Anda di halaman 1dari 2

Cerita masyarakat Kayong dengan mitos mistik Hantu Bangkit ini bermula di sebuah

kampung di Tanah Kayong, Diceritakan pada suatu waktu dahulu terdapat sebuah
kampung yang sentiasa di dalam keadaan yang tidak terang malah amat sukar untuk
ditembusi cahaya matahari kerana dikatakan terletak di bawah sepohon kayu yang
amat besar sehingga dahan-dahannya telah menutup ruang untuk mendapat cahaya
matahari. Hal ini amat membingungkan penduduk kampung maka bermesyuaratlah
mereka apakah jalan yang sebaiknya agar mereka dapat menerima cahaya matahari.
Setelah itu maka mereka pun bersetuju satu-satunya jalan adalah dengan menebang
pokok tersebut.
Seperti yang dipersetujui di dalam mesyuarat maka tibalah hari yang dijanjikan iaitu hari
untuk menebang pokok tersebut. Keseluruhan orang lelaki Kampung tersebut telah siap
siaga dengan alatan untuk menebang pokok seperti gergaji, parang dan sebagainya.
Setelah diperkenankan oleh ketua kampung tersebut maka 7 pemuda yang gagah
perkasa telah bertindak untuk menebang pokok tersebut secara berganti-ganti dengan
kapak mereka. Namun apa yang menghairankan mereka biar apa cara sekalipun untuk
menebang pokok tersebut tetap tidak menampak kesan kepada pokok tersebut malah
tidak tercarik sedikit pun. Di kala mereka semua pasrah dengan apa yang berlaku itu
tiba-tiba terdengar suara yang datang dari pokok tersebut. Penduduk kampung amat
kaget kerana pokok tersebut telah memberi amaran bahawa barang sesiapa yang
menebang pokok tersebut maka mereka akan disumpah bangkit dari mati selama 7 hari
dan ianya disumpah selama 7 keturunan. Pemuda-pemuda gagah perkasa yang
seramai 7 orang itu rasa tercabar dengan amaran pokok tersebut malah mereka
dengan marah telah bertindak menebang pokok tersebut tanpa memperdulikan katakata nasihat daripada penduduk kampung tersebut. Setelah berhempas pulas akhirnya
pokok tersebut pun menyembah bumi. 7 penduduk lelaki perkasa itu puas dengan apa
yang terjadi kerana bagi mereka pokok tersebut hanya mengada-adakan cerita.
Setelah seketika, tiba-tiba pemuda ke 7 yang menebang pokok tersebut telah mati
mengejut dan beliau dikuburkan seperti biasa malah penduduk kampung juga sudah
melupai sumpahan pokok tersebut. Apabila malamnya tiba-tiba kedengaran hiruk pikuk

di rumah pemuda ke 7 kerana ahli keluarganya serta beberapa orang penduduk


kampung telah menjumpai si pemuda ke 7 pulang ke rumah walaupun baru sahaja
dikuburkan pada petang itu. Maka bermulalah malam-malam seterusnya yang mana
setiap malam akan ada sahaja penduduk kampung melihat kelibat si mati pemuda ke-7
merayau-rayau menuju ke rumahnya ataupun menjenguk rumah saudara maranya. Hal
ini berlaku selama 7 malam berturut-turut dan dikatakan setiap kali dia sudah
menziarahi rumah keluarganya pada keesokan harinya akan terdapatlah bekas tanda
tanah-tanah kubur terlekat di lantai dan tangga rumah.
Berbalik kepada cerita 6 pemuda yang bersama-sama dengan pemuda ke-7 menebang
pokok tersebut maka timbullah ketakutan di dalam diri mereka akan nasib yang
menimpa saudara pemuda ke-7. Bertindak daripada peristiwa itu dikatakan 6 pemuda
ini telah berpindah daripada kampung mereka mengembara membawa diri sehinggalah
membentuk sebuah masyarakat Melayu di Sarawak antaranya. Tujuannya adalah untuk
menghindarkan diri daripada sumpahan tersebut. Mereka menyesali apa yang sudah
mereka lakukan kerana amat degil tidak mendengar nasihat orang tua-tua kampung
namun nasi sudahpun menjadi bubur dan sumpahan itu tetap akan berada pada
mereka dan juga kepada keseluruhan 7 keturunan mereka tidak mengira tempat betapa
jauhnya mereka daripada Tanah Kayong itu sendiri.
Inilah sekelumit cerita mitos mistik Hantu Bangkit Di Dalam Masyarakat Melayu
Sarawak buat bacaan hujung minggu pembaca Borneo Oracle. Sesungguhnya setiap
yang berlaku itu ada sebab musababnya dan janganlah kita terlalu mempercayainya
kerana hanya Allah SWT yang mengetahui dan lebih berkuasa di dalam setiap kejadian
di dunia yang fana ini. Artikel ini janganlah pula disalahertikan sebagai artikel yang
berbentuk syirik dan khurafat kerana tujuannya adalah untuk berkongsi dengan
masyarakat Malaysia amnya Sarawak khususnya tentang cerita-cerita lisan dan
kejadian yang dikatakan pernah menggemparkan masyarakat Sarawak suatu waktu
dahulu. Allahualam.

Anda mungkin juga menyukai