Anda di halaman 1dari 4

Cara kurangkan bayaran Kad Kredit

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN

KAD kredit adalah antara produk institusi kewangan yang paling laris di pasaran. Kad kredit
merujuk kepada sejenis kad yang ditawarkan oleh institusi kewangan seperti bank yang
digunakan untuk mengganti penggunaan wang tunai.

Penggunaannya makin popular dan boleh dikatakan hampir setiap individu memiliki kad kredit.
Sebabnya, ia memberikan kemudahan berbelanja tanpa perlu membawa wang tunai.

Secara mudahnya, kad kredit adalah satu kaedah pembayaran yang membolehkan pemegang kad
membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan tanpa menggunakan wang tunai.

Namun, pernahkah kita bertanya bagaimana kad ini berfungsi atau kita hanya tahu gunakannya
sahaja! Pihak pengeluar kad kredit apabila menawarkan kad kredit kepada pelanggannya,
menerusi kad tersebut seseorang pelanggan itu diberi talian kredit, dengan had maksimum yang
boleh dicaj kepada kad tersebut yang disebut sebagai ‘had kredit’.

Apabila kad berkenaan digunakan untuk sebarang perbelanjaan maka had kredit yang diberikan
akan berkurangan. Apabila bayaran dibuat maka had tersebut akan kembali bertambah dan ini
jika pemegang kad kredit membuat bayaran balik baki sepenuhnya.

Namun, pemegang kad kredit biasanya tidak berbuat demikian, mereka sebaliknya hanya
membayar jumlah faedah dan bayaran minimum baki pokok yang terhutang, dan tidak akan
bayar balik baki yang sepenuhnya. Daripada sudut etika penggunaan kad kredit, kaedah
pembayaran ini tidak digalakkan.

Kad kredit jika digunakan mengikut kaedah yang betul memang satu kemudahan yang sangat
memberi manfaat kepada masyarakat. Namun, jika sebaliknya ia mengundang padah seperti
yang dilaporkan dalam www.kosmo.com.my/kosmo, di mana Bank Negara menjelaskan, jumlah
hutang kredit tidak berbayar sehingga Mac tahun 2000 adalah RM5.7 bilion berbanding Mac
1998, sebanyak RM4.4 bilion.

Angka terkini mendedahkan sehingga April 2009, rakyat Malaysia mempunyai tunggakan
hutang kad kredit berjumlah RM22.4 bilion. Ia satu peningkatan lebih 400 peratus dalam tempoh
satu dekad, dengan jumlah kad kredit yang beredar di pasaran hari ini berjumlah 11 juta.

Fenomena ini sungguh membimbangkan di mana purata setiap pemilik mempunyai 3.17 kad
kredit. Namun, hanya kira-kira 60 peratus daripada pemilik kad kredit di negara ini menjelaskan
pinjaman mereka mengikut masa ditetapkan. Selebihnya, gagal menjelaskan tunggakan pinjaman
yang mencecah RM18.6 bilion berdasarkan statistik Oktober 2006.

Hutang tertunggak
Pemilik kad kredit yang gagal melunaskan hutang dalam tempoh ditetapkan berdepan dengan
tindakan mahkamah dan kemungkinan diistihyarkan muflis. Kira-kira 30 peratus kes muflis
membabitkan pemegang kad kredit. Kebanyakan pemilik kad kredit yang muflis adalah eksekutif
muda berusia bawah 30 tahun.

Walaubagaimanapun, penggunaan kad kredit bukan sahaja meningkatkan pertumbuhan sektor


kredit yang sebelum ini terjejas teruk akibat dari kemurungan ekonomi dekad yang lalu, tetapi
merancakkan aktiviti perniagaan dan aktiviti ekonomi masyarakat.

Namun, seperti yang dinyatakan di atas, sedar ataupun tidak, gejala penggunaan kad kredit
secara berleluasa tanpa pengawasan menyebabkan berlakunya suasana yang tidak sihat kepada
ekonomi dan moral individu serta masyarakat.

Kes-kes muflis yang berlaku, sebahagiannya berpunca daripada penggunaan kad kredit tanpa
batasan sehingga menghasilkan hutang tertunggak yang tidak mampu dibayar.

Langkah bijak yang perlu dilakukan oleh masyarakat dalam memilih untuk menggunakan kad
kredit ialah dengan memilih kad-kad kredit secara Islam yang ditawarkan oleh perbankan Islam.

Ini kerana ia bukan sahaja menepati syariah malah tiada unsur-unsur menindas dan menganiaya.

Penggunaan kad kredit perlu berteraskan etika dan tatacara tertentu agar ia membawa kebaikan
dan tidak membuka ruang kemudaratan kepada para pengguna kad kredit dan harta mereka.

Pertama, masyarakat perlu memahami bahawa penggunaan kad kredit hanyalah untuk
memberikan kemudahan kepada mereka ketika berurusniaga tanpa perlu membawa wang tunai
kerana ia membahayakan keselamatan pemiliknya di samping menyusahkan.

Dengan adanya kad kredit, mereka tidak perlu mengambil risiko mengeluarkan wang tunai dari
bank dan pengguna tidak terbeban membawa wang tunai untuk membuat pembelian atau
pembayaran.

Sayangnya, ada di kalangan masyarakat hari ini memiliki kad kredit bukan untuk kemudahan
tetapi lebih kepada bermegah-megah. Bagi mereka, kad kredit melambangkan status sosial yang
tinggi di mata masyarakat.

Keadaan ini tidak pelik kerana terdapat beberapa lokasi perniagaan seperti restoran dan hotel
yang memberikan layanan istimewa kepada pemegang kad kredit kerana ia menonjolkan imej
kemewahan.

Hasilnya, terbitlah sifat- sifat negatif yang lain seperti riak, sombong, angkuh, tamak dan iri hati.

Sifat berbangga-bangga sehingga menyebabkan angkuh dan sombong ini jelas bercanggah
dengan ajaran Islam. Dalam hal ini, Allah SWT merakamkan pesanan Luqman kepada anaknya
dalam al-Quran yang bermaksud: Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana
memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak
sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi
membanggakan diri. (Luqman: 18)

Pendek kata, penggunaan kad kredit untuk dibangga-banggakan adalah jelas terpesong daripada
tujuan asalnya. Sekiranya niat asal sudah tergelincir, maka tentunya penggunaannya pasti
melanggar batasan yang sepatutnya.

Jika motif memiliki kad kredit adalah untuk berbangga-bangga, sudah pasti pengguna akan
cenderung kepada membuat pembelian bukan disebabkan keperluan, tetapi untuk kepuasan dan
menunjuk-nunjuk. Sehingga ada individu yang memiliki empat hingga lima kad kredit semata-
mata bagi menggambarkan bahawa mereka adalah golongan elit dan berstatus tinggi.

Perlu diberi perhatian juga, penggunaan kad kredit hendaklah ketika keperluan yang amat sangat.
Masyarakat boleh memiliki kad kredit untuk kemudahan terutamanya ketika berlaku kecemasan.
Elak menggunakannya secara melampau dan melebihi had yang tidak sepatutnya.

Ini kerana, ia akan mewujudkan budaya suka berhutang yang amat tidak digalakkan oleh Islam
kecuali bagi mereka yang benar-benar berhajat kepadanya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang
terkorban syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia). (riwayat Muslim, 6/38)

Menggunakan kad kredit bermakna kita berhutang dengan pihak bank. Maka setiap kali kita
menggunakannya, ia bererti kita menambah satu lagi liabiliti yang perlu dilunaskan.

Semuanya akan dipertanggungjawabkan sehingga kita dipersoal oleh Allah SWT di akhirat kelak
sekiranya gagal menunaikannya.

Justeru, masyarakat perlu berfikir terlebih dahulu sebelum membuat pembelian melalui kad
kredit. Gunakanlah sekadar keperluan sahaja dan jangan melampaui batasan yang sepatutnya.

Di samping itu, di antara perkara yang perlu dititikberatkan oleh pengguna kad kredit adalah
perbelanjaan tersebut tidak boleh melebihi kadar yang munasabah bagi kapasitinya untuk
membayar semula.

Ini bermakna, perbelanjaan melalui kad kredit perlu berlandaskan kemampuan pemiliknya,
bukan secara sesuka hati. Buat perancangan sebelum membuat pembelian.

Jangan berbelanja mengikut hawa nafsu. Sebaliknya, pengguna kad kredit perlu bijak dalam
mengimbangi di antara perbelanjaan dan pendapatannya.

Jika kefahaman dan kesedaran ini gagal dihayati, maka ia akan menyebabkan pengguna kad
kredit berhadapan dengan hutang tertunggak akibat perbelanjaan secara berlebihan. Situasi ini
tentunya akan menyusahkan dirinya dan keluarga pada masa hadapan.
Jika wang sudah mencukupi, pengguna perlu terus membuat pembayaran. Ingat, setiap hutang
wajib dibayar balik.

Sabda Rasulullah SAW: Barang siapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin
mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barang siapa yang
meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya. (riwayat Al-
Bukhari, 2/83 )

Artikel lain kad kredit di www.bajet2u.com

Anda mungkin juga menyukai