Anda di halaman 1dari 3

Cerpen : Antara cinta dan kesetiaan

TIADA paksaan, tiada desakan ketika aku menerima pinangan Nazrin beberapa tahun
lalu, yang membawa kepada pernikahan kami. Majlis pernikahan kami berlangsung
dalam suasana sederhana.
Walaupun kami kini telah dikurniakan dua orang cahaya mata, namun sejak akhir-
akhir ini aku semakin tidak mengerti dengan diriku sendiri. Bagai ada suatu perasaan
aneh yang sentiasa menerjah dalam benakku. Dalam pada waktu-waktu tertentu, entah
mengapa tiba-tiba datang perasaan benci yang amat sangat terhadap suamiku itu.
Benci sebenci-bencinya, sehinggakan ketika itu kalau boleh aku tidak ingin langsung
menatap wajahnya. Malah semahunya aku ingin menjauhkan diri daripadanya.
Akibat dan perasaan itu, aku seringkali enggan bermesraan dengannya, bahkan
seringkali pula aku mengabaikan tanggungjawabku sebagai seorang isteri!
Lebih teruk lagi, aku kerap bertanya-tanya sendiri mengapa aku boleh jatuh cinta,
menerima lamaran, bernikah dan hidup sebumbung dengan Nazrin. Mengapa pula
dulu aku menerima pinangannya? Sedangkan ketika itu tiada sesiapa pun yang
memaksa atau mendesak aku menerimanya sebagai teman hidupku.
Tetapi bila aku mengenangkan apakah nasib yang akan menimpa pada kedua-dua
anak kami yang masih kecil sekiranya rasa benci terhadap suamiku itu terus
berlanjutan, aku terpaksa berbuat sesuatu. Maka, aku membuat keputusan untuk
membincangkan perkara yang melanda diriku itu dengan Nazrin. Aku tak ingin terus
menerus merasakan ada jurang dalam kehidupan rumah tangga kami. yang
berkemungkinan akan menjadi retak!
Aku benar-benar tidak sanggup membayangkan kenyataan yang memedihkan itu!
Jika aku meluahkan perasaan yang terbuku ini, adakah Suamiku akan dapat
menerimanya dengan tenang? Atau haruskah aku biarkan kebencian pada suamiku itu
terus bersarang? Sudah tentu aku tidak sanggup terus hidup dalam lingkaran
kebencian terhadap orang yang menyara makan pakaiku serta ayah kepada kedua-dua
orang anakku. Aku tidak boleh membiarkannya berlarutan.
Dan... akhirnya aku benar-benar nekad. Aku mesti meluahkan perasaan ini biarpun
nanti ia mungkin akan menyakitkan hati suamiku.
Suatu malam, ketika kami hanya berdua-duaan di dalam bilik, aku memulakan bicara.
Aku luahkan tentang perasaanku yang seringkali secara tiba-tiba berubah
membencinya dengan suara tersekat-sekat dan linangan air mata.
Ketika itu aku dapat merasakan bagaimana pedihnya perasaan suamiku sebaik dia
mendengar pengakuanku itu. Namun aku tahu dia cukup dewasa menerima kenyataan
itu. Dan dari saat itulah misteri yang membelenggu kehidupan kami terungkap.
"Sebenarnya memang abang dah sedar ada sesuatu yang tidak kena dengan hubungan
kita berdua," getus suamiku mengulas kembali pengakuanku yang pedih dan sekaligus
amat menyakitkan hatinya itu. Namun dari nadanya, suamiku seperti menyedari akan
suatu kesilapan yang pernah dilakukannya sebelum ini. Dalam ungkapannya ada rasa
kesal yang teramat sangat.
Aku mengambil langkah membisu seribu bahasa, membiarkan suamiku untuk
meluahkan apa yang terbuku di hatinya pula.
"Abang tak salahkan awak bila dengan secara tiba-tiba dan pada waktu-waktu yang
tertentu awak membenci abang," dia terhenti lalu menarik nafas dalam-dalam. Ke-
mudian menyambung, "Awak tentu masih ingat, masa kita belum kahwin... awak
memang membenci abang, awak memang secara terang-terang menolak cinta abang.
Tapi ketika itu abang tak dapat menerima kenyataan bahawa awak menolak cinta yang
cuba abang hulurkan. Abang terlalu menyintai awak... hingga akhirnya abang buat
keputusan untuk mencari cara lain untuk memenangi hati awak."
"Cara lain? Maksud abang?" aku merenungnya. Rasa ingin tahu mendesak-desak di
dalam dada. Sekali lagi aku mendengar suamiku menghela nafas yang panjang dan
melepaskannya perlahan-lahan. Wajahnya redup tapi jelas tergambar kekesalan yang
amat sangat.
"Waktu itu abang benar-benar rasa kecewa. Abang rasa tak boleh hidup tanpa awak.
Lalu abang pergi menemui seorang bomoh untuk meminta bantuan. Abang mintak
minyak guna-guna. Abang tahu apa yang abang lakukan itu salah. Tapi ketika itu yang
ada dalam fikiran abang hanya satu, ingin memiliki awak dan ingin menjadikan awak
isteri," bagaikan halilintar menyambar seluruh tubuhku ketika mendengar
pengakuannya yang jujur itu.
Dan dalam perasaan yang semakin berbaur itu, aku mulai mengimbas kembali saat-
saat awal perkenalanku dengannya...
WAKTU itu kami sama-sama menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi di ibu
kota. Aku dan Nazrin merupakan rakan sekuliah. Tidak dinafikan ketika itu ramai
pelajar-pelajar lelaki lain yang tertarik denganku. Tapi semua itu tidak menghairankan
kerana ramai rakan-rakan mengatakan aku ini memang menarik dan memang menjadi
igauan jejaka.
Di antara ramai-ramai mahasiswa yang cuba merapatiku adalah Nazrin. Memang di
kampus dia tergolong kategori mahasiswa yang rajin dan bersungguh-sungguh ketika
menghadiri kuliah. Dan dia jugalah antara mahasiswa yang paling bersungguh-
sungguh merapatiku, hingga boleh dikatakan hampir setiap minggu dia mengirim
surat padaku untuk menyatakan isi hatinya.
Aku rimas dan kurang senang dengan semua itu. Aku membencinya kerana sikapnya
itu. Dan tidak pernah sekalipun aku membalas surat-suratnya, malah kadangkala aku
tidak membaca langsung surat yang dikirimkannya. Memang sesekali terbetik juga
rasa kasihan terhadapnya, namun perasaanku cepat-cepat menolak. Mana mungkin
aku menerima seseorang itu hanya kerana perasaan kasihan.
Memang Nazrin jenis lelaki yang tidak pernah putus asa dan pantang menyerah. Suatu
masa dia dengan berani bersemuka dengan ku dan meluahkan perasaannya. Aku jadi
marah dan meninggalkan dia termangu sendirian. Kemudian aku menyuruh seorang
rakan mengatakan kepadanya bahawa aku sudah punya kekasih lain. Sedangkan
hakikat sebenarnya tidak begitu, tak ada seorang jejakapun yang mengisi ruang
hatiku.

Rupa-rupanya Nazrin berasa benar-benar kecewa dan sakit hati dengan cara aku
menolak cintanya. Dan, diam-diam dia mula mencari cara lain untuk melembutkan
hatiku.
Perkara itu bermula pada suatu malam. Tiba-tiba aku terjaga dari tidur kerana berlaku
sesuatu yang aneh. Aku termenung mengenangkan apa yang aku alami dalam tidurku
sebentar tadi. Aku tak pasti sama ada itu mimpi atau sebaliknya. Yang aku ingat aku
telah didatangi seorang lelaki tua berjanggut panjang. Lelaki tua itu datang dengan
tiba-tiba lalu meludah kearah mukaku. Kemudian dia mengangkat dan seperti hendak
mencampakkan katil tempatku berbaring. Ketika itulah aku menjerit ketakutan dan
kemudiannya terjaga dari tidur. Peluh dingin membasahi sekujur tubuhku, manakala
ke palaku terasa pening.
Mimpi yang serupa berulang-ulang aku alami. Lebih menghairankan, sejak
mengalami mimpi itu aku semakin kasihan melihat Nazrin.Dan aku tiba-tiba
melayaninya dengan baik setiap kali kami bertemu sama ada di kampus atau di
rumah. Kemudian secara perlahan-lahan tapi jelas, aku mulai jatuh cinta kepadanya.
Yang pasti, aku teramat-amat menyin tainya, hingga jika sehari tidak memandang
wajahnya aku merasa amat rindu.
Nazrin sebenarnya memang seorang lelaki yang baik. Dia pandai mengambil hati
kedua orang tua dan keluargaku [mungkin juga perkara itu berlaku kerana guna-
guna]. Walaupun kedua orang tuaku menentang habis-habisan dan tidak akan
mengizinkan aku berkahwin sebelum selesai pelajaranku, namun akhirnya mereka
menyerah bila mendengar Nazrin ingin meminangku.
Akhirnya pernikahan kami pun berlangsung dalam suasana sederhana. Rata-rata,
kesemua rakan-rakan menyatakan kehairanan mereka bagaimana aku boleh jatuh
cinta dan bernikah dengan Nazrin. Aku tidak tanu jawapannya. Aku juga bingung
mencari penyebabnya secara pasti, kerana aku juga tidak pernah curiga atau
mengesyaki dengan mimpi aneh yang sering hadir dalam tidurku itu.
Ketidakpastian sentiasa memburu setiap detik selama hidup bersama Nazrin.
Kebencian itu kerap datang menunjal dalam sanubariku sehinggalah Nazrin membuat
pengakuan...

Adakah Nazrin telah merampas kehidupanku dengan guna-gunanya? Haruskah aku


menyalahkannya? Tapi, bukankah dia melakukan semua itu hanya untuk menjadikan
cinta tulusnya terhadapku sebagai suatu kenyataan.
Aku memang tidak pernah dapat menentukan jawapan yang pasti kepada pertanyaan-
pertanyaan batinku itu. Yang pasti, saat ini aku tak mungkin lari dari kenyataan
bahawa aku telah menjadi milik Nazrin. Telah menjadi isteri Nazrin. Dan telah
menjadi ibu kepada anak-anak Nazrin!
Sebagai seorang isteri..aku dituntut menjalan kewajipan dan tanggongjawab sebaik
mungkin kepada suami.
Sebagai seorang ibu pula, aku juga harus melakukan perkara yang sama terhadap
anak-anakku.
Tapi bagaimana dengan perasaan benciku terhadap Nazrin? Terhadap suamiku itu?
Biarlah masa dan waktu yang akan mengubati semua ini. Tuhan Maha Mengetahui
apa yang telah dilakukan oleh hambaNya. Aku sering berusaha memahami kenyataan
yang ada didepanku bahawa Nazrin telah berjaya memilikiku dengan menguna-
gunakan ku. Mungkin itu hanyalah sebagai satu bahagian dari proses panjang
kehidupan rumah tangga kami. Mungkin juga Tuhan telah menentukan jodoh kami
dengan jalan seperti itu, kerana aka benar-benar yakin... tanpa izin dari-Nya, sehebat
dan seampuh manapun guna-guna yang dilancarkan oleh Nazrin tidak akan berkesan.
Untuk mengikis kebencian terhadap suamiku sendiri, aku selalu berusaha untuk
berfikir seperti itu. Aku sedapat mungkin meyakinkan diri sendiri bahawa semua
hakikat itu adalah dengan kehendak dan kuasa Tuhan semata-mata.
Bagi pihak suamiku sendiri, kelihatannya dia semakin menyayangiku. Dia kerap
menyatakan bahawa dirinya adalah seorang lelaki yang malang, kerana tidak memiliki
sifat lelaki sejati. Dan hatiku sering tersentuh dia menyeksa dirinya dengan ungkapan
seperti itu. Hatiku benar-benar tersentuh.
Tapi mungkin itu salah satu caranya agar aku dengan perlahan-lahan mencintai dan
menyayanginya dengan ikhlas. Terima kasih, suamiku!
Begitulah secebis pengalaman hidup yang aku alami. Semoga ia menjadi cermin bagi
kaum sejenisku untuk menghargai lelaki dalam cinta dan kesetiaannya. Walaupun
dalam hakikat yang sebenar-benarnya, antara cinta dan kesetiaan itu seperti garis lurus
yang sulit ditemui kedua-dua penghujungnya.

Anda mungkin juga menyukai