Anda di halaman 1dari 13

PENGENALAN Kesenian dalam Islam mula tumbuh setelah agama Islam mula berkembang dan bertapak.

Umat Islam yang berperang telah berkesempatan melihat dan mengenal kesan-kesan sejarah dan kesenian yang terdapat di daerah-daerah baru. Ramai yang menetap dan mengalami hidup dan suasana baru di tempat yang telah ditakluki. Dengan itu Islam mula bertapak di daerah baru. Secara tidak disedari proses asimilasi berlaku antara masyarakat, kebudayaan dan kesenian yang berlandaskan ajaran Islam. Sebagai Addin, Islam telah membuka ruang yang seluas-luasnya kepada para seniman untuk melahirkan pengucapan rasa keindahan dan pengalaman yang lahir dari naluri asasi manusia yang sememangnya mengarah ke arah keselamatan, kesenangan dan keindahan. Seni adalah sebahagian daripada kebudayaan. Konsep seni merujuk kepada bentukbentuk indah, halus dan permai.

PENGERTIAN DAN FALSAFAH SENI DALAM ISLAM

Dari segi makna literal, seni ialah halus, indah atau permai. Dari segi istilah, seni ialah segala yang halus dan indah lagi menyenangkan hati serta perasaan manusia. Dalam pengertian yang lebih padu, ia membawa nilai halus, indah, baik dan suci : berguna dan bermanfaat serta mempunyai fungsi dan nilai sosial. Selain itu, keindahan adalah sesuatu yang wujud di luar diri manusia yang menikmati keindahan itu. Ia dapat dirasa, ditanggapi dan dihayati. Allah adalah sumber daya dan sumber pemikiran manusia manakala imaginasi dan keupayaan mencipta yang ada pada manusia adalah percikan dari daya kreatif Allah. Pencapaian yang dibuat oleh seni Islam itu juga merupakan sumbangan daripada tamadun Islam di mana tujuan seni Islam ini adalah kerana Allah swt. Walaupun seni merupakan salah satu unsur yang disumbangkan tetapi Allah melarang penciptaan seni yang melampaui batas. Firman Allah swt yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas." Al-Farabi menjelaskan bahawa seni sebagai ciptaan yang berbentuk

keindahan. Al-Ghazali pula menjelaskan seni dengan maksud kerja yang berkaitan dengan rasa jiwa manusia yang sesuai dengan fitrahnya. Keindahan merupakan salah satu ciri keesaan, kebesaran dan kesempurnaan Allah swt lantas segala yang diciptakanNya juga merupakan pancaran keindahanNya. Manusia dijadikan sebagai makhluk yang paling indah dan paling sempurna. Bumi yang merupakan tempat manusia itu ditempatkan juga dihiasi dengan segala keindahan. Allah swt bukan sekadar menjadikan manusia sebagai makhluk yang terindah tetapi juga mempunyai naluri yang cintakan keindahan. Di sinilah letaknya keistimewaan manusia yang tidak dimiliki oleh makhluk lain sama ada malaikat, jin dan haiwan. Konsep kesenian dan kebudayaan dalam Islam berbeza dengan peradaban Islam yang lain. Dalam pembangunan seni, kerangka dasarnya mestilah menyeluruh dan meliputi aspekaspek akhlak, iman, matlamat keagamaan dan falsafah kehidupan manusia. Seni mestilah merupakan satu proses pendidikan yang bersifat positif mengikut kaca mata Islam, menggerakkan semangat, memimpin batin dan membangunkan akhlak. Ertinya seni mestilah bersifat "Al-Amar bil Ma'ruf dan An-Nahy 'an Munkar"(menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran) serta membangunkan akhlak masyarakat, bukan membawa kemungkaran dan juga bukan sebagai perosak akhlak ummah. Semua aktiviti kesenian manusia mesti ditundukkan kepada tujuan terakhir (keredhaan Allah dan ketaqwaan). Semua nilai mestilah ditundukkan dalam hubunganNya serta kesanggupan berserah diri. Seni juga seharusnya menjadi alat untuk meningkatkan ketaqwaan.

PRINSIP-PRINSIP SENI DALAM ISLAM

1. Mengangkat martabat insan dengan tidak meninggalkan nilai-nilai kemanusiaan dan nilai-nilai persekitaran dan sejagat. Alam sekitar galerinya, manakala manusia menjadi seniman yang menggarap segala unsur kesenian untuk tunduk serta patuh kepada keredhaan Allah swt. 2. Mementingkan persoalan akhlak dan kebenaran yang menyentuh aspek-aspek estetika, kemanusiaan, moral dan lain-lain lagi. 3. Kesenian Islam menghubungkan keindahan sebagai nilai yang tergantung kepada keseluruhan kesahihan Islam itu sendiri. Menurut Islam, kesenian yang mempunyai nilai tertinggi ialah yang mendorong ke arah ketaqwaan, kema'rufan, kesahihan dan budi yang mantap. 4. Kesenian Islam terpancar daripada wahyu Allah, sama seperti undang-undang Allah dan SyariatNya. Maknanya ia harus berada di bawah lingkungan dan peraturan wahyu. Ini yang membezakan kesenian Islam dengan kesenian bukan Islam. 5. Kesenian Islam menghubungkan manusia dengan tuhan, alam sekitar dan sesama manusia dan juga makhluk. Islam tidak pernah menolak kesenian selagi dan selama mana kesenian itu bersifat seni untuk masyarakat dan bukannya seni untuk seni. Terdapat lima hukum dalam seni jika diperincikan. Antaranya: (a) Wajib : Jika kesenian itu amat diperlukan oleh muslim yang mana tanpanya individu tersebut boleh jatuh mudarat seperti keperluan manusia untuk membina dan mencantikkan reka bentuk binaan masjid serta seni taman (landskap) bagi maksud menarik orang ramai untuk mengunjungi rumah Allah swt tersebut. (b) Sunat : Jika kesenian itu diperlukan untuk membantu atau menaikkan semangat penyatuan umat Islam seperti dalam nasyid, qasidah dan selawat kepada Rasulullah saw yang diucapkan beramai-ramai dalam sambutan Maulidur Rasul atau seni lagu (tarannum) al-Quran.

(c) Makruh : Jika kesenian itu membawa unsur yang sia-sia (lagha) seperti karya seni yang tidak diperlukan oleh manusia. (d) Haram : Jika kesenian itu berbentuk hiburan yang : Melekakan manusia sehingga mengabaikan kewajipan-kewajipan yang berupa tanggungjawab asas terhadap Allah swt khasnya seperti ibadah dalam fardhu ain dan kifayah. Memberi khayalan kepada manusia sehingga tidak dapat membezakan antara yang hak (betul) dan yang batil (salah). Dicampuri dengan benda-benda haram seperti arak, judi, dadah dan pelbagai kemaksiatan yang lain. Ada percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram seperti pergaulan bebas tanpa batas dalam bentuk bersuka-suka yang melampau. Objek atau arca dalam bentuk ukiran yang menyerupai patung sama ada dibuat daripada kayu, batu dan lain-lain. Disertai dengan peralatan muzik yang diharamkan oleh Islam seperti alat-alat tiupan, bertali, tabuhan yang bertutup di bahagian atas dan bawah serta alat-alat muzik dari tekanan jari. Sesetengah ulama mengatakan harus hukumnya jika digunakan untuk pendidikan dan tidak menarik kepada konsep al-Malahi (hiburan yang keterlaluan) juga alat-alat muzik di atas boleh digunakan untuk tujuan dakwah Islamiyyah, seperti yang pernah dibuat oleh Rabiatul Adawiyyah. Seni yang merosakkan akhlak dan memudaratkan individu atau yang berbentuk tidak bermoral seperti tarian terkini (kontemporari). Jenis-jenis seni yang dipertontonkan bagi maksud atau niat yang menunjuk-nunjuk dan kesombongan. (e) Harus : Apa saja bentuk seni yang tidak ada nas yang mengharamkannya.

PERANAN SENI DALAM ISLAM

1. Fungsi Spiritual Menurut Sayyid Hossein Nasr (dalam buku Spritual dan Seni Islam) memberi pandangan, dalam apa juga bidang sekalipun, seni Islam itu mestilah mempunyai fungsi spiritual yang dapat membimbing manusia supaya mengingati Allah s.w.t. Dalam pandangannya itu beliau telah menegaskan: Seni itu tidak dapat memainkan suatu fungsi spiritual apabila ia tidak dihubungkan dengan bentuk dan kandungan wahyu Islam.

Beliau juga menghuraikan bahawa Islam terdiri dari beberapa aspek antara lain ialah syariah, tarekat dan hakikat. Hossein Nasr berpandangan syariat memain peranan penting dalam memberi latar dan persekitaran kepada seni Islam di samping menyediakan batas-batas tertentu atau garis untuk seni Islam itu. Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa syariat sememangnya tidak menunjuk secara khusus bagaimana mencipta seni Islam itu. Namun segala apa yang dihasilkan itu mestilah bertunjangkan al-Quran dan hadis serta sunnah Rasulullah. Dengan ini barulah seni itu dapat memainkan fungsinya sebagai penyuburan spiritual.

2. Kesenian meningkatkan aspek kerohanian. Kesenian Islam merupakan kesenian mukadas. Ia harus memiliki kekudusan mauduk. Kekudusan mauduk bermaksud kebenaran kerohanian yang dapat mempertemukan manusia dengan kehadiran alam semesta di mana tujuan estetika tidak terlintas di dalam fikiran penciptanya. Tetapi ia indah kerana kebenaran kerohanian yang dipancarkan.

Kebenaran yang terkandung dalam ajaran wahyu dengan sendiri terdapat pada kesenian mukadas. Islam mengutamakan ajaran tauhid yang asli kerana itu ia menghindar dari sebarang pencemaran syirik, maka penggunaan mitos serta lambang-lambang tertentu yang memesongkan inti tauhid adalah dilarang.

3. Seni untuk mendidik Kesenian Islam tidak bermotifkan hiburan semata-mata malah ianya menjurus ke arah mentarbiah masyarakat menjadi insan yang beriman, berakhlak, berilmu dan beramal soleh. Oleh itu, sesuatu itu bukanlah dianggap seni sekiranya ia tidak dapat menjalankan fungsinya untuk membimbing manusia ke arah yang lebih baik dan mengingati Allah s.w.t..

4. Meninggikan tamadun manusia. Sarjana Islam dan Barat dalam bidang tamadun seperti Jurji Zaidan, Husni Abd al-Wahab, Muhammad al-Bahi, Will Durant dan lain-lain meletakkan seni sebagai salah satu daripada ciri tamadun. Tingginya nilai seni sesuatu bangsa membuktikan tingginya nilai tamadun bangsa tersebut. 5. Memberikan nilai al-falah (kemenangan) dan al-Saadah (kebahagian) dalam kehidupan. Contohnya: Melalui seni suara: ketenangan yang tidak melalaikan. Melalui karya sastera: boleh membangunkan minda ummah untuk menghargai kebaikan, keamanan, perpaduan dan lain-lain nilai murni. Seni sastera yang tinggi nilainya ialah yang boleh mendorong manusia untuk mencapai tingkat ketaqwaan, kemakrufan, kesalihan, dan tinggi budi pekerti. melalui seni bina memenuhi skop keperluan al-Daruriyyah, al-haajiah dan altahsiniyyah.

6.

Menjadi salah satu media dakwah. Contoh: Seni suara boleh dilihat melalui. Azan untuk menyeru manusia kepada solat. Bacaan al-Quran bertaranum: melembutkan hati manusia yang keras. Nasyid dan Qasidah menjadi bahan pengajaran dan renungan selain sebagai hiburan alternatif.

CONTOH BIDANG SENI DALAM ISLAM DAN CIRI-CIRINYA

a) Seni Suara

Menurut pandangan Islam, seni suara dibahagikan kepada 2 kriteria iaitu seni suara yang baik dan seni suara yang buruk. Seni suara yang baik merangkumi bacaan al-Quran dengan suara yang merdu, syahdu dan lunak, melagukan azan, menyanyikan lagu-lagu jihad, berzikir, mendendangkan nyanyian hari-hari raya, menyanyikan selamat jalan dan selamat kembali kepada para jemaah haji, berzanji dan lain-lain. Seni suara yang buruk pula merangkumi nyanyian-nyanyian yang sering menimbulkan nafsu berahi, lagu-lagu joget dan tarian yang bercampur antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, lagu-lagu yang boleh merosakkan budi pekerti muda mudi serta melalaikan mereka dari beribadat kepada Allah. Bacaan Al-Quran

Al-Quran adalah kalam Allah dan kitab suci umat Islam. Ia bukan sahaja mempunyai nilai sastera yang amat indah dan tinggi tetapi juga mempunyai seni bacaan yang unik. Oleh itu, membaca al- Quran diberikan prioriti yang pertama dan utama dalam Islam. Kita dituntut oleh syariat Islam supaya membaca al-Quran mengikut tajwidnya yang betul dan dengan suara yang baik bukan dengan cara berlagu sebagaimana lagu-lagu qasidah. Ini kerana ia boleh merosak dan mungkin akan menambah atau mengurangkan huruf-huruf al-Quran dan dianggap suatu bidaah pula. Menurut Ibn Hajar al-Haithami dalam kitabnya, Kaff al-Ria al Muharramat al-Sama, kesengajaan membaca al-Quran secara berlagu dengan menambahkan huruf atau menguranginya untuk memperelokkan dan memperhiaskannya adalah fasiq. Bahkan menurut fatwa Imam al-Nawawi mengenai golongan yang membaca al-Quran dengan berlagu yang buruk serta banyak perubahannya, maka hukumnya adalah haram menurut ijmak para ulama. Pemerintah wajib mengancam dan meminta mereka bertaubat, malah setiap orangyang mukallaf hendaklah mengingkarinya seupaya yang mungkin.

Nyanyian Dan Seni Muzik

Nyanyian dan muzik boleh mengubah sikap ke arah pencapaian peradaban yang bererti disamping mempunyai kekuasaan tersendiri hingga boleh menukar emosi menjadi terharu, sedih, pilu, menangis bahkan gila. Ini menunjukkan bahawa nyanyian dan muzik sangat rapat hubungannya dengan jiwa manusia. Oleh itu, ia perlu dikawal dan diberi perhatian supaya tidak merosakkan jiwa dan moral manusia.

Islam dari segi falsafahnya menyatakan nyanyian dan muzik haruslah bertujuan kea rah pembentukan peribadi dan sebagai tali penghubung ke arah taqwa kepada Allah. Islam tidak mengizinkan nyanyian dan muzik yang melalaikan manusia dari kewajiban terhadap Allah. Seni yang merosakkan adalah seni sesat yang hukumnya haram dan patut dijauhi.

b) Seni Rupa Secara umumnya para ulama membahagikan seni rupa kepada 2 iaitu: a) Seni rupa yang mempunyai imej ataupun bentuk dan hasilnya dinamakan patung b) Seni rupa yang tidak mempunyai imej mahupun bentuk dan hasilnya dinamakan gambar atau lukisan Seni Ukir Seni ukir Islam mempunyai nilai yang tinggi baik dalam susunan komposisi cara pengisian bidang yang dihias ataupun dalam cara mensejajarkan motif-motif ukirannya. Pembahagian bidang diatur berdasarkan geometri, motif-motif tabii seperti daun, akar, bunga dan sebagainya. Dalam seni ukir Islam wujud paduan yang harmoni antara rasa dan akal. Ia juga dikenali sebagai seni pahat yang merangkumi apa-apa sahaja yang diukir atau yang dipahat

Lukisan

Jika lukisan seni berbentuk sesuatu yang disembah melainkan Allah seperti gambar Nabi Isa A.S atau al-Masih bagi orang-orang Kristian atau lembu bagi orang-orang Hindu dan sebagainya, maka pelukisnya tidak lepas daripada azab Allah. Orang yang melukis sesuatu yang tidak dapat disembah tetapi dengan niat untuk menandingi ciptaan Allah, pelukis itu bukan saja terkena ancaman sebagai orang yang paling berat seksaannya pada hari kiamat malah dia juga terkeluar dari agama Islam

Seni Khat

Khat merupakan seni yang mengandungi keindahan estetika. Merupakan kesenian yang paling asas di dalam Islam kerana ia merupakan wadah kepada pengaliran ilmu. Kaligrafi atau seni khat berasal daripada perkataan latin iaitu kalios yang bererti indah manakala graph bermaksud garisan atau tulisan. Ahli dalam seni khat dipanggil Khattat. Seni khat bermula serentak dengan turunnya wahyu Ilahi kepada Rasulullah kerana pada zaman jahiliah, orang-orang Arab berpegang kepada tradisi lisan untuk menyimpan maklumat dan komunikasi mereka. Ahli-ahli kaligrafi sangat dimuliakan : mereka diberi hadiah dan kedudukan yang istimewa oleh para raja dan orang-orang besar di seluruh dunia Islam. Karya-karya mereka memaparkan kewibawaan luarbiasa para seniman silam malah menjadi sumbangan yang hidup kepada tamadun Islam yang melahirkan mereka Seni Bina

Seni bina Islam telah berkembang seiring dengan seni ukir dan seni khat Islam. Seni bina Islam mempunyai ciri-cirinya tersendiri dan bersifat unik : mengandungi seni khat, bentuk arabesque, corak geometrid an motif seni reka. Wujud pengaruh yang kuat daripada ayat-ayat al-Quran, hadith dan syair-syair bahasa Arab. Selepas kewafatan Rasulullah, seni bina terus berkembang terutama di zaman Khulafa al-Rasyidin khususnya melalui pembinaan masjid yang dihias dengan tulisan khat. Di zaman Bani

Umayyah, istana-istana khalifah turut diukir dengan seni ukir yang unik. Buktinya, istana Amarah yang terletak di timur Laut Mati dan di. Masjid al-Haram tersergam indah dengan seni bina Islam dan ukiran yang bercirikan Islam. Di zaman kerajaan Islam di Sepanyol (Andalusia), unsur-unsur seni bina Islam amat terserlah pada bangunan dan istana seperti yang terdapat pada Istana Alhambra dan Masjid Cordova. Di zaman kerajaan Islam Abbasiyyah, seni bina Islam mencapai zaman keemasan kerana ciri-ciri seni bina Islam mampu bersepadu dengan seni bina Parsi yang tidak mempunyai unsurunsur seni yang bertentangan dengan Islam. Kerajaan Dawlah Uthmaniyyah yang berpusat di Turki turut mencatatkan kehebatan di dalam perkembangan seni bina Islam. Buktinya, pembinaan Masjid Mihrimah, Sehzade, Suleymaniye dan Selimiye. Seni bina ini terhasil dengan kepakaran para arkitek Islam seperti Sinanuddin Yusuf b. Abdullah, Khayruddi dan Ahmad Pasha c) Seni Pakaian

Pakaian merupakan kebudayaan manusia yang dibenarkan bahkan dituntut oleh agama Islam agar manusia kelihatan sopan dan cantik : berbeza dengan haiwan yang tidak berakal. Dalam Islam, seni pakaian dari sudut estatikanya diserahkan kepada kebijaksanaan umat Islam sendiri menggubahnya untuk disesuaikan dengan adat, tradisi dan keadaan setempat. Islam amat menitikberatkan soal kebersihan kerana melihatnya sebagai asas bagi setiap perhiasan yang baik dan pemandangan yang elok dalam pakaian. Pakaian yang diperbuat daripada bulu kambing, sutera, kulit binatang yang halal, pakaian dari benang guni dan sebagainya adalah dihalalkan. Begitu juga dengan seni memperagakan pakaian. Ia dihalalkan selagi tidak melanggar batas-batas hukum Islam. Pakaian berfungsi sebagai usaha menutup aurat dan untuk menghias diri. Oleh itu, sesuatu pakaian yang tidak dapat menutupi aurat meskipun dapat dijadikan perhiasan diri seperti kain yang jarang adalah dianggap tidak menurut hukum Islam. Pakaian yang dapat memelihara diri dari panas dan kesejukan serta dapat mempertahankan diri dalam peperangan juga dihalalkan dalam Islam. Selain itu, terdapat hadith yang menganjurkan agar kita berpakaian menutup aurat pada setiap masa. Lebih-lebih lagi sewaktu solat dan mengerjakan haji agar dapat dibezakan atau dibanteras amalan orang-

orang Arab jahiliah masa lampau. Ini kerana, semasa ingin beribadat mereka membuka seluruh pakaian mereka. Apa sahaja perhiasan yang didapati dari perut laut seperti mutiara, batu-batu berharga dan lainlain boleh dijadikan pakaian dan perhiasan manusia terutamanya kaum wanita. Dalam hal warna pakaian pula, tidaklah terlalu dititikberatkan oleh Islam. Namun begitu, adalah lebih baik jika berwarna putih. Pakaian yang diperbuat dari sutera dan perhiasan emas dihalalkan bagi kaum wanita memakainya tetapi diharamkan bagi kaum lelaki. Haram bagi kaum lelaki untuk memakai atau mengguna apa saja yang diperbuat daripada emas seperti gelang, rantai, bekas rokok, gigi emas dan sebagainya. Tetapi tidak diharamkan mereka memakai atau mengguna apa sahaja yang diperbuat daripada perak, logam, besi dan sebagainya. d) Seni Sastera Sastera ertinya bahasa, seni sastera ialah seni bahasa. Susastera bermaksud Bahasa Yang Indah. Kesusasteraan pula bermaksud sejumlah tulisan yang menggunakan bahasa yang indah bagi melahirkan perasaan yang indah. Sastera adalah salah satu cabang seni manakala seni itu adalah suatu yang indah yang dapat dihubungkaitkan dengan keindahan mutlak Allah itu sendiri. Kesusasteraan ialah satu bentuk tulisan yang dicipta oleh manusia dengan bantuan bahasa dengan tujuan menikmati penerokaannya ke dalam pengalaman-pengalaman semasa hidup. Bentuk utama sastera ialah sifat pengisahan yang terdapat di dalam pernyataannya. Ahli karya sastera peka bertindak balas ke atas fakta-fakta penghidupan dan mempersembahkan kepada pembaca hasil kesedaran instuitif. Karya-karya mereka pada zaman dahulu penuh dengan ilmu pengetahuan, menganjurkan kerjasama, persahabatan dan perpaduan ummah serta mengandungi puji-pujian terhadap Allah, selawat ke atas nabi, pujian ke atas para sahabat pilihan, para malaikat, kitab-kitab suci dan lainlain.Syair dan usaha syair tidak dilarang jika ianya digarap untuk tujuan meningkatkan semangat jihad, memperbaharui tekad, menghibur juga menghilangkan penat lelah berkerja, menyeru melaksanakan amar maruf nahi mungkar, menyebut syurga neraka, menyelar perbuatan zina, minum arak atau mengambil dadah, menimbulkan keraguan terhadap berhala dan penyembahannya. Bahkan Rasulullah sendiri mengucapkan syair sewaktu menggali parit dalam peristiwa perang Ahzab.

KESIMPULAN

Kesenian Islam bertunjangkan tauhid, iaitu keEsaan Tuhan yang bertolak dari pengajaran alQuran dan as-Sunnah. Bacaan al-Quran yang liturgis telah menciptakan suatu cabang muzik baru. Pemeliharaan naskahnya telah melahirkan tulisan atau khat Arab yang indah. Pembinaan masjid-masjid sebagai tempat ibadah kaum Muslimin pula telah mengembangkan seni bina dan seni hias. Di dalam menjaga keseimbangan antara keperluan jasad dan jiwa, Islam telah menganjurkan sikap sederhana dalam semua perkara dan membawa kepada bakat-bakat alami di dalam jurusan-jurusan yang benar dan telah mencuba untuk mengembangkan suatu keseluruhan yang harmonis dalam diri manusia. Dalam sabda-sabda Nabi, terdapat teks-teks yang menegaskan keprihatinan Islam terhadap pelbagai aspek seni. Misalnya, sabda Baginda Allah itu indah dan sukakan keindahan dan Keindahan itu disuruh di dalam segala sesuatu, biarpun engkau membunuh seseorang, maka bunuhlah dia dengan suatu cara yang baik. Di dalam kehidupan Nabi, kita dapati peristiwa berikut yang bersifat instruktif, di mana Baginda pada suatu hari telah melihat sebahagian dari pusara yang tidak diratakan sepenuhnya. Baginda telah memerintahkan kekurangan itu ditimbun sampai rata, sambil menambah bahawa ia tidak akan menjejaskan orang yang mati tetapi ia lebih menyenangkan mata orang yang hidup. Ringkasnya, dalam lapangan kesenian orang Muslimin telah memberi sumbangan yang berharga sekali. Mereka mengikis sifat-sifatnya yang merugikan, mengembangkan aspekaspek estetiknya dan menemukan sesuatu yang baru yang berfaedah untuk dunia.

(2949 patah perkataan)

RUJUKAN http://kulanzsalleh.blogspot.com/2010/01/konsep-kesenian-islam.html http://setyahermawan.blogspot.com/2010/10/seni-dalam-islam.html https://sites.google.com/site/khazalii/8udi3052keseniandalamislam(bab8) http://zaree-muhamad.blogspot.com/2012/09/seni-dalam-pandangan-islam_17.html http://www.scribd.com/doc/47422017/6-Konsep-Seni-Dalam-Islam

Anda mungkin juga menyukai