Anda di halaman 1dari 3

ILMU PELITA HIDUP

Bismillahirrahmannirrahim,
Terima kasih peneraju acara, panel juri teguh saksama dan seluruh warga dewan
berkarisma. Assalamualaikum dan salam ceria buat semua.

Hayatilah, sebuah pidato cetusan minda kurniaan Allah.. ILMU PELITA HIDUP.

Hadirin sekalian,
ILMU sebagai PELITA HIDUP bolehlah ditakrifkan sebagai prakarsa
membudayakan pemahaman teori dan praktikaliti dalam segenap aspek kehidupan
kerana diyakini ilmu mampu menghijrahkan manusia dari gelita kejahilan kepada
cahaya kebenaran.

Maka, marilah sama-sama kita menilai potensi ilmu dalam menerangi kehidupan
manusia.

Hadirin sekalian,
Hayatilah pragmatik pertama, pembudayaan ilmu meningkatkan darjat
manusia.

Kita sedar bahawa ilmu manusia cuma setitis berbanding ilmu Tuhan yang selautan.
Namun bezanya darjat manusia, apabila berilmu pasti dipandang mulia.

Menyedari hakikat ini, maka Falsafah Pendidikan Kebangsaan memacu


pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang
memfokuskan kepada usaha membangunkan modal insan berilmu menerusi proses
pendidikan berkualiti.

Natijahnya, menurut laporan agensi Program Pembangunan PBB (UNDP)


2011, kadar literasi rakyat kita mencecah 92.7%, kadar pengangguran
menurun 3.1% dan indeks kebolehpasaran graduan pula
mencatatkan 88.4%.Angka-angka kejayaan ini membuktikan bahawa dengan
menguasai ilmu berguna, untung nasib rakyat dapat dibela sekaligus taraf hidup
mereka mampu dijana.

Hadirin sekalian,
Pragmatik kedua, penerokaan ilmu mampu menjana minda bangsa.

Dek kerana budaya ilmulah, rakyat Jepun tidak pernah malu menggunakan kaedah
Kanji dan Katagana, maka kita juga mampu melakar kejayaan negara dengan
mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa wasilah ilmu.

Bahkan, kerajaan turut berkobar-kobar memperkasakan gerakan budaya


membaca. Hasilnya, peningkatan purata 6 buah buku setahun dalam Kajian Profil
Membaca Rakyat Malaysia 2008-2011 membuktikan bahawa kita yakin bangsa
Malaysia akan berjaya sekiranya ilmu dikongsi bersama, bertitik-tolak dari budaya
membaca. Benarlah bahawa, nadi ilmu amalan membaca yang membuka minda
bangsa.

Hadirin sekalian,
Pragmatik ketiga, pembudayaan ilmu memantapkan kemandirian bangsa.

Hikayat Melayu pernah menukilkan kepintaran Tun Perak menangkis serangan Siam
ke atas Melaka dan kecerdikan Hang Nadim menyelamatkan Singapura dari
serangan todak. Bukti jelas bahawa kemandirian sesebuah bangsa banyak
bergantung kepada kebijaksanaan golongan ilmuannya.

Lantaran itulah, sistem pendidikan kita kini ditransformasikan. Namakan sahaja,


dari pelancaran program i-Think dan Permata Pintar; pemerkasaan pendidikan
teknikal dan vokasional; sehinggalah program Brain Gain di peringkat IPT,
semuanya bertujuan untuk melahirkan golongan ilmuan berpemikiran kritis dan
kreatif sekaligus memberi sumbangan bermakna kepada kesejahteraan negara.

Hadirin sekalian,
Pragmatik keempat, ketinggian ilmu cerminan budi dan sahsiah bangsa
terpuji.

Ibnu Khaldun dalam tamsilnya al-Muqaddimah menegaskan bahawa al-insan


madani bi al-taba, manusia sentiasa membina tamadun dengan ilmu dan

sahsiahnya. Bahkan pepatah Melayu turut menggesa agar kita mengikut resmi
padi, semakin berisi, semakin tunduk.

Lantaran itulah, modal insan berilmu dan berakhlak kini bukan lagi satu pilihan
tetapi satu keperluan. Menerusi sistem pendidikan, subjek Sivik dan
Kewarganegaraan kita perkasakan, pendidikan agama dan moral kita mantapkan
bahkan kempen budi bahasa kita jayakan. Hal ini kerana kita sedar bahawa apalah
gunanya ketinggian akal fikir manusia tanpa keluhuran budi bahasa.

Maka hadirin sekalian, bangunlah, siapapun diri anda. Hanya melalui pembudayaan
ilmu dalam kehidupan seharian, kita mampu meningkatkan martabat diri,
keluarga, masyarakat dan negara. Sesungguhnya benarlah kalam pencipta,
kalimah iqra menyemarakkan budaya ilmu lantaran ilmu adalah cahaya, pelita
hidup manusia. Yakinilah bahawa, ILMU itu PELITA HIDUP.

Anda mungkin juga menyukai