Anda di halaman 1dari 10

MODUL KECEMERLANGAN

BAHASA MELAYU
SIJIL PELAJARAN MALAYSIA
ANTOLOGI HARGA REMAJA
(DRAMA)
TINGKATAN 4
CIKGU SAZALI BIN IBRAHIM
M.A (Bahasa Melayu)

PENOLONG KANAN PENTADBIRAN


SMK LALOH, KUALA KRAI,
KELANTAN.

ULI SAPA LET IT


CSL2014
Antologi Harga Remaja
Drama

DRAMA
CEMPAKA BERDARAH
(A.Rahim Abdullah)
TELAH KELUAR DALAM SPM NOV 2011
Sinopsis
Babak 1

Mengisahkan Mak Jah dan Cempaka sedang mengemas rumah. Mereka menanti
kepulangan Zaman yang belajar di sebuah universiti di Kuala Lumpur. Kemudiannya,
mereka terdengar orang memanggil di luar rumah. Mereka mengintai melalui lubang
pintu dan mendapati seorang lelaki Orang Putih muncul. Mak Jah menyuruh Cempaka
masuk ke biliknya. Orang Putih itu memperkenalkan dirinya sebagai Prof. Peter,
pensyarah Antropologi dan Sosiologi dan merupakan pensyarah Zaman di universiti.
Dalam perbualan mereka, Prof. Peter meminta Mak Jah menasihati Zaman supaya
belajar betul-betul sekiranya hendak berjaya. Prof. Peter bertanya tentang Cempaka
apabila melihat gambar Cempaka di dinding.

Babak 2

Semasa Zaman dan Cempaka mengambil buah bidara dan akar kayu di sebuah
belukar, Zaman menyuruh Cempaka pulang untuk mengambil parang. Mereka
berbincang tentang bonsai dan ukiran akar kayu. Semasa Cempaka pulang
mengambil parang, Prof. Peter muncul ditemani oleh Malik. Berlaku pertengkaran kecil
antara mereka. Ketika Zaman mengambilkan Cempaka bunga kenanga, Prof. Peter
dan Malik muncul semula. Berlaku lagi pertengkaran antara Prof. Peter dan Zaman.
Prof. Peter mempersoalkan rambut Cempaka yang berwarna perang. Zaman
membuat kesimpulan, Maliklah yang menjadi orang perantaraan Prof. Peter. Dia juga
mendakwa Cempaka ialah adiknya yang dicari-cari selama ini. Semasa Perang Jepun,
ibunya telah menyembunyikan adiknya di tebing Sungai Bukit Putih dan ditemui oleh
Mak Jah. Dia hendak mengambil Cempaka dan mahu adiknya itu hidup dalam
keluarganya. Sewaktu pertengkaran berlaku, Prof. Peter ternampak seekor ular lalu
melepaskan tembakan. Cempaka rebah berlumuran darah. Mak Jah meraung melihat
keadaan Cempaka. Zaman berasa marah dan berlaku pergelutan antara Zaman dan
Prof. Peter. Prof. Peter telah melarikan diri ke dalam hutan. Zaman mengejanya
dengan parang. Tiba-tiba terdengar satu das tembakan dan semuanya tercengang.
Mak Jah bersyukur kerana Zaman selamat dan mengangkat Cempaka yang tidak
sedarkan diri itu.

CSL2014
Antologi Harga Remaja
Drama

Pemikiran

Keberanian mempertahankan hak dan maruah keluarga daripada dirampas oleh orang
luar.
Contoh:
Zaman bertindak dengan berani dan bersungguh-sungguh ketika bertengkar dengan
Prof. Peter.

Persoalan

Kasih sayang sesama insan tidak mengenal agama dan keturunan.


Pendidikan penting untuk mengubah dan membela nasib diri dan keluarga.
Mempertahankan hak dengan cara yang betul.
Peperangan yang menyebabkan perpisahan antara ahli keluarga.
Usaha mencari adik kandung yang hilang semasa Perang Jepun.

Nilai

Kasih sayang.
Contoh:
Mak Jah amat menyayangi Cempaka walaupun Cempaka hanya anak angkat.

Keberanian.
Contoh:
Zaman berani mempertahankan Cempaka daripada diambil oleh Prof. Peter.

Hormat-menghormati.
Contoh:
Mak Jah menghormati tetamunya Prof. Peter dan melayannya dengan ramah.

Bertanggungjawab
Contoh:
Zaman bertanggungjawab memenuhi keinginan adiknya Cempaka untuk mengambil
bunga kenanga akar.

Kerajinan.
Contoh:
Zaman rajin belajar sehingga ketika itu berada dalam tahun akhir pengajian.

CSL2014
Antologi Harga Remaja
Drama

Pengajaran

Kita hendaklah berusaha mempertahankan apa-apa yang menjadi hak kita dengan
cara yang betul agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini.
Kita hendaklah menghormati masyarakat tempatan jika kita berkunjung ke tempat
mereka supaya kita tidak mendapat kesusahan.
Janganlah kita menggunakan kekerasan untuk menyelesaikan sesuatu masalah
kerana perbuatan itu membahayakan kita..
Kita hendaklah gigih berusaha untuk mengubah corak hidup supaya tidak terus
dibelenggu kemiskinan.
Setiap ahli keluarga hendaklah melindungi keluarganya yang lain kerana hal itu
merupakan tanggungjawab mereka.
Kita perlu berwaspada terhadap orang yang tidak kita kenali agar tidak diperdayakan
oleh mereka.
Kita hendaklah berfikir secara bijak untuk menyelesaikan sesuatu masalah agar hasrat
yang diinginkan akan memperoleh kejayaan.

CSL2014
Antologi Harga Remaja
Drama

DRAMA
FORUM REMAJA 2020
(Sharif Shaary)
Sinopsis

Memaparkan peranan dan tanggungjawab tiga orang remaja iaitu Salmah, Chandran
dan Chong menjelang tahun 2020. Mereka berjumpa dengan dua orang makhluk
Utopia yang datang ke bumi untuk menjayakan sesuatu misi.

Kedatangan mereka didorong atas rasa tanggungjawab moral untuk mengingatkan


makhluk bumi bahawa situasi kini sudah mencapai tahap kritikal ke arah kemusnahan.
Makhluk Utopia memilih Malaysia kerana Malaysia berpotensi untuk dimajukan
sebagai sebuah negara model dunia dalam menegakkan keamanan dan peningkatan
moral sejagat. Mereka berpendapat segala pembangunan sekarang bukan
sumbangan generasi muda yang diwakili oleh Salmah, Chandran dan Chong tetapi
sumbangan generasi terdahulu. Generasi muda kini belum berbuat apa-apa. Sebagai
bakal pemimpin masa depan, remaja perlu mempunyai jati diri yang kental, berilmu
pengetahuan dan memiliki moral yang tinggi bagi merealisasikan matlamat tersebut.
Masalah keruntuhan moral generasi muda berada dalam satu era kritikal dari segi
moral, sosial dan mental. Mereka mesti bersatu padu sesama rakyat Malaysia yang
berbilang kaum, bersemangat patriotiuk dan mengamalkan nilai keagamaan dalam
aspek kehidupan.

Apabila kedua-dua makhluk Utopia itu beredar, ketiga-tiga remaja itu pun tersedar dan
mereka rupanya bermimpi. Ketiga-tiga remaja itu berbincang tentang kritikan yang
diberi oleh makhluk Utopia dan mereka menyetujuinya. Sebagai remaja, mereka perlu
merancang strategi kepimpinan untuk merealisasikan pembamngunan negara di
samping melahirkan generasi yang berdisiplin.

CSL2014
Antologi Harga Remaja
Drama

Pemikiran

Peranan dan tanggungjawab remaja untuk merealisasikan Wawasan 2020 yang


diwakili oleh watak Salmah, Chandran, dan Chong.

Persoalan

Remaja sebagai pemimpin negara pada masa hadapan.


Kepentingan ilmu pengetahuan dalam diri remaja.
Kepentingan penghayatan nilai keagamaan dalam kehidupan.
Semangat patriotik sebagai pegangan untuk mewujudkan sebuah negara bangsa.
Jati diri, moral dan ilmu pengetahuan sebagai teras kepada remaja untuk
merealisasikan Wawasan 2020.

Nilai

Keberanian.
Contoh:
Tiga sahabat berani berhujah dengan makhluk Utopia tentang cabaran untuk
membangunkan negara..

Cinta akan tanah air.


Contoh:
Tiga sahabat menunjukkan kecintaan akan negara dan mahu menjadi pemimpin pada
masa yang akan datang..

Baik hati.
Contoh:
Makhluk Utopia baik hati dengan menasihati dan memberi teguran kepada penduduk
bumi.

Pengajaran

Kita hendaklah mengutamakan perpaduan kaum dan mengamalkannya dalam hidup


bermasyarakat.
Remaja hendaklah memahami, menghayati dan mengamalkan nilai keagamaan dalam
kehidupan.
Remaja hendaklah mempunyai rasa tanggungjawab dan memiliki jati diri yang kental..
Remaja hendaklah mempunyai ilmu pengetahuan untuk membangunkan negara pada
masa hadapan.

CSL2014
Antologi Harga Remaja
Drama

DRAMA
GELANGGANG TUK WALI
(Ismail Kassan)
Sinopsis
Babak 1

Babak 2

Ripin telah pergi ke rumah Tuk Wali, untuk memaklumkan jemputan bersilat di majlis
perkahwinan rumah Haji Kodri. Kedatangannya disambut oleh Mak Umi. Tuk Wali
mahu memenuhi jemputan tersebut walaupun demam. Tuk Wali juga berbual dengan
Ripin tentang kerakusan manusia yang menyebabkan kepupusan spesies pokokpokok herba di hutan sebagaimana yang dilakukan oleh Si Guan. Tuk Wali kesal oleh
sebab harga akar-akar kayu semakin rendah. Tuk Wali meminta Ripin memastikan
murid-murid silat berkumpul kerana wartawan akan datang pada malam itu.
Tuk Wali bersiap-siap untuk pergi ke rumah Haji Kodri dengan berpakaian baju Melayu
yang lengkap dengan samping dan bersongkok. Tidak lama kemudian, Imam dan Siak
berkunjung ke rumah Tuk Wali. Kedatangan mereka disambut oleh Mak Umi. Siak
menyatakan perasaan tidak senang kerana Tuk Wali masih bersilat di gelanggang.
Baginya, Tuk Wali sepatutnya menghabiskan masa di masjid. Mak Umi
mempertahankan suaminya kerana selama ini suaminya tidak pernah tinggal solat
berjemaah di masjid malah mengerjakan solat sunat setiap malam. Bagi Mak Umi, Tuk
Wali hanya memenuhi hajat orang untuk memeriahkan majlis, tidak melanggar adat
dan agama. Mak Umi meminta Imam dan Siak bercakap dengan Tuk Wali sendiri
tentang hal itu. Dia juga akan memaklumkan nasihat Siak dan Imam kepada Tuk Wali.

Babak 3

Tuk Wali meluahkan rasa tidak senangnya terhadap Piee, cucu tirinya yang telah
memalukan dirinya di rumah Haji Kodri. Mak Umi mahu Tuk Wali mengubatkan Piee
yang menagih dadah. Tuk Wali menyuruh Mak Umi menghalau Piee jika datang ke
rumah itu lagi. Tuk Wali terlalu marah kepada Piee kerana dia telah mencuri wang
tambang Tuk Wali ke Mekah berjumlah RM2000.00. Mak Umi memaklumkan nasihat
Imam dan Siak kepada Tuk Wali. Tuk Wali mengatakan bahawa dia boleh duduk
berzikir di masjid tetapi dia juga perlu mengubatkan orang yang patah kaki, terseliuh,
dan histeria. Tuk Wali mengimbas dirinya ketika muda dahulu sering dipuji, dan
dianggap hebat.
Apabila dia sudah tua segala yang dilakukannya dipandang tidak elok. Mak Umi
mencadangkan anak-anak muridnya seperti Ripin menggantikan tempatnya untuk
bersilat di majlis kahwin. Tuk Wali mengatakan silat sudah sebati dengan dirinya. Tuk
Wali dikunjungi Ripin dan Mariam. Tuk Wali menyarankan Ripin dan Mariam
mengambil tempatnya untuk mengajar silat tetapi mereka berdua tidak bersedia.
Mereka merayu agar Tuk Wali terus mengajarkan silat. Tuk Wali mengambil sebilah
keris dan menceritakan asal usul keris tersebut. Tuk Wali merasakan Ripinlah yang
layak untuk menjadi pewaris keris itu.

CSL2014
Antologi Harga Remaja
Drama

Dua orang wartawan daripada majalah Pejuang, iaitu Halim dan Jamil datang ke
rumah Tuk Wali untuk menemu ramahnya. Piee cucu tiri Tuk Wali yang baru keluar
dari pusat pemulihan muncul. Setelah kedua-dua wartawan itu pulang, Tuk Wali
menampar dan memarahi Piee kerana masuk ke dalam biliknya. Empat orang pemuda
telah datang ke rumah Tuk Wali. Menyangka Tuk Wali tiada di rumah, mereka bermain
gitar, menyanyi sambil menari-nari. Tuk Wali memarahi mereka. Salah seorang
pemuda telah ditampar oleh Tuk Wali kerana bersikap biadap.

Babak 4

Siak datang ke rumah Tuk Wali dan mencabar Tuk Wali agar bersilat dengannya. Siak
berasa marah kerana Tuk Wali telah menampar cucunya yang mahu belajar silat.
Mereka bertarung menggunakan sundang. Mak Umi mencari Ripin untuk meleraikan
pergaduhan tersebut. Ripin berjaya mengunci pergerakan Siak. Ripin mencadangkan
Tuk Wali dan Siak menyelesaikan masalah dengan cara berunding. Mak Umi
menyuruh Ripin menghantarnya ke rumah Berahim kerana dia tidak mahu melihat
pergaduhan antara Tuk Wali dengan Siak. Siak akhirnya meninggalkan rumah. Tuk
Wali yang kepenatan dan akhirnya terlena dibuai mimpi indah.

Babak 5

Piee masuk ke rumah Tuk Wali dan mengambil biola serta sebilah keris yang tersisip
di dinding beranda itu. Tuk Wali menyedari perkara itu dan memarahi Piee. Kemudian
berlaku pergaduhan dan pertikaman antara Tuk Wali dengan Piee. Semasa Tuk Wali
ingin mengambil biola yang dijatuhkan oleh Piee, Tuk Wali ditikam oleh Piee. Tikaman
itu terkena di perut Tuk Wali. Tuk Wali dapat mengambil keris daripada tangan Piee.
Tuk Wali semakin lemah apabila banyak darah keluar daripada lukanya. Ripin terkejut
apabila melihat Tuk Wali yang terbaring berlumuran darah. Ripin mahu menghantar
Tuk Wali ke hospital tetapi Tuk Wali enggan. Tuk Wali sempat menyerahkan keris
tersebut kepada Ripin sebelum meninggal.
Ripin ingin menuntut bela atas kematian Tuk Wali. Dia menyangka Siak yang
membunuh Tuk Wali. Siak dan Imam muncul dan melihat Ripin memegang keris
dalam keadaan Tuk Wali telah terbujur kaku. Imam menyangka bahawa Ripin telah
membunuh Tuk Wali. Berlaku tuduh menuduh antara Siak dan Ripin. Mariam dan Umi
sampai lalu menerpa ke arah mayat Tuk Wali. Mak Umi dan Mariam ingin tahu orang
yang membunuh Tuk Wali. Siak dan Ripin saling menuduh sekali lagi. Mak Umi
menafikan ripin membunuh Tuk Wali.

Pemikiran

Perjuangan mempertahankan warisan budaya bangsa


Contoh:
Tuk Wali mengajarkan ilmu persilatan sejak 50 tahun lalu kepada pemuda-pemudi
kampung. Dia juga mematuhi pantang larang mencari pokok-pokok kayu herba di
hutan demi memelihara warisan hutan tersebut pada masa akan datang.

CSL2014
Antologi Harga Remaja
Drama

Persoalan

Sikap hormat-menghormati dalam kalangan masyarakat terhadap orang yang berilmu.


Contoh:
Ripin amat menyanjung tinggi Tuk Wali yang mengajarnya ilmu silat.

Budaya warisan bangsa yang diremehkan.


Contoh:
Ada sesetengah penduduk kampung yang mencemuh Tuk Wali kerana bersilat dalam
majlis perkahwinan.

Masalah penagihan dadah yang sukar dirawat.


Contoh:
Piee yang baru keluar dari pusat pemulihan kembali menagih kerana tidak dipantau
oleh ibu bapanya.

Perasaan dengki dan khianat.


Contoh:
Ada pihak yang dengki kepada Tuk Wali lalu menghalau Piee dari majlis perkahwinan
di rumah Haji Kodri.

Dendam yang berpanjangan.


Contoh:
Siak masih menyimpan perasaan dendam kepada Tuk Wali kerana Tuk Wali
berkahwin dengan bekas tunangnya.

Keprihatinan dalam kalangan masyarakat.


Contoh:
Tuk Wali merawat orang sakit, menguruskan jenazah dan perkara-perkara lain tanpa
meminta sebarang upah.

Nilai

Ketegasan.
Contoh:
Tuk Wali tegas pendiriannya mahu bersilat di majlis perkahwinan anak Haji Kodri
kerana baginya perbuatan itu tidak salah.

Keberanian.
Contoh:
Tuk Wali berani bertarung dengan Siak apabila Siak datang menyerangnya.

Taat akan perintah agama.


Contoh:
Tuk Wali tidak pernah meninggalkan solat berjemaah di masjid dan rajin menunaikan
solat sunat.

CSL2014
Antologi Harga Remaja
Drama

Hormat-menghormati
Contoh:
Ripin menghormati Tuk Wali yang tinggi ilmu persilatan dan merupakan guru silatnya.

Bertanggungjawab.
Contoh:
Tuk Wali berasa dirinya bertanggungjawab meneruskan usaha mengajarkan ilmu silat
kepada anak-anak muda di kampung tersebut.

Tolong-menolong
Contoh;
Ripin membantu Mak Umi yang memanggilnya supaya menamatkan pergaduhan
antara Tuk Wali dan Siak.

Keprihatinan
Contoh:
Tuk Wali sering melakukan kerja kemasyarakatan tanpa mengharapkan upah seperti
menggali kubur dan memandikan jenazah.

Pengajaran

Kita hendaklah mempertahankan warisan bangsa agar generasi akan datang


berpeluang mendapat manfaatnya.
Kita hendaklah menghormati guru dan orang yang lebih tua daripada kita kerana
mereka banyak berjasa kepada kita.
Kita hendaklah sentiasa menghulurkan bantuan kepada orang lain tanpa
mengharapkan balasan agar masyarakat hidup harmoni.
Janganlah kita bersikap hipokrit dalam hidup kerana sikap itu memberi kesan yang
negatif.
Setiap masalah yang dihadapi haruslah diselesaikan secara rundingan supaya tidak
berlaku kecederaan atau pertumpahan darah.
Kita mestilah bersabar atas ujian yang menimpa kita supaya kehidupan lebih
sejahtera.
Kita hendaklah bijak menangani masalah yang timbul agar tidak menimbulkan
kesusahan kepada diri sendiri kelak.

CSL2014
Antologi Harga Remaja
Drama

10

Anda mungkin juga menyukai