan dan bermacam-macam lagi. Anda
mungkin setiap hari dapat melihat pameran yang pelbagai di setiap
kawasan yang anda lalui ketika datang atau balik dari tempat kerja.
Kebiasaannya kita akan singgah dan melihat pameran yang betul-betul
berkaitan dengan diri kita.

Menurut Bahtiar, Hassan dan Saidatul (2005), terdapat empat pendekatan


yang bebeza dalam amalan menganjurkan pameran kotemporari.
Antaranya:

(i) Pameran sebagai pertunjukkan artifaks.


(ii) Pameran sebagai idea komunikator.
(iii) Pameran sebagai aktiviti pelawat.
(iv) Pameran sebagai pesekitaran.

1. Artifaks

Pemilihan artifaks dan konsep penyusunan perlu diberikan perhatian. Ini


kerana artifaks itu sendiri menjadi fokus utama mengapa pengunjung
sanggup meluangkan masa untuk berkunjung. Pemilihan artifaks perlu
diberikan perhatian. Sekiranya penganjur gagal untuk memilih atau
menyusun artifaks dengan baik, maka ia boleh mejejaskan pameran sekali
gus boleh menyumbang ke arah kegagalan. Sebagai contohnya kita biasa
melihat pameran alatan perabot rumah, kereta, produk kesihatan, dan
bermacam-macam lagi. Kita dapat melihat pengajur akan memilih
artifaks-artifaks yang terbaik sehinggakan pengunjung tertarik dan
membeli barang-barang yang dipamerkan meskipun matlamat asalnya
hanya untuk melihat sahaja.
89
2. Idea

Setiap pameran seharusnya ada tema yang tersendiri. Tema ini akan
memberikan input kepada kita berkenaan dengan konsep yang akan kita
tonjolkan. Kalau pameran kita bertemakan hidup sihat, maka artifaks-
artifaks kita adalah model-model tubuh badan manusia, makanan-
makanan kesihatan ataupun alat-alatan kesihatan. Pemilihan artifak-
artifak yang sesuai akan menyokong kepada idea atau mesej yang ingin
kita sampaikan. Dalam pameran kita masih perlu mengedarkan risalah
tetapi artifak turut perlu menyokong idea yang cuba kita ketengahkan.

3. Aktiviti pelawat

Sesuatu aktiviti pameran tidak hanya akan dianggap terbaik sekiranya


para pelawat hanya boleh melihat bahan-bahan pameran tanpa boleh
memegang, merasai dan mencubanya. Untuk aktiviti pelawat, penganjur
perlu peka terhadap hal ini. Penganjur mungkin boleh membenarkan
mencuba beberapa artifaks yang sesuai. Untuk pameran kereta,
penganjur mungkin boleh membenarkan pemandu masuk ke dalam
kereta dan jika dibenarkan maka penganjur dibenarkan untuk membuat
test drive. Untuk pameran makanan pula, pengunjung mungkin menjadi
lebih tertarik sekiranya mereka dibenarkan untuk merasai atau mencuba
makanan yang dipamerkan jika berbanding hanya dibenarkan untuk
melihat. Keupayaan penganjur untuk berbuat demikian juga turut
menyumbang imej yang baik kepada sesuatu produk. Selain itu juga
terdapat penganjur membuat permainan atau pertandingan dalam
pameran yang dilakukan. Aktiviti ini dianggap amat menarik perhatian
dan orang ramai akan ramai berkumpul di tempat berkenaan. Pameran
biskut Jullies turut membuat tawaran yang rendah terhadap biskut-biskut
yang dijual pada pameran ketika Jom Heboh. Meskipun agak sederhana
tetapi itu yang dimahukan oleh pengunjung.

4. Persekitaran

Dalam elemen persekiran, penganjur perlu menitik beratkan hal-hal


tersebut. Persekitran diperlukan untuk menambah tarikan suasana
pameran tersebut. Sebagai contohnya pameran hantu yang merangkumi
keempat-empat elemen ini iaitu hantu, (artifak), maklumat tentang
sejarah hantu (idea), melihat dan memegang (aktiviti pelawat) dan
ruangan yang dicipta seperti di kawasan-kawasan yang menyeramkan
(persekitaran).

Maka usaha ini seharusnya perlu dititikberatkan kerana ia mampu


menghasilkan kesan yang lebih baik kepada pelawat dan sudah tentu
pameran yang dianjur akan mencapai visi dan misi.

90
3.11 KEMPEN

Kempen adalah satu usaha yang dirancang secara rapi dalam mencapai
sesuatu matlamat yang telah ditetapkan. Kempen sememangnya telah
disusun secara rapi dan akan mencapai target dalam waktu-waktu yang
telah ditetapkan.

Terdapat beberapa saluran yang telah digunakan untuk menyalurkan


kempen-kempen, diantaranya adalah melalui media massa ataupun
bersemuka. Pemilihan saluran adalah berdasarkan kepada keperluan dan
keadaan semasa. Sebelum menjalankan kempen, seseorang pengamal
perhubungan awam akan terlebih dahulu membuat penyelidikan yang
terperinci. Usaha ini adalah disebabkan kempen yang akan dijalankan
memerlukan kos yang tinggi, justeru sekiranya ia gagal maka ia akan
mendatangkan kerugian. Sekiranya ia masih gagal walaupuan telah dibuat
penyelidikan, namun ia tidaklah berlaku dalam kadar yang maksimum.
Penyelidikan yang dilakukan oleh pengamal perhubungan awam adalah
merangkumi latar belakang yang terperinci berkenaan dengan khalayak
sasaran, mengetahui sikap khalayak terhadap sesuatu isu yang
dibangkitkan, tahap pemahaman, masa dan waktu yang sesuai untuk
melaksanakan kempen dan sebagainya.

Seorang pengamal perhubungan awam juga seharusnya peka kepada


keadaan kewangan untuk melaksanakan sesuatu kempen, mengetahui
kedudukan sumber tenaga dan sokongan dari pihak kerajaan. Jika perkara
ini tidak dititikberatkan maka ia mampu mencacatkan perjalanan sesuatu
kempen. Pada masa kini kita sering didedahkan dengan pelbagai kempen
dalam hidup kita. Justeru sebagai publik kita sering membiarkan kempen
yang ada di depan kita sebagai angin lalu dan dibiarkan tanpa cuba
memahami kempen yang diterima. Inilah cabaran yang diterima oleh
seorang pengamal perhubungan awam. Usaha untuk memberi nafas baru
disamping strategi yang berkesan hendaklah difikirkan dari semasa ke
semasa demi untuk mengelakkan apa yang dirancang dan dilaksanakan
tidak hanya sia-sia.

3.12 PROPAGANDA

Propaganda adalah dilihat sebagai satu usaha untuk memberi penerangan


dan penjelasan untuk tujuan mendapatkan sokongan dan pengaruh.
Menurut Mohd Hamdan (1998), konsep propaganda lebih tepat
dikaitkan dengan penyebaran ideologi atau doktrin, manakala konsep
perhubungan awam melibatkan kegiatan bagi mewujudkan persefahaman
dan muhibah antara organisasi dan masyarakatnya.

91
Apa yang dapat kita nyatakan, propaganda adalah lebih bersifat kepada
komunikasi sehala dan kebiasaannya ia akan memberikan gambaran
negatif terhadap sesuatu isu. Propaganda juga boleh kita katakan
penerangan atau pembujukan yang digunakan oleh musuh untuk tujuan
menjatuhkan pasaran atau jualan produk-produk kita. Pihak musuh akan
berusaha untuk mencari kelemahan terhadap sesuatu produk lalu
menyebarkannya kepada khalayak.

Negara kita pernah menghadapi masalah sedikit masa dahulu apabila


timbulnya propaganda yang menyatakan bahawa minyak masak kelapa
sawit dari negara kita boleh meyebabkan pengguna yang
menggunakannya menghidapi penyakit jantung. Rentetan daripada itu
maka, ramai pengguna dari negara barat merasa was-was untuk
menggunakan minyak masak dari negara kita meskipun mereka belum
mendapat kesahihan dari kementerian kesihatan di negara mereka.
Propaganda yang wujud sedikit sebanyak telah menjatuhkan pasaran
minyak masak kelapa sawit di negara kita.

Menurut Bahtiar, Hassan dan Saidatul (2005), antara peralatan


propaganda yang terkenal ialah melalui ‘panggilan nama’ terhadap
seseorang atau benda. Dalam kempen pilihanraya misalnya calon-calon
akan melabelkan musuh politik mereka dengan pelbagai gelaran seperti
‘penipu’, ‘zalim’ atau ‘pengkhianat’. Propaganda sebenarnya juga
berperanan untuk mempengaruhi individu atau sekumpulan manusia
yang berada di atas pagar. Melalui propaganda yang dijalankan maka ia
akan menarik kumpulan-kumpulan berkenaan ke arah tidak menyokong
atau sebaliknya. Seterusnya propaganda pastinya akan memberikan cerita
sama ada positif ataupun negatif sahaja. Propaganda tidak
membincangkan atau membicarakan sesuatu produk itu secara general
sebaliknya akan sepenuhnya memberikan gambaran negatif atau positif.
Dalam bidang pengiklanan, pengiklanan akan memastikan cerita yang
dibawa dalam iklan akan mencerminkan kebaikan yang perolehi apabila
menggunakan produk yang dikeluarkan oleh mereka. Dalam hal ini
barangan yang dikeluarkan oleh mereka seolah-olah tiada tolak
bandingannya di dunia ini. Walau bagaimanapun propaganda-propaganda
yang cuba untuk memburuk-burukkan produk-produk lain tidak akan
wujud dalam dunia periklanan kerana ia akan mewujudkan kesalahan dari
segi etika yang telah ditetapkan.

Apa yang pasti, sesuatu propaganda itu pasti akan berjaya sekiranya ia
disusuli dengan fakta-fakta yang berkesan dan meyakinkan. Sekiranya
masyarakat masih berasa ditahap ragu-ragu terhadap sesuatu propaganda
yang disebarkan maka sesuatu kesilapan telah wujud dalam usaha
merangka dan perancangan dalam strategi yang dilakukan.

92
SOALAN DALAM TEKS

5. Apakah bentuk-bentu gimik yang sering


digunakan oleh para peniaga untuk menarik
perhatian pelanggan?
6. Apakah yang anda faham maksud propaganda
dan apakah juga peranannya dalam sesebuah
negara?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

3.13 TEKNOLOGI MAKLUMAT

Dalam keadaan persekitan yang semakin canggih, pengamal


perhubungan awam tidak seharusnya melupakan kepakaran dalam bidang
teknologi maklumat. Kemajuan yang banyak dicapai melalui teknologi
pada hari ini telah mampu mengambil alih peranan yang dilakukan oleh
perkakasan lama yang dianggap sudah lapuk dan perlu diganti dengan
teknologi. Jika diperhatikan kini kemajuan dalam teknologi dianggap
lebih ekonomikal dan lebih diperlukan disebabkan kelebihan yang lebih
baik sekali gus seiring dengan negara-negara maju.

Dalam urusan pentadbiran pengamal perhubungan awam perlu


memastikan seluruh warga dalam organisasi menggunakan komputer
sekurang-kurangnya untuk menyimpan dan mengedarkan maklumat. Ini
kerana publik kepada organisasi korporat memerlukan maklumat yang
tepat dan berada di tahap kepercayaan yang tinggi. Pelanggan, pelabur,
pemegang saham dan pihak media mahukan maklumat dipersembahkan
secara jelas dan cara mana penyaluran maklumat akan memberi refleks
kepada imej sesebuah organisasi. Bentuk persembahan yang menarik
mampu mempengaruhi imej yang positif dan sebaliknya.

Perlaksanaan dan penggunaan yang begitu meluas teknologi dalam


organisasi turut membantu dalam aspek kecekapan perancangan dan
perlaksanaan sesuatu program. Di samping itu, penggunaan internet
mampu mengambil alih saluran ini kerana sebaran yang meluas dan
melepasi sempadan negara. Oleh yang demikian teknologi maklumat
dilihat mampu memberi impak yang besar dalam mewujudkan hubungan
pelabur yang efektif.

93
Oleh yang demikian semakin banyak organisasi awam dan swasta
memperkenalkan teknologi maklumat dalam pentadbiran mereka. Ini
juga disebabkan beberapa kelebihan yang diperoleh menggunakan
teknologi diantaranya, maklumat banyak dapat disimpan tanpa
memerlukan ruang yang luas. Di samping itu juga data dan latar belakang
korporat dapat dipaparkan dengan menarik dan dapat diubah dari semasa
ke semasa. Elemen-elemen ini dianggap amat penting dalam
mempengaruhi perkembangan yang positif kepada organisasi untuk
memperkembang urusan perniagaan atau pengurusan hingga mampu
setanding dengan syarikat-syarikat korporat di luar negara.

Sekiranya anda ingin memantapkan lagi kefahaman serta


perkakasan lain dalam perhubungan awam, anda disaran
merujuk Bab 10, 11 dan 12 dalam Newsome, T. &
Kruckerberg. (2000). This is PR: The realities of public
Relations.USA: Wadsworth.

3.14 RUMUSAN

Dalam bab ini, kita telah mengetahui tentang beberapa perkakasan yang
boleh digunakan untuk menyokong segala aktiviti perhubungan dalam
sesebuah organisasi. Di samping itu juga pegawai perhubungan awam
perlu serius dan berusaha untuk mengekalkan hubungan yang baik
diantara organisasi dengan syarikat-syarikat lain. Kesukaran yang
dihadapi mungkin apabila kita berada diperingkat permulaan, namun
keadaan mungkin menjadi lebih mudah apabila kita sudah ada networking
yang banyak dalam kita menganjurkan pelbagai acara majlis yang
menuntut sokongan padu dari orang ramai.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Jelaskan ENAM (6) kegiatan pelobi seperti yang telah anda


pelajari.

2. Nyatakan beberapa pendekatan yang digunakan oleh pengamal


perhubungan awam untuk mengadakan promosi produk-produk
yang dikeluarkan.

3. Nyatakan beberapa acara khas yang pernah dilakukan oleh pihak


kerajaan dan nyatakan juga tujuannya.

94
4. Nyatakan EMPAT (4) pendekatan yang berbeza dalam amalan
menganjurkan pameran kotemporari.

5. Jelaskan bagaimana teknologi dikatakan perlu digunakan dalam


pentadbiran yang berhubung kait dengan perhubungan awam.

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

1. Secara asasnya publisiti dapat kita definisikan sebagai satu


tindakan yang dilakukan untuk menarik perhatian dan sekali gus
sokongan dari khalayak sasaran. Ini juga bermakna sebarang
aktiviti, bahan produk, majlis-majlis tertentu dan sebagainya akan
mendapat perhatian dan disokong sepenuhnya oleh publik.
Kebiasaanya sesuatu acara yang mempunyai nilai berita mudah
untuk mendapat publisiti. Ada ketika pengamal perhubungan
awam tidak perlu mencari publisiti kerana sesuatu acara
mempunyai nilai berita.

2. Menggunakan khidmat selebriti-selebriti terkenal tanah air


sebagai duta produk atau jurucakap tentang sesuatu isu yang
dianggap mampu mempengaruhi para peminatnya membeli
produk atau meberi sokongan terhadap projek atau menderma.

3. Kejayaan program fundraising adalah ditentukan oleh kemampuan


pengamal perhubungan awam atau penganjur untuk
merekabentuk projek yang hendak ditonjolkan. Sekiranya
penganjur ingin membuat fundraising untuk mangsa-mangsa banjir
sebagai contohnya, penganjur perlu melaksanakan misi dan visi
pada hari pertama bencana itu melanda dan memaparkan
kesedihan dan kesengsaraan yang dihadapi dari semasa ke
semasa. Usaha ini pastinya akan mampu mencuit hati penderma
dari organisasi swasta, kerajaan dan individu-individu tertentu
menghulurkan derma kepada mangsa-mangsa banjir.

4. Perlobian dianggap sebagai bahagian kepakaran perhubungan


awam yang digunakan untuk membina dan mengekalkan
hubungan dengan kerajaan terutamanya mempengaruhi undang-
undang dan peraturan. Selain itu, ada juga yang mendefinisikan
kegiatan lobi sebagai praktis perhubungan awam yang diarahkan
terhadap suatu kumpulan khusus dan penting, iaitu ahli
perundangan. Di samping itu sebahagian besar para pelobi terdiri
95
daripada orang-orang yang mahir dalam amalan perhubungan
awam.

5. Beberapa gimik yang sering digunakan oleh para peniaga adalah


membuat Jualan Jombo, Jualan Penghabisan Stok, Jualan Balik ke
Sekolah, Crazy Sale, Jualan Separuh Harga, Durian Runtuh, dan
banyak lagi.

6. Propaganda adalah dilihat sebagai satu usaha untuk memberi


penerangan dan penjelasan untuk tujuan mendapatkan sokongan
dan pengaruh. Menurut Mohd. Hamdan (1998), konsep
propaganda lebih tepat dikaitkan dengan penyebaran ideologi
atau doktrin, manakala konsep perhubungan awam melibatkan
kegiatan bagi mewujudkan persefahaman dan muhibah antara
organisasi dan masyarakatnya.

Apa yang dapat kita nyatakan, propaganda adalah lebih bersifat


kepada komunikasi sehala dan kebiasaannya ia akan memberikan
gambaran negatif terhadap sesuatu isu. Propaganda juga boleh
kita katakan penerangan atau pembujukan yang digunakan oleh
musuh untuk tujuan menjatuhkan pasaran atau jualan produk-
produk kita. Pihak musuh akan berusaha untuk mencari
kelemahan terhadap sesuatu produk lalu menyebarkannya kepada
khalayak.

Propaganda sebenarnya juga berperanan untuk mempengaruhi


individu atau sekumpulan manusia yang berada di atas pagar.
Melalui propaganda yang dijalankan maka ia kan menarik

kumpulan-kumpulan berkenaan ke arah tidak menyokong atau


sebaliknya. Seterusnya propaganda pastinya akan memberikan
cerita sama ada positif ataupun negatif sahaja. Propaganda tidak
membincangkan atau membicarakan sesuatu produk itu secara
general sebaliknya akan sepenuhnya memberikan gambaran
negatif atau positif.

96

Anda mungkin juga menyukai