Anda di halaman 1dari 3

Pengguguran - Bukan cara merancang keluarga

   _ 
Pengguguran - Bukan cara merancang keluarga
Ruangan Keluarga, Utusan Malaysia

MUKADIMAH

Pada masa ini terdapat kira-kira 40 peratus kehamilan tidak dikehendaki berlaku setiap tahun yang mana daripada
jumlah ini 60 peratus akan digugurkan sama ada secara haram ataupun tidak.
Pengguguran juga dilakukan untuk pemilihan jantina yang mana sekiranya janin yang dikandung bukan jantina yang
dikehendaki, janin ini akan dibuang atau digugurkan.

Statistik dunia mendapati janin perempuan lebih banyak digugurkan daripada janin lelaki.

Pada masa yang sama pengguguran sudah menjadi satu trend di kalangan wanita muda yang enggan mengandung
kerana tidak mahu dibebani masalah menjaga anak, bimbang bentuk badan berubah dan sebagainya.

Wartawan ROSMAH DAIN mengupas permasalahan ini untuk iktibar bersama. Gambar dirakamkan SAIFUL NIZAM
BAHARI.

Apabila bercakap tentang aktiviti pengguguran haram, tidak dinafikan ia semakin berleluasa di negara ini. Biarpun
kaedah yang digunakan menyakitkan dan boleh mengundang maut serta salah di sisi undang-undang, kebanyakan
wanita yang terdesak sanggup mengharunginya.
Biasanya, pengguguran haram banyak dilaporkan dilakukan oleh golongan remaja atau wanita yang hamil akibat
melakukan hubungan haram.

Meluas

Tetapi sedarkah kita bahawa sebenarnya ramai di kalangan wanita yang bersuami juga melakukan pengguguran
kerana tidak mahu zuriat yang dikandung.

Menurut Pakar Sakit Puan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr. Harlina Halizah Siraj, kaedah
pengguguran di kalangan wanita yang telah bersuami telah dijadikan sebagai cara untuk merancang keluarga.

Menurutnya, keadaan ini tidak dapat dilihat dengan meluas di negara ini kerana ia dilakukan dalam keadaan
tersembunyi, tambahan pula pengguguran haram bertentangan dengan peruntukan undang-undang negara.

"Pengguguran hanya diunjurkan sekiranya melibatkan keselamatan nyawa ibu yang terancam akibat kehamilan.

"Itupun hanya setelah mendapatkan pengesahan dua pakar yang bertauliah, barulah prosedur pengguguran itu
dijalankan ketika usia kehamilan masih awal lagi iaitu sebelum empat bulan,'' katanya.

Harlina Halizah berkata, setiap kali berlakunya pengguguran ia boleh mengancam nyawa si ibu.

Ia juga merupakan satu kaedah yang kurang sesuai digunakan sebagai kaedah merancang keluarga.

Katanya, terdapat beberapa komplikasi yang akan dihadapi oleh si ibu akibat pengguguran yang tidak diawasi doktor
yang bertauliah.

Antaranya, pendarahan yang tidak terkawal, mengundang kecederaan kepada organ seperti rahim dan pangkal
rahim, serta boleh mengakibatkan kematian.

Selain itu, ia juga boleh mengakibatkan jangkitan kuman yang teruk pada rahim, yang menyebabkan masalah
ketidaksuburan berlaku selepas itu.

Akibatnya, pada masa akan datang sekiranya pasangan suami isteri ini ingin mempunyai anak, wanita ini didapati
sukar untuk mengandung lagi.

"Sekiranya suami isteri mengetahui mengenai masalah yang bakal dihadapi, sudah tentu mereka akan lebih berhati-
hati sekiranya hendak merancang kehamilan.

"Dalam teknologi perubatan, kita mempunyai berbagai-bagai kaedah merancang keluarga yang boleh digunakan
dengan selamat dan bukannya memilih kaedah untuk menggugurkan janin dalam usaha merancang keluarga,''
katanya.

Harlina Halizah menambah, kebanyakan negara Barat seperti Amerika Syarikat yang menghalalkan pengguguran
melihatnya sebagai satu langkah menghormati hak-hak reproduktif wanita.

Wanita dikatakan berhak memilih sama ada mahu hamil atau tidak dan perlu diberikan kebebasan sepenuhnya tanpa
diskriminasi melakukan pengguguran sekiranya beliau tidak mahu meneruskan kehamilan tersebut.

Sekiranya, terdapat wanita di negara ini yang berpaksikan ke arah menghalalkan cara itu, sudah tentu kaedah ini
dilakukan oleh mereka dengan sewenang-wenangnya untuk menggugurkan janin yang dikandung.

"Apa yang membimbangkan ialah terdapat ubat-ubatan yang boleh didapati dengan mudah untuk menggugurkan
janin di peringkat awal kehamilan dengan bantuan pengamal perubatan yang kurang beretika dan menghormati
undang-undang,'' katanya.

Beliau berkata, menggugurkan kandungan yang berusia melebihi lima bulan adalah berbahaya tambahan pula di sisi
agama ia dilihat sebagai satu `pembunuhan' sekiranya dilakukan dengan sengaja kerana janin pada peringkat ini
telah berkembang pertumbuhannya.

"Mentaliti masyarakat kita pada hari ini ialah mereka melihat dan merasakan janin yang dikandung itu masih belum
dianggap sebagai `manusia' kerana ia belum lagi bernyawa.

Kecintaan

"Sekiranya ramai yang beranggapan begini musnahlah rasa kecintaan sesama manusia kerana tidak melihat nilai
yang tinggi terhadap nikmat dan rezeki yang dikurniakan Tuhan,'' katanya.

Beliau menambah, wanita yang pernah menggugurkan kandungan, lebih mudah untuk menggugurkan kandungan
yang akan datang sekiranya ingin berbuat demikian.

Apabila diminta statistik secara khusus mengenai golongan yang melakukan pengguguran haram di negara ini,
Harlina Halizah memberitahu, sukar mendapatkan catatan statistik yang menunjukkan peratusan mengenai hal
tersebut sekalipun dilakukan secara sah atas sebab-sebab tertentu.

Tetapi berdasarkan pengalaman, beliau mendapati ramai suami dan isteri daripada keluarga yang berpendapatan
pertengahan dan suami isteri yang berusia muda termasuk dalam kategori mereka yang melakukan pengguguran.

"Saya melihat mereka ini kurang mempunyai pengetahuan dari sudut kesihatan dan pengetahuan umum dan tidak
ada informasi mengenai merancang keluarga yang betul.
"Gaya hidup pasangan muda yang tidak begitu jelas mengapa mereka perlu berkahwin, tidak mempunyai matlamat
dalam perkahwinan, menganggap mempunyai anak adalah menyusahkan dan gaya hidup yang tiada pegangan
keagamaan menjadi faktor pengguguran berlaku.

Kesempitan

"Pada masa yang sama, kesempitan kewangan dan hanya sekadar mencari keseronokan turut menjadi punca
mengapa mereka melakukan pengguguran sebagai jalan pintas untuk menyelesaikan masalah tidak mahu memiliki
anak, tambahan suami juga menggalakkan mereka berbuat demikian,'' katanya.

Harlina Halizah berkata, dalam apa jua keadaan, pasangan perlu menyesuaikan diri untuk belajar menyelesaikan
apa sahaja masalah yang dihadapi dan tidak menganggap mempunyai anak sebagai satu yang membebankan.

Manakala dalam keadaan kaedah perubatan yang maju sekarang, kaedah penyaringan menerusi pemeriksaan
ultrasound boleh dilakukan dalam menentukan sama ada janin yang dikandung normal atau tidak.

"Kalau janin itu hanya mengalami sumbing atau disahkan mengalami Sindrom Down (keabnormalan pada kromosom
21), kita tidak sesekali menyarankan kandungan itu digugurkan,'' katanya.

Beliau memberitahu, sepatutnya semua kehamilan perlu `dikehendaki' dan dirancang. Sikap keprihatinan ini
dianggap sebahagian daripada ciri keibubapaan yang bertanggungjawab.
Perkembangan anak-anak yang lahir daripada kehamilan yang dirancang dan dikehendaki adalah jauh lebih mantap
dan positif jika dibandingkan dengan mereka yang dikandung secara tidak dirancang.
"Sebenarnya setiap ibu yang menggugurkan janin mereka pasti akan menerima kesan emosi selepas setiap
pengguguran dilakukan walaupun ramai di kalangan mereka cuba menafikan perasaan berkenaan.

"Pasti jauh di sudut hati mereka timbul perasaan sedikit bersalah dan terkilan kerana pada masa lalu mereka pernah
melakukan sesuatu ke atas janin sendiri,'' katanya.

Anda mungkin juga menyukai