Anda di halaman 1dari 9

Campur Tangan British di Perak 1874

 
Pengenalan
Seperti Negeri-negeri Melayu yang lain, kekacauan-kekacauan di Perak juga
berlaku pada tahun 1860-an dan 1870-an. Kekacauan-kekacauan tersebut ialah
lanjutan dari kekacauan yang berlaku sebelumnya. Di antara kekacauan-
kekacauan itu ialah perebutan takhta, pergaduhan di antara pembesar dan
pergaduhan di antara pelombong Cina. Pada mulanya, British tidak mengambil
langkah untuk menamatkan kekacauan-kekacauan tersebut kerana sebelum
tahun 1874, British tidak mengamalkan dasar campur tangan dalam hal-hal
Negeri-negeri Melayu. Walau bagaimanapun, kekacauan-kekacauan berikut
dijadikan alasan oleh British untuk campur tangan di Perak selepas tahun 1874.
Selepas tahun 1874, berlaku lagi satu kekacauan iaitu Perang Perak 1875.
 
Perebutan takhta kerajaan di Perak 1871-1874
Sistem mewarisi takhta di Perak adalah berbeza dari negeri-negeri lain di Tanah
Melayu. Sebelum dilantik menjadi Sultan, seseorang itu perlu menjadi Raja di
Hilir, Raja Bendahara dan Raja Muda. Selepas kemangkatan Sultan, Raja Muda
dilantik sebagai Sultan, Raja Bendahara sebagai Raja Muda, Raja di Hilir sebagai
Raja Bendahara dan putera Sultan yang sedang memerintah akan dilantik
sebagai Raja di Hilir. Sejak tahun 1850-an, sistem ini mula tidak diikuti
sepenuhnya sehingga melemahkan kesultanan dan hampir-hampir mencetuskan
Perang Saudara. Terdapat juga pembesar-pembesar yang amat berpengaruh
kerana kekayaan mereka akibat penglibatan mereka dalam perlombongan bijih
timah. Sebagai contoh, Ngah Ibrahim yang dilantik sebagai Menteri Larut.
Kedudukan dalam pemerintahan Perak 1850-an adalah seperti berikut:
·           Sultan Abdullah Muhammad Syah sebagai Sultan
·           Raja Jaafar sebagai Raja Muda
·           Raja Ali sebagai Raja Bendahara
·           Raja Yusof sebagai Raja di Hilir
Selepas kemangkatan Sultan Abdullah Muhammad Syah pada tahun 1857, Raja
Jaafar dilantik sebagai Sultan dan Raja Ali sebagai Raja Muda. Raja Yusof
dikekalkan sebagai Raja di Hilir kerana Sultan Jaafar telah melantik Raja Ismail
sebagai Raja Bendahara. Perlantikan Raja Ismail bukan sahaja mendapat
tentangan Raja Yusof, tetapi juga pembesar-pembesar Perak kerana Raja Ismail
berasal dari keturunan Siak (Sumatera). Untuk mengelakkan berlakunya
kekacauan, Raja Jaafar berjanji bahawa kedudukan Raja Ismail akan dikekalkan
sebagai Raja Bendahara. Baginda tidak akan dilantik sebagai Raja Muda atau
Sultan. Selepas kemangkatan Sultan Jaafar pada tahun 1865, Raja Ali dilantik
sebagai Sultan. Baginda telah melantik putera Sultan Jaafar, iaitu Raja Abdullah
sebagai Raja Muda dengan mengekalkan Raja Ismail sebagai Raja Bendahara dan
Raja Yusof sebagai Raja di Hilir. Perlantikan Raja Abdullah sebagai Raja Muda
telah mendapat tentangan Raja Yusof, Raja Ismail dan pembesar-pembesar
Perak. Keadaan di Perak semakin runcing apabila Sultan Ali mangkat pada tahun
1871 kerana Raja Abdullah, Raja Ismail dan Raja Yusof menuntut takhta Perak
dan masing-masing menganggap berhak ke atas takhta tersebut. Dalam upacara
pengebumian Sultan Ali di Sayong pada tahun 1871, pembesar-pembesar Perak
telah melantik Raja Ismail sebagai Sultan kerana Raja Abdullah (Raja Muda) tidak
menghadiri upacara tersebut. Di antara pembesar yang memainkan peranan
penting di atas perlantikan Raja Ismail sebagai Sultan ialah Ngah Ibrahim kerana
beliau mengharapkan Raja Ismail akan melantiknya sebagai Raja Bendahara,
sebagai anak tangga ke arah takhta Perak.
Perlantikan Raja Ismail sebagai Sultan telah mendapat tentangan dari Raja
Abdullah, Raja Yusof dan pembesar-pembesar Hilir Perak. Raja Abdullah telah
mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan dan melantik Raja Yusof sebagai Raja
Muda dalam usaha mendapatkan sokongan. Setelah usahanya untuk
mendapatkan takhta Perak gagal, Raja Abdullah menulis surat kepada Gabenor
Negeri-negeri Selat, iaitu Sir Andrew Clarke pada 31 Disember 1873 dan 9
Januari 1974 memohon bantuan British dalam usaha mendapatkan takhta Perak.
 
Pertelingkahan antara kongsi-kongsi gelap
Larut ialah daerah yang terpencil. Ia tidak mempunyai ketua daerah, hanya
seorang pemimpin bernama Panglima Bukit Gantang. Pada tahun 1848, bijih
timah dijumpai di Larut. Long Jaafar, seorang pemimpin kecil keturunan Panglima
Bukit Gantang telah menguruskan sendiri perusahaan bijih timah. Lombong bijih
timah telah dibuka. Untuk menguruskan lombong bijih timah itu, maka Long
Jaafar telah mengambil orang-orang Cina untuk bekerja sebagai buruh. Akhirnya,
Long Jaafar menjadi kaya raya hasil dari cukai bijih timah.
Dengan adanya pembukaan lombong bijih timah dan galakan dari Long
Jaafar, ramai orang Cina dari Pulau Pinang telah datang ke Larut. Orang-orang
Cina yang datang ke Larut terdiri daripada suku Khek dan kemudiannya diikuti
oleh suku Kongfu.
Kehadiran mereka menyebabkan munculnya kongsi gelap Cina seperti suku
Khek yang tinggal di Kelian Pauh membentuk kumpulan Go Kwan (5 daerah)
sementara suku Kongfu yang tinggal di Kelian Baharu (Kamunting) membentuk
kumpulan Si Kwan (4 daerah). Kumpulan Go Kwan telah bergabung dengan
Kongsi Hai San sementara Si Kwan bergabung dengan Ghee Hin. Kedua-dua
kumpulan ini sering melakukan pertempuran kerana ingin menguasai kawasan-
kawasan penting dari segi ekonomi seperti kawasan lombong bijih.
1.         Perang Larut Pertama 1861
Pertempuran yang pertama ini berpunca atas perkara pengaliran air ke
kawasan lombong kepunyaan kongsi Ghee Hin. Mereka telah berjumpa
dengan kawasan tanah yang kaya dengan bijih timah dan telah
mengusahakannya. Keadaan ini telah menimbulkan rasa iri hati kepada kongsi
Hai San. Akibatnya, mereka menyekat pengaliran air yang diperlukan oleh
Ghee Hin untuk kawasan perlombongan bijih timah itu. Ghee Hin telah
membantah terhadap Hai San dan akhirnya telah mencetuskan satu
pertempuran yang hebat. Puak Hai San yang bilangannya lebih ramai
menyerang Ghee Hin di Kelian Bharu. Kongsi Ghee Hin telah dikalahkan
dengan mengalami kehilangan nyawa dan harta benda yang besar. Mereka
telah berundur ke Permatang dan setengahnya ke Pulau Pinang.
Memandangkan kejayaan Hai San, Ngah Ibrahim telah menyebelah mereka.
Kongsi Ghee Hin yang kebanyakannya adalah rakyat Inggeris telah
membuat aduan kepada Gabenor. Seterusnya, Gabenor telah campur tangan.
Hasil dari kajian yang dibuat, Gabenor menyalahkan Sultan Jaafar. Sebab
itulah baginda dikehendaki membayar kembali semua ganti rugi sebanyak
$17000. Malangnya, Sultan tidak berupaya untuk membayarnya. Setelah
diadakan perundingan, Ngah Ibrahim sanggup menyelesaikannya. Sebagai
membalah jasa Ngah Ibrahim, maka beliau telah diberi gelaran “Orang Kaya
Menteri Seri Paduka Tuan” pada tahun 1863.
2.         Perang Larut Kedua 1865
Pertempuran yang kedua berpunca daripada perselisihan akibat judi yang
terjadi di Kelian Pauh pada bulan Jun 1865. Akibatnya kongsi Hai San telah
merampas kedai-kedai kepunyaan Ghee Hin dan membunuh beberapa orang
tahanan Ghee Hin. Peristiwa ini menyebabkan Ghee Hin ingin membalas
dendam. Pada mulanya mereka berjaya mengalahkan Hai San tetapi selepas
menerima bantuan dari Ngah Ibrahim, Hai San telah berjaya menyerang
balas. Beberapa orang anggota Ghee Hin telah melarikan diri ke Pulau Pinang
untuk mendapatkan bantuan. Ketua Ghee Hin iaitu So Ah Chiang telah
ditangkap dan dibunuh dalam percubaan melarikan diri itu. Dikatakan hanya
1000 orang dari 2000 orang anggota Ghee Hin telah cuba melarikan diri.
Hai San juga telah meminta bantuan dari Pulau Pinang dan ini menyebabkan
pertempuran merebak ke sana. Pertempuran telah menjadi selama 10 hari
dalam bulan Ogos. Di Pulau Pinang, Hai San telah mendapat bantuan dari
kongsi Toh Poh Kong yang menjadi musuh Ghee Hin.
Oleh sebab pertempuran telah menjadi semakin serius kerana
penglibatan orang-orang Melayu, Gabenor terpaksa campur tangan. Kedua-
dua pihak dikenakan denda sebanyak $5000.
3.         Perang Larut Ketiga 1872-1873
Sungguhpun pertempuran telah reda, namun sikap permusuhan kedua-
duanya masih terus menjadi. Kongsi Ghee Hin secara bersembunyi telah
melakukan persiapan untuk menentang kongsi Hai San. Akhirnya
pertempuran tidak dapat dielakkan.
Perselisihan telah terjadi berpunca adanya hubungan sulit antara ketua Ghee
Hin dengan isteri kepada ketua Hai San. Kedua-duanya ditangkap oleh
anggota Hai San lalu dibunuh. Menggunakan peluang ini, Ghee Hin yang telah
mempersiapkan diri ingin menuntut bela. Ghee Hin telah melakukan serangan
mengejut ke atas Hai San menyebabkan Hai San dapat dikalahkan. Tetapi
selepas melengkapkan diri mereka maka dalam bulan September 1872, Hai
San telah melakukan serangan balas. Hai San telah mendapat bantuan dari
Ngah Ibrahim. Pertempuran yang berlaku telah menyebabkan kira-kira 3000
orang Cina mati terbunuh dan ramai lagi yang cedera.
Anggota Ghee Hin yang telah dikalahkan telah berazam untuk menebus
kembali malu mereka. Mereka telah membina kubu pertahanan di Simpang
yang dianggap penting untuk mengepung Larut. Dengan menggunakan bot-
bot ronda, Ghee Hin telah melakukan serangan dan rompakan sesuka hati.
Tujuan mereka adalah untuk menjejaskan kedudukan Hai San. Tindakan Ghee
Hin itu telah menimbulkan kebimbangan kepada Inggeris. Pihak Inggeris telah
menghantar 2 kapal perang ke Sungai Larut iaitu H.M.S. Thalia dan Midge.
Gabenor Sir Harry Ord telah mengambil keputusan membantu Ngah
Ibrahim untuk mengatasi kekacauan di Larut. Raja Ismail gagal untuk berbuat
demikian. Ketika kapal perang Thalia dan Midge menjalankan rondaan, kedua-
duanya telah dibedil. Akibatnya, Thalia dan Midge bertindak balas tetapi Ghee
Hin masih terus mengadakan pertempuran. Oleh sebab ingin membalas
dendam terhadap Ngah Ibrahim, Ghee Hin telah menyerang rumah beliau di
Pulau Pinang.
Untuk menentang Ghee Hin selanjutnya, maka Kapten Speedy
bersama-sama dengan kira-kira 100 askar sepoi tiba di Larut. Kapten Speedy
telah diambil bertugas di Larut oleh Ngah Ibrahim. Pada penghujung bulan
November 1873, Speedy memulakan serangan ke atas Matang, kubu
pertahanan Ghee Hin. Tetapi Ghee Hin telah mempertahankannya dengan
berani sehingga di akhir peperangan.
Perang Larut ini telah menjejaskan kegiatan melombong bijih timah dan
perdagangan timah dengan Negeri-negeri Selat. Keadaan ini telah mendorong
British campur tangan bagi menyelesaikan kekacauan ini.
 
Peranan Sir Andrew Clarke
Pada 4 November 1873, Sir Andrew Clarke telah mengambil alih jawatan Gabenor
Negeri-negeri Selat dari Sir Harry Ord. Dari segi umur, beliau lebih muda dari Ord
tetapi beliau mempunyai pandangan dan bersikap agresif. Dengan lain perkataan,
beliau suka bertindak segera dari membuat kajian dan tinjauan yang berlarut-
larutan.
Mengenai peristiwa di Larut, Clarke tidak setuju sikap pegawai-pegawai
Inggeris yang lebih menyokong kongsi Hai San. Bagi beliau, sikap ini hendaklah
diubah memandangkan pertempuran yang terjadi adalah melibatkan kedua-dua
kumpulan dan juga pembesar-pembesar Melayu. Oleh itu, penyelesaian
hendaklah dibuat dengan melibatkan semua pihak.
Tindakan Clarke tanpa berunding dengan Pejabat Tanah Jajahan mengenai
dasar untuk campur tangan di Perak dan Negeri-negeri Melayu lainnya
memandangkan adanya berita-berita yang mengatakan kedua-dua kumpulan
yang terlibat sanggup menamatkan pergaduhan mereka. Selain itu, Clarke
memang sedar adanya perubahan sikap Kerajaan Inggeris terhadap Negeri-
negeri Melayu disebabkan adanya ancaman dari Jerman.
Keyakinan Clarke bahawa pertempuran Ghee Hin dan Hai San akan dapat
diselesaikan adalah berdasarkan keterangan yang diperolehi dari W.A. Pickering.
Pada 2 atau 3 Januati 1874, Pickering yang fasih dalam pelbagai loghat Cina pergi
ke Pulau Pinang untuk mencari jalan penyelesaian. Dua hari kemudian, Pickering
mendapat persetujuan dari kedua-dua pihak untuk menamatkan pertempuran. Di
samping itu, Frank Swettenham juga diamanahkan dengan tugas mendapatkan
pembesar-pembesar Melayu Perak supaya menghadiri persidangan di Pangkor
pada 14 Januari 1874.
Pada 7 Januari 1874, Clarke mengarahkan pula Kapten Dunlop supaya
mengaturkan pertemuan pembesar-pembesar Melayu yang terlibat. Dalam
pertemuan tersebut, Raja Ismail dan Raja Yusof tidak hadir. Yang hadir ialah Raja
Abdullah, pembesar Hilir Perak, pemimpin Ghee Hin dan Hai San. Persidangan ini
berada di kapal Clarke yang bernama H.M.S. Pluto.
Dengan ini, persidangan ini menghasilkan 2 dokumen yang berlainan
dengan pemimpin Cina dan pembesar Melayu, iaitu Perjanjian Pangkor dam
Perjanjian Orang Cina pada 20 Januari 1874.
 
Perjanjian Pangkor 1874
Perjanjian Pangkor telah ditandatangani pada 20 Januari 1874. Isi kandunagn
perjanjian ini ini dapat dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu mengenai takhta
Kerajaan Perak dan mengenai orang Cina.
1.         Mengenai takhta Kerajaan Perak
a.         Raja Abdullah diakui sebagai Sultan Perak.
b.         Raja Ismail dilantik menjadi Raja Muda. Beliau diberi sebuah wilayah
dan wang bersara sebanyak $1000 sebulan.
c.         Segala perlantikan yang disertai dengan alat-alat kerajaan yang
dibuat semasa Bendahara Ismail menjadi Pemangku Sultan yang sah.
d.         Sultan akan menerima seorang Residen Inggeris yang nasihatnya
mesti diminta dan diikuti dalam setiap perkara kecuali perkara-perkara
yang berkaitan dengan agama dan adat istiadat orang-orang Melayu.
e.         Semua pungutan dan kawalan cukai serta pertandingan am mestilah
dijalankan di atas nama Sultan.
f.           Pungutan dan pengawalan terhadap semua cukai-cukai dan
pentadbiran negeri dijalankan dengan berpandukan kepada nasihat-nasihat
Residen dan penolongnya.
g.         Menteri akan terus berkuasa tetapi beliau tidaklah diakui sebagai
pemerintah yang merdeka di Larut.
h.         Menteri Larut ini juga dikehendaki menerima seorang Penolong
Residen untuk menasihati beliau dalam urusan pentadbiran Larut.
i.           Gaji Residen dan penolongnya ditentukan oleh Kerajaan Negeri-
negeri Selat dan dibayar oleh Sultan.
j.           Gaji-gaji Residen, Penolong Residen, Sultan, Bendahara, Menteri
Larut dan pembesar-pembesar atau pegawai-pegawai lain ditetapkan oleh
satu senarai awam (civil test).
k.         Perjanjian mengenai penyerahan wilayah Dinding dan Pulau Pangkor
kepada Inggeris yang telah menimbulkan kekeliruan itu diperbetulkan.
l.           Apabila keamanan dapat dipulihkan semula di Perak, kegiatan-
kegiatan melombong hendaklah dimulakan semula. Ganti rugi mengenai
kerosakan jentera dan lain-lain akan dibayar dan tafsiran-tafsiran yang
dibuat oleh pegawai-pegawai Inggeris adalah muktamad.
2.         Mengenai orang Cina
a.         Bahawa kedua-dua pihak hendaklah meletakkan senjata dan
memusnahkan kubu-kubu mereka.
b.         Bahawa satu suruhanjaya yang terdiri daripada pegawai-pegawai
British dan 2 orang wakil Cina, akan menyelesaikan semua tuntutan
terhadap lombong-lombong itu dan urusan-urusan di Larut pada masa
akan datang akan dijaga oleh seorang Residen Inggeris.
c.         Bahawa mereka hendaklah mengikut janji sebanyak $50000 untuk
menjaga keamanan dan menuruti syarat-syarat perjanjian itu.
 
Kesimpulan
Berdasarkan Perjanjian Pangkor, Clarke telah mencadangkan supaya J.W.W.
Birch dilantik sebagai Residen Inggeris di Perak. Birch memulakan tugasnya
sebagai Residen agak lambat iaitu dalam bulan November 1874 sedangkan
Kapten Speedy yang dilantik sebagai penolongnya telah memulakan tugasnya di
Larut sejak bulan Januari. Kelewatan Birch menjalankan tugasnya kerana
menunggu persetujuan dari Pejabat Tanah Jajahan London.

Anda mungkin juga menyukai