Anda di halaman 1dari 7

Mari Mengenali Khat

1- Khat Nasakh

Khat Nasakh dikatakan sebagai seni yang berasal dan berkembang dari tulisan Arab asli. Ia
bermula dari asal Khat Arami, Nabati, kemudian dikenali sebagai Khat Hijazi sebelum
kebangkitan dakwah Nabi Muhammad S.A.W. (Ibrahim Damrah, 1987) Tulisan ini melalui
proses pengindahannya secara berperingkat-peringkat. Pada kurun ketiga dan keempat
Hijrah, seorang menteri dari kerajaan Abbasiah - Ali bin Muqlah (272-328H) bersama
saudaranya Abdullah, telah memperhaluskan tulisan ini dan mencipta satu kaedah yang
dikenali kini sebagai Kaedah Penulisan Khat Nasakh. Ibnu Muqlah sendiri pada asalnya
menamakan khatnya ini sebagai al-Badi' tetapi dikenali oleh ramai sebagai Nasakh, mungkin
lantaran peranan yang dimainkan oleh khat ini. Ia menjadi terkenal terutamanya pada kurun
kelima.(Maarof Zuraiq, 1985). Khat ini terus diminati dan mula dipelajari secara meluas.
Semasa pemerintahan Atabikah (545 H) khat ini seterusnya melalui satu proses yang
dikatakan sebagai proses pengindahan menyeluruh. Lantaran sumbangan Atabik tersebut, ada
yang menggelar khat ini sebagai 'Khat Nasakh Atabik'.
Atabikah telah memainkan peranan yang penting dalam memartabatkan Khat Nasakh Di
zaman ini selain melengkapkan keindahannya, mereka dikatakan sebagai yang
bertanggungjawab menggantikan Khat Kufi kepada Khat Nasakh dalam penulisan al-Qur'an.
Lebih dari itu, ia bukan sahaja digunakan dalam penulisan al-Qur'an, bahkan telah tersebar di
timur dan barat dunia Islam, digunakan untuk pelbagai peranan dan di atas pelabagi media,
menjadikan Khat Kufi mula dilupai atau kurang diminati.

2 - Khat Parsi

Masyarakat Iran terutamanya dari golongan Samaniyah, sejak dahulu lagi amat berminat
dengan kesenian yang merupakan warisan turun-temurun datuk nenek mereka. Mereka
menulis menggunakan sejenis khat yang dinamakan khat Bahlawi sebelum kedatangan Islam
ke Parsi. Nama khat ini diambil daripada perkataan Bahla sebuah tempat antara Asfahan dan
Azerbaijan.
Setelah kedatangan Islam dari Semenanjung Arab ke Parsi dan pemerintahan Islam telah
kukuh, masyarakat Iran pada masa itu telah menukar tulisan Bahlawi kepada tulisan Arab dan
dinamakan dengan khat Taliq. Hakikatnya, orang Iran telah mengambil khat al-Qirmuz, iaitu
khat yang digunakan untuk penulisan al-Quran pada masa itu dan kemudian menamakannya
khat Taliq. Ada pendapat yang mengatakan bahawa kaedah tulisannya yang asal diambil
daripada khat al-Tahrir, khat Riqah dan khat Thuluth.
Keindahan khat Farsi terletak pada bentuk lengkungan hurufnya yang menarik, kurangnya
penggunaan garis menegak dan bentuk hurufnya yang condong ke kanan serta memanjang.
Sesetengah hurufnya begitu mantap dan boleh disusun dengan begitu menarik serta
mempesonakan. Khat Farsi ini setelah ditulis sepenuhnya dapat menyerlahkan kelembutan
kaedah penulisannya dan dapat menunjukkan bagaimana telitinya seseorang penulis khat
dalam menghasilkan sesebuah karya.
Khat Farsi terbahagi kepada 5 jenis iaitu khat Nastaliq, khat Syekestah, khat Farsi
Mutanazir, khat Farsi Mukhtazil, dan khat Farsi Mirat. Antara penulis khat yang terkenal
dalam penguasaan khat Farsi ialah Imaduddin al- Syirazi, Muhammad Asad al-Yasari, dan
penulis buku kaedah khat Qawaidul Khat Arabi, Hasyim Mohammad al-Baghdadi.

3 - Khat Thuluth

Thuluth bermaksud satu pertiga (1/3). Dinamakan Khat Thuluth adalah kerana Huruf
menegaknya ditulis dengan mata pena yang ukuran lebar menyamai satu pertiga (1/3) lebar
mata pen. Ia juga dikenali sebagai Khat Arab disebabkan peranannya sebagai sumber asasi
pelbagai khat Arab yang lahir selepas Khat Kufi. Khat ini dikenali sebagai Ummul Khutut
(Ibu tulisan) dan jarang digunakan dalam penyalinan al-Quran lengkap kerana mempunyai
banyak kaedah, menentukan ukurannya dengan bilangan titik yang sesuai pada setiap huruf,
agak rumit serta memerlukan kemahiran yang tinggi untuk menulisnya. Biasanya khat ini
ditulis dengan pena yang lebar matanya diantara 2 hingga 3 mm.
Jika ia lebih lebar daripada itu maka orang-orang Turki memanggilnya tuqechah thuluth
yakni thuluth yang dibesarkan. Kemudian ia dikenali dengan nama thuluth jali (sumbersumber arab silam mensifatkan dengan panggilan jalil al-thuluth). Apabila mata pena lebih
besar daripada saiz yang tetap pada pena yang biasa maka dibuat untuknya pena daripada
kayu. Saiz-saiz tulisan jali berada pada kadar yang tangan manusia mampu memegang
penanya (Qadi al-Askar Mustafa Izat Afandi dalam menulis loh-loh di masjid Aya Sufia
menggunakan mata pena yang luasnya mencapai 35sm). Jika keadaan memerlukan tulisantulisan itu melebihi saiz tersebut atau bersaiz besar, maka ia ditulis mengikut saiz thuluth jali
yang biasa kemudian dilakukan pembesaran (enlargement) mengikut kaedah empat segi atau
menggunakan pelbagai peralatan teknologi yang terdapat pada hari ini seperti photocopy,
komputer dan sebagainya.

4- Khat Riq'ah

Khat Riqah merupakan sejenis khat yang direka cipta oleh orang Turki pada zaman
pemerintahan Kerajaan Uthmaniyah (850 Hijrah). Tujuan utama mereka mencipta khat ini
ialah untuk menyeragamkan bentuk tulisan dalam semua urusan rasmi di kalangan
kakitangan kerajaan.
Riqah mengikut Kamus Bahasa ialah cebisan kertas yang ditulis. Ciri khusus khat ini ialah
bentuk huruf yang kecil, lebih cepat dan mudah ditulis, jika dibandingkan dengan khat
Nasakh. Penggunaan khat Riqah dalam masyarakat kita lebih tertumpu kepada tulisan dan
nota sahaja, berbanding khat Nasakh yang begitu meluas digunakan, khususnya dalam
penerbitan buku, majalah dan akhbar.
Justeru, beberapa langkah telah diambil untuk menjadikan khat Riqah dipelajari oleh muridmurid di sekolah dan dapat digunakan dalam urusan harian, seperti urusan surat-menyurat,
urusan perniagaan, iklan dan promosi barangan serta dijadikan tajuk-tajuk besar di dalam
akhbar.

5- Khat Diwani

Khat Diwani merupakan salah satu jenis khat yang dicipta oleh penulis khat pada zaman
pemerintahan Kerajaan Uthmaniyah. Ibrahim Munif adalah orang yang mencipta kaedah dan
menentukan ukuran tulisan khat Diwani. Khat Diwani dikenali secara rasmi selepas negeri
Qostantinopal ditawan oleh Sultan Uthmaniyah, Muhammad al-Fatih pada tahun 857 Hijrah.
Khat Diwani digunakan sebagai tulisan rasmi di jabatan-jabatan kerajaan. Seterusnya, tulisan
ini mula berkembang ke segenap lapisan masyarakat. Kebiasannya tulisan khat Diwani ini
digunakan untuk menulis semua pekeliling pentadbiran, keputusan kerajaan serta surat
menyurat rasmi dan pada masa sekarang ianya digunakan untuk menulis watikah, sijil dan
untuk hiasan.
Khat Diwani terbahagi kepada 2 jenis iaitu Diwani biasa dan Diwani Mutarabit (bercantum).
Akan tetapi, khat Diwani biasa yang banyak digunakan dan diamalkan oleh penulis-penulis
khat terkenal berbanding khat Diwani Mutarabit. Asas bentuk bagi kedua-dua jenis khat
Diwani ini adalah berbentuk bulat dan melengkung. Ianya ditulis dengan cara yang lembut
dan mudah dibentuk mengikut kehendak penulis. Keistimewaan khat Diwani dapat dilihat
pada kesenian bentuk hurufnya yang melengkung dan memerlukan kemahiran penulis khat
itu menulisnya dengan lembut dan menepati kaedah. Hashim Muhammad al-Baghdadi dan
Syed Ibrahim merupakan antara penulis khat yang terkenal dengan khat Diwani.

6- Khat Diwani Jali

Khat ini dicipta oleh khattat Shahla Basya pada zaman pemerintahan Kerajaan 'Utmaniyyah.
Khat ini dianggap sebagai kesinambungan daripada khat Diwani biasa. Khat ini dinamakan
Jali yang bererti jelas kerana terdapat kelainan yang jelas dari segi bentuk tulisannya. Tujuan
penggunaannya ialah untuk tulisan rasmi diraja dan surat-menyurat kepada kerajaan asing.
Bentuk hurufnya memenuhi ruang kosong sehingga membentuk satu ciptaan berupa geometri
yang tersusun indah. Daripada jenis khat ini terciptalah bermacam-macam rupa bentuk hasil
karya penulis-penulis khat yang mahir.
Khat Diwani Jali ini terbahagi kepada 3 jenis iaitu khat Diwani Jali Mahbuk, Diwani Jali
Hamayuni, dan Diwani Jali Zauraq (bentuk Perahu). Khat Diwani Jali Mahbuk ditulis dengan
menyusun huruf dan ragam hias dengan teratur dan dapat melahirkan bentuk tulisan yang
indah, sepertimana pada contoh utnuk terbitan kali ini. Khat Diwani Jali Hamayuni pula
biasanya ditulis oleh penulis-penulis khat Turki yang ditugaskan untuk menulis titah Sultan.
Khat Diwani Jali Zauraq adalah jenis khat yang dipengaruhi oleh seni lukis. Kebanyakan
penulis khat menghasilkan khat ini dengan menulis ayat-ayat sehingga membentuk seakan
perahu atau kapal laut. Khat Diwani Jali Zauraq ini dikatakan agak mencabar dan sukar untuk
menulisnya, ianya memerlukan kesabaran dan kreativiti yang tinggi dalam menghasilkan
sesebuah karya.
Kesimpulannya, khat Diwani Jali ini dapat dilihat pada seninya bentuk tulisan, penyusunan
huruf yang indah dan keserasian kalimah-kalimah yang diadun dengan begitu sempurna.

7- Khat Kufi

Khat Kufi merupakan sejenis khat yang popular selain khat Nasakh. Nama Kufi diambil
bersempena dengan nama sebuah bandar iaitu al-Kufah yang terletak di Mesopotamia. Secara
umumnya, ciri-ciri yang ada pada bentuk huruf khat Kufi adalah bersegi, tegak, dan bergaris
lurus. Bentuknya yang berunsur geometri iaitu lurus dan tegak amat sesuai diukir di mozekmozek, jubin dan batu pada bangunan-bangunan seperti masjid dan seumpamanya.
Khat Kufi merupakan asas kepada khat Arab. Ia telah mengalami perubahan daripada bentuk
asalnya yang lurus dan tegak kepada bentuk-bentuk yang berbunga dan berdaun
bersumberkan daripada bentuk tumbuhan-tumbuhan yang menjalar. Dengan dihiasi pelbagai
variasi khat, telah terbentuk sejenis khat yang tidak lagi ditulis dengan menggunakan pen
khat, tetapi dilukis dengan pensil, menggunakan kertas graf, pembaris dan juga alat jangka
lukis.
Khat Kufi dijadikan sebagai tulisan al-Qur'an di peringkat awal. Khat Kufi mempunyai
identitinya tersendiri kerana hanya ditulis oleh sesetengah khattat yang berjiwa seni. Hurufhuruf tunggal Kufi daripada alif hingga ya mempunyai ukuran, nisbah, kadar, dan bentuk
yang pelbagai. Ketinggian dan panjang huruf ditulis oleh khattat mengikut kedudukan yang
sesuai dalam teks.

Anda mungkin juga menyukai