Anda di halaman 1dari 1

Apakah kebudayaan dan kesenian Islam?

Kebudayaan merupakan suatu nilai hidup yang dijelmakan oleh faktor daya akal dan
daya rasa manusia. Dalam erti kata lain, ia adalah hasil daripada kegiatan berfikir dan merasa
manusia dalam bentuk perbuatan yang dipanggil juga cara. Kebudayaan itu meliputi segala
bidang seperti bidang sosial, ekonomi, politik, ilmu dan termasuklah kesenian. Kebudayaan
merupakan gabungan daripada dua perkataan iaitu budi terletak dihati, dan juga daya
kelakuan, perbuatan atau tindakan. Oleh itu, dalam konteks Islam ia membawa maksud hati
penentu segala nilai-nilai norma hidup, termasuk segala perbuatan dan perlakuan insan.
Justeru itu, kebudayaan Islam adalah satu cara hidup yang lahir dan menjelma daripada
keimanan. Ini merangkumi segala aspek sosial, politik, ekonomi dan juga kesenian Islam. Ia
merupakan manifestasi daripada keimanan dan ketakwaan dan apa-apa di luar daripada
konteks ini bukanlah kebudayaan Islam. Ciri-ciri ataupun konsep bagi kebudayaan Islam
adalah tidak bertentangan dengan ajaran Islam, perkara-perkara yang tidak melalaikan
manusia, dan melahirkan hubungan baik antara manusia dengan Allah S.W.T dan manusia
sesama manusia, dan mengagungkan Pencipta.
Seni adalah sesuatu yang bersifat abstrak, dapat dipandang, didengar dan disentuh
oleh jiwa tetapi tidak dapat dinyatakan melalui kata-kata atau Bahasa. Kesenian
melambangkan keindahan dan sudah menjadi fitrah manusia mempunyai perasaan suka pada
keindahan. Oleh itu, Islam memainkan peranan dalam kesenian kerana Islam adalah agama
yang nyata (waqie) dan sesuai dengan fitrah manusia, pada semua tempat, zaman dan situasi
yang menepati cita rasa, kehendak, sifat, keinginan, nafsu, perasaan dan akal fikiran manusia.
Seni islam merupakan sebahagian daripada kebudayaan Islam dan perbezaan seni Islam dan
bukan Islam adalah dari segi niat atau tujuan dan nilai akhlak yang terkandung dalam hasil
seni Islam. Tujuan seni Islam adalah kerana Allah. Dalam pembangunan seni kerangka
dasarnya mestilah menyeluruh dan meliputi aspek-aspek akhlak, iman, matlamat keagamaan
dan falsafah kehidupan manusia. Seni mestilah bersifat Amar makruf dan nahi mungkar dan
semua aktiviti kesenian manusia mesti ditundukkan kepada tujuan keredhaan Allah dan
ketakwaan. Seni mestilah menjadi alat untuk meningkatkan ketakwaan. Hukum asal kesenian
dan hiburan adalah harus tetapi menjadi haram kerana wujudnya perkara yang bertentangan
dengan syara.

Anda mungkin juga menyukai