Anda di halaman 1dari 3

SEJARAH ASAL-USUL KETURUNAN MELAYU ABANG & DAYANG DAN AWANG & DAYANG DALAM

MASYARAKAT MELAYU SARAWAK


Di Sarawak khususnya di dalam masyarakat Melayu Sarawak mempunyai sejarah nama keluarga (surname)
yang diwarisi daripada sebelah ayah kebiasaannya dengan permulaan nama Abang bagi anak Lelaki dan
Dayang bagi anak perempuan. Begitu juga sebaliknya untuk permulaan nama Awang bagi anak lelaki dan
Dayang bagi anak perempuan. Imbuhan nama keluarga Awang dan Dayang sememangnya berkait langsung
dengan salasilah keluarga Negara Brunei Darussalam yang kebanyakan namanya bermula daripada Awang dan
Dayang. Namun sesuatu yang sering menjadi persoalan dimanakah asal-usul imbuhan nama Abang dan
Dayang kerana ianya hanya terdapat di dalam masyarakat Melayu Sarawak. Inilah sesuatu yang wajar untuk
rakyat Sarawak selidiki dan perhalusi.
Dato Godam atau Raja Umar merupakan keturunan Bendahara Tanjung Sungayang, orang besar Istana
Pagaruyung, Ayahanda Dato Godam adalah Bendahara Harun yang mewarisi gelaran pembesar daripada
ayahandanya iaitu gelaran pembesar yang diwarisi turun temurun berdasarkan salasilah keluarga mengikut adatistiadat Minangkabau. Dato Godam merupakan putera sulung hasil perkahwinan Bendahara Harun dengan
seorang wanita berketurunan Belanda yang merupakan anak perempuan kepada Residen Belanda di Padang
(pada tahun 1662) iaitu Jan Van Groenewegen. Sejak dari kecil, Dato Godam telah diajar tentang selok-belok
pentadbiran bagi mewarisi gelaran pembesar ayahandanya Bendahara Harun namun dek kerana Dato Godam
adalah hasil perkahwinan campur iaitu antara kaum Minang dengan Belanda, maka Dato Godam telah disisih
daripada dilantik menjadi majlis adat-istiadat Basa Ampek Balai. Basa Ampek Balai adalah satu majlis
tertinggi yang menguruskan segala pentadbiran minangkabau mengikut adat dan hukum-hukum islam.
Masyarakat Minang yang sememangnya terkenal dengan adat tidak dapat menerima Dato Godam sebagai
pembesar di Basa Ampek Balai kerana dikatakan bukan seorang anak Minangkabau asli. Kerana kecewa dan
menanggung malu di negara sendiri, Dato Godam telah mengambil keputusan untuk mengembara sambil
berniaga ke negara asing dan belayarlah dia dengan anak kapalnya menjadi saudagar menjual kain.
Di dalam perjalanan mengembara ini, Dato Godam dengan anak kapalnya telah berlabuh di muara Sungai
Saribas dan sudah menjadi lumrah saudagar semestinya berlabuh dan mengadap pembesar tempatan di
sesuatu daerah. Maka mengadaplah Dato Godam dengan Pangeran Temenggung Abdul Kadir iaitu pembesar
Kerajaan Kesultanan Brunei yang telah diberikan Saribas sebagai tanah jajahannya. Saribas semasa itu
sememangnya gah sebagai sebuah Bandar pelabuhan untuk saundagar-saudagar berniaga kerana
kedudukannya yang strategik serta aman damai. Ini ditambah lagi dengan penguasa Kerajaan Saribas iaitu
Pengiran Temenggung Abdul Kadir adalah seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan sentiasa menjaga
kebajikan rakyat Saribas. Salam perkenalan disambut daripada Pengeran Temenggung Abdul Kadir daripada
Dato Godam dan dek kerana tutur bahasa dan perlakuan Dato Godam yang menarik dan sentiasa merendah diri
maka beliau dan Pangeran Temenggung Abdul Kadir menjadi sahabat yang akrab. Dari sinilah Dato Godam
mengetahui cerita Pangeran Temenggung Abdul Kadir yang sebenarnya kecewa dengan tindakan Sultan Brunei
iaitu Sultan Nasruddin yang meminang puteri kesayangannya Tandang Sari untuk dijadikan sebagai isteri ketiga
baginda. Kerana Pangeran Temenggung Abdul Kadir adalah rakyat Sultan Brunei tidak dapat tidak beliau
terpaksa menerima pinangan tersebut atau akan dilabel sebagai penderhaka kepada sultan. Dato Godam begitu
memahami keadaan Pangeran Temenggung Abdul Kadir kerana beliau merasakan mereka berdua adalah
senasib. Pelawaan Pangeran Temenggung Abdul Kadir untuk pergi berniaga di Negara Brunei telah disambutnya
dengan hati yang gembira kerana jauh perjalanan luas pandangan bagi Dato Godam.
Maka tibalah Dato Godam bersama dengan Pangeran Temenggung Abdul Kadir di Negara Brunei dan oleh
kerana Pangeran Temenggung Abdul Kadir adalah bangsawan kesultanan Brunei maka dia secara peribadi telah
diperkenalkan dengan Sultan Nasruddin, Sultan ke-15 Kerajaan Brunei dari tahun 1690 hingga 1710. Setelah
seketika maka Pangeran Temenggung Abdul Kadir pulang ke Saribas dan meninggalkan Dato Godam di Brunei.
Sekali lagi Dato Godam pandai membawa diri di negara orang. Sultan Nasruddin kagum dengan
kebijaksanaannya serta memilikik pengetahuan yang tinggi di dalam selok-belok pentadbiran. Tentu tidak menjadi
masalah kepada Dato Godam kerana sejak dari kecil ayahandanya Bendahara Harun telah mempersiapkan Dato

Godam untuk menjadi pembesar cuma nasib dan adat yang menidakkan perlantikannya. Kehadiran Dato Godam
di Brunei telah menerima reaksi positif daripada Sultan Nashruddin sendiri sehingga baginda menawarkan Dato
Godam untuk menetap di Brunei dan diperintahkan untuk mengahwini sesiapa sahaja pilihannya dan Sultan
Nashruddin sendiri akan menguruskannya. Dato Godam yang masih merasakan bahawa dia terhutang budi
dengan Pangeran Temenggung Abdul Kadir telah mengutarakan keinginannya untuk mengahwini isteri ketiga
Sultan Nashruddin iaitu Tandang Sari. Tanpa berlengah Sultan Nashruddin mengabulkan permintaannya maka
berkahwinlah Dato Godam dengan Tandang Sari, puteri kesayangan Pangeran Temenggung Abdul Kadir.
Sesuatu yang amat menggembirakan Pangeran Temenggung Abdul Kadir sendiri pada waktu itu termasuk rakyat
Kerajaan Saribas. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dengan 2 orang anak iaitu Manteri Uban dan Manteri
Puteh.
Perkhabaran Dato Godam menjadi orang penting di negara Brunei telah sampai ke pengetahuan ayahanda Dato
Godam di Pagaruyung iaitu Bendahara Harun. Ayahandanya bertindak menghantar perutusan kepada Dato
Godam untuk kembali ke Pagaruyung bersama-sama dengan keluarganya. Maka Dato Godam memohon
keizinan daripada Sultan Nashruddin untuk pulang ke Pagaruyung dan dengan berat hati Sultan Nashruddin
memberi keizinan dengan bersyarat iaitu agar Dato Godam meninggalkan anak keduanya Manteri Puteh untuk
tinggal bersama baginda di Brunei. Sultan Nashruddin juga berjanji akan menganugerahkan keistimewaan
kepada kesemua keturunan Dato Godam sebagai golongan bangsawan sepertimana keturunan Dato Godam di
Pagaruyung, Keturunan Dato Godam melalui Manteri Puteh telah diangkat sebagai keturunan Awang-awang
Damit. Gelaran bangsawan yang menjadi pembesar Kesultanan Brunei turun-temurun. Disinilah bermulanya
asal usul keturunan Awang dan Dayang di dalam masyarakat Melayu Brunei dan seterusnya mereka berhijrah
ke Sarawak dengan membawa gelaran nama mereka yang digunapakai sehingga ke hari ini.
Maka berangkatlah Dato Godam sekeluarga menuju ke Pagaruyung tetapi mereka sekeluarga singgah di Saribas
bagi melawati Pangeran Temenggung Abdul Kadir, ayahanda Tandang Sari pemerintah Kerajaan Saribas. Tidak
lama selepas pertemuan Pangeran Temenggung Abdul Kadir dengan anakanda kesayangannya, maka geringlah
beliau dan tidak lama kemudian Pangeran Temenggung Abdul Kadir menghembuskan nafasnya yang terakhir di
Tandang Sari, pusat pemerintahan Kerajaan Saribas. Sekarang dikenali sebagai Pusa. Kerana kemangkatan
Pangeran Temenggung Abdul Kadir, Dato Godam memutuskan untuk tidak pulang ke Pagaruyung sebaliknya
terus menetap di Tandang Sari. Dato Godam juga menghembuskan nafasnya yang terakhir di Tandang Sari dan
disemadikan tidak jauh daripada makam ayahanda mentuanya Pengeran Temenggung Abdul Kadir di Sungai
Telit, Pusa. Selang seketika Tandang Sari pula menyahut seruan Illahi dan disemadikan juga tidak jauh daripada
makam suaminya yang tercinta Dato Godam dan ayahandanya Pangeran Temenggung Abdul Kadir. Putera
sulung mereka iaitu Manteri Uban atau nama sebenarnya Abdul Rahman telah menggunakan imbuhan nama
Abang dan Dayang untuk generasinya memandangkan penganugerahan bangsawan Brunei masih lagi
berkuatkuasa keatas semua keturunannya. Dan kerana itulah hanya ada keturunan Abang dan Dayang di
Sarawak sehingga ke hari ini. Ianya daripada keturunan yang sama iaitu keturunan Dato Godam cuma satu
dibesarkan dikalangan bangsawan Brunei dan satu lagi dibesarkan dikalangan bangsawan Kerajaan Saribas.
Inilah pencerakahan yang telah dibuat oleh Borneo Oracle untuk menyelidiki sejarah asal-usul keturunan
Perabangan dan Pengawangan di dalam masyarakat Melayu Sarawak. Untuk itu, Borneo Oracle ingin
mengucapkan jutaan terima kasih kepada pembaca setia Borneo Oracle dari Negara Brunei, Kalimantan dan
Sumatera yang telah meluangkan masa menghantar salinan teks-teks dari negara masing-masing bagi
menjadikan pencerakahan ini lebih bijaksana dan logik. Hubungan ukhuwah dunia Melayu tidak akan terlerai
kerana kita sentiasa mengenggam semangat Nusantara biar terpisah beribu batu jauhnya.
Borneo Oracle Sarawaks History
Sources:
Origin of the Saribas Malays by Benedict Sandin of Sarawak Museum Journal (reprinted version), VOL. XVII,
1969
http://www.pusat-sejarah.gov.bn/b-datogodam-sinopsis.htm
http://baikoeni.multiply.com/journal/item/6

Anda mungkin juga menyukai