Anda di halaman 1dari 4

MEMAHAMI JENIS-JENIS AYAT.

1. AYAT PENYATA:
Ayat penyata ialah ayat yang bertujua menyatakan atau memberi keterangan tentang sesuatu hal.
Ayat jenis ini juga disebut sebagai ayat berita atau ayat keterangan.
Contoh-contoh ayat penyata:1. Mereka sedang bersarapan di rumah Pak Abu.
2. Pasukan bola sepak sekolah itu menang dalam pertandingan tersebut.
3. Majlis jamuan perpisahan itu akan diadakan pada pukul 4.00 petang hari esok.
4. Kedai di hadapan rumah saya itu terbakar semalam.
2. AYAT TANYA.
Ayat ini digunakan bagi tujuan menanyakan sesuatu hal. Terdapat dua jenis ayat tanya:
1. Ayat tanya dengan kata tanya.
2. Ayat tanya tanpa kata tanya.
Contoh-contoh ayat tanya dengan kata tanya.
1. Di manakah kakak kamu belajar?
2. Siapakah yang bersama-sama dengannya?
3. Mengapakah dia tidak melanjutkan pelajaran di dalam negara sahaja?
4. Berapakah bilangan yang menyertai rombongan itu?
5. Bagaimanakah cara dia menjahit corak tersebut?
6. Apa nama tempat yang ditujuinya itu?
Contoh-contoh ayat tanya tanpa kata tanya.
1. Dia belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia?
2. Ibu hendak makan sekarang juga?
3. Ramasamy mengajar subjek bahasa Melayu?
4. Ramasamy mengajar subjek bahasa Melayukah?
3. AYAT PERINTAH.
Ayat ini diucapkan bagi tujuan menimbulkan sesuatu tindakan.
Ayat perintah boleh dibahagikan kepada empat jenis seperti berikut:
i. Ayat suruhan Makan dahulu sebelum bertolak ke Kuala Lumpur.
ii. Ayat larangan Jangan suka menaburkan fitnah.
iii. Ayat silaan Sila serahkan barang kes itu kepada pihak pendakwa.
iv. Ayat permintaan Tolong tutupkan pintu itu sebelum meninggalkan rumah.
4. AYAT SERUAN.
Ayat seruan dituturkan dengan nada atau intonasi seruan untuk menyatakan perasaan, sama ada gembira, marah,
hairan, sakit dan sebagainya.
Contoh-contoh ayat seruan:
1. Tahniah, awak telah berjaya dalam pertandingan tersebut!
2. Amboi, beraninya!
3. Aduh, sakitnya perutku!
4. Wah, cantik sungguh halaman rumah awak!
LATIHAN PENGUKUHAN JENIS-JENIS AYAT.
LATIHAN 2.
Kenal pasti jenis-jenis ayat berikut. Tentukan sama ada ayat tersebut ialah ayat penyata, ayat tanya,
ayat perintah atau ayat seruan.
i. Sungai terpanjang di Semenanjung terletak di negeri Pahang.

ii. Cantik sungguh taman itu kerana terletak di tepi sungai!


iii. Bagaimanakah Ani mengatasi masalah itu?
iv. Jemputlah hadirin sekalian menjamu selera.
v. Usahlah awak bimbang tentang kesihatan anak saya.
vi. Di Kuala Lumpurkah letaknya menara tabung haji?
[6 markah]
JAWAPAN:
i. Ayat penyata.
ii. Ayat seruan.
iii. Ayat tanya.
iv. Ayat perintah.
v. Ayat perintah.
vi. Ayat tanya.
[6 markah]
LATIHAN PENGUKUHAN JENIS-JENIS AYAT.
LATIHAN 3
SOALAN.
Kenal pasti jenis-jenis ayat berikut. Tentukan sama ada ayat tersebut ialah ayat penyata, ayat tanya,
ayat perintah atau ayat seruan.
i. Syabas, teruskan usaha murni awak!
ii. Ani mengatasi masalah itu bagaimana?
iii. Tak usah engkau kenang lagi peristiwa itu.
iv. Tolong ambilkan segelas air untuk saya.
v. Sekolah Menengah Ihsan telah berjaya mendapat tempat kedua dalam pertandingan Dikir Barat
peringkat kebangsaan yang diadakan di Kuantan Pahang pada tahun lepas.
vi. Banyak tempat yang menarik di sekitar bandar Melaka untuk dikunjungi pada hari cuti sekolah.
[6 markah]
JAWAPAN.
i. Ayat seruan.
ii. Ayat tanya.
iii. Ayat perintah.
iv. Ayat perintah.
v. Ayat penyata.
vi. Ayat penyata.
[6 markah]
LATIHAN PENGUKUHAN JENIS-JENIS AYAT.
LATIHAN 4
SOALAN:
Kenal pasti jenis-jenis ayat berikut. Tentukan sama ada ayat tersebut ialah ayat penyata, ayat tanya,
ayat perintah atau ayat seruan.
i. Apakah kaedah yang dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut?
ii. Wah, awak kelihatan sungguh ceria sejak akhir-akhir ini!
iii. Seorang anggota polis berpangkat sarjan maut dalam kejadian langgar lari di Jalan Syed Putra
berhampiran Pusat Beli Belah Mid Valley Megamall di sini, awal pagi semalam.

iv. Awak boleh melaksanakan tugas tersebut mulai sekarang.


v. Sudahkah awak membaca novel tulisan Shahnon Ahmad itu?
vi. Kerajaan akan terus memberi perhatian kepada kawasan pedalaman yang amat memerlukan
bantuan selaras Program Transformasi Luar Bandar.
[6 markah]
JAWAPAN
i. Ayat tanya.
ii. Ayat seruan.
iii. Ayat penyata.
iv. Ayat perintah.
v. Ayat tanya.
vi. Ayat penyata.
[6 markah]
LATIHAN PENGUKUHAN JENIS-JENIS AYAT.
LATIHAN 5.
SOALAN:
Kenal pasti jenis-jenis ayat berikut. Tentukan sama ada ayat tersebut ialah ayat penyata, ayat tanya,
ayat perintah atau ayat seruan.
i. Kejayaan kontingen Malaysia meraih 59 pingat emas, 50 perak dan 82 gangsa pada Sukan SEA
XXVI yang menutup tirai, semalam disifatkan sebagai antara pencapaian terbaik di luar Kuala
Lumpur.
ii. Sila penuhkan kerusi di hadapan pentas itu.
iii. Kami sudah berjaya, cikgu!.
iv. Jangan bermain-main di tepi kandang harimau itu.
v. Pemuda kacak itu siapa?
vi. Sudah sepuluh tahun saya tinggal di Kota Baharu, baru hari ini saya bertemu dengannya.
[6 markah]
JAWAPAN.
i. Ayat penyata.
ii. Ayat perintah .
iii. Ayat seruan.
iv. Ayat perintah.
v. Ayat tanya.
vi. Ayat penyata.
[6 markah]
LATIHAN PENGUKUHAN JENIS-JENIS AYAT.
LATIHAN 6.
SOALAN:
Kenal pasti jenis-jenis ayat berikut. Tentukan sama ada ayat tersebut ialah ayat penyata, ayat tanya,
ayat perintah atau ayat seruan.
i. Tolong pecahkan mangga rumah tersebut kerana anak kuncinya telah hilang.
ii. Nah, ambil buku ini dan ulang kaji!
iii. Sila uruskan pendaftaran tersebut dengan secepat mungkin untuk mengelakkan kesesakan di
meja pendaftaran nanti.

iv. Taman Negara Endau Rompin terletak di sempadan bahagian timur di antara negeri Johor dan
Pahang.
v. Kamaruzaman menaiki kereta siapa?
vi. Hujan lebat yang turun secara berterusan menyebabkan beberapa bahagian di negeri
Terengganu mengalami banjar semalam.
[6 markah]
JAWAPAN:
i. Ayat perintah.
ii. Ayat seruan.
iii. Ayat perintah.
iv. Ayat penyata.
v. Ayat tanya.
vi. Ayat penyata.
[6 markah]

Anda mungkin juga menyukai