Anda di halaman 1dari 15

MENGENAL DAN MEMAHAMI ADAT PERPATIH

(Nadzan Haron)

Banyak kajian telah dihasilkan tentang adat perpatih sama ada di Minangkabau
atau di Negeri Sembilan, kebanyakan kajian ini tertumpu kepada aspek kemasyarakatan
meliputi sistem kekeluargaan, sistem ekonomi, upacara dan adat istiadat yang berkaitan.
Namun, tidak banyak kajian tentang aspek perundangan khasnya perlembagaan adat itu
sendiri. Masih banyak pesaka peninggalan nenek moyang yang harus dapat ditimbulkan,
yang dapat diselam dan dicari. Dalam kertas tugasan ini penulis ingin menarik perhatian
bagi Mengenal dan Memahami Adat Perpatih lebih menyeluruh dengan melihatnya
dari perspektif Sistem Nilai dan dari perspektif Perlembagaan Adat. Kekeliruan orang
luar terhadap adat perpatih adalah kerana kejahilan tentang system nilai adat itu
menyebabkan mereka memberikan tanggapan yang negative terhadap adat dan
masyarakat yang mengamalkannya. Dari perspektif perlembaggan pula adat perpatih
mendahului pemikiran politik Barat tentang konsp kerajaan berperlembagaan dan konsep
raja berperlembagaan yang diamalkan dalam system politiknya.

Adat Perpatih
Adat Perpatih ialah sistem dan susunan social yang mengstruktur cara hidup
masyarakat yang berasas konsep matrilini. Peraturan-peraturan hidup ini disesuaikan
dengan kehendak-kehendak hidup bersuku dan hidup atas prinsip budi dan muafakat.
Peraturan-peraturan ini terkandung dalam perbilangan adat, dikenali juga sebagai kata
pesaka. Maksim adat yang diamalkan secara turun menurun ini menyarankan cara yang
patut dalam melakukan sesuatu supaya masyarakat dapat bergerak secara licin dan
tenteram. Peraturan-peraturan ini meliputi keseluruhan aspek kehidupan yang
merangkumi social, ekonomi dan politik. ia mempunyai tatatertib social yang jelas dan
peranan anggota masyarakat yang dilampini budi; ia mengambil tamthil daripada alam
dan banyak mengandungi falsafah hidup yang tinggi nilainya. Dalam amalan hidup pula,
adat perpatih menggalakkan hidup bergotomg royong, tolong menolong dan bantu
membantu. Ia ada peraturan bagi seseorang memasuki keluarga baru melalui
perkahwinan (orang semenda-menyemenda); ia ada sistem agihan harta, menghormati
kaum ibu serta perut dan suku.

Dalam sistem politik yang diamalkan adat perpatih mengaturkan bagaimana


masyarakat ditadbirkan, bagaimana pemimpin dipilih, serta bidangkuasa yang ditentukan
kepada sesaorang pemimpin mengikut stratifikasi social mereka di peringkat kelompok
yang kecil, kelompok suku, kelompok wilayah dan di peringkat konfederasi yang
dibentuk. Selain hiraki dan pentadbirannya yang ‘demokratik’, adat mempunyai unsur-
unsur keadilan sejagat, mewujudkan golongan pemimpin berlapis; ia bersistem
berjenjang naik bertangga turun.

0
Inti kepada kekuatan adat adalah muafakat. Ia adalah kunci kepada segala tabii
dan perlakuan masyarakat. Adat mengaturkan pengamalnya bahawa sebarang keputusan
haruslah dibuat melalui kerapatan atau berkampung1. Dalam kerapatan ahli-ahli akan
membincangkan masalah social, ekonomi mahupun politik tersebut bagi mencari cara
penyelesaian. Tindakan menyelesaikan masalah dalam kerapatan tersebut diistilahkan
sebagai muafakat. Hasil yang dicapai bukan melalui undi majority, tetapi bulat suara:
Bulat air dek pembetung
Bulat manusia dek muafakat
Penghulu beraja ke muafakat
Muafakat beraja kepada yang benar
Ibiu hukum muafakat
Ibu adat muafakat

Adat berdasarkan prinsip baik dipakai dek muafakat, buruk dibuang dek
rundingan. Dalam ertikata adat perpatih yang diamalkan ini adalah dinamik, tidak statik
berubah mengikut keperluan zaman dan nilai-nilai semasa tanpa menyeleweng daripada
norma dan prinsip-prinsip dasarnya seperti kata perbilangan:
Yang buruk di perbaharui
Yang usang diganti
Sekali air bah
Sekali tepian berubah
Namun air kehilir juga
Sekali besar berganti
Sekali peraturan berubah
Namun adat begitu juga
Perubahan ini dibuat melalui permuafakatan, rundingan serta persetujuan anggota
masyarakat yang mendukungnya.Yang tidak boleh berubah adalah yang asasi sahaja iaitu
adat nan sebenar adat.

Adat Perpatih Dari Perspektif Sejarah


Diriwayatkan dalam Tambo Alam Minangkabau, iaitu legenda asal usul
Minangkabau, Datuk Perpatih Nan Sabatang, berketurun seorang bijaksana bernama
Cati Bilang Pandai, penasihat kepada Sri Maharajo Dirajo, raja pemula Minangkabau,
telah mewujudkan system matrilini melalui keutuhan Ibu Kandung. Manakala seorang
lagi bernama Datuk Katumanggungan.2 mengasaskan system kemasyarakatan yang
lebih menekankan kebapaan. Orang Minangkabau mempercayai penuh keyakinan,
kedua orang tokoh ini merupakan pendiri Adat Bodi Caniago dan Adat Koto
Piliang. Panggilan adat perpatih hanya bermula semenjak kedatangan Islam pada abad
ke 15, ini adalah seiring dengan terasasnya adat perpatih di wilayah yang kemudiannya

1
Kerapatan membawa maksud pertemuan atau perhimpunan pemimpin politik adat. Berkampung pula
membawa erti pertemuan atau perhimpunan anggota suku. Nan jauh dijemput, nan dekat dikampungkan ,
hilang dicari, cicir dipungut.
2
Datuk Perpatih Nan Sabatang dan Datuk Katumanggungan adalah merupakan dua orang bersaudara satu
ibu berlainan ayah.

1
pada pertengahan abad ke 18 membentuk konfederasi Negeri Sembilan. Perkataan adat
berpunca daripada istilah Arab addad, dalam pengertian luasnya nilai dan perilaku
social yang bertradisi, yang diiktiraf dan diamalkan menurut lunas-lunas
kemasyarakatan. Daripada istilah adat itu timbullah terbitan-terbitan lain seperti
adat resam, adat istiadat, adat yang diadatkan, adat yang sebenar adat, adat nan
kawi dan sebagainya. Dengan kedatangan Islam, maksim adat bersandarkan syarak
mula disesuai dan dikuatkuasakan sesuai atas tuntutan keagamaan.

Adat bersandar kepada yang benar


Yang benar bersandar kepada Kitabullah
Adat berkata, syarak membenarkan.

Adat Perpatih Negeri Sembilan


Adat perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan dan Naning mempunyai
sejarah yang lama di tanah Minang sebelum menyeberangi Selat Melaka sekitar abad
kelima belas. Sebelum kedatangan Inggeris ke Negeri Sembilan, undang-undang
kemasyarakatan setempat ialah adat perpatih yang dijalini hukum syarak. Walau pun
pertelingkahan antara pemimpin sering berlaku di negeri beradat itu, peranan adat
perpatih tetap terurus dan berfungsi. Adat adalah juga sistem politik yang mengaturkan
bagaimana masyarakat ditadbirkan,

Adat perpatih yang terasas di Negeri Sembilan ini adalah adunan adat perpatih
yang diamalkan di Minangkabau dengan adat tempatan (penduduk asal) dan disesuaikan
dengan hukum syarak. Maka itu terdapat unsur-unsur kelainan sekiranya diteliti
berbanding dengan yang asal di Minangkabau.3

Dalam budaya Minangkabau terdapat institusi merantau, berdagang atau


berhijrah. Perkembangan adat perpatih di Negeri Sembilan adalah melalui carahidup
yang dibawa oleh orang-orang Minang yang datang berdagang di Melaka dan yang
membuka petempatan. Wilayah pantai timur Sumatera termasuk sebahagian wilayah
Minangkabau, pada abad ke 15 adalah wilayah Kesultanan Melaka yang meliputi seluruh
Semenanjung Tanah Melayu. Maka itu kedatangan peneroka dari Minangkabau adalah
suatu amalan yang biasa.

Penduduk asal wilayah yang diterokai oleh orang Minangkabau ini adalah
masyarakat yang mengamalkan system matrilini maka itu adat perpatih yang dibawa oleh
orang-orang Minangkabau yang mengamalkan system berkenaan diterima dan dapat
berkembang. Percambahan adat perpatih Minangkabau dengan adat tempatan penduduk
asal dan perkembangan agama Islam di wilayah kesultanan Melaka inilah yang
membentuk adat perpatih Negeri Sembilan. Kebanyakan di antara perantau ini adalah
dari wilayah Paya Kumbuh, Batu Hampar, Tanah Datar, Sri Lemak dan lain-lain kawasan
Minang yang kemudiannya dijadikan asas suku yang terdapat.

3
Untuk penelitian tentang adat perpatih Minangkabau lihat Adat Minangkabau (Sejarah dan Budaya) oleh
Lembaga Kerapatan Adat Alam Minangkabau Sumatera Barat yang diterbitkan pada tahun 1987.

2
Ketika itu terbentuklah suku Biduanda sebagai suku utama dalam system adat
perpatih Negeri Sembilan. Suku ini adalah suku yang terbesar, terdapat dalam mana-
mana jua wilayah adat atau luak kerana Biduanda adalah suku bagi keturunan daripada
penghuni asal. Dari suku ini juga wujud Biduanda Waris yang diterima oleh adat sebagai
waris yang berhak keatas negeri dan jawatan Penghulu Luak.4 Negeri yang dibuka itu
diuntukan berdasarkan status:
Sawah yang berjinjang
Pinang yang gayu
Nyiur yang saka
Lembaga yang punya

Gaung guntung
Bukit bukau
Waris dan Penghulu yang punya

Air segantang selubuk


Sedangkang berbunyi
Siamang berjawat-jawat
Tempat ungka berdayu-dayu
Batin yang punya

Melihat perkembangan ini pada peringkat permulaan lagi sudah ada legitimasi
penerimaan pengagihan kuasa antara masyarakat yang datang dengan masyarakat yang
menunggu. Legitimasi pengagihan kuasa ini mempengaruhi perkembangan system politik
yang terbentuk. Perlu diingat juga tidak semua kawasan di Minangkabau dan Negeri
Sembilan mengamalkan adat perpatih dalam ertikata sebenarnya.

Keseluruhan sistem adat perpatih di Negeri Sembilan ini boleh dikategorikan


kepada empat jenis iaitu:
• Adat nan sebenar adat
Kategori ini tidak mungkin berubah kerana adat perpatih adalah berdasarkan
kejadian alam semula jadi. Hidup bersuku, mengira keturunan dari nisab ibu,
hukum tanah pesaka. Kesemua peraturan ini adalah asas adat perpatih yang
dikatakan

Tak lapuk dek hujan


Tak lekang dek panas
Dianjak layu dicabut mati

Peraturan asasi yang dimaksudkan ialah:

4
Penghulu merupakan ketua bagi wilayah adat termasuk luak Sungai Ujong, Jelebu Johol dan Rembau.
Gelaran Undang bagi empat luak utama ini diperkenalkan semasa Pentadbiran British. Dokumen pertama
yang menggunakan gelaran Undang bagi Penghulu Luak yang berkenaan ialah Perjanjian Di Antara Yam
Tuan Besar Seri Menanti Dengan Undang Yang Empat 1898. Tujuan adalah untuk membezakan hiraki
ketua adat yang biasa dengan ketua adat yang berkuasa memilih dan menabalkan Yang Di Pertuan Besar
Negeri Sembilan.

3
Dari nenek turun ke mamak
Dari mamak ke kemanakan
Patah tumbuh hilang berganti
Pesaka begitu jua

• Adat nan teradat


Kategori ini adalah kelaziman, kekerapan dan kebiasaan manusia melakukannya,
misalnya hormat kepada yang tua, kepatuhan anakbuah kepada lembaga dan
sebagainya.

• Adat nan diadatkan


Merupakan ketetapan dan peraturan yang dibuat hasil daripada permuafakatan
dan musyawarah antara ketua-ketua adat. Misalnya pindaan keatas perlembagaan
adat yang dibuat setelah menamatkan adat menjemput seorang anak raja dari
Pagaruyung untuk ditabalkan menjadi Yang DiPertuan Besar pada tahun 1830an
dahulu..

• Adat istiadat
Kategori ini merupakan hiasan dan tambahan kepada ketiga kategori tersebut.
Tujuan adalah untuk mencantikkan adat yang sedia ada.

Segala peraturan atau undang-undang adat perpatih terkandung dalam kata-kata atau
perbilangan, perumpamaan, peribahasa, pantun, tamthil, teromba dan sebagainya. Kata-
kata adat ini diturunkan secara lisan dari satu generasi ke satu generasi. Masyarakat yang
mencipta perbilangan ini ialah masyarakat tani. Ciptaan mereka tidak dapat lari dari
menggunakan kiasan-kiasan dari alam sekitar yang membendung hidup mereka. Yang
dipentingkan bukanlah kesragaman kata tetapi idea disebaliknya.

Kata adat banyak kiasan


Ditunjuk dia tetapi bukan
Bergulung pendik panjang direntang
Tak faham kalau tak direnungkan

Sistem Nilai Adat Perpatih


Untuk mengenal dan memahami Adat Perpatih perlu dilihat dari sistem nilai yang
merangkumi struktur sosio-politiknya. meliputi:

• Nilai terhadap adat


Adat adalah peraturan hidup. Adat menimbulkan yang baik, menghilangkan yang
buruk. Adat membawa ketenteraman dalam masyarakat. Setiap peraturan adat
yang asasi itu mempunyai nilai kebaikan. Adat juga adalah dinamik.

• Nilai tentang budi

4
Budi adalah nilai yang utama dalam adat perpatih. Hampir semua unsur-unsur
adat perpatih ada hubungannya dengan budi kerana budi itu adalah satu cara
hidup. Budi boleh disumbangkan melalui pemberian material; tenaga; pekerti,
(yang tua dimuliakan, yang muda dikashi, sebaya hormat menghormati); bahasa;
kerelaan.

• Nilai tentang kaum perempuan


Kaum perempuan dianggap sebagai sesuatu yang suci dan indah, sebagai sumber
kasih sayang, sumber kekuatan rumahtangga dan keselamatan dunia akhirat.
Kaum perempuan menetukan kualiti generasi akan datang. Baik buruk sianak
bergantung kepada ibu:
Kalau kurik induknya, rintik anaknya
Kalau keruh air di hulu, sampai ke muara keruhnya.
Kunci maruah adalah perempuan, jika seorang perempuan membuat perkara yang
tidak baik, malunya ditanggung oleh seluruh suku. Maka itu kaum perempuan
harus mempunyai jaminan hidup supaya tidak porak peranda dan dapat mendidik
anak dengan sempurna. Adat menentukan perempuan waris tanah pesaka, bila
mereka berkahwin suami berpindah untuk tinggal di tempat isteri. Sekiranya
berlaku perceraian lelakilah yang mesti keluar.
Sigai mencari enau, enau tetap sigai beranjak.

• Nilai tentang individu


Adat menggalakkan individu mempunyai sifat-sifat terpuji seperti menjaga nama
dan maruah, sabar dan mengalah, berani kerana benar, menentang dengan
berperaturan, bersifat ideal iaitu beragama, berada dan berilmu pengetahuan, dan
bertanggungjawab

• Nilai tentang hidup bermasyarakat


Dalam adat perpatih, nilai hidup bermasyarakat ialah nilai hidup bermuafakat.
Muafakatmembawa makna dan tujuan berbagai:
Timbang rasa,
Yang elok pada awak itu
Setuju pada orang hendaknya
Sakit pada awak sakit pada orang
Lemak pada awak lemak pada orang

Tolong menolong,
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Ke bukit sama didaki, ke lurah sama menuruni

Persefahaman,
Rundingan jangan selisih, muafakat jangan bercanggah
Tuah pada sekata, brani pada seiya

Bahagi membahagi,
Jika mendapat sama berlaba, kehilangan sama berugi

5
Perpaduan,
Seikat seperti sirih, serumpun seperti serai
Jalan sedundun, selenggang seayun

Samarata,
Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi

Bertatatertib,
Berjinjang naik bertangga turun

Kepatuhan,
Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung

Setia,
Adat bersaudara, saudara pertahankan
Adat bersuku, suku pertahankan
Adat bernegeri, negeri pertahankan

Hormat menghormati
Adat menekankan bahawa dalam masyarakat tidak ada orang yang tidak berguna.
Semua ada harga diri dan dihormati walau bagaimana daif dan cacat sekali pun.

Kejujuran
Anggota yang besar dan berkuasa jangan menghimpit yang lemah, anggota yang
cerdik dan pandai jangan menipu yang bodoh.

• Nilai tentang ekonomi


Ekonomi dilambangkan dengan perkataan emas. Adat mengakui sebagai hakikat
bahawa kehormatan dan harga diri banyak bergantung kepada kedudukan
ekonomi. Kedudukan ekonomi yang teguh berkait brapat dengan maruah. Untuk
menjaga maruah, orang perlu ada emas, iaitu wang dan harta yang cukup. Adat
menyuruh anggotanya rajin berusaha untuk mencari harta. Rezeki secupak tak
akan jadi segantang dan ulat dalam batu pun ada rezekinya tidak ada dalam
adat. Bagi anak muda lelaki merantau adalah suatu suruhan tegas, diharapkan
mereka kembali membawa kekayaan dan pengalaman.

• Nilai tentang kepimpinan


Pemimpin dalam adat ialah ketua-ketua adat buapak, lembaga, penghulu dan
Yamtuan. Adat mensyaratkan seorang calun dipilih berdasarkan saka, baka dan
syarat memerintah. Calun mestilah lelaki, berhak dicalunkan dari segi
keturunan, beragama Islam, sudah dewasa, keturunan yang baik, mestilah
dipersetujui untuk memimpin oleh orang-orang yang bakal dipimpinnya.
Pemimpin mestilah mempunyai gembelingan sifat-sifat dalam adat disebut tali
berpilin tiga atau tungku tiga sejerangan. Seorang pemimpin harus pandai dalam
hal agama, pandai dalam hal adat dan mempunyai kesanggupan intelek. Yang

6
unggul ialah pemimpin yang mempunyai kedudkan ekonomi yang baik, badan
yang sihat, watak yang baik – mempunyai sifat pemurah, amanah, tegas, sabar,
bertanggungjawab, sentiasa bercakap benar dan tabligh (pengetahuan yang
mendalam tentang adat).
Kepimpinan dalam adat berlandaskan dua konsep iaitu muafakat dan budi.
Sesuatu keputusan mestilah dicapai dengan muafakat. Dalam mencari kata putus
perlu ada tolak ansur bagi kesempurnaan dan kebaikan untuk masyarakat. Tolak
ansur ini adalah budi kepada masyarakat.
Sentiasa menjaga pantang larang pemimpin.

• Nilai pertentangan agama dan adat


Kedua-duanya mempersoalkan kebaikan, adat menghilangkan yang buruk,
menimbulkan yang baik; syarak menyuruh berbuat baik menegah berbuat jahat
(amal maarof nahi mungkar). Pada masyarakat adat, hubungan antara adat dengan
syarak adalah saling lengkap melengkapi.
Adat dipakai, syarak diturut
Syarak mengata, adat memakai
Adat bersendi hukum
Hukum bersendi kitabullah

Adat Perpatih Dari Perspektif Perlembagaan


Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi yang menubuh dan mengawal
keseluruhan institusi dan sistem kerajaan sesebuah negara. Perlembagaan mengawal
struktur, fungsi dan kuasa organ-organ utama kerajaan dalam hubungan antara satu organ
dengan organ yang lain serta hubungan organ-organ berkenaan dengan rakyat. Undang-
undang ini merupakan hasil yang dipersetujui bersama dikuatkuasakan untuk menjamin
keadilan dan kesejahteraan dan mewujudkan kestabilan politik negara. Mengikut konsep
moden perlembagaan perlu mengandungi 6 prinsip sejagat meliputi doktrin pengasingan
kuasa, kontrak social, rule of law, kedaulatan parlimen, penyertaan rakyat dalam kerajaan
dan kebebasan badan kehakiman.
Berasaskan kepada definisi ini seorang sarjana Barat mengataka:
… if any European students imagine that constitutional government is alien to the
Asiatic mind he may study the Minangkabau system with profit, for it is genuine Malay
creation and owes nothing to alien influence….
Dalam ertikata kerajaan berperlembagaan dan raja berperlembagaan bukanlan
suatu yang asing dalam system adat perpatih. Minangkabau mendahului United
Kingdom mewujudkan system raja berperlembagaan. United Kingdom telah melalui
suatu revolusi berdarah bagi mewujudkan system berkenaan pada tahun 1688.
Perlembagaan adat yang mula menginstitusikan Raja Melewar sebagai Raja
berperlembagaan mendahulu Revolusi Perancis 1789 dan mana-mana negara lain yang
mengalami kemudiannya..

Perlembagaan adat adalah segala hukum adat perpatih yang terkandung dalam bentuk
perbilangan yang dijadikan sebagai undang-undang bagi penubuhan sistem politik yang

7
diamalkan sebelum dan selepas pembentukan konfederasi pada abad ke 18 dan
penubuhan institusi raja. Perbilangan ini diciptakan, diterima pakai oleh masyarakat yang
mendukungnya dan dijadikan sebagai asas pembentukan sistem politik negeri (luak) dan
sistem konfederasi Negeri Sembilan. Perbilangan juga diciptakan sebagai asas penubuhan
dan pembahagian bidang kuasa institusi-institusi tradisional yang terlibat, khasnya waris,
buapak, lembaga, penghulu dan raja. Undang-undang perlembagaan adat ini terkandung
didalam kata-kata adat atau perbilangan. Semua perbilangan ini perlu ditafsirkan
bersama dengan peraturan-peraturan adat yang berkaitan seperti dalam system nilai,
system kekeluargaan, system ekonomi dan system hukum adat yang diamalkan dan
sejarah yang dilalui.

Selain daripada perbilangan ini ialah peraturan dan istiadat yang ditetapkan oleh
adat yang boleh diklasifikasikan sebagai sebahagian daripada undang-undang
perlembagaan adat. Misalannya kelayakan calun bagi mengisi kekosongan sesuatu
institusi, siapa yang berkuasa membuat pemilihan, cara pemilihan yang perlu
dilaksanakan, pemasyhuran dan seterusnya adat istiadat yang ditetapkan, yang boleh
dianggap sebagai kovensyen perlembagaan.adat itu.

Kata-kata adat ini tersusun secara lisan. Ia diturunkan dari satu generasi ke satu
generasi. Daya ingatan adalah memainkan peranan penting dan dalam konteks ini
memang berkemungkinan wujud sedikit sebanyak tokok tambah dari mulut ke mulut dan
dari zaman ke zaman. Tidak semua kata-kata adat itu dapat dikelaskan sebagai undang-
undang atau ciri-ciri yang berunsur undang-undang. Sebahagian besar cuma berupaya
memberi pernyataan am yang mencerminkan tingkah laku dan budi pekerti. Yang
ditakrifkan sebagai undang-undang adalah peraturan yang dibuat oleh sesuatu unit
berkuasa yang bersifat sovereign atau berdaulat dan sebarang pencabulan atau
penyelewengan peraturan ini akan menerbitkan hukuman.
Perlembagaan adat yang mantap ini mewujudkan system pemerintahan berperlembagaan
dan system raja berperlembagaan.

Pemerintahan Berasaskan Perlembagaan Adat


Perbilangan yang diklasifikasikan menjadi undang-undang perlembagaan ini
meliputi:
Alam beraja
Negeri berpenghulu;
Suku bertua
Anak buah beribu bapa
Orang Semenda bertempat semenda
Perlembagaan moden menubuhkan 3 peringkat yang autonomous bermula dari peringkat
tempatan, negeri, dan pusat. Perbilangan ini melambangkan perlembagaan adat juga
menubuhkan struktur politik yang berperingkat bermula dari peringkat bawah iaitu
buapak, suku, luak dan seterusnya alam (konfederasi). Secara langsung ia menubuhkan
institusi yang memimpin pada setiap peringkat

Bulat anakbuah menjadikan Buapak


Bulat Buapak menjadikan Lembaga

8
Bulat Lembaga menjadikan Penghulu
Bulat Penghulu menjadikan keadilan
Perbilangan ini menggariskan peraturan yang perlu diikut sebagai peraturan yang sah
bagi memilih dan memasyhurkan ketua bagi satu-satu peringkat berkenaan. Perbilangan
ini juga menampakkan unsur demokrasi dan pada teorinya ada penyertaan rakyat walau
pun tidak dalam erti demokrasi sepenuhnya.

Patah tumbuh hilang berganti


Ganti hidup berkerelaan
Ganti mati berkebulatan
Kebulatan anak buah membuat atau memecat buapak
Buapak bulat, warisnya rapat, membuat atau memecat tua
Kebulatan tua, boleh membuat atau memecat penghulu
Penghulu bulat, lembaga rapat, waris sedia,
membuat atau memecat raja

Perlembagaan adat memperuntukkan kuasa bagi memecat sesaorang pemimpin


termasuk Raja dan Penghulu yang hilang kelayakan kerana bertindak diluar bidang kuasa
yang diperuntukkan oleh adat, melanggar etika kelakuan, atau kerana kecacatan
fizikalnya menjadikan ia tidak sesuai memimpin. Semua jawatan dalam system adat
adalah jawatan sepanjang hayat. Namun pemecatan dibenarkan bagi seorang penjawat
yang telah hilang kelayakan tertentu. Seorang Penghulu boleh dipecat sekiranya beliau
zalim dalam menjalankan tugas atau sekiranya tidak tahu menjaga kedudukannya seperti
kata pepatah: Orang beradat tiada tahu akan adatnya, maka gugur pesakanya. Kuasa
menjadikan Penghulu adalah kuasa Lembaga, maka itu Lembaga-Lembaga boleh
menasihatkan salahlaku Penghulu dan sekiranya dia engkar dia boleh dipecat melalui
kuasa kebulatan Lembaga.

Raja menobat di dalam alam


Penghulu menobat di dalam luak
Lembaga menobat dalam lingkungannya
Buapak menobat pada anak buahnya
Orang banyak menobat dalam terataknya

Peruntukan perbilangan ini menjelaskan parameter bidang kuasa sesaorang ketua


adat dan juga kuasa individu biasa. Terdapat prinsip pengagihan kuasa dari peringkat
bawah sehingga keperingkat atas dalam melaksanakan kuasa eksekutif dan kehakiman.
Dengan demikian prinsip-prinsip adat yang mantap ini menjadi panduan
masyarakat apabila mereka mewujudkan institusi beraja seolah kedudukan Yam
Tuan itu merupakan seorang raja berperlembagaan. Pada teorinya Yam Tuan berkuasa
tetapi pada praktiknya segala tindakan baginda dikawal oleh perlembagaan adat.

Nan bergajah tunggal


Memancung putus
Meliang tembus
Memakan habis

9
Membunuh mati
Boleh menghitam dan memutihkan
Boleh memanjang dan memendekkan
Boleh mengsah dan membatalkan
Perbilangan ini menjelaskan kedudukan kebesaran Penghulu Luak Yang Empat serta
ketinggian bidang kuasa yang diperuntukkan oleh perlembagaan adat itu.
Melihat kepada pemerintahan berperlembagaan yang ditubuhkan oleh perlembagaan adat
itu walau pun tidak setepat dengan konsep kerajaan berperlembagaan sepenuhnya namun
dalam perlembagaan adat itu ada unsur-unsur prinsip sejagatnya. Contohnya doktrin
pengasingan kuasa yang menjadi teras dalam system kerajaan berperlembagaan, walau
pun ini tidak begitu jelas dalam perlembagaan adat tetapi kuasa perundangannya adalah
diputuskan melalui kemuafakatan yang berlangsung dibalai adat . Kuasa eksekutif pula
diagihkan mengikut fungsi hiraki ketua adat berkenaan. Begitu juga kuasa kehakiman
adalah juga mengikut hiraki serta perlaksanaan melalui mesyuarah dan muafakat serta
berpandukan kepada nilai keadilan dan hukuman yang digariskan oleh adat.
Begitu juga dengan prinsip penyertaan rakyat dalam kerajaan, walau pun ‘demokrasi’ ini
terhad perlembagaan adat mempunyai prinsip ini seperti system pemilihan bagi sesuatu
jawatan ketua adat, bahkan bagi pemilihan Yamtuan.

Sistem Raja Berperlembagaan

Ada pun Raja itu tiada bernegeri


Dan tiada boleh mencukai kharajat,
Melainkan berkeadilan sahaja,
Serta permakanannya duit sasuku,
beras segantang dan nyior setali.

Peruntukan ini menjelaskan kedudukan Yamtuan, tugas dan bidangkuasa yang


ada pada baginda menjadikan baginda seorang Raja Berperlembagaan.

Apakah yang dikatakan raja berperlembagaan itu? Umumnya ia merujuk kepada


raja atau sistem beraja yang kuasa dan autoritinya terbatas (Raja Azlan Shah, 1986: 88-
89) Batasan ini boleh bersumberkan peruntukan didalam perlembagaan atau tradisi serta
nilai yang tertentu didalam masyarakat berkenaan. Meski pun demikian didalam dunia
moden konsep atau definisi raja berperlembagaan sering dilihat sebagai raja yang dibatasi
oleh peruntukan-peruntukan tertentu didalam perlembagaan. Selain itu kuasa atau sistem
pemerintahan didalam negara berkenaan dipilih melalui pilihanraya yang adil dan bebas.

Pada awalnya tidak ada perbilangan tentang kedudukan politik Yam Tuan tetapi
apabila wujudnya institusi berkenaan terdapat keperluan untuk menjadikan adat itu hidup
dengan terciptanya perbilangan-perbilangan baru bagi institusi berkenaan.

Apabila institusi beraja hendak diwujudkan tentu sekali sudah ada perbincangan
untuk merujuk kepada institusi beraja di Minangkabau sebagai model. Apakah perlunya
institusi raja itu, untuk tujuan apa diwujudkan? Kuasa apakah yang harus diberi untuk
melaksanakan peranan institusi itu? Calun yang hendak dijadikan sebagai raja adalah

10
dijemput ibarat seorang tetamu haruskah kuasa kerajaan yang dinikmati oleh setiap
Penghulu yang sudah mempunyai kedudukan yang mantap pada sekian lama diserahkan
kepada seorang tetamu yang dijadikan sebagai raja? Tentu sekali dibincangkan tentang
dimana tetamu yang dijadikan sebagai pemegang institusi ditempatkan? Bagaimanakah
pula sistem perwarisan takhtanya? Persoalan-persoalan inilah yang menjawab kepada
mengapa calun yang dilantik dijemput dari Minangkabau. Megapa institusi beraja
berkenaan diberi gelaran Yang DiPertuan dan tidak Sultan. Mengapa jawatan itu
dipegang sepanjang hayat saja. Mengapa kuasa pemilihan dan perlantikan berada didalam
tangan Penghulu Yang Empat. Mengapa Seri Menanti menjadi tempat bersemayam
seorang Yam Tuan. Dengan ini terguballah suatu perlembagaan yang sesuai kepada
tuntutan persoalan-persoalan diatas.

Oleh kerana adat perpatih dinamik dan begitu stabil kedudukannya dalam
masyarakat maka prinsip-prinsip adat perpatih itu dijadikan asas kepada segala
yang berkaitan dengan system perwarisan, pemecatan, kedudukan dan
bidangkuasa yang diperuntukkan kepada Yam Tuan. Kesemua ini menjadi
sebahagian perlembagaan adat yang sedia ada. Pindaan berlaku apabila diperlukan dan
pindaan ini adalah berdasarkan peraturan adat yang sedia ada. Contohnya, pemilihan
seorang Yamtuan setelah penamatan amalan mengundang anak raja dari Pagar Ruyung
pada tahun 1830 prinsip adat telah dijadikan asas iaitu seorang Yamtuan dipilih dan
bukan dilantik secara terus. Seperti dalam pemilihan ketua adat ditentukan siapa yang
mempunyai kuasa memilih dan kelayakan calun yang dipilih. Didalam pemilhan ketua
adat kelayakan calun adalah berdasarkan saka, baka dan syarat memerintah. Prinsip
yang sama digunapakai dalam pindaan memilih seorang Yamtuan.

Raja yang bergelar Yang DiPertuan Besar adalah raja berperlembagaan dalam
ertikata segala yang berkaitan dengan institusi raja itu adalah tertakluk dibawah
peruntukan perlembagaan. Perlantikan baginda mestilah mengikut perlembagaan,
sebarang perlantikan yang bertentangan adalah tidak sah seperti yang pernah berlaku
suatu ketika dahulu. Semasa di bawah Pentadbiran British, usaha yang dilakukan untuk
meminda perlembagaan adat itu menemui kegagalan kerana kebulatan Penghulu Yang
Empat mempertahankannya.

Dari segi bidang kuasa pula, kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman seorang
Yang DiPertuan adalah tertakluk kepada peruntukan perlembagaan. Baginda tiada
mempunyai kuasa perundangan dan kuasa eksekutif dalam pentadbiran kerajaan
kerana kuasa berkenaan berada pada tangan penghulu dan lembaga wilayah masing-
masing. Baginda boleh membuat undang-undang dan menjalankan undang-undang
berkenaan tetapi segala yang bersangkutan dengan istana dan keluarga diraja saja.
Baginda boleh bertindak atas budibicara mewujudkan jawatan pegawai-pegawai istana,
melantik pegawai-pegawai berkenaan serta mengenakan larangan-larangan berkaitan
dengan adat istiadat istana saja.

Perlembagaan adat menjelaskan ada pun Raja itu tiada bernegeri dan tiada
boleh mencukai kharajat, melainkan berkeadilan sahaja serta permakanannya duit
sasuku, beras segantang dan nior setali. Oleh yang demikian Penghulu-Penghulu luak

11
Tanah Mengandong bertanggong jawab menyediakan keperluan istana dalam hal
perkahwinan, berkhatan, kemangkatan, dan lain-lain istiadat. Penghulu-Penghulu juga
bertanggungjawab menyediakan pemuda, senjata dan keperluan lain sekiranya berlaku
perperangan. (Newbold, 1839: 81)

Ketua Tertinggi

Sebagai pengiktirafan kebesaran baginda diberi keutamaan dalam protokol


rasmi. Raja dan keluarga baginda dianggap diluar adat, tidak tertakluk kepada mana-
mana suku dan tanpa taat setia kepada mana-mana Dato’ Lembaga walau pun ramai
diantara permaisuri Yam Tuan berasal dari anggota adat perpatih. Raja dianggap
mempuanyai daulat dan berlainan dengan Undang berandika. Raja menggunakan
pertuturan bahasa istana, menggunakan pakaian warna tertentu dan adat istiadat tertentu.
Dalam apa jua istiadat ketua adat tidak boleh mengatasi Raja. Contohnya majlis
perkahwinan yang diadakan oleh seorang Undang ditentukan berlangsung selama lima
hari lima malam manakala majlis perkahwinan yang diadakan oleh Yam Tuan adalah
selama tujuh hari tujuh malam. Kesemua ini adalah teristimewa untuk lambang kebesaran
Raja.

Kuasa Perundangan dan Kuasa Eksekutif

Institusi Yam Tuan bukannya institusi yang mengetuai sebuah kerajaan pusat
kerana tiada kerajaan yang terbentuk. Dengan sendirinya Yam Tuan tidak mempunyai
kuasa perundangan dan eksekutif. Yam Tuan adalah lambang yang mengikat sistem
konfederasi yang dibentuk, untuk fungsi ini institusi Yam Tuan diberikan kuasa
kehakiman yang terhad sebagai pemutus kepada penyelesaian pertelingkahan antara
negeri-negeri yang berkonfederasi. Peranan ini juga tertakluk kepada permintaan negeri
yang berkaitan.

Yam Tuan mempunyai kuasa membuat undang-undang tetapi terhad kepada


kepentingan istana saja misalnya membuat peraturan dan mengenakan larangan-larangan.
Raja juga mempunyai kuasa eksekutif menguatkuasakan peraturan dan larangan yang
dibuatnya tetapi semua ini terhad tidak menyeluruh semua wilayah Negeri Sembilan.
Penguatkuasaan adalah terhad dalam kawasan Seri Menanti sahaja manakala dalam
wilayah Luak Tanah Mengandong penguatkuasaan tidak begitu Jelas. Wilayah-wilayah
lain pula masing-masing adalah bebas daripada penguasaan istana Seri Menanti.

Kuasa kehakiman

Adat mengagihkan kuasa kehakiman seperti yang dijelaskan oleh perbilangan:


Tali pengikat pada lembaga
Keris penyalang daripada undang
Pedang pemancung daripada keadilan

12
Raja dirujuk sebagai keadilan, baginda diberikan kedudukan sebagai fountain
of justice. Dengan lain-lain perkataan baginda diberikan kuasa kehakiman yang tertinggi
atau sebagai mahkamah rayuan terakhir. Bidang kuasa baginda menjatuhkan hukuman
pancung manakala seorang Undang walau pun boleh menjatuhkan hukuman bunuh tetapi
pembunuhan dengan senjata keris sahaja. Sekiranya Undang mendapati sesuatu kes itu
terlalu sukar baginya untuk menjatuhkan hukuman beliau akan merujukkan kepada
keadialan Yam Tuan. Nilai kuasa budibicara Yam Tuan tergantung kepada
kepercayaan yang diberikan oleh seorang Undang. Pada praktiknya Undang akan
merujuk kepada keadilan Yam Tuan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan
pertikaian sesama mereka seperti peranan Yam Tuan Radin yang diminta oleh Dato’
Kelana dan Undang Rembau menyelesaikan pertikaian sesama mereka.

Tujuan utama menubuhkan suatu sistem keadilan tertinggi adalah untuk


menjaga perpaduan neger-negeri yang bersekutu membentuk konfederasi. Sekiranya
berlaku konflik dalaman ada tempat untuk mendapat penyelesaian yang adil; dengan ini
akan dapat menjaga perpaduan antara negeri-negeri anggota konfederasi. Untuk itu
keluarga diraja sengaja dikeluarkan dari system kekeluargaan adat walau pun pada
asalnya Yam Tuan berkahwin dengan anggota adat perpatih tetapi keturunan dari
perkahwinan ini tidak dianggap anggota suku. Apabila seorang Yam Tuan bukan dari
anggota adat, baginda akan dapat menjalankan keadilan tanpa dipengaruhi oleh unsur-
unsur suku.

Rumusan:

Dua perspektif yang telah dibentangkan ternyata adat perpatih itu adalah suatu
system yang ideal bagi masyarakat yang mengamalkannya. Sistem nilainya menjelaskan
masyarakat bertindak berdasarkan kehendak-kehendak dan keperluan mereka sendiri.
Untuk mengenal dan memahami adat perpatih itu perlu dilihat dari perspektif system
nilainya. Apa yang mereka lakukan punya makna dan kepenting pada mereka. Dari
perspektif perlembagaannya pula ternyata adat perpatih itu dinamik dalam mengatur
system politiknya. Pemerintahan berperlembagaan dan system raja berperlembagaan
telah lama dipraktikkan dalam masyarakat adat perpatih sealiran dengan perkembangan
pemikiran politik di Eropah dan mendahului pemikiran politik tamadun yang lain.

Bagi masyarakat adat perpatih Negeri Sembilan pengenalan konsep kerajaan


berperlembagaan dan kosep raja berperlembagaan dalam Perlembagaan Persekutuan
1957, bukanlah suatu yang asing. Sistem raja berperlembagaan yang ditubuhkan oleh
Perlembagaan adat itu telah dijadikan rujukan penggubal semasa menkonsepsikan system
raja berperlembagaan yang diperkenalkan.dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perlembagaan adat yang terasas zaman tradisional dahulu adalah antara bukti nyata
kepada isu ketuanan Melayu yang sering dipertikaikan kini.
.

13
Rujukan:

Hooker, M.B. Adat Laws in Modern Malaya. London: OUP, 1972.


____________. The Relationship between the Adat and the State Constitutions of
Negri Sembilan, JMBRAS, Vol. 42, 1969: 155-172.

Lembaga Kerapatan Adat Alam Minangkabau Sumatera Barat. 1987. Adat Minangkabau
(Sejarah dan Budaya).

Nadzan Haron. 1984. Oral Traditions as Historical Source in the Study of Negeri
Sembilan. AKADEMIKA, 24: 60-96. Bangi: Penerbit UKM.

Nathan, J.E. & R.O. Winstedt. Johol, Inas, Ulu Muar, Jempol, Gunung Pasir and
Terachi,Their History and Constitution, Papers On Malay Subjects. Kuala Lumpur:
OUP, 1971.

Newbold T.J. Political and Statistical Account of British Settlements in the Straits of
Malacca. Vol. II. London: John Murray, 1839.

Nordin Selat. 1976. Sistem Sosial Adat Perpatih. Kuala Lumpur: Utusan Melayu Berhad.

Negeri Sembilan Constitution, The First Part of the Laws of the Constitution of Negeri
Sembilan, 1948, as Amended by Amendment 1955, Amendment 1956 and Amendment
1957. Kuala Lumpur: Govt. Printing Press, 1958.

Rais Yatim. 2008. Adat Perpatih Common Law & Equity Suatu Perbandingan. Kuala
Lumpur: KEKKWA.

Lister, M. The Negri Sembilan: Their Origin and Constitution, JSBRAS, No. 19,
1887: 35-54.

Undang-Undang Tuboh Kerajaan Negeri Sembilan, Bahagian Yang Pertama


(Pindaan), 1954. Kuala Lumpur: Govt. Printer, 1955.

The Laws of the Constitution of Negeri Sembilan, 1959. Kuala Lumpur:


Govt. Press, 1959.

Parr, C.W. and Mackery, W.E. Rembau, One of the Nine States: Its History,
Constitution and Customs, JSBRAS, No. 56, 1910.

____________. The Early Adat Constitution of Negri Sembilan (1773-1824),


JMBRAS, No.219, 1972: 104-116.

De Jong, P.E. Josselin. Minangkabau and Negri Sembilan. The Hague: Nijhof, 1951.

14

Anda mungkin juga menyukai