Anda di halaman 1dari 2

Mak Yong Melayu

Tarian ini berasal dari Patani di selatan Thailand dicipta untuk hiburan kerabat DiRaja wanita, permaisuri serta puteri sewaktu ketiadaan kerabat diRaja
lelaki. Tarian ini menggabungkan drama romantis, serta tarian dan nyanyian tradisional dengan gaya yang menawan, yang mengisahkan zaman
kegemilangan kesultanan Melayu

Kuda Kepang 
Tarian Kuda Kepang dibawa ke Negeri Johor oleh pendatang dari Jawa. Para penari menggunakan kuda kepang untuk menggambarkan kisah kejayaan
perjuangan suci Islam, diiringi paluan gendang, gong dan angklung.

Zapin
Tarian Zapin ialah tarian yang terkenal di Johor. Tarian ini, yang diperkenalkan oleh para mubaligh dari Timur Tengah, pada mulanya digunakan dalam
amalan berzikir yang bertujuan menyebarkan pengetahuan mengenai sejarah tamadun Islam.

Joget
Tarian ini adalah suatu tarian yang meriah, dengan rentak yang agak laju. Tarian ini, yang dipersembahkan oleh pasangan penari dengan gerak-geri
pantas yang disulami pelbagai usikan, berasal dari tarian tradisi Portugis yang diperkenalkan di Melaka sewaktu era perdagangan rempah di situ.

Tarian Lilin 
Sebuah tarian yang dipersembahkan oleh penari wanita sambil menatang lilin di dalam piring kecil di atas telapak tangan mereka, dan memaparkan
gerak-geri yang penuh dengan kelembutan.

Tarian Singa 
Tarian ini, yang lazimnya dipersembahkan ketika perayaan hari Tahun Baru Cina, adalah  persembahan yang penuh bertenaga dan menghiburkan.
Menurut lagenda, singa adalah satu-satunya haiwan yang boleh menghalang Nian – sejenis haiwan dongeng yang selalu menyerang negara China dan
mengorbankan manusia pada hari sebelum Tahun Baru Cina. Tarian singa adalah sebuah tarian bersemangat yang sentiasa diiringi paluan gendang
tagu Cina, dan simbal, serta memerlukan keberanian dan penataan gerak tarian yang tepat diantara penari-penarinya.

Tarian Naga
Naga adalah sejenis haiwan dongeng yang melambangkan kuasa luar biasa, kebaikan, kesuburan, kewaspadaan serta kehormatan dalam budaya Cina.
Tarian Naga lazimnya dipersembahkan ketika sambutan Tahun Baru Cina, dan dipercayai membawa tuah dan kekayaan bagi tahun yang baru. Tarian
ini selalunya memerlukan seramai 60 orang bagi mempertunjukkan persembahan yang penuh kepakaran, keanggunan serta penataan gerak tarian
yang tepat.

India Bharata Natyam


Tarian klasik India ini bagaikan sebuah puisi dalam gerak tari. Tarian yang dramatik dan bersemangat ini berdasarkan kisah epik India purba, dan
memaparkan lebih dari 100 gerak tarian dan gaya badan. Memandangkan tarian ini memakan masa yang lama untuk dikuasai, terdapat sesetengah
penari kanak-kanak yang mula berlatih pada umur semuda lima tahun.

Bhangra
Bhangra memaparkan tarian serta muzik masyarakat Sikh. Pada mulanya Banghra adalah sebuah tarian menyambut musim menuai, tetapi kini ianya
memainkan peranan dalam pelbagai sambutan kemasyarakatan termasuk majlis perkahwinan dan sambutan Tahun Baru. Tarian ini lazimnya adalah
berdasarkan tema-tema romantis, di mana nyanyian serta tarian yang diiringi paluan dholo, iaitu sejenis gendang bermuka dua, menjadikan tarian
Banghra sangat menghiburkan.

Ngajat
Ngajat adalah sejenis tarian pahlawan tradisional suku kaum Iban di Sarawak. Tarian ini lazimnya dipersembahkan ketika perayaan Gawai Kenyalang.
Pada masa dahulu, pemburu kepala dari suku kaum ini, yang dikatakan antara yang paling bengis di Sarawak, diraikan dengan perayaan Gawai
Kenyalang. Pahlawan lelaki mempertunjukkan pergerakan yang tangkas di sepanjang persembahan tarian ini, sambil memakai topi tradisional yang
panjang dan memegang sebuah perisai panjang yang berukir.

Datun Julud
Tarian Kenyalang adalah sebuah tarian tradisional suku kaum Kenyah di Sarawak. Tarian ini dicipta oleh seorang putera Kenyah bernama Nyik Selong
bagi menggambarkan kegembiraan serta kesyukuran. Pada masa dahulu tarian ini dipersembahkan sewaktu perayaan kemasyarakatan bagi
menyambut kepulangan para pahlawan dari berburu, atau sewaktu perayaan tahunan yang menandakan tamatnya musim menuai. Tarian ini diiringi
bunyi alat muzik sape dan dipersembahkan oleh seorang penari wanita, menggunakan kipas tangan anggun yang diperbuat daripada bulu burung
kenyalang yang melambangkan sayap burung suci tersebut.

Sumazau
Sumazau adalah sebuah tarian kaum Kadazan yang lazimnya dipersembahkan sewaktu acara-acara keagamaan dan kemasyarakatan. Ia
dipersembahkan sebagai tanda kesyukuran atas hasil tuaian padi yang banyak, untuk menghindar roh jahat, dan untuk mengubati penyakit. Penari
lelaki dan perempuan mempersembahkan tarian yang mengasyikkan ini dengan gerak-geri yang perlalan serta pergerakan yang menngambarkan
burung yang sedang terbang.

Tarian Buluh 
Tarian Buluh, satu lagi tarian tradisional yang popular serta menghiburkan, menggunakan sepasang buluh panjang yang dipegang mendatar pada
paras buku lali. Kedua-dua buluh tersebut diketuk antara satu sama lain dengan rentak yang pantas. Penari perlu tangkas bergerak sambil melompat
di antara kedua-dua batang buluh tersebut tanpa tersepit.
Orang Asli 
Tarian Orang Asli Semenanjung Malaysia mempunyai kaitan rapat dengan kepercayaan kerohanian mereka. Tarian ini lazimnya digunakan oleh
pawang dalam upacara menghubungi dunia roh. Tarian tersebut termasuklah tarian Genggulang kaum Mah Meri, tarian Berjerom kaum Jah-Hut, serta
Sewang oleh kaum Semai dan Temiar.

Farapeira 
Farapeira adalah sebuah tarian pantas yang menghiburkan, seringkali diiringi alat muzik sepert gitar dan tamborin, dan dipersembahkan oleh
pasangan penari yang memakai pakaian tradisional Portugis.

Branyo
Tarian Branyo, yang lebih perlahan dan bersopan daripada tarian Farapeira, lebih diminati warga
Portugis yang sudah berumur. Penari lelaki yang berpakaian ala koboi dan penari perempuan
yang berpakaian baju kebaya tradisional dengan sarong batik, menari dengan perlahan mengikut
rentak gendang serta biola.

Anda mungkin juga menyukai