Anda di halaman 1dari 3

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamu `alaikum W.B.T dan Salam Satu Malaysia.

Terima kasih kepada Pengerusi Majlis.


Yang dihormati barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang
sentiasa peka, guru-guru, rakan-rakan, hadirin dan hadirat, muslimin dan
muslimat yang diRahmati Allah S.W.T. sekalian.

Pada hari ini, saya ingin menyampaikan sebuah kisah yang bertajuk Nabi Salih
Alaihissalam bersama kaumnya ’Thamud’

Begini kisahnya kawan-kawan...


Nabi Salih Alaihissalam dilahirkan antara negeri Hijjaz dan Sham. Beliau dari
keturunan yang baik dan seorang yang bijak.
Nabi Salih telah diutuskan oleh Allah kepada kaum Thamud.
Kaum Thamud ini seperti dalam firman Allah, surah Al-Hijr ayat 82
Yang bermaksud :’Dan adalah mereka memahat gunung untuk membuat rumah-
rumah mereka berkeadaan aman di dalamnya.
Mereka juga hidup dengan berkebun dan membuat berhala. Mereka hidup
dengan menyembah berhala. Ada yang kaya-raya dan ada yang hidup miskin
sebagai hamba.

Lazimnya, yang miskin hina itu hidupnya selalu ditindas. Kawan-kawan, kita
janganlah bersikap sedemikian. Kerana rezeki yang kita ada pada hari ini adalah
datang daripada Allah SWT. Janganlah kita menjadi orang yang tamak dan
kedekut.
Dalam semak ada duri,
Ayam kuning buat sarang;
Orang tamak selalu rugi,
Bagai anjing dengan bayang-bayang.

Warga dewan yang dikasihi sekalian,

Kaum Tsamud ini tidak mengenal Tuhan Yang Maha Esa. Tuhan Mereka adalah
berhala-berhala yang mereka sembah dan puja.

Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang tidak akan membiarkan
hamba-hamba-Nya berada dalam kegelapan terus-menerus tanpa diutuskan
nabi pesuruh untuk memberi penerangan dan memimpin mereka keluar dari
jalan yang sesat ke jalan yang benar.

Nabi Salih alaihisalam menyeru seperti dalam surah Hud ayat 37 :


”Wahai kaumku! Sembahlah Allah, sama sekali tiada tuhan bagimu selain Dia”
Nabi Salih meminta mereka bertakwa kepada Allah, menasihati mereka supaya
tidak menyembah patung berhala kerana ia perbuatan terkutuk dan
menyekutukan Allah.
Mereka berdegil dan membelakangkan Nabi Salih. Mereka terus dengan
perbuatan menyesatkan itu. Sedangkan kesenangan mereka nikmati dengan
limpahan harta, kebun dan tanah yang subur, semuanya datang daripada
kurniaan Allah. Disebabkan dikelilingi keselesaan dan kesenangan, mereka
menjadi alpa. Mereka lupa semua kurniaan Allah, lupa untuk bersyukur dan lupa
untuk beribadat kepada Tuhan yang satu. Jenuh Nabi Saleh menasihati mereka,
tetapi tidak dipedulikan.

Ingat itu rakan-rakan, kita hidup di dunia cuma sementara. Bersyukurlah dengan
nikmat yang diberikan oleh Allah. Kita jangan sekali-kali lalai dalam mengerjakan
solat 5 waktu. Solat itu adalah tiang agama. Dengan bersolat kita akan mendapat
keredhaan Allah SWT dan solat merupakan jalan turunnya rahmat daripada yang
Maha Pemurah, Allah SWT.

Kemudian kaum Thamud ini meminta Nabi Saleh mengemukakan satu mukjizat
bagi membuktikan kebenaran dakwah yang dibawa baginda.
Demi dakwah, Nabi Salih bermunajat kepada Allah. Dengan mukjizatnya, tiba-
tiba, keluarlah dari celah-celah batuan bukit seekor unta yang besar lagi cantik.
Kecantikkan sang unta itu menggambarkan kesempurnaan ciptaan Allah.

Siapa yang tidak terkejut dengan kejadian itu kawan-kawan.

Tetapi segelintir sahaja dikalangan mereka yang mempercayai Nabi Salih


alaihisalam. Yang lain tetap dengan kekufuran mereka.

Nabi Salih memberitahu mereka supaya menjaga unta itu dengan baik. Unta
betina Allah itu tidak pernah kering susunya sekalipun ramai yang memerah dan
meminumnya. Orang yang beriman amat menyayanginya.
Nabi Salih mengingatkan kaum Thamud agar jangan mengganggu unta betina
itu dan membiarkan ia mencari makanannya sendiri di atas bumi Allah.

Hadirin dewan yang saya hormati,


Unta Allah ini mempunyai giliran untuk mendapatkan air minum dan kaum
Thamud juga ternakan mereka mempunyai giliran untuk mendapatkan minum.
Nabi Salih mengingatkan mereka jika janji tidak di kotakan bahawa Allah akan
menurunkan azab-Nya.

Nasihat Nabi Saleh tidak dipatuhi. Mata hati mereka buta, tidak mengenal antara
nasihat, kebaikan dan ancaman bahaya. Mereka menyangka diri mereka lebih
hebat dari segalanya.
Justeru, mereka mengambil sikap lebih melampau, menyembelih unta betina itu
dengan cara yang sungguh angkuh terhadap perintah Allah.
Mereka kemudian mencabar Nabi Saleh: "Hai Saleh, datangkanlah apa yang
kamu ancamkan kepada kami, jika benar kamu termasuk orang-orang yang
diutuskan (Allah)." (Surah al-A’raf ayat 77)

Nabi Saleh memberikan amaran kepada mereka, dengan berkata:


"Bersukarialah kamu sekalian di rumah kamu selama tiga hari. Janji itu tidak
didustakan."

Janji Allah tidak pernah dimungkiri. Setiap yang dijanjikan-Nya dikotakan,


mengikut kehendak-Nya.

Kawan-kawan,
Diceritakan ahli tafsir, pada hari pertama, wajah mereka menjadi kuning, hari
kedua menjadi merah, manakala hari ketiga menjadi hitam.
Pada hari ketiga iaitu hari terakhir dengan terbit matahari, dari langit datang
teriakan kepada mereka manakala di bawah mereka bergoncang dengan kuat.
Kejadian itu membuatkan mereka ketakutan dan berteriak meminta tolong.
Tetapi ia sudah terlambat. Mereka ditimpakan azab yang mengerikan.
Akhirnya, berlaku gempa bumi. Pokok-pokok tercabut dan terbongkar... Bagunan
yang mereka bina semuanya runtuh dalam sekelip mata... Bumi bergoncangan
dengan dasyat sekali.
Setelah itu, alam kembali tenang. Angin bertiup nyaman dan bumi tidak
bergoncang lagi. Nabi Salih dan orang-orang yang beriman dengannya
terselamat daripada azab terbabit. Mereka dapati mayat mereka yang ingkar
bergelimpangan di sana sini.

Subhanallah! Allah telah memberi kemenangan kepada orang yang beriman dan
membinasakan orang-orang yang ingkar dengan perintah-Nya.

Ingatlah hadirin sekalian, tsunami, taufan, gempa bumi dan segala bencana alam
yang berlaku pada hari ini adalah bukti kekuasaan Allah. Janganlah kita lalai
dengan tanggungjawab kita dimuka bumi ini sebagai khalifah Allah. Kita
hendaklah yakin akan azab Allah dan sentiasa bersyukur dengan nikmat yang
kita kecapi.

Sampai di sini sahajalah dapat saya sampaikan kisah Nabi Salih dan kaumnya.
Moga akan mendapat iktibar dan pengajaran daripada kisah yang saya
sampaikan ini.

Sekian sahaja, terima kasih. WabilLahit taufiq wal hidayah. Wassalamu `alaikum
W.B.T. Ilal liqo’ wa ma’as salamah.