Anda di halaman 1dari 17

KEMAHIRAN MEMBACA DALAM SUKATAN PELAJARAN BAHASA MELAYU

SEKOLAH RENDAH DAN IMPAKNYA KEPADA PERSEDIAAN GURU DI DALAM


BILIK DARJAH

OLEH

BAYREI B. ASRIN
JERED B. YUTUI
KAMILLAH MOHAMED
NORHAYATI MOHAMAD
SITI SALBIAH BT. SHAFIE
Pendidikan Awal Kanak-Kanak
Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan manusia
Universiti Pendidikan Sultan Idris
25 Mac 2008

PENGENALAN
Kini, pada umumnya diakui bahawa kemampuan murid-murid membaca berkembang sedikit
demi sedikit melalui beberapa tahap perkembangan pembacaan. Kemampuan murid untuk
membaca memerlukan setiap murid menguasai beberapa kemahiran membaca. Menurut Kamus
Dewan Edisi Ke-3, kemahiran didefinisikan sebagai kecekapan dan kepandaian yang diketahui
oleh seseorang dalam sesuatu perkara. Manakala membaca pula adalah aktiviti seseorang sama
ada belajar, menelaah, merujuk, memahamkan, meneliti, menghafaz, mengaji, mengkaji,
melafazkan, mengucapkan, mendeklamasi, menuturkan, berkata, membatang, mentafsir,
meramal, menyimpulkan, menilik, meneliti, melihat dan memerhati. Membaca juga
membunyikan huruf-huruf yang ditulis serta melihat dan memahami apa-apa yg tertulis.
Daripada definisi kemahiran dan membaca, maka kita bolehlah mendefinisikan kemahiran
membaca adalah merujuk kepada keupayaan murid membaca dengan sebutan, intonasi, jeda, dan
kelancaran yang betul. Penekanan yang betul perlu diberikan pada aspek pemahaman dan
penaakulan pelbagai bahan ilmu dan sastera secara kitis dengan menggunakan pelbagai teknik
bacaan. Di samping itu, murid berupaya menghayati teks yang dibaca (PPK, 2003)

Dalam penulisan ini, kami akan membincangkan beberapa subtopik berkaitan kemahiran
membaca iaitu interpretasi kemahiran membaca Bahasa Melayu dalam sukatan pelajaran sekolah
rendah, isu-isu dan kepentingan kemahiran membaca, impak kemahiran membaca terhadap
persediaan guru di dalam bilik darjah serta langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk
meningkatkan kemahiran membaca dalam kalangan pelajar sekolah rendah.

INTERPRETASI KEMAHIRAN MEMBACA DALAM SUKATAN PELAJARAN


Sukatan Pelajaran KBSR disediakan bagi setiap tahun pembelajaran. Ia bertujuan untuk
membantu guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Ia bertujuan untuk
membolehkan seseorang murid yang belajar selama enam ahun di sekolah rendah itu
menggunakan bahasa yang sewajarnya dengan perkembangan umur mereka dalam perhubungan
sehari-hari dan dalam mempelajari mata pelajaran lain yang terkandung dalam kurikulum sekoah
rendah. Tegasnya, seseorang murid, selama enam tahun berada di sekolah rendah, dapat
menguasai kesemua kemahiran bahasa dari segi lisan, bacaan dan kefahaman dan gerak kerja
bertulis (Marzukhi Nyak Abdullah, 1994).

Membaca adalah salah satu lagi aspek yang penting dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu
Sekolah Rendah. Kemahiran membaca terletak di bawah kemahiran bahasa termasuk kemahiran
mendengar, bertutur dan menulis. Dalam kemahiran bahasa di sekolah, penekanan kepada
kemahiran tertentu telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran ke arah melahirkan pelajar yang
berketrampilan dalam berbahasa (Abu Bakar Yusuf, Abdullah Yusof dan Omar Hisham Mohd
Baharin, 2007). Begitu juga dengan kemahiran membaca yang perlu dikuasai oleh setiap murid
bagi melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini kerana membaca ialah proses
kompleks yang melibatkan proses komunikasi antara pembaca dengan penulis melalui tulisan
yang dibaca (PPK, 2001: 14). Kemahiran membaca membolehkan murid-murid memahami
perkara yang dibaca.

Berdasarkan Huraian Sukatan Pelajaran, didapati bahawa kemahiran membaca diajar pada semua
peringkat pembelajaran iaitu bermula dari Tahun Satu hingga ke Tahun Enam. Tahap pembacaan
Tahun Satu lebih kepada kebolehan murid membaca dengan lancar dan memahami perkara yang
dibacakan. Manakala, bagi murid Tahun Enam penekanan kepada proses membaca, memahami
dan mengenalpasti isi-isi penting dalam petikan yang diberi serta sebagai langkah untuk
memupuk minat membaca dalam kalangan murid sekolah rendah.
Bukti yang memperlihatkan kemahiran membaca itu penting untuk dikuasai oleh murid adalah
melalui objektif pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah itu sendiri. Dalam
objektif yang keempat, adalah diharapkan agar murid dapat membaca pelbagai bahan sastera dan
bahan berunsur pengetahuan dengan teknik membaca yang sesuai dan berkesan untuk
memperoleh ilmu dan memproses maklumat secara kritis. Pada umumnya, terdapat beberapa
teknik yang digunakan oleh guru-guru untuk mengajar bacaan pada peringkat awal atau
peringkat permulaan. Objektif kelima pula lebih kepada proses memupuk minat membaca
sebagai satu amalan ke arah membina budaya pembelajaran. Menurut Prof. DR. Henry Guntur
Tarigan (1994), untuk meningkatkan minat membaca ini, maka kita perlu menyediakan waktu
untuk membaca dan memilih bahan bacaan yang baik, ditinjau dari norma-norma kekritisan yang
mencakup norma-norma estetik, sastera dan moral. Hal ini memperlihatkan bahawa kemahiran
membaca penting untuk dikuasai oleh murid sebagai langkah kepada kelangsungan dalam proses
pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dan seterusnya memupuk minat murid untuk
membaca.

Di dalam bilik darjah, kemahiran membaca diaplikasikan secara penggabungjalinan.


Penggabungjalinan memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Melalui program penggabungjalinan ini, beberapa kemahiran dapat dikuasai serentak dan cara ini
membolehkan murid-murid menguasai kemahiran-kemahiran secara bersepadu seperti yang
dialami dalam kehidupan sehari-hari. Menurut Marzukhi Nyak Abdullah (1994), terdapat dua
cara penggabungjalinan kemahiran dijalankan. Pertama, penggabungjalinan kemahiran dapat
dilakukan dalam satu mata pelajaran Contohnya, kemahiran membaca dapat digabungjalinkan
dalam kemahiran lain seperti bertutur dan menulis. Kedua, penggabungjalinan kemahiran dapat
juga dilakukan antara satu mata pelajaran dengan satu atau beberapa mata pelajaran lain.
Contohnya, kemahiran bahasa dapat digabungjalinkan dengan kemahiran Seni Muzik,
Pendidikan Jasmani atau mata pelajaran lain. Abu Bakar Yusuf, Abdullah Yusof dan Omar
Hisham Mohd Baharin (2007) pula mengatakan kata kunci bagi kemahiran membaca adalah
seperti ’membaca kuat’, ’membaca dan memahami maklumat’, ’membaca, menaakul.....’ dan
sebagainya yang menggambarkan kewujudan kemahiran membaca yang terdapat dalam sukatan
pelajaran. Program penggabungjalinan dapat mengelakkan kebosanan dalam proses
pembelajaran.

Oleh itu, disebabkan peri pentingnya kemahiran membaca yang perlu dikuasai oleh murid, maka
guru perlu bijak mengatur strategi pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan pelbagai
pendekatan dan teknik dalam proses mengajar membaca dalam kalangan murid. Hal ini kerana,
pendekatan dan teknik yang betul menentukan pencapaian murid dalam penguasaan kemahiran
membaca dengan tepat dan lancar. Namun begitu, walaupun kemahiran membaca merupakan
kemahiran penting yang perlu dicapai dalam sesuatu pengajaran, tetapi kemahiran mendengar,
bertutur dan menulis tidak boleh diabaikan kerana ia juga merupakan elemen penting dalam
sesuatu pengajaran bahasa.

ISU-ISU DAN KEPENTINGAN KEMAHIRAN MEMBACA


Kemahiran membaca bukanlah kemahiran semulajadi. Membaca tidak sama pembentukannya
seperti berjalan atau berlari. Kanak-kanak secara semulajadi boleh berkembang dari segi
psikomotor tapi sebaliknya, kanak–kanak tidak boleh membaca secara semulajadi. Ini bermakna
, kemahiran ini perlu dipupuk dengan cara yang tersusun dan berkesan. Hakikatnya, kemahiran
membaca dan juga menulis, merupakan kemahiran peringkat tinggi. Pengalaman kita sendiri
jelas menyokong kenyataan bahawa kemahiran membaca dan seterusnya menulis bukanlah satu
perkara yang mudah. Masih ramai kanak-kanak di peringkat sekolah rendah dan juga menengah
yang masih tidak boleh membaca dan menulis dengan lancar dan baik.

• Isu- Isu Dalam Pendidikan


Pada 12 Oktober 2005, Kementerian Pelajaran menyedari wujudnya masalah murid yang
tidak tahu membaca, menulis dan mengira seperti yang dibangkitkan di Dewan Rakyat pada
masa itu. Menurut Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, usaha mengatasi masalah itu
sedang dilakukan termasuk persetujuan Kabinet supaya guru pemulihan khas segera
ditambah segera ke sekolah terbabit. Pada masa itu, lebih kurang terdapat 100,000 murid
sekolah rendah dari tahun 2 hingga tahun 6 tidak tahu membaca, mengira dan menulis.
Namun begitu menurut beliau lagi, bilangan sebenar murid yang tidak dapat menguasai
kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) belum dapat disahkan sama ada benar
100,000 murid atau kurang daripada itu. Tetapi, jumlah ini pasti akan meningkat lagi jika
langkah yang sewajarnya tidak dipedulikan oleh semua pihak.

Selain itu, pada masa kini juga masih ramai lagi yang keciciran bukan sahaja dalam
kemahiran membaca malahan 3M juga. Pada 11 Disember 2007, kita dikejutkan dengan
berita dalam Utusan Malaysia yang mengatakan bahawa kini terdapat 3.1 juta murid sekolah
lagi yang masih belum menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira
(Utusan Malaysia, 2007). Seorang ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) iaitu Fadillah Yusof
(BN-Petra Jaya) mendakwa bahawa sebanyak 3.1 juta murid di negara ini masih belum dapat
menguasai sepenuhnya kemahiran 3M. Dalam berita ini, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk
Noh Omar memberikan respon tentang masalah ini dengan mengatakan bahawa pihak
mereka sedar bahawa masih terdapat sebanyak 3.1 juta murid di negara ini yang masih belum
dapat menguasai sepenuhnya kemahiran membaca, menulis dan mengira namun beliau
memberitahu juga bahawa kementerian telah mengambil langkah untuk mengatasi masalah
tersebut dengan melaksanakan Program Bimbingan Kemahiran Asas Membaca dan Menulis
yang dikenali sebagai Probim. Menurut beliau lagi, bagi mengatasi masalah pelajar di
peringkat menengah yang lemah dalam bidang akademik, kementerian telah melaksanakan
sebanyak 22 mata pelajaran vokasional di sekolah menengah dan melalui mata pelajaran
vokasional ini, para pelajar dapat mempelajari kemahiran teknikal supaya mereka dapat
berdikari atau memulakan perniagaan

Sehubungan itu, pelbagai pendapat dari mulut masyarakat tentang siapakah yang harus
dipersalahkan dalam masalah ini dan sudah pasti pihak yang disalahkan adalah pihak
pendidik yang dikatakan lemah dan cuai dalam menjalankan tugas mereka sebagai seorang
guru. Menurut Utusan Malaysia pada 20 November 2005, Guru-guru yang semakin lemah
dan terhakisnya budaya `kerja kuat' di kalangan mereka adalah punca murid-murid gagal
menguasai kemahiran 3M serta mendapat gred corot dalam Ujian Pencapaian Sekolah
Rendah (UPSR) 2005. Sehubungan itu beberapa orang pakar pendidikan membidas Kesatuan
Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang menyalahkan faktor kekurangan guru di
kelas-kelas pemulihan sebagai punca kepada masalah itu. Menurut bekas Ketua Jemaah
Nazir Sekolah, Datuk Abd. Rahim Tahir juga berkata, budaya `kerja kuat' di kalangan guru-
guru dalam membantu memulihkan murid masing-masing semakin terhakis.

• Kepentingan Kemahiran Membaca


Membaca sudah lama menjadi topik yang diminati dan sering dibincangkan dari semasa ke
semasa di kalangan para pendidik terutama di Malaysia. Mereka yang berminat dalam bidang
ini sentiasa mengkaji berbagai-bagai perspektif dan pendekatan tentang pengajaran
membaca, sama ada di peringkat bacaan awal, di peringkat pertengahan ataupun di peringkat
bacaan luas. Mereka sentiasa mencari jalan untuk mencuba teknik membaca yang berkesan
untuk golongan sasaran yang tertentu. Kemahiran membaca merupakan komponen yang
penting dalam sesuatu kurikulum dan menjadi kunci kepada ilmu pengetahuan. Tanpa
menguasai kemahiran membaca, seseorang itu tidak dapat meneroka buku ilmiah ataupun
buku bacaan berbentuk hiburan. Dalam sistem persekolahan di Malaysia, yang bermula
daripada peringkat sekolah tendah, kemahiran membaca sudah ditekankan dalam sukatan
pelajaran bahasa dan kepentingannya telah dirakamkan dalam penyataan objektif dan
matlamat sukatan pelajaran tersebut.

Kemahiran membaca juga amat penting dalam semua aspek dan salah satunya adalah aspek
komunikasi. Membaca merupakan satu cara komunikasi di antara dua pihak iaitu pembaca
dan penulis. Penulis mempunyai objektif dalam penulisan yang mereka hasilkan iaitu
menyampaikan apa juga bentuk mesej sama ada berbentuk ilmiah ataupun hiburan semata-
mata. Sekiranya kemahiran membaca seseorang indivudu itu lemah, maka, mesej yang
hendak disampaikan oleh penulis itu, sukar difaham oleh pembaca. Selain itu, kemahiran
membaca juga penting dalam mencari dan mendapatkan pelbagai bentuk maklumat dan ilmu
pengetahuan. Sekiranya seseorang itu ingin mendapatkan maklumat berbentuk bacaan,
kemahiran membaca perlulah tinggi untuk memastikan maklumat yang dikehendaki mudah
diperolehi. Menurut Prof. DR. Henry Guntur Tarigan (1994), seseorang itu membaca untuk
menemukan atau mengetahui penemuan-penemuan yang telah dilakukan oleh penulis.
Membaca seperti ini disebut membaca untuk memperoleh perincian-perincian atau fakta-
fakta (reading for details or facts).
Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama untuk membantu meningkatkan keupayaan murid
sekolah rendah bagi menguasai kemahiran membaca. Hal ini kerana terdapat banyak isu dan
masalah yang dihadapi oleh murid dalam penguasaan membaca tetapi kita tidak boleh
menunding jari kepada satu-satu pihak sahaja di atas kelemahan ini. Seharusnya kita perlu
mengambil langkah segera bagi mengatasinya memandangkan kemahiran membaca
mempunyai banyak kepentingan.

IMPAK KEMAHIRAN MEMBACA TERHADAP PERSEDIAAN GURU DI DALAM


BILIK DARJAH
Kemahiran membaca merupakan salah satu komponen penting yang perlu dikuasai oleh murid
bagi meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran mereka. Kemahiran membaca menjadi
landasan kepada sekumpulan kemahiran yang perlu untuk menguasai kemahiran belajar. Bagi
membolehkan murid membaca dengan baik, asas membaca yang kukuh perlu dibina sejak
mereka di sekolah rendah lagi. Sehubungan dengan itu, Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia
Sekolah Rendah telah menyenaraikan sebanyak 124 kemahiran membaca untuk dikuasai oleh
murid dalam tempoh enam tahun persekolahan (Asas kemahiran berbahasa KBSR, 1994). Selain
itu, kemahiran membaca yang tinggi akan menyebabkan murid menguasai pelbagai aspek bahasa
dan penyusunan idea yang bernas dan teratur. Sebaliknya, murid-murid yang kurang minat
membaca akan menjadikan pengetahuan mereka tidak luas malah akan menjadikan mereka
kekurangan kosa kata (Abu Bakar Yusuf, Abdullah Yusof dan Omar Hisham Mohd. Baharin,
2007). Kemahiran membaca yang dikuasai oleh murid akan memberi impak terhadap persediaan
guru di dalam bilik darjah.

Antara impak kemahiran membaca terhadap persediaan guru di dalam bilik darjah adalah guru
perlu menganalisis ciri-ciri murid. Hal ini bertujuan untuk mengetahui sama ada murid itu sudah
menguasai kemahiran membaca atau belum menguasai. Mengikut model ASSURE oleh Heinich,
Molenda, Russell dan Smaldino (1996), guru perlu menganalisis ciri-ciri murid sebelum
merancang proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan. Jika terdapat murid yang
belum menguasai kemahiran membaca dengan baik, ia akan memberi kesan terhadap persediaan
guru di dalam bilik darjah. Misalnya, guru tidak boleh mengubah pembelajaran dari satu unit ke
unit pembelajaran yang lain jika terdapat ramai murid yang belum menguasai sesuatu unit itu.
Penguasaan unit pembelajaran oleh murid terhadap sesuatu unit pembelajaran akan bertambah
rumit jika kemahiran membaca mereka adalah lemah. Sebaliknya mereka akan mudah menguasai
sesuatu unit pembelajaran jika mereka dapat menguasai kemahiran membaca.

Guru juga mesti mempelbagaikan kaedah pengajajran mereka agar potensi murid dapat
diperkembangkan semaksimum yang mungkin (Shukri Zain, 2007). Hal ini kerana, di dalam
sesuatu kelas terdapat pelbagai tahap kemahiran membaca oleh murid. Oleh yang demikian, guru
perlu merancang proses pengajaran dan pembelajaran yang pelbagai dan berkesan bagi
membolehkan semua murid dapat menguasai perkara yang diajar. Keadaan ini akan menjadikan
murid yang lemah dapat menguasai pembelajaran dengan baik dan murid yang mahir tidak akan
bosan dengan pengajaran yang dilakukan oleh guru. Antara aktiviti yang mesti dibuat oleh guru
seperti aktiviti yang dapat memberi peluang sepenuhnya kepada murid untuk mempraktikkan
kecekapan berbahasa yang boleh menunjukkan bakat dan mencabar pemikiran. Selain itu, guru
juga hendaklah menyediakan aktiviti yang boleh menyeronokkan murid supaya mereka tidak
merasa bosan terhadap pengajaran dan pembelajaran bahasa seperti berlakon, simulasi dan main
peranan (Asas Perkaedahan Mengajar Bahasa, 1992).

Selain itu, impak kemahiran membaca murid juga memastikan guru untuk melakukan aktiviti
pengayaan. Aktiviti pengayaan merupakan aktiviti tambahan kepada aktiviti asas yang
dijalankan sama ada sekolah ataupun di luar waktu sekolah, daerah, negeri atau kebangsaaan.
Aktiviti ini hendaklah dapat meluaskan pengetahuan dan pengalaman serta mengukuhkan
kemahiran bahasa yang telah dan sedang dipelajari. Melalui aktivti ini murid mendapat peluang
tambahan untuk mengembangkan minat, daya kreativiti, perasaan ingin tahu, sikap berdikari dan
bakat kepimpinannya. Aktiviti pengayaan ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu pilihan murid
atau pilihan guru. Dalam aktiviti pengayaan pilihan murid, mereka bebas memilih dan
menjalankan sendiri sesuatu aktiviti mengikut minat dan kebolehan masing-masing. Guru boleh
menyediakan beberapa pukal bahasa yang boleh dipilih sendiri oleh murid. Manakala bagi
pilihan guru pula aktiviti ini bertujuan untuk mengukuhkan lagi kemahiran tertentu. Aktiviti ini
dikendali secara formal mengikut arahan, penentuan atau rancangan guru (Asas Perkaedahan
Mengajar Bahasa, 1992).
Impak kemahiran membaca juga memerlukan guru untuk melakukan aktiviti pemulihan bagi
murid yang mengalami masalah. Pemulihan mengikut Kamus Dewan bermaksud perbuatan
memulihkan, pengembalian kepada yang semula dan pemulangan atau pengembalian. Murid
yang lemah dalam kemahiran membaca boleh menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran
terganggu. Misalnya mereka membuat bising atau menganggu kawan lain yang hendak belajar.
Keadaan ini akan menyebabkan pengajaran guru tidak berkesan. Oleh yang demikian, aktiviti
pemulihan diperlukan bagi membantu murid yang bermasalah ini. Aktiviti pemulihan merupakan
langkah khas untuk membantu murid-murid menghadapi masalah pembelajaran dan dijalankan
dalam waktu yang pendek.

Goleman (1995) mengatakan bahawa seseorang yang mempunyai kecerdasan emosional yang
tinggi mampu mengenal emosi sendiri (self-awareness), menguruskan emosi (self-management),
memotivasi diri (motivation), memahami emosi dalam orang lain (empathy) dan dapat menjalin
hubungan dengan manusia (sosial skills). Sekiranya seseorang murid itu dapat mengenal pasti
emosinya sendiri, dia akan menyedari kelemahan dan kekuatannya dan membuat sesuatu
keputusan dengan bijak (Shukri Zain, 2007). Hal ini menunjukkan bahawa guru hendaklah
memainkan peranan dalam meningkatkan tahap kecerdasan emosi murid bagi membolehkan
mereka bersemangat untuk belajar membaca dan lebih mahir.
Kesimpulannya, kejayaan pengajaran guru-guru bahasa tidak hanya bergantung kepada latihan
mengenai cara-cara pengajaran, tetapi juga pengetahuan yang secukupnya tentang bahasa yang
menjadi bahan pengajaran mereka. Tetapi dengan penguasaan bahasa yang tinggi serta
dibekalkan dengan kaedah pengajaran yang baik, belum tentu guru itu akan berjaya tanpa
disokong oleh sikap dedikasi, usaha dan inisiatif yang perlu dilakukan oleh guru itu (Azman
Wan Chik, 1986). Oleh itu, kemahiran membaca dalam kalangan murid sekolah rendah dapat
dipertingkatkan.

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENINGKATKAN KEMAHIRAN MEMBACA


Kemahiran membaca merupakan kemahiran peringkat tinggi, kemahiran ini merupakan bukan
satu perkara yang mudah untuk dikuasai terutamanya pada peringkat awal pembacaan. Ramai
pelajar sama ada di peringkat sekolah rendah atau peringkat menengah masih lagi tidak boleh
membaca dengan lancar (Dr. Syukri Abdullah, 2007). Kemahiran membaca itu bukanlah
kemahiran semulajadi. Membaca tidak sama pembentukannya seperti berjalan atau berlari. Ini
bermakna , kemahiran ini perlu dipupuk dengan cara yang tersusun dan berkesan. Pelbagai
kaedah telah digunakan untuk meningkatkan kemahiran membaca (Noor Fazrina Kamal, 2007).
Antara langkah yang boleh dijalankan untuk meningkatkan kemahiran membaca ialah:

• Peranan guru
Guru memainkan peranan yang amat penting bagi meningkatkan kemahiran membaca dalam
kalangan murid sekolah rendah. Kita boleh perhatikan bahawa masih ada murid sekolah
rendah yang belum dapat menguasai kemahiran membaca dengan lancar. Bagi mengatasi
permasalahan ini, guru boleh menggunakan pelbagai kaedah untuk meningkatkan kemahiran
membaca. Menurut Azwan Wan Chik (1986), terdapat empat kaedah mengajar membaca
Bahasa Melayu yang biasa dilaksanakan dalam bilik darjah iaitu kaedah abjad, kaedah
seluruh perkataan, kaedah fonik dan kaedah eklektik. Setiap kaedah mempunyai cara
penyampaian yang berbeza dan guru boleh menggunakan kaedah-kaedah tersebut dalam
proses pengajaran membaca kepada murid. Namun begitu, kaedah eklektik adalah paling
sesuai digunakan untuk mengajar membaca kerana ia menggabungkan terus kaedah fonik
dan kaedah seluruh perkataan dan ayat dalam satu pelajaran membaca.

Selain penggunaan teknik yang betul dalam pengajaran membaca, alat bantu mengajar
(ABM) juga memainkan peranan penting dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa
Melayu termasuk mengajar membaca. Setiap pengajaran yang telah dirancang oleh guru
bermula dari ‘set induksi’ sehinggalah ke penutupnya, seharusnya guru menyediakan ABM
atau media yang paling berkesan supaya objektif pengajaran tercapai (Syarifah Alwiah
Alsagoff, 1984: 349 dalam Marzukhi Nyak Abdullah, 1994). Penggunaan ABM dapat
memudahkan murid-murid memahami atau membantu mereka ke arah pembentukan konsep
yang betul. Contohnya, penggunaan gambar dalam pengajaran membaca dapat membantu
dan merangsang minda murid untuk menyebut dan membacanya.

Selain itu, untuk menjadi seorang pembaca yang berkesan, murid juga perlu menguasai dan
mengamalkan beberapa teknik membaca. Oleh itu guru perlu membimbing murid untuk
menguasai teknik-teknik tersebut dari peringkat sekolah rendah lagi. Dalam konteks sekolah,
murid membaca untuk tujuan-tujuan seperti untuk mendapatkan maklumat atau fakta
berkaitan dengan sesuatu tajuk atau perkara, untuk mendapatkan gambaran keseluruhan
tentang sesuatu tajuk atau perkara, untuk memahami sesuatu persoalan atau menjelaskan
kefahaman tentang sesuatu konsep dan untuk mengumpul pelbagai pendapat berkaitan
dengan sesuatu persoalan. Secara umumnya, seseorang murid perlu menguasai dua teknik
membaca, iaitu membaca pantas dan membaca kritis. Untuk membaca pantas seseorang
boleh menggunakan teknik skimming dan scanning, manakala untuk membaca dengan kritis
seseorang boleh menggunakan teknik seperti KWLH dan SQ3R.

 Teknik Membaca KWLH

KWLH adalah singkatan bagi yang berikut iaitu, K (know) Apa yang telah diketahui (sebelum
membaca), W (want) Apa yang hendak diketahui (sebelum membaca), L (learned) Apa yang
telah diketahui (selepas membaca) dan H (how) Bagaimana untuk mendapat maklumat tambahan
yang berkaitan (untuk membaca seterusya). Melalui teknik ini, pembaca mengingat dahulau apa
yang telah diketahui, membayang atau menentukan apa yang ingin diketahui, melakukan
pembacaan (bahan yang telah dipilih), mengetahui apa yang telah diperoleh dari pembacaan
yang baru dilakukan dan menentukan apa lagi yang perlu diperoleh (sekiranya perlu membuat
pembacaan seterusnya). Teknik pembacaan akan membolehkan murid mengaitkan pengetahuan
yang sedia ada dengan apa yang dibaca, menentukan apa yang telah diperoleh dari
pembacaannya, dan menentukan apakah lagi bahan yang perlu dibaca sekiranya ingin mendapat
maklumat tambahan.

 Teknik skimming dan scanning

Teknik skimming dan scanning ini sesuai digunakan untuk pembacaan bahan yang ringkas
seperti sesuatu petikan mahu pun bahan bacaan yang lebih panjang seperti buku, jurnal dan
majalah. Dalam pembacaan sesuatu petikan, kita hanya memberi perhatian kepada idea penting
setiap perengan untuk mendapat gambaram umum. Idea-idea khusus sengaja diabaikan. Dalam
pembacaan sesebuah buku pula. fokus kita diberikan kepada bahagian tertentu di dalam buku itu
seperti pengenalan, prakata, isi kandungan, tajuk utama, rumusan pada akhir bab dan rujukan
indeks untuk mendapat gambaran umum tentang perkara yang dibaca. Scanning ialah pembacaan
cepat untuk mendapat maklumat yang khusus dan bukan untuk mendapat gambaran keseluruhan
sesuatu bahan bacaan. Pembacaan cara ini boleh melangkau bahagian-bahagian tertentu yang
difikirkan kurang penting. Ketika kita membaca, kita akan menggerakkan mata kita dari atas ke
bawah dengan pantas mengikut muka surat petikan yang dibaca sambil menberi tumpuan kepada
maklumat yang dicari. Oleh yang demikian, pembacaan cara ini adakah lebih cepat daripada
pembacaan cara skimming. Dalam konteks pembelajaran, skimming dan scanning boleh
digunakan bersama. Biasanya, kita boleh membaca cara skimming untuk menentukan kesesuaian
sesuatu bahan bacaan . Jika bahan berkenaan itu didapati sesuai maka kita boleh menggunakan
teknik scanning untuk mendapatkan maklumat khusus yang dicari (Baca, 2007).

• Peranan murid
Kejayaan murid dalam bidang pelajaran terletak di tangan mereka sendiri. Murid perlu rajin
dan berusaha untuk memantapkan diri bagi mengatasi kelemahan yang dimiliki. Bagi
meningkatkan kemahiran membaca, murid perlu memperuntukkan masa yang sesuai untuk
membaca. Kebanyakan individu memberi alasan tidak membaca kerana kesuntukan masa.
Memang tidak dinafikan bahawa terdapat banyak alasan terhadap waktu, tetapi jika murid
berminat pada kemajuan diri dalam kemahiran membaca, maka mereka perlu mengatur masa
dan memperuntukan sedikt masa untuk membaca dengan baik. Prof. DR. Henry Guntur
Tarigan (1994) mengatakan bahawa masa untuk membaca tidak perlu lebih dari 15 hingga 30
minit, tetapi kesetiaan murid terhadap pembacaan akam meningkatkan kemahiran membaca
mereka. Katanya lagi, orang yang tidak ingin maju sahajalah yang tidak menyediakan masa
untuk membaca dalam hidupnya. Usaha yang paling efisyen untuk mengetahui segala
kejadian pening di dunia moden sekarang ini adalah dengan membaca.

Selain itu, menyediakan masa untuk membaca berhubungan rapat dengan salah satu aspek
yang paling penting dalam membaca kritis iaitu mengetahui apa yang baik dan bermanfaat
untuk dibaca. Memang tidak mungkin muurid akan membaca tentang semua perkara, oleh itu
setiap murid perlu mengadakan prinsip-prinsip sendiri yang dapat membimbing mereka
terhadap apa yang harus dibaca dan tidak perlu dibaca. Dalam buku Azman Wan Chik
(1986) ada diselitkan pesanan Sandra Loch kepada Encik Simkins yang dinukilankan dalam
buku Personalized Reading Instruction oleh Walter R. Barbe de Jerry L. Abbott,
terjemahannya lebih kurang begini:
”Saya suka waktu yang tuan tentukan untuk bacaan kerana saya boleh membaca apa-apa buku yang
saya suka dan saya tidak dipaksa membaca buku yang saya tidak suka, saya juga suka kerana saya
diberi masa untuk membaca. Saya suka menyatakan bahawa sesungguhnya saya seronok membaca dan
saya fikir anda akan belajar bagaimana membaca dengan baik apabila anda membaca buku-buku yang
anda suka, ini akan menarik minat anda ingin membaca. Saya tulis suatu catatan berkenaan dengan
buku-buku yang saya sudah baca, dengan itu saya boleh memberitahu kepada semua orang bahawa
tidak ada sebuah buku yang baik tentang sebuah buku yang saya sudah baca, ini menjadikan mereka
akan berminat membaca buku-buku. Percayalah saya suka membaca.”
Daripada pesanan di atas ternyata setiap murid boleh dipupuk minat membacanya dengan
memimpin mereka memilih buku-buku yang disukainya dan menentukan masa untu
membaca.

• Peranan sekolah
Peranan pihak sekolah juga penting dalam meningkatkan kemahiran membaca dalam
kalangan murid. Bagi murid yang dikesan mempunyai kelemahan dalam kemahiran
membaca, mereka perlu diberi kelas pemulihan yang khusus untuk memahirkan mereka
dalam bacaan. Kelas pemulihan ini pula memerlukan guru- guru yang mahir untuk mengajar
mereka supaya mahir membaca. Di samping itu, persekitaran sekolah juga penting untuk
memotivasikan murid agar gemar membaca. Bernard (1965) berpendapat motivasi ialah
penggerak yang melibatkan proses membangkit, mengekal dan mengawal minat (Ramlah
Jantan dan Mahani Razali, 2004). Contohnya, pada dinding-dinding sekolah atau tugu perlu
diletakkan motto atau renungan yang berkaitan dengan kelebihan dan kebaikan amalan
membaca. Keadaan ini secara tidak langsung akan memberi kesedaran kepada murid untuk
cuba menghayati dan mengubah diri mereka ke arah suka membaca.

Selain itu, sudut bacaan juga perlu diwujudkan di dalam bilik darjah. Sudut ini perlu
disediakan dengan buku-buku yang sesuai dibaca oleh murid dan sudut ini juga perlulah
senyap dan selesa supaya murid dapat menumpukan perhatian mereka semasa mereka
membaca (Nordin Mamat, 2005).
• Peranan ibu bapa
Terdapat hubungan yang rapat antara peranan ibu bapa dan persekitaran rumah dalam
pemerolehan kemahiran membaca di kalangan kanak-kanak. Kajian Durkin (1966)
tentang kanak-kanak yang didapati sudah cekap membaca walaupun masih di dalam
kelas-kelas tadika mendapati bahawa faktor utama yang mendorong mereka cepat dan
lancar membaca ialah jumlah bahan bacaan yang mencukupi yang disediakan oleh ibu
bapa. Trelease (1989) (dalam Lee Lai Guan, Rahman & Salihah, 2007) pula berpendapat
membaca kuat kepada anak-anak boleh mendatangkan banyak faedah. Ibu bapa yang
membaca kuat kepada anak bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran membaca anak
tetapi kemahiran-kemahiran lain yang berkaitan dengan kemahiran membaca. Antara
lain, ibu bapa dapat meningkatkan daya mental anak-anak mereka dengan meluaskan
konsep, perbendaharaan kata serta meluaskan alam pengetahuan dan pemikiran. Dalam
kajiannya, Hansen (1969) telah menggabungkan 4 faktor yang berkaitan dengan
persekitaran rumah. Faktor-faktor itu ialah terdapat atau tidak bahan bacaan yang sesuai
di rumah, masa yang diperuntukkan bagi membaca kepada kanak-kanak, masa yang
diperuntukkan bagi membimbing dan menggalakkan kanak-kanak membaca dan sama
ada ibu bapa menjadi contoh atau model yang baik kepada kanak-kanak. Keempat-empat
faktor itu secara bergabung didapati lebih mempengaruhi sikap kanak-kanak membaca
daripada secara berasingan.

Ibu bapa juga perlu menunjukkan sikap suka membaca kepada anak-anak. Perkara ini
dosokong oleh Rohani Rustam dan Jamiah A.Bakar (1995) menyatakan contoh melalui
teladan penting dan benar kerana sudah menjadi tabii anak-anak suka meniru. Apa yang
dibuat oleh ibu bapa atau orang-orang dewasa yang sentiasa berada dengannya, maka
itulah yang akan cuba ditirunya. Walaupun mereka bukan pembaca yang serius, namun
perbuatan ibu bapa membaca bahan-bahan itu menjadi contoh kepada anak-anak.
Sebagai kesimpulan, faktor peranan ibu bapa dan persekitaran rumah merupakan faktor
utama dalam mempengaruhi sikap kanak-kanak membaca. Ia merupakan faktor penentu
sama ada seseorang kanak-kanak akan menjadi pembaca yang berjaya atau sebaliknya.
PENUTUP
Seseorang murid lazimnya harus banyak membaca. Dalam konteks sekolah bestari, murid
digalakkan mendapatkan maklumat dari pelbagai sumber. Mereka membaca untuk pelbagai
tujuan. Ada masanya mereka perlu membaca secara meluas atau ekstensif. Ada masanya pula
mereka perlu membaca secara intensif atau mendalam. Untuk menjadi seorang pembaca yang
berkesan, murid perlu menggunakan kaedah-kaedah yang sesuai dalam pembacaan. Oleh itu,
dalam proses pembelajaran, kemahiran membaca seharusnya tidak dipandang remeh oleh murid.
Kemahiran membaca yang betul akan dapat meningkatkan pemahaman dengan lebih berkesan.
Terdapat banyak kaedah yang sesuai digunakan dalam kemahiran membaca seperti membaca
secara berhati-hati iaitu dengan menumpukan terhadap apa yang dibaca dan mengelakkan
gangguan televisyen serta bunyi bising semasa membaca. Terdapat banyak masalah yang
berkaitan dengan kemahiran membaca seperti pelajar buta huruf namun begitu, kerajaan telah
menjalankan banyak program untuk mengatasi masalah seperti ini. Walaupun demikian, masalah
ini tidak mudah untuk diselesaikan tanpa kerjasama daripada semua pihak terutamanya ibu bapa
dan guru.
BIBLIOGRAFI

Abu Bakar Yusuf (2005). Nota Kuliah Prinsip Pengajaran Penulisan. Tanjung Malim:
Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Abu Bakar Yusuf, Abdullah Yusof dan Omar Hisham Mohd. Baharin. Prinsip pengajaran
penulisan. Kuala Lumpur: Pustaka Salam.
Azman Wan Chik (1986). Mengajar bahasa malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Kamus Dewan Edisi Ketiga (1996). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Kementerian Pendidikan Malaysia (1992). Asas perkaedahan mengajar bahasa. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Marzukhi Nyak Abdullah (1994). Kaedah pengajaran bahasa melayu kurikulum
bersepadu sekoah rendah. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn.Bhd.
Nordin Mamat. (2005). Asas sosial kanak-kanak. Kuala Lumpur: Prospecta Printers Sdn.
Bhd.
Prof. DR. Henry Guntur Tarigan (1994). Membaca sebagai statu keterampilan
berbahasa. Indonesia: Penerbit ANGKASA Bandung.
Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia (2003). Huraian sukatan
pelajaran kurikulum bersepadu sekolah rendah. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan
Malayasia.
Ramlah Jantan dan Mahani Razali (2004). Psikologi pendidikan: pendekatan kontemporari.
Kuala Lumpur: McGraw-Hill (Malaysia) Sdn. Bhd.
Rohani Rustam dan Jamiah A.Bakar (1995). Bacalah sayang!: panduan untuk ibu bapa ke arah
pembacaan awal. Selangor: Times Editions Pte.Ltd.
Shukri Zain (2007). Pengantar pemikiran. Tanjong Malim: Quantum Books.
Yusup Hashim dan Razmah Man (2005). Teknologi Instruksional: Teori dan Aplikasi. Tanjong
Malim: Syarikat Perintis Tanjong Malim.
3.1 juta murid gagal kuasai kemahiran 3M (2007). Diperolehi pada 6 Mac 2008 daripada
http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2007&dt=1211&pub=utusan_malaysia&
sec=parlimen&pg=pa_01.htm&arc=hive
Dr. Shukri Abdullah. (2007). Anak berilmu keluarga beruntung. Diperoleh pada Februari 21,
2008 daripada http://www.cepatbaca.com.my/site/
Guru lemah punca murid gagal kuasai (2005). Diperolehi pada 6 Mac 2008 daripada
http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2005&dt=1121&pub=utusan_
malaysia&sec=muka%5Fhadapan&pg=mh_03.htm&arc=hive
Kemahiran belajar (2006). Diperoleh pada Februari 21, 2008 daripada
http://mahirkb.tripod.com/olehbaca.htm
Kementerian sedar wujud murid tidak tahu membaca (2005). Diperolehi pada 6 Mac 2008
daripada http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2005&dt=013&
pub=utusan_malaysia&sec=muka%5Fhadapan&pg=mh_05.htm&arc=hive
Lee Lai Guan, Rahmah Hanafi dan Salihah Yusof. (2007). Satu tinjauan pelbagai aspek
membaca murid-murid tadika. Diperoleh pada Februari 23, 2008 daripada
http://members.tripod.com/ipdares/baca.htm
Kementerian sedar wujud murid tidak tahu membaca (2005). Diperolehi pada 6 Mac 2008
daripada
http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2005&dt=013&pub=utusanmalaysia&sec
=muka%5Fhadapan&pg=mh_05.htm&arc=hive

Guru lemah punca murid gagal kuasai (2005). Diperolehi pada 6 Mac 2008 daripada
http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2005&dt=1121&pub=utusan_
malaysia&sec=muka%5Fhadapan&pg=mh_03.htm&arc=hive