Anda di halaman 1dari 26

PENGHARGAAN

Salam sejahtera,

Saya amat bersyukur kepada Tuhan yang sentiasa memberkati saya sepanjang
proses menjalankan tugasan ini. Penghargaan ini juga saya tujukan kepada kedua ibu bapa
saya kerana mereka sentiasa menitipkan doa-doa untuk keberkatan saya di sini. Mereka juga
banyak menyokong saya dari segenap segi rohani dan kewangan untuk menghasilkan
tugasan bermutu ini.

Tidak lupa juga kepada pensyarah kesayangan saya, Dr. Sabri Bin Che Man atas
tunjuk ajar dan bimbingan yang diberikan sepanjang saya menyiapkan kerja kursus. Beliau
juga sering mengingatkan saya sekiranya saya alpa dan menegur saya dengan amat
berhemah. Moga jasa baik beliau akan diganjari dengan kurniaan daripada Tuhan yang tidak
ternilai harganya.

Saya juga ingin mendedikasikan ucapan penghargaan ini kepada teman-teman yang
sanggup berkongsi ilmu, maklumat dan segala bentuk bantuan dengan saya dalam
menghasilkan tugasan ini. Ketahuilah segala bantuan yang kalian salurkan amat saya hargai.

Sekian, terima kasih.

SENARAI KANDUNGAN
BUTIRAN MUKA SURAT
PENGHARGAAN
1.0 PENGENALAN 1
2.0 SEJARAH PERKEMBANGAN EJAAN RUMI
2.1 SEJARAH PERKEMBANGAN EJAAN RUMI DALAM
KONTEKS PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU SEBELUM 2-8
MERDEKA
2.2 SEJARAH PERKEMBANGAN EJAAN RUMI DALAM
KONTEKS PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU SELEPAS
MERDEKA

3.0 SEJARAH PERKEMBANGAN EJAAN JAWI


3.1 SEJARAH PERKEMBANGAN EJAAN JAWI DALAM
KONTEKS PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU SEBELUM 9-16
MERDEKA
3.2 SEJARAH PERKEMBANGAN EJAAN JAWI DALAM
KONTEKS PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU SELEPAS
MERDEKA

4.0 TRANSKRIPSI TEKS RUMI KEPADA TULISAN JAWI 17


5.0 REFLEKSI 18-19
RUJUKAN
LAMPIRAN
1.0 PENGENALAN

Sejarah perkembangan bahasa Melau perlu melalui beberapa tahap dan setiap tahap
mempunyai sifatnya yang tersendiri. Perkembangan bahasa Melayu ditandai dengan
kedatangan agama Islam, peranan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka, kedatangan orang
Eropah serta pelibatan organisasi dan tokoh-tokoh tempatan. Usaha-usaha yang dilakukan
oleh mereka telah memberikan kesan terhadap perkembangan bahasa Melayu yang
menggunakan aksara rumi dan jawi.

Dalam tugasan ini, sejarah perkembangan ejaan rumi dan jawi dalam konteks
perkembangan bahasa Melayu sebelum dan selepas merdeka akan dibincangkan secara teliti
dan mendalam. Selain itu, kerja kursus ini juga meliputi transkripsi tentang satu teks rumi
kepada tulisan jawi. Tugasan yang terakhir dalam kerja kursus ini ialah penulisan refleksi
tentang pengalaman dan pengetahuan baharu yang diperoleh berdasarkan tugasan projek
dengan membincangkan kepentingan sistem ejaan rumi dan ejaan jawi dari aspek
memartabatkan dan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa
rasmi negara.
2.0 SEJARAH PERKEMBANGAN EJAAN RUMI

2.1 SEJARAH PERKEMBANGAN EJAAN RUMI DALAM KONTEKS PERKEMBANGAN


BAHASA MELAYU SEBELUM MERDEKA

Kedatangan orang Eropah ke alam Melayu telah membawa kesan penting kepada
kemunculan tulisan rumi. Dalam konteks ini, tulisan rumi datang ke kepulauan Melayu
bersama-sama dengan kedatangan orang Eropah. Walaupun Marco Polo dikatakan orang
Eropah yang pertama datang ke kepulauan Melayu dan tinggal di Sumatera selama 5 bulan
pada tahun 1292-1293M, namun beliau bukan orang yang membawa tulisan rumi bahasa
Melayu ke kepulauan Melayu. Begitu juga dengan orang Portugis yang telah bertapak dan
berkuasa di kepulauan Melayu pada tahun 1511M juga bukanlah orang yang membawa
tulisan rumi bahasa Melayu ke kepulauan Melayu.

Menurut Hashim Musa (2006), tulisan rumi bahasa Melayu telah dibawa ke kepulauan
Melayu pada tahun 1521M oleh Antonio Pigafetta. Beliau merupakan seorang ahli yang turut
serta dalam pelayaran Megallen dari Seville ke kepulauan Melayu. Antonio Pigafetta telah
menulis sebuah buku catatan pelayaran yang memuatkan catatan pertama tentang bahasa
Melayu dalam tulisan rumi. Perkataan Melayu yang dicatatkan oleh Pigafetta mengandungi
lebih kurang 426 perkataan dengan beberapa perkataan bahasa Melayu tempatan yang lain.
Perkataan ini dikatakan dikumpul daripada seorang hamba kepada Magellan yang bernama
Hendrick, seorang Melayu Sumatera. Sistem ejaan yang digunakan oleh Pigafetta adalah
berdasarkan sistem ejaan bahasa Itali daripada dialek Vicentine, iaitu tempat asal Pigafetta.

Senarai kosa kata Pigafetta ini ialah tulisan rumi bahasa Melayu yang pertama dalam
sejarah penulisan rumi dalam bahasa Melayu. Sistem ejaan yang digunakan oleh Antonio
Pigafetta adalah sangat mengagumkan. Ketepatan senarai ejaan kosa kata Pigafetta ini
berbanding dengan sistem ejaan bahasa Melayu moden adalah tidak jauh berbeza. Boleh
dikatakan senarai ejaan kosa kata beliau menjadi perintis dan rujukan kepada sistem ejaan
rumi bahasa Melayu pada masa kini.

Selain daripada senarai kosa kata Pigafetta, senarai perkataan bahasa Melayu yang
lain dalam skrip rumi juga dihasilkan oleh Cornelius de Houtman, seorang pelayar Belanda
pada abad ke-16. Beliau dikatakan mengumpul senarai perkataan Melayu itu semasa berada
di dalam penjara di Bantam. Namun, beliau telah ditebus oleh pihak Belanda dan kembali ke
Belanda pada tahun 1598. Senarai perkataan Melayu yang ditulis oleh Houtman itu
kemudiannya disiarkan dan diulas oleh A.W. Hamilton dalam JMBRAS (1947, Vol. XX, Part
III). Menurut Hashim Musa (ibid:400), sistem ejaan rumi dalam senarai Houtman bagi bahasa
Melayu tidak begitu stabil sekiranya dibandingkan dengan yang terdapat dalam senarai
Pigafetta.

Sistem ejaan bahasa Melayu dalam tulisan rumi semakin berkembang apabila kamus
pertama bahasa Inggeris-bahasa Melayu telah dihasilkan oleh Thomas Bowrey pada tahun
1701 yang berjudul A Dictionary of English and Malayo, Malayo and English yang diterbitkan
di London. Selain daripada senarai kata, beliau juga telah memuatkan ayat-ayat perbualan
sehari-hari dan juga dialog-dialog tentang pelbagai tajuk dalam kamus tersebut. Menurut
Hashim Musa (ibid:407) lagi, sistem ejaan Thomas Bowrey ternyata mempunyai ciri-ciri antik,
iaitu penggunaan gugus konsonan yang sama.

Sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Perjanjian Inggeris Belanda 1824


telah diwujudkan di mana daerah Melayu dibahagikan kepada dua kawasan, iaitu Indonesia
diletakkan di bawah pihak Belanda manakala Tanah Melayu diletakkan di bawah pihak British.
Dalam konteks ini, kedua-dua penjajah menggunakan tulisan dan ejaan masing-masing untuk
menulis dalam bahasa Melayu. Pihak Belanda telah menggunakan sistem ejaan Van
Ophuijsen (1901) untuk menulis dalam bahasa Melayu dalam semua penerbitannya manakala
pihak Inggeris pula menggunakan sistem ejaan Wilkinson bagi semua penerbitannya dan juga
surat-menyurat dalam bahasa Melayu.

Menurut Hashim Musa (2006), pada tahun 1901, Van Ophuijsen yang ditugaskan
oleh pihak berkuasa Belanda untuk menyusun suatu sistem ejaan dalam bahasa Melayu,
telah menerbitkan hasil kerjanya dalam buku yang bernama Kitab Logat Melajoe (1929,
Cetakan ke-8) yang berasaskan sistem ejaan bahasa Belanda. Beliau telah menetapkan
enam lambang vokal, dua lambang diftong dan 24 lambang konsonan dalam sistem ini.

Pada tahun 1902, perancangan ejaan yang pertama di Tanah Melayu dimulakan
apabila kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu mengambil inisiatif dengan menubuhkan
sebuah jawatankuasa ejaan yang diketuai oleh R.J. Wilkinson daripada pihak British pada
masa itu. Hasilnya, suatu sistem ejaan yang dikenali sebagai "Sistem Ejaan Wilkinson" telah
diterbitkan dalam buku yang bernama Romanised Malay Spelling dan diperkenalkan pada
bulan Oktober 1904. Kemudian, sistem ejaan Wilkinson digunakan di semua sekolah umum
di mana sistem ejaan ini telah menjadi panduan dalam pengajaran dan penulisan buku-buku
teks di sekolah, yang terkenal dengan Ejaan Sekolah.
Pakatan Belajar-Mengajar Pengetahuan Bahasa (PBMPB) yang ditubuhkan pada
tahun 1888 di Johor telah memainkan peranan untuk menggalakkan penggunaan bahasa
Melayu di sekolah dan dalam masyarakat. Usaha ini telah diteruskan dengan penubuhan
Maktab Perguruan Perempuan Melaka pada tahun 1900. Institusi-institusi inilah yang menjadi
pengasas perancangan penggunaan bahasa Melayu baku yang kemudiannya diperkembang
oleh Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) di Tanjung Malim sejak tahun 1922. Maktab ini
berperanan penting dalam perkembangan sistem ejaan bahasa Melayu. Atas kebijaksanaan
Za'ba, atau nama penuhnya Zainal Abidin bin Ahmad, Maktab Perguruan Sultan Idris telah
memulakan sistem ejaan baru yang dipanggil Sistem Ejaan Za'ba.

Sistem Ejaan Rumi Zaba muncul apabila Pendeta Zaba telah membuat perubahan
kepada sistem Ejaan Wilkinson. Sistem ini juga dikenali sebagai Sistem Ejaan Sekolah.
Antara buku-buku yang pernah dikarang oleh Za'ba ialah Ilmu Bahasa Melayu Penggal 1
(1926), Pelita Bahasa Melayu Penggal 1 (1941) dan Daftar Ejaan Melayu Jawi-Rumi (1949).
Sistem ini kemudiannya dijelaskan dan digunakan oleh Za'ba dalam buku "Pedoman Bahasa
Melayu, Penggal i, ii dan iii". Sistem ini digunakan di sekolah-sekolah di Tanah Melayu
sehinggalah sistem ejaan baru yang diisytiharkan pada tahun 1972.

Walau bagaimanapun, Sistem Ejaan Zaba juga mengandungi beberapa kelemahan.


Sistem Ejaan Zaba daripada satu segi memperlihatkan kaedah penggunaan lambang huruf
yang beraneka ragam yang mengakibatkan ketidakseragaman pengejaan kata dalam amalan
penulisan sehari-hari dalam semua urusan yang menggunakan tulisan rumi. Tambahan pula,
penggunaan Sistem Ejaan Rumi Zaba menjadi bertambah sukar kerana adanya pengejaan
kata yang masih menurut Sistem Ejaan Rumi Wilkinson (1903) dan beberapa sistem ejaan
rumi yang lain. Kesan daripada kelemahan sistem-sistem yang ada dan cara penggunaan
yang beragam-ragam itu telah mendorong beberapa pihak tertentu menampilkan beberapa
sistem baru ejaan rumi dalam tempoh tahun 1940 hingga 1959. Tiga percubaan yang
mendapat perhatian ialah aturan ejaan rumi yang dikenali sebagai Ejaan Rumi Fajar Asia
(1943), Ejaan Kongres (1956) dan Ejaan Rumi PBMUM (1959).

Ejaan Rumi Fajar Asia ialah kaedah ejaan yang terpakai dalam majalah dwimingguan
Fajar Asia yang diterbitkan di Singapura bermula pada tahun 1943 di bawah Zainal Abidin bin
Ahmad sebagai ketua pengarang. Grafem yang digunakan dalam Fajar Asia menunjukkan
sedikit perbezaan sahaja daripada yang terdapat dalam Sistem Ejaan Wilkinson dan Sistem
Ejaan Zaba. Sistem Ejaan Fajar Asia dapat dikatakan merupakan percubaan yang pertama
dalam usaha menyatukan ejaan Rumi bahasa Melayu dengan ejaan Rumi bahasa Indonesia
sekiranya dipandang daripada sudut pengejaan kata dan penulisan keharmonian vokal.
Ejaan Kongres pula ialah sistem ejaan Rumi bagi bahasa Melayu yang dihasilkan
berasaskan persetujuan yang dicapai dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang
diadakan pada 16-21 September 1956 di Singapura. Jawatankuasa Ejaan dan Bunyi Bahasa
Melayu pada sidang tersebut telah membuat 16 ketetapan tentang ejaan bahasa Melayu, dua
ketetapan tentang bunyi bahasa dan satu ketetapan tentang tulisan Jawi. Dalam konteks ini,
perkara-perkara yang dirumuskan atas dasar pengejaan bahasa Melayu dengan huruf Rumi
dalam sidang ini ialah ejaan rumi di Malaya dan di Indonesia hendaklah disatukan atau
disamakan dan peraturan ejaan hendaklah dipermudah. Di samping itu, sistem fonologi
diterima sebagai sistem yang lebih baik daripada sistem fonetik, iaitu melambangkan satu
fonem dengan satu huruf saja.
2.2 SEJARAH PERKEMBANGAN EJAAN RUMI DALAM KONTEKS PERKEMBANGAN
BAHASA MELAYU SELEPAS MERDEKA

Beberapa pembaharuan yang agak radikal telah diusahakan oleh ahli-ahli bahasa
berdasarkan rumusan-rumusan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga (1956).
Justeru, usaha-usaha ini mendapat perhatian kerajaan dan pada tahun 1957, iaitu pada tahun
Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, sebuah Jawatankuasa Ejaan telah
dibentuk untuk menimbangkan ketetapan-ketetapan yang telah diambil dalam Kongres
tersebut berkenaan dengan ejaan Rumi dan penyatuannya dengan ejaan bahasa Indonesia.

Setelah dua tahun Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, satu


perjanjian persahabatan antara Persekutuan Tanah Melayu dengan Republik Indonesia
tercapai pada 17 April 1959. Kemudian, satu rundingan telah diadakan di Jakarta pada tahun
yang sama antara Jawatankuasa Ejaan Rumi Persekutuan Tanah Melayu di bawah pimpinan
Tuan Syed Nasir bin Ismail dengan Panitia Pelaksanaan Kerjasama Bahasa Melayu-Bahasa
Indonesia yang diketuai oleh Dr. Slametmuljana. Hasil daripada rundingan ini, wujudlah pula
"Ejaan Malindo". Namun begitu, perkembangan selanjutnya terbantut akibat tercetusnya
pergolakan politik sehinggalah disambung semula pada tahun 1966 apabila rundingan kali
kedua telah diadakan untuk mengkaji dan memperbaiki Ejaan Malindo.

Pada 27 Jun 1967, satu persetujuan mengenai Sistem Ejaan Bahasa Malaysia-
Indonesia telah dicapai. Rundingan mengenai persetujuan ini telah dihadiri oleh Tuan Syed
Nasir bin Ismail (Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka) dengan Kumpulan Ahli Bahasa KOTI
(Komando Tertinggi Indonesia) yang diketuai oleh Nyonya S.W. Ruddjiati Muljadi.

Dalam rundingan tersebut, beberapa perkara telah dibahas bersama secara ilmiah
dan mendalam dengan memerhatikan sepenuhnya kenyataan-kenyataan yang terdapat
dalam masyarakat kedua-dua negara. Hasil pertukaran fikiran dan pendapat serta penelitian
dan pengolahan bersama, kedua-dua pihak telah mencapai kesimpulan dan persefahaman
bahawa perkembangan ejaan dalam kedua-dua bahasa adalah hal yang wajar dan sesuai
dengan tuntutan kemajuan ilmiah dan keperluan praktikal. Pengertian bersama juga telah
dicapai mengenai hubungan antara bahasa Indonesia dan bahasa Malaysia yang perlu
ditingkatkan lagi melalui semua saluran, baik pertuturan mahupun tulisan. Kesemuanya itu
adalah dalam rangka usaha mencapai cita-cita bersama antara rakyat Indonesia dan Malaysia.

Kempen-kempen memberikan penerangan mengenai Ejaan Bersama itu ke seluruh


negara telah dijalankan melalui akhbar-akhbar, radio, televisyen serta melalui majalah-
majalah dan ceramah-ceramah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dengan
tercapainya keputusan muktamad yang ditandatangani oleh kedua belah pihak itu pada tahun
1967, maka terciptalah Ejaan Bersama Malaysia-Indonesia dan pelaksanaannya adalah
bergantung kepada penerimaan serta pengesahannya daripada kerajaan kedua-dua buah
negara.

Pada 23 Mei 1972, satu kenyataan bersama telah ditandatangani oleh Menteri
Pelajaran Malaysia pada masa itu, Dato Hussien Onn dengan Menteri Pendidikan dan
Kebudayaan Republik Indonesia, Bapak Mahsuri untuk melaksanakan sistem ejaan baharu
itu. Hasilnya, Sistem Ejaan Baharu bagi bahasa Malaysia-Indonesia telah dilancarkan
penggunaannya oleh Perdana Menteri, YAB Tun Abdul Razak bin Datuk Hussein di Dewan
Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 16 Ogos 1972. Turut hadir dalam upacara
pelancaran ini ialah Menteri Pelajaran, Encik Hussein Onn, Ketua Pengarah Dewan Bahasa
dan Pustaka, Tuan Haji Sujak b. Rahiman dan Tan Sri Syed Nasir Ismail.

Pelancaran penggunaan Sistem Ejaan Baharu ini adalah hasil daripada persetujuan
antara Malaysia dan Indonesia yang sejak dahulu lagi bercita-cita menyediakan satu sistem
ejaan yang sama dengan menggunakan bahasa yang sama dan memberi faedah kepada
kedua-dua negara. Perkara ini juga jelas menunjukkan sebab sistem ejaan tersebut
diisytiharkan secara rasmi dan serentak pada 16 Ogos 1972 di kedua-dua negara Malaysia
dan Indonesia. Ejaan baru bersama ini dirujuk sebagai Ejaan Rumi Bersama (ERB) yang
digunakan sehinggalah kini. Dalam konteks ini, risalah Sistem Ejaan Rumi Bahasa Malaysia"
telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk kegunaan ramai.

Ejaan Rumi Baharu pada tahun 1972 ialah hasil daripada pemikiran yang matang yang
berlandaskan prinsip-prinsip perancangan bahasa yang baik. Ejaan Rumi Baharu merupakan
penyataan pertama daripada perancangan korpus pada peringkat supranasional yang
menjadi asas bagi pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu serantau seterusnya.
Sebagai sistem ejaan yang dirancang untuk keperluan dua buah masyarakat bahasa yang
berlainan latar belakang sosiolinguistik dan sejarah pertumbuhannya, Ejaan Rumi Baharu
dirumuskan sedemikian rupa supaya dapat diterima oleh semua golongan pengguna kedua-
dua bahasa Melayu dan bahasa Indonesia.

Selain itu, rumusan Ejaan Rumi Baharu juga memperlihatkan prinsip-prinsip linguistik,
ekonomi, kesederhanaan, kejelasan dan fleksibiliti serta taraf standardisasi yang tinggi dan
lebih nyata berbanding dengan sistem-sistem yang terdahulu. Hal ini demikian kerana sistem
ejaan baru ini akan bertugas sebagai alat yang akan mengawal perkembangan serta
pertumbuhan Bahasa Malaysia selanjutnya pada masa depan. Ini merupakan satu kejayaan
yang membawa makna besar bagi masa hadapan kedua-dua bahasa Malaysia-Indonesia.
Dengan adanya sistem ejaan baharu ini, tidak akan timbul lagi masalah sistem ejaan yang
harus diikuti dan digunakan terutama di sekolah-sekolah dan media massa. Oleh itu, boleh
dikatakan bahawa Ejaan Rumi Baharu sudah pasti merupakan wahana yang cukup mudah
dan cekap bagi penulisan rumi bahasa Melayu di rantau ini untuk beberapa zaman yang akan
datang.

3.0 SEJARAH PERKEMBANGAN EJAAN JAWI


3.1 SEJARAH PERKEMBANGAN EJAAN JAWI DALAM KONTEKS PERKEMBANGAN
BAHASA MELAYU SEBELUM MERDEKA

Tulisan Jawi digunakan oleh orang Melayu sejak mereka memeluk agama Islam.
Sesungguhnya, sistem ejaan yang digunakan dalam tulisan Melayu berhuruf Arab juga
dikenali sebagai ejaan Jawi. Dalam konteks ini, orang Arab menggelar orang Melayu sebagai
Jawah atau Jawi. Hal ini disebabkan pada zaman dahulu, daerah Asia Tenggara terkenal
sebagai Javadwipa. Di Malaysia, sistem ejaan Jawi bukan sistem tulisan rasmi tetapi diajar
sebagai satu subjek dalam pengajaran di sekolah.

Menjelang abad ke-14, Bahasa Melayu telah mengalami pengaruh daripada tiga
bahasa, iaitu Bahasa Sanskrit, Bahasa Jawa dan Bahasa Arab. Pengaruh pertama terhadap
Bahasa Melayu ialah Bahasa Sanskrit yang dibawa oleh pedagang-pedagang India atau
pedagang Melayu yang berurusan dengan negara India. Para sarjana berpendapat bahawa
pengaruh Hindu masuk ke alam Melayu sekitar abad ke-14, iaitu pada zaman kemuncak
pengaruh Hindu di kepulauan Melayu. Oleh itu, Bahasa Sanskrit dianggap sebagai asas
kepada Bahasa Melayu yang digunakan sehingga ke hari ini. Tulisan Bahasa Melayu yang
asal ialah huruf Rencong yang digunakan oleh masyarakat Melayu Acheh. Namun begitu,
muncul pula tulisan yang dikenali sebagai tulisan Jawi dan didapati bahawa menerusi tulisan
inilah Bahasa Melayu terus maju dalam pelbagai bidang.

Namun sekitar abad ke-13 Masihi, Islam telahpun mula bertapak dan tersebar luas di
alam Melayu. Kedatangan Islam ke alam ini telah membawa kepada satu perubahan besar
dalam sistem kehidupan masyarakat Melayu. Kedatangan Islam bukan sahaja mengubah
sistem kepercayaan masyarakat Melayu pada ketika itu yang berpegang pada ajaran Buddha,
malah turut membawa kepada kewujudan sistem penulisan yang baru dalam dunia Melayu.
Sesungguhnya, masyarakat Melayu tidak lagi menggunakan skrip Pavalla Selatan dari India
yang telah mereka gunakan sejak berabad-abad lamanya. Skrip baru yang berasaskan
kepada skrip Arab telah dicipta dan dinamakan sebagai tulisan Jawi. Pada mulanya, aksara
Jawi diambil sepenuhnya dari aksara Arab. Namun untuk memenuhi keperluan masyarakat
setempat pada ketika itu, terutamanya untuk mempelajari agama Islam, beberapa abjad
dalam bahasa Parsi telah diubah suai dan diterapkan. Perkara ini menjadikan kesemua
bilangan huruf Jawi sebanyak 33 huruf di mana 28 daripadanya ialah huruf Arab dan lima lagi
dari bahasa Parsi. Antara huruf yang baru ditambah ialah , , , dan ( Muhd. Bukhari
Lubis, 2006:14). Dalam konteks ini, peranan yang dimainkan oleh tulisan Jawi amat besar.
Hal ini demikian kerana tulisan Jawi bukan hanya digunakan sebagai alat persuratan, bahkan
turut berfungsi sebagai alat kepada penyebaran ilmu agama.

Di Tanah Melayu, tulisan Jawi telah wujud sejak abad ke-13 lagi. Perkara ini dapat
dibuktikan dengan penemuan tulisan Jawi pada Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh
Jumaat 4 Rejab 703H (bersamaan 22 Februari 1303M). Batu bersurat di Kuala
Berang,Terengganu itu telah memperlihatkan satu perubahan radikal terhadap Bahasa
Melayu. Tulisan pada batu bersurat tersebut juga memperlihatkan penggunaan huruf-huruf
yang dikatakan tulisan Jawi. Tulisan Jawi yang terdapat pada Batu Bersurat Kuala Berang
menjelaskan bahawa tulisan ini telah mengenal abjad Bahasa Melayu dengan agak lengkap.
Misalnya, antara abjad yang terdapat dalam perkataan yang tertulis pada batu bersurat
tersebut ialah a (ada), b (bagi), c (cucuku), r (rasul) dan lain-lain. Didapati juga bahawa
keseluruhan wacana yang terdapat pada Batu bersurat Kuala Berang itu hanya huruf q, v, x,
dan z sahaja yang tidak ditemui. Namun demikian, hal ini tidaklah mengatakan bahawa huruf
q dan z tidak ada pada zaman tersebut kerana huruf tersebut sememangnya wujud dalam
huruf Arab, iaitu Qaf dan Zai. Namun dakwaan tersebut dikatakan kurang tepat dan tidak
dipersetujui oleh sesetengah ahli sejarah. Hal Ini kerana terdapat catatan dalam tulisan Jawi
pada batu nisan yang ditemui di Permatang Pasir, Pekan mempunyai tarikh yang jauh lebih
awal, iaitu pada hari Rabu 14 Rabi 419H (bersamaan April/Mei 1028).

Zaman Kesultanan Melayu Melaka yang terkenal dengan kuasa perdagangannya


pada ketika itu merupakan zaman yang penting dalam perkembangan tulisan Jawi di Tanah
Melayu. Dalam konteks ini, tulisan Jawi digunakan untuk tujuan permeteraian perjanjian dan
undang-undang serta digunakan dalam bidang pendidikan. Dalam pada itu, banyak kitab
agama yang berbentuk sejarah, hikayat, falsafah dan lain-lain lagi ditulis dengan
menggunakan tulisan Jawi. Kelahiran ulama dari Tanah Melayu juga telah menarik minat
masyarakat dari dalam dan luar negeri pada ketika itu untuk datang belajar ilmu agama dan
juga tulisan Jawi (Ahmad Farid Abdul Jalal, 2005). Lama-kelamaan, peranan yang dimainkan
oleh tulisan Jawi dalam memartabatkan bangsa Melayu semakin besar. Oleh itu, boleh
didapati bahawa perkembangan tulisan Jawi sedikit demi sedikit mula mendapat kedudukan
dalam kalangan masyarakat Melayu pada ketika itu.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa abad ke-13 merupakan zaman kegemilangan
Islam ke alam Melayu. Perkembangan agama Islam telah meletakkan bahasa rasmi agama
Islam ialah Bahasa Arab yang mulai mendapat tempat dalam kalangan penganut agama Islam
di daerah ini. Bahasa Melayu Kuno yang menggunakan huruf-huruf India bertukar
menggunakan huruf-huruf Arab yang disebut huruf Jawi. Perkataan Jawi ini bermaksud orang
Jawa atau berasal dari tanah Jawa. Penulis-penulis Arab pada zaman klasik termasuk Ibn
Batutah dalam bukunya al-Rehlah menggelarkan Pulau Sumatera sebagai Al-Jawah. Oleh
itu, orang Arab memanggil orang Melayu di Jawa sebagai Jawi dan tulisan Melayu yang
menggunakan huruf Arab sebagai tulisan Jawi. Tulisan ini dicampuradukkan dengan tulisan
Arab yang menggunakan 29 huruf dengan lima huruf tambahan bukan Arab yang dicipta oleh
orang Melayu sendiri. Lima huruf bukan Arab yang terdapat dalam tulisan Jawi ialah Ca ( ) ,
Nga () , Pa () , Ga () , dan Nya ( ) . Huruf-huruf ini dicipta untuk melambangkan bunyi-
bunyi yang lazim disebut pada lidah Melayu. Huruf-huruf baharu ini ditiru daripada huruf Arab
yang seakan-akan sama bentuknya.

Tulisan ini telah berkembang sejak zaman Kerajaan Islam Pasai dan kemudiannya
disebarkan ke Kerajaan Melaka, Kerajaan Johor dan juga Aceh pada abad ke-17. Bukti
kewujudan tulisan ini di Malaysia adalah dengan terjumpanya Batu Bersurat Terengganu yang
bertarikh 702H atau 1303M manakala tulisan Rumi yang paling awal ditemui adalah pada
akhir kurun ke-19. Bukti ini menunjukkan tulisan Jawi telah sampai ke negara ini lebih awal
berbanding tulisan Rumi. Tambahan pula, tulisan Jawi merupakan tulisan rasmi bagi Negeri-
negeri Melayu Tidak Bersekutu semasa penguasaan British. Sememangnya tulisan Jawi
memainkan peranan penting dalam masyarakat pada zaman dahulu kerana tulisan ini
digunakan sebagai perantara penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat dan
perdagangan. Contohnya, tulisan Jawi digunakan dalam kebanyakan perjanjian-perjanjian
penting antara pihak-pihak Raja Melayu dengan pihak-pihak berkuasa Portugis, Belanda dan
Inggeris. Yang paling penting sekali, dokumen pemasyhuran kemerdekaan 1957 bagi negara
Malaysia juga ditulis dalam tulisan Jawi (Wikipedia, 2008).

Sistem tulisan dan ejaan Jawi dipengaruhi oleh Bahasa Arab dan Melayu. Unsur Arab
dan Melayu mengalami dua tahap perkembangan. Pada tahap pertama, ejaannya
menggunakan tanda baris sebagaimana yang terdapat dalam mashaf suci al-
Quran. Penggunaan baris ini bertujuan mendapatkan bunyi yang betul tetapi mengambil
masa yang lama untuk menulisnya kerana terlalu banyak tanda diakritik yang digunakan.
Pada tahap kedua, tanda baris tersebut dihilangkan. Walau bagaimanapun, bentuk ini sukar
dibaca oleh mereka yang baru belajar Jawi kerana memerlukan masa untuk menguasai dan
menggunakannya. Oleh itu, tidak lama kemudian lahirlah huruf Jawi versi Melayu yang
merupakan ejaan yang menggunakan huruf saksi atau huruf vokal, iaitu Alif, Wau dan Ya.
Dalam buku William Marsden, A Dictionary of the Malayan language (1812) dan buku R.J.
Wilkinson (1903), didapati bahawa terdapat ejaan yang bercampur dari segi pemilihan huruf.
Oleh itu, pada tahun 1930-an, muncul ahli-ahli bahasa yang cuba menyusun ejaan Jawi
secara berasingan. Antaranya ialah Mejar Dato Haji Mohd Said bin Haji Sulaiman dari
Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku-Buku Diraja Johor dan Zainal Abidin Wahid atau
lebih dikenali dengan panggilan Zaba daripada Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung
Malim.

Dua usaha penting pada peringkat awal penyempurnaan sistem tulisan dan ejaan Jawi
ialah usaha yang dibuat oleh Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Diraja Johor (P. Bm.
P. B) yang menerbitkan sistem ejaan Jawi pada tahun 1937 dan usaha yang dibuat oleh
Allahyarham Zainal Abidin Bin Ahmad pada tahun 1939. Tulisan Jawi yang terpakai dalam
sektor pendidikan dan dalam pelbagai urusan sejak awal abad ini hingga tahun 1986 ialah
Sistem Ejaan Jawi Za'ba yang diasaskan pada tahun 1939.

Sistem Ejaan P.Bm. P.B. DiRaja Johor disusun dalam bentuk risalah yang berjudul
Risalah Bagi Helaian P.Bm. P.B. DiRaja Johor. Risalah ini mengandungi 25 halaman dan
diterbitkan pada tahun 1937 dengan menggunakan huruf Jawi. Sistem ejaan ini agak ringkas
dan kata dieja mengikut bagaimana satu-satu suku kata dibunyikan. Kaedah ini juga
mewujudkan huruf Alif ke belakang apabila wujud imbuhan pada kata dasar. Dalam panduan
ini juga terdapat peraturan ejaan kata dalam bentuk gabungan kata yang digunakan dalam
surat rasmi kerajaan Johor dan juga dalam Buku Katan Melayu.

Sistem Ejaan Zaba pula dilengkapkan pada tahun 1938 dalam sebuah buku berjudul
Daftar Ejaan Melayu (Jawi-Rumi). Sistem ini mempunyai banyak persamaan dengan Sistem
Ejaan P.Bm. P.B. DiRaja Johor. Sistem ini juga digunakan oleh guru pelatih di Maktab
Perguruan Sultan Idris. Penggunaannya juga kemudian agak meluas dan sebahagiannya
digunakan dalam penerbitan Utusan Melayu pada tahun 1939. Sistem ejaan ini diolah semula
oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk melahirkan Sistem Ejaan Jawi yang
Disempurnakan. Penyempurnaan sistem ejaan Jawi bertujuan untuk mewujudkan satu
sistem tulisan dan ejaan Jawi yang kemaskini dan sekali gus menyelaraskan pelbagai kaedah
ejaan Jawi yang tidak seragam dalam penggunaan serta memperbaiki atau membetulkan
beberapa kelemahan atau kekurangan yang terdapat dalam sistem ejaan Jawi lama yang
sedang digunakan, iaitu Sistem Ejaan Jawi Za'ba. Di samping itu, sistem ini juga bertujuan
untuk memodenkan sistem ejaan Jawi yang selaras dengan perkembangan ejaan Rumi
supaya dapat diperluas dan dipertingkatkan penggunaannya menjadi wahana penulisan
Bahasa Melayu moden tanpa menghapuskan ciri-ciri khusus sejarah dan budayanya bagi
menghadapi perkembangan bahasa, bangsa dan negara dalam merealisasikan wawasan
tahun 2020 dan seterusnya.
3.2 SEJARAH PERKEMBANGAN EJAAN JAWI DALAM KONTEKS PERKEMBANGAN
BAHASA MELAYU SELEPAS MERDEKA
Setelah sekian lama dijajah oleh negara asing, akhirnya Tanah Melayu telah diberi
kemerdekaan oleh British pada tahun 1957. Kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini
adalah hasil penat lelah para pejuang kemerdekaan yang lantang dan berani melawan pihak
penjajah dari terus bermaharajalela di bumi kita ini. Bagi merealisasikan impian tersebut,
seramai lima orang delegasi negara kita yang diketuai oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul
Rahman Putra al-Haj telah berlepas ke London dan mengadakan rundingan dengan pihak
British. Hasilnya, Malaysia telah diisytiharkan merdeka dengan rasminya pada tanggal 31
Ogos 1957. Apa yang menariknya, dokumen pengisytiharan kemerdekaan telah ditulis dalam
dua bentuk tulisan, iaitu satu dalam tulisan rumi dan satu lagi dalam tulisan Jawi. Penggunaan
tulisan Jawi dalam surat pemasyhuran tersebut jelas menunjukkan kepada kita bahawa
tulisan Jawi bukan sahaja digunakan untuk tujuan penulisan pada kitab-kitab agama dan
tujuan tradisional sahaja, bahkan juga digunakan untuk menulis satu dokumen yang memberi
erti yang sangat besar kepada rakyat Malaysia.

Setelah lama negara kita mencapai kemerdekaan, Jawatankuasa Mengkaji


Penggunaan Bahasa Malaysia yang dilantik oleh Y. B. Menteri Pendidikan telah
memperakukan supaya Sistem Ejaan Jawi yang ada sekarang hendaklah dikaji semula dan
diperkemas pada tahun 1981. Selain itu, sebuah buku Daftar Ejaan Rumi-Jawi yang lengkap
hendaklah diusaha dan diterbitkan dengan segera. Untuk melaksanakan perakuan tersebut,
Dewan Bahasa dan Pustaka telah melantik sebuah Jawatankuasa Mengkaji Semula Sistem
Ejaan Jawi atau disebut sebagai Jawatankuasa Ejaan Jawi DBP pada bulan Februari tahun
1983. Jawatankuasa tersebut dianggotai oleh pakar-pakar sistem ejaan Jawi yang mewakili
Pusat Perkembangan Kurikulum, Jawatankuasa Tetap Bahasa Malaysia dan Pusat-pusat
Pengajian Tinggi Tempatan. Bidang tugas jawatankuasa ini ialah membuat kajian semula
terhadap Sistem Ejaan Jawi Za'ba (Pelita Bahasa Melayu Penggal I [Permulaan Nahu Melayu]
tahun 1941 dan Daftar Ejaan Melayu [Jawi-Rumi] tahun 1949), Sistem Ejaan Jawi Dian
(Majalah Dian) dan sistem ejaan Jawi yang digunakan dalam penerbitan-penerbitan Syarikat
Utusan Melayu Sdn. Berhad serta beberapa penerbitan Jawi yang lain).

Hasil kajian Jawatankuasa Ejaan Jawi DBP (1983) itu dibentangkan dalam
Konvensyen Tulisan Jawi (Anjuran Yayasan Islam Terengganu, dan Dewan Bahasa dan
Pustaka) yang diadakan pada 9-11 April 1984 di Terengganu. Konvensyen ini dihadiri oleh
150 orang pakar tentang ejaan Jawi termasuk mereka yang fasih dalam Bahasa Arab dan ahli
agama Islam, yang terdiri daripada wakil-wakil jabatan kerajaan, pusat pengajian tinggi,
institusi dan badan sukarela di seluruh negara, serta beberapa perwakilan rasmi dari negara
Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura dan Thailand. Cadangan yang dikemukakan oleh
Jawatankuasa Ejaan Jawi DBP telah diterima dengan baik oleh peserta konvensyen di
Terengganu itu. Hasilnya telah dirumuskan dan disusun oleh Dewan Bahasa dan Pustaka
pada tahun 1985 dan diterbitkan pada tahun 1986 dalam bentuk buku berjudul Pedoman
Ejaan Jawi yang Disempurnakan (PEJYD).

Pada tahun 1987, Jawatankuasa Ejaan Jawi DBP telah mengadakan pertemuan dan
menerima pandangan daripada beberapa orang pakar serta bersetuju membuat sedikit
penambahbaikan ke atas rumusan yang terkandung dalam PEJYD pada tahun 1986 itu.
Kemudian, naskhah pedoman tersebut diperkemas dan diterbitkan sebagai edisi kedua
dengan judul PEJYD yang sama pada tahun 1987.

Sistem tulisan dan ejaan Jawi yang digunakan sekarang ialah sistem yang dimuatkan
dalam buku Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan yang diterbitkan secara rasmi oleh
Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1986 (edisi kedua 1987; edisi ketiga,1993). Sistem
ini merupakan sistem ejaan Jawi yang digunakan, disempurnakan atau dimantapkan daripada
Kaedah Ejaan Jawi yang digunakan sebelumnya yang berasaskan Kaedah Ejaan Jawi Zaba
sebagaimana yang terdapat dalam buku Daftar Ejaan Melayu Jawi-Rumi. Pedoman Ejaan
Jawi yang Disempurnakan (1986) dihasilkan daripada rumusan Konvensyen Tulisan Jawi
Peringkat Kebangsaan yang diadakan pada tahun 1984. Hasil Konvensyen tahun 1984 itu
telah diselaraskan dan diperkemas dengan maklumat yang diperoleh daripada Konvensyen
Tulisan Jawi anjuran Pusat Islam, Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1991 dan Seminar
Tulisan Jawi Peringkat Kebangsaan pada tahun 1993. Semua maklumat tersebut disemak
dan disahkan oleh Jawatankuasa Teknikal Ejaan Jawi Pusat Islam dan Dewan Bahasa dan
Pustaka pada tahun 1993-1994. Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu yang termuat
dalam buku ini merupakan maklumat terkini tentang sistem ejaan Jawi yang disusun
berdasarkan dokumen-dokumen pedoman ejaan Jawi yang telah diterbitkan oleh Dewan
Bahasa dan Pustaka dan maklumat-maklumat pedoman ejaan Jawi yang diselaraskan
selepas itu, khususnya daripada terbitan buku Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan dan
Daftar Ejaan Rumi-Jawi.

Berdasarkan PEJYD (1987), Dewan Bahasa dan Pustaka telah menyusun Daftar
Ejaan Rumi-Jawi yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1988. Senarai kata masukan
adalah berdasarkan senarai kata masukan dalam buku Daftar Ejaan. Daftar Ejaan Rumi-Jawi
kini diusahakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Daftar ejaan ini memuatkan senarai
perkataan umum dan istilah dalam Bahasa Melayu dibuat menurut abjad Rumi dan panduan
Jawi diberikan pada sebelahnya. Hampir keseluruhan daftar ini menyenaraikan kata dasar.
Penulisan kata terbitan atau kata berimbuhan diterangkan di dalam pendahuluan yang
lengkap dengan contoh-contohnya. Sistem ejaan Jawi yang berunsurkan sistem ejaan
Bahasa Arab menekankan huruf saksi, iaitu Alif, Wau dan Ya. Antara sistem ejaan Jawi yang
terkenal ialah Ejaan P.Bm P.B. Diraja, Sistem Ejaan Zaba, Sistem Ejaan Jawi Yang
Disempurnakan dan Sistem Ejaan Dian. Penyemakan dan rujukan ejaan Jawi daftar ini dibuat
berdasarkan buku Pedoman Ejaan Jawi Yang Disempurnakan dan sumber lain, iaitu Daftar
Ejaan Melayu Zaba (1949), daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia DBP (1982), Istilah Agama
Islam DBP (1986); Pedoman Transliterasi Arab ke Huruf Rumi DBP (1984) dan Kamus Dewan
(1984).

Buku ini dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu bahagian pendahuluan dan bahagian
daftar kata. Bahagian pendahuluan menerangkan panduan bagi menggunakan daftar dan
kaedah penyusunan daftar yang meliputi penggunaan abjad dan huruf Jawi, penulisan
imbuhan, penulisan partikel dan penulisan kata singkat. Bahagian kedua daftar ini pula
memuatkan perkataan yang disusun mengikut abjad Rumi serta padanan Jawi. Keseluruhan
daftar menyenaraikan kata dasar manakala penulisan kata berimbuhan atau kata terbitan
dijelaskan dalam bahagian pendahuluan.

Kini, tulisan Jawi telah menjadi salah satu identiti masyarakat Melayu terutamanya di
Malaysia. Sememangnya tulisan ini digunakan dalam urusan agama Islam dan adat istiadat
Melayu yang kebanyakannya di Johor, Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu.
Kesimpulannya, tulisan Jawi merupakan warisan bangsa yang tidak ternilai harganya. Lebih-
lebih lagi, tulisan Jawi merupakan nadi utama yang menggerakkan Bahasa Melayu sebagai
bahasa ilmu dan meletakkan Bahasa Melayu sateraf dengan bahasa-bahasa asing di dunia
ini pada satu ketika dahulu. Justeru, masyarakat harus sedar tentang keperluan
mempertahankan warisan budaya tulisan Jawi ini agar tidak pupus ditelan zaman. Rentetan
itu, rakyat dan kerajaan perlu berganding bahu untuk merealisasikan semula keagungan
tulisan Jawi sebagai alat mengembangkan ilmu dalam Bahasa Melayu.

5.0 REFLEKSI
Salam sejahtera dan salam Satu Malaysia saya ucapkan kepada pensyarah saya, Dr.
Sabri Bin Che Man. Terlebih dahulu, ribuan terima kasih saya ingin ucapkan kepada
pensyarah dan rakan sekelas yang telah cuba sedaya upaya mendorong dan membantu saya
dalam menjayakan tugasan bagi subjek Sejarah Perkembangan Sistem Ejaan Rumi dan
Sistem Jawi ini. Sebagai seorang guru pelatih Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa
Melayu, saya menerima tugasan ini dengan penuh rasa teruja dan bertanggungjawab dan
saya merasakan tugasan ini merupakan satu platform yang memberi ilmu dan pengetahuan
baru dalam melatih diri saya menjadi seorang bakal pendidik yang berwibawa kelak.

Tidak dapat dinafikan bahawa pada mulanya saya sememangnya kurang


berpengetahuan mengenai tugasan ini, iaitu tentang melaksanakan satu tugasan mengenai
sejarah perkembangan ejaan rumi dan jawi di mana saya tidak pernah menkajinya. Namun
saya bersyukur kerana pensyarah amat memahami dan tidak jemu-jemu membantu memberi
penerangan yang mantap mengenai tugasan ini. Setelah mendengar dan memahami
penerangan yang jelas daripada pensyarah, saya merasakan tugasan ini merupakan tugasan
yang sangat menarik kerana saya dikehendaki menyediakan satu kerja kursus yang
memerlukan pembelajaran untuk memahami konsep ejaan rumi dan jawi sama ada sebelum
merdeka atau selepas merdeka.

Semasa menjalankan kerja kursus ini, saya telah memperoleh banyak pengetahuan
dan pengalaman baru di mana saya telah memahami bagaimana ejaan rumi dan jawi
berkembang dengan pesat di Tanah Melayu sebelum dan selepas merdeka. Sebagai contoh,
saya telah mendapati bahawa peranan yang dimainkan oleh tulisan Jawi dalam
memartabatkan bangsa Melayu amat besar. Sesungguhnya, saya dapat mengesan bahawa
perkembangan tulisan Jawi sedikit demi sedikit mula mendapat kedudukan dalam kalangan
masyarakat mulai abad ke-13. Lebih-lebih lagi, sejarah perkembangan tulisan Jawi telah
mencapai tahap kemuncaknya semasa zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka
pada abad ke-14. Dalam konteks ini, saya dapat mengetahui tulisan Jawi digunakan dengan
meluas dan banyak menarik masyarakat dari dalam atau luar negeri untuk datang
mempelajarinya. Ini secara tidak langsung telah membantu dalam usaha mendaulatkan
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Apa yang paling menarik dalam kerja kursus ini pastinya ialah proses menukar satu
teks rumi kepada tulisan Jawi. Dalam konteks ini, tugasan ini memberi pengalaman pertama
kepada saya di mana saya telah menulis tulisan Jawi sebanyak lebih kurang 100 patah
perkataan sekali gus. Pengalaman ini juga dianggap amat mencabar saya kerana saya tidak
fasih dalam tulisan Jawi di mana saya tidak mempunyai pembelajaran asas dalam Jawi.
Walau bagaimanapun, saya masih boleh menyelesaikan tugasan ini dengan membuat banyak
rujukan dari buku dan internet serta meminta bantuan daripada rakan untuk menyemak tulisan
Jawi saya. Saya berasa bangga kerana usaha saya akhirnya berjaya juga di mana saya dapat
menghasilkan satu teks Jawi yang memuaskan hati saya. Sesungguhnya ini merupakan
pengalaman terbaik saya dalam semua penulisan akademik sebelum ini dan saya berharap
mempunyai peluang lagi untuk menulis tulisan Jawi seperti ini supaya dapat menguasai
kemahiran ini dengan lebih mantap pada masa akan datang.

Jika dilihat sebelum ini, saya merupakan seorang yang kurang mengambil berat
terhadap warisan bangsa terutamanya tulisan Jawi. Hal ini demikian kerana saya tidak faham
tentang tulisan Jawi di mana saya tidak pernah mempelajarinya. Namun, setelah menyiapkan
kerja kursus ini, saya sedar bahawa tulisan Jawi merupakan warisan bangsa yang tidak
ternilai harganya. Saya juga percaya bahawa tulisan Jawi merupakan nadi utama yang
menggerakkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan meletakkan bahasa Melayu setaraf
dengan bahasa-bahasa asing di dunia ini pada satu ketika dahulu. Oleh itu, saya sebagai
seorang bakal guru mempunyai tanggungjawab besar untuk mempertahankan warisan
budaya tulisan Jawi ini agar tidak akan lenyap ditelan zaman walaupun saya masih tidak fasih
lagi. Saya tahu ini bukan alasan bagi saya untuk tidak mengambil peduli apa-apa tentang
warisan budaya tulisan Jawi sebaliknya saya harus berusaha lebih bersungguh-sungguh
untuk membantu kerajaan merealisasikan semula keagungan tulisan Jawi sebagai alat
mengembangkan ilmu dalam bahasa Melayu.

Sepanjang proses menyiapkan kerja kursus ini, saya telah menguasai pengalaman
dan pengetahuan dalam aspek perkembangan ejaan rumi dan jawi dengan sepenuhnya.
Tugasan ini juga mengajar saya agar menghargai masa yang ada dan haruslah dimanfaatkan
sebaiknya. Tugasan kali ini berjalan dengan lancar dan saya berasa sungguh gembira kerana
kerjasama yang diberikan oleh rakan sekelas sangat baik sekali dan telah menjadi pendorong
kepada saya untuk menyiapkan tugasan ini. Akhirnya saya berasa amat bersyukur kerana
dapat menyiapkan tugasan ini pada tarikh yang telah ditetapkan. Kesimpulannya, saya
berharap kerja kursus ini dapat memberi manfaat yang banyak kepada diri saya dan orang
lain. Semoga dengan terlaksananya tugasan ini dapat melatih diri saya bukan sahaja menjadi
seorang insan yang lebih bertanggungjawab malah menjadi bakal guru yang berkarisma dan
menyumbang bakti dalam bidang pendidikan di Malaysia. Sekian, terima kasih.

RUJUKAN

BUKU:
Hashim Musa. (2006). Epigrafi Melayu: Sejarah Sistem Tulisan dalam Bahasa Melayu.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ismail Dahaman. (2007). Ejaan Rumi Sepanjang Zaman. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Hashim Musa. (2006). Sejarah Perkembangan Tulisan Jawi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Zainal Abidin Ahmad.(1988). Daftar Ejaan Rumi Jawi. Selangor: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

JURNAL:

Amat Juhari Moain. (1992). Perkembangan Penggunaan Tulisan dalam Bahasa Melayu.
Jurnal Bahasa, November 1992 hlm. 1060-1967.

Amat Juhari Moain. (2004). Sejarah Perkembangan Tulisan Jawi dalam Monograf Bahasa,
Sastera dan Budaya Melayu Bil.9. Julai 2004. Hlm. 167-180.

Ismail Dahaman. (1991). Ejaan Rumi Selepas Ejaan Zaba. Jurnal Bahasa, Jun 1991 hlm.
507-522.

INTERNET:

Awang Selamat. (2013). Sejarah Perkembangan Sistem Ejaan Rumi Bahasa Melayu.
Diperoleh pada 28 Mac 2014 daripada
http://bujangetg.blogspot.com/2013/10/sejarah-perkembangan-sistem-ejaan-rumi.html

Mohd. Alwee Yusoff. (2010). Sistem Ejaan Rumi Bahasa Melayu. Diperoleh pada 28 Mac
2014 daripada http://ipgktarpengajiansosial.blogspot.com/2010/08/sistem-ejaan-rumi-
bahasa-melayu.html

Muhammad bin Razali. (2011). Perkembangan Tulisan Jawi di Tanah Melayu. Diperoleh
pada 28 Mac 2014 daripada
http://generasipendidik2u.blogspot.com/2011/02/perkembangan-tulisan-jawi-di-tanah.html
LAMPIRAN
Buku Daftar Ejaan Rumi Jawi.
Jadual senarai huruf jawi.
Jadual senarai huruf jawi.

Anda mungkin juga menyukai