Anda di halaman 1dari 16

Ke Arah Menghayati Solat 

Tarawih

DIkirim oleh mohd masri di September 2, 2008

Abu Hurairah radhiallahu ‘anh menerangkan bahawa:

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menganjurkan pada malam Ramadhan dengan


anjuran yang bukan berupa perintah yang tegas. Baginda bersabda: Sesiapa beribadah pada
malam Ramadhan kerana iman (yang teguh) dan mengharapkan ganjaran daripada Allah,
diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas.(1)

Berdasarkan hadis ini, umat Islam sejak zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
sehinggalah ke hari ini tidak pernah melepaskan peluang untuk memanfaatkan malam-malam
bulan Ramadhan dengan bersolat Tarawih, membaca al-Qur’an dan sebagainya. Terdapat
beberapa perkara yang dirasakan perlu untuk dibawa kepada perhatian para pembaca sekalian
agar kita semua benar-benar dapat menghayati solat Tarawih dengan cara yang sebaik-
baiknya selari dengan tuntuan al-Qur’an dan al-Sunnah.

Pertama: Solat Tarawih hukumnya sunat.

Hadis daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anh di atas menunjukkan bahawa solat Tarawih
hukumnya tidak wajib. Para ilmuan Islam mengkategorikannya sebagai sunat mua’kad, iaitu
amalan sunat yang amat dituntut. Oleh itu bagi seseorang yang hendak mendirikan solat
Tarawih, hendaklah dia perhatikan bahawa dia tidak mengabaikan amalan-amalan wajib atau
amalan-amalan lain yang lebih besar manfaatnya. Dalam erti kata lain, hendaklah dia beramal
berdasarkan Fiqh al-Awlawiyyat, iaitu memprioritikan sesuatu amalan yang bakal dilakukan.

Perlu digariskan bahawa ciri-ciri Muslim yang berjaya ialah seseorang yang mampu
menimbang dan membezakan amalan manakah yang paling utama untuk dia beri perhatian
pada satu masa tertentu. Prioriti amal perlu dibezakan seperti berikut:

1. Amal yang wajib hendaklah diberi prioriti di atas amal yang sunat.

2. Amal yang manfaatnya untuk jangka masa panjang hendaklah diberi prioriti di atas amal
yang manfaatnya untuk jangka masa pendek.

3. Amal yang manfaatnya untuk orang yang besar jumlahnya hendaklah diberi prioriti di atas
amal yang manfaatnya untuk orang yang kecil jumlahnya.

4. Amal yang manfaatnya untuk orang lain hendaklah diberi prioriti di atas amal yang
manfaatnya hanya untuk diri sendiri.
Maka atas konsep Fiqh al-Awlawiyyat, jika seseorang itu terpaksa memilih antara menjaga
ibubapa yang uzur dan bersolat Tarawih, hendaklah dia memilih untuk menjaga ibubapanya.
Jika seseorang terpaksa memilih antara menuntut ilmu dan bersolat Tarawih, hendaklah dia
memilih untuk menuntut ilmu.

Walaubagaimanapun ini tidaklah bermakna seseorang itu tidak perlu melaksanakan solat
Tarawih. Orang yang sedang menjaga ibubapanya yang uzur tetap boleh bersolat Tarawih
dengan bersolat di sisi ibubapanya sambil memerhatikan mereka di antara solat. Seseorang
yang sedang menuntut ilmu tetap boleh mendirikan solat Tarawihnya dalam rangka berehat
sebentar di antara tempoh penuntutannya. Semua ini boleh dilakukan kerana solat Tarawih itu
sendiri pada asalnya adalah satu amalan yang amat fleksibel. Hal ini akan dikupas dalam
perbincangan seterusnya.

Kedua: Solat Tarawih boleh dilaksanakan secara berjamaah atau bersendirian.

Apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melaksanakan solat Tarawih, baginda


adakalanya melaksanakannya secara berjamaah dan adakalanya secara bersendirian di rumah.
Abu Dzar al-Ghafiri radhiallahu ‘anh menerangkan bahawa:

Kami berpuasa bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam bulan Ramadhan.
Baginda tidak bersolat (Tarawih) bersama kami sehingga baki tujuh malam terakhir. Lalu
(pada malam tersebut) baginda bersolat (Tarawih) bersama kami sehingga sepertiga malam.
Kemudian baginda tidak bersolat (Tarawih) bersama kami pada malam keenam (sebelum
akhir Ramadhan). Baginda bersolat (Tarawih) bersama kami pada malam kelima (sebelum
akhir Ramadhan) sehingga seperdua malam.

Maka saya (Abu Dzar) berkata: “Ya Rasulullah, alangkah baiknya jika kamu memberi
keringanan kepada kami pada malam ini.” Rasulullah menjawab: “Sesungguhnya sesiapa
yang bersolat (Tarawih) bersama imam sehingga selesai maka Allah Menulis baginya
(ganjaran seumpama) bersolat sepanjang malam.”(2)
Dalam hadis ini terdapat dua pengajaran penting:

1. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak melaksanakan solat Tarawih berjamaah


secara tetap sepanjang bulan Ramadhan. Akan tetapi baginda melaksanakannya secara
bersendirian kecuali pada beberapa malam terakhir. Tujuannya adalah supaya umat dapat
mengetahui bahawa solat Tarawih tidak semestinya berjamaah, akan tetapi boleh dilakukan
sama ada secara berjamaah atau bersendirian.

2. Jika seseorang itu memiliki pilihan sama ada untuk melaksanakan solat Tarawih secara
berjamaah atau bersendirian, adalah lebih utama untuk dia melaksanakannya secara
berjamaah berdasarkan sabda baginda yang bermaksud:

“Sesungguhnya sesiapa yang bersolat (Tarawih) bersama imam sehingga selesai maka Allah
Menulis baginya (ganjaran seumpama) bersolat sepanjang malam.”

Walaubagaimanapun pemilihan untuk melaksanaan solat Tarawih secara berjamaah


hendaklah tetap ditimbang berdasarkan Fiqh al-Awlawiyyat sebagaimana yang telah disebut
di atas.

Ketiga: Tidak ada ketetapan bagi jumlah rakaat solat Tarawih.

Jika dikaji semua riwayat berkenaan jumlah rakaat solat Tarawih yang dilaksanakan oleh
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan generasi al-Salaf al-Shalih (generasi awal umat
Islam) radhiallahu ‘anhum selepas kewafatan baginda, dapat dirumuskan bahawa sebenarnya
tidak ada ketetapan tertentu bagi jumlah rakaat solat Tarawih. Solat Tarawih termasuk dalam
kategori solat sunat pada malam hari. Muhammad bin Nashr al-Mawarzi rahimahullah
(294H) di dalam kitabnya Qiyam al-Ramadhan menyebut:

Aku bertanya kepada Ahmad bin Hanbal (rahimahullah 241H) tentang jumlah rakaat yang dia
lakukan untuk solat Qiyam Ramadhan (Solat Tarawih). Saat itu dia menjawab: “Dalam
masalah ini ada kepelbagaian sehingga mencapai 40 macam. Ini kerana solat tersebut
(Qiyam Ramadhan/Solat Tarawih) tidak lain hanyalah solat sunat biasa.(3)

Solat-solat sunat malam boleh dilaksanakan daripada selesai solat Isyak sehinggalah terbit
fajar tanpa memiliki apa-apa batas minimum atau maksimum bagi jumlah rakaatnya. ‘Abd
Allah ibn ‘Umar radhiallahu ‘anhuma menerangkan:
Seorang lelaki datang kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, ketika itu baginda sedang
berkhutbah. Lelaki itu bertanya: “Bagaimana cara solat malam?” Baginda menjawab: “Dua
rakaat dua rakaat, maka apabila kamu bimbang waktu Subuh akan masuk, maka tutupilah
solat-solat kamu itu dengan satu rakaat solat Witir.”(4)

Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) berkata:

Sesungguhnya tentang solat Qiyam Ramadhan (solat Tarawih), Nabi (shallallahu ‘alaihi
wasallam) tidak menentukan jumlah rakaatnya, hanya sahaja baginda sendiri
melaksanakannya tidak lebih daripada 13 rakaat sama ada dalam bulan Ramadhan atau
selainnya. Baginda melaksanakan solat Tarawih dengan memanjangkan rakaatnya. Apabila
‘Umar (radhiallahu ‘anh) mengumpulkan orang-orang untuk berjamaah mengerjakan solat
Tarawih dengan diimami oleh Ubay bin Ka’ab (radhiallahu ‘anh), dia melaksanakannya
bersama mereka sebanyak 20 rakaat kemudian diikuti solat Witir sebanyak 3 rakaat. Ini
beliau lakukan dengan meringankan bacaan al-Qur’an selari dengan kadar penambahan
rakaat supaya ia meringankan berbanding solat satu rakaat dengan dipanjangkan bacaannya.

Setelah itu sekumpulan daripada generasi salaf melaksanakan solat Tarawih secara 40 rakaat
dan solat Witir 3 rakaat manakala selainnya dengan 36 rakaat dan 3 rakaat Witir. Semua ini
telah berlaku dan dengan itu, sesiapa sahaja yang beribadah pada malam Ramadhan dengan
berapa sahaja jumlah rakaat, maka dia dikira telah berbuat kebaikan.

Yang utama adalah perbezaan jumlah rakaat dikira berdasarkan kepada beragamnya keadaan
orang-orang yang mengerjakan solat tersebut. Jika keadaan mereka memungkinkan
dilaksanakan solat Tarawih dengan lama, maka adalah lebih afdal melaksanakan solat
Tarawih dengan 10 rakaat dan 3 Witir sebagaimana yang dilaksanakan sendiri oleh Nabi
(shallallahu ‘alaihi wasallam) dan selainnya. Akan tetapi apabila tidak mungkin
melaksanakan sedemikian, maka melaksanakan solat Tarawih dengan 20 rakaat adalah lebih
afdal dan itulah yang dilakukan oleh majoriti umat Islam kerana yang demikian itu adalah
dipertengahan antara 10 rakaat dan 40 rakaat.

Dan jika dilaksanakan solat Tarawih dengan 40 rakaat atau selainnya maka itu diperbolehkan
dan tidak dimakruhkan sama sekali. Hal ini ditegaskan oleh tidak seorang dari para imam
seperti Imam Ahmad (bin Hanbal) dan selainnya. Dan sesiapa yang beranggapan
bahawasanya solat Qiyam Ramadhan (solat Tarawih) mempunyai ketentuan jumlah
rakaatnya daripada Nabi (shallallahu ‘alaihi wasallam) tanpa boleh ditambah atau dikurangi
daripadanya, maka sungguh dia telah membuat suatu kesilapan.(5)
Setelah menghimpun dan mensyarah semua hadis yang ada di dalam bab solat Tarawih, al-
Syaukani rahimahullah (1252H) membuat rumusan:

Kesimpulannya, hadis-hadis di dalam bab ini (solat Tarawih) menunjukkan kepada


pensyari’atan melaksanakan solat pada malam bulan Ramadhan. Solat ini boleh dilaksanakan
secara berjamaah atau sendirian. Adapun membatasi solat ini dengan nama “Solat Tarawih”
dengan jumlah rakaat yang tertentu dan mengkhususkannya dengan bacaan-bacaan tertentu
tidak pernah ditunjuki oleh sunnah.(6)

Daripada nukilan-nukilan di atas, dapat dirumuskan beberapa poin penting:

1. Solat Tarawih sebenarnya adalah solat sunat malam. Ia hanya berbeza dari sudut istilah,
tidak dari sudut hakikatnya. Oleh itu jumlah rakaat bagi solat Tarawih tidak ada batasnya
sebagaimana kebiasaan solat sunat malam.

2. Membiasakan gelaran “Solat Tarawih” menyebabkan sebahagian orang menganggapnya


sebagai solat sunat yang khusus. Dengan itu mereka juga mengkhususkan rakaat yang
tertentu dan bacaan surah-surah yang tertentu pada rakaat yang tertentu. Sebenarnya
pengkhususan ini adalah tidak berasas.

3. Seseorang itu, berdasarkan Fiqh al-Awlawiyyat dirinya sendiri, boleh melaksanakan solat
Tarawih dengan jumlah rakaat yang sesuai dengan keadaannya. Masing-masing individu
boleh melaksanakan solat Tarawih dengan jumlah rakaat yang dicenderunginya tanpa ada
pihak yang boleh mengatakan itu benar atau salah.

Diketahui bahawa ada sebahagian pihak yang berpendapat bahawa solat Tarawih adalah 8
rakaat diikuti solat Witir 3 rakaat dan jumlah ini tidak boleh ditambah atau dikurangi.
Pendapat ini adalah lemah sebagaimana yang dibuktikan oleh Ismail al-Anshari dalam
bukunya yang berjudul Tashhih Hadits Solat al-Tarawih Isyrin Rakaah wa al-Radd ‘ala al-
Albani fi Tadh‘aifhi. Ia telah diterjemahkan dengan judul Otentisitas Hadis Shalat Tarawih
20 Rakaat terbitan Pustaka Firdaus, Jakarta 2003. Selain itu diketahui juga bahawa ada pihak
yang berpendapat solat Tarawih adalah 20 rakaat diikuti solat Witir sebanyak 3 rakaat dan
jumlah ini tidak boleh ditambah atau dikurangi. Pendapat ini juga adalah lemah sebagaimana
yang telah penulis bahas dalam buku Solat Tarawih: Satu Perbahasan Ke Atas Fatwa yang
Menetapkannya Kepada 20 Rakaat terbitan Jahabersa, Johor Bahru 2000.
Keempat: Beberapa sifat solat yang diremehkan.

Sebahagian orang apabila melaksanakan solat Tarawih atau mana-mana solat sunat yang lain,
mereka meremehkan beberapa sifat solat atas alasan ini hanya solat sunat, bukan solat wajib.
Sifat-sifat solat yang diremehkan ini ada yang merosakkan kesempurnaan solat dan ada yang
membatalkan terus solat tersebut. Di antara sifat solat yang diremehkan adalah:

a) Tidak membaca al-Qur’an dengan tartil.


Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Dan bacalah al-Qur’an dengan tartil (al-Muzammil 73:04)

Membaca al-Qur’an dengan tartil bererti membaca dengan jelas kalimah-kalimahnya sambil
memerhatikan disiplin hukum-hukum tajwidnya.

b) Meninggalkan bacaan Doa Iftitah dan bacaan al-Qur’an selepas al-Fatihah.

Dengan anggapan ia hanyalah solat sunat, sebahagian orang ada yang tidak membaca Doa
Iftitah sebelum membaca surah al-Fatihah. Sebahagian lain turut meninggalkan bacaan ayat-
ayat al-Qur’an selepas membaca surah al-Fatihah. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
ketika mendirikan solat fardhu atau solat sunat tidak pernah meninggalkan kedua-dua bacaan
ini. Oleh itu janganlah kita meremehkannya kerana ini termasuk sunnah-sunnah yang penting
di dalam solat.

c) Mengabaikan Thama’ninah.

Mengabaikan thama’ninah, yakni kekal di dalam sesuatu pergerakan solat sehingga merasa
tenang di dalamnya, bukan sahaja mengurangi kualiti solat tetapi boleh mengakibatkan
terbatalnya. Abu Hurairah radhiallahu ‘anh meriwayatkan bahawa pada satu ketika pernah
seorang lelaki bersolat di dalam masjid sambil diperhatikan oleh Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam. Apabila lelaki itu selesai bersolat, baginda menyuruh dia bersolat semula
dengan bersabda:

“Kembalilah bersolat kerana sesungguhnya kamu masih belum bersolat.” Hal ini berulang
sebanyak 3 kali sehingga akhirnya lelaki itu mengakui bahawa dia tidak tahu bagaimana lagi
untuk membetulkan solatnya. Lalu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengajar dia
dengan bersabda:
Apabila kamu berdiri untuk solat, bertakbirlah, kemudian baca daripada al-Qur’an apa yang
memudahkan bagi kamu. Kemudian rukuklah sehingga kamu kekal tenang di dalamnya
(thama’ninah), kemudian berdirilah semula sehingga kamu tegak di dalamnya, kemudian
bersujudlah sehingga kamu kekal tenang di dalamnya (thama’ninah), kemudian duduklah
sehingga kamu kekal tenang di dalamnya (thama’ninah) dan lakukanlah sedemikian bagi
keseluruhan solat kamu.(7)

Penekanan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam untuk kekal di dalam setiap pergerakan
solat sehingga merasa tenang (thama’ninah) menunjukkan bahawa itulah kesilapan yang
dilakukan oleh lelaki tersebut sehingga menyebabkan solatnya tidak dikira sah oleh
Rasulullah. Thama’ninah juga disyaratkan kita iktidal sebagaimana yang dijelaskan oleh Abu
Humaid radhiallahu ‘anh:

Apabila baginda mengangkat kepalanya daripada rukuk, baginda berdiri sehingga setiap
daripada kepingan tulang belakangnya berada di posisi yang asal.(8)

Ada yang berpendapat lamanya tempoh thama’ninah adalah sekadar seseorang membaca
“Alhamdulillah” atau “Subhanallah”, akan tetapi pendapat ini tidak diperoleh dalilnya. Yang
dicenderungi sebagai sesuatu yang mendekati kebenaran adalah bahawa thama’ninah itu
wajib mengekalkan seseorang itu dalam satu posisi secara tenang sehingga dia dapat
melengkapkan seluruh bacaan tasbih atau doanya. Ini kerana seseorang itu tidak dapat
dikatakan telah rukuk atau iktidal atau sujud dengan dia dapat menyempurnakan bacaannya
dalam posisi tersebut.

Ibn Taimiyah berkata:

Tempoh thama’ninah dalam rukuk dan sujud adalah lebih kurang selama 3 kali bacaan
tasbih. Sebab menurut sunnah, pada waktu rukuk dan sujud bacaan tasbih adalah 3 kali dan
itu adalah yang paling minima, maka lamanya tempoh thama’ninah adalah sekurang-
kurangnya dilengkapkan 3 kali bacaan tasbih.(9)

d) Bersolat dengan terburu-buru.

Antara perbuatan yang tidak disukai dalam solat, sama ada solat wajib mahupun solat sunat,
ialah terburu-buru dalam melaksanakannya. Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berfirman:

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam
solatnya.

(al-Mu’minun 23:1-2)
Khusyuk di dalam solat bukan sekadar prihatin kepada bacaan-bacaannya tetapi juga kepada
pergerakan-pergerakan solat sehingga dapat memelihara kesempurnaannya. Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengingatkan:

Sempurnakanlah rukuk dan sujud kerana sesungguhnya perumpamaan orang yang tidak
menyempurnakan rukuknya dan sujudnya adalah seperti orang yang lapar, tidaklah dia makan
kecuali satu atau dua biji kurma yang tidak mencukupkannya sama sekali (maksudnya – tidak
mendapat apa-apa manfaat daripada solatnya).(10)

e) Meringkaskan bacaan selawat di dalam solat.

Ramai yang berpendapat selawat kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam bacaan
tasyahud hanya wajib sekadar “Allahumma sholli ‘ala Muhammad” manakala bacaan
selebihnya sehingga “Fil ‘Alamina innaka hamidun majid” hanyalah sunat. Atas pendapat ini
ada yang melaksanakan solat Tarawih dengan diringkaskan bacaan selawat kepada Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam.

Sebenarnya tidak ada dalil yang menyatakan bahawa bacaan selawat kepada Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam di dalam solat boleh dibezakan antara yang wajib dan sunat, antara duduk
tasyahud awal dan duduk tasyahud akhir. al-Shan‘ani rahimahullah (1186H) menegaskan:

Selawat bagi Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam solat adalah tidak sempurna tanpa
disertai selawat terhadap keluarga baginda. Orang yang bersolat hanya dianggap telah
berselawat kepada Nabi apabila dia mengucapkan lafaz selawat secara lengkap sebagaimana
yang diajarkan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam di mana di dalamnya termasuk selawat
kepada keluarga baginda. Hal ini berdasarkan hadis di mana sahabat bertanya: “Bagaimana
kami mengucapkan selawat kepada kamu?” Lalu baginda menjawab dengan menjelaskan
bahawa cara selawat adalah selawat ke atas dirinya dan ahli keluarganya.

Sesiapa yang tidak mengucapkan selawat bagi keluarga baginda (di dalam solat) maka bererti
dia belum mengucapkan selawat yang sesuai dengan cara selawat yang diajarkan oleh Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam, bererti dia belum melaksanakan perintah dengan sebenarnya.
Oleh itu dia belum termasuk orang yang berselawat kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.
Begitu juga dengan lanjutan hadis mulai dari “Kama sholaita……” dan seterusnya, ia wajib
dibaca kerana termasuk yang diperintahkan daripada bacaan selawat tersebut.

Sesiapa yang membezakan antara bacaan-bacaan selawat dengan mengatakan wajib


sebahagian sahaja dan sunat sebahagian yang lain, maka itu adalah pendapat yang tidak
memiliki dalil.(11)
f) Tidak menjaga disiplin berjamaah

Termasuk beberapa sifat solat yang diremehkan ialah tidak menjaga disiplin berjamaah
apabila melaksanakan solat Tarawih secara berjamaah. Antara disiplin yang lazim
diremehkan ialah melurus dan merapatkan saf. Melurus dan merapatkan saf merupakan ciri
kesempurnaan solat berjamaah manakala merenggangkan saf bererti membuka ruang bagi
syaitan masuk di antaranya. Disiplin solat berjamaah yang lain yang perlu diperhatikan ialah
mengikuti imam tanpa mendahuluinya atau ketinggalan daripadanya. Ketahuilah bahawa
solat berjamaah adalah lambang kesatuan umat Islam. Apabila ahli-ahli jamaah tidak
berdisiplin dalam menjaganya, ia memberi gambaran akan betapa lemahnya kesatuan umat.

Demikian beberapa sifat solat yang lazimnya diremehkan, di antaranya ada yang merosakkan
kesempurnaan solat dan ada yang membatalkannya terus. Yang penting, hendaklah setiap
individu Muslim yang melaksanakan solat peka bahawa dia sedang bermunajat kepada
tuhannya, Allah ‘Azza wa Jalla. Maka hendaklah dia memerhatikan adabnya apabila sedang
bermunajat. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menegur seorang lelaki tentang
solatnya:

Wahai fulan, apakah kamu tidak takutkan Allah? Tidakkah kamu memerhatikan bagaimana
kamu solat? Sesungguhnya apabila seseorang kamu melaksanakan solat sesungguhnya dia
tidak lain berdiri bermunajat kepada tuhannya. Maka hendaklah dia memerhatikan bagaimana
dia bermunajat (kepada-Nya).(12)

Kelima: Berzikir di antara solat Tarawih

Ini adalah antara amalan yang dipandang baik oleh orang ramai padahal Allah dan Rasul-Nya
tidak pernah memandang baik untuk berzikir dengan bacaan atau cara tertentu apabila sedang
berehat di antara solat Tarawih. Seandainya berzikir apabila sedang berehat di antara solat
Tarawih adalah sesuatu yang baik, maka pasti Allah dan Rasul-Nya akan menganjurkannya
sehingga dilaksanakan sepenuhnya oleh generasi awal umat Islam. Namun anjuran ini tidak
pernah wujud dan perlaksanaannya juga tidak pernah diketahui, justeru siapakah kita untuk
menentukan apa yang baik atau buruk di sisi Allah?

Waktu berehat di antara solat tarawih boleh dimanfaatkan untuk apa jua amalan yang baik.
Akan tetapi tidak boleh mengkhususkan amalan tersebut seolah-olah ia adalah sebahagian
daripada kaifiat solat Tarawih yang disyari‘atkan.
Sememangnya diketahui alasan yang diberikan adalah, berzikir adalah lebih baik daripada
tidak berbuat apa-apa langsung. Ia dianjurkan dalam suasana umat Islam masa kini yang
dilanda kemalasan untuk berzikir. Sebenarnya ini adalah alasan yang biadap terhadap Allah
dan Rasul-Nya, seolah-olah Allah dan Rasul-Nya leka daripada mensyari‘atkan apa yang baik
kepada manusia. Yang benar agama Islam telah lengkap, yang tidak lengkap adalah ilmu dan
pelaksanaannya oleh umat. Akibat jahil daripada apa yang sebenarnya disyari‘atkan, umat
Islam mula mencipta apa yang baik di sisi teori mereka, seolah-olah agama ini adalah milik
mereka untuk diubah suai dan ditokok tambah.

Nasihat penulis kepada para pembaca sekalian, tinggalkanlah sunnah kebiasaan masyarakat
dan kembalilah kepada sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Peganglah ia dengan
teguh dan beramallah dengannya kerana ia dijamin oleh Allah sebagai sesuatu yang benar-
benar baik. Berpegang kepada sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ialah beramal
dengan apa yang diamalkan oleh Rasulullah dan tidak beramal dengan apa yang tidak
diamalkan oleh Rasulullah.
Nota kaki:
————————-
(1) Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no: 759 (Kitab Solat, Bab
Anjuran beribadah pada malam Ramadhan…)

(2) Sahih: Sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh al-Nasa’i dan dinilai sahih oleh
al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa’i – hadis no: 1604 (Kitab Solat malam, Bab Solat
Malam pada bulan Ramadhan)

(3) Dinukil daripada buku Ismail al-Anshari yang berjudul Tashhih Hadits Solat al-Tarawih
Isyrin Rakaah wa al-Radd ‘ala al-Albani fi Tadh‘aifhi; edisi terjemahan oleh Mahfud Hidayat
dengan judul Otentisitas Hadis Shalat Tarawih 20 Rakaat (Pustaka Firdaus, Jakarta 2003),
ms. 83

(4) Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 473 (Kitab Solat, Bab
Duduk berlingkaran dalam masjid).

Pihak yang menetapkan solat Tarawih kepada rakaat tertentu berhujah bahawa hadis di atas
tidak merujuk kepada perbincangan rakaat tetapi merujuk kepada waktu menunaikan solat-
solat sunat malam. Hujah ini adalah lemah dan tertolak dari dua sudut:

1. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam merujuk kepada persoalan tentang kaifiat (tatacara)
solat-solat sunat malam. Perbincangan tentang jumlah rakaat termasuk dalam keumuman
kaifiat solat.

2. Seandainya jumlah rakaat solat-solat sunat malam memiliki ketetapan, sudah tentu ia
termasuk hal penting yang akan dijelaskan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
ketika menjawab persoalan tersebut. Ini kerana hal yang penting tidak boleh ditangguh atau
dilengah-lengahkan penjelasannya. Apabila Rasulullah tidak menjelaskannya, sama ada
dalam hadis ini atau hadis-hadis yang lain, bererti ia sememangnya tidak memiliki ketetapan.

(5) Majmu’ al-Fatawa (Dar al-Wafa’, Kaherah 2001), jld. 22, ms. 272

(6) Nail al-Authar min Asrar Muntaqa al-Akhbar (Dar al-Turats al-‘Arabi, Beirut 2000), jld.
2, ms. 269

(7) Shahih al-Bukhari – hadis no: 757 (Kitab Azan)

(8) Shahih Bukhari – hadis no: 0828 (Kitab Azan)

(9) Dinukil daripada buku Fatawa Mu‘ashirah (edisi terjemahan oleh al-Hamid al-Husaini
dengan judul Fatwa-Fatwa Mutakhir; Pustaka Hidayah, Bandung 1996), ms. 415
(10) Sanad Jayyid (baik): Dikeluarkan oleh Abu Ya’la di dalam Musnadnya – hadis no: 7184
dengan sanad yang dinilai jayyid oleh Husain Salim Asad

(11) Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram (Dar al-Arqam, Beirut), jld. 1, ms. 219. Untuk
hadis-hadis yang mengajar cara berselawat yang lengkap, rujuk buku penulis Marilah
Berselawat Kepada Rasulullah terbitan Jahabersa, Johor Bahru 2002.

Dalam kitabnya Fiqh al-Sunnah (al-Fath li I’lam al-Arabi, Kaherah 1999), jld. 1, ms. 203
(Bab: Disunatkan meringkaskan tasyahud awal), al-Sayid Sabiq menulis:

Dan disunatkan untuk meringkaskannya padanya (bacaan & duduk tasyahud awal) kerana
diterima daripada Ibn Mas’ud (radhiallahu ‘anh) dia berkata: “Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam, apabila duduk pada dua rakaat yang awal, ia seolah-olah seperti duduk di atas bara
yang panas” Riwayat Ahmad dan para ahli sunan dan berkata al-Tirmizi, hadis hasan kecuali
bahawasanya ‘Ubaidah tidak mendengar daripada ayahnya.

Berkata al-Tirmizi: “Dan telah menjadi amalan atas hal ini di sisi ahli ilmu, mereka memilih
untuk tidak duduk lama pada rakaat yang kedua dan tidak ditambah atas bacan tasyahud apa-
apa.”

Dan berkata Ibn al-Qayyim: “Tidak dinaqal bahawasanya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam
berselawat ke atas dirinya mahupun ke atas ahli keluarganya dalam tasyahud awal, dan tidak
baginda meminta perlindungan padanya daripada azab kubur, azab neraka, fitnah kehidupan,
fitnah kematian dan fitnah al-Masih al-Dajjal. Dan sesiapa yang menyunatkan (untuk
membaca yang) sedemikian, maka sesungguhnya ia hanyalah daripada keumuman dan
kemutlakan, sungguh yang jelas adalah tempatnya hanyalah pada tasyahud akhir.”

Sekian al-Sayid Sabiq. Daripada kata-kata di atas, seolah-olah dibolehkan meringkaskan


bacaan selawat dalam solat ketika duduk tasyahud pertama. Yang benar tidaklah demikian.
Berikut adalah penelitian lanjut ke atas kata-kata al-Sayid Sabiq:

Pertama: Hadis Ibn Mas‘ud.

Hadis yang berbunyi: “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, apabila duduk pada dua
rakaat yang awal, ia seolah-olah duduk di atas bara yang panas” adalah dhaif kerana
sanadnya terputus. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh al-Tirmizi dan dinukil sendiri oleh
al-Sayid Sabiq.
Telah berkata al-Tirmizi: “Hadis hasan kecuali bahawasanya ‘Ubaidah tidak mendengar
daripada ayahnya.” Rujuk Sunan al-Tirmizi – hadis no: 364 di mana gelaran sebenar bagi
‘Ubaidah ialah Abi ‘Ubaidah. Hadis ini juga dikeluarkan oleh Ahmad (1/428 & 460), Abu
Daud (995) dan al-Nasai (1170), semuanya melalui jalan periwayatan yang berpangkal
kepada Abi Ubaidah.

Abi ‘Ubaidah, beliau ialah ‘Ubaidah bin ‘Abd Allah bin Mas‘ud, anak kepada ‘Abd Allah ibn
Mas’ud. Al-Mubarakfuri menukil daripada al-Hafiz al-Munziri bahawa ‘Amr bin Marh
pernah bertanya kepada ‘Ubaidah: “Pernahkah anda menyebut apa-apa daripada ‘Abd Allah
(ayahnya)?” ‘Ubaidah menjawab: “Aku tidak pernah menyebut (meriwayatkan daripada
ayahku) apa-apa.” (Tuhfah al-Ahwazi Syarh Sunan al-Tirmizi (Dar al-Kutub al-Ilmiah,
Beirut), jld. 2, ms. 301)

Namun hadis Ibn Mas‘ud ini memiliki penguat daripada apa yang diriwayatkan oleh Tamim
bin Salamah, yang dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah bahawa Abu Bakar radhiallahu ‘anh:
“Apabila duduk pada dua rakaat yang awal, ia seolah-olah seperti duduk di atas bara yang
panas” Berkata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Talkhish al-Habir fi Takhrij Ahadits
al-Rafi’ie al-Kabir: “Isnadnya sahih.” Ini dinukil oleh al-Mubarakfuri di dalam Tuhfah al-
Ahwazi, jld. 2, ms. 302. Oleh itu penilaian hasan oleh al-Tirmizi tidak sahaja dengan merujuk
kepada hadis Ibn Mas‘ud tetapi juga perbuatan seorang sahabat yang lain, iaitu Abu Bakar
radhiallahu ‘anh.

Setelah sabit darjat hadis, kita beralih kepada matannya pula. Kata-kata “seperti duduk di atas
bara yang panas” adalah kiasan bagi menunjukkan duduk yang tidak lama. Yang perlu dikaji
sekarang ini adalah lama dari ukuran siapa? Ini kerana lama atau tidak adalah sesuatu yang
relatif. Memandangkan hadis di atas merujuk kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam,
maka kita menggunakan solat baginda sebagai skala ukuran.

Sesiapa yang lazim membaca hadis-hadis tentang tatacara baginda bersolat, nyata bahawa
qiyamnya, rukuknya, sujudnya dan sebagainya adalah amat lama. Termasuk sifat solat
baginda ialah duduk lama apabila membaca tasyahud akhir. Ini kerana baginda berdoa di
akhir tasyahud sebelum beri salam. Perlu digariskan bahawa sunnah Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam dalam berdoa bukanlah setelah selesai solat sepertimana yang lazim kita
lakukan, tetapi berdoa selepas bacaan tasyahud dan sebelum beri salam. Oleh itu duduk
membaca tasyahud akhir bagi baginda memang amat lama.
Jika hal ini jelas kepada kita, fahamlah bahawa perbandingan yang dilakukan oleh Ibn
Mas‘ud ialah antara duduk tasyahud awal dan akhir. Jelas bahawa daripada pengamatan
beliau, duduk pada tasyahud awal bagi Rasulullah adalah lebih pendek tempoh berbanding
tasyahud akhir. Namun adakah lebih pendek bererti baginda meringkaskan bacaan
selawatnya?

Tidak boleh dirumuskan demikian kerana hadis di atas tidak bersifat membezakan antara
bacaan selawat yang dibaca. Yang dibezakan hanya tempoh duduk. Berdasarkan analisa
kepada sifat solat baginda secara keseluruhannya, dapat diketahui bahawa yang menyebabkan
perbezaan tempoh adalah sama ada baginda membaca doa di akhir selawat atau tidak. Bagi
duduk tasyahud akhir, baginda sememangnya diketahui membaca doa sebelum memberi
salam. Manakala bagi duduk tasyahud awal baginda tidak membaca doa, maka kerana itulah
duduk baginda lebih pendek tempohnya. Oleh itu hadis Ibn Mas‘ud di atas bukan dalil bagi
membezakan antara selawat ringkas dan selawat penuh antara tasyahud awal dan tasyahud
akhir.

Kedua: Kata-kata al-Tirmizi.

Berkata al-Tirmizi setelah mengeluarkan hadis di atas: “Dan telah menjadi amalan atas hal ini
di sisi ahli ilmu, mereka memilih untuk tidak duduk lama pada rakaat yang kedua dan tidak
ditambah atas bacan tasyahud apa-apa.” Tumpuan kita adalah kepada kata-kata: “……..dan
tidak ditambah atas bacaan tasyahud apa-apa”.

• “…..Tidak ditambah…..” merujuk kepada apa-apa doa selepas itu, yakni ia tidak dibaca
dalam tasyahud awal.

• “…..atas bacaan tasyahud apa-apa” merujuk kepada bacaan tasyahud yang diajar oleh
Rasulullah. Di sini, semua hadis baginda yang menerangkan bacaan tasyahud dan selawat
adalah secara penuh tanpa ada selawat yang ringkas.

Oleh itu, kata-kata al-Tirmizi juga bukan hujah untuk membezakan antara selawat ringkas
dan selawat penuh antara tasyahud awal dan tasyahud akhir.

Ketiga: Kata-kata Ibn al-Qayyim.

Kata-kata Ibn al-Qayim yang dinukil oleh al-Sayid Sabiq diambil daripada kitab Zaad al-
Ma’ad (Muassasah al-Risalah, Beirut 1999), jld. 1, ms. 198:
Tidak dinaqal bahawasanya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berselawat ke atas dirinya
mahupun ke atas ahli keluarganya dalam tasyahud awal, dan tidak baginda meminta
perlindungan padanya daripada azab kubur, azab neraka, fitnah kehidupan, fitnah kematian
dan fitnah al-Masih al-Dajjal. Dan sesiapa yang menyunatkan (untuk membaca yang)
sedemikian, maka sesungguhnya ia hanyalah daripada keumuman dan kemutlakan, sungguh
yang jelas adalah tempatnya hanyalah pada tasyahud akhir.

Perhatian ditujukan kepada kata-kata beliau: “Tidak dinaqal (dinukil) bahawasanya


Nabi……”. Kaedah usul fiqh menyatakan, apabila bertembung antara penafian dan
penetapan, hendaklah diunggulkan penetapan. Ini kerana penafian adakalanya berlaku kerana
ketidaktahuan atau sememangnya penetapan tersebut tidak memerlukan sebarang penafian.

Merujuk kepada kata-kata Ibn al-Qayyim di atas, beliau menafikan wujudnya apa-apa riwayat
daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam di mana baginda berselawat atas dirinya dan ahli
keluarganya dalam tasyahud awal. Bererti – mengikut ijtihad Ibn al-Qayyim – baginda
langsung tidak membaca selawat pada tasyahud awal. Namun penafian Ibn al-Qayyim tetap
perlu dianalisa berdasarkan kaedah usul fiqh di atas. Dalam bab ini kita ada hadis yang
menetapkan bacaan tasyahud dan selawat secara penuh. Hadis-hadis ini tidak ada yang
menerangkan bahawa dalam tasyahud awal bacaan selawat boleh dipisahkan. Maka apa yang
ditetapkan oleh hadis-hadis yang sahih diunggulkan di atas penafian Ibn al-Qayyim. Ini
kerana penafian beliau mungkin berakibat daripada ketidaktahuannya terhadap kewujudan
riwayat tersebut.

Wujud kemungkinan kedua di mana dalam bab ini sememangnya tidak ada riwayat. Ini
kerana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sememangnya tidak membezakan bacaan
selawat antara tasyahud awal dan tasyahud akhir. Apabila tidak wujud perbezaan, maka tidak
perlu untuk para sahabat meriwayatkan sesuatu yang menerangkan perbezaannya. Di sini
kaedah usul fiqh menyatakan, apabila terhadap sesuatu perkara tidak wujud riwayat yang
menerangkan tentangnya, maka perkara tersebut dikembalikan kepada dalil yang paling dekat
kepadanya. Dalam bab ini, dalil yang terdekat ialah hadis-hadis yang menerangkan bacaan
tasyahud dan selawat secara lengkap tanpa membezakan antara tasyahud awal dan akhir.

Oleh itu sekali lagi, kata-kata Ibn al-Qayyim tidak dapat dijadikan hujah bahawa selawat
pada duduk tasyahud awal hanya sekadar “Allahumma sholli ‘ala Muhammad” atau tidak
perlu dibaca langsung.
Rumusan:

Demikian sedikit penelitian ke atas kata-kata al-Sayid Sabiq daripada kitabnya yang masyhur,
Fiqh al-Sunnah. Apabila al-Sayid Sabiq berkata: “Dan disunatkan untuk meringkaskannya
padanya (bacaan & duduk tasyahud awal)…..” secara zahir beliau tidak bermaksud
meringkaskan bacaan selawat kecuali apabila berhadapan dengan kata-kata Ibn al-Qayyim.

Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah (757H) adalah seorang tokoh yang memang
amat luas ilmunya, anak murid kepada Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H).
Beliau telah berijtihad dalam bab membezakan bacaan selawat antara tasyahud awal dan
tasyahud akhir. Akan tetapi ini tidaklah bermakna kita tidak boleh menganalisa dan mengkaji
apa yang beliau ijtihadkan. Kita menghormati dan menyayangi beliau, tetapi Allah dan Rasul-
Nya lebih kita hormati dan sayangi.

(12) Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Ibn Khuzaimah di dalam Shahihnya – hadis no: 474
dengan sanad yang dinilai hasan oleh Muhammad Mustafa al-‘Azami

Anda mungkin juga menyukai