Anda di halaman 1dari 4

KEMURAHAN REZEKI

Dengan menjaga ikhtilat, kita sekaligus mematuhi perintah Allah s.w.t dan menjauhi
laranganNya. Hal ini merupakan salah satu bukti keimanan kita kepada Allah s.w.t kerana
kita berusaha untuk menjauhi daripada terjebak dalam kemaksiatan agar tidak dimurkai
oleh Allah s.w.t.

Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Takutlah (jauhilah) dari perkara-perkara yang diharamkan, nescaya kamu akan menjadi
manusia yang paling tinggi ibadahnya. Redailah dengan pemberian Allah untuk kamu,
nescaya kamu akan menjadi manusia yang paling kaya…” (riwayat Imam Ahmad dan al-
Tirmidzi)

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa sekiranya kita menjauhi perkara-perkara yang
diharamkan; dalam kes ini adalah dengan menjauhi ikhtilat yang melanggar batas syara’ ,
kita akan menjadi manusia yang paling tinggi ibadahnya kerana untuk mengawal diri kita
daripada melakukan kemungkaran, kita haruslah berusaha melawan nafsu dan berusaha
bersungguh-sungguh dalam melawan nafsu adalah salah satu daripada cabang jihad.

Jihad nafsu bermaksud jihad untuk membersihkan jiwa dan mensucikan hati dan sifat-sifat
yang rendah dan keji untuk diisi dengan sifat-sifat yang mulia dan terpuji.  Tuntasnya, ia
merupakan jihad untuk mentaati Allah, tunduk kepada perintahNya sepanjang masa.

Ketika balik dari satu peperangan yang dahsyat melawan kaum musyrikin, Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud :

Kita baru kembali dari satu peperangan yang kecil untuk memasuki peperangan yang lebih
besar. Sahabat terkejut dan bertanya, "Peperangan apakah itu wahai Rasulullah ? " Baginda
berkata, "Peperangan melawan hawa nafsu." (Riwayat Al Baihaqi)

Justeru, jihad nafsu ini dapat dijadikan sebagai salah satu wadah untuk kita agar dapat
meningkatkan keimanan kita kepada Allah s.w.t.

Semakin kita beriman, semakin kita disayangi oleh Allah s.w.t. , tuhan Yang Maha Pemurah
lagi Maha Penyayang.

Di dalam Al-Quran telah beberapa kali dinyatakan bahawa beriman kepada Allah dan Rasul
serta bertaqwa kepada Allah merupakan salah satu faktor utama yang membawa kepada
kesenangan hidup yang berpanjangan, kemenangan ke atas pihak musuh, serta
mendatangkan izzah dan karamah kepada orang mukmin.

Ini semua mendorong manusia agar memperbetulkan konsep, iltizam dengan Islam yang
sebenar sebagai prinsip hidup, sebagai suatu manhaj yang berupaya menyusun kehidupan
pada aspek luaran, dalaman dan segenap segi.

Allah s.w.t menceritakan bagaimana kisah ahli kitab, jika mereka beriman kepada Allah,
maka Allah akan hapuskan dosa mereka dan menjanjikan dengan nikmat yang paling agung
iaitu syurga.

Firman Allah s.w.t:


“ Dan sekiranya Ahli Kitab itu beriman dan bertaqwa tentulah Kami hapuskan dari mereka
kejahatan-kejahatan mereka, dan tentulah kami akan masukkan mereka kedalam syurga-
syurga yang penuh nikmat. Dan kalau mereka bersungguh-sungguh menegakkan
(menjalankan perintah-perintah Allah dalam) Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan
kepada mereka dari Tuhan mereka (Al-Quran), nescaya mereka akan makan rezeki (yang
mewah) dari atas mereka (langit) dan dari bawah kaki mereka (bumi)”. (Al-Maidah: 65, 66)

Ayat Al-Quran di atas jelas membuktikan bahawa Allah telah berjanji kepada umat Islam,
sekiranya kita beriman dan bertaqwa, akan dihapuskan segala kejahatan kita dan diberikan
nikmat yang hakiki iaitu syurga yang kekal abadi. Dan sekiranya kita bersungguh-sungguh
dalam menjalankan perintah Allah seperti yang terkandung dalam Al-Quran, kita akan
dikurniakan rezeki yang mencurah-curah. Perkara yang sama dapat diaplikasikan kepada
orang-orang yang menjaga ikhtilat kerana menjaga ikhtilat itu adalah suruhan Allah.

Misalnya suruhan menundukkan pandangan;

Firman Allah s.w.t:

“ Dan katakanlah kepada para perempuan yang beirman, agar mereka menjaga pandangan
mereka, dan memelihara kemaluan mereka…” (An-nur : 31).

Menundukkan pandangan adalah salah satu adab yang perlu diamalkan bagi ikhtilat yang
tidak membatasi hokum syara’. Oleh itu, dengan menjaga ikhtilat, dalam hal ini adalah
dengan menundukkan pandangan, kita telah mematuhi salah satu suruhan Allah, seterusnya
membuktikan keimanan kita kepada Allah s.w.t.

Allah s.w.t berfirman lagi tentang penduduk kota Mekah, sekiranya mereka beriman kepada
Allah, maka Allah akan melimpahkan rezeki yang tidak terhingga, sekiranya mereka
berpegang kepada syariat yang dibawa oleh Rasul.

Firman Allah s.w.t:

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa,
tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah
berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami
timpakan mereka dengan azab yang mereka telah usahakan. (Al-A`raf: 96)
Firman Allah s.w.t lagi:

Sehingga aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu,
sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan
menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; Dan Ia akan memberi kepada
kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi
kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di
dalamnya). (Nuh: 10 –12)

Allah ‘Azza Wa Jalla juga ada mengisahkan tentang penduduk kota Mekah yang ingkar
dengan perintah Allah, lalu Allah turunkan bala kelaparan dan ketakutan kepada penduduk
kota itu.

Firman Allah s.w.t:


Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu misalan:
Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari
tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah
merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa
yang mereka telah lakukan. (An-Nahl: 112)

Kita juga boleh lihat melalui kisah saba’ iaitu kisah yang memaparkan bagaimana penduduk
negeri Saba’ yang sebelumnya dikurniai Allah s.w.t dengan kemewahan, dengan tanah yang
subur sehingga penduduknya hidup dengan aman makmur akhirnya ditimpa azab berupa
banjir besar yang menghancurkan negeri mereka kerana ingkar kepada Allah s.w.t

Ayat-ayat Al-Quran dan kisah saba’ yang diceritakan dalam Al-Quran seperti yang
dinyatakan di atas jelas menunjukkan sekiranya kita melanggar syariat yang telah
ditetapkan, kita bukan sahaja akan ditarik balik segala rezeki malahan akan ditimpakan bala
bencana ke atas kita. Oleh itu, sekiranya kita melanggar syariat dan suruhan Allah, iaitu
dengan mengamalkan ikhtilat bebas yang melangggar batas-batas syara’ , kesusahan demi
kesusahan akan menimpa kita dan nikmat rezeki yang Allah s.w.t kurniakan kepada kita
sebelum ini akan ditarik balik.

Sesungguhnya, kita juga harus sedar bahawa rezeki dan rahmat hanya milik Allah s.w.t, tiada
sesiapa akan memperoleh sesuatu rezeki dan rahmat itu tanpa izinNya.

Firman Allah s.w.t :

Kamu hanyalah menyembah berhala-berhala yang diperbuat oleh orang, tidak menyembah
Allah yang mencipta segala-segalanya, dan kamu hanya mengadakan penyembahan yang
dusta. Sesungguhnya mereka yang kamu sembah yang lain dari Allah itu, tidak berkuasa
memberi rezeki kepada kamu; oleh itu carilah rezeki dari sisi Allah, dan sembahlah akan Dia
serta bersyukurlah kepadaNya; (ingatlah), kepada Allah jualah kamu akan dikembalikan.
(Al-Ankabut: 17)

Firman Allah s.w.t lagi :


Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Ka'bah) ini, Tuhan
yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan
mengamankan mereka dari ketakutan. (Quraisy: 3, 4)

Berdasarkan firman-firman Allah s.w.t yang dinyatakan di atas, jelaslah kepada kita
bagaimana Allah menjamin rezeki orang yang beriman dan beriltizam dengan agamanya dan
menjauhi segala larangan dan tegahan agama. Menjaga ikhtilat merupakan salah satu
perbuatan yang harus dilakukan bagi seorang muslim yang beriman. Oleh itu, dengan
menjaga ikhtilat, kita bukan sahaja dapat menambahkan keimanan kita malahan secara
tidak langsung, akan memperoleh keredhaan Allah s.w.t dan seterusnya dijamin rezeki oleh
Allah s.w.t.

Kesimpulannya, penjagaan ikhtilat yang tidak membatasi hukum syara’ amat penting bagi
kita, umat manusia agar dijamin rezeki yang berterusan sepanjang jangka hayat kita di dunia
yang fana ini. Kita juga harus sedar bahawa untuk mengiktiraf diri kita sebagai seorang
muslim yang beriman, kita haruslah beriman dengan seluruh ayat-ayat Al-Quran dan Sunnah
dan bukannya hanya mengamalkan sebahagian daripadanya sahaja. Bagaimana baru
dikatakan seseorang itu beriman? Seseorang itu dikatakan beriman sekiranya dia mematuhi
segala perintah Allah s.w.t dan meninggalkan laranganNya. Oleh itu, untuk menjadi seorang
yang beriman kita haruslah taat kepada semua perintah Allah s.w.t dan salah satu daripada
perintahNya adalah menjaga ikhtilat. Tanpa menjaga ikhtilat, kita masih tidak termasuk
dalam kalangan orang yang beriman, seterusnya janji-janji yang Allah nyatakan dalam Al-
Quran bagi orang-orang yang beriman iaitu rezeki yang mencurah-curah tidak dapat kita
capai dan peroleh.

Anda mungkin juga menyukai