Anda di halaman 1dari 8

Talaq dapat didefinisikan dari sudut bahasa meleraikan ikatan dan

melepaskan. Manakala dari sudut istilah syarak pula bermaksud


meleraikan ikatan perkahwinan atau aqad dengan lafaz talaq dan
sebagainya. Dalil pensyariatan talaq dapat dilihat melalui surah AlBaqarah ayat 229 yang bermaksud talaq yang boleh dirujuk itu hanya
dua kali. Sesudah itu bolehlah ia rujuk dengan memegang terus isterinya
itu dengan cara yang sepatutnya dan melepaskannya dengan cara yang
baik. Surah Al-Talaq ayat 1 juga ada menyebut wahai Nabi! Apabila
kamu(engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteri- isterimu, maka
ceraikan mereka pada masa mereka dapat memulakan iddahnya
Terdapat lima rukun dan syarat talaq iaitu suami, isteri, qasad, lafaz/sighah
dan juga wilayah. Kesemua rukun dan syarat ini haruslah dipenuhi untuk
sesuatu talaq itu jatuh secara sah.

Isu pertama yang dapat dilihat dalam kes ini ialah sama ada
lafaz talak melalui SMS mempunyai kesan yang sama seperti lafaz
melalui tulisan.
Fuqaha berpendapat mengatakan bahawa talaq berlaku sama ada
lafaz sarih dan kinayah dalam bahasa arab atau bahasa lain dan secara
tulisan atau isyarat. Menurut syafie, Hanbali dan Zahiri, lafaz sarih adalah
dengan menggunakan perkataan talaq( cerai) atau firaq (perpisahan) atau
sarah( cerai) dan fuqaha bersepakat mengatakan lafaz itlak )lepaskan
adalah kinayah. Lafaz sarih tidak memerlukan kepada niat manakala lafaz
kinayah memerlukan niat untuk menentukannya sah. Lafaz melalui tulisan
dikira sebagai lafaz kinayah.
Lafaz melalui tulisan disepakati fuqaha haruslah tulisan yang terang,
zahir dan kekal. Ini bermaksud tulisan yang tidak kekal tidak berlaku talaq
walaupun dengan niat. Menurut Hanafi, tulisan yang terang ada dua iaitu
tulisan yang ditujukan kepada isteri secara khusus, jatuh talaq walaupun
tanpa niat. Tulisan yang tidak ditujukan kepada isterinya secara khusus,
tidak jatuh talaq kecuali dengan niat. Menurut fuqaha shafie, Maliki dan
Hanbali, tulisan yang terang haruslah disertakan dengan niat. Ini
bermaksud, tulisan dikira lafaz kinayah talak tidak jatuh tanpa niat.
Ringkasnya, perceraian boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu
secara terang (sarih) dan secara berlapik (kinayah). Perceraian secara

terang ini menghendaki suami mentalakkan isterinya dengan lafaz yang


jelas difaham bahawa suami telah
mentalakkan isterinya. Manakala lafaz kinayah ialah apa-apa sama ada
berbentuk lafaz, perbuatan, dokumen dan sebagainya termasuklah
kemudahan teknologi maklumat seperti E-mel atau sistem pesanan
ringkas (SMS) yang mungkin membawa maksud talak atau sebaliknya.
Dalam kes Haji Hanafiah v Rokiah, si suami telah menulis surat
terus kepada pendaftar bahawa dia menceraikan isterinya. Kemudian si
suami telah menarik balik surat tersebut kerana tiada niat. Mahkamah
memutuskan talak tidak jatuh kerana tidak mempunyai niat.
Kes seterusnya yang dapat dirujuk adalah kes Zaiton binti Hamim
v Abdul Razak talak jatuh kerana si suami tulis surat dengan jelas
bersama sama dengan niat untuk menceraikan isterinya.
Dalam kes semasa, lafaz talak yang dibuat oleh Datuk Sheikh
Khairdin adalah dengan melalui SMS kepada isterinya Datin Umie Aida.
Justeru, mengambil kira kepada kes- kes terdahulu dan juga fakta yang
diberi, dapatlah disimpulkan disini bahawa cerai melalui SMS adalah sama
hukumnya dengan cerai melalui kitabah atau tulisan.
Isu yang kedua adalah sama ada talaq melalui SMS itu soreh
atau kinayah.
Jika talak melalui sms itu adalah sama sebagaimana talak melalui
tulisan, maka kriteria lain pula yang perlu diambil kira ialah sama ada
talak melalui tulisan itu sesuatu talak yang soreh atau kinayah. Penentuan
perkara ini hendaklah dipastikan terlebih dahulu sebelum sesuatu talak itu
disabitkan oleh mahkamah. Jumhur ulamak berpendapat, bahawa talak
melalui tulisan hanya berlaku sekiranya disertai dengan niat. Ini adalah
kerana tulisan adalah sama kedudukannya dengan kata-kata seseorang
yang boleh difahami maksudnya.
Seperti yang telah di nyatakan diatas, terdapat beberapa pendapat
fuqaha mengenai lafaz melalui tulisan. Bagi Hanafi, jika tulisan itu
berbentuk soreh, maka tidak memerlukan niat bagi menentukan ianya
sah. Berbeza bagi mazhab syafie dan Maliki, sungguhpun tulisan itu jelas
dan terang, tetapi ianya masih lagi dikategorikan sebagai lafaz kinayah
yang memerlukan niat untuk menjatuhkannya sah.
Di Malaysia, pegangan yang diambil adalah bersandarkan kepada
pandangan mazhab al-Syafie. Sehubungan dengan itu, dalam konteks

perceraian SMS ini, Majlis Fatwa Kebangsaan melalui satu Muzakarah


Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Kali
Ke 55 yang bersidang pada 27 Julai 2003 telah membuat penelitian
mendalam dan memberi pandangan mengenai hukum perceraian melalui
Sistem Pesanan Ringkas (SMS) telah memutuskan bahawa talak dalam
bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya
secara khusus seperti melalui faksimili, SMS, e-mail dan sebagainya
merupakan talak berbentuk kinayah dan adalah sah sekiranya disertai
dengan niat.
Merujuk kepada kes Nor Aniza bt Idris v Mohamad Fauzi bin
Ahmad, diputuskan dalam kes tersebut sekiranya tulisan dalam bentuk
SMS jelas untuk talaq isteri, maka lihat pada niat. Sekiranya ada niat, talaq
jatuh. Kalau tiada niat maka talaq tidak jatuh.
Merujuk kepada kes kedua iaitu kes Halijah bt Baharom v
Zambree, semakan telah dibenarkan bagi kes ini dimana Yang Amat Arif
Hakim telah terkhilaf dengan menjatuhkan berlaku talaq dengan tidak
mengambil kira niat si pelafaz wujud ataupun tidak semasa menghantar
SMS itu kepada isterinya.
Dalam kes semasa ini, Datuk Khairdin telah melafazkan talak dalam
bentuk sistem khidmat pesanan ringkas atau pun SMS secara bertulis
dengan lafaz"Jika awak pergi berjumpa dengan Dr Akim Mamat,
perhubungan awak dengan saya tiada apa-apa ikatan lagi". Lafaz tersebut
memerlukan niat pembuat lafaz. Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa
talak yang dibuat Datuk Khairdin kepada isterinya secara tulisan SMS
dihukumkan sebagai satu talak yang berbentuk kinayah dan memerlukan
kepada niat.
Perceraian jenis ini adalah kurang jelas dalam dua rukun iaitu sighah
yang digunakan beserta niat atau qasad oleh suami semasa perbuatan
berkenaan dilakukan.Untuk memastikan cerai yang di lafaz Datuk Khairdin
melalui SMS itu sah jatuh talaq atau pun tidak, niat dan qasadnya harus
disoal periksa. Jika Datuk Khairdin mengesahkan niatnya adalah untuk
menceraikan, maka talaq akan jatuh dan perkahwinan mereka akan
terbatal
Isu yang seterusnya adalah sama ada lafaz cerai yang dibuat
adalah memenuhi syarat talaq taliq.
Menurut seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam
Selangor 2003(EUUKIS), taliq ditakrifkan sebagai lafaz perjanjian yang

dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syarak dan
peruntukan Enakmen ini.
Cerai taliq juga adalah cerai bersyarat. Ianya dijatuhkan di atas
sesuatu perkara tertentu pada masa akan datang dengan menggunakan
pensyaratan taliq. Sebagai contoh jika kamu keluar dari rumah tanpa
izin, kamu tertalaq. Hukum talaq secara taliq adalah jatuh talaq yang
tergantung bila wujud tempat pergantungannya. Dalam surah Al- Baqarah
ayat 229 ada menyebut talaq dibenarkan secara mutlak dan ayat ini tidak
mengikat talaq untuk jatuh dengan suatu apapun dan didalam hadith ada
menyatakan orang muslimin adalah di sisi syarat-syarat mereka.
Syarat cerai talik ialah apabila syarat yang digantungkan talaq
mungkin telah berlaku dan mungkin belum berlaku dan sekiranya yang
ditaliqkan adalah perkara mustahil, fuqaha Hanafi berpendapat taliq
adalah tidak sah dan ini dipersetujui oleh mazhab-mazhab lain. Selain itu,
berlaku pergantungan talaq ke atasnya dan isteri yang sah atau dalam
iddah talaq raji.
Dalam konteks tulisan suami yang bertaklik melalui tulisannya
seperti menyatakan Apabila sampai sahaja tulisan ini kepada kamu, maka
jatuh talak; Hanafi menyatakan jatuh talak apabila tulisan tersebut
sampai ke tangan isteri sama ada isteri membacanya atau tidak. Malah
sekiranya isteri tidak memahaminya, talak tetap jatuh. Ini kerana tulisan
yang soreh membawa maksud talak dan ditujukan khusus kepada isteri
yang dimaksudkan itu, sama statusnya dengan lafaz soreh. Hukumnya
jatuh talaq walaupun tanpa niat.
Namun di Malaysia, pegangan yang diambil adalah berdasarkan
Mazhab Syafie. Justeru itu lafaz secara taliq haruslah dilihat menepati
syarat-syarat yang ditetapkan dan juga niat si pelafaz.
Merujuk kepada kes Noraini binti Abd Rahman v Md Taib bin
Hanafi, dalam kes ini defendan melafazkan taliq talaq dalam telefon
mengatakan jangan telefon khadijah lagi, dan memburuk burukkannya,
jika awak telefon, perhubungan awak dengan saya tiada apa-apa ikatan
lagi. Plaintif mengaku menelefon walaupun tiada jawapan. Mahkamah
memutuskan penceraian berlaku dengan lafaz taliq talaq.
Dalam kes semasa, SMS yang dihantar Datuk Khairdin kepada
isterinya bukan sahaja berbentuk tulisan tetapi juga berbentuk lafaz taliq
apabila Datuk Khairdin menyebut dalam SMS sebagai berkata "Jika awak
pergi berjumpa dengan Dr Akim Mamat, perhubungan awak dengan saya

tiada apa-apa ikatan lagi". Menurut fakta yang diberi, Datin Umie Aida ada
bertemu dengan Dr. Akim selepas membaca SMS yang dihantar oleh
suaminya.
Disini dapat dilihat perkara yang digantungkan talaq atasnya iaitu
berjumpa Dr. Akim telah berlaku.Jika dilihat, syarat cerai taliq telah
dipenuhi memandangkan, perkara yang digantungkan telah berlaku dan
Datin Umie Aida merupakan isterinya yang sah ketika taliq itu berlaku.
Namun begitu, talak tidak juga akan jatuh memandangkan niat Dato
Khairdin masih lagi tidak jelas dan memerlukan pengesahan daripada
beliau dan seterusnya dari pihak mahkamah.
Isu yang seterusnya berkenaan dengan status perkahwinan
Datin Umie Aida dan Datuk Khairdin menurut hukum syarak
selepas SMS cerai itu dihantar.
Lafaz talak seperti ini adalah lafaz cerai yang dibuat di luar dan
tanpa kebenaran mahkamah. Pengesahan perlu dilakukan di Mahkamah
untuk menentukan talaq itu jatuh ataupun tidak. Jika suami sudah terlafaz
cerai di rumah, di pejabat, di dalam kereta, atau di mana saja, asalkan
tanpa kebenaran mahkamah, maka apa yang perlu dilakukan selepas itu
ialah merujukkan hal tersebut di mahkamah syariah di mana pasangan
tinggal atau bermastautin. Buat satu permohonan untuk memohon
pengesahan samada lafaz cerai tersebut sah atau tidak.
Kedua pasangan mesti hadir ke mahkamah untuk memberi
keterangan mengenai lafaz tersebut. Mahkamah akan meneliti bentuk
lafaz samada lafaz tersebut berbentuk soreh atau kinayah atau taliq. Jika
sah, maka mahkamah akan mengesahkan bahawa talaq telah gugur,
bilangan talaq yang gugur, tempoh isteri bereddah dan lain-lain hal yang
bersangkutan dengan perceraian.
Dalam menentukan sesuatu perceraian luar mahkamah itu adalah
sah atau tidak, terdapat dua kaedah yang diterima pakai di Mahkamah
Syariah. Kaedah pertama ialah hanya berdasarkan kepada ikrar suami
sahaja seperti yang diputuskan oleh YA Hakim di dalam kes Azida Fazlina
Abdul Latif lwn. Shamsudin Latif . Dalam kes ini, Yang Arif Hakim
Mahkamah
Rendah Syariah Selangor telah mensabitkan talak berdasarkan kepada
ikrar suami semata-mata.
Manakala kaedah kedua berdasarkan ikrar suami dan penyaksian
dua orang saksi seperti di dalam kes Zainab bt Mahmood lwn. Abd

Latif bin Jusoh. Dalam kes ini, Jawatankuasa Rayuan Negeri Selangor
memutuskan bahawa ikrar suami sahaja adalah tidak mencukupi untuk
mengesahkan lafaz cerai yang dibuat di luar mahkamah, sebaliknya
Jawatankuasa ini menekankan keperluan kepada dua orang saksi sebelum
lafaz cerai itu disahkan walaupun suami itu telah membuat ikrar.

Merujuk kepada kes Abdul Rahman bin Ishak lwn Sharliza bt


Zainal Abidin, defendan dalam kes itu berkata kepada plaintif, jika
abang berjudi lagi, maka kita bercerai. Defendan kemudiannya berjudi
lagi dan mahkamah memutuskan talaq jatuh dan anak yang lahir selepas
tarikh jatuhnya talaq itu adalah anak dari wati syubhah.
Dalam kes semasa, SMS yang dihantar oleh Datuk Khairdin kepada
Datin Umie Aida memerlukan pengesahan niat daripada Datuk Khairdin.
Datin Umie Aida sepatutnya tidak mendiamkan diri apabila hal ini berlaku.
Beliau sepatutnya memberitahu hal yang sebenar kepada Datuk Khairdin
dan membawa perkara ini ke Mahkamah Syariah untuk menentukan status
perkahwinan mereka. Mahkamah akan menilai dan menentukan
menggunakan kaedah ikrar suami dalam penentuan niat ataupun
memerlukan kaedah ikrar suami dan juga saksi-saksi.
Jika terdapat niat menceraikan di saat sms itu dihantar, maka
perkahwinannya adalah terbatal dan perbuatan mereka yang masih
tinggal serumah dan menjalani hubungan suami isteri dikhuatiri berada
dalam keadaan syubhah dan berdosa.
Isu yang berikutnya adalah samaada beliau dan suaminya
telah melakukan satu kesalahan di bawah undang-undang
syariah.
Menurut undang-undang keluarga Islam yang berkuat kuasa di
setiap negeri, perceraian tidak boleh sewenang-wenangnya dilafazkan di
luar
mahkamah.
Maknanya,
bagaimanapun
teruknya
keadaan
rumahtangga itu, pasangan berkenaan mestilah meminta kebenaran dari
mahkamah syariah untuk melafazkan cerai.
Melafazkan cerai samada talaq 1 atau 2 atau 3 di luar mahkamah
tanpa kebenaran adalah satu kesalahan jenayah syariah. Tidak kiralah
samada lafaz cerai itu disebabkan oleh permintaan atau desakan dari
isteri atau atas kehendak suami.

Seksyen 125 EUUKIS 2003 memperuntukkan jika disabitkan


bersalah, pasangan yang menceraikan isteri tanpa kebenaran mahkamah
boleh dihukum denda tidak lebih dari RM1,000 atau penjara tidak lebih 6
bulan atau kedua-duanya sekali.

Dalam kes semasa, setelah pengesahan dilakukan, jika mereka telah


sah bercerai, mereka akan dikenakan penalti di bawah seksyen 125 EUKIS
2003 yang mmperuntukkan mereka untuk membayar denda dan dihukum
penjara kerana telah melakukan suatu jenayah syariah.
Seksyen 132 EUUKIS 2003 pula memperuntukan penalti bagi
sesiapa yang melakukan persetubuhan luar nikah antara orang yang
bercerai. Dalam seksyen itu menyebut, seseorang lelaki yang setelah
menceraikan isterinya, bersekedudukan semula dengannya tanpa terlebih
dahulu rujuk yang sah adalah melakukan kesalahan dan hendaklah di
hukum denda tidak lebih 500 ringgit atau penjara tidak lebih tiga bulan
atau kedua duanya sekali. Dan jika seseorang perempuan bersubahat
melakukan suatu kesalahan seperti yang dinyatakan di atas, maka
hendaklah dihukum dengan denda tidak melebihi 1000 ringgit atau
penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Dalam kes semasa, Datin Umie Aida orang yang mengetahui situasi
yang berlaku apabila beliau telah pergi berjumpa Dr. Akim walaupun SMS
cerai secara taliq itu menyatakan jika Datin Umie Aida pergi berjumpa
dengan doktor itu maka hubungan beliau dan Dato Khairdin tidak lagi
mempunyai apa-apa hubungan. Tetapi, suaminya, Dato Khairdin tidak
mengetahui Datin Umie Aida telah pergi berjumpa dengan Dr Akim
tersebut dan mereka menjalani kehidupan sebagai suami isteri selepas
SMS itu dihantar. Jika Dato Khairdin mengakui niatnya untuk menceraikan
semasa SMS itu dihantar, mereka akan disabit bercerai pada penilaian
mahkamah dan jika disabitkan talaq itu jatuh semasa sms itu
dihantar,berdasarkan peruntukan undang-undang di atas, kedua-dua
mereka akan di kenakan penalti di bawah seksyen ini.
Secara kesimpulannya, Datin Umie Aida dan suaminya boleh
disabitkan melakukan satu kesalahan di bawah undang-undang syariah
dibawah seksyen 125 dan 132 EUKIS 2003 jika niat Dato ada, jatuh talak
dan disabitkan bercerai oleh mahkamah syariah.
Kesimpulan keseluruhannya, lafaz SMS mempunyai kesan yang
sama seperti lafaz tulisan. Lafaz tulisan berbentuk SMS ini pula adalah
lafaz kinayah bersama taliq. Justeru itu, Datin Umie Aida perlu

memberitahu suaminya tentang situasi sebenar supaya suaminya dapat


menjelaskan niat beliau ketika beliau menghantar SMS secara lafaz
kinayah dan taliq itu. Mereka juga harus membawa kes ini ke Mahkamah
Syariah untuk dinilai hakim untuk mengetahui status perkahwinan mereka
dengan lebih jelas. Jika niat Dato Khairdin adalah niat untuk menceraikan,
maka talaq akan jatuh dan perkahwinan mereka akan terbatal tetapi jika
tiada niat , maka tidak jatuh. Mereka juga tidak akan dikenakan penalti jika
tiada penceraian yang berlaku.

Anda mungkin juga menyukai