Anda di halaman 1dari 4

Abai suami sendiri, rindu suami orang

         

SAYA sebenarnya isteri bertuah tetapi tidak tahu menghargainya. Saya berkahwin hampir tujuh tahun lalu dan
mempunyai dua anak.

Suami saya baik, penyayang dan sangat mencintai saya, baik dengan anak, tidak pernah tinggal solat, malah boleh
saya katakan dia memiliki ciri-ciri suami yang susah dicari pada zaman ini. 

Pada saat kawan lain merungut dan kecewa dengan sikap suami masing-masing yang bermata keranjang, panas
baran dan pelbagai sifat negatif lain, saya hanya tersenyum dan bertuah kerana suami tidak bersikap sebegitu. 

Segala-galanya berubah apabila saya menghubungi kenalan pada zaman sekolah yang saya panggil Z melalui
facebook (FB). Pada awalnya, saya cuma ingin bertanya khabar tetapi semakin lama semakin melarat.

Betul kata seorang ustaz, bila umpan syaitan sudah mengena, yang haram dianggap halal. Daripada berhubung
melalui mesej di FB, hubungan kami melarat melalui telefon dan sesekali bila ada peluang, kami berjumpa di luar.

Saya tidak segan lagi mengucapkan perkataan rindu, sayang dan ingin hidup bersamanya. Biasanya kami
berhubungan pada tengah malam ketika orang lain tidur. Saya sering memberi alasan kepada suami yang saya
lambat tidur untuk menyiapkan kerja pejabat. 

Saya mula mengabaikan keperluan batin suami. Saya benar-benar bahagia. Dalam sehari, tujuh hingga lapan kali
saya menghubungi Z kerana merinduinya. Saya juga rela menghabiskan wang untuk membayar bil telefon kerana
biasanya kami bergayut lama setiap kali ada peluang. 

Hubungan ini akhirnya dapat dikesan isterinya. Walaupun isterinya merayu supaya tidak mengganggu suaminya,
saya tetap teruskan hubungan ini. 

Akhirnya perkara ini sampai juga ke pengetahuan suami saya. Ketika membasuh kereta saya, suami terjumpa
sampul surat mengandungi foto Z dan surat cintanya. Suami saya hampir pengsan apabila membaca surat
berkenaan. 

Dia langsung tidak menyangka saya tergamak berbuat begitu padanya. Malah, suami tidak boleh menerima
kenyataan saya sanggup memusnahkan rumah tangga orang lain. 

Sejak itu, saya benar-benar insaf. Sikap suami terhadap saya mula berubah walaupun sikapnya dengan anak masih
sama. Saya juga tidak lagi menghubungi Z selepas itu. 

Saya juga beberapa kali menangis di depan suami untuk meminta maaf daripadanya. Walaupun mulutnya berkata
maaf, saya tahu dalam hatinya dia belum memaafkan saya. 

Suami semakin menjauhi saya dan sering tidur bersama-sama anak. Tolonglah saya Dang Setia, saya benar-benar
bertaubat. 

Saya tidak mahu kehilangan suami. Dia terlalu baik kepada saya. Kepada pembaca lain, jadikan kisah saya sebagai
pengajaran. Kini saya merindui senda gurauan suami. Sehingga hari ini saya belum dapat memaafkan diri saya. 

SITI 
Kelantan 

Dang Setia bukan anti teknologi maklumat (IT) termasuk laman sosial seperti FB dan twitter, tapi laman sosial seperti
itu terlalu banyak menghancurkan rumah tangga pada zaman serba moden ini. 

Ini berlaku kerana kita, sebagai manusia, lalai dan menggunakan kemudahan itu pada jalan salah. Laman sosial itu
ada juga kebaikannya seperti membantu mengesan semula teman lama, sekali gus merapatkan silaturahim di antara
umat Islam, terutama sesama jantina. 

Namun apabila disalah guna, kemudahan itu boleh menjadi racun. Sebagai contoh, percubaan mengesan semula
kekasih lama atau ‘teman tapi mesra’ sedangkan kita sudah bersuami atau beristeri. Itu namanya mencari pasal. 

Apa lagi jika FB dijadikan wadah untuk meluahkan perasaan, terutama masalah rumah tangga. Lama-kelamaan,
tidak mustahil si lelaki atau si wanita terpikat sesama sendiri kerana kesudian menjadi pendengar setia, atau bijak
memberi pendapat. 

Apapun, mujur puan menyedari kesilapan besar puan, itupun selepas ‘tertangkap’ dengan suami yang terjumpa surat
cinta Z ketika membasuh kereta puan. 

Tanyalah lelaki mana sekalipun, ‘luka’ itu sangat pedih dan dalam. Isteri yang selama ini dijunjung tinggi, nampak
baik dan sopan di depan mata, rupa-rupanya bercinta dengan suami orang di belakang. 

Luka yang dalam tidak akan sembuh sehari dua, sebaliknya mengambil masa berminggu-minggu atau berbulan-
bulan untuk pulih sepenuhnya. Begitu juga hati suami yang lazimnya keras, apatah lagi tertipu dengan lakonan isteri. 

Apa yang boleh puan lakukan sekarang adalah perlahan-lahan cuba mengambil hatinya semula. Kembali kepada
perwatakan asal puan, jadi isteri terbaik untuk suami dan ibu terbaik untuk anak. 

Pada masa sama, perbanyakkan solat taubat dan hajat, memohon kepada Allah untuk kembali membuka hati suami
supaya menerima puan seperti sedia kala. 

Insya-Allah, jika suami yakin puan benar-benar berubah, dia akan menerima semula puan seperti dulu, apatah lagi
jika cintanya terhadap puan masih utuh.

SAYA tertarik membaca kisah Siti dalam ruangan ini bertajuk ‘Abai suami sendiri, rindu suami orang’ minggu lalu.
Kisah ini hampir serupa dengan apa yang saya alami dua minggu lalu. Bezanya, mungkin saya tidak sebaik dan
sesempurna suami beliau.

Banyak persamaan antara kisah saya dengan kisah Siti iaitu curang dengan teman lelaki lama berpunca daripada
laman sosial facebook, berpura-pura dengan suami, bersayang-sayang dengan teman lelaki, cuma saya tak pasti
ada perjumpaan rahsia atau tidak. Saya sangat memahami jika suami Siti sukar memaafkannya.

Kisahnya begini. Saya suami yang bekerja sendiri manakala isteri bekerja sebagai guru. Dalam perkahwinan kami
selama 22 tahun banyak cabaran dihadapi, sama ada besar mahupun kecil.

Semuanya kami lalui dengan tabah walaupun sesetengah perkahwinan yang mengalami pengalaman seperti kami
mungkin membawa kepada perceraian. Kami masih mampu bertahan, dengan izin Allah SWT.

Isteri mula mengenali facebook daripada kawan guru di sekolah. Apabila isteri menyebut mengenai facebook, saya
awal-awal lagi tidak bersetuju dan memberikan beberapa kes kehancuran rumah tangga akibat facebook. Namun
secara diam-diam, isteri membuka juga akaun facebook.

Mula-mula berkongsi kandungan facebook beliau dengan saya yang tak pandai guna facebook. Lama-lama beliau
semakin bijak dan pandai menggunakan ciri-ciri dalam facebook.
Entah macam mana, satu hari saya terfikir untuk melihat kandungan facebook beliau dan saya dapati ada satu mesej
yang isteri saya hantar kepada satu nama yang dijumpai, berbentuk pertanyaan adakah orang itu B yang belajar
dengannya dulu? Hati saya hancur bila saya dapati B yang dicari itu adalah bekas teman lelakinya. Lalu dengan
sedikit pengetahuan mengenai facebook, saya membuka akaun dengan menggunakan nama hampir sama dengan
nama B, lalu saya berpura-pura mencari isteri saya. Satu mesej dihantar, tidak lama, terus mendapat jawapan.

Saya dapat bayangkan betapa gembiranya hati isteri saya ketika itu, dan betapa remuknya hati saya pula. Namun,
saya bertahan dan teruskan kerana ingin tahu sejauh mana isteri saya pergi. Daripada mesej isteri saya kepada saya
yang menyamar menjadi B, ada mesej yang berbaur keluhan.

Kononnya saya sentiasa sibuk, tak ada banyak masa untuk dia. Dang Setia, saya hanya peruntukkan satu malam
setiap minggu untuk membina kerjaya saya sehingga larut malam. Hari lain, selepas kerja, saya gunakan untuk
keluarga. Namun syaitan memang begitu, membesar-besarkan sesuatu yang boleh merosakkan umat.

Setelah beberapa mesej saya terima, akhirnya saya tak dapat bertahan lalu saya dedahkan apa yang saya dapat
daripada mesejnya. Dipendekkan cerita, isteri saya mengakui kesilapannya dan memohon maaf. Saya maafkan. Hati
saya sedikit lembut kerana beliau sebenarnya hanya dipermainkan oleh saya yang menyamar menjadi B.

Beberapa bulan lalu, saya rasa tidak selesa dan hati saya meronta-ronta untuk mengetahui adakah isteri saya benar-
benar insaf. Ini kerana, saya ternampak dalam bil telefonnya, satu nombor luar daerah yang mempunyai masa
berbual agak lama.

Allah nak tunjuk agaknya, entah maca mana, satu hari saya terpandang telefon bimbitnya dengan satu nama lelaki di
muka telefon.

Agaknya, dia lupa nak balik ke menu asal selepas membuat panggilan. Bila saya periksa nama dan nombor itu, ia
sama seperti yang saya jumpa dalam bil. Berderau darah saya. Ketika saya sibuk di tingkat bawah, agaknya dia
sibuk menghubungi lelaki itu. Saya namakan sebagai Z.

Ketika sarapan pagi, saya tanya isteri saya siapa Z? Dia kata tak kenal... hmm.. mustahil. Saya desak, baru dia kata,
itu kawan lama ITM... saya musykil, mana ada ITM keluarkan doktor perubatan pada 1980-an? Macam-macam
alasan isteri saya buat. Dia pujuk saya, dia kata kawan lama di ITM, tak ada apa-apa dan hanya berhubung sekali.

Selang beberapa minggu, hati saya tak sedap lalu saya periksa telefon bimbit isteri, ada satu panggilan keluar ke
nombor Z, dan ada satu mesej daripada Z bertanyakan “naperrr...” Saya bukan bodoh, isteri saya kata dia tertekan
nombor itu. Saya terima alasan itu tapi saya terfikir mengenai mesej “naper...” Isteri saya kata Z kawan lama dan
hanya sekali mereka berhubung, tapi jawapan “naperr..” seperti itu biasanya untuk orang yang biasa berhubung dan
mesra. Saya mula mengatur strategi. Dipendekkan cerita, siasat punya siasat, rupa-rupanya isteri menjalin hubungan
sulit dengan Z.

Z juga teman lelaki lamanya yang dia jumpa semula dalam facebook. Namun isteri saya pandai, dia tak bercinta
dalam facebook tapi membuka satu akaun e-mel baru dengan nama yang nampak macam e-mel kerja. Allah nak
tunjuk, saya dibantu oleh sahabat yang pandai bidang IT, kami berjaya mengesan kata laluan facebook dan e-mel
isteri saya.

Terkejut dan kecewanya saya. Kata laluan yang digunakan adalah kombinasi nama isteri saya dan nama Z. Ya Allah!
Ini bukan hubungan biasa. Saya berjaya membaca e-mel mereka. Alangkah kecewanya saya bila membaca satu e-
mel isteri saya kepada Z yang dimulai dengan lagu Maher Zain-Till The End Of My Life.
Hancur luluh hati saya. Dalam kesibukan isteri saya, dalam diam, dalam kepura-puraan, rupa-rupanya bercinta. Bila
kisah ini berjaya saya bongkar, isteri saya merayu-rayu memohon ampun dan ingin bertaubat.

Bak kata Siti, walaupun suaminya memaafkan, masakan sama hati suaminya dulu dengan sekarang... itulah hati
saya.

Air mata saya mengalir setiap kali mendengar lagu Maher Zain itu, terbayangkan bagaimana ia dinyanyikan oleh
isteri saya di depan Z. Saya sangat kecewa dan sedih. Anak tempat saya mengubat hati sekarang ini.

Saya nasihatkan kepada mereka yang berkahwin dan sekarang bersosial dengan facebook, hentikanlah kalau ia
digunakan untuk berhubung dengan bukan kaum sejenis, terutama dengan kenalan lama. Inikan pula teman lelaki
lama. Percayalah, walaupun bilangan kes seperti saya ini kecil, tidak mustahil ia akan bertambah.

Bayangkan, dengan usia facebook yang baru setahun jagung, banyak rumah tangga retak dan musnah, tidak
mustahil banyak lagi yang menunggu musnah. Yang sudah memulakan percintaan songsang, bertaubatlah!

AZAM
Shah Alam

Anda mungkin juga menyukai